Upload
mohd-nizam
View
1.218
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
Asal
Iranun atau Illanun ialah nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai
penduduk bumiputera Sabah. Iranun bermaksud berkasih-kasihan. Berkasih-
kasihan ini bermaksud wujudnya sistem hubungan sosial yang amat erat,
yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, yang berlandaskan
sistem kerjasama dan gotong-royong. Disebabkan mereka merupakan
pelayar yang cekap, tempat tinggal masyarakat Iranun banyak tertumpu di
kawasan tepi pantai. Namun ada juga yang terletak di bahagian dalam
daerah. Masyarakat Iranun ini banyak menetap di daerah Kota Belud, seperti
di kampung Pantai Emas, Kaguraan, Kota Peladok, Tamau, Paya-Payas,
Marampayan, Kota Bongan, dan lain-lain. Selain itu, masyarakat Iranun juga
tinggal di kampung-kampung di Lahad Datu, Kudat, Likas dan Kota Kinabalu.
Jumlah mereka pada 2006 dianggarkan seramai 25,000-30,000 orang. Di luar
Malaysia, masyarakat Iranun juga boleh ditemui di Kepulauan Sulu dan
Mindanao, Filipina.
Masyarakat Iranun mempunyai dialek atau bahasa yang tersendiri dikenali
sebagai basa Iranun. Bahasa Iranun ini digolongkan dalam kumpulan bahasa
Hesperonesia, iaitu salah satu kumpulan keluarga bahasa Austronesia
(Encyclopedia of World Culture, 1993: 101). Sesuatu yang menarik tentang
bahasa ini ialah wujudnya kelainan di antara satu kawasan dengan kawasan
yang lain. Contohnya dialek Kaguraan dan dialek Marampayan yang
memperlihatkan beberapa perbezaan. Perkara yang serupa dikesan pada
dialek Iranun yang dituturkan di Tungku, Lahad Datu di pantai timur Sabah
dengan dialek Iranun di pantai barat Sabah (Datu Bandira Datu Alang, 1992:
73-4). Walaupun terdapat perbezaan di antara dialek tersebut, tetapi faktor
ini bukanlah penghalang untuk mereka berinteraksi. Dalam hal lain, tahap
saling memahami di antara dialek tersebut masih tinggi. Hal ini
membolehkan mereka berinteraksi dengan baik. Bahasa Iranun Marampayan
dianggap sebagai bahasa Iranun baku dan digunakan oleh kebanyakan
penutur bahasa Iranun di Sabah. Kebanyakan penutur bahasa Iranun juga
menguasai bahasa sukuan yang lain dan juga bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan. Namun demikian, tidak dinafikan bahawa terdapat juga
golongan Iranun yang tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi
bilangan golongan ini cuma sedikit sahaja.
Di Sabah, bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi antara kaum.
Bahasa Iranun pula merupakan bahasa ibunda bagi masyarakat Iranun.
Dalam kehidupan seharian masyarakat Iranun pada masa kini secara
khususnya, kedua-dua bahasa ini mempunyai hubungan dari segi pengaruh.
Perhubungan antara bahasa Melayu dengan bahasa Iranun di Sabah ini
memperlihatkan pengaruh yang kuat daripada bahasa yang dominan kepada
bahasa yang bukan dominan, yakni bahasa sukuan. Hal ini bermakna bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia sudah pasti
mempunyai pengaruh yang kuat terhadap bahasa-bahasa sukuan lain yang
bukan dominan termasuklah bahasa Iranun.
Perkataan lanun dianggap berasal dari nama suku kaum ini.
Suku kaum iranun merupakan etnik minoriti di Sabah dan turut dikategorikan
sebagai penduduk bumiputera Sabah. Suku kaum ini juga dikenali dengan
pelbagai nama antaranya Iranun, Irranun, Illanun, Ilanun, Iranon-Meranao
atau Merano. Setiap nama ini mempunyai sejarah tersendiri dan sebab
mengapa ia sering digunakan oleh kaum lain didalam melambangkan kaum
Iranun. Malahan sejarah kewujudan kaum Iranun di Sabah turut menjadi
persoalan yang menarik. Ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka ini
berasal dari Pulau Borneo sendiri, dan tidak kurang pula pendapat yang
mengatakan bahawa mereka berasal dari Mindanao. Seperti suku kaum lain,
Iranun juga mempunyai beberapa keistimewaan yang sukar didapati
daripada suku kaum yang lain, antaranya ialah Makna perkataan Iranun itu
sendiri.
Iranun bermaksud berkasih-kasihan, yang dimaksudkan berkasih-kasihan
adalah merujuk kepada sistem sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali
persaudaraan yang amat intim, dilandaskan kepada sistem kerjasama dan
gotong royong. Sehingga sekarang situasi atau keadaan ini dapat dilihat
dikawasan petempatan kaum Iranun khususnya dikampung-kampung sekitar
Kota Belud. Majlis perkahwinan merupakan salah satu tempat untuk
masyarakat Iranun berkumpul atau beramah mesra antara satu sama lain.
Pada masa ini juga sistem kerjasama dan gotong royong akan terjalin
terutama ketika menyediakan khemah, memasak dan sebagainya. Selain itu,
hal ini bukan sahaja berlaku ketika majlis perkahwinan bahkan juga ketika
berlakunya kematian. Sehingga sekarang masyarakat Iranun akan membuat
kutipan derma berbentuk wang ringgit. Namun ada juga dikalangan
masyarakat Iranun yang menyumbangkan derma berbentuk keperluan asas
seperti beras, gula, tepung dan sebagainya.
Selain itu, satu lagi keistimewaan suku kaum Iranun adalah pegangan agama
yang kuat. Seperti yang kita maklum, suku kaum Iranun merupakan suku
yang beragama Islam. Lantaran itu, masyarakatnya terlalu mementingkan
ajaran islam. Di daerah Kota Belud misalnya, kaum Iranun andai tidak
keterlaluan saya katakana adalah suku kaum yang menjadi contoh kepada
kaum lain didalam perlaksanaan ajaran Islam. Malahan melalui perbualan
secara tidak formal dengan salah satu pemimpin dari suku kaum ini, beliau
telah menyatakan bahawa ramai penyokong Parti Islam Se-Malaysia atau PAS
adalah dari kelompok ini, namun ia tidak dapat disahkan akan kebenaranya.
Merujuk kepada wakil Tilawah Al-quran peringkat daerah, Daerah Kota Belud
pasti akan diwakili oleh suku kaum Iranun, malahan Imam daerah turut
disandang oleh anak watan kaum Iranun. Di sekolah-sekolah didaerah Kota
Belud, pelajar kaum Iranun pasti menjadi wakil sama ada pertandingan
Hafazan, Tilawah Al-Quran, Azan dan nasyid.
Penempatan masyarakat Iranun di Sabah juga merupakan satu
keistimiweaan suku kaum ini. Menelusuri sejarah penempatan Iranun di
Sabah, satu keluarga Iranun dari Malabang (di Lanao del Sun) yang diketuai
oleh Sultan Sa- Malabang di percayai telah sampai di Sabah pada tahun
1807. keluarga ini telah mula bertapak di Tempasuk iaitu panggilan oleh
masyarakat Iranun terhadap Kota Belud pada satu ketika dahulu. Walau
Bagaimanapun Tempasuk yang dikenali kini bukanlah petempatan
masyarakat Iranun tetapi Minanga Tampasuk (Kuala Tempasuk) merupakan
petempatan Iranun yang utama di Kota Belud. Kuala Tempasuk ini terdiri
daripada beberapa buah kampong Iranun yang dikenali dengan nama Tamau,
Marabau, Katabongan (Kota Bongan), Kota Peladok, Payas-Payas, Pantai
Emas, Liang dan beberapa tempat lagi. Berdasarkan kawasan pola
petempatan dan kehidupan masyarakat Iranun yang lebih dipengaruhi oleh
laut, kenyataan di atas merupakan satu kenyataan yang tidak dapat di
sangkal lagi. Justeru itu juga tidak hairanlah apabila para nelayan atau
pemborong ikan adalah daripada suku kaum Iranun. Di pekan Kota Belud
misalnya, penjual ikan dipasar besar adalah terdiri daripada masyarakat
Iranun. Hal ini berbeza dengan masyarakat kaum lain kerana keunikkan
kaum Iranun adalah mudah dikenali dengan berdasarkan bidang pekerjaan
mereka, tetapi pada masa kini ramai anak-anak dari kaum ini mulai memilih
bekerja di kawasan bandar..
Adat resam, ritual dan upacara tradisi Iranun turut menyumbang kepada
keistimiewaan suku kaum ini berbanding dengan kaum yang lain. Bagi adat
resam dan upacara-upacara khas untuk meraikan seseorang, masyarakat
Iranun merujuk kepada adat resam yang diwarisi oleh mereka daripada datuk
nenek mereka yang dinamakan Adat Warisan. Penentuan kedudukan
seseorang mengikut adat masyarakat Iranun amat tegas. Adat yang diwarisi
daripada datuk nenek ini mesti diikuti dan tidak boleh dilanggar. Perbuatan
melanggar adat ini merupakan sesuatu yang sumbang dan menyeleweng.
Lagipun, dalam masyarakat ini sudah termaktub adat dan istiadat sesuatu
strata sosial seseorang itu. Kalau dia dari golongan Datu maka ada caranya
dan adatnya sendiri dan begitulah sekiranya golongan biasa. juga, punyai
adat dan caranya tersendiri.
Perkahwinan merupakan salah satu lagi keunikkan atau keistimewaan
masyarakat ini. Perkahwinan dikalangan masyarakat Iranun di jalankan
berlandaskan ajaran islam. Seorang lelaki Islam boleh berkahwin lebih
daipada seorang tetapi tidak boleh melebihi empat orang pada satu-satu
ketika,oleh itu tidak hairanlah kalau terdapat ada diantara mereka yang
mempunyai isteri lebih daripada seorang. Seperti termaktub didalam ajaran
Islam, sama ada perempuan atau lelaki, mereka hendaklah berkhatan atau
tori dalam bahasa iranun. Perkahwinan merupakan satu kemuncak dalam
hidup seseorang. Telah menjadi kebiasaan masyarakat Iranun pada zaman
dahulu, ibubapa memilih pasangan untuk anak-anak mereka, tidak kira
perempuan ataupun lelaki. Pakaian juga merupakan perkara yang harus
diteliti dalam perkahwinan masyarakat Iranun. Bagi masyarakat Iranun ada
warna tertentu yang ditetapkan kepada seseorang mengikut golongan.
Golongan Datu, warna yang menjadi pakaian pengantinnya adalah hijau.
Manakala golongan Sarif warna yang digunakan adalah warna kuning, bagi
orang biasa mereka boleh memakai sebarang warna kecuali kuning dan
hijau, sekiranya mereka ingkar maka mereka akan dikenakan denda.
Kematian dalam masyarakat Iranun juga mrupakan satu lagi keistimewaan
masyarakat ini. Sekiranya berlaku kematian, maka seharusnya diumumkan
kepada penduduk kampung ataupun masyarakat sekitar. Ini berlandaskan
pegangan masyarakat ini”senang sama di rasa susah sama ditanggung”.
Terdapat dua cara untuk menghebahkan kematian iaitu pertama dengan cara
orang biasa dan satu lagi dengan cara bangsawaan. Kematian orang biasa
diumumkan melalui pukulan tabo (tabuh) di Masjid. Manakala bagi golongan
bangsawan seperti Datu dan Sarif, pengumuman kematian golongan ini pula
ialah dengan cara memukul balu atau baluan. Balu ini diperbuat daripada
gabungan alat bunyi-bunyian seperti Gong dan Babendir. Masyarakat Iranun
ini juga mengamalkan satu budaya yang unik selepas pengebumian jenazah
iatu menunggu kuburan. Beberapa orang akan menunggu kuburan itu selama
beberapa hari dan setiap malam mereka berada di kuburuan ini. Bagi orang
biasa tempoh menunggu tujuh malam, bagi golongan bangsawan pula 40
malam atau sekurang-kurangnya 21 malam. Perkabungan akan dibuat
selepas berlaku kematian dimana tidak seorang pun dibenarkan mengadakan
sebarang majlis berbentuk hiburan. Hal ini untuk menghormati keluarga si
mati.
Justeru itu, Kaum Iranun adalah merupakan etnik yang unik malahan kaum ini
walaupun minoriti tetapi sumbangan dan peranannya terhadap
pembangunan di Sabah adalah amat penting. Dari sudut politik, kaum ini
amat berbangga dengan pencapaian anak watan kaum Iranun iaitu Tan Sri
Pandikar Amin Haji Mulia yang sekarang menjawat jawatan sebagai Speaker
Dewan Rakyat. Bagi mereka insan ini cukup bermakna dalam survival politik
kaum iranun. Tan Sri Pandikar merupakan pelopor kepada kebangkitan
perjuangan masyarakat Iranun. Masyarakat Iranun sangat berpegang kepada
adat yang diwarisi turun-menurun dari nenek moyang. Perlanggaran adat
merupakan sesuatu perbuatan khianat dan sumbang kepada bangsa. Adat ini
berdasarkan kedudukan individu dalam hirarki sistem kemasyarakatan
Iranun. Contohnya masyarakat Iranun dari golongan bawahan seperti yang
digelar oripen maka tidak boleh mengadakan upacara kematian seperti
golongan Datu. Semasa kematian juga terdapat beberapa perkara yang
menjadi kelaziman masyarakat Iranun namun demikian ia tidaklah sampai
menyalahi ajaran Islam. Mengumumkan kematian dalam Iranun dibezakan
berdasarkan darjat simati dalam hirarki masyarakat Iranun. Apabila orang
yang meninggal tersebut terdiri daripada kalangan orang biasa maka ia
diumumkan mengunakan pukulan taboh (beduk), apabila mendengar paluan
taboh tersebut maka masyarakat faham berlakunya kematian orang biasa.
Bagi kematian dikalangan yang berdarjat tinggi seperti Datu maka
kematiannya diumumkan melalui paluan gong dan bebendir yang dipanggil
baluh atau pembaluan. Seterusnya memandikan mayat, menurunkan mayat
serta pengebumian mayat. Namun ada sesuatu perkara yang unik untuk
dikongsi bersama iaitu tungguh sakuburan (menjaga kuburan) yang mana
masyarakat Iranun tidak akan meninggalkan mayat yang baru dikebumikan
begitu sahaja tetapi akan menjaga kuburan 24 jam sekurang-kurangnya
selama tujuh hari. Namun demikian bagi golongan Datu, sekurang-kurangnya
21 hari atau paling lama 40 hari. Dalam masa tujuh hari kematian tersebut,
setiap malam keluarga simati termasuk masyarakat kampung akan
berkumpul di rumah tempat berlakunya kematian dan sepanjang tujuh
malam berturut-turut akan diadakan bacaan tahlil dan pangadih sabangkai-
bangkaian dan mereka juga akan berjaga setiap malam. Pada hari ketujuh
atau pitu ah gawi, kenduri arwah akan diadakan serta pendulang, iaitu
memberi sedekah kepada yang datang berbentuk makanan dalam
bungkusan. Pada kesupuluh akan diadakan juga kenduri arwah dan
seterusnya pada hari kedua puluh atau tengah ah paat puluh kenduri arwah
akan dilakukan sekali lagi bersama bacaan tahlil. Seterusnya pada hari
keempat puluh jenazah dikebumikan serta pada hari kelima pulah atau
tengah ah gatusan kenduri arwah sekali dilakukan. Menjelang keseratus hari
jenazah dikebumikan maka kenduri gatusan akan diadakan. Seterusnya pada
ulang tahun kematian, kenduri untuk temegan akan diadakan.
Menyentuh soal pendidikan, suku kaum sangat mementingkan pendidikan
anak-anak mereka, sama ada pendidikan sekular mahupun keagamaan.
Peluang suku kaum Iranun untuk mendapat pendidikan sekular adalah amat
terbatas khasnya pada zaman penjajah. Dalam pendidikan keagamaan pula,
walaupun tidak dapat di ajar secara formal di sekolah, tetapi anak-anak
Iranun mempelajari ilmu agama melalui guru-guru di amsjid-masjid atau
rumah guru-guru agama. Semasa zaman penjajahan British, walaupun
terdapat sekolah-sekolah yang disediakan untuk anak-anak bumiputera di
Pulau Borneo namun peluang bagi anak-anak suku kaum Iranun untuk
memasuki sekolah-sekolah ini amat terbatas, malah dikatakan tidak ada
peluang langsung. Ini disebabkan pihak yang menyediakan sekolah ketika itu
pihak-pihak mubaligh kristian, maka ibubapa suku kaum Iranun yang terkenal
sebagai suku kaum yang kuat berpegang kepada agama Islam tidak mahu
menghantar anaknya belajar di sekolah. Hanya setelah wujudnya sekolah
vernakular Melayu barulah ada anak-anak Iranun yang berpegang memasuki
sekolah formal. Namun kini suku kaum Iranun dalam aspek pendidikan
adalah setanding dengan mana-mana suku kaum di Malaysia dan dewasa
ramai di kalangan anak-anak Iranun yang memegang jawatan tinggi dalam
kerajaan mahupun swasta.
Zaman Kesultanan Sulu merupakan zaman kegemilangan masyarakat Iranun.
Pada zaman itu masyarakat Iranun mempunyai susun lapis masyarakat
bersrata, yang membahagikan anggotanya kepada kelas-kelas tertentu.
Sistem kelas dalam masyarakat Iranun didasarkan kepada keturunan dan
pengaruh. Dalam susun lapis masyarakat Iranun, setiap anggota masyarakat
mendapat perlindungan daripada golongan atasan. Dalam sistem hubungan
perlindungan yang wujud dalam masyarakat Iranun, pihak berpengaruh akan
memberi perlindungan manakala pihak yang dilindungi akan berkhidmat
sumbangan kepada pihak yang melindunginya. Khidmat atau sumbangan
yang dimaksudkan adalah berbentuk tenaga dan kebendaan. Dalam susunan
strata jawatan dalam sistem pentadbiran tradisional masyarakat Iranun
bermula dari Sultan kemudian Radia Moda, Datu, Panglima, Pendeta,
Dumata, Sakup, Oripen dan Baniaga.
Dalam aspek bahasa pula, suku kaum Iranun mempunyai bahasa sendiri
yang dikenali sebagai basa Iranun. Namun sesuatu yang menarik dalam basa
Iranun ialah wujudnya perbezaan loghat di antara satu tempat dengan
tempat yang lain. Misalnya loghat Kampung Tamau dan Kampung
Penampang, terdapat sedikit perbezaan dalam sebutan dan istilah tertentu.
Manakala dari aspek pantang larang pula, suku kaum Iranun sangat
berpegang kepada pantang larang contohnya kanak-kanak dilarang bermain
sembunyi-sembunyi pada waktu senja kerana dikhuatiri akan disembunyikan
oleh syaitan.
Pakaian tradisional suku kaum Iranun pula, lelaki dan wanita menggayakan
pakaian tradisional yang diperbuat daripada kain tenun atau kain Mogah.
Baju perempuan seakan-akan baju kurung kedah manakala baju lelaki
seakan-akan baju Melayu cekak musang. Lelaki memakai tubau atau tanjak
manakala perempuan memakai sinisip di kepala, disamping memakai
siambitan atau kain samping pada pakaiannya. Tarian dan nyanyian pula
merupakan cabang budaya Iranun. Suatu ketika dahulu golongan muda-mudi
suku kaum Iranun gemar dengan nyanyian berbentuk puisi seperti bayuk dan
darangen. Manakala tarian seperti sumagayau, tinubau dan debak menjadi
suatu kemestian dalam majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan.
Alat-alat muzik suku kaum Iranun dapat dibahagikan kepada alat paluan, alat
tiupan dan alat bertali. Setiap set alat muzik dikategori dari sudut seni
persembahan, maksudnya bagi set alat muzik sperti agong, gandang,
kulintangan dan bebendir diketegorikan seni persembahan gholintangan atau
bertitik dan alat muzik ini boleh dimainkan mengikut irama tertentu seperti
irama timpalas dan andu-andu amareges. Manakala biola digunakan untuk
seni persembahan yang dipanggil pamiola. Bagi seni persembahan pangalai
ia memerlukan alat muzik seperti benbendir dan debak yang diperbuat
daripada pokok bulu, namun seni persembahan ini mengandungi unsur-unsur
mistik yang dikaitkan dengan ilmu perubatan tradisional.
Permainan tradisonal dibahagikan kepada dua kategori iaitu permainan laur
dan permainan dalam. Permaianan luar merupakan permainan yang
dimainkan di luar rumah iaitu di tanah lapang, di padang dan tepi pantai
sama ada laut mahupun sungai. Contoh-contoh permainan luar ialah sepak
manggis dan bedtid atau gasing.
Makanan merupakan salah satu jenis budaya bercorak kebendaan. Nasi
merupakan makanan utama suku kaum Iranun seperti juga kaum-kaum lain
di Malaysia. Namun apa yang menarik dalam jenis makanan Iranun ialah
lauk-pauknya seperti siager yang diperbuat daripada ikan yu atau ikan pari.
Selain itu piaren yang mana ramuannya terdiri daripada ikan dengan kepada
parut dan banyak lagi jenis makanan tradisional suku kaum ini.
Dalam masyarakat Iranun mempunyai beberapa tatacara apabila berlaku
kematian, antarnya ialah ;-
1. Mengumumkan Kematian
Apabila berlaku kematian, maka harus diumumkan kepada semua penduduk
kampung
kerana berlandaskan pegangan prinsip susah senang ditempohi bersama.
Oleh itu ada cara
untuk mengumumkan kematian tersebut, iaitu;- Memalu alat-alat bunyian
iaitu Balu dan
Tabu. Melalui paluan balu dan tabu penduduk setempat/orang ramai dapat
membezakan status/taraf orang yang telah meninggal dunia. Tujuannya
adalah untuk mengumumkan/memberi tahu bahawa ada kematian di tempat
tersebut.
1.1 Mengumumkan Menggunakan Balu yang ditetapka bagi golongan
Datu/Syarif
Balu adalah gabungan alat-alat bunyi-bunyian seperti , gendang, gong dan
babendir, melodinya dicipta khas untuk orang yang meninggal sahaja.) yang
dipukul di rumah keluarga si mati.
Bilangan paluan/pukulan balu berdasarkan kepada peringkat usia si mati,
iaitu;-
Perempuan Lelaki
a) Kanak-kanak - 6 kali midedsah 7 kali midesah
b) Remaja - 8 kali midesah 9 kali midesah
c) Dewasa - 12 Midesah 13 - 15 kali midesah
Masa Memukul Balu bagi golongan datu/syarif
a) Selepas sahaja seseorang itu disahkan meninggal,
b) Ketika mayat dimandikan dan
c) Ketika mayat diturunkan dan seterusnya dihantar ke perkuburan.
1. 2. Mengumumkan Menggunakan Tabu, ditetapkan bagi golongan
biasa
Pengumuman menggunakan tabu yang dipalu/dipukul daripada masjid dan
bilangan pukulan tabu iaitu;-
a) Kanak-Kanak - 6 kali
b) Remaja - 8 kali
c) Dewasa - 12 kali
2. Mengunjungi Keluarga Si Mati
Keluarga si mati akan dikunjugi oleh masyarakat / penduduk kampung
dengan membawa bersama beberapa derma atau bantuan, antaranya ialah
beras, gula, padi,kayu api, wang dan berbagai lagi.
Pengunjung akan bergotong royong untuk menyiapkan semua keperluan,
seperti kaum lelaki akan membuat keranda dan usunan ( jika si matai
golongan datu/syarif). Kaum perempuan pula akan membuat kerja-kerja
didapaur, seperti masak dan lain-lain.
Pada masa dulu menjadi satu kewajiban bagi masyarakat Iranun apa bila
berlaku kematian, pihak keluarga si mati akan menyembelih kerbau atau
lembu untuk dijamu kepada tetamu yang menziarah. Jamuan diadakan
sebagai terima kasih kepada tetamu atas bantuan mereka jenazah diuruskan
sehingga selesai dan seterusnya dikebumikan. Namun masa kini tradisi
jamuan dalam kematian jarang diadakan atau tidak ada lagi sama sekali,
kerana dikatakan bertentangan dengan agama Islam.
Bagi keluarga si mati yang tidak berkemampuan (orang susah) penduduk
kampung akan menghulurkan bantuan atau menderma kepada keluarga
berkenaan. Pada masa ini telah ramai penduduk kampung atau keluarga
membentuk JK Tabung Khairat untuk kemudahan apa bila berlaku kematian
dalam kalangan ahli-ahlinya.
3. Memandikan Mayat - balu akan dipukul
4. Menghantar maya ke Perkuburan - Balu di pukul dan jenazah akan
dibawa dengan menggunakan usunan ( bagi mayat golongan datu/syarif).
Seorang daripada keluarga terdekat si mati akan turut menaiki usunan
berkenaan untuk memayugi keranda berkenaan. Payang yang digunakan
adalah payung yang direka khas. Kebiasannya payung tersebut digunakan
semasa dalam perkahwinan dan kematian sahaja.
5. Pengebumian Jenazah - Selesai membaca talkhin keluarga si mati akan
membina sulap atau khemah tempat tinggal semantara di perkarangan
kuburan tersebut untuk menunggu/menjaga jenazah yang baru dikubur.
Tempoh menjaga kuburan tersebut ialah 40 hingga 21 malam bagi
golongan datu/syarif dan bagi golongan biasa memadai 7 malam.
Seelum meninggalkan kuburan kelambu akan dibuat di atas kubur si mati,
hijau bagi golongan datu, kuning untuk golongan syarif dan putih bagi
golongan biasa.
6. Kenduri - Terdapat bilangan hari bagi mengadakan kenduri arwah, hari
tersebut ialah;-
.
1. Hari ketujuh - dikenali dengan kenduri pitu gawi. - iaitu 7 hari selepas
jenazah dikebumikan. Sebelum kenduri dibuat pembacaan Al-Quaran
diadakan sehingga khatam yang dipanggil pangadi sa bangkai-bangkaian.
Selain itu juga setiap malam orang alim atau kali akan kerumah untuk
membaca doa dan tahlil yang dipanggil dalimakan.
2. kenduri Hari ke 21 : ini disebut dua pulu agu isa atau tenga pat pulu
3. Kenduri Hari ke 40 : Jenazah genap di kebumikan sudah 40 hari
4. Kenduri Gatusan : Jenezah genap 100 di kebumikan
5. Kenduri Temegan: Genap 1 tahun jenezah dikebumikan
6. Kenduri arwah - diadakan menjelang hari raya atau hari-hari lain.
Setiap kali kenduri diadakan, bagi mereka yang berada sekurang-kurangnya seekor
kerbau atau sapi akan disembelih. Parkara ini kewajiban bagi golongan bangsawan
khasnya kenduri hari ke 7, 40 dan ke 100 hari.
Upacara Perkahwinan Masyarakat Iranun dan Adat
Perkahwinan dalam masyarakat Iranun
berlandaskan ajaran agama Islam dan acara untuk meraikannya
adalah mengikut status/taraf sesorang itu. Jika dia dari golongan
datu, maka adat dan cara meraikannya adalah mengikut adat yang
ditetapkan dan begitu juga kepada golongan syarif dan golongan
biasa, mereka akan menjalankan adat masing-masing seperti yang
ditetapkan kepada golongan mereka.
Berikut adalah adat dalam upacara perkahwinan Masyarakat Iranun.
1. Memilih Pasangan
Pada zaman dahulu, ibu bapa memilih pasangan untuk anak lelaki mereka.
Anak yang tidak
menyetujui pilihan orang tua mereka dianggap anak durhaka. Lazimnya
perempuan pilihan
orang tua mereka adalah kalangan keluarga atau mempunyai hubungan
kekeluargaan supaya hubungan antara mereka sentiasa terjalin dan lebih
erat lagi.
2. Pertunangan
Semasa dalam pertunangan kedua pasangan tidak dibenarkan berjumpa atau
berdua-duaan.
Jika antara pasangan ini hendak melihat pasangan masing-masing, mereka
terpaksa
mengintip atau melihat dari jauh sahaja dan begitu juga andainya kedua-dua
mereka ingin melahirkan
perasaan cinta, mereka hanya dapat menyampaikan melalui kiriman hadiah
yang berupa
munsala atau sapu tangan yang dibuat khas atau kuih-muih juga dibuat oleh
tunangnya
(perempuan)
3. Pagidsa-Idsa ( Hari Perundingan)
Selepas acara meresek dan persetujuan telah dicapai antara kedua pasangan
keluarga, maka Hari Peundingan/Pagidsa-Idsa ditentukan. Pada hari Pagidsa-
Idsa diadakan, kedua belah keluarga akan mengadakan majlis keramaian
atau kalilang. Tujuan Pagidsa-idsa diadakan adalah untuk mewar-warkan
atau mengumumkan kepada masyarakat setempat tentang peminangan dan
jumlah berian atau betang yang dipersetujui. Rombongan lelaki lazimnya
diketui oleh Ketua Kampung akan bertandang ke rumah pihak perempuan.
Dalam majlis tersebut, kehadiran rombongan lelaki akan diraikan dengan
suasana yang meria dan berbagai acara kebudayaan diadakan, antaranya
ialah Kulintangan, Silat, Darangen, Tinobou, Sepak Manggis dan datu-datuan.
Sepak Manggis merupakan permainan rakyat yang mesti diadakan dalam
mana-mana majlis perkahwinan, pagidsa-idsa dan kelahiran bayi.
Tempoh masa majlis keramaian bagi meraikan majlis tersebut bergantung
kepada taraf/status golongan seseorang itu. Sekiranya mereka daripada
golongan datu dan syarif maka majlis akan diadakan sehingga 7 hari dan jika
dari golongan biasa majlis berkenaan memadai dengan satu hingga 3 hari
sahaja.
Selesai perundingan pihak akan menyerahkan berbagai peralatan perempuan
diserahkan kepada bakal tunangnya seperti cincin, kain sarung,baju dan
kalung.
4. Menentukan Hari Perkahwinan
Masyarakat Iranun amat teliti bagi menentukan Hari Perkahwinan. Bagi
mereka hari dan bulan mempunyai pengaruh yang kuat ke atas masa depan
kehidupan kedua-dua pengantin. Bulan-bulan yang dianggap baik untuk
melangsungkan perkahwinan adalah bulan Syaban, Zulkaedah, Zulhijah dan
Rabiulakhir. Manakala Safar dan Ramadhan hanya untuk orang - orang yang
dianggap alim sahaja.
Hari-hari yang baik bergantung kepada hari bulan. Semasa bulan terang, hari
yang menjadi pilihan ialah hari pertama, kedua, kenam, kelapan, ke 10 dan
ke 14. Manakala hari-hari semasa gelap ialah hari ke lima, ke lapan, ke 11
dan ke 12.
Masyarakat Iranun membahagikan satu bulan kepada dua bahagian,
Bahagian Pertama atau Sebang mulai satu hari bulan hingga 15 hari bulan
terang, manakala bahagian kedua atau delem ialah dari 16 hingga hari ke 30
5. Hari Perkahwinan
Berbagai persiapan diadakan untuk meraikan majlis perkahwinan, antaranya
ialah menyediakan tempat tidur pengantin seperti tilam, katil, kelambu, tikar
berhias, bantal bersulam, pinggan mangkuk dan lain-lain keperluan.
Tempoh meraikan Majlis Perkahwinan bagi golongan datu ialah 3 hingga 7
hari sebelum dan selepas.
5.1 Usunan
Usunan ialah tempat pengantin lelaki duduk dan diangkat oleh beberapa
orang lelaki ke rumah pengantin perempuan. Usunan hanya digunakan oleh
golongan datu dan syarif sahaja. Golongan biasa memadai menggunakan
kuda sahaja. Usunan dihias cantik dengan menggunakan kain-kain yang
dihias dengan manik -manik dan tikar mengkuang yang dihias.
5.2 Ulu a-Damak
Sebelum bertolak rombongan lelaki dikehendaki menyediakan Ulu a-Damak
yang berupa bahan makanan seperti sirih, pinang, rokok, beras dan kuih
muih yang biasanya disimpan kedalam bekas yang dibuat daripada tembaga
( bagi golongan datu) dan golonga bisa Ulu a Damak dibungkus dalam kain,
diserahkan kepada mereka yang menyambut kedatangan pihak lelaki.
Pengantin lelaki diapit oleh pengapit yang dipanggil pawai. Jumlah pawai
bergantung dengan bilangan pawai kedua-duanya. Jika perempuan 2 orang
pawai maka lelaki juga mesti menyediakan dua pawai (bagi golongan datu)
dan memadai seorang pawai bagi pengantin golongan biasa.
6. Ketibaan Pengantik Lelaki di Rumah Pengantin Perempuan
Setiba rombongan lelaki di perkarangan rumah pihak perempuan, pihak
perempuan akan melepaskan das timbakan ke atas menandakan ketibaan
pengantin lelaki telah tiba. timbakan akan dibalas oleh rombongan lelaki
dengan beberapa das timbakan juga bergantung dengan taraf /status
golongan kedua pihak.
Selesai berbalas-balas tembakan, rombongan dijemput oleh rombongan
perempuan. Sebelum naik ke rumah rombongan lelaki diminta
mempersembahkan beberapa acara tradisi seperti silat, tinobow, bayuk dan
sebagainya. Sekiranya pihak perempuan telah berpuas hati barulah Ulu a-
Damak yang dibawa oleh rombongan lelaki diterima dan dipersilakan naik
kerumah. Isi Ulu a-Damak tersebut akan dibagi-bagikan kepada tetamu khas
pihak perempuan. Pengantin lelaki diturunkan dari Usunan dan diangkat oleh
dua
orang dan kakinya tidak dibenarkan menyentuh tanah.
Kemudian pengantin lelaki akan didudukkan di atas tilam yang disediakan
sementara menunggu akad nikah. Upacara nikah dijalankan oleh Imam
dengan disaksikan oleh beberapa orang. Selesai akad nikah bacaan berjanji
(salawat kepada nabi) dilakukan dan serentak dengan itu juga imam akan
mengiringi pengantin lelaki ke pelamin tempat pengantin perempuan duduk
untuk membatalkan air sembahyang. Pengantin lelaki akan memusing-
musing sapu tangan di atas kepala pengantin perempuan sebelum
menjatuhkannya ke ribaan
pengantin perempuan. Selepas itu pengantin lelaki menyentuh dahi
pengantin perempuan dengan ibu jarinya.
6.1 Bayuk dan syair
Sebelum Imam membuka beberapa tabir sebagai kain rentang dihadapan
pelamin, wakil pengantin lelaki mestilah mempersembahkan beberapa
rangkap syair dan bayuk sehingga pihak perempuan puas hati barulah
pengantin lelaki dibenarkan masuk untuk membatalkan air sembahyang.
7. Pakaian Pengantin
Pakaian juga merupakan perkara penting dan harus ada penelitian dalam
setiap perkahwinan masyarakat Iranun. Penggunaan / pemakaian warna
dalam pakaian pengantin juga telah ditentukan bagi seseorang mengikut
golongan . Warna hijau bagi golonga datu, kuningan bagi golonga syarif dan
golongan biasa boleh memilih berbagai warna kecuali warna hijau dan
kuning. Sekiranya mereka memakai menggunakan warna hijau dan kuning
mereka dikatakan melanggar adat resam dan boleh didenda.
Senarai Pengantin Lelaki
1. Tanjak atau Dastar - Sejenis kain yang ditenun khas dan dipakai di kepala
2. Bobotolan - Sejenis tali pinggang khas ( berkepala Besar)
3. Baju Sinipak - Baju yang dibuat khas, lenganya dibelah sehingga kes siku.
Baju ini juga disulam dengan mata a-lambouan ( manik permata)
4. Talumpa atau kasut -
5. Seluar Maines - seluar yang dsisempitkan dibahagian bawah.
6. Gelang, Loket dan Cincin Emas
7. Keris Iranun - Keris ini merupakan sesuatu yang dimestikan dipakai oleh
pengantin lelaki.
Pakaian Pengantin Perempuan
1. Sinisip - dipakai dibahagian kepala
2. Baju Sinipak - seperti lelaki perempuan juga menggunakan pakai seperti
pakaian lelaki cuma bezanya perempuan tidak memakai seluar sebalikkanya
perempuan memakai kain khas atau sarung yang disulam
3. Galon/Tali Pinggang - sejenis tali pinggang yang dibuat khas untuk
merampingkan lagi pinggang pengantin perempuan.
4. Malong - kain khas atau sarung yang ditenun
5. Kuku Emas - dipakai di jari pangantin perempuan
6. Talumpa atau kasut
7. Cincin, loket dan Gelang emas