View
129
Download
7
Category
Preview:
Citation preview
PENDIDIKAN ABAD KE-21 : ISU DAN CABARAN
1. Pendahuluan: Apa Abad Ke-21?
Abad ke-21 ialah abad kini dalam kalendar-kalendar yang berdasarkan
Kalendar Gregory, Tempohnya adalah dari 2001 hingga 2100 dan tempoh
milenium ketiga adalah dari 2001 sehingga 3000. Ini disebabkan pengiraan
abad pertama bermula dengan tahun 1. Biasanya, penggunaan umum
mengganggap bahawa abad ke-21 berlangsung dari 2000 hingga 2099 dan
milenium ketiga dari 2000 sehingga 2999. Pada 2000, ISO menyokong
kegunaan umum dengan mentakrifkan kalendar yang memulakan
perhitungannya dari tahun sifar. Dari segi amalan, masalah ini telahpun
diselesaikan dengan penggunaan 1 Januari, 2000 yang meluas untuk
menandakan permulaan abad ke-21. Dekad-dekad sering dianggap sebagai
bermula dengan tahun sifar dan diberikan nama yang sewajar, umpamanya
"2010-an" dan sebagainya. Serupa dengan tempatnya abad ke-20 dalam
penamaan "20th century Fox", abad ke-21 telah dipergunakan dalam nama
pelbagai syarikat dan organisasi. (Sumber : Wikipedia bebas dalam Versi
Bahasa Melayu; Tarikh akses : 24 September 2010)
Abad ke-21 membawa masyarakat dunia ke satu lagi fasa
penganjakan paradigma kehidupan. Ini meliputi penganjakan daripada
masyarakat perindustrian kepada masyarakat berinformasi; penggunaan
teknologi manusia kepada penciptaan teknologi tinggi; pemusatan kuasa
kepada pengagihan kuasa; konsep hierarki kepada konsep jaringan; ekonomi
tempatan kepada ekonomi antarabangsa; dan perancangan jangka pendek
kepada perancangan jangka panjang (Mumtaz Begam dan rakan-rakan,
2002).
Razali Ismail (2000:2), mengatakan abad Ke-21 sering dikaitkan
dengan era Teknologi Maklumat (IT) yang memungkinkan kepantasan dan
menjumudkan faktor jarak dan masa. Perkembangan terkini dalam ‘open sky
technology’ membawa implikasi kepada kehidupan manusia sejagat. Seperti
yang kita lihat dan rasa, dunia yang luas pada hakikatnya telah dikecilkan
dengan teknologi komunikasi yang canggih dan pantas.
1
Perkembangan yang pesat dalam teknologi komunikasi dan arus
globalisasi ini telah mempengaruhi sistem komunikasi global. Jika satu ketika
dahulu isu limpahan siaran melalui Direct Broadcasting Services, aliran berita
antara negara yang tidak seimbang dan order baru maklumat dunia menjadi
isu hangat dibincangkan dalam arena komunikasi, isu-isu ini kini tidak lagi
begitu diperdebatkan. Sebaliknya isu-isu komunikasi tanpa sempadan,
masyarakat bermaklumat dan masyarakat berpengetahuan menjadi isu-isu
baru yang memenuhi ruang perbincangan di peringkat antarabangsa. Dunia
abad ke 21 adalah satu dunia baru. Dunia sekarang ini bukan lagi
terkenalkerana ideologi politiknya tetapi kepada kuasa ekonominya. Kuasa
besar ekonomi dunia dengan sistem kapitalisnya ingin mewujudkan satu
dunia global dengan pasaran global.
Kemajuan dalam bidang komunikasi ini juga telah memberikan
pengaruh yang besar kepada keadaan sosial, pentadbiran, perubatan,
hubungan antarabangsa, pengangkutan dan sebagainya tidak terkecuali
bidang pendidikan yang menjadi teras kepada perubahan dunia abad ke 21
ini. Kesan globalisasi terhadap sektor pendidikan sangat ketara di negara-
negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Australia, New
Zealand, Jerman dan Russia. Ini dapat dilihat dengan pertambahan pelajar
luar negara yang belajar di institut pengajian tinggi negara-negara tersebut.
Demikian juga di Malaysia, Pendidikan Tertiari menunjukkan fenomena yang
sama di mana pada setiap tahun universiti-universiti tempatan di negara kita
menerima pelajar-pelajar luar dari seberang laut semakin meningkat.
Dalam keghairahan dunia abad ke-21 menikmati kemajuan Sektor
Teknologi Maklumat dan Komunikasi, bidang pendidikan khususnya di negara
kita terus berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran yang perlu dilihat
dengan rasa tanggungjawab oleh semua pihak. Sekiranya isu-isu dan cabaran
ini tidak ditangani dengan baik dan betul, kemajuan yang dicapai bukan saja
tidak akan mendatangkan sebarang faedah, bahkan akan menimbulkan
berbagai-bagai isu kemanusiaan sejagat. Terdapat berbagai-bagai isu dan
cabaran pendidikan di Malaysia yang timbul akibat kesan globalisasi dan
transformasi sama ada isu dan cabaran ini wujud disebabkan oleh hasrat
2
kerajaan itu sendiri ataupun kesan daripada kemajuan Sektor Teknologi
Maklumat dan Komunikasi dunia.
Dalam tugasan ini, saya ingin fokuskan kepada 4 isu dan cabaran iaitu
Pendidikan bertaraf Dunia, Pembestarian Sekolah, Pendidikan K-Ekonomi dan
Gejala sosial yang diakibatkan oleh ledakan maklumat dan globalisasi.
2. Isu dan Cabaran : Pendidikan Malaysia Bertaraf Dunia
Malaysia Ke Arah Pendidikan Bertaraf Dunia yang telah
diilhamkan oleh Y.A.Bhg Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana
Malaysia di Sidang Kemuncak Pendidikan 2004 beliau menyatakan
“Membangunkan Sistem Pendidikan Bertaraf Dunia merupakan
agenda kerajaan saya”. Pendidikan Bertaraf Dunia merupakan wahana
penting bagi mencapai hasrat wawasan 2020 ialah mahu menjadikan
masyarakat Malaysia maju dan saintifik. Masyarakat maju perlu bersedia
untuk menerima sesuatu yang baru, maju dan berdaya saing. Agen
perubahan utamanya ialah pendidikan. Pendidikan merupakan alat
terpenting di dalam pembangunan sumber manusia ke arah pencapaian
matlamat pembangunan negara. Pendidikan bertaraf dunia atau “world
class” akan menentukan kejayaan perubahan insan. ( Mohd Najib , 1997 ). Ini
adalah antara kata-kata terawal pemimpin kita mengenai pendidikan bertaraf
dunia.
Tepat pada masanya, Wawasan 2020 dan pendidikan bertaraf dunia
berada di dalam lingkungan abad ke -21 menunjukkan betapa besar hasrat
dan cita-cita kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk bersaing di peringkat
antarabangsa. Apakah maksud sistem pendidikan bertaraf dunia? Mengikut
Merian-Webster Online “ world class is defined as being of the highest
caliber in the world”. Pada pendapat saya bertaraf dunia bermaksud satu
pencapaian yang tertinggi atau yang setaraf dengannya di dunia. Ia
menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan
negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan
kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia.
3
Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud
kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan
sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis,
iaitu :
i. Pembangunan tenaga manusia
ii. Kepesatan pertumbuhan ekonomi
iii. Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
iv. Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat
v. Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual
vi. Pembangunan teknologi dan sains
vii. Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan
masyarakat.
Untuk mencapai status pendidikan bertaraf dunia, pihak kerajaan melalui
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengambil
langkah-langkah menyeluruh untuk mempastikan perkara berikut dapat
diurustadbir dengan sistematik dan berkesan iaitu:
i. Pendidikan Prasekolah dan Rendah
ii. Pendidikan Menengah
iii. Pendidikan Tertiari (Tinggi)
iv. Program Sokongan
v. Pembiayaan Pendidikan
vi. Pengurusan
vii. ICT Dalam Pendidikan
Selain daripada itu, pihak Kementerian Pelajaran juga perlu merefomasikan
pelbagai aspek pendidikan di semua peringkat persekolahan seperti perkara-
perkara berikut:
i. Kualiti pengajaran
ii. Kualiti perkhidmatan
iii. Kualiti kurikulum
4
iv. Kualiti penilaian dan pensijilan
v. Kualiti pensyarah
vi. Kualiti perkembangan dan kebajikan pelajar
vii. Kualiti persekitaran budaya pelajar dan organisasi
viii. Kualiti pengurusan dan pentadbiran universiti
ix. Kualiti kepimpinan universiti
x. Kualiti penyeliaan
xi. Kualiti mentoring
xii. Kualiti perkembangan staf atau tenaga pengajar
Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, perubahan yang
hendak dibuat mestilah sesuai dengan tuntutan semasa. Dalam kontek
Malaysia sistem pendidikan mesti dibangunkan dan dibuat pembaharuan
supaya ia dapat memenuhi tuntutan wawasan 2020 kerana wawasan ini tidak
akan menjadi kenyataan tanpa pembangunan sumber manusia dari segi
kuantitif dan kualitif. Perubahan dan pembaharuan adalah berdasarkan
kepada hakikat bahawa tanpa sistem pendidikan yang bertaraf dunia, impian
untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara maju tidak mungkin
dapat dicapai.
Bertitik tolak dari kesedaran ini, Kementerian Pelajaran membuat
pembaharuan yang disifatkan sebagai sesuatu yang mesti menjangkau
tempoh masa yang agak lama. Ia mestilah bersifat sistematik iaitu ia tidak
boleh terdiri dari satu komponen pendidikan iaitu educational content,
educational tools dan infrastruktur pendidikan mestilah diolah sedemikian
rupa supaya perubahan menjadi lebih bersepadu, holistik serta
komprehensif. Perubahan sistematik ini mestilah dilihat secara menyeluruh
dan dalam kontek yang lebih luas.
Pertama, soal asas iaitu perundangan. Sejauh manakah kuasa yang
ada pada Kementerian Pelajaran dalam membuat beberapa perubahan
sistem pendidikan. Pembentangan Rang Undang-Undang Pendidikan 1995
membolehkan reformasi pendidikan dilaksanakan.
Antara lain, rang undang-undang tersebut menggariskan :
5
Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan
pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi
negara.
Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar
pendidikan kebangsaan
Tempoh pendidikan rendah adalah antara lima hingga tujuh tahun
Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan
kebangsaan
Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan
Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta
Bermula dengan akta, perubahan boleh dibuat terhadap komponen-
komponen lain sistem pendidikan yang merangkumi ketiga-tiga komponen
penting di atas iaitu isi kandungan pendidikan, alat-alat pendidikan dan
infrastruktur. Contohnya, apabila kita mengubah kurikulum sekolah, faktor-
faktor latihan guru, soal fizikal, soal kemasukan teknologi baru, sistem
penilaian, kebajikan guru, profesionalisme dan lain-lain lagi hendaklah
diambil kira.
Begitu juga peningkatan taraf institusi pendidikan tinggi contohnya
Institut Perguruan Sultan Idris yang telah dinaikan taraf sebagai Universiti
Perguruan Sultan Idris. Sejajar dengan peningkatan taraf ini, adalah
diharapkan kewibawaan guru-guru akan dipertingkatkan untuk melahirkan
insan yang cemerlang
Untuk mencapai status pendidikan bertaraf dunia, kerajaan perlu
menyegerakan untuk menyelesaikan masalah peluang pendidikan tertiari di
IPTA dan IPTS yang sedia ada masih tidak mencukupi untuk memenuhi
permintaan masyarakat dan keperluan negara yang semakin meningkat.
Peratus kemasukan pelajar ke peringkat tertiari adalah amat kecil jika
dibandingkan dengan kohort yang sama di negara-negara maju. Contohnya,
berdasarkan data Organisation for Economic Cooperation and Development
(OECD) bagi tahun 1996, peratus kemasukan pelajar ke peringkat tinggi
bukan ijazah bagi kohort 18-21 tahun adalah 11 peratus di Malaysia
6
berbanding dengan 26 peratus di Amerika Syarikat dan 12 peratus di United
Kingdom. Peratus kemasukan pelajar ke peringkat ijazah bagi kohort 18-21
tahun adalah lima peratus di Malaysia berbanding dengan 41 peratus di
Amerika Syarikat dan 39 peratus di United Kingdom. Adalah menjadi cabaran
kepada Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan tahap aksesibiliti kepada
pendidikan tertiari sejajar dengan konsep pendemokrasian pendidikan.
Selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan
tertiari perlu mampu menyediakan peluang bagi mereka yang ingin
mendapatkan pengetahuan, kemahiran, latihan, dan latihan semula pada
peringkat tertiari. Tahap aksesibiliti ke pendidikan tertiari yang rendah akan
menghalang pembelajaran sepanjang hayat di kalangan masyarakat.
Cabaran kerajaan ialah untuk menyediakan peluang dan laluan bagi
kemasukan individu dan pelajar tercicir ke institusi pendidikan tertiari agar
rakyat Malaysia mempunyai pendidikan serta kemahiran ke arah membantu
pembangunan negara.
Langkah pengkorporatan universiti-universiti tempatan juga dilihat
sebagai salah satu cara ke arah memantapkan lagi pendidikan tertiari.
Selaras dengan pengkorporatan universiti, adalah diharapkan supaya pihak
pentadbiran universiti mengadaptasikan pengurusan universiti mengikut
model-model penswastaan, pengkorporatan dan pensyarikatan yang
menekankan kepada perkhidmatan keuntungan dan produktiviti.
3. Isu dan Cabaran : Ke Arah Pembestarian Sekolah Malaysia
Satu lagi isu pendidikan di Malaysia masa kini yang hangat
diperkatakan ialah Pembestarian Sekolah. Pembestarian sekolah diilhamkan
apabila pemimpin-pemimpin kita melihat perkembangan ICT di seluruh dunia
yang turut mempengaruhi Malaysia. Pembestarian sekolah merupakan
proses berterusan ke arah meningkatkan lagi pengunaan ICT dalam
pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan
pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan
kompetensi guru
7
Cabaran utama proses Pembestarian Sekolah ini ialah melatih guru
dan murid agar berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang
diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran
akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri
(self-paced). Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan
perkembangan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beberapa
penambahbaikan dalam pelbagai aspek perlu dilakukan supaya ianya
berdaya saing dan relevan dengan kehendak semasa.
Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario yang mencabar
dalam pendidikan alaf baru di Malaysia kerana ia memberikan sumbangan
yang besar kepada pencapaian Pendidikan Bertaraf Dunia dan bersesuaian
dengan perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa kini.
Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan
yang menggabungkan serta memberikan penekanan terhadap beberapa
aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir, pemusatan
kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara bijak, strategi
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, serta pengurusan sekolah yang
efektif.
Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 - 2010 yang
telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
pada 16 Januari 2007, dasar utama yang ditekankan oleh Kementerian
Pelajaran yang berkaitan dengan pembestarian sekolah adalah untuk
memastikan semua pelajar celik ICT. Mengutamakan peranan dan fungsi ICT
dalam pendidikan sebagai mata pelajaran atau pengupaya dalam pengajaran
dan pembelajaran dan menggalakkan penggunaan ICT bagi meningkatkan
produktiviti, kecemerlangan dan keberkesanan sistem pengurusan sekolah.
Perlaksanaan pembestarian sekolah mengambilkira semua inisiatif ICT sedia
ada di sekolah seperti projek rintis Sekolah Bestari, projek pengkomputeran
dan makmal komputer sekolah, projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dam Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), SchoolNet (projek
penyediaan prasarana jalur lebar untuk capaian ke internet di semua
8
sekolah) dan TV Pendidikan yang melibatkan aspek-aspek infrastruktur ICT
dan aplikasi pengurusan, pengisian dan latihan.
Kementerian Pelajaran akan menyelaraskan semua inisiatif ICT ini
bagi meningkatkan produktiviti, kecemerlangan dan keberkesanan sistem
pengurusan supaya boleh dilaksanakan secara cekap dan efektif, tanpa
pertindihan dan pembaziran.
“Teachers will need to change their role in the electronic classroom from
being information providers to counselors to help students develop know how
and judgment to select information sources. Key to success in the
Information Age will be making the right judgements between an awesome
array of choices. We are examining our education system to create a
curriculum where people learn how to learn for continuing education
throughout their lives.”
(Tun Mahathir Mohamed, Launch of the Multimedia Super Corridor, 1 August
1996)
“The smart school program will be re-modelled and its implementation fast-
tracked to enable more schools to benefit, at lower cost to the government.
Smart schools will have access to the Internet through the SchoolNet
program, which is already at an advanced stage of implementation.
Advanced teaching and learning materials developed through the Smart
School Pilot program will be utilised for teaching, while the Smart School
Management System will be used to improve administration processes.”
(Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi)
Launch of The Multimedia Super Corridor (M.S.C.) Next Leap, 3 July 2004)
“… pembestarian sekolah adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan sekolah-sekolah awam
lebih berdaya saing, kondusif dan moden mengikut arus pembangunan
semasa. Dalam proses pembestarian sekolah, sasaran kementerian ialah
untuk meningkatkan nisbah komputer kepada murid, masa dedahan murid
9
dan guru kepada penggunaan komputer dan mengaplikasikan teknologi yang
berkesan dari segi kos.”
(Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia, 7 Mei
2005)
Pelaksanaan pembestarian ini memanfaatkan (leverage) kepada
semua inisistif ICT yang sedia ada di sekolah merangkumi tiga elemen utama
iaitu infrastruktur ICT dan Aplikasi Pengurusan, Pengisian Pengajaran dan
Pembelajaran (P&P), dan Pembangunan Sumber Manusia. Fokus utama
Pembestarian Sekolah ialah untuk memastikan semua sekolah akan
mempunyai kecapaian ICT yang sama dengan;
i. menyediakan kemudahan infrastruktur dan perkakasan yang mencukupi
ii. menyediakan perisian dan bahan-bahan digital yang lengkap
iii. memberi latihan yang secukupnya kepada semua guru, pentadbir dan staf
sokongan
Pembestarian Sekolah akan menfaatkan elemen utama yang telah
dilaksanakan ke sekolah-sekolah melalui projek-projek Kementerian Pelajaran
seperti:
i. projek makmal pengkomputeran sekolah
ii. PPSMI dan MBMMBI
iii. rangkaian SchoolNet
iv. rancangan TV pendidikan
v. projek Rintis Sekolah Bestari
vi. ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
vii. mata pelajaran yang berasaskan ICT
viii. perkongsian Pintar dengan Syarikat Swasta
10
ix. latihan ICT Guru
x. pengurusan Perubahan bagi Guru dan Pentadbir Sekolah
Program Pembestarian ini akan dijalankan secara berperingkat dan
berfasa mengikut keutamaan dan keupayaan Kementerian dengan
mengambil kira kesediaan sekolah. Penggunaan ICT sebagai bahan bantu
dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan jantung Sekolah
Bestari. Pendekatan ini tidak hanya terhad dalam kurikulum, pedagogi,
pentaksiran, pengajaran dan pembelajaran, malah juga dalam bidang
pengurusan sekolah. Pengurusan dan pentadbiran sekolah dibestarikan agar
pengurus sekolah dapat menguruskan perjalanan sesebuah sekolah dengan
lebih efektif.
Walau bagaimanapun, dalam proses menubuhkan Sekolah Bestari di
seluruh negara, Kementerian Pelajaran kemudiannya telah mengambil
langkah bijak dan kos efektif dengan memperkenalkan Program
Pembestarian Sekolah. Ini memandangkan untuk membekalkan infrastruktur
teknologi penuh sebuah Sekolah Bestari, Kerajaan perlu membelanjakan
sebanyak RM1.8 juta, manakala untuk membekalkan infrastruktur teknologi
makmal komputer, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM642,000
bagi sebuah sekolah. Oleh itu, alternatif yang terbaik adalah dengan cara
membestarikan sekolah sedia ada yang hanya memerlukan peruntukan yang
jauh lebih rendah untuk setiap buah sekolah.
Pelaksanaan pembestarian ini mengambil kira (leveraging) semua
inisiatif ICT yang sedia ada di sekolah merangkumi tiga perkara utama iaitu
hardware, software dan wetware. Untuk itu, Kementerian Pelajaran telah pun
membekalkan pelbagai peralatan dan kemudahan ICT seperti komputer,
pencetak, server, projektor dan rangkaian. Statistik sehingga April 2005
menunjukkan sebanyak 4500 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh
negara telah dilengkapi dengan makmal komputer, sementara 8120 buah
sekolah telah dirangkaikan dengan capaian internet berjalur lebar melalui
rangkaian SchoolNet. Pembekalan peralatan dan kemudahan ICT merupakan
11
isu yang besar kerana terbukti telah melibatkan kos pembelian dan
pengurusan yang besar. Banyak wang yang telah digunakan oleh pihak
kerajaan untuk menyediakan prasarana ini.
Penyediaan perisian kursus juga merupakan cabaran kepada pihak
kementerian. Untuk itu, pembangunan perisian telah dilaksanakan dengan
kerjasama dengan pihak swasta. Perisian kursus untuk kegunaan Sekolah
Bestari yang melibatkan empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Sains dan Matematik telah dibangunkan dengan kerjasama pihak
swasta. Selain daripada menghasilkan perisian kursus untuk digunakan oleh
guru dan pelajar dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pembestarian sekolah menuntut kepada pengurusan pendidikan yang
lebih cekap dan berkesan dengan penggunaan aplikasi Smart School
Management System (SSMS), Educational Management Information System
(EMIS) dapat membantu memperkemaskan pengaliran dan perkongsian
maklumat di peringkat sekolah, jabatan dan kementerian. Latihan kemahiran
ICT kepada individu yang terlibat sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.
Pentadbir sekolah, guru, staf sokongan dan personel di pelbagai peringkat
Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Bahagian-bahagian
di Kementerian Pelajaran turut dibimbing dan dilatih menggunakan segala
kemudahan ICT yang disediakan.
Dalam menongkah arus globalisasi dan cabaran pendidikan hari ini,
semua pihak harus mengorak langkah yang proaktif. Perubahan ke arah
sistem pendidikan bestari adalah suatu usaha yang amat baik. Adalah
menjadi harapan kementerian, melalui pembestarian sekolah ini akan
membentuk modal insan yang berkemahiran dalam bidang ICT ke arah
masyarakat k-ekonomi, mengimbang jurang digital antara bandar, luar
bandar dan pendalaman, membentuk masyarakat yang kreatif, kritis dan
inovatif, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat berasaskan ICT serta
membangunkan pendidikan bertaraf dunia. Pembestarian sekolah ini perlu
12
disokong dan dilaksanakan oleh semua pihak untuk mengatasi
cabaran-cabaran yang timbul ke arah menjana modal insan yang
mempunyai minda kelas pertama.
4. Isu dan Cabaran : Pendidikan Malaysia Ke Arah K-Ekonomi
Sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem
pendidikan kebangsaan telah mengalami perubahan ke arah kemajuan dan
pemantapan. Pada abad ke-21 ini, negara kita menghadapi isu dan cabaran
dalaman serta luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi, dan
perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and
Communications Technology, ICT). Salah satu cabaran negara adalah untuk
membangunkan satu sistem ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau K-
ekonomi bagi menghadapi persaingan dengan negara lain. Perubahan sistem
ekonomi ini adalah satu fenomena yang pasti akibat daripada arus perdana
yang dibawa oleh globalisasi. Ekonomi baru ini memerlukan sokongan padu
daripada sektor pendidikan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang
berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang.
Cabaran tersebut menuntut agar negara membangunkan sumber tenaga
yang mempunyai ciri-ciri K-worker, celik dan mahir dalam ICT, mampu
bersaing pada peringkat tempatan dan pada peringkat global, bahkan
memiliki jati diri dan daya saing yang tinggi selaras dengan perkembangan
era dunia abad ke 21 yang sangat mencabar ini. Oleh itu, Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) perlu menyediakan program pembangunan
pendidikan yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan,
celik ICT, berkemahiran, dan berakhlak mulia bagi memenuhi Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Mohamad Muda (1991) mengatakan sistem pendidikan negara kita
memerlukan usaha-usaha yang strategik serta boleh meningkatkan
keupayaan dan kemampuan amalannya ke tahap kualiti yang tinggi dan
cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-21.
13
Pembangunan Pendidikan abad ke 21 mulai tahun 2000 mengambil kira
Dasar Wawasan Negara yang bertujuan membina bangsa yang berdaya
tahan, menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama, mengekalkan
pertumbuhan ekonomi, menghadapi persaingan antarabangsa,
membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, memperkukuh
pembangunan sumber manusia, dan meneruskan pembangunan alam sekitar
yang mapan. Untuk mencapai matlamat pembangunan negara, Rangka
Rancangan Jangka Panjang Ketiga (2001-2010, RRJP3) dan Rancangan
Malaysia Kelapan (2001-2005, RMKe-8) telah menggariskan strategi,
program, dan projek untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta
membina masyarakat yang bersatu padu, adil, dan saksama. Pembangunan
negara tertumpu kepada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara yang maju mengikut acuan sendiri. Semua ini mempunyai implikasi
yang besar terhadap sistem pendidikan kebangsaan.
Sistem pendidikan kebangsaan telah dapat meningkatkan kualiti
pendidikan dari segi
taraf pendidikan tenaga kerja. Pada tahun 1980, tenaga kerja yang tidak
mempunyai pendidikan formal adalah sebanyak 18.1 peratus dan menurun
kepada 8.7 peratus pada tahun 1995. Dalam tempoh yang sama, peratusan
yang mempunyai pendidikan tertiari berjaya ditingkatkan daripada 1.5
peratus kepada 11.1 peratus. Jadual tersebut menunjukkan tahap pendidikan
tenaga kerja di Malaysia semakin meningkat dengan lebih ramai mempunyai
pendidikan menengah dan tertiari. Pada tahun 2000, bilangan tenaga kerja
mahir dan profesional telah meningkat kepada 32 peratus dan 2005 telah
mencapai 46 peratus. Pendidikan tertiari merupakan pemangkin utama
penjanaan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan, berkemahiran,
dan berketrampilan bagi memenuhi keperluan mencapai wawasan negara
Dengan tertubuhnya kolej komuniti, politeknik, institusi latihan yang
dikendalikan oleh agensi kerajaan dan swasta, universiti awam, dan institusi
pendidikan tinggi swasta (IPTS), lebih banyak tenaga mahir dan profesional
akan dapat dilahirkan pada masa akan datang. Jika ini dapat dicapai, negara
kita akan mudah bersaing dengan negara lain di dunia pada abad ke 21 ini.
14
5. Isu dan Cabaran : Ledakan Globalisasi Menimbulkan Masalah
Sosial Pelajar
Satu lagi isu dan cabaran pendidikan abad ke-21 iaitu kesan daripada
ledakan globalisasi dunia serta pendedahan ICT, khususnya internet kepada
para pelajar sama ada di sekolah, rumah atau di siber-siber telah meletakkan
pelajar ke dalam dunia tanpa sekatan. Era penggunaan teknologi multimedia
secara menyeluruh menjadi topik perbualan yang sering diperkatakan. Belum
sempat kita merealisasikan impian melahirkan generasi yang mampu
mencerna dan mengisi keperluan cabaran negara, sebahagian besar remaja
kita telah jelas kelihatan tenggelam dalam arus perkembangan era teknologi
ini. Pembabitan bilangan remaja dalam gejala sosial turut meningkat secara
mendadak. Revolusi sektor pendidikan negara kini bukan sahaja tidak
berupaya menemui satu jalan penyelesaian dalam mengatasi masalah gejala
sosial remaja. Kita berhendakkan kemajuan yang diasaskan kepada budaya
Malaysia jati dan bukannya sebuah negara maju yang mengalami keruntuhan
akhlak dan moral di kalangan remajanya.
Di sini, nampaknya pendidikan abad ke-21 melakarkan cabaran demi
cabaran yang sangat menakutkan. Di samping kemajuan sains dan teknologi,
kemudahan alat telekomunikasi yang semakin canggih jelas mempunyai
keburukan terutamanya kepada para remaja bahkan seluruh manusia yang
masih mencari identiti mereka. Kemudahan internet disalahgunakan untuk
mengakses laman-laman yang tidak sihat telah memberikan kesan negatif
kepada mereka. Kesan yang paling ketara ialah kewujudan laman-laman
lucah yang telah mengakibatkan pengaruh seks bebas dan jenayah seksual.
Fenomena ini berlaku kalangan pelajar yang tidak matang untuk menilai
serta mempraktikkan apa yang boleh dan tidak boleh diamalkan. Masalah ini
semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan
bandar dan kota .
15
Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan
seawal usia 13 tahun ketika mereka berada di tingkatan satu dan dua.
Seorang guru disiplin di
sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom
yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman
Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut
dilakukan di sekolah tersebut. Peningkatan pembabitan remaja perempuan
dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan
akhlak remaja di Malaysia bertambah serius. Seorang lagi guru di sebuah
sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat
tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa
sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan
meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga
mendedahkan terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam
pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila
disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu adalah ketua pengedar pil
ecstasy di sekolah itu.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain
Ibrahim, jenayah seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala
Lumpur semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah
seksual yang mereka lakukan seperti mencabul kehormatan , merogol dan
juga pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan sahaja pelajar
wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau
mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan
pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Menurutnya,
sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya
diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram diseluruh
negara dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang
terlibat berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral di bawah meja di
bilik darjah oleh empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di
Taiping. Hasil siasatan guru-guru, didapati bahawa seorang daripada murid
16
itu mengulangi apa yang yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah ,
bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan oleh
sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di
bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah. Namun apa
yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup
mendedahkan anaknya ke arah gejala sosial dengan menonton video lucah
bersama-samanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita
pada hari
ini ? Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini? Adakah anak
yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu
dipersalahkan? Ibu bapa hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan
yang baik bagi anak-anak kerana pengaruh media massa pada zaman
ledakan maklumat di abad ke 21 ini dan lambakan bahan-bahan lucah seperti
majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak
dan para pelajar. Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris
kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan
ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial
dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas.
Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah
penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan
remaja. Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan
keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif
yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu, satu bentuk langkah
pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan
citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan
potensi diri mereka danmemanfaatkannya ke arah yang lebih positif.
Inilah isu dan cabaran kepada para guru di sekolah dan tugas
pendidikan di era IT ini untuk dilaksanakan dengan penuh rasa
tanggungjawab. Jika tidak, gejala ini akan semakin teruk dan berleluasa.
Akhirnya anak-anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa
hadapan akan rosak dan merosakkan orang lain dan nama baik negara kita.
6. Penutup
17
Kita percaya, perancangan Pembangunan Pendidikan abad ke-21
bertujuan melahirkan insan yang dapat menangani isu dan cabaran
globalisasi serta K-ekonomi. Bagi memenuhi matlamat tersebut,
pembangunan pendidikan dilandaskan kepada empat teras iaitu
meningkatkan akses, ekuiti, kualiti serta kecekapan dan keberkesanan
pengurusan pendidikan. Pendidikan yang berkualiti dan berkesan
dapat menghasilkan individu yang seimbang dan baik selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Individu sedemikian akan
mempunyai nilai moral yang mulia, daya ketahanan yang kukuh, dan
daya saing yang tinggi. Di samping itu, sistem pendidikan yang
berkualiti dan berkesan dapat menyumbang ke arah menjadikan
Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Pendidikan yang
berkualiti dan cemerlang merupakan wahana usaha membangunkan
generasi alaf baru. Sistem pendidikan negara memerlukan usaha-usaha yang
strategik yang boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya
ke tahap kualiti yang tingggi dan cemerlang agar dapat menangani cabaran-
cabaran abad ke-21. Sistem pendidikan yang berubah sejajar dengan
perubahan aspek ekonomi, budaya dan politik tersebut amat hebat dan
pantas. Jika kita leka boleh menyebabkan kita terpinggir dan tersingkir.
‘Intellectual capital’ akan menjadi asas kukuh berbanding kekayaan yang
berupa tanah, wang atau bahan mentah. Budaya korperat yang berasaskan
pendemokrasian kuasa akan menggantikan amalan hiraki tradisional.
Persaingan melebihi batas kawasan kepada persekitaran sejagat dan terlalu
sengit. Pendek kata prinsip dan nilai sejagat akan menentukan kejayaan
sesuatu institusi, organsisasi atau negara. Oleh itu sistem pendidikan dan
persekolahan di Malaysia sangat penting dalam menghadapi gelombang
perubahan ini.
Bibliografi
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Bahagian Perancangan
dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia, Edisi
Pelancaran PIPP 2006
18
Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia,
2001,Putrajaya
Iliyas Haji Hashim, (2002). Antara Cabaran dan Harapan Dalam Pengurusan
Kurikulum Sekolah Abad Ke-21: Pemikiran Dalam Pendidikan. Universiti
Malaysia Sabah:Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial.
Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi dan Hasnan Hakim, Dasar Dan Pelaksanaan
Sistem Pendidikan Kebangsaan, Kongres Pendidikan Melayu di Dewan
Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 1 – 2
September 2001
Al-Munsyi (1995), "TQM Dalam Pendidikan." Dewan Masyarakat. Disember;
23-25.
Kamarrudin Jusoh (1997). "Keluhan Bekas Guru Disiplin." MASSA. 5 April.
Marimuthu. T (1990). "Pengenalan Sosialogi Pendidikan." Petaling Jaya : Fajar
Bakti Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (1996). "Pendidikan Di Malaysia." Kuala Lumpur : Kumpulan
Othman Alhabshi, (2001). Dasar dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan
Kebangsaan UNITAR.
Roblyer, M.D.,Edwards,J.&Harrilak, M.A.(1997). Integration Educational
Technology into Teaching.New Jersey:Prentice Hall.
Schooley, C. (2002, October). Future Direction in the K-12 Education
Technology Services. Giga Information Group, Inc.
Kertas Kerja Seminar Sekolah Efektif, 14-16 Nov 1996 di Institut Aminuddin
Baki: Mewujudkan dan Mengekalkan Keberkesanan Institusi Pendidikan.
Utusan Pengguna, November 1997, M/S 23
19
Hussein Hj. Ahmad (2001). Mandat UNESCO dan cabaran globalisasi. Kuala
Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Tajul Ariffin Mohd Noordin & Nor Aini Dan (2002). Pendidikan pembangunan
manusia. Bangi: As Syabab Media.
Tajul Ariffin Mohd. Noordin & Nor Aini Dan (1992). Pendidikan dan wawasan
2020. Kuala Lumpur : Arena Ilmu Sdn. Bhd.
Wan Mohd.Nor bin Wan Daud. (2003). Budaya ilmu: Satu penjelasan.
Singapura: Pustaka Nasional.
Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin. (1993). Wawasan pendidikan: Agenda
pengisian. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
20
Recommended