Upload
hoangkhanh
View
226
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
LUNCHEON TALK BERSAMA EDITOR DAN PENGAMAL MEDIA26 APRIL 2016
“MEDIA DAN UNDANG-UNDANG: PERSPEKTIF NEGARA”
OLEH
YBHG. TAN SRI DATO’ SRI HAJI MOHAMED APANDI BIN ALIPEGUAM NEGARA MALAYSIA
Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya
Ketua Pegawai Eksekutif
Malaysian Press Institute (MPI)
YBhg. Datuk Mustapa Omar
Setiausaha/Bendahari
Malaysian Press Institute (MPI) /
Pengarang Kumpulan, Harian Metro/Metro Ahad
Encik Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli
Pengarah
Institut Pengajian Kewartawanan/ Institute of Journalism Studies (IJS)
1
YBhg. Datuk Seri/ Datuk/ Tuan/Puan dan sidang hadirin yang dihormati
sekalian,
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah
dan berkat kurnia-Nya maka dapat kita bersama-jama berkumpul
pada hari yang berbahagia ini. Ribuan terima kasih saya ucapkan
kepada pihak Malaysian Press Institute (MPI) atas undangan untuk
saya menyampaikan Luncheon Talk bertajuk “Media dan Undang-
Undang: Perspektif Negara”.
2. Saya amat berbesar hati kerana, pada hari ini juga, saya
berpeluang untuk berdamping dan mengenali dengan lebih dekat
lagi beberapa editor serta pengamal media yang selama ini saya
sekadar kenal melalui nama pena dan penulisan mereka yang
mengagumkan. Saya juga difahamkan bahawa majlis pada hari ini
dihadiri oleh para editor, wartawan kanan, ahli-ahli akademik dan
pengamal media tanah air di Malaysia. Saya percaya, kesudian
tuan-tuan dan puan-puan hadir ke Luncheon Talk pada hari ini
dalam kesibukan tugas masing-masing jelas mencerminkan
komitmen dan permuafakatan tuan-tuan dan puan-puan untuk
sama-sama membincangkan satu isu yang amat signifikan dalam
mencorakkan masa depan negara kita, khususnya bidang
2
kewartawanan. Melalui sesi ini, saya berharap dapat memberi
penjelasan lebih mendalam mengenai kebebasan media mengikut
undang-undang dari perspektif kerajaan.
PERANAN MEDIA DALAM ERA GLOBALISASI
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
3. Dalam dunia tanpa sempadan sebagaimana pada hari ini,
masyarakat sentiasa mendahagakan maklumat terkini dengan
kadar yang pantas. Jika empat puluh (40) tahun dahulu, sesuatu
berita, walau sesensasi mana pun, akan hanya tersebar meluas
apabila surat khabar dicetak dan diedar pada keesokkan paginya.
Lebih kurang empat puluh (40) ke lima puluh (50) tahun dahulu
juga, berita mengenai apa-apa program atau acara yang dirancang
untuk diadakan mengambil masa berhari-hari untuk disebarkan ke
pengetahuan umum. Sekitar empat puluh (40) tahun yang lalu juga,
gambar-gambar yang saya ambil di tempat-tempat yang saya lawati
diambil dengan kamera yang menggunakan filem, akan mengambil
masa sekurang-kurangnya selama sebulan untuk filemnya siap
diproses untuk ditatap bersama dengan ahli keluarga saya yang
lain. Surat-surat juga hanya akan sampai ke tangan penerima
3
selepas beberapa hari ia diposkan oleh si pengirim. Pada masa
dahulu, kaedah yang paling cepat untuk menyampaikan maklumat
ialah melalui telegram, yang mengambil masa sekurang-kurangnya
satu hari untuk ia sampai kepada penerima. Walau pun cepat,
jumlah perkataan yang boleh dimasukkan di dalam sesuatu
telegram adalah sangat terhad.
4. Namun, keadaan pada hari ini sungguh berbeza. Kini, dengan
kepesatan dan pembangunan teknologi media massa dan media
sosial, sesuatu kejadian atau berita boleh tersebar meluas ke
seluruh dunia sejurus selepas ia berlaku. Gambar yang diambil di
sesuatu tempat kejadian boleh dikongsi serata dunia selang
beberapa saat sahaja. Malah, baru-baru ini “the gravity-defying free-
kick” yang dijaringkan oleh pemain bola sepak Pulau Pinang, Mohd
Faiz Subri, telah dilihat oleh peminat bola sepak di seluruh dunia
selang beberapa minit selepas ia dijaringkan. Gambar-gambar dan
video-video kejadian serangan pengganas di Paris pada akhir tahun
lepas, serta di Jakarta, Brussels dan Turki pada awal tahun ini,
tersebar ke seluruh dunia hanya beberapa ketika selepas kejadian
itu berlaku. Semua ini mampu dilakukan melalui satu kaedah yang
sama, iaitu penggunaan “Media”, khususnya media sosial.
4
5. Justeru, tuan-tuan dan puan-puan, tidak dapat dinafikan bahawa
media pada hari ini memainkan peranan yang sangat penting dan
merupakan medium utama dalam proses penyampaian berita dan
maklumat kepada setiap lapisan masyarakat. Pada era ini, media
memiliki suatu kuasa yang amat luar biasa yang mampu
mencorakkan pemikiran dan kepercayaan masyarakat dalam
sesuatu perkara. Namun, kita harus sentiasa mengingati kata-kata
Winston Churchill semasa beliau menyampaikan ucapannya di
Parlimen United Kingdom pada tahun 1906, “Where there is great
power there is great responsibility, where there is less power there
is less responsibility, and where there is no power there can, I think,
be no responsibility.”
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Para pengamal media perlu sedar bahawa kuasa yang digalas
melalui mata pena dan papan kekunci komputer masing-masing
perlulah dipikul dengan penuh tanggungjawab. Suatu pelaporan
dan penerbitan yang tidak tepat yang sudah tersebar meluas boleh
menyebabkan kerugian, kekacauan dan ketidakharmonian yang
tidak boleh diperbaiki. Walau pun suatu pelaporan yang salah boleh
diperbetulkan, namun seringkali kerosakan telah pun berlaku,
5
damage has been done. Oleh yang demikian, setiap patah
perkataan dan bait ungkapan hendaklah dibuat dengan penuh
berhemah, teliti dan tepat. Seperti bak kata pepatah Melayu “mata
pena lebih tajam daripada mata pedang”. Hakikat inilah yang perlu
difahami dengan jelas oleh setiap pengamal media, tidak kira
pengamal media tradisional mahu pun media baru.
7. Dalam hal ini, saya ingin memetik kata-kata William Lamb, Perdana
Menteri Great Britain dan juga dikenali sebagai Lord Melbourne
semasa beliau menjadi ahli House of Commons. Dalam perbahasan
di Parlimen United Kingdom pada tahun 1817, beliau telah
menggambarkan tanggungjawab media seperti berikut. Izinkan
saya untuk membaca petikan tersebut dalam teks asal:
“It is common to speak of the power of the press, and I admit
that its power is great. I would, however, beg leave to remind
the conductors of the press of their duty to apply to
themselves a maxim which they never neglected to urge on
the consideration of government –“that the possession of
great power necessarily implies great responsibility.”
They stand in a high situation, and ought to consider justice
6
and truth the great objects of their labours, and not yield
themselves up to their interests or their passions.”
MEDIA DAN KEBEBASAN BERSUARA
Hadirin yang saya muliakan,
8. Sejak kebelakangan ini, isu utama yang sering dibangkitkan oleh
bukan sahaja pengamal media malah masyarakat umumnya adalah
berhubung hak untuk menulis dan melapor dengan bebas dan
tanpa sekatan. Benar, kebebasan untuk menulis, memberi
pandangan, melapor atau lebih dikenali sebagai “kebebasan media”
adalah sangat berkait rapat dengan kebebasan bersuara.
Kebebasan bersuara merupakan salah satu hak asasi yang diiktiraf
di peringkat antarabangsa dan dijamin di dalam Perlembagaan
Persekutuan. Malah, Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia
Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) atau dikenali
dengan nama singkatannya, UDHR, yang telah diterima oleh Majlis
Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tanggal 10
Disember 1946 juga mengiktiraf hak untuk menyuarakan pendapat
dan bersuara.
7
9. Dalam hal ini, Artikel 19 Perisytiharan tersebut menyatakan
bahawa-
“Everyone has the right to freedom of opinion and expression;
this right includes freedom to hold opinions without interference
and to seek, receive and impart information and ideas through
any media and regardless of frontiers.”
10. Berdasarkan Artikel 19 UDHR ini, hak untuk menyampaikan
maklumat dan idea melalui apa-apa media adalah merupakan
sebahagian daripada kebebasan bersuara yang perlu diberikan
kepada setiap individu.
11. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menjelaskan kepada tuan-
tuan dan puan-puan bahawa instrumen UDHR merupakan suatu
resolusi yang telah dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
dan tidak mengikat di sisi undang-undang. Pendirian ini adalah
sebagaimana yang telah diputuskan di dalam kes Merdeka
University Berhad v Government of Malaysia [1981] 2 MLJ 356
di mana Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa UDHR
merupakan perisytiharan prinsip semata-mata dan tidak boleh
8
dianggap menjadi sebahagian daripada undang-undang negara kita
yang perlu kita patuhi secara total.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
12. Sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, kita mempunyai
hak dan tanggungjawab yang cukup besar dalam mencorak dan
menentukan acuan yang paling sesuai untuk rakyat dan negara
kita. Apa yang sesuai untuk sesuatu negara lain tidak semestinya
sama sesuai untuk negara Malaysia. Begitu juga dalam soal prinsip
kebebasan bersuara ini. Selaku negara ahli Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu, semestinya kita bertanggungjawab untuk sentiasa
menghormati dan berusaha untuk mematuhi resolusi-resolusi yang
telah kita persetujui di peringkat antarabangsa. Namun demikian,
sekiranya acuan penterjemahan prinsip kebebasan bersuara mutlak
didapati tidak sesuai dengan acuan masyarakat Malaysia yang
berbilang kaum dan agama ini, maka perlulah ia diubah suai
sewajarnya.
13. Malangnya, ketegasan kita untuk mencorak kebebasan media
mengikut acuan tersendiri ini kadang kala disalah erti oleh
masyarakat antarabangsa. Seringkali Malaysia dikecam sebagai
9
sebuah negara yang tidak mendukung prinsip demokrasi yang
bertunjangkan hak asasi manusia. Sebagai contoh, Indeks
Kebebasan Akhbar 2016 (“World Press Freedom Index 2016”) yang
diterbitkan oleh The Reporters Without Borders telah menempatkan
Malaysia di tangga 146 daripada 180 negara yang disenaraikan,
iaitu meningkat satu anak tangga daripada tangga 147 pada tahun
2015. Kedudukan Malaysia adalah lebih rendah daripada beberapa
negara di rantau ini seperti Myanmar di tangga 143, Filipina di
tangga 138, Thailand di tangga 136, Indonesia di tangga 130 dan
Cambodia di tangga 128. Pada tahun 2012, Malaysia berada di
tangga 122, manakala pada tahun 2006, kita berada di tangga 92.
14. Walau pun kedudukan Malaysia di World Press Freedom Index
menunjukkan sedikit peningkatan, skor negara kita di Indeks
tersebut telah merosot berbanding skor pada tahun 2015. Pada
tahun 2015, skor Malaysia adalah sebanyak 43.29 mata tetapi pada
tahun 2016, skor kita telah jatuh ke 46.57 mata. Namun demikian,
indeks tersebut juga menunjukkan bahawa kemerosotan dalam skor
kebebasan media turut berlaku di kalangan banyak negara. Malah,
pada tahun 2015, The Reporters Without Borders juga melaporkan
bahawa dua pertiga daripada negara-negara yang dikaji
menunjukkan kelembapan dalam kebebasan media, termasuk
10
negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Singapura.
Mengambil kira kedudukan ini, persoalan yang perlu ditanya oleh
para hadirin sebagai pengamal media adalah sama ada kedudukan
ini benar-benar mencerminkan tahap kebebasan media di Malaysia.
KEBEBASAN BERCAKAP DAN BERSUARA DI BAWAH
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
15. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan mungkin sedia maklum,
kebebasan bercakap dan bersuara warganegara Malaysia adalah
dijamin di bawah Fasal (1)(a) Perkara 10 Perlembagaan
Persekutuan. Fasal tersebut memperuntukkan bahawa tiap-tiap
warganegara adalah berhak kepada kebebasan bercakap dan
bersuara. Namun demikian, perlu diingat bahawa kebebasan ini
bukanlah suatu hak yang mutlak. Fasal (2) Perkara 10 memberi
kuasa kepada Parlimen untuk mengenakan sekatan melalui
undang-undang kepada kebebasan bercakap dan bersuara demi
memelihara kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik
dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral.
11
16. Kebebasan bercakap dan bersuara yang bersyarat ini bukanlah
suatu yang baru. Malah, semasa peruntukan ini dibincangkan di
peringkat penggubalannya pada tahun 1957, Suruhanjaya Reid
melalui the Report of The Federation of Malaya Constitutional
Commission, atau lebih dikenali sebagai Laporan Suruhanjaya
Reid, turut mengakui kepentingan sekatan-sekatan tertentu
terhadap kebebasan bercakap dan bersuara demi menjamin
ketenteraman awam. Suruhanjaya Reid telah mengesyorkan agar
kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan perlu diberi
kepada setiap warganegara, tetapi tertakluk kepada sekatan
tertentu. Izinkan saya untuk membaca perenggan 162 dalam
Laporan Suruhanjaya tersebut dalam teks asal:
“We further recommend that freedom of speech and
expression should be guaranteed to all citizens subject to
restrictions in the interests of security, public order or
morality or in relation to incitement, defamation or contempt
of court.”
17. Dengan menggunakan kuasa yang diberikan oleh Perkara 10(2)
Perlembagaan Persekutuan, Parlimen telah menggubal beberapa
undang-undang yang menyekat kebebasan bercakap dan bersuara.
12
Antara undang-undang tersebut yang mungkin relevan kepada
pengamal media termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
[Akta 301], Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dan Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 [Akta 588]. Saya akan menerangkan sedikit
sebanyak berkenaan undang-undang ini sebentar lagi.
18. Harus diingati bahawa sekatan yang dikenakan melalui undang-
undang tersebut juga adalah selaras dengan Article 29(2)
Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of
Human Rights) yang memperuntukkan bahawa kebebasan setiap
individu, termasuk hak bersuara dan berpendapat, boleh disekat
oleh undang-undang yang digubal bagi tujuan pengiktirafan dan
menghormati hak dan kebebasan orang lain serta mencapai
keperluan moral, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di
dalam sesuatu masyarakat demokratik.
19. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menekankan bahawa
Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menetapkan sekatan
terhadap kebebasan bercakap dan bersuara, yang juga membawa
kesan kepada kebebasan media. Yang Amat Arif Raja Azlan Shah,
mantan Ketua Hakim Negara, melalui penghakimannya dalam kes
Pendakwa Raya lwn Ooi Kee Saik [1971] 2 MLJ 108 telah
13
menyatakan bahawa tidak ada satu negara pun yang memberikan
hak kebebasan bercakap dan bersuara secara mutlak. Izinkan saya
untuk memetik kata-kata Yang Amat Arif dalam teks asal:
“… as far as I am aware, no constitutional state has seriously
attempted to translate the right into an absolute right.
Restrictions are a necessary part of the right and in many
countries of the world, freedom of speech and expression is, in
spite of formal safe guards, seriously restricted in practice.”
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
20. Hak dan kebebasan tuan-tuan dan puan-puan untuk menulis dan
menerbit sebagai pengamal media adalah juga berpaksikan kepada
kebebasan bercakap dan bersuara sebagaimana yang
diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang
telah saya terangkan, kebebasan pengamal media untuk menulis,
memberi pandangan, melapor dan menerbit sesuatu perkara adalah
tertakluk kepada sekatan-sekatan yang wajar seperti yang
diperuntukkan secara nyata melalui undang-undang. Oleh yang
demikian, kuasa yang ada pada media yang boleh mempengaruhi
orang awam wajar digunakan dengan bertanggungjawab bagi
14
memajukan agenda nasional untuk memelihara ketenteraman
awam dan kesejahteraan umum dalam sebuah negara yang
berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
21. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, terdapat beberapa undang-
undang yang mengawal sesuatu penerbitan yang disiarkan melalui
media cetak dan media sosial. Antara undang-undang yang
berkaitan adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],
Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Akta
Fitnah 1957 [Akta 286] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
[Akta 588].
22. Saya tidak bercadang untuk menyentuh peruntukan di dalam setiap
undang-undang itu satu persatu dengan panjang lebar. Saya pasti
tuan-tuan dan puan-puan adalah pengamal media yang sudah
berpengalaman dan arif dengan peruntukan-peruntukan yang
berkaitan. Walau bagaimanapun, suka saya sentuh beberapa
peruntukan penting di dalam undang-undang tersebut yang
mempunyai kesan secara langsung dalam urusan tuan-tuan dan
puan-puan selaku pengamal media.
15
23. Pertamanya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Akta ini
digubal bertujuan untuk mengawal kegiatan percetakan dan
penerbitan akhbar dan majalah tempatan serta mengawal kegiatan
penerbitan luar negara yang diimport masuk ke negara kita. Ia juga
bertujuan untuk mengawal penerbitan yang berkemungkinan
mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau
membangkitkan prasangka dari segi moral dan akhlak mulia.
Seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 menjadikan
perbuatan menyiarkan berita yang tidak benar (false news) dengan
niat jahat sebagai satu kesalahan. Seksyen 8A(2) pula
memperuntukkan bahawa niat jahat akan dianggap wujud sekiranya
tidak ada keterangan bahawa tertuduh telah mengambil langkah
yang munasabah untuk menentusahkan kebenaran sesuatu berita
sebelum ia diterbitkan.
24. Dalam kes PP lwn Pung Chen Choon [1994] 1 MLJ 566, tertuduh
ialah seorang editor akhbar di Sabah. Beliau telah didakwa di
bawah seksyen 8A(1) atas tuduhan menerbitkan berita palsu dalam
akhbar The Borneo Mail bahawa seorang paderi, Benjamin
Basintol, telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
16
1960 (ISA), seorang lagi paderi Roman Catholic telah melarikan diri
dan beberapa orang paderi lain dikehendaki oleh pihak polis.
25. Dalam kes ini, Mahkamah Agung telah meneliti takrifan perkataan
“niat jahat” dan mentafsirkan “niat jahat” sebagai suatu perbuatan
yang dibuat dengan bersengaja, dengan niat dan tanpa alasan yang
sah di sisi undang-undang.
26. Tertuduh juga telah menghujahkan bahawa seksyen 8A(1) dan (2)
mengenakan sekatan kepada kebebasan bercakap dan bersuara
dan sekatan ini bukanlah sekatan yang dibenarkan di bawah
Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu, seksyen
8A(1) dan (2) adalah bercanggah dengan Perkara 10
Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, Mahkamah
Agung memutuskan bahawa penerbitan berita palsu dengan niat
jahat mungkin, antara lain, boleh mempengaruhi orang ramai untuk
melakukan perbuatan yang menjejaskan keselamatan dalam
negeri, melemahkan hubungan persahabatan Malaysia dengan
negara lain, membawa kepada gangguan ketenteraman awam dan
melakukan perbuatan jenayah. Dengan itu, seksyen 8A tergolong
dalam lingkungan sekatan yang dibenarkan oleh Perkara 10(2)
Perlembagaan Persekutuan.
17
27. Agak menarik juga Mahkamah Agung, dalam penghakimannya,
telah membuat pemerhatian bahawa seksyen 8A(2) tidak menyekat
kebebasan akhbar sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Sebaliknya, dengan memperuntukkan bahawa anggapan niat jahat
dapat dipatahkan dengan membuktikan bahawa tertuduh telah
mengambil langkah-langkah munasabah untuk menentusahkan
kebenaran sesuatu berita sebelum ia diterbitkan, ia sekaligus
memajukan dan memastikan bahawa kebebasan akhbar tidak
disalahgunakan atau diperalatkan. Malah, Mahkamah Agung turut
menyatakan bahawa menentusahkan kebenaran sesuatu berita
adalah amalan “standard” wartawan yang bertanggungjawab.
Tuan-tuan dan puan-puan,
28. Satu lagi kes berkenaan sabitan di bawah seksyen 8A Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan 1984 adalah kes Lim Guan Eng lwn PP
[2000] 2 CLJ 541. Dalam kes tersebut, tertuduh telah dituduh,
antaranya di bawah seksyen 8A, kerana menerbitkan berita palsu
dengan niat jahat dalam bentuk sebuah risalah bertajuk “Mangsa
Dipenjarakan”. Pertuduhan tersebut adalah berkaitan dengan
tindakan seorang mantan Ketua Menteri, yang dikatakan oleh
tertuduh telah merogol seorang gadis di bawah umur 16 tahun.
18
29. Berdasarkan fakta dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan
memutuskan bahawa perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam
risalah tersebut adalah palsu dan tidak ada keterangan
dikemukakan oleh tertuduh untuk menunjukkan bahawa langkah-
langkah munasabah telah diambil untuk menentusahkan berita
sebelum ia diterbitkan. Tertuduh seterusnya telah didapati bersalah
dan dikenakan hukuman penjara lapan belas (18) bulan bagi setiap
kesalahan yang disabitkan.
30. Para pengamal media haruslah mengambil iktibar daripada
keputusan mahkamah dalam kedua-dua kes tersebut. Setiap berita
yang diterbitkan atau sebarang penulisan oleh pengamal media
haruslah ditentusahkan kebenarannya sebelum diterbitkan bagi
memastikan ia bukanlah berita palsu. Jika tidak, ia akan
mengundang suatu tindakan pendakwaan di bawah Akta tersebut.
31. Selain daripada peruntukan seksyen 8A, seksyen 7 Akta tersebut
juga memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk melarang
percetakan, pengimportan, penerbitan, penjualan atau pengedaran
apa-apa penerbitan yang mengandungi apa-apa makalah, karikatur,
fotograf, laporan, nota atau tulisan yang boleh memudaratkan
19
ketenteraman awam, moral, keselamatan atau yang
menggemparkan fikiran orang ramai.
32. Keduanya, Kanun Keseksaan [Akta 574]. Kanun Keseksaan adalah
undang-undang jenayah utama yang memperuntukkan perbuatan-
perbuatan yang terjumlah sebagai perbuatan jenayah. Antara
peruntukan yang mempunyai kaitan dengan media adalah seksyen
298A Kanun Keseksaan. Seksyen ini melarang mana-mana orang,
dan dalam konteks pada hari ini, pengamal media, daripada
mengeluarkan kata-kata sama ada secara lisan atau bertulis atau
apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan suasana tidak
harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan atau
menimbulkan kebencian atas alasan agama.
33. Selain daripada itu, seksyen 500 Kanun Keseksaan juga relevan
kepada pelaksanaan tugas seorang pengamal media. Seksyen itu
memperuntukkan bahawa seseorang yang memfitnah orang lain
boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau
denda atau kedua-duanya sekali. Fitnah pula ditakrifkan sebagai
apa-apa perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis, yang
dibuat atau diterbitkan mengenai seseorang yang bertujuan untuk
20
membawa mudarat kepada orang itu atau mengetahui bahawa ia
boleh membawa mudarat kepada reputasi seseorang.
34. Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pandan, Yang Berhormat Rafizi Ramli
telah dituduh di bawah peruntukan seksyen 500 Kanun Keseksaan
kerana dikatakan memfitnah Lembaga Tabung Haji melalui
penulisan dalam blognya, walau pun beliau mempunyai sebab
untuk mempercayai bahawa ia boleh memudaratkan reputasi dan
nama baik Lembaga Tabung Haji. Memandangkan kes ini akan
dibicarakan di mahkamah, saya tidak boleh membincangkannya
kerana ia akan melanggar kaedah “sub judice”.
35. Seterusnya, Akta Hasutan 1948 [Akta 15] juga merupakan suatu
undang-undang yang wajar difahami dan diberi penekanan oleh
para pengamal media. Seksyen 4 Akta Hasutan melarang mana-
mana orang daripada melakukan apa-apa perbuatan seperti
menyebut perkataan atau menerbitkan penerbitan yang mempunyai
kecenderungan menghasut. Persoalan yang pasti timbul adalah,
apakah maksud sesuatu yang mempunyai “kecenderungan
menghasut”. Seksyen 3(1) Akta Hasutan mentakrifkan
“kecenderungan menghasut” sebagai;
21
(a) sesuatu yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau
membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana
Raja atau Kerajaan;
(b) sesuatu yang boleh membangkitkan rakyat supaya cuba
mendapatkan perubahan melalui cara yang tidak sah;
(c) mendatangkan kebencian atau penghinaan atau
membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran
keadilan di Malaysia;
(d) menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di
kalangan rakyat Malaysia atau mana-mana negeri;
(e) mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara
kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia;
atau
(f) mempersoalkan apa-apa perkara berkenaan hak, taraf,
kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif
mengenai kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, hak
22
keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan
Sarawak serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
36. Sejak lebih kurang dua (2) tahun yang lepas, perbuatan pihak-pihak
dan individu yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan
kenyataan yang berbaur menghasut dengan tujuan untuk
mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum
dan penduduk berbilang agama di Malaysia telah meningkat
dengan mendadak. Perbuatan dan tindakan tersebut telah
menyebabkan kegusaran di kalangan rakyat Malaysia dan
menggugat ketenteraman awam serta kesejahteraan umum.
Kerajaan memandang serius akan perkembangan ini kerana
bimbang sekiranya keadaan tidak dikawal, ia boleh menggugat
keamanan, ketenteraman dan keselamatan negara. Oleh yang
demikian, pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas terhadap
pihak-pihak yang menggugat keharmonian antara masyarakat
majmuk di Malaysia.
37. Statistik menunjukkan bahawa sejak awal tahun 2013 sehingga
Disember 2015, sebanyak 50 kes telah dibawa ke mahkamah yang
melibatkan hasutan dan komen yang memudaratkan. Antaranya
ialah Alvin Tan dan Vivian Lee yang telah dituduh kerana memuat
23
naik gambar yang menghina umat Islam dengan menjemput umat
Islam memakan Bah Kut Teh di bulan Ramadan. Baru-baru ini,
pada 12 April 2016, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah
memerintahkan Vivian Lee untuk memasukkan pembelaannya
kerana Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah
membuktikan suatu kes “prima facie”. Manakala, Alvin Tan pula
telah melarikan diri ke Amerika Syarikat. Oleh itu, kes terhadap
beliau tidak dapat dibicarakan.
38. Pada tanggal 14 April 2016, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah
mendapati aktivis sosial, Haris Ibrahim, bersalah atas pertuduhan di
bawah Akta Hasutan berikutan peryataan yang dibuatnya di suatu
forum umum ekoran daripada Pilihan Raya Umum ke-13 pada
tahun 2013. Mahkamah mensabitkan Haris Ibrahim kerana berpuas
hati bahawa tertuduh telah mengeluarkan kata-kata yang
mempunyai kecenderungan untuk menghasut rakyat Malaysia
untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik
melalui protes jalanan. Haris Ibrahim telah dijatuhkan hukuman
penjara selama lapan (8) bulan.
39. Sememangnya, setakat ini tidak ada wartawan atau pengamal
media yang pernah diambil tindakan undang-undang di bawah Akta
24
Hasutan. Namun, pengamal media harus sentiasa berwaspada dan
mengelakkan daripada menerbitkan apa-apa tulisan yang
mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menggugat
keharmonian yang dinikmati di negara setakat ini.
40. Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang
bertujuan untuk mengawal selia industri komunikasi dan multimedia
turut memperuntukkan beberapa sekatan terhadap pengguna
media elektronik secara khusus. Seksyen 233 Akta ini melarang
mana-mana pengguna media elektronik daripada menggunakan
apa-apa kemudahan rangkaian (network facilities) dalam memberi
komen yang mempunyai unsur lucah, sumbang atau jelik untuk
menyakitkan hati orang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
41. Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)
menunjukkan bahawa setakat Januari 2016, sejumlah 20.62 juta
rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial. Walau pun
penggunaan media sosial mempunyai banyak manfaat, terdapat
segelintir pemilik akaun media sosial yang menyalahgunakannya.
Pada 20 April 2016, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia,
25
Dato’ Jailani Johari, memberitahu Dewan Negara bahawa sejak
tahun 2010 hingga Mac 2016, seramai dua puluh dua (22) orang
pemilik laman rangkaian sosial, laman web dan blog telah dituduh di
mahkamah kerana menyalahgunakan medium tersebut untuk
pelbagai tujuan. Sehingga bulan Mac 2016 juga, Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyiasat
sebanyak tiga puluh dua (32) kes penyalahgunaan internet dan
media baru di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998.
42. Baru-baru ini, Ahli Parlimen Subang, Yang Berhormat Sivarasa
Rasiah, telah didakwa di bawah Akta ini berhubung tindakannya
membuat penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan
niat untuk menyakitkan hati orang lain dengan menggunakan
kemudahan atau perkhidmatan laman sosial “Facebook”. Saya tidak
boleh membincangkan kes ini dengan lebih mendalam kerana ia
kini masih di peringkat perbicaraan di mahkamah.
43. Selain itu, tindakan menyekat portal berita The Malaysian Insider
juga telah diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) pada 25 Februari yang lalu kerana menerbitkan
berita palsu yang merupakan kesalahan di bawah Akta ini.
26
44. Satu lagi Akta yang ingin saya bawa kepada perhatian para hadirin
sekalian yang mempunyai kesan kepada pengamal media ialah
Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88]. Akta ini digubal bagi tujuan
melindungi rahsia rasmi Kerajaan. Seksyen 8 Akta ini
memperuntukkan bahawa seseorang yang memiliki apa-apa
dokumen yang bertaraf rahsia rasmi adalah melakukan suatu
kesalahan. Kerajaan memandang berat perkara ini kerana
kebelakangan ini kejadian ketirisan maklumat terkelas semakin
meningkat dan hal ini boleh menggugat keselamatan negara.
45. Baru-baru ini juga, Ahli Parlimen Pandan, Yang Berhormat Rafizi
Ramli, telah dituduh di mahkamah kerana memiliki tanpa kebenaran
dan mendedahkan dokumen rahsia yang berada di bawah kawalan
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta mendakwa
wujudnya hubungan antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera
(LTAT) dan 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) semasa
mengadakan sidang media di lobi bangunan Parlimen pada 24 dan
28 Mac yang lalu. Kes ini juga masih di peringkat perbicaraan.
Tujuan saya membangkitkan Akta ini adalah untuk mengingatkan
para pengamal media untuk tidak memiliki apa-apa rahsia rasmi
ataupun menerbitkan apa-apa berita yang mengandungi rahsia
rasmi atau mendedahkan apa-apa dokumen terkelas.
27
46. Suka saya tekankan di sini bahawa selain tindakan jenayah yang
boleh diambil, seseorang pengamal media juga boleh diambil
tindakan sivil di bawah Akta Fitnah 1957 dan diarah untuk
membayar pampasan sekiranya terbukti bahawa sebarang laporan
atau penerbitan yang dibuat adalah berunsur fitnah dan telah
mengakibatkan reputasi mana-mana pihak terjejas akibat daripada
pelaporan tersebut.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,
PEMBAHARUAN UNDANG-UNDANG BERKAITAN MEDIA
47. Kemajuan tidak akan dapat dikecapi tanpa perubahan. Benarlah
seperti yang dikatakan oleh wartawan yang terkemuka di Amerika
Syarikat, George Bernard Shaw, iaitu “Progress is impossible
without change, and those who cannot change their minds cannot
change anything”. Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara
membangun dan berdaya saing, Kerajaan sememangnya sentiasa
berusaha dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam
melaksanakan perubahan-perubahan yang perlu ke arah mencapai
tahap yang lebih baik dari yang sedia ada.
28
48. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Program
Transformasi telah dilancarkan pada tahun 2012. Melalui inisiatif ini,
Kerajaan telah mengorak langkah berani dengan memansuhkan
undang-undang yang dianggap tidak lagi relevan melalui beberapa
inisiatif pembaharuan perundangan. Dalam hal ini, undang-undang
berkaitan dengan kawalan ke atas media juga tidak ketinggalan.
49. Seiring dengan kemajuan bidang percetakan teknologi dan
komunikasi, kegiatan percetakan dan penerbitan juga telah
berkembang pesat. Menyedari perubahan landskap teknologi ini,
kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengkaji semula
peruntukan-peruntukan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
1984.
50. Hasilnya, suatu pindaan telah dibuat kepada Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984 pada tahun 2012 untuk memansuhkan keperluan
memperbaharui lesen mesin cetak dan penerbitan secara tahunan.
Melalui pindaan ini, setiap lesen dan permit yang dikeluarkan
kepada mana-mana orang akan kekal sah selagi ia tidak dibatalkan.
51. Pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ini
menunjukkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan untuk
menyediakan persekitaran kondusif dan telus kepada pengamal
29
media dalam memberikan pandangan dan membuat laporan
berhubung sesuatu perkara.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
52. Saya pasti tuan-tuan dan puan-puan sedar bahawa terdapat
beberapa negara yang mengamalkan kawal selia industri media
secara kendiri (self-regulation) melalui penubuhan Majlis Media
seperti di Australia, New Zealand, United Kingdom dan India. Hal
yang sama juga pernah diusulkan oleh YAB Perdana Menteri,
Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi
perundangan. Beliau menyatakan bahawa kerajaan akan membuat
kajian berhubung penubuhan Majlis Media yang akan
melaksanakan kawal selia kendiri industri.
53. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa cadangan YAB
Perdana Menteri ini adalah satu cadangan yang amat baik dan
boleh melatih serta memacu industri media di negara kita ke arah
suatu industri yang lebih matang. Walau bagaimanapun, kaedah
pelaksanaan serta kesesuaiannya untuk diamalkan di Malaysia
perlulah dikaji dengan penuh teliti. Justeru, jabatan dan
kementerian yang berkaitan perlulah mengambil inisiatif untuk
30
mengkaji perkara ini dengan mendalam. Saya percaya tuan-tuan
dan puan-puan selaku stakeholder utama dalam perkara ini akan
dirujuk sekiranya inisiatif ini dilaksanakan kelak. Untuk makluman,
Working Draft Rang Undang-Undang Majlis Media telah digubal
namun masih belum dimuktamadkan tertakluk kepada
perbincangan dengan semua pihak. Dalam hal ini, perbincangan
masih boleh diteruskan oleh semua pihak.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
54. Saya juga ingin menyentuh sedikit berhubung dengan pindaan yang
telah dibuat terhadap Akta Hasutan 1948 [Akta 15]. Pada tahun lalu,
suatu pindaan telah diluluskan untuk tidak lagi menjadikan
perbuatan mana-mana orang untuk mengembangkan kebencian
atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap
Kerajaan sebagai suatu kesalahan menghasut. Pindaan ini adalah
selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan
dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan
maklum balas atau kritikan membina terhadap Kerajaan agar dapat
mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab
di Malaysia. Ini sekaligus menyelar tohmahan beberapa pihak yang
31
mendakwa Kerajaan pada hari ini adalah Kerajaan yang tidak
bersedia untuk menerima kritikan.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
55. Tragedi serangan bersenjata di pejabat akhbar mingguan Charlie
Hebdo, di Paris pada tahun 2015 yang mengorbankan 12 nyawa
perlu dijadikan teladan kepada seluruh masyarakat dunia. Akhbar
mingguan Charlie Hebdo yang sering memainkan sentimen dan
ideologi agama telah membangkitkan rasa ketidakpuasan hati
banyak pihak. Serangan tersebut bertitik tolak daripada tindakan
kartunisnya yang dianggap biadap menghina melalui lakaran atau
karikatur yang memaparkan mimik wajah yang menghina Nabi
Muhammad S.A.W. yang seterusnya diterbitkan oleh akhbar
tersebut. Kita perlu sedar bahawa penulisan dan penerbitan bersifat
sinis yang menyentuh sensitiviti agama semestinya akan
mengundang ketegangan yang boleh mengganggu-gugat
ketenteraman awam. Menyedari hakikat ini, suatu pindaan telah
dibuat dengan memasukkan perenggan 3(1)(ea) yang baru di
dalam Akta Hasutan 1948 dengan menjadikan suatu kesalahan
bagi mana-mana orang yang mengembangkan perasaan jahat,
32
permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau
kumpulan orang atas alasan agama.
56. Peruntukan ini adalah bertujuan untuk melindungi kesucian agama
dan menghormati kepercayaan yang dianuti oleh masyarakat
berbilang agama sebagaimana di Malaysia.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
57. Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang telah saya
sebutkan sebentar tadi, sememangnya hak kebebasan bercakap
dan bersuara selaku pengamal media di Malaysia adalah tidak
mutlak dan tertakluk kepada beberapa sekatan undang-undang.
Namun demikian, saya harap tuan-tuan dan puan-puan sedar
bahawa sekatan-sekatan tersebut bukanlah dibuat sewenang-
wenangnya. Ia adalah perlu dalam memastikan ketenteraman
awam di negara kita kekal terpelihara demi menjaga kepentingan
ramai.
33
PENUTUP/ KESIMPULAN
Tuan-tuan dan puan-puan,
58. Lord Denning, hakim yang termasyhur di United Kingdom, di dalam
bukunya bertajuk “Freedom Under the Law” menyatakan bahawa-
“The freedom of individual, which is so dear to us has to be
balanced with his duty; to be sure that every one owes a duty to
the society which he forms part”.
59. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bangsa, dan agama,
usaha ke arah mencari titik keseimbangan di antara hak dan
tanggungjawab setiap rakyatnya bukanlah suatu tugas yang mudah.
60. Selaku pengamal media, tuan-tuan dan puan-puan perlu sedar
bahawa tanggungjawab yang digalas di bahu tuan-tuan dan puan-
puan bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang ringan.
Setiap penulisan, pandangan dan laporan yang tuan-tuan dan
puan-puan terbitkan mampu mencorak pemikiran rakyat Malaysia
pada hari ini dan menentukan kelangsungan (survival) negara ini
sebagai sebuah negara yang merdeka.
34
61. Justeru, adalah amat penting agar setiap laporan dan penerbitan
dibuat secara berhemah dan bertanggungjawab. Kebebasan
bersuara perlulah diimbangi dengan etika kewartawanan yang baik.
Responsible journalism perlulah menjadi tonggak utama dalam
profesion kewartawanan yang perlu diadaptasi dan diikuti oleh
semua pengamal media seperti tuan-tuan dan puan-puan.
Sekiranya ini dilakukan, saya pasti industri kewartawanan dan
media di Malaysia ini akan lebih berkembang dan menjadi lebih
matang.
62. Dalam hal ini, saya juga ingin memetik kata-kata Winston Churchil
yang menyatakan bahawa “There is nothing wrong with change, if it
is in the right direction”.
63. Oleh yang demikian, saya juga ingin mengingatkan bahawa dalam
keghairahan kita untuk mendukung prinsip-prinsip kebebasan asasi,
janganlah kita menggadaikan dan menggugat ciri-ciri negara
Malaysia yang paling bernilai, iaitu keharmonian kaum dan agama
di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. “Jangan
sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran”.
35
64. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada pihak penganjur dan
saya mendoakan semoga ucapan saya sebentar tadi sedikit
sebanyak dapat memberi penjelasan kepada tuan-tuan dan puan-
puan mengenai perspektif negara dalam isu media dan undang-
undang.
65. Akhir kata, sebagai penutup kepada ucapan saya pada hari ini,
saya ingin mengajukan satu soalan kepada para hadirin yang saya
hormati sekalian. Soalan saya berbunyi:
“Apakah manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat dan negara
apabila berita palsu disiarkan?”
66. Jika jawapan adalah negatif saya pohon kerjasama Tuan-tuan dan
Puan-puan sekalian sebagai warga media untuk mengambil
langkah segera untuk memberhentikan penyiaran berita yang tidak
memberi sebarang manfaat.
Sekian, Wabillahittaufik Walhidayah, Wassalamualaikum WBT. Sekian,
terima kasih.
36