View
86
Download
10
Category
Preview:
Citation preview
Disediakan oleh:
CAWANGAN KONTRAK & UKUR BAHAN
JABATAN KERJA RAYA
2015
PANDUAN RINGKAS
PERUBAHAN KERJA BAGI KONTRAK REKA DAN BINA
Prakata
Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya maka
Panduan Ringkas Bagi Perubahan Kerja Kontrak Reka Dan Bina ini telah
dapat disiapkan.
Panduan ringkas ini disediakan bertujuan untuk mengatasi permasalahan
kontrak yang sering berlaku disebabkan pemahaman tentang perubahan
kerja dalam kontrak reka dan bina adalah kurang jelas. Demi untuk
memberi kefahaman berkaitan perubahan kerja dalam syarat-syarat PWD
Form DB (Rev.1/2010), dan juga mengenalpasti bentuk-bentuk perubahan
kerja yang lazim berlaku dalam kontrak reka dan bina, maka adalah wajar
panduan ringkas dihasilkan. Di samping itu, Panduan Ringkas ini juga
merupakan salah satu inisiatif CKUB di bawah Enterprise Risk
Management.
Panduan ringkas ini mengandungi penjelasan terperinci situasi lazim yang
melibatkan perubahan kerja dan tindakan yang perlu diambil oleh
Pengarah Projek dalam memberi pertimbangan terhadap perkara tersebut.
Ia juga memberi panduan kepada Pengarah Projek dalam membuat
keputusan.
Panduan Ringkas ini diwujudkan buat pertama kalinya di CKUB dan
diharap kandungannya berguna dan dapat membantu kakitangan JKR
yang terlibat dalam pelaksanaan projek reka dan bina mengurus dengan
lebih baik dan berkesan.
Penglibatan Penasihat Undang-undang Kementerian Kerja Raya dalam
penyediaan Panduan Ringkas ini amatlah dihargai dan diucapkan ribuan
terima kasih.
Akhir kata kami ingin merakamkan penghargaan kami kepada Sr Fadzilah
Abdul Samad, Pengarah Kanan, Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, Sr
Abdul Shukor bin Ibrahim, Pengarah Pengurusan Projek dan Sr Rozita
Yahya, Pengarah Khidmat Pakar dan Pengurusan di atas dorongan
mereka bagi menghasilkan panduan ini.
Pihak kami menerima dengan hati yang terbuka ke atas sebarang
pandangan dan ulasan yang membina terhadap Panduan Ringkas ini.
Bahagian Dasar dan Kontrak,
Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan,
Ibu Pejabat JKR Malaysia.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
1
PANDUAN RINGKAS BERKAITAN PERUBAHAN
KERJA BAGI KONTRAK REKA DAN BINA
1.0 PENDAHULUAN
1.1. Kontrak Reka dan Bina merupakan kontrak satu titik tanggungan
dan berdasarkan harga kontrak pukal. Dalam hal ini menurut klausa
14 syarat-syarat kontrak PWD Form DB (Rev.1/2010), kontraktor
hendaklah antara lainnya bertanggung jawab sepenuhnya terhadap
cadangan reka bentuknya dan menjamin reka bentuknya itu
berserta dengan bahan-bahan binaan, mutu pembinaan Kerja
mematuhi Kehendak Kerajaan dan adalah juga sesuai dan
memenuhi tujuan kontrak (fit for purpose). Kontraktor juga
dikehendaki untuk menjamin bahawa reka bentuknya itu adalah
bebas daripada kecacatan.
1.2. Oleh yang demikian, tujuan utama sesuatu projek reka dan bina
adalah untuk kontraktor mereka bentuk serta membina sebuah
projek yang sesuai dengan keperluan Kerajaan. Segala
ketidakcukupan serta ketidaksempurnaan dalam sesuatu reka
bentuk atau binaan sebenarnya merupakan tanggungjawab
kontraktor itu sendiri.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
2
1.3. Namun begitu, apabila terdapat pengubahan kepada Kehendak
Kerajaan ataupun Cadangan Reka Bentuk Kontraktor, pihak yang
melaksanakan projek seringkali mendapati sukar untuk
mengenalpasti dan menentukan sama ada ia adalah sesuatu
perubahan kerja yang boleh dituntut oleh kontraktor sebagai kos
tambahan ataupun yang perlu ditolak daripada Harga Kontrak.
2.0 TUJUAN
Selaras dengan premis di atas, panduan ringkas ini bertujuan untuk
membantu dan memudahkan pihak yang melaksanakan projek bagi
mengenal pasti bentuk-bentuk perubahan kerja yang lazim berlaku
dalam kontrak reka dan bina dan sama ada perubahan kerja yang
akan dilaksanakan melibatkan tambahan kos yang boleh dituntut
oleh kontraktor atau kurangan kos yang perlu ditolak daripada Harga
Kontrak.
3.0 PRINSIP-PRINSIP ASAS KONTRAK REKA DAN BINA
3.1. Menurut nas-nas perundangan yang diputuskan di Mahkamah,
sebelum kontraktor dapat dibayar harga pukal kontrak sepenuhnya,
ia perlulah melaksanakan keseluruhan tanggung jawab kontraknya
terlebih dahulu. Sebaliknya sekiranya kontraktor tidak dapat
dan/atau gagal menyiapkan keseluruhan tanggung jawab
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
3
kontraknya, maka kontraktor tidak boleh dibayar harga kontrak pukal
sepenuhnya. Dalam hal ini sekiranya kontraktor hanya berjaya
menyiapkan sebahagian besar daripada keseluruhan Kerja dan
masih terdapat baki kerja yang masih belum disempurnakan yang
menyebabkan kontraktor telah memungkiri kontrak, maka Pengarah
Projek (P.P.) boleh melantik kontraktor yang berasingan untuk
melaksanakan kerja menurut peruntukan kontrak atau untuk
membaiki kecacatan, maka tolakan hendaklah dibuat daripada
Harga Kontrak berdasarkan perbelanjaan sebenar yang ditanggung
oleh Kerajaan dan dicampur caj ke atas kos sebanyak 5%.
3.2. Sekiranya kontraktor menjalankan kerja-kerja pembinaan melebihi
tanggung jawab kontraknya dan kerja-kerja tersebut diminta oleh
Kerajaan, maka kontraktor hendaklah dibayar dengan tambahan kos
sebagaimana wajarnya. Walau bagaimanapun P.P perlu
memastikan segala peraturan berkaitan dengan kelulusan
perubahan kerja berdasarkan peraturan/pekeliling semasa Jabatan
dipatuhi.
4.0 PERUNTUKAN DALAM BORANG SYARAT-SYARAT KONTRAK
PWD FORM DB (Rev.1/2010)
4.1 Merujuk kepada klausa 1.1(t) syarat-syarat PWD Form DB
(Rev.1/2010), Kerja bermaksud sebagaimana dalam Kehendak
Kerajaan dan juga Cadangan Reka Bentuk Kontraktor dan
merangkumi kerja kekal dan sementara. Dalam hal ini kontraktor
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
4
hendaklah melaksanakan tanggung jawab kontrak dengan
sepenuhnya berdasarkan kepada terma-terma kontrak yang
terkandung dalam dokumen kontrak. Dokumen kontrak hendaklah
merangkumi antaranya syarat-syarat kontrak, lampiran kepada
syarat-syarat kontrak, kehendak kerajaan, Cadangan Reka Bentuk
Kontraktor, laporan ketidakpatuhan (non-compliance report – NCR)
yang telah dipersetujui untuk dipatuhi oleh kontraktor, spesifikasi dan
lain-lain sebagaimana yang ditakrifkan di bawah klausa 1.1(b) syarat-
syarat kontrak PWD Form DB (Rev.1/2010).
4.2 Sehubungan dengan itu dalam mana-mana kerja yang telah
dijalankan yang didapati menyimpang daripada dokumen kontrak
bolehlah ditakrifkan sebagai perubahan kerja (Variation Order – V.O.)
tetapi bayarannya adalah tertakluk kepada terma-terma di dalam
kontrak.
4.3 Kedudukan peruntukan undang-undang ini juga boleh dilihat melalui
peruntukan kontrak. Menurut klausa 2 syarat-syarat kontrak PWD
Form DB (Rev.1/2010), sebagai balasan untuk menjalankan
tanggung jawab kontraknya, kontraktor hendaklah dibayar harga
kontrak pada masa dan mengikut cara yang ditetapkan di dalam
kontrak.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
5
4.4 Sehubungan dengan itu untuk membayar harga kontrak pukal
sebagaimana klausa 2 di atas, rujukan juga boleh dibuat kepada
klausa 53 syarat-syarat kontrak PWD Form DB (Rev.1/2010) yang
mana menyatakan bahawa bayaran interim hendaklah dibayar
berdasarkan penilaian P.P. bagi Kerja yang telah dilaksanakan
dengan sempurna dan mengambil kira bahan-bahan/barang-barang
tak pasang yang telah diserah hantar ke tapak bina. Dengan
perkataan lain hanya kerja sebenar yang telah dilaksanakan oleh
kontraktor termasuk bahan-bahan/barang-barang takpasang yang
telah diserah hantar ke tapak bina atau berdampingan dengannya
tetapi tidak terlalu awal daripada sepatutnya perlu dibayar mengikut
peruntukan kontrak.
4.5 Maka sekiranya kontraktor didapati menjalankan kerja melebihi
tanggung jawab kontrak sebagaimana perenggan 3.2, maka
kontraktor perlulah dibayar bagi kerja yang sebenarnya dijalankan.
Sebaliknya sekiranya kontraktor tidak dapat dan/atau gagal
menyiapkan tanggung jawab kontraknya dengan sepenuhnya, maka
kontraktor hanya boleh dibayar setakat mana kerja yang sebenarnya
telah dijalankan. Namun demikian setiap pembayaran tersebut masih
tertakluk kepada peruntukan kontrak seperti pengenaan gantirugi
tertentu dan ditetapkan (LAD), potongan-potongan lain yang
dibenarkan dalam kontrak serta perkara-perkara lain yang
dibenarkan di dalam kontrak.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
6
5.0 PERUBAHAN KERJA
5.1. Merujuk kepada klausa 23 syarat-syarat kontrak PWD Form DB
(Rev.1/2010), perubahan kerja bermaksud pengubahan terhadap
Kehendak Kerajaan yang memerlukan pindaan atau
pengubahsuaian kepada reka bentuk, mutu kerja atau kuantiti
berkaitan dengan Kerja dan yang menjejaskan Harga Kontrak.
5.2. Ini bermakna sekiranya terdapat pengubahan kepada reka bentuk,
mutu kerja atau kuantiti berkaitan dengan kerja yang tidak
disebabkan oleh perubahan terhadap Kehendak Kerajaan, maka
pengubahan tersebut bukanlah satu perubahan kerja dalam konteks
klausa 23. Ini adalah kerana pengubahan kerja seperti di atas
bukanlah satu perubahan kerja yang diarah oleh Kerajaan atau P.P.
tetapi lebih kepada pengubahan kerja yang disebabkan oleh
kontraktor sendiri. Dalam kes ini bayaran tidak sewajarnya dibuat
kepada kontraktor.
5.3. Perubahan kerja yang tergolong dalam klausa 23 lazimnya akan
melibatkan kos tambahan atau tolakan kepada Kerajaan.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
7
5.4. Perubahan kerja yang melibatkan kos tambahan kepada
Kerajaan
Secara amnya Kerajaan hanya bertanggungan untuk membayar kos
tambahan ke atas perubahan kerja hanya dalam keadaan berikut:
a) Kerajaan mengarahkan pindaan kepada Kehendak Kerajaan
sebagaimana klausa 23 syarat-syarat kontrak PWD Form DB
(Rev.1/2010); atau
b) Secara amnya kontraktor hendaklah mereka bentuk Kerja
dengan mematuhi keperluan statutori dan kehendak syarikat
utiliti di bawah klausa 5.1 syarat-syarat kontrak PWD Form DB
(Rev.1/2010). Namun demikian, sekiranya terdapat pindaan
kepada keperluan statutori selepas tarikh tutup tender yang
memberi kesan kepada Kerja dan menyebabkan reka bentuk
kontraktor perlu dipinda, maka pindaan tersebut merupakan
satu perubahan kerja (sila rujuk klausa 5.5 syarat-syarat
kontrak PWD Form DB (Rev.1/2010); atau
c) Dalam keadaan di mana pihak Kerajaan meminta kontraktor
meminda cadangan reka bentuknya disebabkan cita rasa, maka
tindakan ini membolehkan kontraktor menuntut kos tambahan
daripada Kerajaan. Keadaan ini hanya boleh berlaku apabila
Cadangan Reka Bentuk Kontraktor dalam kontrak didapati
sudahpun memenuhi Kehendak Kerajaan dan memenuhi ciri-
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
8
ciri kefungsian, kesesuaian dan keselamatan di samping
memenuhi kehendak statutori dan juga didapati tiada
kemungkiran berhubung dengan tanggung jawab reka bentuk
kontraktor di bawah klausa 14 syarat-syarat kontrak PWD DB
(Rev. 1/2010); atau
d) Dalam keadaan di mana Cadangan Reka Bentuk Kontraktor
adalah di peringkat konsep dan perlu dibangunkan semasa
kontrak sedang berjalan yang menyebabkan keluasan lantai
kasar (gross floor area – GFA) bertambah daripada Schedule
Of Accommodation/Schedule of Areas atau daripada Cadangan
Reka Bentuk Kontraktor, kontraktor boleh menuntut kos
tambahan di mana pertambahan keluasan lantai didapati
disebabkan permintaan Kerajaan yang melebihi keluasan yang
dinyatakan dalam Kehendak Kerajaan. Dalam keadaan ini,
pertambahan keluasan lantai bukan disebabkan kemungkiran
kontraktor berkaitan dengan cadangan reka bentuknya menurut
peruntukan kontrak sebagaimana yang ditetapkan di bawah
klausa 14 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010). Dalam
hal ini kemungkiran yang dimaksudkan termasuklah
kemungkiran memenuhi Kehendak Kerajaan, ciri-ciri
kesesuaian, kefungsian dan keselamatan Kerja dalam
cadangan reka bentuknya dan juga kemungkiran mematuhi
keperluan statutori.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
9
5.5. Perubahan kerja yang melibatkan tolakan/ kurangan
Secara amnya, Kerajaan berhak untuk melaraskan harga Kontrak
bagi kurangan kos tersebut dalam keadaan berikut:
a) Kerja yang dibina tidak menurut Kehendak Kerajaan dan/atau
Cadangan Reka Bentuk Kontraktor dan tahapnya dari sudut
gred, spesifikasi teknikal dan bahan-bahan binaan adalah lebih
rendah. Dalam keadaan di mana keluasan lantai Kerja yang
telah disiapkan didapati kurang daripada apa yang dinyatakan
dalam Kehendak Kerajaan atau yang diperuntukkan dalam
Cadangan Reka Bentuk Kontraktor, maka harga kontrak
hendaklah dikurangkan sewajarnya.
b) Sekiranya P.P. mengarahkan kontraktor meminda reka
bentuknya bagi tujuan kesesuaian, kefungsian dan
keselamatan Kerja bagi mematuhi Kehendak Kerajaan, maka
apa-apa kos tambahan hendaklah ditanggung oleh kontraktor.
Sebaliknya sekiranya terdapat apa-apa kurangan, maka ia
hendaklah ditolak daripada Harga Kontrak (sila rujuk klausa-
klausa 23.3. dan 23.4 syarat-syarat kontrak PWD Form DB
(Rev.1/2010).
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
10
5.6. Keadaan-keadaan lain Perubahan Kerja Melibatkan Kos
Tambahan Kepada Kerajaan
P.P perlulah memastikan perubahan kerja yang dilaksanakan di
dalam ruang lingkup kontrak sahaja dengan mengambil kira
peruntukan kontrak dan juga pematuhan kepada peraturan semasa.
Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keadaan-keadaan lain
perubahan kerja melibatkan kos tambahan kepada Kerajaan dan
boleh dipertimbangkan, sekiranya ia tergolong dalam situasi berikut:
a) Kerajaan menerima manfaat ke atas perubahan kerja meskipun
tiada arahan daripada P.P. dan tiada arahan untuk
memberhentikan kerja tambahan tersebut dan tidak timbul
daripada kemungkiran tanggung jawab kontraktor berkaitan
dengan reka bentuk di bawah klausa 14 syarat-syarat PWD
Form DB (Rev.1/2010); atau
b) Keluasan lantai kasar yang melebihi daripada apa yang
diperlukan dalam Kehendak Kerajaan atau Cadangan Reka
Bentuk Kontraktor tidak diminta atau diarah oleh Kerajaan tetapi
telah dilaksanakan oleh kontraktor dan tidak dibantah atau tidak
dihentikan oleh Kerajaan dan didapati memberi manfaat kepada
Kerajaan. Pertambahan keluasan lantai bukan disebabkan
kemungkiran kontraktor berkaitan dengan cadangan reka
bentuknya menurut peruntukan kontrak sebagaimana yang
ditetapkan di bawah klausa 14 syarat-syarat kontrak PWD DB
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
11
(Rev. 1/2010) dan sebagaimana yang dihuraikan di perenggan
5.4 d).
6.0 LAMPIRAN
6.1. Lampiran-lampiran yang disertakan bersama-sama dengan
panduan ringkas ini adalah seperti berikut:
a) Jadual Ringkas Perubahan Kerja Melibatkan Kos Tambahan
kepada Kerajaan
b) Jadual Ringkas Perubahan Kerja Melibatkan Tolakan kepada
Harga Kontrak
c) Jadual Ringkas Keadaan Khusus Perubahan Kerja Melibatkan
Kos Tambahan Kepada Kerajaan
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
12
7.0 KESIMPULAN
7.1. Apa-apa perubahan kerja dalam kontrak reka dan bina hanya boleh
dilakukan sekiranya terdapat arahan P.P. untuk mengubah dan/atau
meminda Kehendak Kerajaan atau Cadangan Reka Bentuk
Kontraktor.
7.2. Apabila hal ini berlaku, P.P. perlulah menilai perubahan kerja sama
ada kos tambahan atau kurangan kepada Harga Kontrak.
7.3. Sekiranya arahan P.P. dikeluarkan untuk meminda reka bentuk
kontraktor yang disebabkan oleh ketidaksesuaian, atau
ketidakfungsian atau ketidakselamatan cadangan reka bentuk
kontraktor sendiri setelah penelitian telah dibuat oleh P.P. atau
kontraktor sendiri, kos tambahan yang terlibat perlu ditanggung oleh
kontraktor sekiranya ada. Sebaliknya sekiranya pindaan reka bentuk
tersebut melibatkan pengurangan kepada Harga Kontrak, maka satu
pelarasan harga kontrak perlulah dibuat dengan mengambil kira
pengurangan ini.
7.4. Sekiranya kontraktor menjalankan kerja yang didapati kurang
daripada apa yang diperuntukkan di dalam kontrak iaitu dari sudut
gred, spesifikasi ataupun keluasan lantai dan sebagainya, maka
pelarasan harga yang melibatkan pengurangan perlulah dibuat oleh
P.P.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
13
7.5. Sekiranya perubahan kerja tidak diarahkan oleh P.P. dan
pelaksanaannya tidak dibantah oleh P.P. atau tidak diarahkan
supaya diberhentikan, dan perubahan kerja itu dilaksanakan
bukanlah disebabkan oleh kemungkiran tanggung jawab kontraktor
menurut peruntukan kontrak tetapi sebagai kerja tambahan; dan
selagi mana Kerajaan menerima manfaat daripadanya, maka
tambahan kos bagi kerja perubahan ini boleh dipertimbangkan
kepada kontraktor.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
1
JADUAL RINGKAS PERUBAHAN KERJA MELIBATKAN KOS TAMBAHAN KEPADA KERAJAAN
BIL KETERANGAN PERUBAHAN KERJA TINDAKAN SEBELUM MEMBERI PERTIMBANGAN
1 P.P. / Kerajaan arahkan pindaan kepada Kehendak Kerajaan
Pindaan adalah berdasarkan klausa 23 syarat-syarat kontrak PWD Form DB (Rev.1/2010)
2 Reka bentuk Kontraktor perlu diubah disebabkan pindaan kepada keperluan statutori selepas tarikh tutup tender
Pindaan adalah berdasarkan kepada klausa 5.5 syarat-syarat kontrak PWD Form DB (Rev. 1/2010).
Kontraktor perlulah terlebih dahulu membuktikan keperluan statutori sebelum penutupan tender dan perubahannya selepas tender.
Hanya setelah P.P. / Kerajaan berpuas hati bahawa kontraktor telah tidak memungkiri tanggung jawab kontraknya termasuklah tanggung jawab reka bentuknya, maka perubahan kerja ini bolehlah dipertimbangkan.
3 Kerajaan / P.P. minta Kontraktor pinda Cadangan Reka Bentuk Kontraktor disebabkan oleh citarasa
Kontraktor perlulah membuktikan:
pindaan terhadap cadangan reka bentuk asal Kontraktor di dalam kontrak bukanlah disebabkan isu-isu kefungsian, kesesuaian dan keselamatan serta bukanlah disebabkan memenuhi kehendak statutori.
cadangan reka bentuk asal adalah memenuhi Kehendak Kerajaan.
pindaan cadangan reka bentuk adalah semata-mata disebabkan oleh cita rasa.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
2
BIL KETERANGAN PERUBAHAN KERJA TINDAKAN SEBELUM MEMBERI PERTIMBANGAN
Penelitian juga perlu dibuat sama
ada kontraktor tidak memungkiri tanggung jawab reka bentuknya di bawah klausa 14 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010).
Hanya setelah P.P. / Kerajaan berpuas hati bahawa kontraktor telah tidak memungkiri tanggung jawab kontraknya termasuklah tanggung jawab reka bentuknya, maka perubahan kerja ini bolehlah dipertimbangkan.
4 Pertambahan keluasan lantai yang melebihi Kehendak Kerajaan disebabkan oleh permintaan Kerajaan
Penelitian perlulah dibuat bagi memastikan:
tambahan keluasan lantai cadangan reka bentuk bukanlah disebabkan isu-isu kefungsian, keselamatan dan kesesuaian.
tambahan keluasan lantai
bukanlah disebabkan pematuhan kepada keperluan statutori.
tambahan keluasan lantai bukanlah disebabkan pematuhan kepada Kehendak Kerajaan.
sama ada kontraktor tidak memungkiri tanggung jawab reka bentuknya di bawah klausa 14 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010).
Hanya setelah P.P ./ Kerajaan berpuas hati bahawa kontraktor telah tidak memungkiri tanggung jawab kontraknya termasuklah tanggung jawab reka bentuknya, maka perubahan kerja ini bolehlah dipertimbangkan.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
1
JADUAL RINGKAS PERUBAHAN KERJA MELIBATKAN TOLAKAN KEPADA HARGA KONTRAK
BIL KETERANGAN PERUBAHAN KERJA TINDAKAN SEBELUM MEMBERI PERTIMBANGAN
1 Kerja yang dibina tidak menurut Kehendak Kerajaan dan / atau Cadangan Reka Bentuk Asal Kontraktor
Penelitian perlulah dibuat bagi memastikan tahap pembinaan dari sudut gred, spesifikasi teknikal dan bahan-bahan binaan adalah lebih rendah.
2 P.P./ Kerajaan arah Kontraktor pinda reka bentuknya bagi tujuan kesesuaian, kefungsian dan keselamatan Kerja.
Sekiranya melibatkan kos tambahan, maka ia hendaklah ditanggung oleh Kontraktor.
Sebaliknya jika ada kurangan, tolakan hendaklah dibuat daripada Harga Kontrak selaras dengan klausa-klausa 23.3 dan 23.4 syarat-syarat kontrak PWD Form DB (Rev.1/2010).
3 Keluasan lantai di dapati kurang daripada apa yang dinyatakan dalam Kehendak Kerajaan atau yang diperuntukkan dalam Cadangan Reka Bentuk Kontraktor
Menurut klausa 2.1 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010) dengan balasan Harga Kontrak yang dinyatakan dalam klausa 2.2 syarat-syarat kontrak yang sama, Kontraktor hendaklah tertakluk kepada peruntukan kontrak merekabentuk dan menjalankan serta menyiapkan kerja-kerja pembinaan.
Menurut klausa 2.2 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010) Kerajaan berwaad untuk membayar Harga Kontrak dalam tempoh masa dan mengikut cara yang dinyatakan dalam kontrak.
Menurut klausa 53.1 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010) hanya kerja yang dilaksanakan dengan sempurna sahaja boleh dibayar. Ini bermakna kerja yang tidak dilaksanakan tidaklah boleh dibayar.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
2
BIL KETERANGAN PERUBAHAN KERJA TINDAKAN SEBELUM MEMBERI PERTIMBANGAN
Apabila ketiga-tiga klausa 2.1, 2.2 dan 53.1 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010) dibaca bersama Harga Kontrak yang dipersetujui adalah bagi kontraktor menjalankan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan menurut peruntukan kontrak.
Bayaran Harga Kontrak adalah dalam tempoh masa dan mengikut cara yang ditetapkan di dalam kontrak. Ini bermakna Harga Kontrak hanyalah boleh dibayar menurut peruntukan kontrak khususnya klausa 53.1 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010).
Ini juga bermakna menurut klausa 53.1, kerja yang tidak dilaksanakan sebagaimana yang diperuntukkan dalam kontrak tidaklah boleh dibayar.
Maka apa-apa kekurangan keluasan lantai yang tidak dibina menurut peruntukan kontrak ataupun yang tidak dibina menurut cadangan reka bentuk kontraktor, pelarasan harga kontrak perlulah dibuat sebagaimana wajarnya.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
3
JADUAL RINGKAS KEADAAN-KEADAAN LAIN PERUBAHAN
KERJA MELIBATKAN KOS TAMBAHAN KEPADA KERAJAAN
BIL KETERANGAN PERUBAHAN KERJA TINDAKAN SEBELUM MEMBERI PERTIMBANGAN
1 Kerajaan terima manfaat ke atas sesuatu perubahan kerja walaupun:
Tiada arahan P.P. untuk laksanakannya;
Tiada bantahan daripada P.P./
Kerajaan ke atas perubahan kerja tersebut;
Tiada arahan untuk hentikan kerja;
dan
Tiada kemungkiran berhubung dengan cadangan reka bentuk atau kemungkiran tanggung jawab pihak Kontraktor.
Penelitian perlulah dibuat sama ada:
apa yang dibina adalah melebihi Kehendak Kerajaan dan/atau Cadangan Reka Bentuk Kontraktor.
pindaan terhadap cadangan reka
bentuk kontraktor dibuat tidak disebabkan oleh isu-isu kefungsian, keselamatan dan kesesuaian.
pindaan dibuat tidak disebabkan pematuhan kepada keperluan statutori.
kontraktor tidak memungkiri tanggung jawab reka bentuknya di bawah klausa 14 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010).
Hanya setelah P.P. / Kerajaan berpuas hati bahawa kontraktor telah tidak memungkiri tanggung jawab kontraknya termasuklah tanggung jawab reka bentuknya, maka perubahan kerja ini bolehlah dipertimbangkan.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
4
BIL KETERANGAN PERUBAHAN KERJA TINDAKAN SEBELUM MEMBERI PERTIMBANGAN
2 Kerajaan terima manfaat ke atas pertambahan keluasan walaupun:
Tiada arahan daripada P.P. / Kerajaan untuk pertambahan tersebut;
Tiada bantahan daripada P.P. /
Kerajaan ke atas pertambahan tersebut;
Tiada arahan daripada P.P. /
Kerajaan untuk hentikan kerja; dan
Tiada kemungkiran berhubung dengan cadangan reka bentuk atau kemungkiran tanggung jawab pihak Kontraktor.
Penelitian perlulah dibuat bagi memastikan:
tambahan keluasan lantai cadangan reka bentuk bukanlah disebabkan isu-isu kefungsian, keselamatan dan kesesuaian.
tambahan keluasan lantai
bukanlah disebabkan pematuhan kepada keperluan statutori.
tambahan keluasan lantai bukanlah disebabkan pematuhan kepada Kehendak Kerajaan.
Sama ada kontraktor tidak memungkiri tanggung jawab reka bentuknya di bawah klausa 14 syarat-syarat kontrak PWD DB (Rev. 1/2010).
Hanya setelah P.P. / Kerajaan berpuas hati bahawa kontraktor telah tidak memungkiri tanggung jawab kontraknya termasuklah tanggung jawab reka bentuknya, maka perubahan kerja ini bolehlah dipertimbangkan.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Panduan Ringkas – Perubahan Kerja Bagi Projek Reka dan Bina
5
PENAFIAN
Panduan Ringkas ini dalam apa jua keadaan tidak boleh dianggap
sebagai mengikat mana-mana pihak dan tidak mengatasi mana-mana
peruntukan undang-undang, pekeliling atau arahan yang dikeluarkan
oleh pihak yang bertanggungjawab dari masa ke semasa.
Recommended