View
361
Download
9
Category
Preview:
DESCRIPTION
Kesusasteraab Melayu Tradisional
Citation preview
KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL
Kesusasteraan Tradisional merupakan himpunan karya-karya kesusasteraan dalam
semua bentuk yang terhasil sejak manusia wujud tetapi tidak melepasi zaman selepas
wujudnya mesin cetak. Kesusasteraan Tradisional muncul di kalangan masyarakat awal
yang masih lagi primitif dan mengamalkan kepercayaan animisme. Ada pendapat yang
mengatakan kemunculan tamadun awal manusia diiringi juga dengan kemunculan
budaya kesusasteraan ke dalam tamadun tersebut. Contohnya dengan munculnya
Tamadun Mesopotamia serentak dengan itu juga lahirlah karya-karya kesusasteraan
hasil daripada kemunculan tamadun Mesopotamia seperti Epik Gilgamesh. Oleh itu dari
segi sejarah, ternyata kesusasteraan telah muncul dan mewarnai kehidupan manusia
sejak sekian lama. Perjalanan masa yang begitu lama dan lampau itulah yang
menyebabkan apa sahaja hasil kesusasteraan yang ada pada masa dahulu disebut
tradisional. Selepas munculnya mesin cetak lebih kurang dalam tahun 1800, karya
kesusasteraan pun bertukar wajah daripada tradisional kepada moden.
Kesusasteraan Melayu Tradisional mempunyai ciri-ciri tersendiri yang terdiri daripada
lima aspek iaitu lisan, tulisan, kreatif, bukan kreatif dan estetik. Menurut Profesor Ismail
Hussein;
“kesusasteraan Melayu tradisional adalah semua gejala kesusasteraan yang berbentuk
lisan atau bertulis tetapi tidak bercetak. “
Berdasarkan pernyataan di atas, amat jelas kepada kita bahawa kesusasteraan Melayu
tradisional merupakan satu wacana yang luas dan terdiri daripada berbagai-bagai
bentuk dan sifat.
SASTERA LISAN
Ciri utama kesusasteraan Melayu tradisional adalah Lisan. Lisan dalam bahasa Arab
maknanya lidah atau kata-kata. Sastera lisan ialah hasil-hasil sastera Melayu lama
yang disampaikan secara lisan iaitu dipertuturkan. Sastera lisan merupakan hasil
sastera yang dimiliki oleh masyarakat Melayu, disebarkan dan dituturkan daripada satu
generasi ke satu generasi secara lisan.
Kesusasteraan lisan (tradisi lisan) lahir di kalangan masyarakat Melayu yang lazimnya
terdiri daripada kaum tani dan nelayan. Mereka ini tinggal di kawasan yang jauh di
pedalaman, desa-desa dan pinggir pantai. Pada waktu tersebut sistem tulisan belum
lagi muncul dan masyarakat lazimnya buta huruf. Pastilah juga dalam zaman tradisional
yang bermula dengan animisme itu, tidak ada buku, pen, kertas dan sebagainya yang
digunakan oleh sasterawan moden hari ini untuk menzahirkan karya mereka. Maka
hanya cara tradisional sahajalah yang digunakan oleh 'sasterawan-sasterawan' zaman
itu iaitu mengungkapkan karya mereka dengan cara percakapan atau penceritaan. Para
sasterawan zaman tradisional, oleh kerana tidak mempunyai alat tulis menurunkan pula
karya-karya mereka kepada anak cucu, saudara dan sahabat handai secara lisan agar
ciptaan mereka itu tidak hilang begitu sahaja.
Walaupun tidak menguasai sistem tulisan, daya kreativiti mereka dalam bidang
kesusasteraan tidak pula mati begitu sahaja. Sebaliknya ia dikembangkan melalui
pertuturan atau penceritaan secara lisan. Atas sebab itulah hasil-hasil keusasteraan
yang dicipta oleh kelompok ini disebut sebagai kesusasteraan lisan kerana
penyampaian cerita secara lisan. Kesusasteraan lisan dikenali juga sebagai
kesusasteraan rakyat.
Masyarakat Melayu yang menghasilkan sastera lisan masih bersifat tradisional,
ketinggalan dari segi teknologi, masyarakat yang masih mengamalkan sistem sosial
yang terikat dengan semangat kerjasama dan kolektif, masyarakat yang masih statik
serta tidak banyak hubungan dengan masyarakat luar.
Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa kesusasteraan Melayu tradisional itu disampaikan
secara lisan ataupun mediumnya adalah kata-kata ataupun pertuturan. Pada zaman
tradisional pastilah wujud manusia-manusia yang berbakat besar dalam bidang
kesusasteraan, yang mampu menghasilkan karya-karya prosa ataupun puisi.
Sastera lisan merupakan hak milik bersama (kepunyaan) Bangsa Melayu. Ia hidup
dalam masyarakat Melayu tradisional secara lisan atau secara dituturkan. Sebab itulah
sastera lisan ini tidak diketahui nama pengarang atau penulisnya. Juga tidak diketahui
bilakah ia dicipta. Sebagai sastera yang tersebar secara lisan sastera banyak
mengalami perubahan dan tokok-tambah serta penyesuaian. Tokok-tambah dan
penyesuaian dilakukan bagi menyesuaikan cerita tersebut dengan situasi setempat.
Perubahan masa dan zaman membawa perubahan kepada corak penyebaran secara
lisan. Pada masa kini, hasil-hasil sastera lisan telah dibukukan, yakni ditulis. Tradisi
lisan yang mencirikan karya-karya sastera lisan telah menerima perubahan kepada
bentuk bertulis.
Sungguhpun, masyarakat telah mengamalkan sistem tulisan, namun tradisi lisan tetap
hidup didalamnya. Sastera lisan tetap merupakan sastera lisan sekalipun telah menjadi
bahan tertulis.
Karya-karya sastera lisan yang telah dibukukan masih mengekalkan ciri-ciri
kelisannannya, malah mempunyai ciri-ciri tersendiri. Pada masa kini, kita boleh
membaca cerita-cerita rakyat ini melalui buku-buku yang dihasilkan dari kemajuan
media cetak.
Selain daripada itu sastera lisan ini juga dikenali sebagai sastera rakyat. Ciri-ciri sastera
rakyat adalah seperti yang sudah dijelaskan diatas. Selain daripada itu oleh sebab
kesusasteraan rakyat wujud dalam bentuk tokok-tambah oleh penutur dan
pendukungnya, karya tersebut sudah menjadi milik bersama masyarakatnya dan ia
secara tidak langsung juga menggambarkan segala pemikiran, perasaan, nilai dan
falsafah hidup masyarakatnya. Penyataan tersebut mungkin dilahirkan secara terus
terang atau secara tersirat.
Oleh sebab kesusasteraan rakyat wujud dan berkembang melalui media lisan, penutur
biasanya tidak berkesempatan menapis apa-apa yang dituturkan ketika berhadapan
dengan pendengar atau khalayak. Oleh itu, sifatnya cukup sederhana dan
seadanya,terlalu spontan dan kadangkala kelihatan kasar. Kesusasteraan rakyat juga
wujud dalam bentuk tradisi tekal. Misalnya, cerita Lipur Lara mempunyai struktur plot
yang sudah tetap seperti plot sebelum mengembara, semasa mengembara, sesudah
mengembaradan pengakhiran yang mengembirakan. Demikian juga cerita Sang Kancil,
biasanya mengandungi empat motifeme dalam struktur plot ceritanya. Cerita mitos pula
merupakan cerita tentang asal usul kepercayaan sesuatu masyarakat. Dengan itu,
klasifikasi kesusasteraan rakyat adalah berdasarkan formula dan pola yang tertentu.
Kesusasteraan rakyat juga bersifat pralogis, iaitu mempunyai logika yang tersendiri
yang mungkin tidak sesuai dengan logika umum. Oleh itu, pandangan dan tanggapan
masyarakat lain tidak penting kepada pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan
rakyat sesuatu masyarakat. Kesusasteraan rakyat juga mempunyai kegunaan dalam
kehidupan bersama sesuatu masyarakat.
FUNGSI SASTERA LISAN (RAKYAT)
Sastera lisan berfungsi sebagai “Alat” Hiburan dan “Alat” Mengajar dan Mendidik.
Hasil-hasil sastera lisan adalah bersifat didaktif iaitu mengandungi unsur pengajaran
dan pendidikan moral kepada masyarakat tradisi.Cerita-cerita lisan ini terselit nasihat,
pengajaran, teladan, yang sangat bergunasebagai panduan ke arah kesejahteraan
hidup masyarakat. Misalnya anak-anak dinasihati agar tidak mengamalkan sifat tamak,
takbur, sombong dan bongkak seperti mana yang terdapat pada sifat-sifat tertentu
binatang dalam cerita-cerita Binatang.
Melalui cerita-cerita seperti “Si Tanggang” anak-anak dididik agar tidak derhaka kepada
kedua orang tua kerana anak yang derhaka tidak akan selamat hidup di dunia dan
akhirat. Begitu juga dalam cerita-cerita roman,ditonjolkan sifat kesetiaan kepada
pemimpin, sikap dan amalan gotong-royong,kerjasama dan tolong menolong yang
banyak membawa manfaat dan keberkatan terutama dalam mengujudkan sebuah
masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Selain daripada itu sastera lisan juga berfungsi sebagai “Alat” Mengkritik. Cerita-cerita
lisan juga digunakan sebagai saluran untuk membuat kritikan atau sindiran terhadap
raja atau orang-orang bangsawan. Misalnya melalui cerita-cerita jenaka seperti cerita
Pak Kaduk,jelas menyindirkan golongan berkuasa (raja) yang bersikap zalim, tamak,
pentingkan kuasa dengan mengenepikan kesejahteraan hidup rakyat jelata.Juga
melalui cerita Pak Pandir,Lebai Malang, terselit unsur-unsur sindiran terhadap orang
yang tamak,kedekut,gilakan kuasa dan orang-orang yang sering mengambil
kesempatan atas diri orang yang lemah semata-mata untuk kepentingan nafsu dan
kekayaan diri sendiri.
Seterusnya sastera lisan sebagai “Alat” Perhubungan atau Komunikasi.Sastera
lisan,terutamanya hasil-hasil karya yang berbentuk puisi menjadi alat perhubungan
yang paling istimewa untuk menyampaikan hajat. Misalnya dalam adat perkahwinan,
orang-orang Melayu menggunakan pantun sewaktu berkomunikasi, antara wakil pihak
pengantin lelaki dengan pihak pengantin perempuan. Pantun digunakan sewaktu adat
merisik berlangsung adat meminang dan ketika majlis persandingan.
Akhir sekali fungsi sastera lisan adalah sebagai kata “Adat, Peraturan dan Pantang
larang”. Setengah kata-kata adat dan bidalan dianggap sebagai satu kemestian
undang-undang atau peraturan masyarakat yang perlu dipatuhi. Malah kata-kata
tersebut menjadi “pantang larang” dalam masyarakat.
JENIS SASTERA LISAN (RAKYAT)
Sastera lisan Melayu dapat dibahagikan kepada dua bentuk:
a. Sastera lisan berbentuk cerita (kisah atau naratif)
b. Sastera lisan berbentuk bukan cerita ( bukan kisah atau bukan naratif)
a) Sastera lisan berbentuk cerita (naratif)
Sastera lisan berbentuk cerita ini dikenali juga sebagai cerita rakyat atau cerita lisan. Ia
terdiri daripada cerita-cerita seperti berikut;
Cerita Lipur Lara (panglipur lara)
Cerita Jenaka
Cerita Binatang
Cerita Asal usul
Cerita Hantu
Cerita Teladan
Cerita-cerita mitos dan legenda.
b) Sastera lisan berbentuk bukan cerita (Bukan Kisah atau Bukan Naratif)
Sastera lisan berbentuk bukan cerita pula sebahagian besarnya berupa puisi,
antaranya;
Pantun
Gurindam
Seloka
Teka-teki dan Nyanyian Rakyat
Jampi, Mantera dan Serapah
Pepatah dan Perbilangan Adat
Ungkapan Berangkap
Peribahasa, Bidalan dan sebagainya.
Contoh:
Jenis Pengertian Karya dan Contoh
Cerita Binatang Dikenali juga sebagai cerita
mergastua. Cerita yang
mengambil binatang
sebagai pelaku. Binatang
diberikan sifat manusia
biasa, boleh bertindak,
bertutur, bertingkah laku
dan hidup bermasyarakat.
Fungsi berhibur kerana
mempunyai unsur-unsur lucu,
pengajaran dankritikan sosial.
Cerita terkenal ialah jenis
‘epik binatang’ iaitu Hikayat
Sang Kancil. Mempunyai
peranan tertentu dalam cerita
binatang Melayu.
Contohnya Kancil sebagai lambang dan kias rakyat supaya menggunakan otak,
kepintaran. Sang Kancil yang kecil dapat menewaskan binatang yang besar seperti
harimau, gajah dan buaya. Kepintaran sang kancil dapat juga dikalahkan oleh binatang
kecil iaitu siput dan agas. Ini memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu supaya
tidak sombong, angkuh dan tolong-menolong antara satu sama lain.
PERANAN SANG KANCIL DALAM CERITA BINATANG:-
Terdapat tiga peranan yang penting Sang Kancil di dalam cerita Binatang:
a. Sang Kancil mengalahkan binatang yang besar:
Sang Kancil membuat tipu-helah untuk melepaskan dirinya dari harimau.
Sang Kancil melepaskan kaki kerbau yang digigit buaya dengan
mengatakan yang digigitnya ialah kayu.
Sang Kancil menipu buaya untuk menyeberang sungai.
Sang Kancil menipu harimau menyuruh memakai tali pinggang Nabi
Sulaiman. Sebenarnya ialah ular.
Sang Kancil menipu harimau dengan menyuruh meniup buluh perindu Nabi
Sulaiman. Akhirnya lidah harimau tersepit dicelah batang-batang buluh yang
bergeser.
Sang Kancil dengan buaya.
Sang Kancil dengan anjing, sang Kancil kena jerat oleh manusia dan
menyatakan kepada anjing tidak hendak kahwin dengan anak gadisnya.
Sang Kancil menipu harimau dengan mengatakan tahi kerbau adalah
santapan Raja Nabi Sulaiman.
Sang Kancil menipu harimau menyuruh harimau memukul sarang tebuan.
Sarang tebuan itu ialah gong Nabi Sulaiman.
Contoh-contoh diatas menunjukkan Sang Kancil boleh menggunakan otaknya untuk
melepaskan diri dari ancaman binatang-binatang besar. Watak Kancil ini lambang dan
kiasan kepada rakyat jelata supaya menggunakan otak, fikiran dan kepintaran apabila
membuat sesuatu. Jika dilihat dari segi fizikal, manalah Kancil yang kecil dapat
mengalahkan binatang besar. Ini dapat menunjukkan betapa pintarnya Sang Kancil jika
dibandingkan manusia.
b. Sang Kancil memainkan peranan sebagai hakim:
Sang Kancil dapat menyelesaikan perkelahian antara seorang saudagar
dengan bapa kanak-kanak. Perbalahan ini berpunca dari kanak-kanak yang
menjadi sihat kerana tercium masakan si kaya.
Sang Kancil telah mendamaikan pergaduhan antara kambing dengan
harimau.
Sang Kancil telah menyelesaikan perbalahan seorang peminjam yang tidak
mahu mengembalikan beliung. Dikatakan beliung habis dimakan bubuk. Sang
Kancil telah melumurkan badannya dengan abu. Bila Nabi Sulaiman bertanya
kenapa begini, ia mengatakan sewaktu hendak mandi sungai terbakar.
Dengan itu badannya penuh abu. Nabi Sulaiman tidak percaya kata-kata si
peminjam yang mengatakan beliungnya dimakan bubuk.
Sang Kancil telah mendamaikan raja kera dengan raja gajah yang merebut
kuasa.
Sang kancil dapat menyelesaikan persengketaan dikalangan rakyat.
Dalam bahagian ini bentuk kritikan dan kias yang digunakan berdasarkan perbuatan
binatang. Tujuannya memberi kritikan kepada manusia supaya sedar akan kelemahan
yang sebenarnya. Mengapa pula binatang yang kecil dapat mengatasi perbalahan
manusia sedangkan manusia adalah kejadian yang paling istimewa daripada yang lain.
c. Sang Kancil dikalahkan oleh binatang kecil:
Sang Kancil berlawan lumba lari dengan siput.
Sang Kancil dikalahkan oleh agas.
Sang Kancil dengan bangau.
Ini adalah pengajaran moral kepada masyarakat. Seseorang itu walaupun mempunyai
fikiran yang bijak, cerdik tetapi janganlah berlagak sombong, lupa daratan, seperti
pepatah ‘Sepandai-pandai tupai melompat akhirnyajatuh jua’. Ini merupakan kritikan,
sindiran dan berupa kiasan kepada Kancil kepada mereka yang kaya dan tinggi diri.
Ada masanya sesekali akan tertipu juga.
CERITA PENGLIPUR LARA
Menurut Dr. Ismail Hamid dalam bukunya “Perkembangan Kesusasteraan Melayu
Lama”, ‘Penglipur’ membawa maksud penghibur, manakala ‘Lara’ pula bermaksud duka
atau kesedihan hati. Daripada cantuman dua kata ‘Penglipur’ dan ‘Lara’ membawa
pengertian cerita yang menghiburkan orang dalam kesedihan atau dukacita.
Cerita Penglipur lara dikenali juga sebagai ‘folklore’. R.O Winstedt menamakan
penglipur Lara sebagai roman rakyat (flok ramances). Cerita Penglipur Lara ialah cerita-
cerita roman yang mengandungi unsur “adventure”. Biasanya cerita berlegar di sekitar
golongan istana atau golongan-golongan putera-puteri, cerita raja dengan
segalagambaran keindahan, kemewahan, kesaktian serta kejadian-kejadian yang luar
biasa (“supernatural”).
Cerita Penglipur Lara terkenal di kalangan masyarakat Melayu kerana cerita-cerita ini
mempunyai keunikan dan keistemewaan yang tersendiri. Keunikkan itu jelas dilihat dari
segi ceritanya, penutur atau tukang cerita dan cara persembahan cerita tersebut.
Dalam masyarakat Minangkabau, cerita Pengliur Lara dikenali sebagai Kaba. Mengikut
kajian tukang-tukang cerita atau penutur cerita Penglipur Lara ini terdapat dua golongan
iaitu Tukang cerita “profesional” dan “amatur”. Cara penyampaian menggunakan
“kepakaran” mereka tersendiri. Contohnya dengan gaya dan lagunya tersendiri serta
diserikan lagi persembahan menggunakan alat-alat muzik yang serdahana seperti
rebab, biola dan sebagainya. Selain itu ada juga tukang cerita yang menyampaikan
cerita dalam bentuk prosa lirik.
CIRI-CIRI CERITAPENGLIPUR LARA
Cerita penglipur lara terbahagi kepada tiga bahagian. Dimana ciri-ciri ini dilihat dari segi
tema, malah cerita penglipur lara ini juga berpusat di kalangan putera-puteri Raja serta
cerita ini mempunyai ciri-ciri berbentuk prosa dengan selingan puisi.
a. Dari segi tema
Dalam keseluruhan cerita Penglipur lara ini bertemakan percintaan antara wira dengan
wirawati. Percintaan mereka ini dikaitkan dengan pengembaraan sang wira dalam
mencari pasangan mereka (wirawati) disebabkan oleh hal-hal yang tertentu. Dalam
masa pengembaraan inilah pelbagai persoalan yang timbul untuk mengembangkan lagi
suasana sesebuah cerita Penglipur lara dan dalam masa yang sama menarik minat
para pendengar untuk mengetahui kisah selanjutnya. Persoalan yang biasa diutarakan
ialah mengenai persoalan peperangan, kesaktian, kehebatan, kemewahan dan
kegagahan ditonjolkan dalam cerita Penglipur lara.
Halangan dan rintangan yang dihadapi oleh sang wira akandapat diatasi dengan mudah
dengan pertolongan benda-benda sakti atau senjata sakti seperti yang berlaku di dalam
cerita-cerita Penglipur lara. Selain daripada itu juga para wira sendiri juga memiliki
kesaktian dan kegagahan mereka tersendiri untuk mengatasi segala rintangan serta
halangan unutuk berjaya dan mencapai hajat wira. Penyelesaian cerita-cerita Penglipur
lara biasanya mereka hidup bahagia bersama wirawati (happy ending).
b. Cerita berpusat di kalangan putera-puteri raja
Perkembangan cerita-cerita Penglipur lara ini berkisar di sekitaristana yang
mengisahkan tentang wira dan wirawati dari kalangan putera-puteri raja. Latar cerita
yang di cipta kebanyakannya hidup dalam alam fantasi (khayalan), di mana dunia
kayangan digambarkan dengan dewa-dewi dan pari-pari yang dikatakan terletak di
langit. Dunia yang dihuni oleh manusia terletak di bumi. Disinijelas nyata dapat kita lihat
bahawa hubungan kedua-dua alam ini tiada batasannya.
Dalam cerita-cerita penglipur lara , keturunan raja-raja khasnya wira dan wirawati
dikaitkan asal usulnya dari keturunan dewa-dewi dari kayangan. Malah sering kita
jumpa dalam cerita Penglipur lara dimana wira mendapat bantuan atau kesaktian setiap
kali menghadapi musuhnya.
c. Bentuk prosa dengan selingan puisi
Keseluruhan cerita Pemnglipur lara disampaikan dalam bentuk prosa iaitu karangan
yang tidak berangkap, tetapi jika berhadapan dengan Penglipur lara itu sendiri, ia di
dengar seperti puisi kerana pencerita akan melagukan agar sedap di dengar serta
menarik minat pendengar.
FUNGSI-FUNGSI PENGLIPUR LARA
a. Berfungsi sebagai ‘alat’ hiburan
Cerita-cerita Penglipur lara memainkan peranan penting sebagai ‘alat’ hiburan bagi
masyarakat melayu tradisi, khasnya dikalangan rakyat jelata kerana isis ceritanya
mempunyai cerita yang indah-indah dan menyeronokkan dan ianya dapat memberi
suatu kepuasan yang menghiburkan. Isi cerita Penglipur larajuga dijadikan sebagai
suatau ‘perlarian’ bagi golongan rakyat jelata yang miskin dan hidup dikelingi
penderitaan kerana isis cerita Penglipur lara amat menonjolkan unsur-unsur
kemewahan yang indah. Dengan ini mereka dapat melarikan diri seketika daripada
kenyataan hidup yang sebenar.
b. Berfungsi sebagai alat pengajaran dan pendidikan moral
Cerita-cerita Penglipur lara kaya dengan unsur-unsur moral dan etika yang dapat
dicontohi oleh masyarakat. Nilai-nilai moral dan etika yang jelas dalam cerita Penglipur
lara ialah :
Sifat hormat kepada ibu bapa dan orang tua.
Wira dan wirawati tidak pernah menentang kehendak ayahanda bonda, walaupun
adakalanya perintah tersebut begitu sukar dan membahayakan, malah mereka akan
meminta izin terlebih dahulu daripada ayahanda bonda mereka sebelum keluar
mengembara.
Sifat tanggungjawab pemimpin (raja)
Dalam cerita Penglipur lara ini jelas tergambar tentang raja yang mempunyai
perasaan penuh tanggungjawab terhadap keluarga dan negerinya.
Sifat-sifat patriotik dan cintaka tanah air
Sifat ini jelas tergambar dalam episod peperangan. Raja, pembesar mahupun
rakyat jelata masing-masing tidak akan mudah menyerah kalah, berganding bahu
mempertahankan negeri mereka daripada serangan luar dan sanggup
mengorbankan nyawa mereka dengan berlawan bermati-matian hingga ke titisan
darah yang terakhir.
Hubungan harmoni dan mesra antara golongan raja dan rakyat
Kemersaan hubungan anatara golongan istana dengan rakyat jelata jelas tergambar
ketika upacara tertentu diadakan di istana, misalnya ketika malis perkahwinan dan
kenduri kendara di istana. Semua golongan rakyat datang beramai-ramai dari
berbagai lapisan masyarakat, kecil besar, tua dan muda. Ini jelas seperti yang
tergambar melalui petikan puisi di bawah;
“Yang capik datang bertongkat,
Yang buta datang berpimpin,
Yang pekak datang bertanya,
Yang kurap mengekor angin.”
Berbuat baik kepada ibu bapa dan kepada mereka yang tidak bernasib baik
Sifat ini jelas nyata terdapat dalam watak Si Kembang Cina atau Bujang Selamat.
Selain itu kedua-dua watak ini melambangkan kesetiaan dan watak-watak “pekerja”
yang bekerja dengan penuh dedikasi dan memberi sepenuh komitmen terhadap
tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Sifat berdikari dan mencari untung
Sifat ini selalu saja terdapat dalam watak wira dan wirawati di mana mereka akan
berdikari sehingga mereka berjaya mencapai apa yang dihajati. Selain itu wira dan
wirawati sendiri juga pandai mencari untung dalam apa jua yang mereka lakukan.
PERANAN CERITA PENGLIPUR LARA
Sering diperkatakan bahawa Penglipur lara adalah sebagai hiburan, pendidikan dan
menganggungkan raja. Oleh kerana tidak terdapat pendidikan secara formal dalam
masyarakat Melayu dahulu, maka cerita – cerita penglipur lara menjadi ruang untuk
mendidik anggota masyarakatnya dengan nilai-nilai moral yang baik. Perbuatan dan
sikap yang baik akan dapat ganjaran yang baik, manakala yang jahat akan tewas.
Sikap yang negatif seperti tidak bertanggungjawab akan membawa kesan yang buruk
dalam sesebuah keluarga dan masyarakat.
Watak Dan Perwatakan
Watak dan perwatakan dalam ceruta Penglipur lara ini terbahagi kepada tiga golongan
iaitu :
a. Watak Utama (Protagonis)
Watak ini dipegang oleh wira dan wirawati yang terdiri dari kalanagan anak-anak raja.
Watak utama diwarnakan dengan warna putih iaitu watak baik da mempunyai segala
kelebihan, keistemewaan dan keberanian yang tidak terdapat di kalangan kebanyakkan
orang. Peranan watak utama iaitu wira akan mengembara dengan tujuan yamg
tertentu. Disini jelas diperlihatkan wira akan menghadapi berbagai-bagai halangan,
rintangan, kesusahan dan sebagainya, tretepi semuanya akan berakhir dengan
kejayaan di atas kepintaran, kebijaksanaan dan kegagahan yang mereka miliki
b. Watak Pembantu
Biasanya watak ini terdiri dari kalangan rakyat biasa yang menjadi pembantu,
pengasuh, pengiring pada watak utama sam ada pada watak utama sama ada pada
watak wira atau watak wirawati seperti nenek kebayan, Kembang Cina dan bujang
selamat yang menjadi pembantu dalam tindak – tanduk watak utama.
c. Watak Jahat (Antagonis)
Gambaran mengenai watak jahat ini terdiri dari watak yang menjadi penghalang kepada
watak utaa dalam mencapai sesuatu tujuan dan sering menimbulkan masalah kepada
watak utama. Watak ini di anggap sebagai musuh jahat kerana sering menaruh niat
buruk , sering menimbulkan pergaduhan dan peperangan.
STRUKTUR ISI CERITA PENGLIPUR LARA
Cerita-cerita penglipur lara tiada banyak bezanya kalau kita lihat ianya terbahagi
kepada tiga bahagian. Dimana dalam cerita ini terdapat permulaan cerita, kemudian
bahagian pengembaraan. Dan dalam bahagian pengembaraan, disini kita dapati
sesebuah cerita itu terus berkembang kekemuncaknya serta bahagian akhir sekali ialah
penamat cerita. Manakala dalam bahagian akhir ini cerita akan mula menurun dan
berakhir dalam dua ketogeri samaada menemui kebahagian atau berakhir dengan
kesedihan. Di bawah ada diterangkan bagi setiap bahagian.
a. Bahagian awal:
Disini akan diceritakan tentang kisah sebelum pengembaraan wira. Bahagian awal
dimulakan dengan perkenalan tentang kelahiran wira, kehidupannya sewaktu kecil
disertakan dngan latar belakang kehidupan keluarga wira. Dalam bahagian ini juga
diceritakan tentang kejadian yang luar biasa berlaku semasa wira dilahirkan seperti
kelahiran wira yang disertai dengan hujan, ribut, kilat, petir, serta suasana alam yang
luar biasa. Kadang-kadang ada wira yang lahi dengan barang-barang yang ajaib serta
kesaktian.
b. Bahagian pengembaraan:
Seperti yang dinyatakan mula-mula tadi di mana, disinilah bermulanya perkembang
cerita sehingga menuju ke kemuncak cerita. Dalam cerita Penglipur lara ini diterangkan
sebab-sebab wira keluar dari istana dengan tujuan-tujuan yang tertentu. dalam
pengembaraan inilah wira menghadapi pelbagai halang dan rintangan seperti terpaksa
berlapar, tiada tempat tidur, merentasi hutan belantara dengan segala cabaran yang
menguji kesabaran serta kesusahan yang terlebih dahulu dideritai. Peperangan juga
berlaku di antara watak wira dan watak jahat yang untuk menghalang wira mencapai
hajat mereka dengan cepat. Di samping itu disisipkan juga unsur-unsur percintaan dan
perkahwinan wira dengan puteri-puteri raja negeri yang disinggahi.
c. Bahagian akhir:
Setelah berhempas pulas untuk mencapai apa yang dihajati, akhirnya wira pun
mencapai kejayaan. Sebaik saja hajat dan tujuan yang diharapkan telah berjaya
diperolehi wira pun kembali semula ke istana, membawa isteri atau isteri-isterinya dan
hidup aman bahagia dengan segala kebesaran dan kemegahan memerintah kerajaan
yang besar.
SASTERA TULISAN
Kesusasteraan tulisan (tradisi tulisan) muncul apabila orang Melayu mula menerima
pengaruh luar. Pengaruh luar yang awal menyerap ke dalam kebudayaan Melayu
adalah pengaruh India. Melalui kemasukan pengaruh India, orang Melayu
diperkenalkan dengan sistem tulisan. Walau bagaimanapun, sistem tulisan ini tidak
meluas dan akhirnya pupus.
Apabila masyarakat Melayu mula menerima pengaruh Islam, mereka telah menerima
juga bersama-sama sistem tulisan. Maka berlakulah satu perubahan besar dalam
penghasilan karya kesusasteraan iaitu peralihan daripada lisan kepada tulisan. Satu
perkara yang harus difahami dengan mendalam ialah kebolehan menulis lebih berpihak
kepada golongan bangsawan yang berdekatan dengan pihak istana. Sedangkan
golongan rakyat biasa masih kekal dengan kaedah lisan. Dengan itu lahirlah karya-
karya kesusasteraan yang berpusatkan istana. Karya-karya kesusasteraan ini ditulis
menggunakan tulisan jawi dan penciptaannya lebih kepada untuk memenuhi kehendak
golongan istana. Kedatangan agama Islam ke alam Melayu membuka satu lembaran
baru dalam kamus kesusasteraan Melayu. Agama Islam muncul bersama-sama dengan
sistem tulisan yang lengkap bersumberkan al-Quran sebagai kitab suci orang Islam.
Sistem tulisan Arab-Islam ini kemudiannya disesuaikan dengan sebutan dalam bahasa
Melayu. Orang Melayu kini mempunyai sistem tulisan yang dinamakan tulisan Jawi.
Tradisi tulisan lebih condong kepada istana menjadikan istana sebagai pusat
penyebaran ilmu pada masa itu. Di istanalah lahirnya tokoh-tokoh sasterawan Melayu
tradisional yang menghasilkan karya sama ada yang asli ataupun salinan semula
kerana pada masa itu mesin cetak belum wujud.
Antara tokoh tokoh yang lahir adalah:
a. TUN SRI LANANG
Nama sebenarnya ialah Tun Muhamad bin Tun Ahmad. Dilahirkan di Johor. Beliau ialah
keturunan Bendahara Melaka dan Johor. Hidup pada akhir abad ke-17. anak kepada
Paduka Temenggung Ahmad. Oleh sebab itu, beliau mempunyai pengetahuan yang
luas dalam sejarah pertuanan Melaka dan Johor. Kebolehan itu mendorong beliau
mengarang. Beliau menjadi Bendahara Johor pada zaman pemerintahan Sultan Abdul
Jalil (1570-1579). Tun Sri Lanang pernah membantu Raja Abdullah memerintah Johor
setelah Sultan Alauddin Riayat Syah tidak berminat memerintah. Raja Abdullah telah
meminta beliau yang bergelar Bendahara Paduka Raja mengarang buku Sejarah
Melayu pada tahun 1612.
Pada tahun 1613, beliau telah dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh.
Beliau menemui Syeikh Nurudin al-Raniri dan mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh
itu. Di Acheh juga beliau menyambung penulisan bukunya, ‘Buku Melayu’. Hal ini ada
tersebut dalam buku ‘Bustan al-Salatin’ karya Syeikh Nuruddin al-Raniri fasal 12 bab
11. Beliau sangat meminati kitab-kitab dan buku-buku pengetahuan. Karangan beliau
telah membolehkan kita mengetahui sejarah dan budaya bangsa kita pada hari ini.
b. HAMZAH FANSURI
Beliau sangat terkenal sebagai seorang pujangga Melayu-Islam dalam zaman
kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal
sebagai seorang penyair dan ahli suluk. Beliau pernah mengunjungi negeri Pahang,
Bentan, Jawa, Siam, Mekah dan Madinah. Beliau tidak jemu-jemu mempelajari segala
ilmu. Beliau juga mengembangkan ajaran-ajaran agama dengan dibantu oleh
Syamsuddin al-Sumatera-i. Namun begitu, ajaran-ajaran suluknya ditentang hebat oleh
Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dari Singkel.
Segala pendapat, ajaran, dan karangan Hamzah dikatakan membahayakan pengikut-
pengikut agama Islam. Akibatnya,Sultan Iskandar Thani memerintahkan kitab-kitab
karangan Hamzah dan Syamsuddin dibakar pada tahun1637. Hamzah Fansuri juga
terkenal sebagai seorang penyair yang menghasilkan karya yang mengandungi kias
ibarat, panduan hidup serta teladan kepada manusia.
Hal ini boleh dilihat dalam ‘Syair Perahu’. Beliau mengibaratkan kehidupan manusia
umpama sebuah perahu. Antara syair-syair beliau yang lain ialah ‘Syair Burung
Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai’. Manakala
karangan beliau yang lain ialah dua buah kitab iaitu’ Sarab al-Asyikin dan Asrar al-
Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk waI-Tauhid’. Hamzah terkenal dalam Kesusateraan
Melayu Tradisional sebagai orang yang memperkenalkan bentuk syair yang kita kenali
sekarang ini. Selain itu, beliau juga menjadi penyumbang utama dalam Sastera Kitab.
c. BUKHARI AL- JAUHARI
Beliau seorang pujangga Melayu. Hidup dalam kurun ke-17. Beliau berasal dari Johor,
tetapi menetap di Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota
Alam. Pada tahun 1603, beliau mengarang ‘Taj al-Salatin’ yang dikatakan berdasarkan
kepada beberapa buah kitab daripada bahasa Arab dan Parsi. Kitab ini mengandungi
falsafah kemanusiaan, khusus sebagai panduan kepada raja. Namun begitu, ‘Taj al-
Salatin’ sangat terkenal di Alam Melayu, dipelajari oleh bangsawan di Solo dan Jogja
serta diterjemahkan ke dalam bahasa Jawa dan Makasar. Kitab ini sangat tinggi
nilainya kerana pengaruhnya yang sangat begitu luas.
Sebagai seorang pengarang, tidak syak lagi bahawa beliau ialah penyumbang kepada
genre ketatanegaraan yang membolehkan kita mengetahui peraturan-peraturan yang
dipakai pada zaman dahulu untuk memerintah dan tugas serta tanggungjawab semua
pihak yang mendiami sesebuah negeri.
d. NURUDDIN AL-RANIRI
Nama sebenarnya ialah Syeikh Nuruddin bin Ali al-Raniri. Beliau berasal daripada
Render, berhampiran bandar Sirat dalam daerah Gujerat, India. Beliau pernah
mempelajari bahasa Melayu daripada seorang Jawa ketika berada di Mekah dan
mendalaminya daripada ajaran Tun Sri Lanang. Beliau seorang pengarang yang
banyak menghasilkan karya-karya dan memetik serta menterjemah karangan-karangan
daripada bahasa Arab dan Parsi. Beliau sangat disayangi Sultan Acheh. Atas perintah
Sultan Iskandar Thani, beliau mengarang ‘Bustan al-Salatin’ (Taman Raja-raja) pada
tahun 1638. Sebelum itu, beliau telah mengarang kitab al-Mustaqin (1628). Beliau juga
telah menterjemahkan ‘Kitab Syarah al-Akaid al-Nasafiya’ ke dalam bahasa Melayu
daripada bahasa Arab dengan namanya ‘Durrat al-Faraid Bisyarah al-Akaid’.
Beliau menentang hebat ilmu suluk yang dikembangkan oleh Hamzah Fansuri dan
Syamsuddin al-Sumatera-i. Untuk itu, beliau mengarang kitab ‘Tabyan fi Makrifat al-
Adyan’ (1664) yang mengandungi tentangan terhadap ajaran suluk itu. Ada beberapa
buah lagi kitab yang dikarangnya iaitu ‘Asrar al-Insan fi Makrifat al-Roh wal-Rahman’
(1640), ‘Kitab Akhbar al-Akhirat’(1642) dan ‘Jawahir al-Ulum fi Kasyf al-Maklum’ (1642).
Sebagai seorang ulamak yang disayangi sultan dan keluarganya, beliau mempunyai
pengaruh yang sangat besar di kalangan pemerintah sehingga penentangannya
terhadap Hamzah Fansuri dan Syamsuddin disokong sultan dan para pembesar
lainnya. Beliau merupakan penyumbang utama dalam bidang keagamaan dan juga
kitab ketatanegaraan. Sumbangan beliau memberikan pengetahuan, petunjuk dan
panduan kepada rakyat serta pemerintah.
e. SYEIKH DAUD AL-FATANI
Nama sebenar beliau Syeikh Daud ibn Abdullah. Lahir di Krisik, Patani, Selatan Thai
pada awal abad ke-18. Beliau pernah belajar selama 30 tahun di Mekah dan 5 tahun di
Madinah. Beliau terkenal sebagai ulamak yang banyak mengarang buku-buku agama di
samping berdakwah menerusi buku-buku karangannya di seluruh Alam Melayu.
Di samping itu,beliau mempunyai pengikut dan anak muridnya di seluruh Alam Melayu
termasuk raja-raja dan pembesar seperti Sultan Safuddin, Raja Sambas. Antara
karangan-karangan beliau yang terkenal ialah ‘Kifyatul Muhtaj’ (Hikayat Mikraj al-Nabi),
‘Al-Dhur al-Thamin’ (membicarakan tentang pengikut Islam), ‘Ghayatul takrib’
(membicarakan hukum faraid), ‘Minhaj al-Abidin’ dan ‘Furu al-Masa’il waUsul al-Masa’il.
Berpandukan hasil-hasil karya beliau, kita dapat menggolongkan Syeikh Daud sebagai
ulamak dan pengarang sastera kitab yang gigih dan berpengaruh di Alam Melayu.
f. RAJA ALI HAJI
Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau. Berketurunan pembesar Bugis. Datuknya
Raja Haji, seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777.
Manakala ayahnya Raja Ahmad ialah pembesar Riau yang pernah dihantar berunding
dengan Belanda di Jawa. Beliau pernah mengikut ayahnya menunaikan haji ke Mekah
dan menuntut ilmu ke sana. Sekembalinya ke Riau, beliau bertugas sebagai penasihat
dan guru kepada Raja Ali, Yamtuan Muda Johor ketika itu. Beliau terkenal sebagai ahli
bahasa dan menulis buku tatabahasa Melayu iaitu ‘Bustan al-Katibin’ (Taman
Pujangga) pada tahun 1857. Usaha beliau mendapat sanjungan kerana
penyusunannya membantu menambah buku tatabahasa Melayu. Beliau juga
mengarang sebuah kamus yang bernama ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ tetapi karyanya
yang paling terkenal ialah ‘Tuhfat al-Nafis’ yang dikarangnya pada tahun 1865 di Pulau
Penyengat, Riau yang menjadi pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.
Karya yang berbentuk Sastera Sejarah ini amat berbeza dengan karya yang sama
denganya. Sungguhpun masih terdapat mitos dan lagenda di dalamnya, tetapi tarikh-
tarikh telah diberikan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku, tidak seperti dalam
‘Sejarah Melayu’ dan ‘ Hikayat Raja-raja Pasai’.
Karya-karya beliau yang lain ialah ‘Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai, Syair Siti
Sianah, Gurindam Dua Belas dan Syair Sinar Gemala Mastika Alam’. Oleh itu, kita
boleh menganggap beliau sebagai seorang pengarang yang prolifik pada zamannya.
Beliau bukan sahaja menyumbang kepada bidang kesusasteraan tetapi juga sejarah
dan bahasa.
g. SYED MUHAMMAD BIN ZAINAL ABIDIN
Beliau terkenal dengan gelaran Tuk Ku Tuan Besar di Terengganu. Dilahirkn pada
tahun 1795. Mendapat pendidikan langsung daripada bapanya dan seorang guru
agama bernama Syeikh Abdul Kasir bin Abdul Rahim juga seorang ulamak dan mufti
zaman pemerintahan Sultan Baginda Omar di Bulat Bayas. Beliau juga pernah berguru
dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin juga ulamak terkenal dan guru
kepada Sultan zainal Abidin III. Seterusnya beliau pergi ke Mekah mempelajari ilmu
fiqh, usuluddin, tasawuf di samping ilmu bahasa dan ilmu sastera (ilmu balaghah, arud
dan qafiah). Hasilnya beliau sangat berminat dengan sastera.
Antara karya-karya beliau dalam bentuk puisi nazam ialah ‘Kanz al-Ula, Sirat al-
Nabawiyah, Jawahir al-Saniyyah, Al-Durrat al-Fakhirat dan Tahliyat al-Wildan. Beliau
juga menghasilkan beberapa karya tentang akidah dan fiqh. Beliau merupakan ahli
agama dan sastera yang terkenal di Pantai Timur Semenanjung Malaysia suatu ketika
dulu.
h. SYEIKH AHMAD BIN MUHAMMAD ZAIN AL-FATANI
Nama sebenar beliau ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa. Lahir di
Patani dalam tahun 1856. Mendapat pendidikan agama di tempat kelahirannya di
Mekah dan di Mesir. Beliau bukan sahaja mempelajari ilmu usuluddin, fiqh, tauhid,
hadis, tafsir, nahu dan saraf malahan sangat cenderung kepada mata pelajaran sains
dan sastera.
Di samping itu, beliau meminati ilmu perubatan. Beliau telah menghasilkan beberapa
buah karya dalam beberapa bidang ilmu. Hasil tulisannya terdapat 10 buah buku dalam
bahasa Melayu dan 13 buah buku dalam bahasa Arab. Karangan-karangannya meliputi
bidang-bidang usuluddin, fiqh, tasawuf, sejarah, sains, bahasa, sastera dan perubatan.
Peluang bertugas di pencetakkan semasa di Mekah dan di Mesir membolehkannya
mengarang kitab dan menerbitkannya. Antara karangan beliau yang terkemuka ialah
‘Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin’ yang memuatkan segala bidang ilmu. Oleh itu,
beliau dapat dianggap sebagai tokoh pengarang yang serba boleh dalam
Kesusasteraan Melayu Tradisional.
KREATIF
Pada dasarnya karya kesusasteraan kreatif itu bermaksud karya-karya prosa dan puisi
naratif dan bukan naratif. Oleh itu novel, cerpen, sajak, drama, prosa tradisional dan
puisi tradisional merupakan kesusasteraan kreatif.
a. Prosa Melayu Tradisional
Prosa boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk karangan yang panjang. Prosa tidak
terbatas kepada cerita (naratif) sahaja tetapi termasuk juga karya-karya yang bukan
cerita (bukan naratif/non-naratif). Oleh itu, karya-karya kesusasteraan Melayu yang
panjang sama ada lisan atau tulisan dikelompokkan sebagai prosa. Syarat utama ia
boleh dikatakan sebagai kesusasteraan Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu
sebagai alat penyampaian dalam karya-karya tersebut merangkumi seluruh nusantara.
Prosa Melayu tradisional berbentuk lisan dikenali juga sebagai sastera rakyat. Prosa
tradisional dalam kesusasteraan Melayu boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :
1. Naratif
2. Bukan naratif
Prosa tradisional berbentuk naratif itu boleh dibahagikan pula kepada dua pecahan lagi
iaitu naratif lisan dan naratif tulisan. Naratif lisan pula boleh dipecahkan lagi kepada tiga
genre yang utama iaitu:
1. Mitos
2. Legenda
3. Cerita rakyat
* Cerita rakyat terangkum di dalamnya beberapa jenis cerita lagi seperti cerita binatang,
cerita jenaka, cerita Lipur Lara dan cerita teladan.
Sementara itu naratif tulisan terbahagi kepada lima genre iaitu:
1. Sastera sejarah
2. Sastera hikayat
3. Sastera sastera panji
4. Sastera kepahlawanan / epik
5. Sastera agama
Prosa tradisional bukan naratif terdiri daripada empat genre iaitu :
1. Sastera undang-undang
2. Sastera kitab
3. Sastera ketatanegaraan
4. Kepustakaan ilmu tradisional
b. Puisi Melayu Tradisional
Puisi merupakan kata pinjaman dari bahasa Indonesia yang digunakan secara meluas
di Malaysia. Puisi adalah satu bentuk karangan berangkap yang terikat dengan
peraturan sesuatu jenis puisi itu. Bahasa puisi adalah terhad dan padat tetapi makna
yang cuba disampaikan adalah mendalam. Puisi mengungkapkan sesuatu yang abstrak
kepada yang nyata.
Puisi Melayu tradisional juga boleh dibahagikan kepada dua pecahan iaitu:
1. Naratif
2. Bukan naratif
Puisi Melayu tradisional yang berbentuk naratif terdiri daripada genre Syair sahaja.
Manakala yang bukan naratif ialah :
1. Pantun
2. Gurindam
3. Endoi
4. Rejang
5. Dikir/Zikir
6. Rubai
7. Nazam
8. Masnawi
9. Ghazal
10. Berzanji
11. Qit'ah
12. Seloka
13. Teromba
14. Talibun
15. Peribahasa berangkap
16. Mantera
BUKAN KREATIF
Karya kesusasteraan bukan kreatif adalah karya-karya seperti esei, rencana dan
sebagainya
ESTETIK
Estetik merujuk kepada keindahan hasil-hasil kesusasteraan yang dicipta oleh
seseorang penulis.
KESIMPULAN
Semua hasil karya ini sama ada lisan atau bertulis merupakan satu dokumen penting
yang merakamkan segala perihal kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Ia adalah
himpunan daya kreativiti masyarakat Melayu tradisional yang menyerlahkan daya fikir,
akal budi, sentuhan jiwa, cita rasa, jati diri dan kebijaksanaan masyarakat Melayu
(Mutiara Sastera Melayu Tradisional 2003:xiv).
Sebagai kesimpulannya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Harun Mat Piah
kesusasteraan Melayu tradisional merujuk kepada karya yang mempunyai ciri-ciri
seperti :
1. Bersifat kolektif dan dianggap sebagai milik bersama masyarakat
2. Hasil karya bersifat feudal
3. Karya yang terbatas pencipta dan khalayak
4. Dihasilkan sebelum 1800.
5. Bersifat fungsional
6. Pelbagai genre
7. Perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional tidak dibatasi oleh zaman, tarikh
dan waktu.
8. Gaya bahasa berbeza daripada gaya bahasa kini
9. Hasil karya mempunyai nilai tersendiri kepada masyarakat yang mewarisinya.
10. Bentuk dan cirinya menjadi tradisi yang mantap
11. Persoalan yang dibawa oleh karya tersebut mempunyai struktur formal yang terikat.
12. Hasil karya yang bersifat statis kerana tidak memperlihatkan keragaman tema
dalam sesuatu genre
Rujukan
http://mimbarkata.blogspot.com/2012/09/kesusasteraan-melayu-tradisional.html
http://www.mykedah2.com/10heritage/106_5_p3.htm
http://smsotutong.tripod.com/sastera_melayu/id3.html
http://sasterasmso.tripod.com/id1.html
Recommended