View
137
Download
11
Category
Preview:
Citation preview
REFLEKSI
REFLEKSI PROGRAM KHIDMAT SISWA PDK RAWANG
Bermula 1 Oktober sehingga 6 Oktober 2012 saya dan rakan-rakan semester 6 PISMP
Pendidikan Khas telah menjalani program Khidmat Siswa di Pusat Pemulihan Dalam
Komuniti (PDK) di 10 buah PDK. Saya bersama 13 rakan sekumpulan yang lain telah
menjalani program Khidmat Siswa di PDK Rawang. Pensyarah pembimbing kami ialah
Cik Hjh Meskinah bt. Taib. Bagi menjayakan program Khidmat Siswa ini persiapan telah
dilakukan 3 bulan lebih awal dari tarikh melaksanakan program Khidmat Siswa ini. Pada
perjumpaan pertama lantikan ahli jawatankuasa telah dilakukan bagi melancarkan
urusan program ini.
Memandangkan kami telah mula menjalani praktikum pada minggu keenam, kami
menghadapi masalah untuk membuat perjumpaan dalam kumpulan. Beberapa ahli
kumpulan menjalani praktikum di luar Kuala Lumpur. Saya sendiri menjalani praktikum
hanya di Kuala Lumpur. Jadi untuk urusan mesyuarat kumpulan, saya masih boleh
menghadirkan diri untuk perjumpaan dan merangka program dan melancarkan urusan.
Bagi memudahkan kerja setiausaha kumpulan kami, saya telah membantu setiausaha
saya membuat semakan terhadap kertas kerja yang ahli kumpulan kami lakukan.
Selain itu, kami menghadapi masalah besar kerana terlupa untuk memohon kepala
surat PDK Rawang. Jadi saya dengan Pengerusi kami telah meminta kerjasama
daripada Cik Hjh Meskinah untuk menemui penyelia PDK Rawang memandangkan
panggilan telefon tidak dilayan. Setelah itu, saya dan pengerusi telah berkunjung ke
Balai Bomba dan Penyelamat Rawang. Kami menghadapi kesukaran untuk ke Balai
Bomba Rawang ini. Bagi menyelesaikan masalah ini, kami terpaksa berhenti tiga kali
untuk bertanyakan arah ke Balai Bomba Rawang ini. Akhirnya kami dapat berjumpa
dengan Ketua Balai Bomba itu sendiri dan menetapkan temujanji dengan pihak Bomba
bagi melaksanakan aktiviti di PDK Rawang.
Kemudian, kami menetapkan mesyuarat untuk mengetahui perkembangan ahli dan
setiap aktiviti yang akan dijalankan. Sehingga minggu terakhir persediaan yang dapat
kami lakukan, saya dan beberapa ahli PDK telah membuat persiapan terakhir seperti
membeli barangan dan keperluan untuk setiap aktiviti yang akan kami laksanakan.
Dalam minggu terakhir ini juga saya bersama Nurul Jannah, Asa’adatul Jannah dan
Liyana Izzati telah membuat jualan makanan di asrama IPG Kampus Ilmu Khas pada
waktu malam. Kutipan jualan agak memuaskan. Akan tetapi memandangkan masa
yang telah diambil untuk membuat jualan itu dalam masa yang singkat, keuntungan
yang diperoleh hanya sedikit. Jadi sebagai penambahbaikan, kami seharusnya bermula
lebih awal dari tarikh bermulanya program kami.
Sehari sebelum bermulanya program Khidmat Siswa iaitu pada 30 September 2012 hari
ahad, saya bersama Liyana Izzati dan Nurul Jannah telah turun seawal jam 10 pagi
untuk mengangkut barang keperluan aktiviti di PDK dan barang keperluan ahli
kumpulan kami ke Rawang. Kami menumpangkan barangan tersebut di rumah Liyana
Izzati terlebih dahulu. Setelah itu kami pulang kembali ke Cheras untuk mengambil ahli
kumpulan yang lain untuk ke rumah tumpangan iaitu rumah Cik Hjh Meskinah.
Kelemahan yang dapat dikesan di sini ialah saya berasa sangat penat kerana terpaksa
menunggu ahli kumpulan seorang demi seorang. Bagi penambahbaikan, saya ingin
mencadangkan agar menyewa sebuah van atau lori bagi mengangkut barangan kami.
Maka dengan itu, kami tidak perlu berulang alik bagi mengangkut barang keperluan.
Selain itu, salah faham juga telah berlaku kerana ada seorang ahli kumpulan saya tidak
mendapat maklumat bahawa kami akan bergerak ke Rawang sehari sebelum program
dijalankan. Jadi, bagi mengelakkan perkara ini berulang lagi, setiap ahli perlu peka
dengan perkembangan semasa dan perlu sentiasa berhubung bagi memudahkan
urusan dijalankan.
Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. 1 Oktober 2012 kami telah sampai di
PDK Rawang seawal jam 7.45 pagi bagi memulakan program kami. Namun begitu,
aktiviti kami terpaksa dimulakan lewat dari yang dijadualkan kerana pelatih PDK masih
belum sampai. Aktiviti pertama yang kami lakukan ialah senamrobik bersama pelatih
PDK. Setelah senamrobik selesai kami dijemput untuk minum pagi bersama pelatih dan
petugas PDK Rawang. Sementara bersarapan, kami membincangkan agenda
seterusnya bersama petugas PDK. Ada kesilapan yang berlaku dalam melancarkan
aktiviti kami di mana kami tidak dapat melaksanakan aktiviti gotong-royong bersama
pelatih PDK sebagaimana yang telah kami rancangkan.
Hal ini kerana petugas PDK Rawang ini telah menyusun pelatih PDK Rawang untuk
menjalani latihan di dalam kelas yang telah ditetapkan. Jadi kami telah menyusun
semula jadual perjalanan kami pada hari pertama di PDK Rawang. Kami dibahagikan
kepada tiga kumpulan di mana dua kumpulan memasuki kelas latihan pelatih PDK
bersama dengan petugas PDK melaksanakan aktiviti yang ditetapkan oleh petugas
PDK Rawang. Manakala satu kumpulan lagi telah melukis mural di dalam kelas yang
telah ditetapkan. Penambahbaikan yang dapat dilaksanakan di sini ialah kami perlu
menerangkan dengan lebih jelas lagi kepada pengurusan PDK bahawa kami
menjalankan aktiviti di PDK itu adalah lebih bertumpu kepada pelatih PDK itu sendiri
agar kami dapat melihat sejauh mana kebolehan yang mampu mereka laksanakan
serta penglibatan pelatih PDK dapat dimaksimumkan.
Pada waktu rehat tengahari saya telah mengambil kesempatan untuk membawa kereta
saya ke Pusat Servis Perodua kerana kereta saya menghadapi sedikit masalah. Proses
menunggu kereta saya siap memakan masa yang agak lama dan saya berasa sangat
bersalah dengan ahli PDK yang lain kerana tidak dapat bersama-sama membantu
menyiapkan mural kami. Pada masa akan datang, saya akan pastikan kereta saya tidak
menghadapi masalah semasa program sedang dijalankan. Program kami pada hari
pertama ini berakhir pada jam 4.45 petang.
Keesokan harinya aktiviti dijalankan seperti biasa ialah senamrobik. Pada hari kedua ini
saya telah ditugaskan untuk mengetuai senamrobik pada hari ini. Memandangkan kami
tertinggal pembesar suara, kami terpaksa menggunakan pemain cd yang dibekalkan
oleh PDK Rawang. Bagi mengelakkan masalah ini berlaku lagi, kami akan memastikan
setiap barangan yang perlu dibawa disenaraikan dan dibuat semakan setiap kali
sebelum aktiviti mula dijalankan.
Sementara itu, sebahagian daripada kami telah membuat persiapan bagi aktiviti
seterusnya iaitu membuat Coklat Praline. Kekuatan yang dapat dikesan di sini ialah
persiapan yang dilakukan dapat menarik minat pelatih PDK berkumpul untuk
mengetahui aktiviti yang akan dilakukan pada hari ini. Pelatih PDK sangat teruja apabila
persiapan dapur dilakukan bagi memasak coklat.
Setelah kumpulan dibahagikan, pelatih berada dalam kumpulan masing-masing untuk
menyiapkan coklat sebagaimana yang diarahkan oleh pengajar Coklat Praline ini.
Pelatih PDK dapat memasukkan coklat ke dalam acuan dengan bantuan saya dan
Muhammad Azman sebagai pasangan saya pada hari ini. Pelatih PDK ini sangat teruja
untuk memasukkan coklat ke dalam acuan. Walaupun sesetengah pelatih PDK ini
mempunyai psikomotor halus yang agak lemah namun dengan bantuan kami mereka
dapat memasukkan coklat ke dalam acuan dengan baik.
Aktiviti pada hari ini berjalan lancar. Namun begitu masa yang diperuntukkan untuk
menyiapkan coklat ini lebih awal dari yang direncanakan. Jadi, pelatih PDK diarahkan
untuk masuk ke kelas latihan masing-masing. Saya mengambil peluang ini
menyelesaikan surat-surat berkenaan seperti surat jemputan ke aktiviti sukaneka, surat
lawatan ke Zoo Negara dan surat Jemputan ke Majlis Penutupan Program untuk
diserahkan kepada ibubapa pelatih PDK serta surat makluman kepada pihak Bomba
dan Penyelamat bersama Liyana Izzati dan Muhammad Azman. Setelah urusan surat-
menyurat selesai, saya bersama Nurul Jannah dan Muhammad Azman telah ke
pasaraya terdekat untuk membeli barangan hadiah untuk sukaneka, makanan dan
minuman untuk lawatan ke zoo Negara dan cenderahati untuk majlis penutupan.
Aktiviti kami pada hari ketiga kami di PDK Rawang ialah aktiviti sukaneka. Seperti biasa
sebelum memulakan aktiviti kami melakukan senamrobik terlebih dahulu. Setelah itu
kami membuat persiapan dengan menyusun alatan sukaneka. Kami menghadapi
masalah untuk menyusun peralatan permainan pada awal pagi kerana Hafiz terlewat
sampai ke PDK Rawang. Bagi mengelakkan masalah ini berlaku lagi pada masa akan
datang, kami akan membuat persiapan sehari lebih awal. Secara keseluruhan, aktiviti
sukaneka kami berjalan lancar. Kerjasama daripada setiap ahli kumpulan saya amat
menggalakkan.
Namun begitu, saya dapat mengesan kelemahan yang ada dalam aktiviti sukaneka ini
di mana kami tidak mengasingkan pelatih PDK mengikut tahap kemampuan mereka.
Dalam permainan membawa bola ping pong di dalam sudu, permainan membawa bola
dengan menggunakan gelung rotan dan mengisi air di dalam botol, kami melibatkan
semua pelatih PDK.
Ketidakadilan berlaku apabila kumpulan yang didominasi oleh pelatih PDK yang mampu
dari aspek fizikal berjaya memenangi setiap permainan yang dijalankan. Kumpulan
tersebut berjaya mengungguli setiap permainan sedangkan satu kumpulan lagi agak
tertinggal kerana tidak memenangi walaupun satu permainan yang dijalankan.
Walaupun begitu, permainan kerusi muzikal dapat menentukan pemenang dengan adil
kerana permainan ini melibatkan dua kategori berbeza iaitu kategori kanak-kanak dan
kategori dewasa. Penambahbaikan yang telah dilakukan ialah kami menyediakan
hadiah bagi kesemua kumpulan tanpa mengira menang atau kalah. Pada masa akan
datang, kami akan mengasingkan setiap pemain mengikut kategori masing-masing.
Dengan ini keadilan sama rata dapat ditingkatkan. Aktiviti sukaneka ini berakhir pada
jam 11 pagi memandangkan pelatih PDK kelihatan agak penat dan tidak bermaya.
Manakala kami pula telah menyambung semula aktiviti keceriaan kami membuat mural
dan mengecat buaian dan alatan di bahagian luar PDK.
Kemudian, saya bersama Mohammad Azman dan Abdul Hafiz telah membawa
pemadam api ke Balai Bomba dan Penyelamat Rawang untuk menyemak samada
pemadam api yang dimiliki oleh PDK Rawang itu masih selamat untuk digunakan
ataupun tidak. Sesampainya di Balai Bomba Rawang tersebut, kami difahamkan
bahawa salah satu daripada pemadam api yang disediakan PDK Rawang itu tidak
selamat lagi untuk digunakan. Jadi, kami mengambil kesempatan ini untuk membantu
PDK Rawang tersebut mengisi semula gas dan serbuk pemadam api bagi
memudahkan petugas PDK menggunakan pemadam api sekiranya berlaku kecemasan.
Namun begitu, kami terlupa untuk berbuat demikian. Jadi, saya dan rakan-rakan
berhasrat untuk berkunjung lagi ke PDK Rawang bagi membantu pihak pengurusan
PDK tersebut mengenai urusan pemadam api.
Aktiviti kami berakhir hampir jam 6 petang. Tidak dinafikan aktiviti sukaneka pada hari
ini amat memenatkan. Saya sendiri tertidur semasa membuat kerja mural di dalam
kelas. Keadaan cuaca yang panas juga membuatkan kepenatan itu semakin terasa.
Jadi, sebagai penambahbaikan aktiviti mural, mengecat ini mungkin boleh dilakukan
pada waktu pagi ataupun pada waktu malam. Keadaan mungkin lebih santai pada
waktu sebegini.
Kemudian, pada hari keempat kami telah mengadakan lawatan ke Zoo Negara.
Kelemahan saya pada hari ini ialah saya berasa sangat penat di awal pagi. Jadi, saya
telah mengambil peluang untuk tidur sebentar sementara menunggu kedatangan
pelatih PDK. Saya merasa terkilan kerana saya tidak dapat menolong rakan-rakan yang
lain mengangkut barang makanan ke dalam bas. Jadi, pada masa akan datang saya
akan memastikan waktu tidur saya mencukupi bagi membolehkan saya membuat kerja
seharian dengan baik.
Kelebihan yang dapat saya lihat ialah keterujaan pelatih PDK ke Zoo Negara
membuatkan saya berasa sangat gembira. Walaupun mereka tidak upaya dari aspek
fizikal mahupun mental, namun kegembiraan terpancar di raut wajah pelatih PDK ini.
Lebih-lebih lagi pelatih yang saya kawal sepanjang aktiviti ini merupakan pelatih yang
tidak pernah keluar dari rumah untuk bersiar-siar. Jadi, saya telah mengambil langkah
untuk membiarkan pelatih ini bergerak bebas tanpa dipimpin. Saya hanya memantau
pelatih ini dari belakang. Tidak dinafikan menjaga pelatih ini sangat penat kerana saya
sendiri terpaksa berkejaran dengan pelatih ini di dalam kawasan zoo tersebut.
Memandangkan aktiviti pada hari ini sangat memenatkan, kami mengambil keputusan
untuk pulang awal ke rumah tumpangan.
Seterusnya pada hari kelima di PDK Rawang kami telah menjalankan aktiviti Home-visit
di mana kami dipecahkan kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki pergi ke
lima buah rumah yang berbeza. Kelebihan kami di sini ialah kami mempunyai
pengangkutan yang mencukupi. Antara kami sendiri memiliki 4 buah kereta. Jadi
kumpulan yang tidak mempunyai pengangkutan telah menaiki kereta PDK Rawang.
Kelemahan yang dihadapi ialah kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk
meluangkan masa yang lebih lama di rumah yang kami lawati kerana lawatan ini
diadakan pada hari Jumaat. Bagi pelajar lelaki mereka dikehendaki ke masjid untuk
solat jumaat. Jadi sebagai penambahbaikan, saya mencadangkan agar lawatan ke
rumah pelatih PDK ini dijalankan pada hari selain hari Jumaat. Sekiranya lawatan ke
rumah ini diadakan selain dari hari jumaat, kami boleh meluangkan masa lebih lama di
setiap rumah yang kami lawati.
Hari terakhir kami iaitu hari keenam merupakan hari penutup program khidmat siswa.
Antara tentatif hari ini ialah ceramah bomba dan demokrasi kebakaran oleh pihak
Bomba serta bengkel bahasa isyarat oleh pelajar Masalah Pendengaran. Secara
keseluruhan kebaikan yang dikesan ialah persiapan yang kami lakukan sangat baik.
Setiap ahli kumpulan memberi kerjasama penuh terhadap majlis penutupan ini. Namun
begitu terdapat beberapa kelemahan yang dikesan di mana penglibatan ibubapa,
pelatih PDK dan orang kampung adalah sangat lemah. Walaupun dijemput namun
tetamu tidak menghadirkan diri. Mungkin kerana ibubapa atau masyarakat sekitar sibuk
dengan urusan masing-masing. Sebagai penambahbaikan, saya ingin mencadangkan
agar majlis penutupan ini dijalankan pada hari ahad. Kebiasaannya pada hari ahad
sesetengah ibubapa tidak bekerja dan dalam tempoh ini ada di antara ibubapa
mengambil masa untuk bersiar-siar dengan anak mereka di luar rumah. Dengan itu,
aktiviti yang dijalankan pada hari penutup ini hendaklah dimaksimumkan
keseronokannya agar ibubapa tertarik untuk terlibat sama.
Selain itu, kelemahan yang ketara ialah makanan yang disediakan tidak habis. Jumlah
yang dianggarkan ialah sekitar 200 orang. Akan tetapi tetamu yang menghadirkan diri
tidak melebihi 50 orang. Bagi mengelakkan pembaziran berlaku makanan yang
disediakan dibawa pulang oleh setiap ibubapa dan tetamu jemputan yang hadir.
Sebagai penambahbaikan, anggaran untuk perbelanjaan makanan hendaklah
diminimumkan. Maka dengan itu tidak akan berlaku pembaziran duit juga pembaziran
makanan.
Berakhirnya program kami di PDK Rawang kami pulang dengan kelegaan. Setelah
merehatkan diri, saya bersama-sama Nurul Jannah, Liyana Izzati, Nur Ariza, Asa’adatul
Jannah dan Izyan Shafinaz telah mengemas rumah tumpangan kami sebelum pulang
ke Cheras. Setelah semua selesai kami bergerak pulang dengan pelbagai perasaan.
LAMPIRAN
Gambar 1: Persiapan sebelum aerobik
Gambar 10 : Aktiviti Sukaneka
Gambar 9 : Membungkus coklat
Gambar 8 : aktiviti Coklat
Gambar 6 : Perbincangan
Gambar 7 : Mengetuai senamrobik hari kedua
Gambar 15: Mengecat buaian
Gambar 14 : Bergerak ke Balai
Gambar 13 : Mengisi air dalam botol
Gambar 12 : Music Chair
Gambar 11 : Music Chair
Gambar 21: Penerangan oleh pihak Bomba
Gambar 20: Bersama Dayana Bahirah (CP)
Gambar 19: Bergerak pulang
Gambar 18: BerkumpulGambar 17: Bersama pelatih
Gambar 22: Persembahan
Gambar 24: Kenangan bersama petugas PDK
Gambar 23: Perasmian oleh Pn Hjh Mimpin
Recommended