Transcript

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin terhakis. Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.[ 100 markah ]

Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa tak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Yang berlaku sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya punk dan gotic umpamanya menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat menghargai warisan bangsa. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan menghargai pakaian tradisional? Golongan yang muda masih bermain permainan tradisional mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal usulnya kecuali berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Hal ini bertepatan sekali dengan peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta. Dengan menghadiri perjumpaan dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia sebelum warisan ini diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali gus mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah busana. Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarkan memainkan peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada jagatraya. Remaja seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional. Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia. Kita harus mengorak langkah untuk merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu bapa kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup manusia yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang terdahulu banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaann makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai, jering,

kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa Bagaimana acuan, begitulah kuihnya juga jelas menunjukkan kebijaksaan golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau. Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati dan menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang murni? Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih bersatu dan padu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

PERSEDIAAN SEBELUM MENCEBURI KERJAYA MENCABAR DAN BERISIKO Soalan: Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal amat penting sebelum anda menceburi bidang pekerjaan tersebut. Bincangkan persediaanpersediaan yang perlu anda lakukan. Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapai dan mendominasi kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya meminati sesuatu bidang kerjaya yang amat mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal adalah amat penting sebelum saya dapat menceburi bidang pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan beberapa persediaan yang sewajarnya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan diri saya dengan kemahiran insaniah yang meliputi beberapa aspek, iaitu kemahiran berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah sangat penting untuk melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang. Sebagai contoh, semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya perlulah menggunakan peluang yang ada untuk bergerak aktif sama ada dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal ini adalah kerana kemahiran insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang boleh diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa berada dalam alam pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat penting agar saya dapat berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu. Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing yang tinggi kerana saya merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka lebih matang dan daya saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita. Menyedari hakikat ini, saya perlu kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai rintangan. Sebagai contoh, Abraham Lincoln pernah mengalami 13 kegagalan besar dalam bidang politik sebelum beliau dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 pada usia 51. Kecekalan Abraham Lincoln ini perlu saya contohi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya juga mesti

membekalkan diri saya dengan semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya. Saya perlu berupaya untuk menghasilkan teknologi dan robotik yang setanding dengan remaja yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi. Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap bidang pekerjaan yang bakal saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan membaca kerana mereka percaya bahawa membaca itu jambatan ilmu. Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka dengan pelbagai teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang yang saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu mematangkan saya untuk mengatur setiap langkah kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini tidak mampu berjanji untuk muncul pada hari keesokan. Oleh hal yang demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi merealisasikan impian saya untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu semasa. Saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung. Hal ini adalah supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar negara. Dewasa ini, banyak jenayah yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, kes pembunuhan Datuk Sosilawati, seorang jutawan dan rakan-rakannya yang telah dibunuh tanpa perikemanusiaan. Sebagai iktibar, saya perlu lebih berhati-hati dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini terutamanya ketika menceburi bidang kerjaya yang lebih mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat inkuiri yang kuat dan tinggi supaya saya sentiasa lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat dicapai sekiranya saya rajin membaca surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu semasa. Dengan cara ini, saya berupaya untuk menangkis sebarang cabaran ketika saya bekerja dalam dunia pekerjaan yang berisiko dan mencabar. Persediaan yang seterusnya ialah saya perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang dapat berfikir di luar kotak dan berani melakukan anjakan paradigma mampu untuk menongkah arus dan mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar, kejayaan akademik memang merupakan satu kepentingan untuk berjaya dalam kehidupan tetapi tidak dapat disangkalkan juga bahawa mempunyai nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan berfikir secara kreatif serta kritis juga signifikan untuk berjaya dalam kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, pemikiran saya yang kreatif dan inovatif dapat menangani cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi kelak terutamanya pada era globalisasi

ini. Saya juga dapat mengemukakan idea-idea yang bernas yang dapat meningkatkan kualiti kerja saya kelak. Tuntasnya, kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dapat membantu saya ketika melibatkan diri dalam kerjaya yang saya idamkan. Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua aspek sama ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga impian saya akan menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.

Kesan-Kesan Teknologi Maklumat (ICT) Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda! Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan. Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan. Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti

keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari manamana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya? Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita. Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang. Kosa kata: 1. seyogia sepatutnya, selayaknya 2. input sumber 3. menginjak mengubah 4. kompetitif bersaing 5. glokal tempatan 6. berbaur bercampur 7. anarki porak-peranda 8. wahana saluran 9. kebejatan keruntuhan

BERUNDING LEBIH BAIK DARIPADA BERPERANG Soalan: Konflik antara sesebuah negara dengan negara lain di dunia pada masa ini harus diselesaikan melalui perundingan dan bukan melalui peperangan. Bahaskan pernyataan di atas. Sejak dahulu lagi, kerakusan pemimpin dalam membuat keputusan untuk berperang sering membawa melapetaka kepada rakyatnya. Sejarah telah membuktikan bahawa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua telah membawa pelbagai implikasi kepada dunia sejagat. Tokoh-tokoh pemimpin seperti Hitler dan George W.Bush pasti akan dikenang oleh rakyat negara yang terbabit sebagai pemimpin yang mementingkan diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing yang telah memusnahkan dan menghancurkan keharmonian negara mereka. Oleh itu, pemimpin sekarang harus mengambil iktibar bahawa peperangan tidak dapat menyelesaikan sesuatu konflik dalam masa yang singkat dan mereka perlu mengambil pendekatan dengan berunding demi kesejahteraan rakyatnya. Jangan nanti gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Terdapat pelbagai manfaat apabila pemimpin mengambil pendekatan berunding daripada menggunakan senjata untuk menyelesaikan masalah. Antara kebaikan mengambil pendekatan berunding dalam menyelesaikan konflik antara sesebuah negara ialah pertumpahan darah tidak akan berlaku dan banyak nyawa yang tidak berdosa dapat diselamatkan. Hal ini dikatakan demikian kerana perundingan akan melibatkan pemimpin yang duduk semeja berusaha untuk mencari jalan keluar bagi konflik yang dihadapi. Perbincangan yang melibatkan golongan pemimpin ini pasti akan mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit. Saidina Ali Abi Talib pernah berpesan bahawa pasak kekuatan sesebuah negara hendaklah didirikan atas keadilan para pemerintah. Oleh itu, rakyat tidak akan mengalami kesengsaraan hidup akibat ledakan bom dan tembakan peluru berpandu. Anak-anak tidak akan hilang tempat bergantung dan masa depan mereka akan lebih terjamin. Cukuplah kita melihat penderitaan dan kesengsaraan hidup yang dialami oleh anakanak dari bumi Palestin, Iraq dan Afgahnistan serta beberapa buah negara di Afrika sebagai akibat kehilangan insan yang disayangi. Jelaslah bahawa perundingan akan mengelakkan berlakunya pertumpahan darah. Jika ditinjau dari perspektif yang lain, sesebuah negara itu tidak akan mengalami kerugian harta benda jika menggunakan rundingan sebagai jalan untuk menyelesaikan. Kita sedia maklum bahawa peperangan pasti akan meranapkan bangunan, kenderaan, kawasan tumpuan ekonomi dan sebagainya. Peperangan laazimnya menggunakan senjata-senjata cacnggih seperti bom nuklear dan peluru berpandu yang mampu memusnahkan apa-apa sahaja dalam sekelip mata. Sebagai contohnya, peperangan yang berlaku di antara Israel dan Palestin telah membawa kemusnahan infrastruktur negara yang teruk sekali gus menelan belanja yang banyak untuk

membaik pulih keadaan. Hal ini bertepatan dengan kata pepatah yang berbunyi, menang menjadi arang, kalah menjadi abu. Sekiranya cara perundingan dipilih sudah pasti kemusnahan harta benda tidak akan berlaku. Rakyat dapat menyimpan wang mereka demi masa depan mereka manakala wang kerajaan juga dapat dijana untuk pembangunan ekonomi negara kerana kebanyakan infrastruktur negara masih berkeadaan baik lagi. Kerajaan tidak perlu lagi membeli senjata, kapal pejuang dan kapal perisai yang baharu. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa perundingan pasti dapat mengelakkan kemusnahan harta benda yang tidak diduga sama ada harta benda persendirian atau milik kerajaan. Di samping itu, hubungan diplomatik antara dua buah negara juga dapat dijalin dengan lebih erat apabila pemimpin menggunakan rundingan sebagai cara untuk menyelesaikan konflik yang dihadapinya. Sesungguhnya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Begitu juga dengan konflik yang dihadapi oleh sesebuah negara. Jika jalan perundingan yang dipilih daripada pertumpahan darah maka ikatan silaturahim antara dua buah negara akan terjalin. Perasaan berbaik-baik dan berprasangka positif akan wujud dalam sanubari mereka lantas kedamaian yang dipilih oleh mereka. Mereka akan berpegang pada konsep buang yang keruh, ambil yang jernih. Perundingan antara mereka bukan sahaja membincangkan jalan keluar bagi konflik yang dihadapi malahan juga mereka akan berkonsi pandangan untuk memajukan negara masingmasing. Oleh hal yang demikian, pendekatan rundingan dapat menjalinkan hubungan dua hala antara negara yang terbabit. Kebaikan yang seterusnya ialah negara-negara yang terlibat dalam rundingan bagi menyelesaikan konflik akan dipandang tinggi dan mulia oleh negara-negara lain di persada antarabangsa. Pada masa ini, majoriti masyarakat di seluruh dunia mendambakan kehidupan yang aman damai dan harmoni, yakni bebas daripada berlakunya pertumpahan darah. Namun begitu, terdapat segelintir pemimpin yang angkuh dan berhidung tinggi daripada bersikap mementingkan keamanan dan kepentingan rakyat. Kita lihat sahaja pemimpin Korea Utara yang sering membuat provokasi dengan melancarkan ujian nuklear walaupun tindakan mereka dikecam hebat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat dunia yang lain. Begitu juga dengan pihak Amerika Syarikat yang dianggap sebagai polis dunia telah dikritik sebagai akibat daripada kedegilan mereka menyelesaikan masalah dengan cara melakukan keganasan yang kononnya ingin menghapuskan pengganas. Secara tidak langsung, perbuatan mereka telah menjejaskan imej negara terbabit. Tuntasnya, cara perundingan dan persepakatan amat bersesuaian untuk menyelesaikan masalah daripada cara peperangan. Seperkara lagi, apabila pemimpin-pemimpin memilih pendekatan berunding semasa menyelesaikan konflik dengan negara lain, ekonomi negara tersebut tidak akan terjejas. Kita haruslah menerima hakikat bahawa peperangan hanya akan membawa kemusnahan apabila

semua infrastruktur seperti bangunan-bangunan kerajaan dimusnahkan dalam sekelip mata. Oleh itu, kerajaan terpaksa memperuntukan jumlah wang yang besar untuk memulihkan keadaan yang terjejas dengan teruk. Dalam hal ini, agenda pembangunan negara tersebut tidak dapat dijayakan seperti yang dirancangkan. Impaknya, ekonomi negara tersebut akan terbantut. Sebagai analoginya, apabila Pusat Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat diserang pada tahun 2001, ekonomi di Amerika Syarikat merosot dan banyak rakyat mengalami pengangguran dalam beberapa tahun. Hal sedemikian tidak akan berlaku jika mereka menggunakan pendekatan berunding malah lebih teruk apabila kadar jenayah turut meningkat lantaran kemelesetan ekonomi. Jadi, jelaslah bahawa cara berunding lebih baik daripada berperang ketika menyelesaikan sesuatu konflik yang dihadapi. Intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa sesebuah negara perlulah menyelesaikan konflik yang dihadapi dengan cara yang paling afdal iaitu berunding. Pihak kerajaan terutamanya para pemimpin haruslah bijak membuat keputusan yang melibatkan nyawa rakyat dan masa depan negara masing-masing seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Jadikanlah kekejaman yang dilakukan oleh beberapa orang pemimpin dunia lalu sebagai iktibar kepada pemimpin-pemimpin pada masa akan datang. Ingatlah, sejarah akan menjadi guru yang selama-lamanya tidak pernah berbohong. Segala kejahatan terhadap warga dunia yang pernah dilakukan akan terus dikecam, bak kata peribahasa, jejak dapat dihilangkan, belang tetap berparut. Semoga kebijaksanaan para pemimpin dunia untuk menyelesaikan masalah dengan perundingan akan memberikan sinar kehidupan yang lebih cerah kepada seluruh rakyatnya.

Karangan ini ditulis oleh Loh Hon Yeen, 5WP Set 1(2010). Kematangan huraian anda semakin menyerlah dan teruskan membaca karangan yang menarik dan matang. Semoga berjaya mendapat A+ untuk BM SPM.

BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA Ketika dunia hari ini merentasi arus teknologi yang semakin canggih, bencana alam pula sering melanda dan menunjukkan belang. Pada realitinya, bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi dan ribut taufan ialah satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau. Hadirnya bencana alam tanpa kita minta lantaran bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan, pencipta segala kehidupan. Bencana alam ini berlaku tidak kira tempat ataupun waktu. Pada abad ini, walaupun teknologi semakin berkembang dan tumbuh dengan pantas bagai belut diketil ekor, kemajuan ini tidak dapat menghalang bencana alam yang ganas melanda. Pada tanggal 26 Disember 2004, satu peristiwa telah menggemparkan dunia apabila semua berita melaporkan berlakunya ombak besar iaitu tsunami di Acheh yang telah mengorbankan beratus ribu nyawa. Kejadian dahsyat itu masih meninggalkan kesannya hingga kini malah masih menjadi mimpi ngeri buat semua yang terlibat. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa semenjak belakangan ini banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara kita dan juga negara-negara jiran seperti gempa bumi di Pakistan dan di China, taufan Nargis di Myanmar dan tanah runtuh yang dahsyat di Filipina. Fenomena yang terbaharu ialah letupan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia. Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban. Sebagai insan yang sedar tentang kesusahan orang lain, kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma. Derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini. Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang menyayat hati di seluruh negara ini. Mantan Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan bahawa kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan dan harus berkongsi nikmat yang kita ada dengan orang lain yang memerlukan supaya Tuhan akan melipatgandakan nikmat tersebut. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita. Menganggotai pasukan penyelamat dan pencari juga merupakan peranan kita dalam

membantu dan mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan yang semampu boleh. Namun, tidak semua daripada kita yang berani menjadi penyelamat kerana takut berlakunya kejadian susulan di tempat bencana terbabit. Bagi mereka yang berani, mereka ibarat wira dari Malaysia yang datang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penghuni di muka bumi ini. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini. Rentetan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas. Membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini disebabkan apabila menjadi salah seorang ahli sukarelawan, kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang agak lama untuk memberikan bantuan kepada negaranegara jiran. Bantuan rawatan, membina rumah mangsa yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa adalah antara tugas sukarelawan. Pada masa ini, sukarelawan bergerak dalam kumpulan ataupun persatuan. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai oleh golongan doktor iaitu golongan bijak pandai untuk merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya, kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti manusia lain. Para sukarelawan yang berilmu pengetahuan, berakal, rajin dan berkemahiran ini dapat dikatakan sebagai empat bersimpul satu dalam usaha tulus suci ini. Di samping bantuan derma dan tenaga, kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini. Doa yang dipohonkan adalah agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Paparan akhbar harian seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro telah melaporkan bahawa solat hajat dan bacaan Yasin

secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang telah dihadiri oleh lebih daripada 2000 orang rakyat prihatin dan turut disertai oleh menteri-menteri dan Yang diPertuan Agong. Berdasarkan senario ini, terbuktilah di sini bahawa setelah menghulurkan bermacam-macam bantuan. doa adalah pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan. Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat. Di pihak kerajaan pula, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu. Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walau di manamana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna. Amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpadapada buat jahat jangan sekali. Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Rasulullah juga pernah bersabda, Tidak sempurna iman seseorang kamu, selagi kamu masih belum mengasihi saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri. Semoga sumbangan yang kita salurkan dapat menyempurnakan iman kita dan dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian mereka seperti sediakala.

KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA INGGERIS Sebelum ini, mutu pencapaian bahasa Inggeris di negara kita menampakkan kemerosotan yang ketara. Sejak pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsan yang menghapuskan aliran bahasa Inggeris, penguasaan para pelajar dalam bahasa Inggeris amat rendah. Hal ini dapat dibuktikan melalui keputusan-keputusan peperiksaan pada tahun-tahun yang lepas. Oleh hal yang demikian, mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk mewajibkan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dalam bidang Sains dan Matematik Tahun Satu dan Tingkatan Satu mulai tahun 2003. Dalam pada itu, ada pihak yang mengangguk kepala bahawa bahasa Inggeris banyak mempunyai kelebihan tetapi ada pihak yang menggeleng kepala bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa penjajah. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris haruslah dijadikan sebagai bahasa kedua penting tidak kira sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah demi kebaikan semua. Jadi, bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting dalam kehidupan rakyat jelata. Antara kepentingan bahasa Inggeris termasuklah bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan apabila jumlah penutur bahasa Inggeris di seantero dunia mengatasi jumlah penutur bahasa utama lain seperti bahasa Perancis, Sepanyol, Arab, dan Rusia. Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa utama yang digunakan semasa seseorang berkomunikasi dengan bangsa negara lain ialah bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja memudahkan kita berhubung dengan dunia luar malah bahasa ini menjamin kelancaran urusan yang melibatkan bangsa negara lain. Misalnya, urusan seseorang dengan bangsa lain akan berjalan dengan lancar sekiranya seseorang itu menguasai bahasa Inggeris dengan sepenuhnya. Sebaliknya, urusan seseorang akan menempuh pelbagai dugaan sekiranya seseorang itu tidak petah dalam bahasa Inggeris. Hal ini jelas menampilkan kepentingan bahasa Inggeris. Selain itu, bahasa Inggeris juga merupakan bahasa utama dalam bidang perniagaan. Walaupun bahasa rasmi negara ialah bahasa Malaysia namun dalam bidang perniagaan bahasa yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris. Contohnya, bahasa Inggeris digunakan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan. Menurut kajian, bahasa Malaysia jarang-jarang digunakan semasa urusan perniagaan dijalankan. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa Malaysia kekurangan istilah yang tepat untuk mengungkapkan maksud dalam perniagaan. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang perniagaan. Jikalau bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik negara. Oleh itu, bahasa Inggeris amat penting dalam bidang perniagaan.

Di samping itu, kepentingan bahasa Inggeris yang lain ialah bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu pengetahuan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam era globalisasi dan modenisasi ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa sumber yang penting. Misalnya, kebanyakan buku ensiklopedia, buku rujukan, maklumat, penyelidikan dan khazanah ilmu yang lain terungkap dalam bahasa Inggeris. Hal ini tidak menjadi masalah bagi golongan yang dapat menguasai bahasa Inggeris untuk memahami isi-isi yang tercatat dalam bahan bacaan tersebut. Persoalannya, adakah anda faham akan isi-isi yang ingin disampaikan sedangkan tahap penguasaan bahasa Ingeris berada pada paras yang menyedihkan? Jawapannya semestinya tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang terdapat dalam bahan bacaan itu memerlukan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang optimum. Dengan ini, tampaklah bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam menimba ilmu yang tidak terhingga. Bukan itu sahaja, bahasa Inggeris penting kerana bahasa ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dapat memperoleh maklumat-maklumat yang terkini supaya masyarakat tidak menjadi katak di bawah tempurung dengan syarat masyarakat dapat menguasai bahasa Inggeris. Malahan, mereka juga dapat memahami isi-isi tersurat yang dipaparkan dalam maklumat antarabangsa yang disalurkan melalui satelit ataupun media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maklumat ini, banyak alat teknologi yang canggih telah dicipta untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan dunia luar seperti internet tambahan pula, bahasa Inggerislah yang terungkap dalam laman web. Jadi, bahasa Inggeris haruslah dipandang berat kerana bahasa ini ialah bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet. Kesimpulannya, bahasa Inggeris ialah bahasa antarabnagsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain, baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara namun bahasa Inggeris amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa Inggeris membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsungnya mempercepat pembangunan negara. Di samping itu, kemajuan hanya dicapai dengan lebih cepat sekiranya komunikasi dalam bahasa Inggeris berjalan dengan lancar dengan negara-negara maju. Dengan ini, kecemerlangan seseorang individu bergantung pada tahap penguasaan bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan.

USAHA-USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri, iaitu bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka. Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152. Krisis baharu yang melanda bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan. Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini. Faktor kedua berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu yang berkuasa telah meminggirkan bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan. Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan kepustakaan bahasa Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri. Rata-rata, ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan. Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak bertamadun atau tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding jari kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang enggan atau malu untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun tinggi. Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana. Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Pelajar-pelajar di sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans dan sebagainya. Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Malaysia yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu program pendidikan di pusat pengajian tinggi. Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian, mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi monitor dan menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam projek Sukan Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak, atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita. Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan

masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini. Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilainilai masyarakat yang positif perlu diterapkan melalui pendidikan bahasa.

Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia. Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan, sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah lagi yang akan bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orangorang Malaysia yang terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan budaya kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia haruslah bangun menjadi penegak bahasa Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa. Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh

rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.