Upload
vira-hashim
View
246
Download
3
Embed Size (px)
DESCRIPTION
petua skor A dalam peperiksaan
Citation preview
7 Petua Skor A
Pembuka kata
Kali ini saya ingin kongsikan dengan anda semua tentang
7 petua skor A untuk tahun 2008. Sebagaimana yang
anda sudah tahu, blog ini adalah ditujukan kepada
sesiapa yang mahu belajar teknik ‘Belajar’ yang
berkesan. Apabila seseorang itu memiliki kemahiran
untuk belajar dengan berkesan, dia akan jadi lebih
bersemangat dan ‘Motivasi‘ dirinya akan menjadi lebih
tinggi. Jadi, teknik belajar boleh meningkatkan motivasi
untuk belajar…..kemudian…wujudlah
MotivasiBelajar.com ….
Apa yang ingin saya katakan ialah motivasi belajar selalu
dikaitkan dengan kecemerlangan akademik. Jika
seseorang itu mempunyai teknik belajar yang baik dan
tahap motivasi dirinya tinggi, tentu dia boleh capai
kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Benar,
saya setuju. Cuma, konsep motivasi dan teknik belajar bukan sahaja boleh digunakan oleh
pelajar, malah ia sesuai untuk orang dewasa.
Kerapkali saya lihat orang dewasa menghadapi kesukaran untuk mempelajari sesuatu yang
baru. Lebih buruk lagi, ramai orang dewasa yang takut untuk mempelajari sesuatu yang baru.
Contohnya ada orang dewasa yang takut belajar menggunakan komputer dan internet. Ada yang
takut untuk belajar berniaga. Ada yang takut untuk menghadiri kursus kerana bimbang gagal
dalam ujian yang bakal diduduki.
Jadi, kepada pelawat setia blog ini, anda boleh gunakan tips dan teknik yang dikongsikan di sini
bukan sahaja untuk anak-anak atau saudara-mara tetapi untuk diri anda sendiri.
Insyaallah minggu depan saya akan kongsikan 7 petua untuk skor A tahun 2008.
Petua 1
Mari kita mulakan dengan petua yang pertama. Petua ini
sudah berulang-ulang kali saya tuliskan di dalam blog
saya ini. Namun, kepentingannya menyebabkan ia tidak
dapat dipisahkan daripada 7 petua penting untuk skor A
dalam tahun 2008 ini. Petua pertama ialah, tulis di atas
sekeping kertas subjek apa yang anda mahu dapat
gred A itu.
Menulis apa yang anda kehendaki mengaktifkan satu
bahagian dalam minda anda yang dinamakan RAS
(Reticular Activating System). Apabila bahagian minda ini
aktif, anda akan mula sedar dan peka kepada peluang-
peluang yang boleh mendekatkan anda kepada apa yang anda hendak capai. Contohnya jika
anda mahu gred A dalam subjek Bahasa Inggeris, RAS akan membuat anda sedar tentang
kawan baik anda yang pandai Bahasa Inggeris. Mungkin dia boleh menolong anda. Mungkin
juga anda akan sedar kelas tambahan Bahasa Inggeris yang diajar oleh seorang guru yang
hebat. Selama ini anda tidak sedar kerana anda tidak pernah menulis yang anda anda mahu
gred A dalam subjek ini.
Bagaimana cara menulis gred A yang anda
mahukan ini? Mudah sahaja.
Cari sehelai kertas atau lebih baik lagi satu
buku khas yang akan sentiasa berada
bersama anda sepanjang tahun 2008 ini.
Buku khas akan memastikan ia tidak mudah
hilang atau rosak seperti sehelai kertas
biasa. Anda perlu ingat, buku ini tidak
semestinya mahal. Anda boleh beli satu
buku latihan biasa yang hanya berharga
sekitar RM0.70 ke RM1 sahaja. Kalau ada
buku latihan lama yang sudah tidak dipakai
pun boleh.
Banyak perkara anda boleh tulis tetapi saya cadangkan anda tulis 3 perkara ini.
1. Tulis semua subjek yang anda ambil dalam tahun 2008 ini dan tulis gred yang anda mahu untuk
setiap subjek.
2. Tulis 3 sebab mengapa anda mahu mendapat gred tersebut. (Jangan tulis “….sebab saya
memang nak dapat gred A.” Anda perlu perah otak sedikit untuk menjawab soalan ini kerana
soalan begini jarang difikirkan.)
3. Tulis dalam bentuk ayat apa yang anda akan rasa kalau anda benar-benar mendapat gred
tersebut.
Lakukan dahulu langkah ini dan kita akan sambung lagi penjelasan mengenai langkah ini esok.
Selamat menulis.
Petua 1.1
Adakah anda sudah menulis langkah semalam? Kalau sudah,
bagus. Kalau belum, lakukan sekarang. Walaupun langkah ini
nampak terlalu mudah atau kelihatan tidak penting, saya tidak dapat
gambarkan betapa hebatnya teknik ini untuk kita mencapai sebarang
cita-cita.
Untuk mencapai kecemerlangan akademik, anda perlu menulis
matlamat pencapaian akademik anda. Bagaimana jika anda tidak
tahu dan tidak pasti apa yang anda mahu capai? Hmmm…ada
beberapa kemungkinan mengapa anda tidak tahu apa yang anda mahu capai.
1. Anda tidak pernah fikirkan perkara ini. Anda pergi ke sekolah, kolej atau universiti hanya kerana
itulah yang anda sudah biasa lakukan.
2. Anda mungkin tidak ada rujukan. Mungkin kawan-kawan, ahli keluarga anda atau saudara mara
anda tidak pernah bercerita tentang apa yang ingin dicapai dalam bidang akademik. Jadi anda
pun tidak fikirkan mengenainya.
3. Anda mungkin takut hendak memikirkan apa yang bakal anda dapat. Ini mungkin sebab utama.
Disebabkan anda mungkin belum cemerlang sekarang, anda takut untuk memikirkan apa yang
bakal anda perolehi.
Jangan bimbang jika anda masih belum pasti. Mulai hari ini,
fikirkan setiap hari apa yang ingin anda capai. Satu cara untuk
lakukannya ialah, jangan fikirkan tentang halangan atau
kelemahan. Contohnya, “aku nak gred A subjek Sains, tapi
selama ni aku asyik dapat gred E je. Mana boleh dapat A kalau
macam ni.” Anda cuma perlu fikirkan begini, “Kalau tidak ada
halangan untuk capai apa sahaja gred yang aku nak, gred apa
yang aku nak pilih agaknya?”
Saya telah sediakan satu ruangan untuk anda isikan dibawah. Untuk setiap subjek, anda perlu
isikan gred sekarang (gred yang biasa anda dapat dalam peperiksaan), dan gred serta markah
yang anda mahu dapat dalam peperiksaan sebenar. (80 markah gred A, 100 markah juga gred
A. Tetapi kalau anda mahu dapat gred A dengan 100 markah, usaha anda pasti berbeza). Ini
adalah contoh sahaja. Senaraikan juga subjek anda yang tidak tersenarai di bawah.
Setelah anda isi jadual ini,
kita boleh mula
bincangkan tentang petua
kedua, esok. Selamat
menulis.
p/s Jangan lupa tulis
sebab mengapa anda
mahu capai gred tersebut
dan apa anda akan benar-
benar rasa kalau betul
dapat capai gred tersebut.
Petua 2
Bagaimana dengan latihan menulis matlamat pencapaian akademik? Sudahkah anda jelas apa
yang anda hendak capai? Baiklah….kita teruskan dengan petua kedua. Petua kedua
berbunyi, kenal pasti kekuatan dan kelemahan anda. Mudah sahaja bukan?
Sebenarnya, apabila kita sudah tulis gred yang biasa kita dapat sekarang dan gred yang kita
mahu capai pada masa akan datang, kita boleh mendapat gambaran tentang kekuatan dan
kelemahan kita. Mari kita bincangkan tentang kekuatan dulu.
Mana-mana subjek yang kita rasa mudah nak faham, senang
nak skor dalam exam termasuk dalam kategori kekuatan kita.
Kena ingat, subjek yang kita rasa mudah sahaja tidak
bermaksud kita mudah nak skor dalam peperiksaan. Semasa
saya dalam tingkatan 3, saya ada kenal seorang kawan melalui
aktiviti silat. Kawan saya ni datang daripada sekolah lain.
Semasa berbual dengannya, saya kata kepadanya, “subjek
sains susah kan? dah belajar pun susah nak skor.”
Kawan saya tu ketawa kecil. Katanya, “eh, subjek Sains la
senang. Aku kalau subjek Sains, setakat nak dapat 40 ke 50
markah tu memang senang je.”
Saya terkejut juga ketika tu. “Senang tu kalau boleh dapat 40-50 markah ke?” Soal hati saya.
Rupa-rupanya kawan saya ni memang biasa dapat 40-50 markah untuk subjek Sains. Saya pula
biasa dapat 60-70 markah. Saya maksudkan susah kerana susah nak skor A. Namun, saya tidak
beri apa-apa komen kepada kawan saya ni cuma ketika saya mula faham, subjek yang senang
memberi maksud yang berbeza kepada orang yang berbeza.
Apa yang penting kita tahu ialah, dalam petua ini, apabila kita kata subjek yang kita kuat, ia
bermaksud subjek yang kita boleh skor A atau boleh skor markah 80 ke atas.
Apabila kita sudah kenal pasti subjek yang menjadi kekuatan kita, usaha untuk mengulangkaji
akan jadi lebih mudah. Untuk subjek-subjek ini, kita perlu:
Jadikan sebagai sumber inspirasi. Jadikannya sebagai pendorong bahawa kita mempunyai
kekuatan dalam bidang akademik.
Luangkan masa untuk mengulangkajinya secara berterusan. Untuk subjek yang kuat,
kadangkala kita tidak perlu luangkan terlalu banyak masa kerana masa yang lebih perlu
diberikan kepada subjek yang lemah. Namun, dengan usaha yang berterusan (membuat hanya
beberapa latihan sehari tetapi berterusan) kita akan sentiasa mampu mengekalkan gred kita
yang baik untuk subjek ini.
Belajar dengan rasa bersemangat. Seseorang yang pandai subjek Sejarah contohnya pasti rasa
tidak sabar untuk mengulangkaji subjek Sejarah setiap kali. Cuba kenal pasti dengan jelas apa
yang kita rasa setiap kali mahu belajar subjek yang kita suka ini. Rasa seronok, tenang dan
selesa bukan? Rasa ini amat penting untuk kita gunakan semasa belajar subjek yang kita lemah
nanti.
Esok saya akan kongsikan apa yang patut kita lakukan dengan subjek yang kita lemah. Selamat
mengkaji kekuatan diri.
Petua 2.1
Setelah kita kaji kekuatan yang ada pada diri kita, kita juga akan sedar tentang kelemahan yang
selalu mengganggu keyakinan diri kita untuk berjaya. Apabila kita sudah tulis gred yang kita
mahu dapat dan gred yang kita dapat sekarang, kelemahan diri kita boleh nampak ketara. Apa
yang perlu dilakukan terhadap kelemahan ini? Ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan.
Pertama, kita perlu ingat, kelemahan itu bukan sesuatu yang
kekal. Ramai pelajar cemerlang bermula dengan gelaran
pelajar lemah dan tidak cemerlang. Jadi, jangan terlalu risau.
Kedua, kelemahan masa kini merupakan satu cabaran buat
kita. Anggap ia seperti kita mahu memasuki pertandingan
sukan berlari contohnya. Jika kita sekarang masih tidak ada
stamina yang kuat untuk berlari (ini merupakan satu
kelemahan bukan?), apa yang perlu kita lakukan? Ya….. kita
perlu buat latihan untuk meningkatkan stamina seperti
berjogging atau buat senaman berbentuk aerobik. Patutkah
kita duduk menangis dan putus asa kerana kita tidak ada
stamina sekarang? Tidak bukan? Sama seperti kelemahan
akademik. Kita tidak perlu bersedih atau putus asa
jika pencapaian sekarang masih lemah. Kita cuma perlu buat
lebih banyak latihan untuk menguatkannya.
Ketiga, kita perlu buat rancangan untuk mengatasi
kelemahan kita. Rancangan itu termasuk rancangan untuk
buat lebih banyak latihan, berjumpa dengan guru lebih kerap
dan berkawan dengan kawan-kawan yang pandai subjek
tersebut.
Satu perkara lagi yang kita perlu sedar ialah apabila kita lemah sesuatu subjek, kita akan rasa
kurang minat atau benci subjek tersebut. Ini adalah normal. Dalam petua seterusnya nanti, saya
akan terangkan bagaimana cara untuk menguruskan masa agar kita sentiasa memberi tumpuan
kepada subjek yang kita kurang minat ini.
Akhir sekali, cuba kita perhatikan cara kita duduk, cara kita membaca dan cara kita bergerak
semasa belajar subjek yang kita lemah ini. Tentu ia sangat berbeza berbanding subjek yang kita
suka kan? Mulai hari ini, cuba duduk dan bergerak seperti kita benar-benar suka subjek yang
kita lemah tu. Otak kita tidak dapat bezakan sama ada kita berlakon suka atau tidak. Apabila kita
bergerak dansenyum semasa belajar subjek yang kita lemah ini, otak kita akan menghantar
isyarat ke seluruh tubuh badan agar menjadi lebih berkesan kerana ia sangka kita sangat suka
subjek ini.
Selamat mencuba.
Petua 3
Setelah kita tulis matlamat gred yang kita hendak capai dan setelah kita kaji kekuatan dan
kelemahan kita, sekarang tiba masanya kita mulakan langkah kecemerlangan dengan
mempelajari petua yang ketiga. Petua ketiga ini berbunyi, uruskan masa berpandukan
matlamat.
Petua ketiga ini sangat berkesan untuk mengatasi satu masalah yang
saya namakan ‘gejala azam tahun baru’. Maksudnya, pada awal tahun,
pelajar (atau orang dewasa) akan menanam azam yang hebat untuk
mencapai kecemerlangan dan kejayaan.
Namun, azam itu akan pudar dalam masa hanya beberapa minggu atau
beberapa bulan pertama sahaja. Sebab utamanya ialah azam itu tidak
disertakan dengan rancangan tindakan. Apa yang perlu kita lakukan untuk
tidak terjebak dengan gejala azam baru ini?
Begini.
Perkara paling penting dilakukan selepas kita ada matlamat ialah merancang tindakan.
Maksudnya, untuk mendapat gred A dalam subjek Matematik, kita perlu tentukan apakah aktiviti
yang perlu kita lakukan.
Contohnya, untuk dapat gred A, kita rasa kita perlu buat 20 latihan matematik setiap hari (tidak
termasuk kerja sekolah). Jadi, setiap hari fokus utama kita ialah menyiapkan 20 latihan tersebut
tidak kira berapa sibuk dan penat sekalipun.
Kalau boleh, tindakan itu mesti boleh dilakukan dalam masa 48 jam selepas kita menulis
matlamat. Mengapa? Jika ia mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan, kita kan mula
hilang semangat. Jika ia dilaksanakan serta-merta, semangat yang masih membara itu akan
membantu menolak kita ke hadapan dan melakukan semua perkara yang patut dilakukan.
Saya lihat teknik ini digunakan oleh beberapa sahabat baik saya
yang cemerlang dalam subjek Matematik ketika di sekolah
menengah berasrama penuh dulu. Mereka sudah tetapkan berapa
soalan mereka perlu buat dalam sehari.
Jika mereka rasa hari mereka akan sibuk dengan aktiviti sukan atau
kelab, mereka akan curi mana-mana masa yang terluang untuk
menyiapkan latihan tersebut. Kadang-kadang mereka buat latihan
semasa menunggu guru masuk ke kelas. Kadang-kadang mereka
buat latihan semasa menunggu giliran ke bilik air (kerana bilik air
penuh) dan kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu masuk waktu sembahyang
di surau.
Ini menunjukkan bahawa jika kita ingin berjaya, jangan hanya fikirkan tentang hendak mendapat
gred A tetapi fikirkan juga apa yang perlu dilakukan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.
Tindakan ini semua lebih mudah kita kawal dan ia boleh menjadi kayu pengukur sama ada kita
sedang bergerak menuju matlamat kita atau tidak.
Jadi, tugas kita hari ini, senaraikan aktiviti atau tindakan yang perlu kita ambil untuk memastikan
kita dapat apa yang kita inginkan. Minggu depan saya akan terangkan lebih lanjut mengenai
petua ketiga ini terutamanya bagaimana menguruskan masa untuk subjek yang kita lemah.
Petua 3.1
Kita masih lagi dalam petua
ketiga – uruskan masa
mengikut matlamat. Hari ini
kita akan bincangkan
bagaimana hendak
menguruskan masa untuk
subjek yang kita lemah.
Sebelum itu, apa yang dimaksudkan subjek yang kita lemah? Secara mudahnya begini. Kalau
satu subjek itu kita hendak dapat gred A tetapi sekarang kita dapat gred C ke bawah, kita
anggap ia subjek yang kita lemah. Ini kerana kita perlu lompat sekurang-kurang dua tangga gred
untuk sampai gred matlamat kita itu. Setuju? (Setuju je la ye untuk tujuan perbincangan petua
ini. )
Baiklah. Mari kita bincangkan masalah pengurusan masa subjek lemah. Selalunya, jika kita
lemah sesuatu subjek, kita tidak akan suka untuk luangkan masa belajar atau ulangkaji subjek
tersebut. Betul kan? Maksudnya, kalau kita lemah subjek Bahasa Melayu, kita jarang mahu
belajar subjek ini apabila ada masa terluang. Kita lebih suka belajar subjek yang kita kuat
apabila ada masa terluang.
Ini adalah normal. Subjek yang kita lemah membuat kita rasa tidak selesa. Setiap kali mahu
belajar subjek itu, kita sudah mula rasa tekanan perasaan akibat kesusahan untuk memahami
subjek tersebut. Jadi, selagi ada peluang, kita akan tinggalkan subjek tersebut. Caranya begini.
Ada 3 perkara yang kita patut lakukan untuk uruskan masa
subjek yang kita lemah ini.
Pertama, buka buku subjek tersebut dan belajar topik
yang paling mudah dahulu. Belajar bersungguh-sungguh
hingga kita dapat kuasai topik tersebut. Biar kita rasa topik
itu sangat mudah bagi kita. Apabila ini berlaku, motivasi
dalam diri kita akan meningkat. Kita akan rasa lebih
bersemangat untuk belajar. Apabila motivasi diri ini timbul,
belajar beberapa topik lain yang paling mudah pula.
Akhirnya, tanpa kita sedari, kita sudah belajar hampir
semua topik. Lebih hebat lagi, semua topik kelihatan mudah sahaja.
Kedua, jika kita belajar subjek yang kita kuat 1 jam, kita perlu belajar subjek yang kita lemah 2
jam atau lebih. Secara lojiknya, subjek yang kita lemah perlukan lebih perhatian bukan? Satu
perkara yang hebat ialah apabila kita boleh kuasai subjek yang kita rasa susah selama ini,
subjek lain akan terasa semakin senang. Lama-kelamaan, kita akan rasa mendapat semua A
dalam peperiksaan adalah sesuatu yang kita boleh capai.
Mula berkawan dengan pelajar yang pandai dalam subjek kita lemah ini. Tiru cara mereka
berfikir tentang subjek ini. Lebih baik lagi, eratkan hubungan kita dengan guru yang mengajar
subjek ini. Guru selalunya sangat suka apabila ada anak muridnya yang menunjukkan
kesungguhan untuk belajar. Jadi luangkan lebih masa dengan kawan-kawan yang pandai subjek
ini dan guru subjek ini.
Kita sambung esok.
Petua 3.2
Ini adalah bahagian terakhir petua
ketiga. Kita akan bincangkan
bagaimana cara hendak
menguruskan masa berpandukan
matlamat. Mudah sahaja topik hari
ini. Semasa kita merancang masa
untuk belajar atau buat
sesuatu, fikirkan tentang keberkesanan, bukan jumlah waktu. Maksudnya, jika kita mahu
merancang masa untuk belajar, jangan terlalu fikirkan berapa jam mahu belajar, tetapi fikirkan
berapa lama kita boleh luangkan masa untuk belajar sesuatu dengan berkesan.
Kita mungkin pernah dengar pelajar merungut yang mereka sudah belajar hampir 6 jam sehari
tetapi hasilnya masih tidak memuaskan. Ada dua sebab utama mengapa ia jadi begini.
Pertama, pelajar ini mungkin tidak gunakan teknik belajar yang betul. Mereka luangkan banyak
masa untuk belajar tetapi mereka lambat faham dan cepat pula lupa. Akibatnya, dalam
peperiksaan, mereka tidak dapat menghasilkan prestasi terbaik.
Kedua, walaupun masa terluang hampir 6 jam, hakikatnya masa yang digunakan secara
berkesan cuma 1 atau 2 jam sahaja. Bagaimana ini boleh berlaku?
Ada pelajar yang tidak fokus semasa mereka belajar. Ada
yang leka dengan televisyen atau radio. Ada yang leka
dengan panggilan telefon dan sms. Ada yang leka dengan
makan dan minum. Akibatnya, walaupun sudah luangkan
masa 6 jam, masa yang betul-betul digunakan untuk belajar
ialah 2 jam atau kurang. Pernahkah anda melakukan
kesalahan begini?
Jadi, mulai hari ini, apabila kita mahu merancang masa
untuk belajar, fikirkan berapa lama kita mahu benar-benar
fokus. Setelah luangkan masa untuk belajar selama 2-3 jam, fikirkan “berapa banyak aku dah
dapat dalam masa 2-3 jam tadi?”. Apabila kita selalu berfikir begini, kita akan habiskan masa
dengan berkesan dan walaupun kita luangkan sedikit masa untuk belajar, hasilnya akan jadi
lebih baik daripada yang kita jangkakan.
Selamat merancang untuk menguruskan masa.
Petua 4
Petua yang keempat untuk skor A 2008 ialah gandakan ‘latih
tubi’. Latih tubi adalah aktiviti membuat latihan bagi setiap
subjek terutamanya latihan bagi soalan-soalan yang biasa
disoal dalam peperiksaan.
Saya kerap mendapat soalan mengenai situasi begini “saya
sudah belajar semua topik dan sudah hafal semua maklumat
penting dalam setiap topik. Tetapi, saya masih gagal jawab
dengan baik dalam peperiksaan. Akibatnya, saya hanya dapat
gred yang sederhana baik.”
Tahu dan hafal semua maklumat tidak menjamin kita mendapat A. Gred A ialah untuk pelajar
yang boleh jawab soalan mengikut skema jawapan yang telah diberikan. Maksudnya, jika kita
mahu dapat gred A, kita kena tahu bagaimanakah bentuk soalan yang bakal ditanya dan kita
perlu tahu bagaimana mahu menjawabnya. Ini akan dapat dicapai dengan melakukan latih tubi.
Saya fikirkan tentang petua ini apabila saya terkenang satu subjek yang dianggap sangat sukar
ketika saya mengambil A-Level pada tahun 1996 dulu. Subjek itu ialah Economics. Subjek ini
terbahagi kepada 2 bahagian iaitu 50 soalan objektif dan lebih kurang 4 soalan subjektif. Entah
kenapa saya boleh jawab soalan subjektif tetapi soalan objektif begitu sukar buat saya.
Walaupun saya tahu banyak perkara dan sudah hafal banyak maklumat penting, saya
masih gagal mendapat 30 jawapan betul daripada 50 soalan. Paling tinggi markah yang saya
dapat pun mungkin 25 ke 29 markah.
Lebih kurang sebulan sahaja lagi sebelum peperiksaan sebenar, saya mula mengumpul semua
soalan sebenar daripada 10 tahun lepas (past year questions). Terdapat 20 set kertas soalan
semuanya (setahun ada dua peperiksaan begini dijalankan jadi ada 20 set kertas soalan untuk
10 tahun). Apa yang saya lakukan ialah saya betul-betul habiskan masa membuat semua soalan
ini dengan niat untuk menghabiskannya sebelum peperiksaan sebenar. Alhamdulilah, saya
selesaikan semua soalan itu dalam masa seminggu.
Setelah selesai semua soalan, saya sedar satu perkara. Ada satu corak yang boleh dikenalpasti
dalam soalan-soalan tersebut. Malah, ada soalan yang lebih kurang sama cuma diubah cara
penyampaiannya. Ini membuat saya sangat yakin bahawa saya pasti boleh menjawabnya
dengan baik. Pada hari peperiksaan sebenar, keyakinan dan latih tubi saya itu benar-benar
membuahkan hasil. Setelah pensyarah saya periksa jawapan saya yang saya tanda di atas
kertas soalan (kertas jawapan sebenar dihantar ke UK untuk diperiksa), saya berjaya mendapat
50 markah per 50. Markah penuh! Saya juga dapat jawab dengan baik dalam soalan subjektif
(esei) yang akhirnya memberikan saya gred keseluruhan A untuk subjek Economics. Saya
percaya itulah salah satu kehebatan petua keempat ini.
Saya mahu cadangkan satu
cara belajar untuk dapat gred A.
Katakan kita sedang belajar
subjek Sejarah. Selalunya
pelajar akan baca dulu satu
topik kemudian membuat latihan
yang disediakan di bahagian
akhir topik tersebut. Apa kata
kita mulakan dengan membuat
soalan-soalan itu semua dahulu.
Hmmm….pasti ada yang yang rasa pelik. Macam mana nak buat latihan kalau belum baca?
Begini.
Apabila kita baca soalan, kita akan mula berfikir tentang jawapannya. Apabila kita fikir tentang
jawapan, kita mula akan jadi peka kepada maklumat yang ada di dalam topik tersebut. Dua
perkara akan berlaku:
Melalui soalan itu, kita akan tahu bahawa maklumat itu adalah penting dalam topik tersebut.
Sebab itulah ia disoal dalam soalan di bahagian akhir. Jadi, bila kita mahu belajar dan baca topik
itu nanti, kita perlu cari maklumat-maklumat itu.
Setelah kita buat soalan di bahagian akhir dan tahu apa yang akan disoal di dalam topik itu, kita
akan jadi lebih peka. Apabila kita baca topik tersebut selepas buat soalan, kita akan terjumpa
fakta-fakta dalam soalan tadi. Contohnya, jika tadi kita ada buat soalan “pada tahun berapakah
Malaysia diisytiharkan merdeka?”, kita akan segera nampak jawapan ini apabila kita
membacanya. Bukan itu sahaja, kita akan lebih ingat apa yang kita baca ini.
Jadi, kita perlu ingat, untuk skor A, kita perlu banyak buat latihan terutamanya latihan soalan-
soalan lepas dan juga latihan di bahagian akhir topik yang kita pelajari. Esok kita akan sambung
lagi bagaimana kita boleh manfaatkan petua keempat ini.
Petua 4.1
Kita masih lagi dalam petua keempat iaitu gandakan latih tubi. Hari ini saya akan terangkan
tentang konsep latih sampai dapat.
Dalam program-program SmartStudy yang biasa saya jalankan, ramai pelajar bertanya tentang
masalah di mana mereka sukar hendak memahami sesuatu. Bila saya tanya mereka berapa kali
mereka cuba untuk baca sesuatu atau belajar sesuatu, mereka kata hanya 1 atau 2 kali sahaja!
Hmmm…. apabila kita belajar sesuatu, adalah
normal jika kita sukar memahaminya terutamanya
apabila kita belajar sesuatu yang kita tidak biasa
gunakan. Contohnya, jika selama ini kita tidak
pernah memancing, tentu sukar dan janggal
apabila kita mahu belajar mengikat mata kail dan
memasang umpan. Bagaimana akhirnya kita
pandai memancing? Dengan melakukan aktiviti
memancing berulang-ulang kali bukan?
Sama seperti belajar. Jika kita rasa subjek Matematik, Sejarah, Sains, Geografi atau apa subjek
susah, itu adalah kerana kita belum cuba membuat latihan yang mencukupi. Jadi mulai hari ini,
untuk skor A tahun 2008, ada 3 perkara yang perlu kita lakukan.
Pertama, lebihkan membuat latihan daripada membaca. Apabila kita membuat latihan, secara
automatik kita juga perlu membaca. Namun apa yang lebih hebat, semasa kita membuat latihan,
kita akan membaca dan berfikir. Aktiviti berfikir ini mungkin memeningkan pada mulanya tetapi
lama-kelamaan kita akan rasa cergas dan cerdas. Kita juga akan lebih ingat apa yang telah kita
pelajari.
Kedua, dapatkan soalan-soalan lepas. Tidak kira kita berada di sekolah rendah atau menengah,
kolej atau universiti, soalan-soalan lepas adalah gambaran tentang apa yang perlu kita tahu
dalam setiap subjek. Contohnya, apabila kita banyak membuat latihan soalan lepas subjek
Sejarah, kita akan tahu maklumat mana yang penting dalam setiap topik. Jadi, kita tidak perlu
terlalu membuang masa belajar topik kurang penting dan maklumat yang jarang ditanya dalam
peperiksaan.
Ketiga, buat latih tubi ini secara berterusan. Semakin banyak latihan yang kita lakukan, kita akan
nampak soalan bagaimana yang bakal keluar nanti. Saya pernah lihat seorang kawan yang
begitu handal meneka apakah soalan yang bakal keluar semasa belajar di peringkat A-Level
dulu. Rupa-rupanya dia banyak membuat latihan soalan lepas dan dia sudah nampak dengan
jelas bentuk-bentuk soalan yang akan ditanya. Apabila ini berlaku, proses pembelajaran jadi
ljauh lebih mudah.
Selamat membuat latih tubi.
Petua 5
Petua kelima ini adalah sangat penting untuk kita skor A dalam
peperiksaan tahun 2008 ini. Saya ada terangkan dengan jelas dan
terperinci dalam buku kedua saya ‘Menjadi remaja SmartStudy –
Kemahiran Belajar’ iaitu tingkatkan kepantasan dan ketepatan.
Kebolehan kita untuk mendapat gred adalah bergantung kepada petua
ini. Ada pelajar mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam
dalam sesuatu subjek. Tanya apa sahaja dia boleh jawab. Jadi, pelajar
ini ada ketepatan. Ketepatan bermaksud kita tahu dengan tepat apa
yang diperlukan oleh soalan-soalan subjek atau soalan-soalan peperiksaan. Namun sayangnya,
kadangkala pelajar begini tidak ada kepantasan. Kepantasan adalah berapa cepat anda dapat
selesaikan sesuatu soalan atau berapa cepat anda jawab sesuatu soalan di dalam dewan
peperiksaan.
Dalam subjek Matematik contohnya, kerapkali saya dengar
rungutan ibu bapa yang mengatakan anak mereka boleh
menjawab semua soalan dengan baik di rumah. Tetapi yang
peliknya bila tiba waktu peperiksaan, anak mereka ini cuma
mendapat keputusan sederhana sahaja, tidak cemerlang.
Apabila ini berlaku, saya selalu rasa hampir pasti ia disebabkan
anak ibu bapa tadi tidak mempunyai kepantasan.
Untuk membuktikannya, saya uji pelajar tersebut dengan satu
atau dua soalan dan saya beri satu tempoh masa. Ternyata
pelajar itu gagal menyiapkan soalan tu dalam masa yang diberikan. Jika diberi lebih masa, dia
akan berjaya lakukannya. Ini jelas menunjukkan bahawa, walaupun kita tahu banyak perkara
tentang sesuatu subjek, kita tidak akan dapat gred A sekiranya kita tidak mempunyai
kepantasan.
Dalam masa yang sama, ada pelajar yang mempunyai
kepantasan tetapi tidak mempunyai ketepatan. Pelajar ini cepat
dapat selesaikan soalan-soalan peperiksaan tetapi mereka terlalu
lalai hingga boleh salah soalan yang paling senang
sekalipun. Kepantasan tanpa ketepatan akan menyebabkan kita
lalai dan sukar mendapat markah yang baik.Ketepatan tanpa
kepantasan pula menghalang kita daripada menjawab soalan
dalam masa yang ditetapkan dan akibatnya kita akan gagal juga
mendapat gred yang kita mahukan.
Kita akan bincangkan lagi bagaimana kita boleh tingkatkan
kepantasan dan ketepatan kita sekaligus.
Petua 5.1
Saya telah terangkan tentang peranan
kepantasan dan ketepatan dalam posting saya
semalam. Kini saya akan terangkan bagaimana
kita boleh tingkatkan tahapketepatan kita dalam
usaha skor A 2008.
Untuk meningkatkan tahap ketepatan, kita
memerlukan 3 kemahiran belajar. Kemahiran
belajar itu ialah
Kemahiran untuk fokus semasa belajar
Kemahiran menghafal
Kemahiran menulis nota kreatif
Kemahiran fokus semasa belajar - ialah kemahiran untuk kita tumpukan sepenuh perhatian
kepada apa yang sedang diajarkan. Ini adalah langkah pertama terpenting dalam skor A. Walau
kita hebat bagaimana pun, tanpa fokus, kita tidak akan mampu memahami apa yang sedang
diajarkan.
Saya selalu lihat cara pelajar cemerlang belajar semasa saya di zaman persekolahan dan
semasa saya menjadi guru. Jelas kelihatan bahawa pelajar cemerlang sangat fokus semasa
belajar. Bagaimana? Mereka lupakan semua perkara lain sewaktu belajar.
Mereka tidak peduli tentang orang yang sedang lalu-
lalang di tepi kelas mereka dan mereka tidak peduli
sangat tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Mereka kelihatan begitu khusyuk dalam usaha memahami
apa yang sedang diajarkan. Ia seperti seorang budak
yang sedang khusyuk menonton cerita kartun
kegemarannya. Bolehkah anda bayangkan bagaimana
rupa orang yang sedang khusyuk ini?
Jadi, untuk fokus seperti mereka, kita perlu lakukan
beberapa perkara:
Pertama, apabila cikgu mula mengajar, lupakan semua perkara lain dan tumpukan sepenuh
perhatian kepada apa yang guru sedang katakan.
Lebih baik, ringankan mulut untuk bertanya. Apabila guru menerangkan sesuatu, fikir betul-betul
apa yang guru sedang terangkan. Kemudian apabila ada soalan timbul dalam kepala, buka
mulut untuk bertanya. Jangan risau jika kita kelihatan tidak pandai kerana tidak faham kerana
selalunya separuh daripada murid di dalam kelas kita itu juga tidak faham sebenarnya. Cuma
mereka malu hendak bertanya.
Duduk seperti seorang budak yang sedang menonton cerita kartun kegemarannya. Kalau tidak
pernah lihat bagaimana cara duduk begini, cuba kita fikirkan bagaimana cara kita duduk apabila
kita melakukan sesuatu yang menyeronokkan. Duduk dengan cara begini semasa belajar di
dalam kelas atau di mana-mana sahaja.
Petua 5.2
Cara kedua untuk meningkatkan ketepatan ialah
dengan menguasai kemahiran menghafal atau teknik
memori. Teknik memori ialah teknik yang boleh
membuat kita lebih mudah ingat apa yang sedang
dan telah kita pelajari.
Teknik ini bukanlah seperti satu ubat yang boleh
dimakan agar semua masalah ‘LUPA‘ hilang. Teknik
ini memerlukan latihan dan kesungguhan.
Namun apa yang bagusnya, setelah kita memahami
dan menguasai teknik ini, mengingati sesuatu akan
jadi lebih mudah.
Apa kaitan teknik memori dengan ketepatan? Apabila
kita menjawab soalan peperiksaan, kita perlu
mengetahui jawapannya dengan tepat untuk
memperolehi markah yang baik. Jawapan yang tepat
selalu perlu diingat dengan betul.
Contohnya, berapakah suhu takat didih air? Kalau kita tidak ingat, mungkin kita boleh jawab
lebih kurang 90 hingga 110 darjah celsius. Tetapi, itu tidak tepat. Kita perlu ingat dengan tepat
bahawa takat didih air ialah 100 darjah celsius.
Bagaimana caranya agar kita boleh kuasai teknik memori atau kemahiran menghafal ini?
Pertama, ikuti kursus, seminar atau bengkel kemahiran belajar yang dianjurkan di tempat kita
belajar atau mana-mana tempat yang kita boleh hadiri. Selalunya sekolah atau mana-mana
pusat pengajian ada menganjurkan program begini untuk pelajar. Saya juga kadangkala agak
sibuk memenuhi undangan menjalankan program berbentuk kemahiran belajar dan teknik
menghafal ini di sekolah-sekolah, kolej dan juga universiti. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk
mengikuti program sebegini.
Kuasai teknik ini melalui pembacaan. Kini terdapat banyak buku yang mengajar teknik-teknik
memori dan kemahiran menghafal. Ada yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan ada yang ditulis
dalam Bahasa Melayu (contohnya buku menjadi remaja SmartStudy – Kemahiran Belajar). Saya
lihat kebanyakan pelajar cemerlang pasti ada melaburkan wang mereka membeli buku-buku
berfaedah begini berbanding pelajar lain yang lebih suka membeli komik, majalah hiburan dan
bahan bacaan yang tidak menyumbang ke arah pembangunan diri.
Latih teknik ini setiap hari hingga kita rasa selesa menggunakannya. Salah satu tanda rasa
selesa ialah kita tidak perlu berfikir lagi untuk melakukannya. Contohnya, apabila kita membaca
buku, dengan secara automatik kita akan praktikkan teknik memori hingga kita tidak sedar rupa-
rupanya banyak maklumat yang kita telah ingat melalui pembacaan itu.
Mulakan usaha kita untuk menguasai teknik memori ini sekarang!
Petua 5.3
Teknik ketiga untuk meningkatkan ketepatan ialah dengan menguasai teknik menulis nota
kreatif. Nota adalah sangat penting buat pelajar. Apa yang dipelajari dalam Januari pasti akan
hilang dalam ingatan sebelum tiba bulan Mei atau Jun. Lebih buruk lagi, ada pelajar yang lupa
walaupun baru sahaja beberapa minggu lepas mempelajarinya. Walaupun ini perkara biasa,
sesuatu mesti dilakukan agar kita dapat ingat lebih lama apa yang telah dipelajari.
Jadi satu cara mudah untuk mengingat apa yang kita sudah pelajari (selain teknik menghafal)
ialah dengan menguasai teknik menulis nota kreatif. Nota kreatif berbeza dengan nota-nota
biasa. Biasanya nota pelajar hanya dipenuhi dengan tulisan dan juga warna terang daripada
‘highlighter’. Nota begini tidak banyak dapat membantu pelajar sebenarnya. Mengapa?
Pertama, minda kita berfikir secara bergambar. Minda kita
sukar untuk mengingat tulisan. Jadi, nota yang hanya
dipenuhi tulisan akan membuatnya sukar diingat. Kedua,
nota begini selalunya panjang dan sukar difahami.
Bayangkan peperiksaan akan tiba dalam masa 2 minggu
dan kita perlu baca nota yang begitu tebal. Apa
rasanya?
Jadi, mulai hari ini,
Tukarkan nota ke dalam bentuk gambar. Anda boleh rujuk
kompilasi tips dan petua tentang teknik memori supaya
faham bagaimana cara menulis nota bergambar.
Tukarkan nota ke dalam bentuk cerita. Dalam kompilasi
petua, topik 7 petua mudah ingat apa dipelajari ada saya berikan
contoh bagaimana mahu melakukan perkara ini.
Sentiasa gambarkan nota yang telah kita tulis dalam minda kita. Cerita bergambar memang lebih
mudah untuk dibayangkan.
Selamat mencuba.
Petua 5.4
Kita sudah berada dalam tips terakhir petua kelima ini. Dalam beberapa posting lepas, saya ada
terangkan tentang cara meningkatkan ketepatan. Hari ini, saya akan kongsikan satu tips
bagaimana kita boleh tingkatkan tahap kepantasan kita pula.
Diringkaskan cerita, cara paling mudah untuk
kita meningkatkan kepantasan ialah
dengan membuat latihan dalam masa yang
ditetapkan. Apa maksud saya? Bagini.
Katakan kita sedang membuat latihan
matematik. Cuba buat satu soalan dan lihat
berapa banyak masa yang kita ambil untuk
menyiapkannya. Katakan masa yang diambil
ialah 7 minit. Kemudian, ambil satu kertas lain,
cuba buat lagi sekali soalan yang sama itu.
Bolehkah ia disiapkan dalam jangka masa kurang 7 minit? Kalau boleh, bagus. Tetapi, berapa
cepat? 5 minit? 4 minit? Atau 2 minit? Latihan berterusan dengan mengejar masa begini akan
membuat otak kita lebih peka, cerdas dan cekap dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Satu cara lagi, setiap kali kita buat latihan daripada buku teks atau buku latihan, catatkan masa
yang kita ambil untuk menyiapkannya. Kemudian, cuba tambahkan kepantasan kita dari masa ke
semasa. Satu contoh yang biasa saya lakukan semasa saya mengajar Matematik untuk pelajar
UPSR, saya berikan mereka 100 soalan sifir mudah. Mereka perlu hafal sifir untuk menyiapkan
latihan ini dengan pantas.
Saya cuma beri masa 4 minit untuk menyiapkan 100 soalan itu. Selalunya, buat kali pertama,
jarang pelajar saya dapat selesailkan. Namun, setelah dilatih beberapa kali, mereka jadi semakin
cepat.
Lama kelamaan, ada pelajar saya yang apabila lihat sahaja soalan, mereka sudah tahu
jawapannya. Rekod terpantas yang dapat dicatatkan oleh pelajar saya ialah 2 minit untuk 100
soalan. Betul 100%. Alhamdulillah, pelajar ini mendapat gred A dengan mudah dalam subjek
Matematik pada peperiksaan UPSR.
Jadi, mulai hari, latih kepantasan untuk skor A tahun ini. Selamat mencuba.
Petua 6
Sudah beberapa minggu tergendala perbincangan kita mengenai petua skor A 2008 kan?
Hmm… agak sibuk sedikit kebelakangan ini tetapi tidak mengapa, saya akan habiskan tulisan
saya mengenai 7 petua ini.
Petua yang ke-6 untuk skor A tahun 2008 ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Mudah
sahaja bunyi petua ini tetapi tahukah kita bagaimana menjaga kesihatan fizikal dan mental. Mari
kita mulakan dengan kesihatan fizikal dahulu.
Selalunya, apabila sudah terlalu bersemangat untuk skor A, pelajar lupa menjaga
kesihatan tubuh badan mereka. Mereka terperap dalam rumah atau bilik untuk
membaca buku. Mereka enggan keluar berjalan-jalan atau bersenam. Mereka
juga mula tidak menjaga makan minum mereka di mana mereka tidak makan
dengan cukup, makan berlebihan atau makan makanan yang tidak berkhasiat.
Saya percaya tidak perlu diterangkan mengapa kesihatan fizikal itu penting untuk skor A. Kita
kena ingat, minda tidak boleh berfungsi dengan baik jika fizikal kita tidak berada dalam keadaan
yang baik.
Sama seperti kereta, ia tidak berfungsi dengan baik jika ada sebarang kerosakan pada enjinnya.
Jadi, apa yang perlu kita lakukan untuk menjaga kesihatan fizikal dalam usaha skor A 2008 ini?
Pertama, banyakkan makan makanan yang berkhasiat. Ia boleh dilakukan dengan memakan
buah-buahan segar atau sayur-sayur segar. Kebanyakan zat-zat yang kita perlukan boleh
didapati di dalam makanan-makanan ini. Jika sukar mendapat makanan berkhasiat, penggunaan
’supplement’ atau zat tambahan yang boleh dibeli di pusat kesihatan atau farmasi juga boleh
membantu.
Kedua, banyakkan minum air yang bersih. Sukar untuk saya terangkan lebih lanjut mengenai air
bersih ini. Namun, air yang dicadangkan oleh Dr Bruce Miller (penulis buku-buku kesihatan
termasuk buku mengenai penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya) mencadangkan
air reverse osmosis atau air yang sudah disuling. Kalau kita pergi ke kedai, kita boleh lihat
banyak air minuman yang dijual dalam botol bukan? Selalunya kita hanya panggil air minuman
itu dengan nama air mineral. Tetapi bukan semua air itu air mineral. Ada diantaranya ialah air
reverse osmosis. Ia selalunya juga ditulis sebagai ‘drinking water’. Dapatkan nasihat seseorang
yang lebih pakar daripada saya mengenai perkara ini supaya tidak ada keraguan.
Luangkan masa 30 hingga 60 minit sehari untuk berpeluh. Mudah
sahaja bunyinya kan? Kalau kita berjalan kaki ke kedai pun kadang-
kadang sudah ambil masa 30 minit dan kita akan berpeluh. Itu pun
sudah lebih baik daripada asyik terperap di dalam rumah.
Lakukan senaman regangan otot 5 – 10 minit sehari. Apabila kita asyik
belajar dan duduk di atas kerusi sepanjang masa, otot kita boleh jadi
kejang dan tidak selesa. Perjalanan darah juga akan jadi tidak lancar.
Jadi dengan membuat senaman regangan otot, kita akan rasa lebih
segar dan selesa. Mudahlah nanti untuk kita sambung belajar.
Lebih menarik lagi, luangkan masa bermain sukan dengan kawan-
kawan 30 hingga 60 minit sehari.
Petua 6.1
Petua yang ke-6 untuk skor A tahun 2008 ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Saya
telah terangkan mengenai tips menjaga kesihatan fizikal. Kali ini, kita bincangkan tips menjaga
kesihatan mental pula.
Kita perlu faham, kadangkala tekanan perasaan
yang kita rasa sebagai pelajar boleh menjadi
terlalu hebat hingga ia memusnahkan
kebolehan kita untuk berfikiran rasional. Ada
ketikanya, pelajar boleh jatuh sakit secara
fizikal (demam, letih badan, pening kepala atau
kerengsaan kulit) atau secara mental (separuh
gila, gila atau hilang akal). Berat juga perkara
ini kerana saya sendiri pernah menyaksikan
sahabat saya sendiri jatuh sakit secara mental akibat tekanan perasaan semasa belajar dan
masih tidak pulih sepenuhnya hingga ke hari ini.
Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan untuk menjaga kesihatan mental kita ini.
Pertama, kekalkan imej positif di dalam minda kita. Tekanan perasaan selalunya disebabkan kita
terlalu memikirkan perkara-perkara yang menakutkan seperti gagal peperiksaan atau tidak
mampu menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan. Hari ini, senaraikan perkara-perkara
yang boleh buat kita gembira setiap kali memikirkannya. Apabila kita rasa tertekan, terus lihat
pada senarai ini dan fikirkan tentang perkara tersebut. Saya pasti ia boleh membantu
mengurangkan tekanan yang kita rasakan.
Mula berkawan rapat dengan kawan-kawan yang
ceria, cemerlang dan yang suka memberi dorongan
dan sokongan. Tujuan ini bukan untuk kita pergi
kepada mereka dan luahkan masalah kita kerana
masalah yang kita bawa akan melemahkan mereka
juga. Pergi kepada mereka untuk tiru cara mereka
hadapi tekanan perasaan mereka. Pelajar
cemerlang selalunya berfikiran positif dan
menganggap tekanan perasaan sebagai satu
cabaran yang seronok untuk ditempuhi. Ia sama
seperti kita bermain sukan. Semakin sukar
permainan itu, semakin seronok untuk kita cuba
memenanginya.
Jaga ibadah harian. Selain daripada menunaikan
sembahyang wajib, luangkan juga masa untuk
melakukan ibadah sunat yang digalakkan dalam agama kita. Saya selalu percaya bahawa air
sembahyang adalah satu senjata hebat pelajar cemerlang untuk mengurangkan tekanan
perasaan mereka. Disamping itu, membaca Al-Quran selepas Subuh dan Asar benar-benar
boleh menenangkan fikiran dan menambahkan keselesaan dan kelapangan di dalam hati kita.
Selamat mencuba.
Petua 7
Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah ‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan
rakan-rakan’. Sekali lagi ringkas sahaja bunyi petua ini tetapi adakah kita tahu mengapa
sokongan mereka ini semua sangat penting dalam usaha mencapai gred A dalam tahun ini?
Begini. Semasa kita berusaha untuk mencapai
matlamat, kita akan menghadapi pelbagai rintangan
dan cabaran. Rintangan dan cabaran ini mungkin
datang dalam bentuk kegagalan, kekecewaan dan
rasa sakit hati akibat macam-macam perkara.
Contohnya, kalau kita nak skor A dalam subjek
Bahasa Inggeris, mungkin kita tidak akan selalu
mendapat gred tersebut. Ada kalanya kita dapat gred
B, C, D atau gagal. Cabaran ini boleh menggugat
keyakinan dan semangat kita untuk berjaya.
Jadi, dalam keadaan begini, ibu bapa, guru dan rakan-rakanlah yang boleh membantu
menaikkan semula semangat dan keyakinan diri yang semakin jatuh itu. Namun, tidak semudah
itu untuk mendapat sokongan mereka. Di sini saya akan kongsikan bagaimana caranya untuk
mendapat sokongan mereka. Mari kita mulakan dengan bagaimana mendapat sokongan
daripada ibu bapa.
Secara umumnya, ibu bapalah yang paling mudah untuk menyokong dan memberi semangat
kepada kita. Ini adalah kerana kejayaan kita mencerminkan kejayaan buat diri mereka juga.
Malah, banyak ketikanya, ibu bapalah yang lebih risau berbanding pelajar apabila menjelang
peperiksaan (pernah lihat situasi begini?).
Walaupun mereka mudah menyokong, ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan agar
mereka lebih mudah memahami cabaran yang sedang kita tempuhi.
Pertama, belajar untuk meluahkan apa yang
terbuku di hati kepada ibu bapa. Masalah biasa
dikalangan pelajar dan ibu bapa ialah hilangnya
kebolehan untuk mereka berkomunikasi dengan
baik. Perkara ini selalu saya lihat dalam sesi
kaunseling yang saya jalankan terutamanya
apabila anak-anak meningkat dewasa (dari
umur 12 hingga 17 tahun). Jika anda ada
masalah atau kerisauan, cuba bincangkan
dengan ibu bapa. Saya faham ini bukan perkara
mudah. Namun setelah anda buka mulut dan
berkongsi masalah dengan ibu bapa, fikiran mereka akan jadi lebih terbuka untuk menyokong
kita. Contohnya, jika kita sedang risau dan tertekan, jangan hanya berdiam diri dan mula
menunjukkan perangai-perangai yang tidak menyenangkan. Perasaan tertekan tidak akan hilang
dengan cara begitu. Apa kata jumpa ibu bapa, beritahu mereka yang kita sedang rasa tertekan
dan minta nasihat mereka untuk membantu diri kita. Saya percaya mereka akan bantu.
Kedua, ceritakan kepada ibu bapa tentang matlamat kita untuk mencapai kejayaan. Ceritakan
kepada mereka mengapa kita mahu capai kejayaan. Kemudian, berterus-terang dengan mereka
yang kita perlukan sokongan dan restu mereka untuk merasa lebih bersemangat. Ibu bapa mana
yang tidak akan gembira dan menyokong jika anak-anak mereka sudah bertekad untuk berjaya.
Ketiga, dalam masa yang sama, walaupun sedang berusaha untuk berjaya, jangan lupa untuk
membantu ibu bapa di rumah. Kerja-kerja rumah selalunya tidak terlalu membebankan untuk
kita. Setelah kita bantu meringankan beban ibu bapa di rumah, hati kita akan jadi lebih tenang.
Ibu bapa kita juga akan rasa tenang. Jadi, lebih mudahlah untuk mereka membantu kita nanti.
Selamat mencuba.
Petua 7.1
Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah‘dapatkan sokongan
daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’. Semalam saya sudah
terangkan bagaimana untuk mendapat sokongan ibu bapa. Kali ini,
mari kita bincangkan bagaimana untuk mendapat sokongan guru
dan rakan-rakan.
Para pembaca yang saya hormati sekalian, sokongan guru adalah antara perkara terpenting
dalam mencapai matlamat kejayaan kita. Untuk skor A, saluran paling utama untuk mencapainya
ialah melalui guru kita.
Apabila guru kita bersungguh-sungguh untuk membantu dan membawa kita ke arah kejayaan,
lebih mudah untuk kita ke sana. Banyak ketikanya pelajar dan ibu bapa merungut mengatakan
guru tidak bersungguh-sungguh dan tidak peduli dengan kejayaan muridnya.
Malah ada yang menuduh guru hanya menganggap sekolah sebagai tempat mencari duit dan
tempat untuk mempunyai kerjaya sahaja. Saya percaya tanggapan ini salah.
Mengapa? Sepanjang pengalaman saya berkenalan dengan
guru sama ada di zaman persekolahan atau dewasa, saya lihat
semua guru mahu anak muridnya berjaya. Satu sebabnya
tentulah kerana itu tanggungjawab mereka.
Namun satu sebab yang boleh kita percayai ialah kejayaan
anak murid melambangkan kejayaan guru itu juga. Guru yang
hebat pasti boleh melahirkan anak murid yang hebat. Jadi,
persoalan guru tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh
harus diketepikan.
Apa yang perlu kita fikirkan ialah mengapa guru lebih
bersungguh-sungguh mengajar murid lain berbanding kita?
Hmm… sekali lagi, jangan buruk sangka. Lihat semula kepada
diri kita.
Adakah kita selalu melawan cakap cikgu, degil, tidak beri tumpuan dalam kelas, terlalu ‘loyar
buruk’, tidak hormat, tidak pernah siapkan kerja sekolah dan mengutuk guru itu dibelakangnya?
Jika kita pernah atau biasa lakukan ini semua, adakah guru akan serius untuk membantu kita?
Tentu tidak bukan?
Jadi, mulai hari ini, cari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan guru kita. Saya ada
tulis 7 petua untuk memikat hati guru di dalam blog ini. Untuk membaca kompilasinya, klik
disini. Dengan 7 petua ini, saya percaya kita akan lebih mudah mendapat perhatian dan
sokongan guru meskipun guru itu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab hariannya.
Selamat mendapat sokongan guru dan selamat memikat hati mereka.
Petua 7.2
Kita sudah sampai ke tips terakhir dalam 7 petua skor
A 2008 ini. Dalam petua ketujuh yang lepas, saya
sudah terangkan kepentingan menjaga hubungan baik
dengan ibu bapa dan guru. Kali ini saya akan
terangkan kepentingan dan juga teknik untuk menjaga
hubungan baik dengan rakan sebaya.
Untuk pengetahuan kita semua, rakan sebaya adalah
orang-orang yang paling hebat dalam membantu kita
mencapai kejayaan akademik. Satu sebab utamanya ialah mereka ini mempunyai tahap fikiran
yang sama dengan kita. Jadi jika mereka faham sesuatu, mereka boleh terangkan kepada kita
dengan lebih mudah.
Rakan sebaya juga boleh menjadi sumber rujukan dan sistem sokongan kepada kita. Ada
banyak ketikanya kita tidak dapat luahkan masalah atau kerisauan hati kita kepada guru atau ibu
bapa tetapi rakan-rakan rapat kita akan sentiasa bersedia mendengar dan menyokong kita.
Namun kita perlu berhati-hati. Tidak semua rakan sebaya boleh membantu kita. Ada yang akan
cuba menarik kita kearah kegagalan walaupun bukan itu niat mereka. Contohnya jika kita
berkawan dengan pelajar yang malas, walaupun dia baik dan rapat dengan kita, dia akan
membuat kita terikut-ikut dengan perangai malas atau nakalnya.
Untuk skor A 2008 ini, ada beberapa tips yang perlu kita praktikkan.
Pertama, dekati rakan-rakan berfikiran positif, rajin dan
bersemangat untuk berjaya. Dalam masa yang sama, kurangkan
masa yang kita luangkan dengan pelajar-pelajar yang malas,
bermasalah disiplin dan suka merungut. Gabungan tindakan kita ini
akan menaikkan semangat kita untuk belajar dengan lebih baik.
Belajar bagaimana mahu menambahkan jumlah kawan. Kemahiran
berkawan adalah satu kemahiran yang sangat penting kerana
tanpanya, tidak ramai pelajar yang mahu berkawan dengan kita.
Jadi, baca tips kemahiran berkawan (Klik disini) dan 7 petua memikat hati rakan sebaya ( klik
disini)
Selamat mencuba.
Petua 7.2
Alhamdulillah. Saya telah berjaya menulis 7 petua skor A untuk
tahun 2008 ini. Petua-petua ini sebenarnya adalah hasil bacaan
saya selama ini dan juga hasil pemerhatian saya terhadap
pelajar-pelajar cemerlang yang saya kenali. Saya selalu percaya
bahawa skor A dalam peperiksaan adalah umpama kita sedang
belajar memasak daripada seorang Chef yang handal. Jika kita
ikut satu-persatu apa yang dilakukan termasuk menggunakan
sukatan yang 100% sama, kita pasti akan dapat hasil yang
sama.
Seperti pelajar cemerlang yang mampu skor A juga, kita boleh jadi seperti mereka jika kita
amalkan apa yang mereka amalkan. Antara apa yang mereka amalkan ialah 7 petua yang saya
kongsikan di sini. Mari kita ulang semula ketujuh-tujuh petua ini.
1. Tulis gred yang kita mahu capai.
2. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan.
3. Uruskan masa berpandukan matlamat.
4. Latih tubi.
5. Tingkatkan kepantasan dan ketepatan.
6. Jaga kesihatan fizikal dan mental.
7. Dapatkan sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.
Saya ucapkan selamat mencuba petua-petua ini dan selamat berjaya!