View
742
Download
24
Category
Preview:
DESCRIPTION
Seni Kaligrafi Islam, Seni Khat
Citation preview
SENI KALIGRAFI ISLAM – SENI KHAT
Pengenalan
Seni merupakan suatu unsur yang sangat berkait rapat dengan kehidupan manusia.
Seni merupakan hasil daripada gambaran yang terdapat dalam pemikiran manusia dan
dihasilkan dalam pelbagai bentuk seperti tulisan, ukiran, lukisan dan sebagainya. Kesenian
Islam merupakan hasil karya ciptaan manusia yang berteraskan kepada ciri-ciri Islam.
Dengan mengkaji kesenian Islam tersebut, maka kita akan dapat memahami dan
menghayati kehalusan seni yang terdapat dalam sesebuah tamadun Islam. Islam bukan
sahaja membenarkan kesenian dengan berbagai-bagai caranya, tetapi ia menggalakkan
perkembangan kesenian tersebut. Namun demikian kebenaran Islam haruslah menepati
dan seiring dengan syariat Allah S.W.T. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Bahawa
sesungguhnya Allah S.W.T itu indah dan kasih kepada yang indah”.
Keistimewaan kesenian Islam iaitu dari segi kaligrafinya. Seni kaligrafi Islam atau
lebih sinonim dengan nama “seni khat” merupakan khazanah tertua di dunia yang masih
dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia,
menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa
menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya. Penulisan Khat yang pertama di dunia
dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh. Akan tetapi, sistem penulisan
khat ini terbukti telah bermula sejak zaman Rasulullah S.A.W. sehingga zaman sahabat dan
diikuti dengan zaman-zaman pemerintahan Islam yang lain seperti zaman kerajaan
Umawiyyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Mughal, kerajaan Islam di Andalus dan lain-lain
zaman. Kesenian kaligrafi ini mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri.
Seni kaligrafi Islam seringkali dikaitkan dengan seni khat. Kaligrafi secara umumnya
mempunyai maksud seni penulisan yang indah. Apabila ianya dikaitkan dengan Islam,
membawa kepada seni penulisan Islam yang indah iaitu tulisan khat. Perkataan kaligrafi ini
bearasl dari bahasa Yunani iaitu “kalios” yang bererti indah dan graphia yang bererti
tulisan. Seni ini diciptakan dan dikembangkan oleh kaum Muslim sejak kedatangan Islam.
Sebagai bahasa yang memiliki karakter lembut dan artistik, huruf Arab menjadi bahan yang
sangat kaya untuk penulisan kaligrafi. Kaligrafi Islam ini juga sangat berkaitan dengan Al-
Quran dan hadis kerana sebahagian besar tulisan indah dalam bahasa Arab menampilkan
ayat al-Quran atau hadis Nabi S.A.W..
Seni khat ini merupakan salah satu bidang kesenian yang amat diminati oleh orang
Islam. Keindahannya diabadikan di bangunan-bangunan, kubah masjid, seramik kaca selain
diukir diatas kayu dan logam. Dari semasa ke semasa sejak zaman Rasulullah S.A.W. hingga
hari ini, seni khat terus berkembang dan meningkat pencapaian dan kecemerlangannya.
Seni khat ini juga telah menghasilkan pelbagai seni reka bentuk khat. Selepas 100 tahun
kewafatan Rasulullah S.A.W. seni ini telah berada dipuncak kegemilangannya.
Seni khat bukan sahaja berperanan mengabadikan Al-Quran dalam bentuk tulisan
akan tetapi juga turut mengabadikan sebahagian ayat dari Al-Quran tersebut di bangunan-
bangunan masjid, rumah dan sebagainya. Ahli khat bukan sahaja terdiri dalam kalangan
orang Arab bahkan pelbagai keturunan Islam yang lain diseleruh dunia termasuk Parsi,
Turki, India, Melayu dan lain-lain lagi. Perkembangan seni khat diseluruh dunia pesat
sekali, seiring dengan perkembangan dakwah Islamiyyah dan ilmu Islam.
Terdapat pelbagai jenis bentuk khat yang ditulis. Antaranya ialah khat nasakh,
thuluth, rihan, muhaqqaq, tauqi’, riq’ah, diwan, ta’liq, nasta’liq dan lain-lain. Namun yang
demikian, seni khat yang tertua ialah khat kufi. Khat nasakh mula terkenal dan diminati
mulai abad kelima masihi. Ia sebenarnya merupakan khat kufi yang diubahsuai oleh
Qutabah. Khat ini diperkenalkan oleh al-Dhahaq bin Iljan. Khat kufi ini berkembang dengan
pesat pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah. Muhammad bin Muqalan, merupakan
salah seorang menteri di Abbasiyyah yang mahir dalam penulisan khat jenis al-Duri.
Diantara ahli khat yang terkenal ialah Ibrahim al-Syujairi yang menghasilkan khat jenis al-
Jalil, al-Thuluthain dan al-Thuluth. Yusuf al-Syujairi pula merupakan tokoh terkenal dalam
bidang ini. Beliau menghasilkan khat jenis al-Riayasi. Begitu juga dengan al-Hasan al
Naqulah, Muhammad al-Samsari, Muhammad bin Asad, Abu Hasan Ali bin Hilal (Ibnu al-
Bawwab-terkenal kerana telah menulis Al-Quran dengan pelbagai gaya dan bentuk tulisan.
Ada pendapat mengatakan sebanyak 64 buah Al-Quran pelbagai gaya tulisan tetapi
sebahagian besar karyanya hilang atau terbakar), Syeikh Jamaluddin Taqut al-Mustakami
dan ramai lagi tokoh penulis khat yang terkemuka. Seni khat ini diambil alih oleh orang
Mesir, India dan Turki selepas kejatuhan Baghdad. Seni ini menjadi semakin terkenal
sehingga tertubuhnya beberapa institusi khat di pelbagai negara Islam.
Asal Usul Seni Khat
Terdapat beberapa pendapat dalam mengatakan asal-usul khat. Antaranya ialah,
pendapat pertama menyatakan khat adalah anugerah daripada Allah S.W.T. kepada
manusia. Allah S.W.T telah mengajar ilmu dan cara menulis kepada Adam a.s dan diwarisi
turun temurun sehingga kini. Ibnu Khaldun juga menyatakan bahawa tulisan jenis masnad
berasal daripada Yaman, kemudiannya berpindah kepada keluarga al-Munzir di Heart.
Tulisan ini lahir pada zaman kerajaan Saba’ di Himyar. Terdapat juga pendapat yang
menyatakan tulisan ini berasal dari Heart dan akhirnya ke Hijaz. Selain itu juga, ada yang
menyatakan khat berasal daripada finiqi yang diambil daripada huruf Mesir purba. Akan
tetapi, kebanyakan ahli sejarah bersetuju dengan pendapat yang terakhir iaitu khat berasal
berasal daripada tulisan Nabati (Ramali). Ia sampai ke Hijaz melalui dua jalan iaitu jalan
dekat dari Nabati ke Batra ke Ula, ke Madinah dan Makkah serta jalan jauh iaitu melalui
Harran ke lembah Furat, ke Daumatul Jandal, ke Madinah, Makkah dan Taif.
Tulisan khat dibawa melalui pedagang yang berniaga di Syam dan Iran, terutama
Quraisy. Ini bererti ketika Islam disebarkan, segelintir kecil orang Arab telah pandai
membaca dan menulis walaupun jumlah bilangan mereka adalah terhad sekali. Buktinya
tawanan Perang Badar (musyrikin Makkah) dikehendaki mengajar anak umat Islam
membaca dan menulis seramai 10 orang sebelum dibebaskan. Tulisan Arab ini akhirnya
diperkenalkan ke seluruh dunia Islam. Mana-mana negara yang masih tidak mempu sistem
tulisan sendiri pada masa itu mengambil seratus-peratus tulisan Arab menjadi tulisan
mereka. Proses ini berlaku begitu cepat seiring dengan perkembangan pembelajaran Al-
Quran.
Sejarah Perkembangan Seni Khat Arab
Seni khat lahir serentak dengan kelahiran Islam. Wahyu yang diterima oleh
Rasulullah S.A.W. sejak awal lagi telah dicatatkan oleh para sahabat pada daun kayu, tulang
dan sebagainya sehinggalah Al-Quran itu sempurna diturunkan selama 23 tahun. Ini
bererti seni khat diperlukan untuk mengabadikan Al-Quran dalam bentuk penulisan.
Justeru itu, peranan seni khat dalam sejarah perkembangan Islam adalah yang paling
utama dan mengatasi cabang seni yang lain.
Islam datang dengan membawa beberapa faktor tentang betapa perlunya
penggunaan tulisan yang semakin bertambah luas ruang penggunaannya. Bidang penulisan
telah memasuki era baru yang bergemerlapan dengan kedatangan Islam. Selepas
penghijrahan Nabi ke Madinah, seni khat telah menjadi manifestasi bagi suatu perubahan
yang agung yang mengatasi perkembangannya selama tiga abad sebelum itu. Dengan
turunnya lima ayat pertama kepada Nabi s.a.w yang dimulai dengan firman Allah s.w.t.:
Iqra’ (bacalah), maka penulisan telah memperoleh kepentingan suci yang sehingga kini
masih kukuh terpelihara Kemudian turun pula ayat-ayat lain yang sering mengaitkan
penulisan dengan sumber ketuhanan dan memerintahkan penggunaannya sehinggalah
tulisan mendapat kedudukannya dalam kehidupan umat Islam sebagai salah satu
keperluan asas.
Nabi memerintahkan para sahabat merakam maklumat-maklumat dengan tulisan
dan mewasiatkan mereka memelihara tulisan tersebut. Baginda juga menggesa supaya
mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis. Mengarah tawanan Perang Badar
supaya mengajar anak-anak Ansar membaca dan menulis sebagai bayaran tebusan sdiri
mereka. Baginda sendiri mengendalikan urusan kelab latihan tulis-menulis di Madinah
dengan tujuk ajar dari individu-individu dan sahabat-sahabat yang telah mahir dalam
kemahiran menulis. Hasilnya, wujud dalam kalangan mereka orang yang mahir dalam
banyak bahasa seperti Zaid bin Thabit yang mempelajari bahasa Parsi, Rom, Qibti dan
Habsyah semasa di Madinah. Beliau juga menterjemah surat-surat balasan kepada
Rasulullah s.a.w yang ditulis dalam bahasa-bahasa tersebut.
Sesetengah daripada mereka diperintahkan menulis dalam beberapa lapangan dan
tajuk-tajuk tertentu seperti menulis perjanjian dan surat-surat yang diutuskan oleh Nabi
kepada raja-raja dan lain-lain lagi. Selain itu, Baginda juga menekankan tentang soal sifat
bentuk huruf-huruf yang berbagai-bagai itu. Memberi perhatian khusus kepada huruf-
huruf ini adalah asal-usul khat. Perbezaan bentuk huruf-huruf, misalnya antara sin dan shin
yang dirujuk oleh Rasulullah S.A.W. dengan segera mengilhamkan para penulis khat
berusaha melahirkan nilai-nilai khas kepada huruf-huruf dalam bahasa arab. Pada zaman
Rasulullah S.A.W. antara penulis khat adalah seperti Ali Bin Abi Talib, Uthman Bin Affan,
Umar Al-Khattab, Abu Bakar al-Siddiq, Khalid Bin Said Bin Al-As, Hanzalah Bin Rabi`, Yazid
Bin Abi Sufian, Muawiyah Bin Abi Sufian, Ubai Bin Ka`ab, Zaid Bin Tsabit dan ramai lagi.
Setelah itu kewafatan Nabi S.A.W, seni penulisan khat ini tidak terhenti sebegitu
sahaja akan tetapi ianya semakin berkembang di setiap zaman bermula dari zaman
Khulafa’ al-Rasyidin, zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah, zaman Islam di Mughal, Andalus
dan lain-lain lagi. Pada awal tertubuhnya kerajaan Umaiyah, tulisan kaligrafi digunakan
untuk keperluan administrasi negara. Pada perkembangan selanjutnya, tulisan ini terus
diabadikan di dinding-dinding bangunan istana, kubah-kubah masjid, diukir di mimbar-
mimbar dan beberapa tempat yang lain. Peralatan peperangan seperti pedang dan lembing
serta barangan seramik juga tidak terlepas dari lakaran kaligrafi indah ini.
Sejarah Kemasukkan Seni Khat Arab Dan Pengaruhnya Di Nusantara
Khat Jawi atau tulisan Jawi Arab adalah nama baru yang diletakkan kepada tulisan
atau huruf Arab yang ditulis di Kepulauan Melayu. Perkataan Jawi berasal dari perkataan
Jawa, memandangkan khat Arab mula bertapak di Kepulauan Jawa. Justeru tidak menjadi
satu keunikan apabila disebut dengan nama Jawi kerana ia dinisbahkan kapada Jawa. Khat
Jawi memain peranan penting dalam memartabatkan masyarakat Nusantara. Ini bermakna
masyarakat Nusantara tidak mempunyai apa-apa khat sebelum khat Arab atau khat Jawi.
Maka tidak mustahil kalau dikatakan tanpa tulisan Jawi, masyarakat Nusantara masih
berada di tahap kejahilan. Tanpa penulisan mereka tidak dapat mempelajari sesuatu ilmu
kerana setiap ilmu perlu ditulis terlebih dahulu sebelum ia dihafaz. Sesudah kemasukan
Khat Arab maka satu revolusi berlaku, diantaranya ialah masyarakat Nusantara mula
mempelajari huruf-huruf tersebut. Pengenalan tersebut memberi satu kekuatan baru
kepada mereka untuk mempelajari al Quran dan hukum-hukum yang berkaitan dengan
agama Islam.
Sebagaimana yang telah diketahui bahawa ahli-ahli sejarah telah menyatakan
bahawa bangsa Arab di antara kaum yang paling banyak menjalankan perdagangan dan
perniagaan mengikut jalan laut. Ini bermakna tidak keterlaluan kalau dikatakan merekalah
yang telah mempelopori dan memonopoli perniagaan pada kurun-kurun sebelum
kedatangan Islam. Seorang sarjana Islam Muhammad ibn Jarir Abu Ja`far al-Tabari
(310H/920M) telah menegaskan bahawa sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab
telah pun belayar berulang alik dari Cina ke negara-negara Arab. Mereka belayar melalui
Selat Melaka di tengah-tengah Kepulauan Melayu. Dengan penjelasan di atas, adalah telah
dikenalpasti bahawa khat Arab telah sampai ke Alam Melayu melalui pedagang-pedagang
Islam di awal kurun ke 2H dan mula tersebar di beberapa kawasan di Acheh. Semenjak itu,
khat Arab ini telah mula menarik minat ramai penduduk untuk mempelajarinya dan ianya
semakin dan terus berkembang.
Perkembangan Khat Di Malaysia
Di Semenanjung Tanah Melayu, sebagai contoh pertemuan Batu Bersurat di
Terengganu telah membuktikan bahawa khat Arab telah diguna pakai di Alam Melayu sejak
ratusan tahun lagi. Ia telah bermula sekitar kurun ke-7 Hijrah iaitu 702H/1303M di mana
khat Arab telah terpahat di lubuk hati masyarakat Melayu. Khat tersebut ditulis
menggunakan bahasa Melayu. Berhampiran dengan batu tersebut terdapat batu pedang.
Padanya terdapat khat kalimah Allah yang mirip khat kufi. Sejak pada itu, penggunaan
tulisan ini menjadi semakin meluas dan menjadi tulisan rasmi dalam urusan kerajaan.
Tokoh-tokoh dan Contoh Karya
Syaikh Uthman Taha
Beliau merupakan seorang tokoh yang telah banyak memberi khidmat dalam bidang
al-Qur’an yang tidak kita sedari. Beliau adalah penulis mushaf Madinah yang bewarna hijau
yang sering dibawa oleh jemaah haji atau orang yang ke Mekah.
Penglibatan Syaikh Uthman Taha dalam bidang penulisan mushaf sejak hampir 40
tahun iaitu bermula pada tahun 1970 untuk kementerian wakaf Syria. Pada tahun 1988
beliau datang ke Arab Saudi untuk menjadi penulis mushaf. Beliau dilantik sebagai penulis
mushaf di Majma’ al-Malik Fahd Li Tiba’ah al-Mushaf (Kompleks Percetakan Mushaf Raja
Fahd) di Madinah al-Munawwarah. Keistimewaan tulisan tangan Syaikh Uthman Taha ialah
setiap halaman berakhir dengan penghujung ayat.
Nama sebenar beliau ialah Abu Marwan bin Uthman bin Abduh bin Hussain bin
Taha. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Halab, Syria pada tahun 1934 Masihi dan
mempunyai seorang isteri dan dikurniakan tujuh orang anak. Beliau dilahirkan dalam
suasana tarbiah Islam yang kuat, bapanya Syaikh Abduh Husin Taha merupakan imam dan
khatib di kampungnya, juga pengarang kitab-kitab agama. Sekarang syaikh Uthman Taha
tinggal di Madinah al-Munawwarah.
Syaikh Uthman Taha memiliki ijazah dalam bidang syariah. Pada tahun 1973, beliau
mendapat ijazah dalam seni khat dari Syaikh Hamid al-Amidiyy, seorang pakar khat yang
sangat terkenal, sehingga beliau diberi gelaran Syaikh al-Khutatatain. Selain itu beliau juga
berguru dengan tokoh khattat yang lain seperti Muhammad Aliyy al-Mawlawiyy, Ibrahim
al-Rifa’iyy di Halab, Muhammad Badwiyy al-Diraniyy di Damsyik dan Hashim al-
Baghdadiyy.
Pengalaman pertama dalam menulis mushaf ialah pada tahun 1973 semasa berusia
tiga puluh tahun di bawah syarikat percetakan Dar al-Shamiyah di Damsyik tetapi syaikh
Uthman Taha tidak berpuas hati dengan mutu kecantikan tulisan. Disebabkan ketokohan
dan penulisan hiasan dinding beliau di Masjid Nabawi, Kerajaan Saudi telah mengambil
beliau sebagai penulis Mushaf al-Madinah yang diguna pakai oleh kerajaan Saudi dan
seluruh dunia bermula pada tahun 1988.
Mereka yang melihat tulisan sekarang jauh lebih bermutu dari tulisan pertama.
Sehingga kini beliau telah menulis mushaf mengikut riwayat Hafs dari Asim, riwayat
Warash dari Nafi’ al-Madaniyy kedua-dua sudah dicetak dan riwayat Qalun tetapi belum
dicetak.
Beliau amat terkenal dalam kalangan penulis khat kini sebagai Tokoh Seni Khat
yang paling banyak berjasa. Beliau menjadi pakar rujuk dan hakim bagi pertandingan Khat
Antarabangsa Istanbul sejak berdekad lamanya.
Antara beberapa contoh tulisan Syaikh Uthman Taha adalah:
Muka belakang mushaf al-Madinah diterjemahkan seperti berikut: Dengan
pertolongan Allah dan taufiq-Nya, telah sempurna percetakan mushaf yang mulia ini di
Majma' Malik al-Fahd untuk percetakan al-Mushaf al-Sharif di Madinah Munawwarah
seliaan Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan di Kingdom of Saudi
Arabia pada tahun 1426H dan ditulis oleh al-Khattat Uthman Taha.
Dari tahun 1970 sehingga ke hari ini Syaikh Othman Taha telah menulis dengan
lengkap sebanyak sepuluh buah mushaf, dimana setiap satu lembaran berukuran 100cm x
70cm dan mempunyai 15 baris. Diantara mushaf-mushaf yang telah ditulis olehnya ialah:
1. Mushaf untuk Kementerian Wakaf Syria
2. Mushaf dengan riwayat Hafs untuk Ad-Dar As-Syamiyyah
3. Mushaf dengan riwayat Warash (Madinah)
4. Mushaf dengan riwayat Hafs (Mengikut Mushaf Mesir-tiada wakaf sudut)
5. Mushaf dengan riwayat Hafs (Mushaf Madinah)
6. Mushaf dengan riwayat Qalun
7. Mushaf dengan riwayat Ad-Duri
Beliau telah memperbaiki sistem susunan menulis mushaf yang mempunyai wakaf
sudut daripada resam imla’i kepada Resam Othmani mengikut sebuah mushaf yang ditulis
pada zaman Othmaniah Turki. Sistem inilah yang digunakan pada Mushaf Madinah
sekarang. Susunannya amat kemas, teratur, membahagikan juzuk secara konsisten dan ia
dinamakan juga Mushaf Huffaz kerana struktur susunannya yang mudah digunakan oleh
para huffaz untuk menghafaz al-Quran.
Syeikh Sami Afandi
Sheikh Muhammad Sami Afendi dilahirkan pada 1838M dan wafat pada 1912M.
Beliau mempelajari seni khat Thuluth daripada Boshnaq Usman Afandi, Rejai Afandi,
Qabrasizada Ismail Haqqi Afandi manakala Khat Diwani daripada Naseh Afandi. Kemahiran
beliau dalam khat dianggap sangat bermutu tinggi terutamanya dalam Khat Thuluth Jali
sehingga beliau digelar sebagai Mustafa Raqim kedua. Kemahiran beliau seterusnya
diwarisi kepada Sheikh Abdul Aziz Rifa’i, Umer Wasfi, Muhammad Amin Afandi, Ahmad
Kamil Afendi, Khulusi Afandi, Nazeef Bey dan Najm-ud-Din Afandi. Sepanjang kariernya
sebagai Khattat, beliau meraih beberapa anugerah antarabangsa ketika itu antaranya ialah
Darjah Mutamayaz dalam di seni khat Turki, Tempat Pertama pertandingan Sinf-el-Awwal,
Pertama dalam Rutba-e-Majeedi, anugerah Taghma-e-Iftikhar dan anugerah seni Kaligrafi
Jang Yunan. Beliau dimakamkan di kawasan Jami’ Al-Fateh, Istanbul, Turki.
Antara hasil karya beliau:
Sheikh Abdul Aziz Affandi Al-Rifa’ie (1871-1934M)
Sheikh Abdul Aziz Affandi Al-Rifa’ie dilahirkan di Qasbah, Terabezon, Turki pada
tahun 1871M (1288H). Ketika berusia lima tahun beliau telah berpindah bersama bapanya
Abdul Hamid Afandi menuju ke Istanbul. Kecenderungannya terhadap seni khat jelas
kelihatan ketika beliau masih lagi menuntut di sekolah kanak-kanak di kampungnya.
Disebabkan kecenderungan ini, Sheikh Abdul Aziz Al-Rifa’ie telah diserahkan sendiri oleh
ayahnya kepada penulis khat tersohor ketika itu bernama Baqqal Arif Afandi untuk
mempelajari khat. Beliau mendalami Khat Thuluth dan Nasakh daripada Sheikh Baqqal
manakala Khat Thuluth Jalli dan Ta’liq dipelajari daripada Sheikh Sami Affandi.
Pada tahun 1922M, beliau berhijrah ke Kaherah, Mesir di atas jemputan Raja Fuad I,
iaitu Raja Mesir pada masa itu untuk menulis Mushaf baginya. Kemudian beliau terus
menetap di Mesir dan menjadi tenaga pengajar seni khat di Institut Diraja Tahsin Al-Khutut
Khalil Agha, Kaherah dan di sekolah Al-Syeikh Salih selama 11 tahun. Sepanjang tempoh itu
beliau membantu mengasaskan dua buah sekolah yang bermatlamatkan mengindahkan
khat-khat Arab. Beliau telah menjadi pengetua dan guru khat bagi kedua-dua sekolah itu.
Sepanjang tempoh itu juga banyak buku-buku dan tulisannya dicetak serta masih lagi
digunakan hingga kini. Di Mesir, seluruh penulisannya dikembangkan dalam segenap
bentuk.
Setelah berada di Mesir sehingga dalam lingkungan umur 70an, beliau kembali ke
negara asalnya di Turki dan seterusnya pada 1934M (1353H), beliau meninggal dunia dan
jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Adranah Qabi, di Istanbul, Turki. Jasa Sheikh Abdul
Aziz Al-Rifa’ie amat besar dalam pembangunan kesenian Islam. Beliau telah menulis
sebanyak 12 mushaf, helaian-helaian kesenian khat, mencipta kertas Al-Ibro dan mencipta
pelbagai motif seni hiasan. Seni penulisannya amat berpengaruh di Mesir dan namanya
sentiasa dijulang dikalangan penulis-penulis khat Mesir.
Sheikh Hamid Al-Amidi (1891-1982M)
Khattat Hamid Al-Amidi dilahirkan pada tahun 1309H (1891M) di salah
sebuah kota lama di Tenggara Turki, dahulunya dikenali dengan nama Amid, sekarang
Diyar Bakr. Nama asal Hamid Al-Amidi ialah Al-Syeikh Musa Azmi. Beliau mulai terpaut
dengan seni khat sejak masih kecil lagi. Beliau mempelajari seni khat dan lukisan semasa
menuntut di sekolah rendah dan menengah di bandar Amid dari khattat-khattat terkemuka
di kampungnya. Kemudiannya beliau datang ke Istanbul 1324H (1908M) untuk
menyambung pelajaran di Sekolah Undang-undang dan seterusnya di Sekolah Seni-seni
Bernilai.
Kematian bapanya Zul Faqar Agha memaksa beliau mencari sumber rezekinya
sendiri. Dengan itu beliau mula bertugas sebagai seorang guru khat dan lukisan di salah
sebuah sekolah dan sebagai ahli khat di beberapa tempat berkaitan percetakan. Beliau
mulai mempelajari Khat Thuluth dan Nasakh melalui Nazif Bek, namun kematian gurunya
semasa awal pembelajarannya telah menghalang beliau daripada melanjutkan
pengajiannya dalam pelajaran ini.
Beliau menghabiskan sebahagian besar daripada usianya dengan berkecimpung
dalam seni khat serta pernah bertemu dengan ahli-ahli khat Istanbul yang masyhur seperti
Kamil Afandi, Haqqi Bek, Kholusi Afandi dan lain-lain lagi. Dengan berbincang bersama-
sama mereka beliau memperkembangkan tahap khatnya bukan sahaja dengan cara belajar
daripada mereka tetapi dengan cara berbincang dan berdialog sehinggalah beliau dapat
meningkatkan dirinya sebagai salah seorang guru khat di Istanbul yang pada masa itu
merupakan tempat saingan ahli-ahli khat untuk menonjolkan kemahiran mereka.
Allahyarham Hamid Al-Amidi mempunyai kebolehan menulis di dalam berbagai-
bagai gaya bentuk khat yang dikenali. Beliau sangat tertarik dan mengilhami karya-karya
khattat-khattat yang terkenal seperti Raqim dan Sami. Beliau terkenal dengan gaya-gaya
tulisan Khat Thuluth, Nasakh dan Ta’liq. Selama 75 tahun berkecimpung di dunia seni khat,
tahun-tahun cemerlang baginya ialah di antara tahun 1338-1385H/1920-1965M. Beliau
telah menulis dua buah naskhah kitab suci Al-Quran. Banyak kubah-kubah dan dinding-
dinding masjid dihiasi dengan ayat-ayat suci Al-Quran, umpamanya Masjid Abu Ayyub Al-
Ansari. Hamid Al-Amidi meninggal dunia pada 24 Rejab 1402H (18 Mei 1982) dan
dikebumikan di perkuburan Qarrah Jah Ahmad, Uskundar, Turki berhampiran dengan
makam Sheikh Hamdullah, tokoh seni khat zaman Kerajaan Uthmaniah.
Antara karyanya:
Sheikh Muhammad Badawi Derani (1894-1967)
Sheikh Muhammad Badawi Derani dilahirkan pada 1894M di Damsyik, Syria serta
wafat pada 1967M. Beliau mempelajari seni khat daripada Sheikh Hamid Al-Amidi and
Yusouf Rasa di Turkey manakala di Syria beliau berguru dengan Mamdouh al Shareef dan
Moustafa al Sibaei. Tulisannya banyak dipengaruhi oleh Mustafa Raqam, Azizuddin
Rafaey, Hamid Al-Amidi dan Hashim Baghdadi. Beliau merupakan tokoh tersohor seni khat
di Syria pada zamannya dan antara muridnya ialah Sheikh Uthman Taha yang terkenal
sebagai penulis Mushaf Madinah yang dipakai sehingga ke hari ini. Kini, Syria merupakan
antara negara yang banyak melahirkan Khuttat yang memenangi pertandingan khat
antarabangsa.
Beliau mengasaskan sekolah seni Khat Nastaliq di Damsyik, Syria yang kini terkenal
sebagai Institut Nastaalque Badawi Derani yang banyak melahirkan khattat Syria. Beliau
amat mahir dalam semua jenis khat termasuk Farisi, Thuluth, Kufi, Riqaah, Diwani, Diwani
Jali dan Nasakh. Beliau banyak menulis di dinding masjid sekitar Damsyik, tulisan sijil dan
memo kerajaan, Masjid Nabawi di Madinah, istana dan bangunan kerajaan di Saudi Arabia.
Karya beliau dikumpul oleh anaknya melebihi 1500 karya yang telah dicetak semula dan
diedarkan di Syria, Switzerland dan Amerika.
Antara hasil karya beliau:
Sheikh Sayyid Ibrahim (1897-1994M)
Dilahirkan di Seksyen Qal’ah, Kaherah pada bulan Ogos 1897M. Memperolehi ijazah
pertama dari Universiti Al-Azhar seterusnya Ijazah Sarjana dalam bidang sastera di
Universiti Al-Ahliah Al-Masriyah. Beliau meminati seni khat sejak kecil dan mempelajari
seni khat dari Syeikh Abdullah Bek Al-Zahdi dari Turki dan Syeikh Muhammad Bek Jaabar.
Berdasarkan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki oleh Sayyid Ibrahim, beliau
telah diamanahkan untuk mengajar seni khat di Universiti Kaherah dan Institut Tahsin Al-
Khutut, Kaherah. Sayyid Ibrahim amat terkenal sebagai penulis khat sekitar awal kurun ke-
21. Beliau telah banyak menghasilkan tulisan-tulisan di dalam buku, majalah dan
bangunan-bangunan berseni.
Beliau pernah bekerjasama dengan penulis Turki terkenal Ahmad Kamil di dalam
penulisan di Istana Gabenor Muhammad Ali di Maniel, Turki dan Masjid Bangalore di India.
Beliau meninggal dunia pada bulan Januari 1994 di Kaherah, Mesir.
Antara hasil karya beliau:
Sheikh Hashim Muhammad Al-Baghdadi (1917-1973M)
Nama penuh beliau ialah Abu Raqim Hashim bin Muhammad Al-Haj Darbas Al-Qisi
Al-Baghdadi. Beliau dilahirkan di perkampungan yang sangat dikenali dengan nama
Khan Lund di Baghdad pada tahun 1335H (1917M). Sejak kecil beliau telah cenderung
kepada seni khat. Beliau mempelajari khat melalui Al-Marhum Al-Mala ‘Arif Al-Syeikhily
dalam tempoh yang singkat. Kemudian bertukar kepada Al-Marhum Al-Haj ‘Ali Sabir dalam
tempoh yang paling singkat juga. Akhirnya beliau mengulangkaji pelajaran khat melalui Al-
Syeikh Al-Mala ‘Ali Al-Fadli. Beliau mula menulis dan melakukan latihan di sisi Al-Mala
sementara Al-Mala membetulkan kesilapan dan memberikan dorongan kepadanya
sehingga beliau diberikan ijazah pada tahun 1363H (1943M).
Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Pengindahan Khat, Kaherah.
Apabila beliau menunjukkan kepada mereka ijazahnya dan contoh-contoh khatnya, guru-
guru dan para penyelia di Maktab tersebut merasa kagum dengannya. Dengan itu
pentadbiran Maktab mengambil keputusan untuk membenarkan beliau menyertai
peperiksaan akhir di mana dalam peperiksaan ini Al-Baghdadi berjaya memperolehi ijazah
pangkat pertama dengan cemerlang. Beliau diberikan ijazah oleh ahli khat Mesir yang
terkenal iaitu Sayyid Ibrahim dan Muhammad Husni pada tahun 1944.
Pada tahun 1946, beliau menerbitkan buku Al-Riq’ah. Beliau telah melawat Turki
dan menunjukkan hasil kerjanya kepada khattat Turki yang terkenal iaitu Musa Azmi,
dikenali sebagai Hamid Al-Amidi. Beliau berjaya memperoleh ijazahnya sebanyak dua kali,
salah satunya pada tahun 1950, manakala yang satu lagi pada tahun 1952. Pada 1952 Al-
Amidi mengisytiharkan Hashim sebagai seorang penulis khat terbaik di dunia Islam.
Hashim menggabungkan gaya khattat Baghdad klasik, Yaqut Al-Musta’asimi
dengan gaya moden Sekolah Uthmani. Beliau juga terkenal sebagai seorang penulis Khat
Thuluth. Beliau menyelia kerja-kerja percetakan Al-Quran yang ditulis oleh khattat Turki
iaitu Muhammad Amin Al-Rushdi. Beliau menyedari ada beberapa kesilapan pada
muka surat, juzuk dan surah. Al-Quran ini diterbitkan buat pertama kali di Baghdadpada
tahun 1951. Kemudian diterbitkan semula pada tahun 1966 dan Edisi Ke-3 pada 1972 di
Jerman.
Pada tahun 1960 beliau menjadi pensyarah Seni Khat Arab di Institut Seni Baghdad.
Kemudian menjadi Ketua Jabatan Seni Khat dan Hiasan Islam sehinggalah beliau meninggal
dunia pada tahun 1393H (1973M) di Baghdad dan di kebumikan di perkuburan Al-
Khaizuran. Semenjak tahun 1961, beliau telah menerbitkan koleksi khat peribadinya yang
terbaik dengan tajuk ‘Method Seni Khat Arab’.
Hasil kaligrafinya dapat dilihat di masjid-masjid di Iraq termasuklah Masjid Shahid,
Masjid Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani, Masjid Haidir Khanna, Masjid Al-Muradia dan Masjid
Bunia. Beliau juga mereka bentuk mata wang Iraq, duit syiling Tunisia, Morocco, Libya dan
Sudan. Beliau menganugerahkan Diploma kepada pelajarnya Abdul Ghani Al-Ani. Hashim
Al-Baghdadi bercadang untuk menulis Al-Quran mengikut gayanya namun beliau tidak
sempat menghabiskannya. Koleksi himpunannya yang terkini diterbitkan semula
di Baghdad pada 1978.
Antara karya beliau:
Syeikh Muhammad Abdul Qadir
Nama penuhnya Muhammad Abdul Qadir Abdullah. Lahir di bandar Kaherah, Mesir
pada 1917M. Merupakan pelajar Institut Tahsin Al-Khutut Khalil Agha, Kaherah. Beliau
bergurukan Syeikh Muhammad Izzat dari Turki, Syeikh Muhammad Ali Makawi dan Syeikh
Muhammad Ridhwan. Beliau terkenal sebagai pembaharu di dalam Khat Kufi. Beliau juga
telah mencipta Tarkib Thuluth Jalli yang rumit jarang dilakukan oleh penulis lain. Beliau
memperolehi anugerah antarabangsa yang banyak antaranya Anugerah Seni Khat dan
Penyemarak Khat pada 1938M. Beliau kerap diajak menjadi hakim Pertandingan Khat
Antarabangsa, terakhirnya pada pertandingan Yaqut Al-Musta’lami pada 1989M. Jasa
beliau di dalam memperkasakan seni khat memang tidak ternilai.
Antara karya beliau:
Syeikh Muhammad Haddad
Nama penuhnya Muhammad bin Saad bin Haddad, dilahirkan di Kaherah pada
1920M. Beliau meminati khat semenjak kecil dan meraih dua ijazah, diploma Seni Khat
Institut Tahsin Al-Kutut dan Ijazah Seni Estetika dari Universiti Kaherah pada tahun 1943.
Syeikh Haddad aktif di dalam penulisan Mushaf dan tersenarai sebagai antara penulis
Mushaf yang banyak di Mesir. Beliau pernah meraih Johan Khat Sedunia pada tahun 1984
dan menerima anugerah Presiden Hosni Mubarak di atas jasanya. Beliau juga
meninggalkan dua karya agong untuk peminat seni khat, pertama ‘Nuqat Fauqa Huruf’ dan
kedua ‘Huruf Min Ghari Nuqat’.
Antara karyanya:
Kehebatan Seni Khat
Kehebatan seni khat dapat dilihat melalui:
Pertumbuhan khat dan tulisan arab pada zaman Jahiliyah
Ada pendapat mengatakan seni khat terdiri daripada khat al-Musnad yang juga
dikenali sebagai khat Arab Utara atau Khat Humairi. Khat ini telah tersebar di persekitaran
al-Mundhir dan Syam (Syria). Ini berlaku semasa rombongan perniagaan di antara orang
Arab Yaman dan orang Arab yang bermukim di Syria, dan Iraq di utara Semenanjung Tanah
Arab. Melalui mereka, khat ini dibawa secara langsung ke bumi Hijaz.
Ia juga dikatakan berkembang hasil daripada khat Nibti (Nabatea). Berdasarkan
kepada pendapat G.J Klehr pada pertengahan pertama abad ke-18 terdapat hubungan
antara khat Arab dengan khat Nubti (172M). Menurut Th. Noldeke khat Arab berkembang
daripada khat Nubti (1865M). Berdasarkan kepada kajian tentang hasil-hasil ukiran
sebelum Islam dan pada abad pertama Hijrah, menunjukkan khat Arab terbit daripada khat
Nibti. Ukiran tertua yang dapat dijadikan bukti peringkat-peringkat penyebaran dalam
perkembangan khat Nibti yang berlaku pada penghujung abad yang ke-3 dan abad ke-4
masihi telah dijumpai di Umm al-Jamal (250M) dan Nammarah (328M). Kedua-dua ukiran
ini, adalah dalam bahasa dan tulisan Nibti.
Ukiran Ummul Jamal –Tulisan Nabati ( 250-271M)
Tulisan Humairi bersama terjemahan Arab
Tulisan Hauran, aliran tulisan Nibti yang paling hampir kepada tulisan arab
Zaman Rasulullah Dan Sahabat
Islam telah datang membawa perubahan yang besar terutama dalam bidang
penulisan. Penulisan telah menjadi perantaraan terpenting dalam penetapan pencatatan,
pengajaran dan penghebahan sehingga ia berkembang luas. Selepas hijrah nabi, seni khat
telah menjadi manifestasi bagi suatu perubahan yang agung mengatasi perkembangannya
selama tiga abad selepas itu.
Penurunan surah al-Alaq ayat 1-5 kepada junjungan mulia Nabi Muhammad telah
menjadi titik tolak kepada penulisan. Penulisan telah menjadi penting apabila ia digunakan
untuk menulis ayat-ayat suci al-Quran dan terpelihara sehingga kini. Kemudian turun pula
ayat-ayat lain yang sering mengaitkan penulisan dengan sumber ketuhanan dan
memerintahkan penggunaannya sehinggalah tulisan mendapat kedudukannya dalam
kehidupan umat Islam sebagai salah satu keperluan asas.
Pada zaman Nabi Muhammad, baginda memerintahkan para sahabat merakamkan
semua maklumat dengan tulisan dan mewasiatkan mereka memelihara tulisan tersebut.
Baginda menggesa mereka mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis. Rasulullah
s.a.w juga pernah mengarahkan setiap tawanan perang Badar yang baik tulisan dan
bacaannya supaya mengajar anak-anak orang Islam seramai 10 orang sebagai bayaran
penebusan diri mereka.
Pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin penulisan semakin bertambah dengan meluasnya
penggunaan tulisan dalam urusan-urusan agama, pentadbiran dan mu’amalat harian.
Zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. (13-23H / 634-644M), sekolah-
sekolah didirikan dan guru-guru dilantik.
Apabila para penghafaz al-Quran semakin berkurangan disebabkan syahid di medan
peperangan pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau telah
mengarahkan Zaid bin Thabit mengumpul dan menulis al-Quran.
Tulisan Khat Arab ( Kufi) di kubur Thabit bin Zaid pada 64H.
Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. (23-53H / 644-656M) timbul
kepelbagaian cara membaca al-Quran, maka beliau mengambil lembaran-lembaran yang
dicatat oleh Zaid bin Thabit dan diletakkan dalam simpanan Hafsah binti Umar r.a. Khalifah
Uthman bin Affan telah mencatatkan sebuah mushaf yang dikenali sebagai Mushaf al-
Imam. Beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Amru al-Asr, Abdullah
bin al-Zubir, Ibn al-Abbas dan Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisham supaya menyalin
semula naskhah untuk dihantar ke seluruh pelusuk negeri.
Mushaf Saidina Usman pada zaman beliau sendiri
Zaman Pemerintahan Bani Umaiyah
Pada zaman Bani Umaiyah, khat mula berkembang maju. Bentuk tulisan pada ketika
itu lebih lembut mempunyai nilai estetika yang tinggi. Tanda titik dan baris mula
diperkenalkan untuk memudahkan orang-orang ajam (selain bangsa Arab) mengenali
tulisan Arab. Ziad (Dato’ Bandar Basrah) merupakan penulis wahyu Rasullullah meminta
Abu Aswad al-Du'ali meletakkan tanda titik pada tahun 45 Hijrah, kemudian perletakan
baris disempurnakan oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi. Disamping itu penggunaan
kertas yang terkenal dengan nama ‘kertas Syami’ adalah salah satu langkah positif dalam
usaha meningkatkan penulisan seni khat.
Mushaf Saidina Usman dengan tanda titik oleh Abu Al-Aswad al-Duali pada zaman Muawiyah
Tulisan Kufi yang hampir kepada nasakh yang diletakkan baris oleh al-Farahidi ditemui
berusia sejak 135H.
Sebuah tulisan pada zaman Umawiyyah yang mempunyai unsur kelembutan dan permulaan
kepada penulisan Khat Nasakh.
Daya Usaha Khalifah Umaiyah
Khalifah Umaiyah telah berusaha untuk menyatukan penulis khat dengan
memberikan kedudukan istimewa kepada mereka. Pemerintahan Umaiyah di Syam (Syria)
merupakan pemerintah yang mula-mula sekali menekankan penggunaan tulisan khat.
Pemerintah Umaiyah telah mengambil langkah mengembangkan seni khat semenjak mula
lagi dengan menggunakan ukiran di marmar dan lantai batu berbunga, ukiran huruf dan
bunga-bunga di masjid, umpamanya kubah Masjid Baitul Maqdis, Masjid Umawi di
Damsyiq, Istana Khiar dan Istana Jusaq. Manakala golongan yang kaya pula berusaha
menghiasi al-Quran dengan menjilidkannya serta menghiasi dinding-dinding istana dengan
tulisan-tulisan khat yang indah.
Perletakan titik oleh Abu Aswad Ad-Dualli
Zaman Pemerintahan Abbasiyah
Terdapat dua tokoh yang terkenal iaitu al-Dhahlaq bin Ajalan semasa pemerintahan
Abu al-Abbas al-Saffah dan khattat Ishaq bin Hammad pada masa pemerintahan khalifah al-
Mansur dan al-Mahdi. Pada zaman pemerintahan kedua-dua khalifah, terdapat sebelas
jenis khat, antaranya:
1. Khat Al-Sijillat
2. Khat Al-Jalil
3. Khat Al-Dibaj
4. Khat Al-Tumar
5. Khat Al- Thuluthain
6. Khat Zanbur (dari Thaqil Thuluth)
7. Khat Al-Mufattah
8. Khat Al-Mudammirat
9. Khat Al-Uhud (dari khat Al-Haram)
10. Khat Al-Qasas
11. Khat Al-Khirfaj (dari khat Dibaj)
Tulisan Yaqut al-Musta'simi (pencetus Aqlam Sittah) pada zaman Abasiyyah.
Sebuah Mushaf yang berusia sejak zaman Abbasiyyah
Sebuah Mushaf pada zaman Abbasiyah yang ditulis dengan gaya pena Yaakut al-Musta'lami
dengan gaya Thuluth
Kemuncak Estetika Seni Khat
Keindahan seni khat telah sampai ke kemuncaknya pada tahun 300 Hijrah di tangan
‘bapa’ khat Arab, iaitu Abu Ali Muhammad bin Muqlah, merupakan seorang penulis,
penyair, khattat (penulis khat) dan seorang menteri di Baghdad (272-328H / 885-939M).
Beliau mempelajari khat daripada al-Ahwal al-Muharral dan merupakan orang yang mula-
mula mencipta kaedah menilai penulisan khat dengan menggunakan alif sebagai asas
penentuan bentuk huruf, maka terhasillah daripadanya khat yang indah dengan kaedah
yang mantap ini dan seterusnya berkembang di timur dan barat.
Zaman Kerajaan Fatimiyah
Pada tahun 259-566 Hijrah, pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan
kehebatan seni khat melalui pendekatan pengindahan pada istana-istana, singgahsana,
peralatan rumah, hadiah atau barang-barang antik mereka. Pusat seni khat di Mesir atau
dikenali sebagai Dewan Insya’ di ketuai oleh seorang penulis yang handal dan diberikan
gelaran sebagai ‘Dastus-Syarif’. Kerajaan Fatimiyah sentiasa memberikan perhatian kepada
seni khat terutamanya pada zaman Kerajaan al-Ayubi dan kerajaan Mamluki.
Zaman Pemerintahan Kerajaan Turki
Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Turki untuk memperindah dan
mengembangkan seni khat ialah :
1. Masyarakat memberikan penilaian yang tinggi kepada seni khat, kerana
penulis khat berperanan menulis al-Quran, menyalin penulisan sastera dan
syair dengan indah berilhamkan ayat-ayat al-Quran dan Hadis.
2. Kerajaan Turki telah menggunakan pelbagai jenis khat dalam pentadbiran
kerajaan, urusan diraja dan ketenteraan. Dalam kurun kesebelas hijrah
umpamanya, terdapat lebih kurang 30 jenis tulisan.
3. Pemerintahan Kerajaan Turki amat menyanjungi tokoh khat dan seni khat.
Ini terbukti apabila penulis buku Mira’tul-Haramain (Cermin Dua Tanah
Haram) mengatakan: “Penulis khat sultan mendapat gaji sebanyak 400 lera
emas Uthmaniyah sebulan”.
4. Kerajaan Uthmaniyah menonjolkan seni khat sebagai satu ciri publisiti
untuk mengukuhkan dasar pemerintahan terhadap rakyat. Di masjid agung
Bursyah, Turki umpamanya terdapat slogan berbunyi “Sultan adalah
bayangan Allah s.w.t di muka bumi”, dengan ukuran empat meter persegi.
Demikian juga terdapat pelbagai slogan di dalam masjid yang lain di
Istanbul bertujuan sebagai publisiti kepada sultan. Antaranya ungkapan
“pemerintahan yang memberi ilham”, “doa sultan sumber keampunan”, dan
lain-lain lagi.
5. Gereja-gereja banyak dihiasi dengan patung-patung dan gambar-gambar,
lalu kerajaan Uthmaniyah menampilkan imej Islam melalui pendekatan
menghiasi masjid-masjid dengan tulisan khat. Tulisan khat juga diabadikan
untuk memperindah tembok-tembok istana, kolam mandi, bangunan di
perkuburan, air pancutan, peralatan, barang-barang kemas dan pakaian.
6. Islam menolak penggunaan bentuk tulisan dan gambar. Ini memberikan
cabaran kepada mereka yang mempunyai bakat seni dalam dirinya untuk
menggambarkan aspirasinya. Dengan ini membuka ruang yang luas kepada
seni khat mengambil alih tugas tersebut.
Malaysia
Di Malaysia, seni khat dimajukan dalam pelbagai bidang seperti contoh, tulisan ini
diukir diatas kayu keras. Ini adalah keistimewaan seni khat di Malaysia, yang diwarisi
turun temurun dan dimanfaatkan untuk mempertingkatkan seni khat Islam. Ayat Al-Quran
diukir bermotifkan tumbuh-tumbuhan yang berpusing-pusing kanan dan kiri. Alatan
senjata seperti pedang juga diukir dengan ayat Al-Quran.
Pada zaman keagungan kerajaan Melayu Islam diseluruh Alam Melayu, seni khat
diabadikan diatas duit syiling seperti pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah
(1455-1459). Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah (1632-1677), wang emas
diukir dengan khat. Begitu juga dengan cokmar, mop mohor, pingat dan bintang kebesaran
kerajaan negeri di Malaysia juga diukir dengan ayat Al-Quran.
Khat yang diabadikan diatas tenunan songket dan hiasan menambahkan lagi
keunikan penggunaan khat di Malaysia. Pameran khat juga sering diadakan di Malaysia
dibawah anjuran Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain lagi. Hal ini bertujuan
sebagai tanda kebangkitan kembali penghayatan dan penghargaan terhadap seni khat dan
ukiran Islam. Diantara ahli khat Malaysia yang masyhur adalah seperti Syed Abdul Rahman
al-Attas. Khat beliau diabadikan di bangunan Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu,
Masjid Jamek, Bangunan Parlimen Malaysia, koleksi Muzium Seni Asia (Universiti Malaya),
koleksi Sultan Johor dan lain- lain lagi.
Kesimpulan
Maka kesenian merupakan satu perkara yang diharuskan di dalam Islam dan di
antara kesenian yang digalak oleh Islam ialah Seni Khat Arab. Nabi s.a.w. telah memberi
penekanan terhadap seni khat, sekalipun Baginda seorang Ummi. Syeikh Ali Abd Rahman
al-Kelantani pernah menulis, Nabi S.A.W pernah bersabda, yang memberi maksud memberi
penekanan ke arah tersebut berdasarkan kepada Hadith Rasulullah s.a.w. dalam sabdaNya:
“Apabila kamu menulis Bismillah al-Rahman al-Rahim, maka cantikkanlah tulisan kamu
sebagai membesar keagungan Allah S.W.T..” Dan di dalam Hadith yang lain Nabi s.a.w. telah
bersabda: “Apabila kamu menulis Bismillah al-Rahman al-Rahim, maka panjangkan tulisan
al-Rahman sebagai membesar keagungan Allah S.W.T..” Khat Arab ini perlu dipelihara oleh
semua lapisan masyarakat ia boleh dianggap sebagai aset yang sangat berharga bagi
generasi Muslim akan datang. Malah ia merupakan anugerah khusus daripada Allah S.W.T.
kepada insan yang tersemai di dalam jiwanya ciri-ciri kesenian. Oleh yang demikian
pembelajaran khat Arab harus diperkenalkan semula di semua peringkat pengajian
bermula dari sekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi.
Recommended