View
249
Download
0
Category
Preview:
Citation preview
44
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Dinamika Hijrah Masyarakat Kedayan
Ros Aiza Mohd Mokhtar
Abd Hakim Mohad
ABSTRAK
Hijrah merupakan prinsip falsafah dan sosial yang penting kepada pembinaan sesebuah
peradaban. Hal ini kerana hijrah merupakan faktor yang mempengaruhi perjalanan
sejarah sesuatu masyarakat. Sejarah telah membuktikan bahawa kebanyakan tamadun
dunia bermula dari Sumeria hinggalah tamadun Barat diasaskan melalui hijrah.
Seseorang yang berada dalam lingkungan tempat tinggalnya, boleh menjadi statik atau
tidak berkembang dengan pesat. Dalam erti kata lain, hijrah merupakan gerakan dan
loncatan besar manusia dalam membangunkan peradaban dan masyarakat mereka. Hal
ini juga berlaku pada masyarakat Kedayan. Masyarakat tersebut asalnya tidak dikenali
sebagai Kedayan. Pandangan yang paling kuat mengatakan mereka dipercayai berasal
dari Tanah Jawa dan dikenali sebagai Kedayan setelah dibawa berhijrah ke Brunei dan
seterusnya mereka berhijrah pula ke Labuan, Sabah dan Sarawak. Makalah ini menyorot
dinamika hijrah yang mempengaruhi perkembangan sosial masyarakat Kedayan. Kajian
mendapati, penghijrahan masyarakat tersebut telah menyumbang kepada pelbagai
perkembangan positif terhadap masyarakat tersebut termasuklah pembentukan sebuah
etnik yang memiliki identiti dan budaya tersendiri.
Kata Kunci: budaya, hijrah, Kedayan
ABSTRACT
Migration is a philosophical and social principle, which is significant in the development
of a civilization. This is because migration is a factor that influences the historical journey
of a community. History has proven that a majority of world civilizations, as early as the
Sumerian civilization until the Western civilization, have developed through migration. It
should be noted that a person who resides in a particular dwelling place, could remain
static or not improve significantly. In other words, migration is the movement and huge
leap for human beings to advance their civilization and their society. This phenomenon
also applies to the Kedayan community. The Kedayan community was not identified as the
Kedayans initially. The most compelling view about the Kedayan community states that it
is believed they originated from Java and were known as Kedayans only after they
immigrated to Brunei; where later they expanded their migration to Labuan, Sabah and
Sarawak. Hence, this traces the dynamic of migration journey of this community. This
study discovers that the migration of this community has contributed to various positive
developments within the community, which includes the shaping of an ethnic group that
has their unique identity and culture.
Keywords: culture, migration, Kedayan
45
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Hijrah
Perkataan hijrah berasal dari perkataan Arab hajara yang bermaksud memutuskan
hubungan. Ibn Manz͎ūr dalam Lisān al-ʻ Arab, menjelaskan mengenai makna hijrah
sebagai al-Khuruj min Ard ila Ard yang bermaksud berpindah dari satu tempat ke tempat
lain. Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4 (2005) pula, hijrah bermaksud perpindahan Nabi
Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Manakala berhijrah pula bermaksud
berpindah, meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke tempat lain. Apabila
membincangkan persoalan hijrah, kita tidak dapat lari dari peristiwa hijrah Nabi
Muhammad SAW dan kepentingannya terhadap agama dan tamadun Islam. Peristiwa
hijrah tersebut penting kerana dua perkara iaitu menyelamatkan diri daripada ancaman
kaum Quraisy dan membina kehidupan dan suasana politik yang lebih baik untuk
kepentingan agama Islam itu sendiri (Mohd Mokhtar Shafie, 1990). Justeru itu,
perkembangan tamadun Islam juga boleh dikatakan bertitik-tolak daripada penghijrahan.
Malahan bukan perkembangan tamadun Islam sahaja yang dikaitkan dengan penghijrahan,
sebaliknya tamadun-tamadun besar dunia yang lain juga dapat dikaitkan dengan
penghijrahan seperti tamadun Sumeria, tamadun Amerika dan lain-lain. Dalam konteks
yang lebih kecil, hijrah juga menyumbang kepada perkembangan positif masyarakat
seperti masyarakat Kedayan.
Hijrah Masyarakat Kedayan
Hijrah yang berlaku dalam masyarakat Kedayan boleh dibahagikan kepada dua peringkat.
Peringkat pertama merupakan hijrah ke Brunei (terdapat empat pendapat atau pandangan
tentang asal usul dan penghijrahan Kedayan ke Brunei). Manakala, peringkat kedua pula
ialah hijrah ke Labuan, Sabah dan Sarawak.
Peringkat Pertama: Hijrah Ke Brunei
Terdapat empat pandangan tentang hijrah masyarakat Kedayan ke Brunei iaitu pertamanya
ialah masyarakat Kedayan berhijrah dari Jawa ke Brunei. Kedua, masyarakat Kedayan
berhijrah dari Banjarmasin ke Brunei. Ketiga, masyarakat Kedayan berhijrah dari Kutai,
Kerta Negara ke Brunei. Keempat, masyarakat Kedayan bukan berhijrah ke Brunei kerana
mereka adalah penduduk asal Brunei.
Pandangan pertama iaitu masyarakat Kedayan berasal dari Tanah Jawa dan
berhijrah ke Brunei merupakan pandangan yang paling popular. Hal ini dikaitkan dengan
beberapa cerita. Antaranya ialah cerita tentang Sultan Bolkiah (1485-1524) iaitu Sultan
Brunei ke-5 yang terkenal dengan gelaran ‘Nahkoda Ragam’ yang pernah membuat
pelayaran dan pengembaraan ke seluruh wilayah alam Melayu termasuk Pulau Jawa,
Sumatera, Kalimantan dan Filipina. Baginda telah melabuhkan kapal baginda di pelabuhan
Tanah Jawa setelah baginda mendengar bahawa Tanah Jawa merupakan negeri yang
makmur. Di Jawa, baginda melihat sawah-sawah padi dan pokok-pokok yang berbuah
subur. Baginda terpikat dengan keindahan panorama tersebut dan telah memutuskan untuk
membawa pulang beberapa orang petani Jawa untuk mewujudkan panorama yang sama di
Brunei. Rombongan baginda bersama beberapa orang petani Jawa telah mendarat di pasir
Jerudung dan kemudiannya petani-petani Jawa tersebut bersawah padi, menanam buah-
buahan dan sayur-sayuran di kawasan sekitarnya (P.M. Sharifuddin, 1970). Menurut P.M.
46
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Sharifuddin lagi, pendatang-pendatang baru ini telah membuka kedai-kedai runcit. Mereka
juga telah bertukar-tukar barangan dengan penduduk tempatan. Orang-orang tempatan
tidak mengenali pendatang tersebut lalu memanggil mereka Kadaian (pemilik kedai atau
kadai dalam sebutan orang Brunei). Perkara ini juga menurut P.M. Sharifuddin, telah
dicatat oleh Brown pada 1970 sebagaimana berikut “Fourteen Kadayan were brought from
Java by Sultan Bolkiah”.
Dalam kisah yang lain pula, diceritakan bahawa semasa Sultan Bolkiah dalam
perjalanan pulang dari satu lawatan ke Sulu, baginda telah singgah di Tanah Jawa untuk
menyabung ayam. Pasukan sultan menerima cabaran dari tuan rumah iaitu Raden Angsuka
Dewa Majapahit. Baginda Sultan dijanjikan sekiranya menang, lawannya Raden Angsuka
Dewa Majapahit harus menyerahkan seluruh pasukannya untuk bekerja sebagai pesawah
padi di Brunei. Pasukan Sultan Bolkiah telah menang dalam pertandingan sabung ayam
tersebut, lalu, beberapa orang Jawa telah dibawa balik ke Brunei dan mereka mendarat di
Jerudung (P.M. Sharifuddin, 1970).
Kisah yang lain oleh E. Parnell (1911) pula, ialah masyarakat Kedayan merupakan
keturunan pengiring (kodi-an) Datu Di Pati (dari Majapahit) yang pergi berburu mencari
kijang untuk bapanya yang baru sembuh daripada penyakitnya dan berkeinginan untuk
makan daging kijang. Namun dalam perburuan tersebut, mereka tersesat di kawasan negeri
Banjar. Setelah beberapa hari mengembara, mereka akhirnya sampai ke kawasan tanah
jajahan Brunei. Sebahagian daripada pengikut Datu Di Pati telah tinggal di kawasan
tersebut dan tidak mengikut Datu Di Pati meneruskan perjalanan menuju ke kawasan
pantai. Pengikut Datu Di Pati dan keturunan mereka yang tinggal di kawasan tanah jajahan
Brunei tersebut telah dikaitkan dengan keturunan Kedayan.
Pandangan kedua berkenaan penghijrahan orang Kedayan menyatakan bahawa
mereka berasal dari Banjarmasin dan berhijrah ke Brunei. Amde Sidek (2007) menyatakan
tentang kemungkinan etnik Kedayan berasal dari Banjarmasin. Hal ini kerana, semasa
pemerintahan Sultan Bolkiah (1485-1524), terdapat perdagangan tukar barang yang aktif
antara orang Brunei dengan pedagang daripada kawasan serantau, terutamanya dengan
orang Banjar. Salah satu sebab yang menjadikan hubungan orang Banjar dan Brunei akrab
ialah kerana jarak perjalanan mereka yang menggunakan kapal layar memaksa mereka
tinggal di sesebuah pelabuhan selama berbulan-bulan sebelum meneruskan perjalanan
mereka. Masa menunggu ini membolehkan mereka berinteraksi dan mempelajari bahasa
atau dialek, kebudayaan dan adat resam sesama mereka. Sebahagian orang Banjar yang
berdagang di Berunei dipercayai terus tinggal dan berniaga di Brunei lalu kemudiannya
dikenali sebagai Kedayan. Hal ini dapat diperhatikan dengan wujudnya lebih kurang 30%
persamaan antara bahasa yang dituturkan oleh orang Kedayan dan Banjar (Amde Sidik,
2007).
Selain daripada persamaan dari segi bahasa, terdapat juga persamaan dari segi
agama dan tradisi antara komuniti Kedayan dan Banjar. Menurut Amde Sidik (2007),
masyarakat Kedayan dan Banjar pada masa dahulu berusaha bersungguh-sungguh
menjadikan anak mereka imam masjid atau menguasai ilmu agama. Namun, dalam masa
yang sama, kedua-dua masyarakat ini masih percaya dengan ‘dunia semangat’ melalui
kisah orang halus (orang ghaib) serta kemampuan untuk berhubung dengan roh orang mati.
Walau bagaimanapun, komunikasi antara orang yang telah mati dan masih hidup ini
lazimnya berlaku melalui pengantara atau pengamal perubatan tradisi yang dipanggil
bomoh atau dukun. Orang tua kedua-dua komuniti tersebut pula lazimnya menghabiskan
masa lapang mereka dengan membicarakan tentang sihir dan perkara-perkara luar biasa.
Pandangan ketiga berkenaan penghijrahan orang Kedayan ialah mereka berasal dari
Kutai Kerta Negara dan berhijrah ke Brunei (Amde Sidik, 2007). Kutai Kerta Negara di
Kalimantan adalah sebuah kerajaan tertua Indonesia. Menurut Amde Sidek lagi,
47
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
sebagaimana interaksi yang berlaku antara orang Banjar dan Brunei, begitu jugalah
interaksi yang berlaku antara orang Kutai dan Brunei. Perkara yang menjadikan hubungan
orang Kutai dan Brunei akrab juga adalah sama dengan apa yang berlaku antara orang
Banjar dan Brunei iaitu mereka telah aktif berdagang semasa zaman Sultan Bolkiah. Hal
ini secara tidak langsung menyebabkan sebahagian mereka menetap di Brunei lalu
kemudiannya dipanggil Kedayan. Pandangan ini turut dikuatkan dengan adanya persamaan
dalam aspek agama dan pengamalan tradisi antara komuniti Kedayan dan Kutai.
Pandangan keempat berkenaan penempatan orang Kedayan di Brunei pula tidak
dikaitkan dengan penghijrahan kerana dipercayai bahawa orang Kedayan adalah penduduk
asal Brunei. Dalam hal ini, Julayhi Tani (1991), menyatakan bahawa nama Kedayan wujud
setelah kewujudan Sultan Brunei. Dalam erti kata yang lain, sebelum wujudnya
Kesultanan Brunei, tidak ada suku kaum di Brunei yang dikenali dengan nama Kedayan.
Penduduk Brunei yang terdiri daripada Melayu dan Kedayan dikenali sebagai Melayu
sahaja. Tetapi, disebabkan tempat tinggal mereka yang berasingan, wujud dua kelompok
yang berbeza. Satu kelompok tinggal di kawasan persisiran pantai dan kuala sungai, dan
menjadi nelayan. Manakala satu kelompok lagi mendiami kawasan pedalaman dan bekerja
sebagai petani dan pesawah. Menurut Julayhi Tani lagi, nama Kedayan wujud apabila
salah seorang daripada penduduk kawasan pedalaman yang bernama Saban dilantik
sebagai panglima oleh Sultan Brunei lalu mengetuai pasukan kesultanan Brunei yang
berperang menentang kesultanan Sulu. Sultan Brunei telah mengalami kekalahan dalam
peperangan tersebut, lalu, sebagai menebus kekalahan tersebut, pengikut-pengikut
Panglima Saban telah digadaikan kepada Sultan Sulu. Dengan itu, penduduk yang
mendiami kawasan pedalaman telah dipanggil “gadaian” oleh penduduk di kawasan
pinggir laut. Berdasarkan peristiwa tersebut, mereka dipanggil Kedayan oleh generasi
terkemudian.
Peringkat Kedua: Hijrah Keluar Daripada Brunei
Orang Kedayan merupakan antara penghijrah awal warga Brunei ke bahagian-bahagian
lain Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Labuan. Penghijrahan ini berlaku pada akhir abad
ke-17 dan awal ke-18 (Amde Sidik, 2007). Penempatan awal orang Kedayan di Sabah
ialah Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu dan Papar. Manakala, di Sarawak pula ialah
bahagian keempat dan kelima. Di samping itu, mereka juga mendiami Labuan. Semua
kawasan penempatan tersebut dahulunya merupakan kawasan yang berada di bawah
bidang kuasa kesultanan Brunei.
Faktor Penghijrahan Masyarakat Kedayan
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya penghijrahan masyarakat
Kedayan sama ada penghijrahan ke Brunei, mahupun penghijrahan keluar daripada Brunei.
Faktor penghijrahan masyarakat Kedayan ke Brunei amat berkait-rapat dengan tugas
mereka sebagai pengiring atau pengikut. Hal ini dapat diperhatikan dalam kisah Sultan
Bolkiah dan Raden Angsuka Dewa Majapahit yang terlibat dengan pertandingan sabung
ayam (P.M. Sharifuddin, 1970). Dalam kes ini, Raden Angsuka kalah dan harus
menyerahkan pengiring atau pengikutnya untuk dibawa pulang ke Brunei dan bekerja
sebagai pesawah padi oleh Sultan Bolkiah. Begitu juga halnya dengan kisah Datu Di Pati
(dari Majapahit) yang pergi berburu mencari kijang untuk bapanya yang baru sembuh
daripada penyakitnya (E. Parnell,1911). Dalam hal ini, penghijrahan orang Kedayan yang
48
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
dikaitkan dengan pengiring atau pengikut Datu Di Pati tersebut adalah kerana tugas
mereka sebagai pengiring tersebut.
Selain itu, penghijrahan masyarakat ini ke Brunei juga merujuk kepada pekerjaan
mereka sebagai petani dan pedagang. Hal ini dapat diperhatikan dengan sikap mereka yang
rajin bercucuk-tanam menyebabkan mereka dibawa oleh Sultan Bolkiah ke Brunei untuk
bercucuk-tanam P.M. Sharifuddin, 1970). Dalam hal yang lain pula, penghijrahan mereka
yang dipercayai daripada Banjar dan Kutai dikaitkan dengan pekerjaan mereka sebagai
pedagang yang akhirnya menetap di Brunei (Amde Sidik, 2007).
Manakala, penghijrahan masyarakat Kedayan keluar dari Brunei turut dikaitkan
dengan beberapa faktor. Antaranya ialah, menurut Awang Hanafi (2004), masyarakat
Kedayan berhijrah keluar daripada Brunei kerana tradisi hidup masyarakat tersebut yang
suka berpindah-randah dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam waktu yang
singkat. Perkara ini menurut beliau, dapat diperhatikan dalam Report on Brunei pada tahun
1904 yang menyebutkan “… the Kadayans are by nature a wandering tribe, who make no
long stay in any place..”. Faktor ini juga mempunyai kaitan dengan sistem pertanian
berpindah-pindah (shifting cultivation) yang diamalkan turun-temurun sejak zaman nenek
moyang mereka lagi.
Amde Sidik (2007) turut menjelaskan antara faktor utama penghijrahan masyarakat
Kedayan keluar daripada Brunei adalah sebab ekonomi sebagai petani, iaitu mereka harus
berpindah mencari tanah pertanian yang lebih subur. Sebahagiannya pula dipercayai
berpindah untuk mengelakkan diri daripada membayar cukai yang dikenakan oleh kerajaan
Brunei. Hal ini kerana menurut Amde Sidik, jika mereka tinggal di kawasan bercukai
seperti kawasan yang berdekatan dengan sungai dan pekan, mereka
dipertanggungjawabkan untuk membayar cukai. Cukai yang dikenakan pula adalah tinggi
dan di luar kemampuan mereka. Hal ini dapat diperhatikan melalui satu peristiwa iaitu
penduduk di Limbang telah membunuh dua orang pemungut cukai raja kerana mereka
telah dipaksa membayar cukai di luar kemampuan mereka. Peristiwa ini kemudiannya
telah mengakibatkan pemberontakan pada tahun 1884.
Penghijrahan masyarakat Kedayan keluar daripada Brunei juga dikaitkan dengan
kekalahan mereka dalam dua plot menentang Sultan Brunei. Peristiwa pertama ialah
semasa pemerintahan Sultan Abdul Mubin (1661-1673), di mana telah berlaku sengketa
antara Sultan Abdul Mubin dan adik baginda iaitu Pengiran Bongsu yang mencetuskan
perang saudara selama lebih kurang 12 tahun. Dalam sengketa dua keluarga Diraja
tersebut, sebahagian besar orang Kedayan dipaksa untuk berpihak kepada Pengiran
Bongsu yang akhirnya kalah dalam perang saudara tersebut. Akhirnya, mereka yang
berpihak kepada Pengiran Bongsu tersebut telah dituduh mengkhianati negara dan
kebanyakannya lari meninggalkan Brunei kerana bimbang dihukum (Amde Sidik, 2007).
Peristiwa kedua pula berlaku dalam tahun 1962, semasa pemberontakan menentang
Sultan Brunei yang diketuai oleh Sheikh A.M. Azahari. Pemberontakan ini turut
melibatkan wilayah Borneo dan diterajui oleh sayap ketenteraan Parti Rakyat Brunei yang
berpengkalan di Kalimantan dan disokong oleh Presiden Sukarno. Syeikh A.M. Azahari
yang merupakan ketua misi pemberontakan tersebut dikatakan lahir di Labuan dalam tahun
1928 dan berketurunan Arab. Semasa pendudukan British, beliau telah melanjutkan
pelajaran dalam bidang sains haiwan di Indonesia. Di Indonesia, beliau telah terlibat dalam
perjuangan kemerdekaan menentang Belanda. Beliau kemudiannya menceburi bidang
politik pada tahun 1956 dan bercita-cita untuk memulangkan Borneo Utara (Sabah) kepada
kedaulatan Brunei. Walau bagaimanapun, Azahari tidak mendapat sokongan yang cukup
daripada masyarakat melainkan beberapa tokoh terkemuka komuniti Kedayan. Kerajaan
Brunei dengan bantuan British pada masa itu dengan mudah mematahkan pemberontakan
tersebut. Kebanyakan yang terlibat dengan pemberontakan tersebut telah ditangkap dan
49
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
dipenjarakan termasuklah tokoh-tokoh terkemuka komuniti Kedayan seperti Affendi
Yassin, Zaini Ahmad dan Haji Muhammad Manggul (Amde Sidik, 2007).
Ringkasnya, penghijrahan orang Kedayan ke Brunei adalah kerana tugas mereka
sebagai pengiring dan bercucuk-tanam. Manakala penghijrahan mereka keluar daripada
Brunei adalah kerana mencari tanah yang subur untuk pertanian dan sebahagiannya pula
adalah kerana melarikan diri daripada penindasan seperti dikenakan cukai yang tinggi serta
melarikan diri daripada hukuman kerana plot penentangan mereka terhadap kesultanan
Brunei berjaya dipatahkan oleh kesultanan Brunei.
Impak Penghijrahan Terhadap Identiti Dan Budaya Masyarakat Kedayan
Penghijrahan masyarakat Kedayan telah memberi beberapa impak positif terhadap
masyarakat ini. Antaranya ialah kemunculan nama masyarakat ini sendiri iaitu Kedayan.
Selari dengan munculnya nama Kedayan, etnik ini berupaya membentuk identiti sendiri
iaitu beragama Islam, berbahasa Kedayan serta memiliki atau mengamalkan adat dan
budaya Kedayan.
Nama, Agama Dan Bahasa Kedayan
Perbincangan tentang penghijrahan masyarakat Kedayan serta faktor yang
mempengaruhinya sebelum ini telah menjelaskan bahawa nama “Kedayan” bagi
masyarakat ini dikatakan muncul setelah berlakunya penghijrahan sekumpulan manusia ke
Brunei dalam pelbagai versi cerita. Sekurang-kurangnya, nama “Kedayan” ini dapat
dikaitkan dengan tiga perkara iaitu pekerjaan orang yang berhijrah tersebut, status orang
yang berhijrah tersebut dan nama tempat mereka berhijrah.
Berkenaan nama “Kedayan” yang dipercayai berasal daripada “pekerjaan orang
yang berhijrah” tersebut adalah merujuk kepada dua perkataan iaitu “kodi-an” (pengikut
atau pengiring) Datu Di Pati yang pergi berburu dan tersesat sampai ke kawasan tanah
jajahan Brunei, berdasarkan penemuan oleh E. Parnell (1911) daripada cerita rakyat
Sarawak. Manakala perkataan seterusnya ialah “kedai atau kedaian” (kedaian bermaksud
pemilik kedai yang disebut sebagai kadaian oleh orang Brunei) yang merujuk kepada kisah
rombongan Sultan Bolkiah bersama beberapa orang petani Jawa yang telah mendarat di
pasir Jerudung dan kemudiannya membuka kedai-kedai runcit (P.M. Sharifuddin, 1970).
Berkenaan nama “Kedayan” yang dipercayai berasal daripada “status orang yang
berhijrah” tersebut pula merujuk kepada perkataan gadai atau gadaian. Hal ini merujuk
kepada kisah Putera Jawa yang kalah dalam pertandingan sabung ayam dengan Sultan
Brunei hingga menyebabkan pengiring atau pengikutnya tergadai lalu dibawa pulang ke
Brunei (P.M. Sharifuddin, 1970).
Manakala berkenaan nama “Kedayan” yang dipercayai berasal daripada “nama
tempat mereka berhijrah” pula kononnya merujuk kepada perkataan Sendayan. Hal ini
merujuk kepada kisah pengiring atau pengikut Datu Di Pati dari Majapahit yang tersesat
semasa memburu kijang hingga sampai ke Sungai Sadayan. Mereka kemudiannya terus
tinggal di tebing sungai Sendayan dan dipanggil sebagai orang Sendayan, Namun, lama-
kelamaan perkataan Sedayan telah berubah kepada Kedayan (E. Parnell, 1911).
Pengislaman masyarakat Kedayan juga dikaitkan dengan pengislaman kesultanan
Brunei yang berlaku setelah mereka berhijrah ke Brunei (Amde Sidik, 2007). Pengislaman
mereka juga turut menyebabkan perubahan dan pengubahsuaian dalam adat dan budaya
50
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
yang mereka warisi secara turun temurun seperti budaya padi dan Makan Tahun dan juga
Tarian Anding sebagaimana yang akan dibincangkan.
Dari segi bahasa pula, bahasa Kedayan sangat hampir dengan bahasa Melayu
Brunei, namun dari segi sebutan perkataan tertentu dalam bahasa Kedayan,
kebanyakannya dihilangkan huruf ‘r’ dan ditambah huruh ‘h’. Contohnya, perkataan
‘darat’ (bahasa Melayu Brunei) disebut ‘daat’ dalam bahasa Kedayan, manakala ‘ada’
(bahasa Melayu Brunei) disebut ‘hada’ dalam bahasa Kedayan (Awang Ahmad, 1978).
Dalam Kamus Kedayan-Melayu, Melayu-Kedayan (2006) ada menyatakan peratus
kekerabatan antara Bahasa Kedayan, Melayu dan Melayu Brunei. Peratus kekerabatan
Bahasa Kedayan dengan Bahasa Melayu adalah 80%, peratus kekerabatan Bahasa
Kedayan dengan Melayu Brunei adalah 94%, manakala kekerabatan Bahasa Melayu dan
Bahasa Melayu Brunei pula adalah 84%. Walaupun, terdapat persamaan Bahasa Kedayan
dengan Bahasa lain seperti Bahasa Banjar dan Kutai sebagaimana yang telah dijelaskan
sebelum ini, namun peratus persamaan antara Bahasa Kedayan dan Bahasa Banjar
hanyalah 30% sahaja, begitu juga dengan persamaan Bahasa Kedayan dan Bahasa Kutai
pun adalah 30%. Oleh itu, penghijrahan masyarakat Kedayan ke Brunei memberi pengaruh
yang besar terhadap identiti mereka iaitu nama, agama dan bahasa mereka.
Agama Islam Dan Pengubahsuaian Adat Masyarakat Kedayan
Keseluruhan masyarakat Kedayan adalah beragama Islam dan pengislaman mereka
berlaku di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei setelah penghijrahan mereka ke Brunei
(Sablee Bagol, 1994). Setelah memeluk Islam, mereka telah melakukan pengubahsuaian
sedikit demi sedikit terhadap adat dan budaya mereka yang tidak selari dengan ajaran
agama Islam yang mereka anuti. Antaranya ialah budaya padi dan Makan Tahun dan juga
Tarian Anding.
Budaya Padi Dan Makan Tahun
Pada peringkat awal, walaupun orang Kedayan mengamalkan cara hidup yang
berpandukan ajaran Islam, namun ada sebahagian daripada mereka yang mempercayai
perkara-perkara karut yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti petua, ritual dan
pantang larang. Ini juga ada kaitan dengan kehidupan masyarakat Kedayan sebagai
penanam padi (C. Sather, 1981). Kehidupan sosial dan spiritual masyarakat Kedayan
dahulunya berkisar dalam satu putaran tahunan pertanian padi. Putaran pertanian padi
tersebut melibatkan beberapa upacara amali yang berhubungan dengan ‘padi cult’. Dari
awal hingga akhir peringkat pertanian padi, anggota masyarakat Kedayan tidak sunyi
daripada tindakan mencari, membela, mengasuh, mengawal dan akhirnya merestui
kewujudan semangat padi bagi menghalau musuh padi yang dimanifestasikan dalam
tindakan akhir mereka iaitu upacara Makan Tahun (Julaihi Bujang, 1978). Peringkat
bercucuk tanam yang dimaksudkan adalah seperti pembukaan tanah baru, konsep
memucang-mucang (bergotong-royong), pengetaman padi, proses pemberasan (membuat
beras), upacara mengamping (membuat emping) dan Makan Tahun (Syawal Rajab, 1986).
Hal ini dilakukan bagi mengharapkan kebaikan dan hasil tanaman yang baik serta
mengelakkan daripada bencana atau mala petaka.
Pada peringkat pembukaan tanah baru misalnya, iaitu kira-kira sebulan sebelum
musim menanam, ketua kampung akan memanggil anak-anak buahnya. Mereka akan
melakukan “ujung kayu” atau juga disebut “menapakkan kaki” yang bertujuan untuk
51
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
memelihara tempat bercucuk-tanam tersebut. Hal ini turut dikaitkan dengan pengaruh
kepercayaan animisme. Setelah itu, barulah kerja-kerja menebas dilakukan dengan cara
bergotong-royong dan bersistem supaya tidak mencederakan kaki orang lain (Bekal bin
Puasa, temu bual pada 30 September 2012).
Di samping itu, mantera-mantera yang dibaca dalam setiap proses ‘budaya padi’
turut memanifestasikan elemen sinkretisme yang mengandungi perkataan Islam
sebagaimana mantera untuk semangat induk padi berikut:
Bismillah,
eh mana janjimu,
janjimu mamanuhi alam ajikiku,
alam ajikiku dalam karanganku,
cahaya kalimah Allah,
eh mana janjimu,
janjimu manjumpai,
Allah ajizikan ani yang dalam karangan,
cahaya kalimah Allah,
eh mana janjimu,
janjimu manumpat tumpat tumpati,
akan ajikiku ini,
akan ajikiku ini hanya kau ijinkan aku
inda kau batuhan selain Tuhan aku
inda kau beribu selamatkan ibumu.
(Sumber: Maulana Magiman, 2012)
Walau bagaimanapun, amalan memelihara tempat bercucuk-tanam dan bacaan-
bacaan mantera dalam setiap proses ‘budaya padi’ semakin ditinggalkan. Hal ini kerana
pupusnya kepercayaan tentang roh jahat yang akan mengganggu urusan penanaman padi
sekiranya roh tersebut tidak diurus dengan baik (Bekal bin Puasa, temu bual pada 30
September 2012).
Pada peringkat akhir ‘budaya padi’ pula akan diadakan pesta yang istimewa iaitu
Makan Tahun sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, roh nenek-moyang dan makhluk
mistik yang dipercayai boleh memberi manfaat di samping mengelakkan bencana (Julaihi
Bujang, 1978). Untuk memastikan tujuan tersebut tercapai, ritual haruslah dilakukan oleh
dukun (bomoh) dan ustaz (tok imam) yang dipercayai mempunyai kemahiran dalam
supernatural dan keagamaan. (Mohamad Maulana Magiman, 2012). Makan Tahun iaitu
majlis kenduri ini diadakan setahun sekali selepas selesai menuai padi (Awang Ahmad,
1978). Ritual Makan Tahun yang diamalkan oleh komuniti Kedayan juga berfungsi
sebagai alat penghubung antara dua alam iaitu alam nyata dan alam roh. Kedua-dua alam
ini dihubungkan oleh tahlil dan doa yang dilakukan ketika ritual Makan Tahun
berlangsung. Makan Tahun juga mempunyai ‘nilai ritual’ yang berjaya mengikat
keseluruhan ahli kumpulan yang seterusnya mampu bertindak sebagai pengukuh ikatan
sosial Kedayan. (Mohamad Suhaidi Salleh, 2012). Walau bagaimanapun, menurut P.M.
Sharifuddin (1970) perayaan Makan Tahun adalah sebagai tanda kesyukuran masyarakat
ini kepada Tuhan dan ‘semangat’ yang menjadikan tanaman mereka membuahkan hasil
yang baik. Ritual Makan Tahun juga menurutnya dikaitkan dengan mengenang ahli
keluarga yang telah meninggal terutamanya nenek moyang mereka dengan mengadakan
52
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
bacaan tahlil. Penglibatan semua ahli keluarga dalam sesebuah kampung dalam Makan
Tahun ini juga merupakan simbol penyatuan keluarga dan masyarakat Kedayan.
Makan Tahun memanifestasikan sinkretisme antara Islam dan budaya tradisi orang
Kedayan. Makan Tahun adalah majlis makan yang diadakan untuk semua penduduk
kampung sebagai tanda kesyukuran setelah mereka selesai memproses dan menyimpan
beras. Antara aktiviti penting Makan Tahun ialah menyediakan makanan tradisi yang
disebut ‘kalupis’ yang memerlukan seseorang yang memiliki ilmu tentang supernatural
untuk memulakan aktiviti memerah santan. Pada kelazimannya ia dimulakan dengan
membaca mantera tertentu supaya kalupis tersebut tidak cepat basi. Antara aktiviti yang
bermula pada malam hari adalah solat Hajat dan Ratib Saman (Sejenis zikir atau puji-
pujian kepada Allah yang lazimnya dilakukan secara berkumpulan dalam bentuk bulatan
dan setiap ahli mestilah dalam keadaan bersih. Zikir ini dipercayai diambil daripada
Syeikh Muhammad Saman daripada Tariqat Sammaniyah). Pada pagi harinya, solat Duha
akan didirikan, setelah itu pembacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat. Kemenyan turut
dibakar setelah selesai bacaan Yasin dan bacaan tahlil diteruskan sejurus selepas itu.
Setelah selesai berdoa, mereka menikmati jamuan makan (Mohamad Maulana Magiman,
2012). Elemen seperti percaya kepada kuasa supernatural dan Islam digabungkan dalam
aktiviti Makan Tahun. Simbol yang terkandung dalam Makan Tahun terbahagi kepada dua
iaitu elemen Islam (Ratib Saman, solat Duha, solat Hajat, bacaan surah Yasin, tahlil dan
doa selamat) dan elemen tradisi (kalupis, pakanan raja, kemenyan dan bomoh). Pakanan
raja adalah sejenis makanan istimewa yang dipercayai disediakan untuk raja atau untuk
diperkenan oleh raja iaitu lazimnya terdiri daripada pulut kuning, serunding kelapa dan
telur ayam. (Mohamad Maulana Magiman, 2012).
Walau bagaimanapun, majlis Makan Tahun yang ada sekarang contohnya di
kampung Luagan, Sindumin, Sipitang telah disesuaikan dengan ajaran Islam dan secara
tidak langsung telah menghilangkan elemen sinkretisme dalam majlis Makan Tahun
tersebut (Ros Aiza Mohd Mokhtar & Che Zarrina Sa’ari, 2016). Majlis Makan Tahun yang
diadakan di kampung Luagan lazimnya diadakan seminggu sebelum bulan Ramadan.
Tujuan Majlis Makan Tahun tersebut turut disesuaikan dengan ajaran Islam iaitu bertujuan
menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT sahaja di atas hasil tanaman padi mereka.
Majlis yang diadakan adalah berupa kenduri kesyukuran yang diadakan di surau Kampung
Luagan yang dihadiri oleh semua penduduk kampung. Penyediaan jamuan pula adalah
secara ‘pot luck’ iaitu setiap keluarga akan membawa makanan untuk dimakan bersama.
Kuih tradisional masyarakat ini iaitu kalupis turut disediakan secara persendirian oleh
penduduk kampung dan dibawa ke majlis tersebut. Majlis lazimnya dimulakan dengan
bacaan Yasin, tahlil serta doa selamat dan diakhiri dengan jamuan makan (Samrah Ag.
Damit, temu bual pada 8 Ogos 2013).
Tarian Anding
Pengubahsuaian juga berlaku terhadap fungsi tarian anding dalam masyarakat Kedayan.
Tarian Anding asalnya merupakan pemujaan terhadap kuasa ghaib. Nyanyian yang
mengiringi tarian tersebut merupakan suatu pembacaan mantera. Ia dipersembahkan untuk
tujuan perawatan atau mengubati orang sakit tenat yang tidak mampu diubati oleh dukun
atau bomoh. Sakit yang dimaksudkan adalah sakit akibat perbuatan makhluk halus.
Nyanyian pantun mengubat dalam Tarian Anding tersebut adalah sebagaimana berikut
(Sablee Bagol, 1994):
53
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Hi dangan hiyang-hiyangku dangan
Tuun tah kau, tuun tah kau daie kayangan
Datanglah untuk manjamu hidangan-hidangan
Hidangan yang talah kami sediakan.
La bapang jualah kami dahulu
Biarlah jati, jati jualah umah kami
Hii lah bapang, bapang jualah kami dahulu
Bang yang mati, ia mati tanggungan bumi.
La salasih, la salasih la pisang pawana
Daun ia hidup, jatinnya jati inda ia hidup
Mangasi-mangailah kau ia tawaakau
Owanglah mati, owanglah mati jua ianyaku hidup.
Kaduhung-kaduhung ia lompat karatang
Daun salupih di langit jatuhlah kecewa hu
Di langitlah sudah ngili, ngili aku talajuulah datang
Indaku mungki, indaku mungki, jiwa babuangku jiwa hu.
Bakas ku ngambil jua posing panawaa
Pargilah membawa inda lagi sabuting, nayi silalah
Sila aku membuka tawaaku tawas
Tawaaku ngili, tawaaku ngili jua tuun daie kepadaku Allah.
Apabila alat-alat muzik telah dimainkan dan bunyi telah bersatu, maka juru anding
pun membakar kemenyan sambil membaca mantera yang berbunyi:
Eh engkau mambangku si dewa dewi, tuuntah kau daie kayangan, untuk
manjamu, makanan yang ku sambah.
Teks pantun Tarian Anding di atas mempamerkan unsur-unsur sinkretisme iaitu
bomoh tersebut menyeru roh nenek moyangnya turun bagi membantunya mengubati
penyakit yang dideritai oleh pesakitnya. Di samping itu, roh nenek moyang tersebut turut
dijamu secara ghaib dengan pelbagai hidangan. Walau bagaimanapun, pantun mengubat
ini hampir pupus dan diubahsuai dengan nyanyian dan pantun Tarian Anding moden agar
tidak bercanggah dengan prinsip Tauhid (Ros Aiza Mohd Mokhtar, 2015). Contoh pantun
yang dibawakan oleh kumpulan Tarian Anding kampung Ulu Sipitang adalah sebagaimana
berikut (Kuntum Aspar, temu bual pada 29 September 2012):
Diang-diang diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Selamat datang kamilah ucapkan
Salam sejahtera andalah semua
Diang dangan kamilah sambahkan
Untuk hiburan andalah semua
54
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Diang-diang diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Jauh barjalan luas lah pandangan
Hingga sampai ka hujong lah taman
Partahankan adat dan katurunan
Warisan nenek zaman berzaman
Diang-diang diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Indah sungguh tarian kabudayaan
Malinggang linggok panuh lah barsopan
Diang dangan warisan Kadayan
Untuk ikutan janarasi hadapan
Diang-diang diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Diang o dangan diang da o dangan
Handak mengail si ikan lah lami
Dapat sa akor si ikan lah bantang
Sakian saja persambahan kami
Kumpulan anding Kadayan Ulu Sipitang
Fungsi tarian tersebut berubah sejajar dengan perubahan masyarakatnya yang
menerima ajaran Islam. Gerakan dalam Tarian Anding tradisi berasal daripada gerakan
ketika bomoh mengubat orang. Bomoh menari sambil mengibas-ngibas daun, justeru
menyebabkan gerakannya harus sentiasa membongkok. Pada masa sekarang gerakan
membongkok tersebut dikaitkan dengan makna simbolik iaitu menghormati pihak yang
dihiburkan (Kuntum Aspar, temu bual pada 29 September 2012). Menurut Kuntum lagi,
keseluruhan nyanyian Anding yang biasa dinyanyikan pada masa sekarang mempunyai 8
rangkap. Empat rangkap Anding, manakala empat rangkap lagi adalah pantun. Pantun ini
adalah sebagai memperkenalkan kebudayaan orang Kedayan iaitu Tarian Anding itu
sendiri dan fungsinya adalah sebagai tarian kebudayaan untuk hiburan semasa majlis-
majlis tertentu seperti sambutan hari Malaysia dan sebagainya. Walau bagaimanapun pada
zaman dahulu, nyanyian dan pantun tarian anding mempunyai pelbagai fungsi seperti
pantun menyindir dan pantun mengubat orang sakit.
Kesimpulan
Masyarakat Kedayan yang dahulunya tidak dikenali, mula muncul setelah mereka
berhijrah ke Brunei. Di sinilah lahirnya sebuah etnik yang membawa nama Kedayan,
55
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
menganut agama Islam, menuturkan bahasa Kedayan serta mengamalkan budaya Kedayan
yang disesuaikan dengan ajaran agama yang mereka anuti. Manakala penghijrahan ke
Labuan, Sabah dan Sarawak yang didorong oleh faktor ekonomi dan politik semasa
menunjukkan kesediaan masyarakat ini untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan
kehidupan masyarakatnya. Justeru, kedua-dua fasa hijrah yang dilalui oleh masyarakat ini
bolehlah dilihat sebagai satu perjalanan sejarah yang membentuk ciri, watak dan identiti
masyarakat Kedayan yang ada pada hari ini.
Penghargaan
Penulis merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Sabah yang telah
membiayai kajian ini melalui Peruntukan Skim Geran Penyelidikan Insentif PHD
(SGPHD) di bawah projek PHD0009-SSI-2016.
Rujukan
Amde Sidik. (2007). The Mystic Of Borneo. Kota Kinabalu: Borneo Publishers.
Awang Ahmad. (1978). Bahasa Kedayan Dalam Satu Penggolongan Dengan Bahasa
Melayu Brunei. Dewan Bahasa, Julai: 8-18.
Awang Hanafi Haji Salleh. (2004). Puak Kedayan Di Kampong Lamunin: Satu
Penyelidikan Awal Berdasarkan Sejarah Lisan. PUSAKA 11: 45-51.
Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. (2006). Kamus Kedayan-Melayu, Melayu-Kedayan.
Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan. Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Ibn Manz͎ūr, Jamāl al-Dīn Abū al-Fad͎l Muh͎ammad bin Mukarram. (t.t.) Lisān al-ʻ Arab.
Beirut.
Julaihi Bujang. (1978). “Organisasi Sosial Pertanian Etnik Kadayan, Sarawak.” Latihan
Ilmiah, Jabatan Antropologi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Selangor.
Julayhi Tani. (1991). Sosioekonomi Komuniti Kadayan: Satu Kajian Kes. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Maulana Magiman. (2012). Ritual ‘Makan Tahun’ Masyarakat Kedayan Di
Kampung Selanyau, Daerah Kecil Berkenu, Sarawak. Tesis PhD, Fakulti Sains
Sosial, Universiti Malaya.
Mohamad Suhaidi Salleh. (2012). “Praktik Budaya Dan Status: Kajian Kes Kedayan
Sarawak.” Makalah, Persidangan Agama Dan Masyarakat, Universiti Malaysia
Sabah, 31 Oktober - 1 November 2012.
Mohd Mokhtar Shafie. (1990). Sejarah Islam Abad Pertama. Kuala Lumpur: Nurin
Enterprise.
P. M. Sharifuddin. (1970). Makan Tahun: The Annual Feast Of The Kedayans. Brunei
Museum Journal 2(1): 61-66.
Parnell, E. (1911). The Names Kadayan, Dayak And Tanjong Datu. The Sarawak Museum
Journal: 150-151.
Ros Aiza Mohd Mokhtar & Che Zarrina Sa’ari. (2016). Sinkretisme Dalam Adat Tradisi
Masyarakat Islam. Jurnal Usuluddin 43: 69-90.
56
e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
SPECIAL ISSUE (2017)
Ros Aiza Mohd Mokhtar. (2015). Konsep Sinkretisme Menurut Perspektif Islam: Kajian
Terhadap Adat Dan Kepercayaan Masyarakat Kedayan. Tesis PhD, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Sablee Bagol. (1994). Adat Istiadat dan Kebudayaan Suku Kaum Kedayan: Satu Tinjauan
di Daerah Sipitang. Latihan Ilmiah, Universiti Pertanian Malaysia, Selangor,
Malaysia.
Sather, C. (1981). Socio Economic Survey Of A Kedayan Community At Kampung
Selanyau. Sarawak Gazette 7(2): 21-33.
Syawal Rajab. (1986). Budaya Tradisi Yang Hampir Pupus: Satu Analisa Sosial
Masyarakat Kedayan Daripada Sudut Kebudayaan Dan Ekonomi Pertanian. BERIGA
11, 10-28.
Temubual:
Bekal bin Puasa. Temu bual pada 30 September 2012. Kg. Sungai Bubus, Ulu Sipitang,
Sipitang.
Kuntum binti Aspar. Temu bual pada 29 September 2012. Kg. Pasir Putih, Ulu Sipitang,
Sipitang.
Samrah bin Hj. Ag. Damit. Temu bual pada 8 Ogos 2013. Kg. Luagan, Sindumin,
Sipitang.
Recommended