Upload
pensel-stabilo
View
4.341
Download
12
Embed Size (px)
Citation preview
2.0 Masyarakat Dusun
2.1 Latar Belakang Masyarakat Dusun
Masyarakat Melayu, Cina dan India kebanyakkannya menetap di
Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak pula kebanyakkan didominasi oleh
bumiputera yang lain seperti Dusun, Bajau, Sungai, Bidayuh dan sebagainya.
Masyarakat dusun merupakan kaum yang keluar dari daratan Asia melalui
Semenanjung Tanah Melayu dan berhampiran dengan Brunei. Mereka membuat
petempatan di kawasan pantai. Mereka menamakan kumpulan pertama itu Dusun.
Ada antara kumpulan Dusun yang disebut sebagai orang Brunei sebagai Bisaya.
Mereka merupakan penduduk asli Brunei dan ada yang berhijrah di Sabah.
Salah satu daripada kumpulan itu dipercayai membuat petempatan di sungai
Liwagu di kaki Gunung Kinabalu. Gunung Kinabalu juga merupakan gunung yang
terbesar di Malaysia. Gunung Kinabalu ialah tempat terdapatnya banyak pokok aru
merah atau dalam bahasa Dusun disebut sebagai Nunukragang. Kumpulan ini
menamakan diri mereka sebagai nunukragang sempena nama pokok tersebut.
Nunukragang yang dikatakan sebagai masyarakat pribumi rumpun Dusun yang kini
juga dikenali sebagai kadazandusun. Oleh itu istilah kadazandusun pula merujuk
kepada sesiapa yang menganggap dirinya berasal daripada keturunan Nunukragang
yang dipercayai berasal daripada Tanah Besar Asia dan berhijrah keluar bersama
kumpulan orang melayu proto atau “ Indonesia” atau “ Indo - Malayan”
2.2 Tempat Tinggal Masyarakat Dusun
Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Dusun yang merupakan
satu pertiga dari penduduk Sabah. Ini menunjukkan kaum Dusun lebih mendominasi
di Sabah berbanding Sarawak. Suku kaum Dusun tinggal di pantai barat seperti
Penampang, Papar, Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud dan juga di
lembah bukit di Ranau, Tambunan, dan Keningau. Kebanyakan mereka adalah
petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma. Sesetengah dari mereka
memburu serta menangkap ikan sungai. Mereka kebanyakan bertempat di sekelilingi
kawasan lembah pantai barat dan kawasan pendalaman. Kaum Dusun ini
membentuk kebudayaan yang dinamik di negeri Sabah (Kitingan, 1982). Dusun
kebanyakannya tinggal di Keningau dan Ranau (Ismaily Bungsu, 1988).
Lazimnya masyarakat daripada subetnik yang disebut adalah menetap
daripada kawasan-kawasan (daerah) tertentu umpamanya Kimaragang di daerah
Kota Marudu, Lotud di daerah Tuaran, Orang Sungai di daerah Kinabatangan, Sugut,
Paitan dan Pitas.
Rajah dibawah merupakan antara bentuk rumah yang menjadi tempat tinggal
masyarakat Dusun.
Tempat Tinggal Masyarakat Dusun
2.3 Budaya Masyarakat Dusun
Setiap masyarakat mempunyai kebudayaan masing-masing. Menurut Kamus
Dewan Edisi Empat, budaya bermaksud membiasakan sesuatu perilaku (perbuatan
dll) yg baik supaya berbudaya atau beradab;kebudayaan keseluruhan cara hidup (yg
merangkumi cara bertindak, berkelakuan, dan berfikir) serta segala hasil kegiatan
dan penciptaan yg berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat,
tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi)
Masyarakat Dusun mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Masyarakat
Dusun mempunyai asas kesamaan sistem sosial (Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan,
1987). Antaranya, sistem dari aspek budaya objektif dan budaya subjektif . Budaya
objektif terdiri daripada bahasa, pakaian, pekerjaan dan juga muzik seperti tarian
sumazau dan alat -alat muzik Sompoton, Turali, Tongkungon, Tagunggak,
Bakokong, Kulintangan Tring, Bungkau dan Gong (Ismaily Bungsu, 1988) manakala
budaya subjektif ialah upacara pemujaan seperti pembacaan doa atau "megendi"
dengan menggunakan "komborongoh". Budaya ini adalah satu kemestian dalam
masyarakat Dusun ketika memulakan sesuatu perkara seperti masuk rumah baru
"Rumesod", mengubati pesakit, menghindari gangguan syaritan, hari keluarga
"meginakan" dan sebagainya.
Bahasa ialah satu wahana perhubungan dan komunikasi antara manusia.
Sebagai keperluan sosial, bahasa adalah alat penting untuk menyampai maksud, ia
juga sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan manusia sebagai alat
untuk berhubung manakala dialek ialah satu variasi bahasa yang ditentukan
mengikut wilayah dan ditutur bergantung kepada tempat seseorang itu dilahirkan
(S.Nathesan, 1995). Bahasa juga merupakan antara salah satu budaya bagi sesuatu
kelompak masyarakat. Menurut Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987) keluarga Dusun
menggunakan empat belas bahasa pertuturan. Antara bahasa Dusun ialah Liwan,
Tagas, Dusun Tambunan, Tuhauwon dan Kuruyou dan banyak lagi. Bahasa Dusun
Liwan pula tertumpu di daerah Ranau.
Dalam meneruskan kehidupan untuk berkeluarga bagi yang ingin berkahwin,
ibu bapa memainkan peranan penting dalam membuat pemilihan dan merestui
hubungan anak-anak mereka. Dalam masyarakat dusun, ibu bapa juga
bertanggungjawab memilih bakal isteri anak lelakinya. Setelah peminangan diterima
oleh pihak keluarga perempuan, majlis perkahwinan akan dilakukan pada masa yang
dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan lazimnya dilakukan pada waktu malam di
rumah pengantin perempuan. Pada malam pertama si suami harus bermalam di
rumah keluarga isterinya dan kemudiannya pasangan pengantin ini akan diarak ke
rumah keluarga lelaki dan perempuan selama tiga kali berturut-turut. Sebelum
pengantin dibenarkan masuk ke dalam rumah, pihak tuan rumah keluarga
lelaki/perempuan menyanyi atau "Selakohan Sinding" dan dibalas oleh rombongan.
Selakohan sinding ini bertujuan menyambut kedatangan rombongan pengantin baru
tetapi diluahkan dalam bentuk nyanyian. Kemeriahan ketika majlis perkahwinan ini
diaraikan oleh seluruh penduduk kampong.
Namun begitu, sebelum dibuat peminangan dari pihak lelaki kepada pihak
perempuan, perkara pertama yang perlu dibuat ialah melantik seorang orang tua,
yang bukan ibu bapa dan bukan dari keluarga dekat lelaki yang hendak meminang
itu. Segala urusan merisik dan juga pinang-meminang ini mesti dibuat pada waktu
pagi dan tidak boleh dijalankan pada waktu petang ataupun malam. Wakil pihak
lelaki ini akan merisik kepada ibu bapa perempuan yang hendak dipinang itu atau
pengganti ibu bapanya jika perempuan tersebut tidak mempunyai ibu bapa lagi.
Risikan pertama ini bertujuan untuk mengetahui adakah perempuan tersebut dalam
proses risikan orang lain atau dalam proses pertunangan. Jika didapati perempuan
tersebut dalam proses pertunangan, risikan tidak boleh diteruskan. Ia bertujuan
untuk menjaga hak mereka yang datang merisik lebih awal. Manakala jika
perempuan itu dalam proses risikan dari pihak lelaki lain,risikan yang datang
kemudian ini ditangguhkan buat sementara sehingga mendapat keputusan yang
muktamad dari risikan orang yang terdahulu itu. Risikan harus ditangguhkan supaya
pihak perempuan tidak terkeliru dalam memilih pasangan hidupnya dan membuat
keputusan yang bijak dalam memilih.
Jika perempuan yang dirisik itu tidak bertunang ataupun tidak dalam proses
risikan dari pihak lelaki lain, barulah orang tua wakil dari pihak lelaki boleh merisik
dan bebas melanjutkan proses risikannya. Risikan ini dijalankam mengikut
peringkatnya dan memakan masa selama berhari-hari, berminggu malah berbulan.
Hal ini kerana banyak hal yang perlu diketahui oleh ibu bapa perempuan yang dirisik
itu, atas diri dan keluarga yang merisik anaknya. Antaranya termasuklah susunan
keluarga, akhlak, kemampuan dan sebagainya. Dalam proses risikan ini, keluarga
lelaki akan cuba mengenal pihak perempuan dengan sebenar-benarnya.
Perkahwinan bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main dan perkahwinan
yang berlangsung diharapkan dapat bertahan hingga ke akhir hayat. Pihak keluarga
lelaki akan cuba mencari persamaan dengan keluarga pihak perempuan demi
kelangsungan rumah tangga yang berkekalan. Tambahan lagi, setiap ibu bapa
menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Proses risikan inilah yang memainkan
peranan penting dalam permulaan sebuah perhubungan.
Peminangan dari pihak lelaki di terima apabila ibu bapa perempuan
mendapati risikan itu boleh dipertimbangkan, mereka akan menentukan hari bagi
wakil pihak lelaki datang membawa cincin pusaka (dibuat daripada tembaga). Cincin
itu juga digelar 'cincin menanti mimpi'. Cincin itu mesti dibawa pada waktu pagi.
Apabila ibu bapa perempuan sudah menerima cincin itu, mereka mesti
membersihkan diri pada hari itu juga. Mereka tidak boleh makan atau minum apa
sahaja yang boleh memabukkan.
Selepas itu acara pertunangan yang menggunakan perundingan antara pihak
lelaki dengan ibu bapa pihak perempuan hanya berkisar pada syarat-syarat hantaran
perkahwinan, menentukan tarikh perkahwinan dan kadar besar atau lamanya pesta
perkahwinan itu. Pertunangan yang telah ditetapkan tidak boleh diingkari. Jika tidak,
pihak yang ingkar terpaksa membayar seluruh atau separuh hantaran yang sudah
ditentukan ketika mengikat pertunangan dahulu. Bayaran ini dibuat di depan
pengadilan adat. Hantaran kahwin biasanya terdiri daripada pelbagai jenis makanan,
alat untuk adat istiadat dan barang untuk memperteguhkan semangat. Contohnya
barang keperluan diri seperti beg, kasut, alat mekap dan sebagainya.
Setelah itu, akan berlangsung majlis perkahwinan jika semua urusan
peminangan selesai. Majlis perkahwinan ini memakan masa selama tiga hari
berturur-turut. Perkara yang paling penting dalam upacara perkahwinan ialah mohon
pinisi iaitu upacara menukar gumpalan nasi. Untuk memulakan upacara ini,
pengantin lelaki dan perempuan duduk berhadapan di tengah-tengah bulatan gadis-
gadis yang ber-pakaian tradisional berwarna hitam. Menjadi satu kebudayaan
masyarakat dusun untuk memakai pakaian tradisional mereka dalam adat istiadat
perkahwinan.
Pakaian Tradisional masyarakat Dusun
Mendirikan dan masuk rumah baru hendaklah dimulai dengan upacara
"Tumedek" atau menanda. Upacara ini hendaklah dilakukan pada hari-hari penting
bagi masyarakat Dusun yang dipanggil "Tadau Rampagas, Tanob, Selimpunan do
kesilau, Selimpunaan Tadau Daat, Selimpunaan Tulan Daat, Kepuposan Tulan Daat
dan Selimpunan Tulan Kelimo". Begitu juga dengan masuk rumah baru harus pada
hari-hari yang terpilih dan diiringi dengan upacara sembahyang doa atau
Megembawon / Mengendi. Upacara ini dilakukan oleh golongan tua yang mahir
untuk mengendi. Lazimnya golongan perempuan yang melakukan upacara
mengendi dan bukan daripada golongan leleki.
Adalah menjadi kesalahan besar bagi masyarakat Dusun, jika seseorang
lelaki atau perempuan berkahwin dengan seseorang yang dipercayai masih ada
talian persaudaraan. Jika perkahwinan dilangsungkan juga, si lelaki dan perempuan
akan dikenakan hukuman denda iaitu "Pitas" yang terdiri daripada 7 kerbau, 7 ayam,
7 perang, 7 tajau dan 7 mangkuk. Tujuannya ialah memutuskan tali persaudaraan
untuk membolehkan mereka berkahwin. Pitas bagi lelaki hendaklah diberi kepada
pihak keluarga perempuan dan pitas perempuan pula diberikan kepada keluarga
lelaki. Pembayaran pitas ini dipanggil "Mesulak" atau sama-sama membayar denda
(bertukar-tukar barang denda).
Seseorang lelaki atau perempuan yang telah berkahwin tidak boleh berlaku
curang terhadap si suami atau si isteri . Jika berlaku kecurangan hendaklah
dikenakan denda berupa kerbau atau babi. Tujuannya adalah dimakan bersama ahli
keluarga yang dicuranginya iaitu isteri atau suami dan anak-anak. Ia adalah simbolik
bagi menghukum para suami atau isteri yang curang disamping cuba menghiburkan
hati para suami atau isteri yang dicurangi.
Antara budaya lain masyarakat dusun ialah apabila berlaku ketian. Ketian
ialah seorang lelaki yang menyebabkan seorang perempuan mengandung tanpa
sebab perkahwinan yang sah. Natijahnya lelaki dicaci dan dikehendaki membayar
denda atau sogit berupa babi atau kerbau. Tujuannya menyejukkan panas dalam ahli
keluarga dan masyarakat kampung serta memberitahu masyarakat kampung
bahawa pesalah telah dihukum setimpal dengan kesalahannya.
Selain daripada budaya dalam majlis perkahwinan, masyarakat Dusun
mempunyai upacara perpaduan keluarga yang dipanggil meginakan. Semua ahli
kelurga dijemput dan satu upacara menyembahyangkan arak Gampian Kinomolyang
diketuai oleh mereka yang mahir megendi serta dijalankan pada waktu malam.
Setelah selesai upacara tersebut, mereka mengambil bambu atau "Telutuk" untuk
dipukul "Tontongon" bagi mengeluarkan bunyi. Menurut kepercayaan mereka
memukul bambu bertujuan memperbaiki dunia. Hari keluarga ini dihadiri semua ahli
keluarga dan masyarakat kampung selama 7 hari berturut-turut.
Bagi pesalah yang melakukan kesalahan mencuri pula, masyarakat dusun
mempunyai budaya tersendiri untuk menhukum pencuri tersebut. Pencuri dapat
dikenal pasti dengan bantuan bomoh yang mahir melalui upacara "mengintutun".
Alat-alat yang digunakan semasa mengintutun ialah telur ayam atau cermin. Semasa
mengintutun, beberapa ahli keluarga dan masyarakat kampung datang sama-sama
menyaksikan upacara mengintutun. Biasanya, bomoh akan memberitahu siapa yang
mencuri dan biasanya tuduhan bomoh dipercayai oleh ahli keluarga dan majoriti
masyarakat. Implikasinya, orang yang kena tuduh akan mendapat cacian dan celaan
masyarakat kampung untuk beberapa waktu. Sebaliknya, pesalah yang melakukan
kesalahan besar seperti mencuri kerbau boleh dihalau keluar "elohon" dari
kampungnya.
Bila kematian berlaku dalam masyarakat Dusun tradisi, ahli keluarga si mati
akan memukul gong "Tontong sanang"yang bertujuan memberitahu ada kematian
dalam ahli keluarga dan disertai turun dari rumah atau "menuhon" bertujuan cuba
menahan roh simati atau kedwo-dwo melalui benda-benda yang diambil
dipersekitaran halaman rumah si mati untuk disapukan di ubun-ubun kepala si mati
dengan harapan si mati hidup semula. Selain itu, satu lagi alat komunikasi digunakan
untuk memberitahu masyarakat kampung bahawa adanya kematian dalam sesebuah
keluarga iaitu menggunakan buluh untuk dibunyikan atau "Mengarasapong". Semasa
si mati dibawa ke kubur, ahli-ahli keluarga akan meraung-raung dan memukul bekas
letak si mati. Pada malam pada hari perkuburan, ahli keluarga akan mengadakan
upacara memisah dengan menutup semua lampu dalam rumah. Tujuannya ialah
agar roh si mati akan balik ke rumah untuk "megoit-megoit" atau membawa dan
mengambil barang-barang milik si mati. Pada hari ketiga (3) pula, ahli keluarga simati
mengadakan upacara pembahagian atau "Ikidan / angkiban" . Benda yang boleh
dijadikan angkiban ialah ternakan dan tanaman. Tujuannya ialah mengadakan
pembahagian harta untuk simati. Contoh narrator ialah " Anu bin Dia, ini saja
bahagian mu. Jangan lagi ganggu kami". Pembahagian ini dilakukan dengan tangan
kiri dan membelakang. Pada hari kelima atau ketujuh pula, upacara keselamatan
yang dipanggil "Memagompi" melalui upacaramengendi dilakukan dengan bantuan
sesorang yang mahir megendi.
Di Semenanjung seperti di negeri Johor, Kelantan, Kedah dan sebagainya
mempunyai tarian yang tersendiri. Contohnya Tarian Zapin, Boria, Dikir Barat, dan
sebagainya. Masyarakat Dusun pula menjadikan Tarian Sumazau sebagai tarian
mereka. Tarian Sumazau merupakan tarian yang ditarikan semasa majlis Tadau
Kaamatan yang bertujuan untuk menyambut kedatangan “Bambaazon” (semangat
padi) yang biasa dilakukan selepas menuai padi. Mereka yang menarikan tarian ini
akan menggunakan pakaian berwarna hitam yang dihiasi corak-corak menarik
menggunakan benang berwarna emas. Bagi penari perempuan, mereka dihiasi
dengan selendang serta tali pinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling
perak (trade dollar). Manakala penari lelaki akan menggunakan tanjak disamping
pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.
Tarian Sumazau Masyarakat Dusun
Semangat padi dipercayai memiliki kuasa ghaib yang dapat menyuburkan
padi, menjaga ladang atau sawah padi dan meningkatkan hasil tanaman. Oleh sebab
padi merupakan makanan utama beberapa upacara ritual dijalankan seperti memuja
semangat padi. Jika upacara memuja padi tidak dijalankan mereka percaya bahawa
hasil padi akan terjejas. Semangat padi disebut sebagai Bambaazon atau
Bambarayon.
Upacara Semangat Padi Masyarakat Dusun
Mereka juga dididik tentang kepercayaan terhadap kuasa ghaib Komburongo
iaitu sejenis bahan yang digunakan Bobolian dalam upacara keagamaan dan
pengubatan tradisional. Amalan tersebut diajarkan oleh nenek moyang dusun
kepada anak cucunya kerana dianggap ilmu yang penting dan merupakan
pendidikan yang amat berguna. Masyarakat Dusun meminta bantuan Bobolian
untuk mengetahui punca penyakit dan memohon jasa baik Bobolian supaya
mengubati penyakit tersebut. Bobolian dianggap sebagai pakar dalam ilmu roh dan
kuasa ghaib dan juga dianggap sebagai doktor dalam pengubatan penyakit. Mereka
juga dianggap sebagai ketua dalam suatu upacara keagamaan.
Tambahan lagi, Tarian Sumazau dikatakan sebagai tarian khusus bagi
menyambut hari mengaji atau disebut Mengahau dalam bahasa Dusun. Tarian ini
dikatakan bukan untuk bersuka ria atau menyambut hari keramaian dan sebagainya.
Bagi masyarakat Dusun suku Lotud di Tuaran Mengahau pula, suatu majlis dibuat
besar-besaran sehingga memakan masa lima malam. Seekor kerbau, tiga ekor ayam
dan sekurang-kurangnya tujuh karung beras harus dikorbankan untuk makanan dan
sedekah bagi menjayakan majlis ini. Dalam bahasa mereka disebut sebagai Tatabor
kepada orang-orang yang mengaji termasuk tetamu khas. Upacara ini bertujuan
untuk menjamu semangat Gusi iaitu sejenis tempayan besar. Ia bertujuan untuk
memperingati keluarga yang telah meninggal dunia dengan harapan roh-roh si mati
mendapat rahmat. Berbagai-bagai acara diadakan sepanjang upacara Mengahau ini
termasuklah tarian Sumazau yang dipersembahkan pada malam keduanya.
2.4 Amalan Masyarakat Dusun
Setiap kaum di Malaysia mempunyai amalan yang menjadi kebiasaan bagi
kaum masing-masing. Kebiasaannya amalan ini dipengaruhi oleh kepercayaan dan
fahaman oleh yang diwarisi turun temurun. Ia juga di anggap sebagai pengenalan
bagi kaum tersebut. Kaum Dusun di Sabah mempunyai banyak amalan adat resam
dan tradisi yang diwarisi berasaskan fahaman dan agama adat "Pagan" kaum
Dusun. Profesor Madya Abu Hassan Sham (1987) melaporkan Profesor Dr. Mohd
Taib Osman menyatakan tradisi ialah suatu yang diwarisi daripada nenek moyang.
Antara ciri-ciri fahaman tradisi masyarakat Dusun yang dianggap baik ialah kaum ini
mempercayai adanya alam ghaib seperti Tuhan dan setiap perbuatan mempunyai
balasan baik buruknya. Bagi masyarakat Dusun, Tuhan ialah "Kinorohingan" dan
mempunyai kuasa tertinggi dari segala sesuatu. Tuhan tempat mereka
mengkomunikasi atau meminta sesuatu khususnya kesihatan, keselamatan dan
meminta perlindungan daripada sebarang penyakit serta kinorohingan dapat
menghalang pengaruh kuasa ghaib seperti syaitan atau "Roogon" dalam bahasa
Dusun. Ini jelas terbukti dalam upacara-upacara masyarakat Dusun, contohnya
apabila membuka tanah baru untuk pertanian, membina rumah dan masuk rumah
baru, mengubati orang sakit, upacara memulakan menuai padi dan sebagainya,
semuanya dimulai dengan mentera dan pemujaan kepada Kinorohingan. Menurut
Ismaily Bungsu(1988) kepercayaan kaum Dusun atau Kadazan tentang kinorohingan
ialah kinorohingan bersemayam di luar sebagai Tuhan dan dikaitkan dengan
beberapa lagenda khususnya hal-hal berkaitan dengan mentera pemujaan.
Masyarakat Dusun juga tahu dan yakin bahawa adanya syurga dan neraka di
akhirat nanti, yang mesti dialami oleh seseorang yang sudah mati. Bagi orang yang
beramal baik ketika hidup di dunia, mereka akan masuk ke syurga. Manakala orang
yang berbuat jahat pula ketika hidupnya di dunia akan masuk ke neraka. Masyarakat
Dusun percaya, bahawa Tuhan mereka satu sahaja, namanya Kinorohingan, dan
bersemayam di dunia lain. Walaupun tuhannya itu hanya satu, tetapi menurut
kepercayaan mereka, Kinorohingan itu mempunyai isteri yang bernama Yumun
atau umun,dan mempunyai dua orang anak lelaki, yang tua sekali bernama Logon.
Dalam pemujaan, Umun ini mempunyai mentera yang khusus.
Anak Kinorohingan yang sulung iaitu Logon, dikirim oleh Kinorohingan ke
dunia ini, untuk memimpin manusia ke jalan yang benar, dan membina dunia ini bagi
kesejahteraan manusia. Tetapi anak sulung Kinorohingan ini sudah mengingkari
perintah Kinorohingan. Logon berbuat jahat di dunia ini dan membantuk pengikutnya
untuk bertindak melaksanakan kejahatan kepada manusia dan menanamkan unsur-
unsur jahat dalam diri manusia. Untuk membetulkan keadaan yang buruk di dunia
akibat perbuatan Logon maka, Kinorohingan mengirim pula anaknya yang kedua.
Anak lelaki Kinorohingan yang kedua ini datang ke dunia bersama isterinya.
Anak ini segera menjalankan perintah ayahnya, tetapi disebabkan kerana
pengaruh abangnya sudah begitu kuat, dan pengikut serta pasukan Logon itu sudah
terlalu ramai, maka anak lelaki kedua Kinorohingan ini tidak terdaya lagi
menghapuskan kejahatan itu seluruhnya dalam diri manusia. Pertarungan ajaran
kebaikan dan pengaruh kejahatan inilah yang mempengaruhi hidup manusia di dunia
ini. Kelak jika mereka sudah mati, yang berbuat baik akan menerima balasan baik
iaitu masuk ke syurga, manakala yang berbuat jahat akan menerima balasan siksa
dan akan masuk ke neraka. Moral dan intisari pengajaran Kinorohingan ini ada
termaktub dalam mentera pemujaan masyarakat dusun.
Menurut kepercayaan masyarakat dusun, Kinorohingan ini hidup terus di
kayangan. Tapi dia tidak lagi mengirim anaknya yang lain datang ke dunia. Oleh itu
terserah kepada manusia untuk mentaati atau mengingkari perintahnya.
Sehubungan dengan kepercayaan ini juga, masyarakat Dusun terutama yang
dikaitkan dengan Pagan itu yakin, bahawa setiap orang yang mati rohnya akan pergi
ke Gunung kinabalu. Mereka menamakan gunung itu Aki Nabalu dan dalam mentera
banyak sekali ditemui dengan sebutan Nabalu sahaja. Aki ertinya nenek moyang.
Dan Nabalu ertinya tempat roh. Kelanjutan daripada keyakinan ini, ialah, roh yang
mati itu tidak menetap di Gunung Kinabalu. Sebab bila tiba masanya, roh itu akan
pergi ke tempat yang jauh, di seberang dunia untuk masuk ke syurga atau ke neraka.
Bagi roh yang masuk ke syurga, dia akan menikmati hidup senang seperti juga
kesenangan dalam dunia. Bagi roh yang masuk ke neraka, dia akan menerima
siksaan dan tidak dapat menikmati kesenangan.
Untuk mengatur rukun hidup dalam masyarakat masyarakat Dusun, mereka
dikawal oleh undang-undang adat. Setiap pelanggaran norma-norma hukum yang
berlaku dalam masyarakat, dijatuhi hukuman adat. Hukuman-hukuman ini perlu
untuk membentuk peribadi seseorang yang bersesuaian dengan adat-adat mereka.
Zaman dahulu, hukuman yang terberat ialah hukuman mati. Hukum yang
lebih ringan daripada itu, dikeluarkan daripada keluarga dan masyarakat sekitarnya
dan dibuang ke tempat lain tapi masih terikat dengan keluarga. Selain daripada itu,
inilah yang lazimnya terjadi iaitu dihukum membayar denda yang dinamakan sogit ,
sugit atau sagit. Sugitini banyak jenisnya, dan berbagai puncanya yang timbul dari
kesalahan seseorang dalam kehidupan sehari-hari. Umpamanya dalam aktiviti
Mintarom. manakala, orang yang menjadi hakim dan juri untuk menentukan
hukuman atas sesuatu pelanggaran undang-undang adat ini terdiri daripada orang
tua-tua yang diakui berwibawa sah dalam masyarakat di tempat masing-masing.
Penghakiman ini juga termasuklah hal-hal perkahwinan, perceraian, persemandaan,
pembahagian harta pusaka, pembahagian harta pencarian, menentukan kadar sogit
dan sebagainya.
Hukuman yang telah dijatuhkan tidak boleh diingkari. Pelaksanaan Sogit
dilakukan dalam upacara istiadat dihadiri oleh semua pihak yang berkaitan menurut
adat, lengkap dengan peralatannya.
2.5 Perayaan Masyarakat Dusun
Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai merupakan perayaan yang disambut
oleh masyarakat Dusun sebagai meraikan tuaian yang baik, tetapi Pesta Kaamatan
ini juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan biasanya
disambut sepanjang bulan Mei. Pesta ini dibuat sebagai tanda berakhirnya musim
menuai padi. Pesta ini diadakan di tempat tertentu seperti di padang awam. Upacara
yang diadakan pada pesta menuai ini antaranya ialah tarian sumazau dan
pertandigan unduk ngadau atau ratu cantik. Semasa pesta menuai ini diadakan,
petani datang beramai-ramai untuk menjual hasil tanaman mereka di tempat
perayaan atau di Tamu Besar. Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah
mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman tapai
"arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan. Penduduk
Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau
Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'. Kini, pesta menuai dirayakan oleh semua
kaum dan menjadi hari kebesaran negeri Sabah.
Upacara menyambut Pesta Keaamatan
2.6 Makanan Tradisional Masyarakat Dusun
Masyarakat Dusun terkenal dengan kegiatan mengusahakan ladang tanam-
tanaman. Jadi, mereka menjadikan Linapod sebagai bekalan sehingga ke dini hari.
Linapod ialah nasi yang ditumbuk dengan ubi keledek, kemudian dibungkus dengan
sejenis daun yang menambahkan aroma nasi. Linapod enak dimakan dengan sayur
tumis dan ikan kering. Nasinya daripada beras merah atau padi yang baru dituai. Kini
Linapod bukan sahaja dijadikan bekalan ke ladang, tetapi boleh didapati di majlis-
majlis perkahwinan.
Makanan Tradisional Masyarakat Dusun (Linapod)
Selain itu, hinava ginapan juga menjadi antara makanan tradisional yang
digemari oleh masyarakat Dusun. Makanan tradisional ini diperbuat daripada ikan
segar yang diperap dengan garam dan jus limau nipis. Makanan ini mementingkan
kesegaran serta kebersihan untuk mencapai keenakannya.
Makanan Tradisional Masyarakat Dusun (Hinava Ginapan)
Makanan tradisi lain yang terkenal ialah 'sambal' atau 'jeruk' atau lebih
dikenali sebagai ‘bosou’ atau ‘tonsom’. Kebiasaannya, bosou ini dikenali sebagai
'tinamba' oleh sekitar penduduk ranau. Bosou ini adalah daripada daging mentah,
kebiasaannya ikan sungai atau hasil buruan. Daging atau ikan mentah ini diperam
dengan nasi putih, garam, dan buah dinikmati kepayang sebagai pengawet, dan
disimpan di dalam bekas (biasanya daripada tajau kecil) dan ditutup rapat selama
seminggu atau sehingga betul-betul telah masak sebelum dapat dimakan. Asasnya,
masakan kaum dusun ini adalah makanan yang direbus sahaja. Kebanyakan
masyarakat Dusun menggemari sayur-sayuran segar sebagai hidangan yang
dinikmati bersama nasi putih.
Makanan Tradisional Masyarakat Dusun (Bosou)
2.7 Peraturan dan Adat Resam Masyarakat Dusun
Anggota masyarakat yang melakukan kesalahan melanggar adat resam akan
dikenakan hukuman denda atau ganti rugi. Ganti rugi ini akan diberikan kepada
keluarga mangsa. Antara ganti rugi yang dikenali dalam masyarakat Dusun ialah
sogit, babas dan kepanasan. Hukuman sogit dikenakan apabila seseorang
melakukan kesalahan merosakkan harta benda atau mencederakan seseorang.
Babas dikenakan jika seseorang melakukan pergaduhan. Manakala kepanasan pula
dikenakan apabila seseorang melakukan perbuatan sumbang dalam masyarakat.
Upacara membuang panas atau menebus kesalahan diadakan, dan pihak yang
bersalah akan menanggung segala perbelanjaan upacara tersebut. Tujuan hukuman
adalah untuk mengeratkan semula hubungan pihak yang berselisih faham tadi.
2.8 Agama dan Kepercayaan Masyarakat Dusun
Pada awalnya, masyarakat Dusun di Sabah mengamalkan kepercayaan
animisme. Kepercayaan ini diwarisi berasaskan fahaman dan adat "pagan" kaum.
Bagi masyarakat kadazan/dusun, mereka percaya kepaa Tuhan yang dinamakan
Kinorohingan yang bersemayam di dunia lain. Kinorohingan merupakan tuhan di
mana mereka meminta sesuatu seperti keselamatan dan perlindungan daripada
sebarang penyakit. Kinorohingan juga dapat menghalang pengaruh kuasa ghaib
seperti "Roogon" atau syaitan. Suku kaum ini juga percaya roh orang mati akan pergi
ke Gunung Kinabalu dan apabila tiba masanya roh itu akan pergi ke syurga atau
neraka. Oleh sebab itu, mereka menamakan gunung itu Aki Nabalu. Jampi
masyarakat Dusun banyak menyebut perkataan Nabalu. Orang Dusun/Kadazan juga
menyimpan tajau sebagai warisan pusaka turun-temurun. Di antara kegunaan tajau
ialah sebagai tempat menyimpan mayat untuk dikebumikan. Tajau seperti ini
kebanyakannya dibawa dari luar negeri.
Warisan Turun Temurun Masyarakat Dusun (Tajau)