BAHAGIAN 1

Embed Size (px)

DESCRIPTION

edu

Citation preview

3.0TUGASAN 1 ESEI REFLEKTIFAku Ingin SepertimuAku merupakan seorang guru pelatih yang sedang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam pengkhususan Matematik. Tahun ini merupakan tahun terakhir aku di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman. Tidak terasa masa berlalu begitu cepat. Sudah lebih dari lima tahun aku menetap di negeri Kedah dan jika tiada aral melintang, aku bakal menamatkan pengajian di sini pada penghujung tahun ini. Selama lebih daripada lima tahun di sini, banyak perkara yang telah aku pelajari dan alami. Menjalani hidup di sini yang berjauhan dengan keluarga dan rumah bukanlah sesuatu yang mudah bagiku dan aku yakin rakan-rakan yang lain pun turut sama mengalami perasaan seperti ini. Namun demikian, harapan orang tua yang menginginkan aku untuk menjadi seorang guru pada masa hadapan telah menjadi penguat semangat aku untuk terus berada di sini. Pada awalnya mengikuti pengajian di sini, aku menyangkakan bahawa perkara yang dipelajari di sini hanyalah berkenaan dengan pedagogi sahaja. Namun, setelah mengikuti pengajian di sini selama beberapa semester, pandanganku terhadap bidang pendidikan mula berubah. Jika dahulu, aku memang tidak pernah bercita cita untuk menjadi seorang guru. Kerjaya sebagai guru merupakan kerjaya terakhir yang menjadi pilihanku sekiranya tiada kerjaya lain yang sesuai dengan keinginanku. Namun kini, semuanya mula berubah secara perlahan lahan. Pandanganku terhadap kerjaya sebagai seorang guru mula berubah ke arah yang lebih positif. Setiap semester yang aku jalani di sini mula sedikit demi sedikit telah mengubah persepsi aku terhadap kerjaya sebagai seorang guru. Sungguh benar kata orang, tak kenal, maka tak cinta. Memang tidak dinafikan jadual semasa mengikuti program persediaan sungguh padat dan membosankan. Silibus yang dipelajari pula banyak dan agak susah. Tetapi, apabila masuk ke program ijazah, jadual menjadi kurang padat. Kadangkala, kelas hanya dua jam sahaja dalam satu hari. Masuk pula semester lima, aku mula menjalani praktikum pertama sebagai guru pelatih. Perasaan gemuruh memang tak terkata pada saat itu. Apa tidaknya, apabila ini merupakan kali pertama mengajar sebagai guru di dalam kelas. Tambah-tambah lagi, pada waktu itu akan ada pensyarah yang akan membuat penyeliaan semasa aku menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pelbagai perkara yang merisaukan bermain di dalam kotak fikiran pada waktu itu. Kisah kali pertamaku menjalani praktikum sebagai guru pelatih kira-kira pada setahun lebih yang lepas betul-betul telah mengubah persepsiku terhadap kerjaya sebagai seorang guru. Kejadian ini berlaku di sekolah pertama tempat aku berpraktikum. Semasa aku sedang menikmati makanan tengah hari di kantin sekolah, guru pembimbingku, Cikgu Zaki datang ke arah mejaku.Bagaimana kelas hari ni? Okay tak?, sapa Cikgu Zaki.Aku sedikit terkejut dengan kehadiran beliau di hadapan aku pada ketika itu.Kalau kelas Tahun 5 Bestari tu memang agak mencabar sedikit. Murid-murid kelas tersebut ramai dan tahap penguasaan mereka dalam pelajaran memang agak lemah. Daripada 30 orang yang ada di dalam kelas tersebut, hanya 5 orang sahaja yang dapat menghafal sifir asas darab, kata Cikgu Zaki lagi.Lancar sahaja Cikgu Zaki menceritakan keadaan murid-murid kelas Tahun 5 Bestari kepadaku. Memang betul kata-kata Cikgu Zaki. Semasa aku memberikan ujian diagnostik kepada mereka ketika pertama kali masuk kelas tadi, tidak ramai yang dapat menjawab soalan yang aku berikan dengan betul. Perkara ini mungkin akan menjadi masalah kepadaku ketika diselia oleh pensyarah kelak. Setelah mendengar cerita daripada Cikgu Zaki, lantas aku pun bertanyakan kepada beliau berkenaan kaedah yang sesuai digunakan untuk mengajar murid-murid kelas tersebut.Kalau begitu, pada pendapat cikgu, agak-agaknya, kaedah apa yang sesuai untuk saya gunakan bagi mengajar topik darab kepada murid-murid saya nanti?Sebenarnya, murid-murid seperti ini perlukan latihan mendarab yang berterusan. Hanya itu sahaja cara yang paling sesuai untuk membantu murid-murid seperti ini. Kalau Amy nak bagi mereka latihan, Amy boleh ambil buku kerja di atas meja saya, kata Cikgu Zaki.Baiklah, cikgu, balasku pendek.Pada keesokan harinya, aku masuk semula mengajar subjek Matematik di kelas Tahun 5 Bestari. Seperti yang telah aku rancang sebelum ini, pada hari tersebut, aku ingin murid-muridku menjawab soalan latihan pada buku kerja yang Cikgu Zaki berikan kepadaku kelmarin. Murid-murid yang telah selesai menjawab latihan yang diberikan diminta menghantar hasil kerja mereka ke mejaku untuk disemak. Aku begitu tertarik dengan cara penyoalan yang digunakan oleh penulis buku tersebut dan aku cuba membelek-belek buku tersebut untuk mencari harga buku tersebut. Pada pandanganku, harga buku tersebut pastinya agak mahal kerana hampir semua muka suratnya dipenuhi grafik berwarna. Puas aku membelek-belek buku tersebut, namun tidak juga aku temui harga buku tersebut lalu aku bertanya kepada Haikal, salah seorang muridku yang berada di hadapan mejaku.Haikal, cikgu tertariklah dengan buku kerja kamu ni. Berapa harga buku kerja yang kamu beli ni? Harganya sudah pasti mahal kan?, tanyaku kepada Haikal.Eh, saya pun tak tahu harga buku ni berapa, cikgu. Buku ni Cikgu Zaki yang beri kepada kami. Dia tak minta bayaran pun untuk buku ni. Sekolah bagi kot, jawab Haikal.Oh, begitu, balasku.Setelah tamat waktu mengajar kelas 5 Bestari, aku pergi berjumpa dengan Cikgu Zaki kerana ingin meminjam salinan naskah buku kerja tersebut untuk dijadikan rujukan sebelum mengajar di dalam kelas. Pihak sekolah sudah pasti ada menyimpan beberapa buah buku tersebut untuk dijadikan rujukan guru-guru.Cikgu, saya nak tanya. Cikgu ada lagi tak buku kerja yang cikgu berikan kepada saya kelmarin? Kalau ada, saya nak pinjam sebuah sebagai rujukan saya sebelum mengajar, tanyaku kepada Cikgu Zaki.Kalau buku kerja yang kelmarin tu tak ada lagi la Amy. Saya beli cukup-cukup jer untuk murid-murid kelas, balas Cikgu Zaki.Oh, begitu. Saya ingatkan pihak sekolah ada beli lebih. Ingatkan nak pinjam sebuah sebagai rujukan tadi, kataku lagi.Pihak sekolah memang tak ada naskah lebih sebab saya beli sendiri buku-buku ni untuk murid-murid. Kalau Amy nak, Amy boleh pinjam buku saya dulu, balas Cikgu Zaki.Semua 30 buah buku ni cikgu beli dengan duit cikgu sendiri ker?, tanpa aku sedari, aku terus mengajukan soalan tersebut kepada Cikgu Zaki. Ya, Amy, saya beli dengan duit saya sendiri. Kebetulan ada pesta buku di sekitar bandar hari tu. Saya tengok buku ni sesuai untuk membantu murid lemah. Kebetulan pula ada diskaun pada masa tu, jadi saya terus pesan 30 naskah.Tatkala Cikgu Zaki mengatakan bahawa dia membeli buku tersebut dengan duitnya sendiri, aku menjadi terkejut. Pada mulanya, aku ingatkan buku tersebut dibeli oleh pihak sekolah atau paling tidak pun dibeli oleh murid-murid. Memang aku sungguh tidak menyangka bahawa Cikgu Zaki sanggup mengeluarkan duitnya sendiri membeli buku kerja untuk murid-muridnya. Jumlah harga buku tersebut mungkin mencecah ratusan ringgit jika untuk murid-murid seramai 30 orang. Sungguh bermurah hati Cikgu Zaki sehingga sanggup mengorbankan duit sendiri untuk murid-muridnya.Lamunanku lantas terhenti apabila Cikgu Zaki menghulurkan buku kerjanya kepadaku. Aku mengambil buku tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Zaki. Beliau kemudiannya meminta diri daripadaku kerana terpaksa balik ke rumah lebih awal sebelum datang semula ke sekolah untuk memberikan kelas tambahan kepada murid-murid Tahun 5 Bestari. Apabila mendengar beliau mengatakan terdapat kelas tambahan bagi murid-murid Tahun 5 Bestari, aku terus bertanya.Murid-murid Tahun 5 sekolah ni ada kelas tambahan ke cikgu? Biasanya murid-murid Tahun 6 sahaja yang ada kelas tambahan pada awal-awal tahun begini. Kelas tambahan bagi murid-murid Tahun 6 pun masih belum bermula lagi kalau menurut guru besar tempoh hari, panjang lebar soalanku.Cikgu Zaki hanya ketawa mendengar soalanku. Perbuatan beliau membuatku semakin terpinga-pinga. Tidak beberapa lama kemudian, beliau menjawab pertanyaanku.Sebenarnya memanglah tak ada. Kelas tambahan ni saya buat sendiri untuk membantu murid-murid yang lemah dalam Matematik. Guru besar pun memang dah tahu dah dan beliau benarkan saya buat kelas tambahan untuk murid-murid Tahun 5 Bestari. Daripada duduk bosan kat rumah petang-petang, lebih baik saya buat kelas tambahan untuk membantu murid-murid yang lemah dalam Matematik kan?, balas Cikgu Zaki lalu berlalu pergi meninggalkan aku di bilik guru.Sekali lagi aku kagum dengan Cikgu Zaki. Mulia sungguh hati Cikgu Zaki. Cikgu-cikgu lain mungkin sedang mengambil peluang untuk berehat di rumah selepas habis waktu sekolah, namun Cikgu Zaki pula sanggup mengorbankan masa rehatnya untuk mengajar kelas tambahan walaupun tiada yang meminta beliau untuk berbuat demikian. Sepanjang aku menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah di sekolah sebelum ini, tidak pernah aku menjumpai guru yang berjiwa pendidik seperti Cikgu Zaki. Memang betul perumpaan yang mengatakan bahawa guru umpama lilin yang sanggup membakar dirinya sendiri untuk menerangi orang lain. Baru kini aku melihat bukti nyata yang menunjukkan kebenaran perumpaan tersebut. Sungguh aku mengagumi Cikgu Zaki. Beliau begitu mencintai kerjayanya sebagai seorang guru sehingga sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk murid-muridnya. Sikap dan perbuatan beliau begitu memberi inspirasi kepadaku untuk menjadi seperti beliau pada suatu hari nanti.Pengalaman praktikum pertama yang berlaku lebih kurang setahun lebih yang lepas sememangnya telah memberikan aku semangat untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi. Sikap dedikasi yang dimiliki oleh Cikgu Zaki telah menjadi sumber inspirasiku semasa menjalani praktikum pada semester enam dan semester tujuh. Impak yang telah diberikan oleh Cikgu Zaki kepadaku begitu besar sehingga aku mendapat markah yang baik semasa menjalani praktikum dua semester yang lepas. Aku berasa bersyukur kerana telah dipertemukan dengan Cikgu Zaki. Beliau telah menjadi sumber inspirasiku untuk mencintai kerjaya sebagai guru. Kini, tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum aku bergelar guru sebenar di sekolah. Aku berharap, apabila bergelar guru suatu hari nanti, aku dapat menjadi seperti Cikgu Zaki.

(1488 patah perkataan)

1 | Page