Analisis Puisi Menggunakan Strategi Struktural

Embed Size (px)

DESCRIPTION

ANTOLOGI PUISI KEMANUSIAAN II: WAHAI API JADILAH DINGIN JADILAH EMBUN.

Citation preview

ANALISIS TEKS BERDASARKAN ANTOLOGI PUISI WAHAI API JADILAH DINGIN JADILAH EMBUN MENGGUNAKAN TEORI STRUKTURAL BSS 3033 TEORI DAN KRITIKAN KESUSASTERAAN NIK RABIATUL HAFIZAH BINTI NIK LEH D20091034384 PENDIDIKAN BAHASA MELAYU SEMESTER 2, SESI 2010/2011

PENSYARAH DR. ABDUL HALIM ALI

Isi Kandungan 1.0 2.0 3.0 4.0 Pengenalan Definisi Konsep atau Istilah Kaedah atau Teori yang Digunakan Analisis Teks Berasaskan Prinsip / Teori yang Dipilih 4.1 4.2 Tema Persoalan 4.2.1 4.2.2 Kekejaman Israel Kemusnahan harta benda dan kematian

Halaman 1 1-2 3

3-4 4-6

4.3 Gaya Bahasa 4.3.1 4.3.2 4.3.3 4.3.4 4.4 5.0 Rima Epistrop Anafora Asonansi Anadiplosis

6-9

9-10 11

Rumusan

1.0

Pengenalan

Antologi puisi kemanusiaan Wahai Api Jadilah Dingin Jadilah Embun merupakan himpunan 250 buah puisi hasil nukilan penyair-penyair tanah air, pelajar-pelajar program pengajian Kesusasteraan Melayu dan juga peminat sastera yang memiliki kesedaran kemanusiaan terhadap penderitaan rakyat Palestin di Gaza akibat kekejaman serangan tentera Zionis. Antologi ini membangkitkan persoalan-persoalan yang tertumpu kepada kezaliman, penderitaan, kemusnahan akibat perang, serta harapan dan persaudaraan. Sajak-sajak yang dihasilkan merupakan suatu pernyataan rasa sedih, simpati dan pernyataan harapan dan kemanusiaan yang sangat murni yang ditujukan khas buat rakyat Palestin yang teraniaya. Daripada 250 buah sajak yang terdapat dalam buku antologi ini, hanya lima buah sajak diambil untuk dianalisis dengan menggunakan teori strukturalisme bagi mengetahui aspek yang terkandung dalam stuktur sesebuah teks tersebut. Lima karya yang dianalisis bertajuk Syahid, Jalan Pilihan Terakhir merupakan hasil nukilan Ariff Mohamad, Palitan Pahit Palestin karya Zarul Shafiq Zulkafli, Hentikan Peperangan karya Zaharah Binti Ghazali, Kekejaman Yang Terkejam karya Ahmad Sarju dan Wahai Api Jadilah Dingin Jadilah Embun hasil nukilan A. Halim Ali. 2.0 Definisi Konsep atau Istilah

Kesusasteraan berasal dari perkataan Latin littera (letter) yang bermaksud kata-kata yang tertulis dan tercetak. Hashim Awang (1988) dalam buku Ikhtisar Teori dan Kritikan Sastera Barat dan Malaysia, 2011 mendefinisikan kesusasteraan sebagai ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Manakala menurut Ann Jefferson (1983), kesusasteraan bermaksud pengarang menghantar teks kesusasteraan tentang realiti kepada pembaca melalui bahasa. Istilah sastera dan

kesusasteraan dikatakan mempunyai konteks yang sejajar dengan sifat karya itu, dan kedua-dua istilah itu tidak mempunyai perbezaan (Siti Hawa Salleh dan Muhammad Haji Salleh, 2000).

Sastera sebagai satu bidang ilmu yang telah berkembang sejak zaman Yunani meliputi tiga bidang utama, iaitu sejarah sastera, teori sastera dan kritikan sastera. Tiga bidang ini menjadi tunggak pengajian dan wacana intelektual dalam perkembangan, pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang berkait dengan sastera dan kesusasteraan (Abdul Halim Ali, 2011: 3).

Teori sastera didefinisikan sebagai tekaan, tanggapan atau spekulasi terhadap sesuatu. Tanggapan terhadap satu teori dengan satu teori yang lain adalah tidak sama, namun begitu tiaptiap teori mempunyai perkaitan di antara satu sama lain. Definisi bagi teori sastera bagi setiap tokoh adalah berlainan. Hashim Awang menjelaskan bahawa teori sastera sebagai pengajian tentang prinsip-prinsip kesusasteraan, kategori-kategori, kriteria dan sebagainya.

Kritikan sastera pula merangkumi aktiviti penilaian, penafsiran, penganalisisan dan hukuman terhadap sesuatu teks atau kesusasteraan. Bidang kritikan berkait rapat dengan bidang teori sastera dan sejarah sastera. Mana Sikana (1983) menyatakan kritikan sebagai satu disiplin ilmu yang sistematik, yang membicarakan soal penghayatan, penganalisisan dan penilaian sesebuah karya kreatif (Abdul Halim Ali, 2011: 10). Jadi secara umumnya, teori dan kritikan merupakan satu disiplin ilmu yang sistematik yang berkait rapat dengan prinsip-prinsip kesusasteraan.

3.0

Kaedah atau Teori yang Digunakan

Teori struktural diasaskan oleh Claude Levi-Strauss, iaitu seorang ahli antropologi yang mengaplikasikan Strukturalisme. Strukturalisme menurut Barthers (1970: 412) adalah suatu cara menganalisis artifak budaya selagi cara ini berasal daripada kaedah linguistik sezaman. Dalam teori ini, Levi-Strauss menekankan hubungan sinkrinik dan bukannya hubungan diakronik dalam sesuatu mitos (Mana Sikana, 2005: 20). Teori struktural merupakan suatu percubaan untuk menerapkan teori linguistik kepada objek-objek dan kegiatan-kegiatan lain, selain bahasa itu sendiri yang membezakan antara langue dan parole. Oleh hal yang demikian, teori struktural menekankan perkara-perkara dalaman yang membentuk rangka atau struktur sesebuah teks. Aspek yang terkandung dalam stuktur sesebuah teks termasuklah tema, plot, perwatakan, bahasa, latar dan sudut pandangan (Mana Sikana, 1983: 82-83). Bagi genre puisi, terdapat unsur-unsur lain yang membentuk rangka teks tersebut seperti rima, bentuk, nada dan rangkap (Abdul Halim Ali, 2011: 27). Berdasarkan antologi ini, penganalisian difokuskan kepada aspek tema, persoalan, gaya bahasa dan rima. 4.0 Analisis Teks Berasaskan Prinsip / Teori yang Dipilih 4.1 Tema

Melalui penganalisisan kelima-lima buah sajak, tema yang diangkat oleh penulis lebih tertumpu kepada harapan dan persaudaraan antara sesama manusia. Sajak yang dihasilkan merupakan himpunan suara hati penulis yang dizahirkan melalui penulisan kreatif bagi menyatakan harapan mereka agar kesengsaraan yang dilalui penduduk di Gaza dapat dikurangkan. Sajak-sajak yang dihasilkan juga merupakan seruan kepada pencipta agar melimpahkan restu kepada mangsa-mangsa yang tertindas dengan memberikan sedikit keajaiban dan petunjuk kepada rejim-rejim Zionis supaya

menghentikan peperangan yang dilancarkan. Pernyataan harapan dan persaudaraan yang terbit dalam hati penulis dapat diteliti berdasarkan contoh petikan sajak berikut: Ya Allah, Cahaya restu-Mu kami pohon Berilah petunjuk kepada pendurjana Kurniakan restu kepada pejuang kami Anugerahkan kekuatan khalifah kami Teruskan keazaman pemimpin kami Rapatkan persaudaraan antara kami Gantikan pengorbanan ini dengan kasih sejati. (Petikan sajak : Syahid, Jalan Pilihan Terakhir, halaman 10) Wahai seluruh umat muslimin Gemakan dan semarakkan doa Semoga Allah menghancurkan Yahudi laknatullah Negara Israel yang lahir dari penipuan Oleh muslihat tajam bangsa mungkar Akan ada pembalasan dengan kebenaran Al-Quran Yahudi dan Israel akan binasa. (Petikan sajak : Kekejaman Yang Terkejam, halaman 248) 4.2 Persoalan 4.2.1 Kekejaman Israel

Persoalan yang diutarakan oleh penulis dalam sajak yang dipilih lebih tertumpu kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Mereka tanpa rasa keperimanusiaan dan perasaan belas kasihan mengebom dan membunuh rakyatrakyat yang tidak berdosa menyebabkan anak-anak kehilangan ibu bapa dan

tempat untuk mereka bergantung hidup. Peluru dan meriam dijadikan santapan untuk rakyat-rakyat Palestin apabila ada di antara mereka cuba membantah dan melawan setiap perbuatan yang dilakukan oleh rejim Zionis. Contohnya dapat dilihat dalam petikan sajak di bawah : Suasana tenang bertukar gelombang, Menjadi tempat si pembunuh sialan, Melepaskan peluru dan meriam, Sehingga membunuh setiap insan, Yang cuba membantah dan melawan, Kerana mereka sudah tiada perasaan belas kasihan, Melihat si anak kecil mati bergelimpangan, (Petikan sajak : Hentikan Peperangan, halaman 63) 4.2.2 Kemusnahan harta benda dan kematian

Selain kekejaman tentera Israel, persoalan yang cuba dibangkitkan oleh penulis ialah berkaitan dengan kemusnahan harta benda kesan daripada peperangan yang berlaku. Rumah-rumah dan bangunan yang dahulunya gah kini tunduk menyembah bumi. Nyawa juga ibarat barang permainan bagi mereka kerana mereka tanpa belasnya membunuh rakyat termasuk kanak-kanak yang belum mengenal erti hidup. Semua yang berlaku disebabkan oleh amarah dan dendam yang tidak pernah pudar. Situasi ini digambarkan dalam petikan sajak berikut: Rumah yang roboh, bangunan yang runtuh Tubuh hancur, tulang yang bertabur Tangan yang terkulai, kepala yang berkecai

Darah yang tumpah, tangisan yang melimpah Segala-galanya musnah punah ranah. (Petikan sajak : Kekejaman Yang Terkejam, halaman 248) 4.3 Gaya Bahasa 4.3.1 Epistrop

Epistrop merupakan sejenis pengulangan kata-kata yang sama atau kumpulan yang sama pada akhir klausa yang berturutan (Corbertt dan Connors, 1993: 391). Pengulangan klausa ini memberikan penekanan yang khusus pada elemen yang diulang di samping memberikan rima pada ayat. Lanham (1968: 125) dalam buku Teori Balaghah Melayu, 2010 pula mendefinisikan epistrop sebagai pengulangan kata atau kata-kata yang hampir pada akhir beberapa klausa, ayat atau versi. Gaya bahasa epistrop juga dikenali sebagai gaya bahasa epipora (Adnani dan Sofjan, 1970: 106). Penggunaan gaya bahasa ini dapat dilihat dalam beberapa buah sajak antaranya ialah sajak Syahid, Jalan Pilihan Terakhir hasil nukilan Ariff Mohamad dan sajak Derita Palestin hasil nukilan Muhamad Yunus Bin Salleh. Kurniakan restu kepada pejuang kami, Anugerahkan kekuatan khalifah kami, Teruskan keazaman pemimpin kami, Rapatkan persaudaraan antara kami, (Petikan sajak : Syahid, Jalan Pilihan Terakhir, halaman 10) Dalam sajak ini, perkataan kami diberikan penekanan dan diulang sebanyak empat kali. Penekanan kepada perkataan kami membawa maksud bahawa penulis berharap agar pejuang-pejuang di Gaza mendapat pertolongan

dan perlindungan daripada Allah S.W.T bagi melawan musuh-musuh yang menyerang mereka. Ini suara anak cucu Ibrahim yang dikepung api Ini suara anak cucu Ibrahim yang dimamah api (Petikan sajak : Wahai Api Jadilah Dingin Jadilah Embun, halaman 225)

Manakala sajak Wahai Api Jadilah Dingin Jadilah Embun memberi penekanan kepada frasa api yang diulang sebanyak dua kali. Perkataan api merujuk kepada penderitaan, kelukaan, kekecewaan dan kepedihan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat-rakyat Palestin yang dibelenggu oleh kekejaman tentera Israel yang menyebabkan kematian orang-orang yang tersayang. 4.3.2 Anafora

Anafora ialah pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berturutan. Menurut Corbett dan Connors (1999: 390) dalam buku Teori Balaghah Melayu, 2010 menyatakan pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat dan pandangan ini turut dipersetujui oleh Lanham (1968: 124). Namun begitu, Adnani dan Sofjan (1970: 102) mengatakan anafora sebagai elemen paralelisme. Manakala Umar Junus (1989: 210) mendefinisikan anafora sebagai pengulangan satu kata, iaitu kata pertama pada setiap ayat (Teori Balaghah Melayu, 2010: 76) . Pengulangan perkataan pertama pada awal ayat ini dapat dilihat dalam sajak dan sajak Wahai Api Jadilah Dingin Jadilah Embun karya A. Halim Ali dan sajak Palitan Pahit Palestin karya Zarul Shafiq Zulkafli.

Dari suara awan dari langit dari cakerawala, Dari suara lantai bumi palestin yang retak, Dari suara dinding persaudaraan yang kukuh, Dari suara luhur hati seorang penyair, Dari lolongan luka pedih dan jasad berdarah, Dari renungan tangis anak kecil yang kehilangan ibu dan ayah, (Petikan sajak : Wahai Api Jadilah Dingin Jadilah Embun, halaman 225)

Masih segar kedengaran kesedihan emak, Masih segar keriuhan ayah meradang, Masih kuingat jeritan keramat demonstrasi, Masih kuingat sayupnya kesayuan. (Petikan sajak: Palitan Pahit Palestin, halaman 126) 4.3.3 Asonansi

Asonansi merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau pada setiap ayat secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu. Menurut Corbett dan Connors (1999: 389) dalam buku Teori Balaghah Melayu, 2010: 78 menyatakan asonansi merupakan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam suku kata yang diberi penekanan pada kata-kata bersebelahan yang mungkin didahului dan diikuti oleh konsonan yang berbeza. Manakala menurut Lanham (1968: 18) asonansi merupakan kesamaan dalam bunyi antara bunyi vokal yang didahului dan diikuti oleh bunyi konsonan yang berbeza dalam kata-kata yang berhampiran. Contohnya dapat dilihat dalam sajak Palitan Pahit Palestin yang menggunakan pengulangan vokal a.

Masih segar kedengaran kesedihan emak, Masih segar keriuhan ayah meradang, Masih kuingat jeritan keramat demonstrasi, Masih kuingat sayupnya kesayuan. (Petikan sajak: Palitan Pahit Palestin, halaman 126) 4.3.4 Anadiplosis

Gaya bahasa anadiplosis merupakan pengulangan kata akhir dalam sesuatu klausa pada permulaan klausa yang berikutnya (Corbett dan Connors, 1999: 392). Manakala Umar Junus (1989: 210) mendefinisikan anadiplosis sebagai kata atau frasa terakhir sebuah ayat dijadikan kata atau frasa pertama ayat berikutnya (Teori Balaghah Melayu, 2010: 76). Contohnya dapat dilihat dalam petikan sajak berikut yang mengalami pengulangan kata akhir jeritan yang dijadikan sebagai frasa pertama. Setiap detik aku mendengar jeritan, Jeritan daripada teman-teman seperjuangan, (Petikan sajak: Hentikan Peperangan, halaman 63) 4.4 Rima

Rima merupakan bunyi yang sama atau persamaan gugus pada perkataan daripada segi vokal atau konsonan yang terhasil pada awal, tengah dan hujung sesuatu baris dalam puisi atau huruf akhir / kata akhir dalam sesuatu rangkap sebuah puisi. Pengulangan bunyi vokal dalam struktur perkataan akhir dalam sesuatu baris puisi dikenali sebagai rima akhir atau rima luaran ayat (Nik Hassan Basri, 2007: 110). Misalnya penggunaan

rima akhir aaaa yang terdapat dalam sajak Syahid, Jalan Pilihan Terakhir karya Ariff Mohamad dan Hentikan Peperangan karya Zaharah Binti Ghazali. Ampunkan dosa-dosa kami, Berikan cahaya suci kepada kami, Kembalikan kubah kayangan kami, Izinkan kami berinjak selesa di bumi sendiri. (Petikan sajak : Syahid, Jalan Pilihan Terakhir, halaman 10) Wahai temanku, Ayuhlah kita bangun dan bersatu, Untuk mempertahankan tanah airku, Dari tangan Israel, yang bergerutu, Sanggup memusnahkan bumiku, (Petikan sajak : Hentikan Peperangan, halaman 63)

Selain itu, terdapat juga penggunaan rima akhir abab dalam sajak Wahai Api Jadilah Dingin Jadilah Embun hasil nukilan A. Halim Ali. Penggunaan rima abab dapat dilihat dalam rangkap sajak di bawah : Wahai yang marak di jiwa Abu Mazen Gelodak hangat dari batu nestapamu Merah hela lidah kemusnahan Kumohon kau dengarlah zikir syahdu (Petikan sajak : Wahai Api Jadilah Dingin Jadilah Embun, halaman 225)

5.0

Rumusan Berdasarkan kelima-lima sajak tersebut, didapati teori struktural lebih sesuai digunakan untuk menganalisis struktur yang membentuk unsur dalaman sesebuah teks. Hal ini kerana teori ini menekankan hubungan sinkrinik yang meliputi pengkajian terhadap aspek tema, persoalan, gaya bahasa, rima dan sebagainya yang menjadikan sesebuah teks itu mempunyai unsur-unsur estetik. Setiap sajak yang dianalisis mempunyai hampir kesemua aspek yang terkandung dalam sesebuah teks menyebabkan sajak-sajak tersebut mudah untuk difahami dan dihayati. Oleh hal yang demikian, penggunaan teori struktural sangat sesuai digunakan untuk menghasilkan genre puisi.

Bibliografi Abdul Halim Ali (2009). Antologi puisi kemanusiaan ii wahai api jadilah dingin jadilah embun. Tanjung Malim: Penerbitan Profesional Baharu. Abdul Halim Ali (2006). Ikhtisar teori dan kritikan sastera Barat dan Malaysia. Tanjung Malim: Penerbitan Profesional Baharu. Ann Jefferson & David Robey (1988). Teori kesusasteraan moden. (terjemahan) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2010). Teori balaghah Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Widad. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007). Komsas pegangan teras keterampilan. Kuala Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd. Mana Sikana (2005). Teori sastera kontemporari. Bangi: Pustaka Karya.