39
| Laman Utama | Esei Pedagogi Bahasa: Pemarkahan Karangan Umum dan Karangan UPSR - oleh En Mohd. Isa bin Abd. Razak Esei Pendidikan: Keberkesanan Kadeah Kuliah dalam Pengajaran dan Pembelajaran - oleh En Azman bin Kanil @ Konil Laporan Tinjauan: Pendidikan Sekolah Rendah di Pedalaman Keningau - Satu Tinjauan di Kampung Salarom, Nabawan - oleh En Ishak bin Harun Kajian Pemerhatian: Program Motivasi Keibubapaan - Projek SAMP 1998 - oleh Hj. Kamarudzaman bin Hj. Abdul Rahim Laporan Kajian Tindakan: The Use of Pause Prompt Praise Procedure in SK Banjar, Keningau - oleh Saudara Lau Chee Loong Kurikulum -Refleksi Kurikulum Sekolah: Kurikulum Sekolah-Satu Refleksi - oleh En Jaafar bin Mat Akhir Tinjauan Literatur: Pengaruh Pengetahuan Konten Guru Sains terhadap Proses Pengajaran dan Pembelajaran Esei Pedagogi Bahasa PEMARKAHAN KARANGAN UMUM DAN KARANGAN UPSR Oleh Mohd. Isa bin Abd. Razak PENGENALAN Soalan subjektif, khususnya karangan, boleh menjadi alat pengukuran yang berkesan jika dilengkapkan dengan peraturan memberi markah (PMM) yang sesuai, diperiksa oleh pemeriksa yang cekap dan ada penyelarasan antara pemeriksa-pemeriksa. PMM, kecekapan pemeriksa dan penyelarasan pemeriksaan adalah perkara mesti jika ujian itu ialah ujian pencapaian dan pemeriksanya lebih daripada seorang. Keperluan PMM pula tetap menjadi perkara mesti bagi soalan esei walaupun pemeriksanya hanya seorang. Berbagai-bagai faktor di luar dan di dalam diri si pemeriksa itu sentiasa sahaja mempengaruhi kebolehpercayaan pemarkahannya.

cara pemakahan upsr

  • Upload
    uncle11

  • View
    1.543

  • Download
    5

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: cara pemakahan upsr

| Laman Utama | 

Esei Pedagogi Bahasa: Pemarkahan Karangan Umum dan Karangan UPSR - oleh En Mohd. Isa bin Abd. Razak

Esei Pendidikan: Keberkesanan Kadeah Kuliah dalam Pengajaran dan Pembelajaran - oleh En Azman bin Kanil @ Konil

Laporan Tinjauan: Pendidikan Sekolah Rendah di Pedalaman Keningau - Satu Tinjauan di Kampung Salarom, Nabawan - oleh En Ishak bin Harun

Kajian Pemerhatian: Program Motivasi Keibubapaan - Projek SAMP 1998 - oleh Hj. Kamarudzaman bin Hj. Abdul Rahim

Laporan Kajian Tindakan: The Use of Pause Prompt Praise Procedure in SK Banjar, Keningau - oleh Saudara Lau Chee Loong

Kurikulum -Refleksi Kurikulum Sekolah: Kurikulum Sekolah-Satu Refleksi - oleh En Jaafar bin Mat Akhir  

Tinjauan Literatur: Pengaruh Pengetahuan Konten Guru Sains terhadap Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Esei Pedagogi Bahasa

PEMARKAHAN KARANGAN UMUM DAN

KARANGAN UPSR

Oleh Mohd. Isa bin Abd. Razak

PENGENALAN

Soalan subjektif, khususnya karangan, boleh menjadi alat pengukuran yang berkesan jika dilengkapkan dengan peraturan memberi markah (PMM) yang sesuai, diperiksa oleh pemeriksa yang cekap dan ada penyelarasan antara pemeriksa-pemeriksa. PMM, kecekapan pemeriksa dan penyelarasan pemeriksaan adalah perkara mesti jika ujian itu ialah ujian pencapaian dan pemeriksanya lebih daripada seorang. Keperluan PMM pula tetap menjadi perkara mesti bagi soalan esei walaupun pemeriksanya hanya seorang. Berbagai-bagai faktor di luar dan di dalam diri si pemeriksa itu sentiasa sahaja mempengaruhi kebolehpercayaan pemarkahannya.

Kertas ini membincangkan secara ringkas PMM bagi karangan. Tumpuan perbincangan ialah pada aspek amali pemarkahan karangan. Beberapa contoh PMM karangan dikemukakan. Pemarkahan karangan peringkat sekolah rendah diberi perhatian istimewa dengan harapan kecemerlangan pendidikan bahasa kita semerbak sejak peringkat sekolah rendah lagi. Bagaimanapun, contoh-contoh PMM yang dikemukakan di sini tidak semestinya sama dengan PMM dalam ujian sebenar. Sebagai melengkapkan kertas ini, dibincangkan juga teknik memarkah, penyelarasan dan beberapa isu yang berkaitan dengan pemeriksaan karangan.

Page 2: cara pemakahan upsr

PERATURAN MEMBERI MARKAH

Sebelum memeriksa karangan, kita perlu menyediakan PMM. Bagi ujian sumatif seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMM telah disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Amnya, ada dua teknik membina PMM iaitu teknik global (impresif, holistik, tanggapan) dan teknik analisis (perincian) (Abdul Aziz (1993: 155). Pemarkahan global boleh digabungkan dengan pemarkahan analisis, dan boleh dinamakan teknik eklektik.

Teknik Global

Global atau holistik bermaksud menyeluruh. Rasional teknik ini ialah keseluruhan lebih penting daripada bahagian. Berasaskan rasional ini, pemeriksa melakukan penilaian secara keseluruhan terhadap sesuatu karangan. Karangan itu dibaca sekali lalu untuk menganggarkan prestasi calon berasaskan sesuatu skala seperti gred A hingga E. Pemeriksa meletakkan nilainya sendiri terhadap karangan itu. Katakan pemeriksa memberi gred B. Karangan itu dibaca sekali lagi untuk mengenal pasti kekuatan-kekuatan dan kesilapan-kesilapannya pula. Sesudah itu dimuktamadkanlah markahnya.

Cara ini amat subjektif, memerlukan pemeriksa yang cukup mahir dan berkebolehan membaca secara kritikal. Amat subjektif bermakna kebolehpercayaan pemarkahan amat rendah. Bagaimanapun, kebolehpercayaan pemarkahan pemeriksa itu dapat ditinggikan sedikit melalui penyelarasan antara para pemeriksa dan penyediaan model jawapan untuk rujukan bersama.

Satu lagi teknik global dilakukan melalui perbandingan. Dengan teknik ini pemeriksa membaca karangan berkenaan sekali lalu dan menyusunnya mengikut kualiti. Karangan terbaik diletakkan di atas dan yang paling lemah diletakkan di bawah sekali. Kesemua karangan itu dibaca sekali lagi untuk memastikan kedudukannya. Kemudian ditentukan peratus A, B, C dan seterusnya. Teknik bandingan ini sesuai untuk memarkah esei panjang seperti kerja projek. Teknik ini juga sesuai untuk memilih esei, cerpen, sajak, novel dan lain-lain bagi sesuatu peraduan, terutamanya pada peringkat saringan. Satu contoh PMM teknik global diberi dalam Lampiran A.

Teknik Analisis

Markah diberi berdasarkan kriteria tertentu. Sekiranya jawapan calon mempunyai banyak unsur yang dinyatakan dalam kriteria itu, maka tinggilah markahnya. Pemarkahannya sistematik dan kebolehpercayaannya tinggi. Pemeriksa pula tidak semestinya pakar dalam bidang berkenaan. Teknik pemarkahan ini sesuai untuk ujian pencapaian dan boleh juga digunakan untuk ujian formatif kerana ia boleh digunakan untuk tujuan diagnostik dan memberi maklumat kembali kepada pelajar dan pengajar.

(a) Perincian Aspek Karangan Biasa

Teknik ini digunakan untuk memarkah karangan berdasarkan peruntukan markah tertentu. Bagi karangan Bahasa Melayu, pembahagian markah mungkin seperti di bawah.

Isi = 30%

Bahasa = 40%

Gaya dan Olahan = 30%

Jumlah = 100%

Page 3: cara pemakahan upsr

Bagi isi, tetapkan jumlah isi dan gunakan skala global 10 mata atau teknik analisis. Jika skala global 10 mata dipilih, kriterianya hendaklah berkaitan dengan isi. Jika teknik analisis digunakan, butirkan pembahagian markah dan sertakan contoh-contoh isi. Bagi aspek bahasa, gunakan sistem tolak iaitu tolak satu markah bagi setiap kesalahan bahasa seperti struktur frasa, struktur ayat, penggunaan kata, ejaan dan sebagainya. Bagi gaya dan pengolahan, gunakan skala global 10 mata. (Lihat Lampiran C.)

Sebenarnya teknik analisis ini boleh dinamakan teknik gabungan kerana jelas dicampurkan unsur global dengan unsur analisis. Teknik ini amat sesuai digunakan untuk menguji kemahiran bahasa kerana 70% daripada markah diperuntukkan bagi aspek-aspek bahasa dan penglahirannya. Teknik ini juga amat berguna untuk tujuan menganalisis kesilapan. Lazimnya, isi diberi pemberatan separuh atau lebih daripada separuh. Kelaziman itu sesuai untuk memarkah esei pengajian tinggi seperti mata pelajaran Pengajian Am, Sijil Tinggi Persekolahan dan tugasan-tugasan tertentu bagi Sijil Perguruan Malaysia.

(b) Perincian Aspek Karangan Berformat

PMM analisis karangan berformat selalunya lebih terperinci. Katakan kita telah meyediakan soalan berbentuk wawancara. Markah penuh bagi soalan itu ialah 15. Kita boleh menggunakan nisbah 2:2:1 bagi aspek bahasa, isi dan format. Dengan kata lain bahasa diperuntukkan enam markah, isi diperuntukkan enam markah dan format diperuntukkan tiga markah.

Perincian Markah Bahasa

Laras dan gaya 2 markah

Tanda baca 1 markah

Ayat, ejaan dll. 3 markah

Perincian Markah Isi

Dalam pendahuluan 1 markah

Dalam susulan 4 markah

Dalam penutup 1 markah

Perincian Markah Format

Nama penyoal ½ markah

Nama tetamu ½ markah

Tajuk ½ markah

Pendahuluan ½ markah

Pemerengganan ½ markah

Penutup ½ markah

TEKNIK MEMARKAH

Page 4: cara pemakahan upsr

Katakanlah kita akan memarkah sebuah karangan. Pemarkahan boleh dilakukan berdasarkan susunan kertas iaitu kita periksa jawapan calon A, diikuti dengan calon B dan seterusnya. Pemarkahan boleh juga dilakukan berdasarkan tajuk karangan. Misalnya, mula-mula kita periksa semua karangan "Cita-cita Saya". kemudian kita periksa pula karangan "Faedah Membaca", dan seterusnya tanpa mengikut susunan kertas ujian.

Kedua-dua cara ini boleh digunakan. Jika kertas yang hendak diperiksa itu banyak, cara kedua lebih berkesan kerana pemeriksa dapat menumpukan fikirannya kepada isi tajuk berkenaan. Jika kertas itu mengandungi lebih daripada satu soalan karangan, cara kedua perlu diutamakan kerana dengan cara ini fikiran kita tidak disela oleh pelbagai isi karangan yang lain; apa lagi jika skema pemarkahannya berbeza-beza. Mokhtar (1995: 110) menyatakan, cara ini boleh menghindarkan pemeriksa daripada dipengaruhi oleh soalan sebelumnya ketika memeriksa butiran seterusnya.

Bagi ujian formatif, elok diwujudkan kebiasaan merahsiakan nama calon seperti yang dilakukan dalam peperiksaan awam. Dengan cara ini kita dapat mengurangkan kesan emosi yang dinamakan kesan halo. Bagi ujian formatif juga, skema pemarkahan sepatutnya diberitahu kepada pelajar.

PENYELARASAN

Dalam peperiksaan awam, penyelarasan pemarkahan item esei memang sentiasa dilakukan. Amalan ini elok dilaksanakan di sekolah bagi kedua-dua jenis ujian, sumatif dan formatif, jika pemeriksanya lebih daripada seorang. Penggubalan kertas soalan bagi ujian semester dan tahunan yang dipusatkan dalam sesuatu mukim atau daerah sangat digalakkan. Usaha ini perlu disempurnakan dengan penyelarasan pemarkahan.

Penyelarasan boleh meninggikan kebolehpercayaan pemarkahan. Mereka yang menghadiri mesyuarat penyelarasan memeriksa sampelan jawapan calon. Kemudian, dibincangkan sebab-sebab markah yang diberi itu terlalu tinggi atau terlalu rendah. Melalui perbincangan, pemeriksaan semula, perubahan terhadap skema dan sebagainya, perbezaan markah di antara pemeriksa-pemeriksa itu boleh diminimumkan. Lazimnya penyesuaian atau moderasi markah dilakukan dalam penyelarasan apabila selisih markah antara pemeriksa melebihi 5%.

PEMARKAHAN KARANGAN UPSR

Kertas Bahasa Melayu (Ujian Penulisan) UPSR mengandungi dua soalan yang dinamakan Soalan 1 dan Soalan 2. Calon dikehendaki menjawab kedua-dua soalan. Bagi Soalan 1, calon boleh memilih sama ada Soalan 1 (a) atau Soalan 1 (b). Bagi Soalan 2, calon tidak diberi pilihan.

Pemarkahan yang sesuai bagi kertas ini ialah teknik analisis. Jika markah penuh 50, markah bagi setiap soalan ialah 25 markah. Oleh sebab Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah menekankan kemahiran berbahasa, nisbah markah bahasa wajar melebihi markah isi. Pecahannya ialah 15 markah bagi bahasa dan 10 markah bagi isi

Perincian markah bahasa di bawah ini lazimnya digunakan.

(a) Perbendaharaan kata 3 markah

(b) Struktur ayat 3 markah

(c) Penggunaan imbuhan 3 markah

Page 5: cara pemakahan upsr

(d) Penggunaan tanda baca 3 markah

(e) Ejaan 3 markah

Bagi komponen perbendaharaan kata dan struktur ayat, markah boleh diberi secara global. Markah penuh diberi jika calon berjaya memperlihatkan keluasan penggunaan perbendaharaan kata dan menggunakan pelbagai jenis dan ragam ayat. Bagi komponen-komponen yang lain, sistem pemotongan markah boleh digunakan. Potong setengah markah bagi setiap kesalahan penggunaan imbuhan, penggunaan tanda baca, dan ejaan. Markah tidak dipotong bagi kesalahan yang berulang. Ini bermakna calon boleh kehilangan sembilan daripada 15 markah bahasa.

Markah isi pula boleh diagihkan seperti di bawah:

Pendahuluan 1 markah

4 isi x 2 markah 8 markah

Penutup 1 markah

Agihan markah isi ini boleh digunakan untuk kesemua soalan. Di bawah ini diberikan beberapa contoh umum berdasarkan soalan UPSR yang sebenar.

1992: Soalan 1 (a) Empat cara menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.

Soalan 1 (b) Empat cara kita boleh menggembirakan ibu bapa.

1993: Soalan 1 (a) Empat episod peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

Soalan 1 (b) Empat cara menggunakan wang, jika saya ada banyak wang.

1994: Soalan 1 (a) Empat cara menjaga kesihatan badan.

Soalan 1 (b) Empat faedah bersukan.

1995: Soalan 1 (a) Empat episod cerita aneh.

Soalan 1 (b) Empat gambaran Hari Kebangsaan yang telah disaksikan.

1996: Soalan 1 (a) Empat cara menjaga kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal.

Soalan 1 (b) Empat faedah membaca.

1997: Soalan 1 (a) Empat cara mengenang jasa ibu bapa.

Soalan 1 (b) Empat kepentingan kerjasama di kalangan murid.

Pembahagian markah isi tidaklah terlalu rigid. PMM yang baik lazimnya menyatakan bahawa pemeriksa boleh mempertimbangkan markah yang sesuai bagi isi yang berkaitan dengan soalan walaupun isi-isi itu tidak tercatat dalam PMM. PMM yang baik juga disertai contoh rangka jawapan. Di bawah ini diberikan satu contoh rangka jawapan bagi Soalan 1 (b) tahun 1996:

Pendahuluan (1 markah)

Page 6: cara pemakahan upsr

Amalan membaca sangat bermanfaat kepada manusia.

Isi (2 markah x 4 isi)

1. Meluaskan pengetahuan yang dipelajari dalam bilik darjah. 2. Menambah pengalaman melalui cerita benar atau pengembaraan. 3. Menambah perbendaharaan kata. 4. Mendapat keseronokan atau kepuasan melalui cerita-cerita rekaan.

Penutup (1 markah)

Tabiat membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi.

Bagi soalan yang memerlukan format, calon mesti menulis karangan dalam format yang dikehendaki. Pemeriksa boleh memotong sehingga tiga markah daripada keseluruhan markah yang diperoleh bagi item yang berkenaan. Perhatikan contoh penerangan tentang hal ini yang sesuai untuk PMM sekolah rendah:

Soalan 1 (a) jika tidak ditulis dalam bentuk dialog, tolak tiga markah.

Soalan 1 (b) jika tiada pendahuluan, tolak satu markah; jika tiada kata penegasan di tengah karangan, tolak satu markah; dan jika tiada penutup, tolak satu markah.

Sebelum tahun 1996, Kertas Bahasa Melayu (Ujian Penulisan) UPSR mensyaratkan calon menulis karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 80 patah perkataan. Apabila frasa tidak kurang daripada 80 patah perkataan digunakan, PMM perlu menerangkan sistem pemotongan markah jika calon menggunakan lebih daripada 80 patah perkataan. Cadangan pemotongan markah bagi karangan yang pendek adalah seperti yang berikut:

60 -- 75 patah perkataan: tolak satu markah daripada jumlah markah yang diperoleh untuk soalan itu.

50 -- 59 patah perkataan: tolak dua markah daripada jumlah markah yang diperoleh untuk soalan itu.

40 -- 49 patah perkataan: tolak tiga markah daripada jumlah markah yang diperoleh untuk soalan itu.

39 patah perkataan ke bawah: peruntukan markah tidak boleh melebihi 10 daripada 25 markah.

Mulai tahun 1996, had maksimumnya perkataan yang boleh digunakan oleh calon dicatatkan dalam arahan, iaitu tidak melebihi 120 patah perkataan. PMM perlu memberikan garis panduan kepada pemeriksa jika calon melanggar had maksimum yang ditetapkan itu. Lazimnya, pemeriksa tidak perlu menilai bahagian yang melebihi had maksimum itu. Dengan kata lain, calon tidak diberi sebarang markah untuk perkara yang ditulis selepas had maksimum itu. Penggunaan perkataan melebihi had maksimum itu juga tidak membabitkan pemotongan markah. Namun demikian, calon dijangka akan kehilangan markah isi jika isinya, khususnya penutup, terkandung dalam perkataan-perkataan yang melebihi had maksimum itu.

Pemeriksaan secara analisis untuk karangan sekolah rendah sudah tentu memerlukan pemeriksa yang teliti. Pemeriksa perlu membaca karangan itu sekali lalu terlebih dahulu untuk mendapatkan kesan dan menentukan jumlah perkataan yang digunakan oleh calon. Kemudian karangan itu dibaca sekali lagi untuk menimbangkan markahnya yang

Page 7: cara pemakahan upsr

sebenar berdasarkan ketetapan cara pemberian markah. Ketika membaca, pemeriksa perlu menanda isi dan kesalahan-kesalahan seperti Rajah 1.

Apabila penandaan telah selesai dilaksanakan, tuliskan markah yang telah dipertimbangkan itu pada sebelah kanan bahagian bawah karangan seperti dalam Rajah 2.

Rajah 1: Penandaan Karangan

Aspek Pecahan Markah

Isi (a) 8

Bahasa (b) 3

  (c) 2

  (d) 3

  (e) 2

Jumlah 18

- Format 0

- Bilangan perkataan -1

JUMLAH 15

Rajah 2: Catatan Markah

Biasa markah penuh yang diberi adalah dalam angka bulat. Jika calon mendapat 85½ markah daripada 100, markah itu boleh dibulatkan menjadi 86. Namun demikian, apabila nilai ½ markah itu dari segi peratusnya begitu tinggi, pembulatan itu tentulah kurang wajar. Bagi kertas Bahasa Melayu (Ujian Penulisan) UPSR, ½ markah bernilai 2%. Pembulatan markah bagi kes ini kurang wajar.

Markah muktamad hendaklah ditulis di penjuru sebelah kanan halaman pertama karangan calon. Bagi karangan yang terpesong, peruntukan markah tidak boleh melebihi lima markah.

BEBERAPA ISU

Penandaan Kesilapan

Penandaan kesilapan boleh dilakukan berpandukan Rajah 1 atau cara-cara yang difikirkan sesuai (lihat Abdul Aziz Abdul Talib, 1993: 278-279). Penandaan kesilapan sangat penting bagi ujian sumatif. Dalam ujian sumatif lazimnya sampelan kertas yang telah diperiksa oleh pemeriksa akan disemak semula oleh ketua pasukan. Sampelan kes lulus biasa, semua kes gagal dan semua kes cemerlang mungkin juga akan disemak oleh ketua pemeriksa. Penandaan kesilapan itu akan memudahkan ketua pasukan dan ketua pemeriksa melaksanakan tugas mereka.

Page 8: cara pemakahan upsr

Bagi ujian formatif, kesilapan yang telah ditanda pada kertas jawapan boleh menjadi sumber maklumat yang sangat berguna untuk guru dan murid. Guru boleh menggunakannya untuk menganalisis kesilapan dan mengadakan tindakan susulan. Pelajar pula dapat mengetahui kelemahan mereka dan boleh berusaha membaiki kelemahan yang ditunjukkan itu.

Pemeriksa boleh juga menggunakan tanda-tanda penyuntingan jika sasaran memahami tanda-tanda penyuntingan itu. Penandaan kesilapan dan penyuntingan dengan menggunakan tanda-tanda penyuntingan sangat sesuai dilakukan di sekolah menengah dan peringkat pengajian tinggi bagi ujian-ujian formatif, khususnya latihan harian.

Dua Ekstrem

Pemeriksa mungkin sukar membuat keputusan apabila bertemu dengan keadaan yang bertentangan. Yang pertama ialah isi jawapan calon sangat tepat dan matang, tetapi ada masalah dari segi bahasa. Antara masalah bahasa yang lazim berlaku ialah kesilapan struktur frasa dan ayat, kurang keragaman susuk ayat dan kesilapan penggunaan tanda baca. Peringkat tertinggi bagi kes ini ialah peringkat B. Yang kedua ialah isi jawapan calon terpesong terus, tetapi prestasi bahasanya cemerlang. Peringkat tertinggi yang boleh diberi kes ini ialah peringkat D.

PENUTUP

Berbanding dengan butiran berbilang pilihan, butiran subjektif, khususnya karangan, mudah digubal. Namun demikian penyediaan PMM dan usaha memarkah butiran subjektif menuntut kesungguhan yang bukan kepalang. Pemeriksa mestilah melaksanakan tugasnya secara profesional dan bersungguh-sungguh. Penguasaan yang mendalam terhadap subjek yang diperiksa juga sangat dituntut. Pemeriksa terdedah kepada tuduhan tidak adil jika gagal mengesan kesilapan calon atau menyalahkan sesuatu yang sememangnya sudah betul.

Abu Bakar Nordin (1986: 220) menyarankan pemeriksa melakukan tugasnya semasa fikiran tenteram dan di tempat yang sesuai. Namun demikian, jika masih terdengar rungutan daripada calon setelah segala usaha dilakukan sebaik mungkin, pemeriksa boleh secara bersahaja meluahkan rasa, "Memang sudah adat benda subjektif!"

BIBLIOGRAFI

Abdul Aziz Abdul Talib, (1993). Menguji Kemahiran Bahasa: Prinsip, Teknik dan Contoh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 9: cara pemakahan upsr

Abu Bakar Nordin, (1986). Asas Penilaian Pendidikan. Petaling Jaya: Longman.

Azman Wan Chik, (1994). Pengujian Bahasa: Kes Bahasa Melayu, Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahir Publications, (1997). Koleksi Kertas UPSR Bahasa Malaysia. Shah Alam: Mahir Publications Sdn. Bhd.

Mohd. Isa Ab. Razak, (1988). "Soalan Subjektif: Teknik Penggubalan dan Skema Pemarkahan". Kertas kerja. Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban.

Mokhtar Ismail, (1995). Penilaian di Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raminah Haji Sabran, (1991). Penilaian dan Pengujian Bahasa Malaysia, Penerapannya pada Peringkat Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Isa b. Ab. Razak adalah Ketua Jabatan, Jabatan Bahasa, Maktab Perguruan Keningau, Sabah.

LAMPIRAN A

TEKNIK GLOBAL

Soalan 1: Karangan (100 markah)

Calon dikehendaki memilih dan mengarang satu tajuk sahaja. Panjang karangan kira-kira 350 patah perkataan seperti yang ditetapkan itu adalah panduan sahaja. Tidak ada potongan markah bagi karangan yang kurang atau lebih daripada 350 perkataan.

Panduan Am

Pemeriksa hendaklah membaca karangan itu sekali lalu untuk mendapatkan kesan dan menganggarkan peringkat karangan itu sambil memerhatikan perkara-perkara berikut:

Bahasa dan Gaya. Menggunakan bahasa yang betul, lancar dan jelas. Gaya bahasanya sesuai dengan tajuk karangan.

Isi dan Susunan. Mempunyai sekurang-kurangnya lima isi yang sesuai; memperlihatkan kematangan fikiran, tersusun dan baik penyampaiannya.

Pemberian Markah

Setelah membaca karangan itu sekali lalu, tetapkan peringkat yang sesuai berdasarkan peringkat-peringkat di bawah ini.

Peringkat A (75--100 markah)

Takrif terhadap tajuk karangan yang dipilih tepat. Bahasa lancar dan bersih daripada kesalahan tatabahasa: struktur ayat, imbuhan, perenggan, tanda baca, peribahasa dan lain-lain. Susuk ayat beragam dan penggunaan perbendaharaan katanya luas dan tepat. Isinya cukup dan berkembang, lengkap dengan contoh-contoh yang sesuai. Pengolahannya sangat menarik dan berkesan. Hujah-hujahnya sangat logik dan memperlihatkan ciri-ciri kematangan fikiran yang tinggi.

Peringkat B (60--74 markah)

Page 10: cara pemakahan upsr

Takrif terhadap tajuk karangan yang dipilih masih lagi tepat. Bahasa memuaskan. Keragaman susuk ayat kurang sedikit. Perbendaharaan katanya sederhana. Isinya cukup dan pengolahannya agak menarik. Terdapat juga ciri-ciri kematangan fikiran dalam penulisannya.

Peringkat C (40--59 markah)

Takrif terhadap tajuk karangan yang dipilih kurang tepat. Ada kesalahan tatabahasa tetapi dapat dimaafkan. Tidak menunjukkan keanekaragaman susuk ayat. Perbendaharaan katanya terhad, mudah dan kurang tepat. Isinya kurang: ada yang cocok, ada yang tidak sesuai. Pengolahannya kadang kala kabur.

Peringkat D (30--39 markah)

Tajuk karangan kurang difahami. Terdapat kesilapan tatabahasa yang tidak boleh dimaafkan. Susunan bahasanya membayangkan penguasaan bahasa yang kurang mantap. Perbendaharaan katanya tidak tepat. Pengolahan dan penyusunannya agak lemah dan tidak teratur. Isinya sipi.

Peringkat E (1--10 markah)

Tajuk karangan tidak difahami langsung. Penguasaan bahasanya lemah. Struktur ayat berkecamuk. Olahannya mengelirukan dan sukar difahami. Perbendaharaan katanya salah. Isinya terpesong.

Kesimpulan

Baca karangan itu sekali lagi dengan teliti untuk menimbangkan markah yang sebenar. Sambil membaca itu, tandakan kesalahan-kesalahan bahasa, isi dan ejaan. Bagi kesalahan ayat, frasa dan perkataan, buat garisan di bawah kesalahan itu. Bagi kesalahan isi, kurungkan perenggan atau ayat yang mengandungi kesalahan isi dengan kurungan. Bagi kesalahan ejaan, tandakan dengan satu palang / dan kesalahan ejaan yang sama tandakan dengan dua palang //. Bagi kesalahan tanda baca buat bulatan pada bahagian yang berkenaan. Potong setengah markah bagi tiap-tiap kesalahan ejaan. Markah tidak dipotong bagi kesalahan yang berulang. Potongan maksimum kesalahan ejaan ialah lima markah. Tulis markah yang telah dipertimbangkan di sebelah kanan bahagian bawah karangan. Contoh: Keseluruhan 70

Tolak Ejaan -4

Jumlah 66

Bagi karangan yang berbentuk perbahasan, calon dikehendaki menulis kontra kepada tajuk itu. Tajuk itu sendiri dianggap sebagai pro atau pencadang dalam karangan itu. Untuk karangan yang berbentuk perbincangan, calon dikehendaki menulis pro dan kontra. Bagi karangan yang berbentuk cerpen dan peribahasa pula, sesuaikan kriteria. 

LAMPIRAN B

TEKNIK ANALISIS

Karangan Berformat: Berita

Format 4 markah

Isi 6 markah

Bahasa 5 markah

Perincian Markah Format

Tajuk berita ½ markah

Page 11: cara pemakahan upsr

Nama penulis ½ markah

Tempat berlaku ½ markah

Tarikh ½ markah

Pemerengganan 1 markah

Penutup 1 markah

Jumlah 4 markah

Perincian Markah Isi

Isi dalam intro 2 markah

Isi dalam susulan 3 markah

Isi dalam penutup 1 markah

Jumlah 6 markah

Perincian Markah Bahasa

Laras dan gaya 1½ markah

Tanda bacaan ½ markah

Ayat, ejaan dll. 3 markah

Jumlah 5 markah

LAMPIRAN C

TEKNIK EKLEKTIK

Soalan 1: Karangan (20 markah)

Calon dikehendaki menjawab satu soalan sahaja. Pemarkahan untuk semua jawapan adalah seperti yang berikut:

Bacaan pertama untuk mengesan isi dan menggredkan pengolahan. Bacaan kali kedua untuk menandakan kesilapan dan memastikan markah pengolahan.

Isi = 10 markah

Pengolahan = 10 markah

Jumlah = 20 markah

(a) Teknik Analisis untuk Isi

Isi (10 markah). Dikehendaki sekurang-kurangnya empat isi. 4 isi x 2½ markah = 10 markah. Beri markah penuh bagi isi yang tepat dan lengkap. Jika isi melebihi empat, beri satu markah bonus asalkan tidak melebihi markah maksimum keseluruhan. Beri satu markah sahaja bagi isi yang kurang tepat atau kurang lengkap.

Page 12: cara pemakahan upsr

Contoh isi:

(Skema sebenar menyenaraikan isi bagi semua soalan. Di sini diturunkan contoh isi bagi satu soalan sahaja.)

Soalan (a) Faktor sosial yang menentukan penggunaan kata ganti diri:

- Kelas sosial

- Kedudukan ekonomi atau pekerjaan dalam keluarga

- Umur

- Situasi formal dan tidak formal

-Jawapan-jawapan lain yang sesuai

(b) Teknik Global 10 Mata untuk Pengolahan

Pengolahan (10 markah). Bagi kesalahan ayat, frasa dan perkataan: tandakan dengan garisan di bawah kesalahan berkenaan. Bagi kesalahan isi, tandakan dengan kurungan. Bagi kesalahan ejaan: tandakan dengan satu garis miring ke kanan (back slash). Bagi kesalahan ejaan yang sama, tandakan dengan dua garis miring ke kanan. Bagi kesalahan tanda bacaan: tandakan dengan bulatan. Potong ½ markah bagi tiap-tiap kesalahan ejaan. Markah tidak dipotong bagi kesalahan yang berulang (dua palang). Potongan maksimum kesalahan ejaan ialah dua markah. Tulis markah yang telah dipertimbangkan di sebelah kanan bahagian bawah karangan seperti contoh di bawah ini:

Isi 7/10

Pengolahan 6/10

Jumlah 13/20

- E - 1

Jumlah akhir 12/20

Peringkat A (9--10 markah) Takrif terhadap tajuk esei tepat dan bahasa lancar. Tiada kesalahan tatabahasa. Susuk ayat beragam. Penggunaan perbendaharaan katanya luas dan tepat. Pengolahannya sangat menarik dan berkesan. Hujah-hujahnya sangat lojis dan memperlihatkan ciri-ciri kematangan fikiran yang tinggi.

Peringkat B (7--8 markah) Takrif terhadap tajuk esei masih lagi tepat. Bahasanya memuaskan. Keragaman susuk ayat kurang sedikit. Perbendaharaan katanya agak sederhana. Pengolahannya agak menarik. Terdapat juga ciri-ciri kematangan fikiran dalam penulisannya.

Peringkat C (5--6 markah) Takrif terhadap tajuk esei kurang tepat. Terdapat kesalahan tatabahasa--dapat dimaafkan. Tidak menunjukkan keanekaragaman susuk ayat. Perbendaharaan katanya terhad, mudah dan kurang tepat. Pengolahannya kadang kala kabur.

Peringkat D (3--4 markah) Tajuk esei kurang difahami. Terdapat kesilapan tatabahasa yang tidak boleh dimaafkan. Susunan bahasanya membayangkan penguasaan bahasa yang kurang cekap. Perbendaharaan katanya tidak tepat. Pengolahan dan penyusunannya agak lemah dan kurang teratur.

Peringkat E (1--2 markah) Tajuk esei tidak difahami langsung. Penguasaan bahasanya lemah. Struktur ayat berkecamuk. Olahannya mengelirukan dan sukar difahami. Perbendaharaan katanya salah.

Page 13: cara pemakahan upsr

Esei Pendidikan

KEBERKESANAN KAEDAH KULIAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Oleh Azman bin Kanil @ Konil

PENGENALAN

lmu pedagogi merupakan satu disiplin yang amat ditekankan di bidang keguruan. Sebagai pendidik, guru perlu menguasai pelbagai kaedah pengajaran yang berkesan. Terdapat pelbagai kaedah pengajaran yang digunakan di institusi pengajian tinggi maupun di peringkat sekolah seperti kaedah perbincangan, simulasi, projek, modul, main peranan, kuliah dan bermacam-macam lagi. Satu perkara yang menarik ialah walaupun kaedah kuliah yang telah dipraktikkan hampir 2500 tahun lamanya, namun ia masih lagi menjadi pilihan pendidik untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Walaupun kaedah ini merupakan kaedah yang paling dominan dalam penyampaian ilmu pengetahuan di sekolah dan maktab perguruan namun kaedah ini telah mendapat kritikan yang hebat. Ini kerana kaedah kuliah dikatakan akan menjadikan pelajar sebagai pemain pasif iaitu hanya sebagai pendengar manakala guru sebagai pemain aktif. Ini akan menjadikan pelajar lebih banyak disuap daripada mereka bertindak mencari atau menjalankan eksplorasi terhadap sesuatu ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung timbul satu konsepsi bahawa guru yang manyampaikan kuliah adalah seorang yang pakar dalam pengetahun tersebut (expert on the body of knowledge). Ini akan mengurangkan kecenderungan pelajar untuk meneliti dan menganalisis sesuatu input yang disampaikan daripada buku teks, jurnal, majalah dan sebagainya.

Satu lagi hujah yang paling ekstrem terhadap kelemahan kaedah kuliah adalah situasi yang berlaku di Universiti Sorbonne, Paris. Di universiti ini, sebilangan kecil sahaja penuntutnya menghadiri kuliah. Sebahagian besar penuntut yang lain mengikuti kursus melalui Cours Polycopies iaitu mendapatkan atau membaca nota yang telah disiklostil. Nota-nota yang telah disiklostil ini dijual di luar dewan kuliah. Sebahagian kecil penuntut yang mengikuti kuliah itu sebenarnya adalah wakil daripada pelajar lain untuk mengenal pasti bahagian-bahagian penting yang ditekankan oleh pensyarah yang berkemungkinan ditanya dalam peperiksaan. Fenomena seperti ini boleh berlaku di mana-mana sahaja sekiranya guru hanya memainkan peranan sebagai media iaitu menukar isi pelajaran yang ditulis di dalam buku kepada kuliah lisan kepada pelajar. Persoalannya ialah mengapa kaedah kuliah tetap menjadi pilihan utama oleh guru semasa menyampaikan ilmu pengetahuan kepada penuntut. Terdapat pelbagai jawapan kepada persoalan tadi. Antaranya ialah:

1. Guru dapat menghabiskan beberapa topik pelajaran dalam satu sesi perkuliahan. Ini menjimatkan masa terutama ketika guru hendak menghabiskan sukatan pelajaran yang tertinggal dalam tempoh masa yang terhad.

2. Bahan atau isi kuliah yang telah disiapkan boleh digunakan untuk satu jangka masa yang panjang selagi tiada perubahan sukatan pelajaran.

3. Kaedah kuliah juga membolehkan pelajar belajar dari orang yang benar-benar pakar dalam disiplin tersebut. Teknik perbincangan dalam kumpulan kecil tidak berkesan untuk menyelesaikan masalah yang kompleks atau untuk mengubah sikap.

TUJUAN KULIAH

Walaupun kaedah kuliah mendapat kritikan yang hebat di kalangan pakar pendidik, namun kekerapan pengunaannya dalam penyampaian ilmu masih lagi tinggi. Beberapa refleksi yang dibuat menunjukkan terdapat beberapa faktor dominan tujuan kuliah diadakan.

1. Merangsangkan minat murid. Rangsangan dapat dilakukan oleh guru semasa memulakan pengajaran. Ini penting terutamanya ketika memulakan mata pelajaran atau unit pembelajaran yang baru. Guru dapat merangsang dan menimbulkan minat serta rasa ingin tahu pelajar melalui bahan kuliah yang akan disampaikan.

2. Memberi penjelasan yang maksimum. Guru dapat mengutarakan fakta-fakta penting pelajaran semasa menyampaikan kuliah. Di samping itu penganalisaan yang lebih mendalam dapat dilakukan dan yang paling penting guru mestilah membuat rumusan dari sesuatu bahan kuliah yang disampaikan.

Page 14: cara pemakahan upsr

3. Penelitian dan ulangkaji. Semasa kuliah disampaikan, guru bukan sahaja menyampaikan input ilmu kepada murid malah guru juga dapat menyampaikan perasaan dan pengalamannya dalam satu sesi perkuliahan. Guru dapat memberi panduan kepada murid bagaimana hendak mempelajari sesuatu pelajaran.

4. Mengembangkan isi pelajaran. Kaedah kuliah memberi kelonggaran kepada guru untuk membuat huraian bukan sahaja setakat yang ada dalam buku teks malah ditambah dengan pengalamannya yang diperolehi melalui pembacaan, pengembaraan, percubaan dan sebagainya. Guru juga dapat mengalih topik pelajaran dengan mengambil kira tahap kesediaan murid mengikuti pelajaran baru. Guru juga dapat menjawab dan menyelesaikan masalah murid ketika pelajaran itu sedang dikuliahkan. Ini mengelakkan murid memendam masalahnya dan hilang tumpuan pada pelajaran.

KELEMAHAN KULIAH DAN CARA MENGATASI

Walaupun kaedah kuliah mempunyai pelbagai kebaikan seperti yang telah dihuraikan di atas, namun ia juga mempunyai kelemahan-kelemahan yang tidak dapat dinafikan. Antara kelemahan kaedah perkuliahan ialah seperi berikut:

1. Kuliah melibatkan interaksi sehala di antara guru dan murid. Ini menyebabkan murid-murid menjadi pasif. Pelajar hanya menjadi penonton dan guru yang menjadi pemain aktif. Deria yang digunakan pula hanya mata dan telinga sahaja. Ini bercanggah dengan teori pembelajaran yang mengkehendaki kepelbagaian deria dilibatkan dalam satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran.

2. Melalui kaedah kuliah semata-mata juga amat sukar bagi guru untuk mengukur tahap pembelajaran pelajar. Ini kerana guru tidak dapat mengukur setakat mana mutu pemahaman pelajar kepada topik pelajaran yang disampaikan. Hal ini lebih ketara lagi sekiranya guru kurang membuat sesi soal jawab semasa menyampaikan kuliah.

3. Keberkesanan kuliah yang disampaikan oleh guru juga banyak bergantung kepada minat dan pemahaman guru tentang sesuatu topik. Ini akan mengakibatkan topik pelajaran yang kurang diminati dan difahami oleh guru akan ditinggalkan atau tidak dikuliahkan. Pelajar akan rugi sekiranya topik yang ditinggalkan itu merupakan topik yang penting terutamanya waktu peperiksaan.

4. Kaedah ini mendorong pelajar hanya mengingati fakta-fakta yang diajar sebagai tujuan akhirnya. Justeru itu, secara tidak langsung ia akan menghilangkan minat pelajar untuk mengkaji dengan lebih mendalam sesuatu topik pelajaran yang dikuliahkan. Pelajar akan mudah berpuas hati dengan input ilmu yang telah diberikan oleh guru. Pertambahan ilmu selain daripada nota yang dicatat semasa kuliah tidak akan berlaku.

Satu persoalan yang menarik di sini ialah selepas beberapa lama kaedah kuliah ini digunakan, adakah kita masih lagi berpegang kepada definisi kuliah sebagai satu proses interaksi sehala antara guru dengan murid. Bagi saya definisi kuliah sudah sewajarnya diberi nafas baru atau definisi yang baru. Ini kerana melalui pemerhatian dan penyelidikan, kaedah kuliah tidak lagi digunakan secara menyeluruh di dalam kelas. Guru telah mula memasukkan unsur sesi soal jawab, perbincangan ringkas dan unsur-unsur lain yang difikirkan sesuai semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku. Justeru itu keberkesanan kuliah dapat ditingkatkan dengan memasukkan beberapa ciri-ciri penting. Antaranya ialah:

1. Kuliah hanya diberikan pada masa yang sesuai seperti ketika hendak memulakan atau memperkenalkan tajuk yang baru.

2. Guru haruslah menyampaikan kuliah dengan cara yang menarik dan menggunakan unsur persamaan (analogy), perbandingan (comparison), gambaran (illustration) dan alat bantu mengajar yang lain.

3. Kuliah juga hendaklah diselang-selikan dengan soal jawab, perbincangan dan sebagainya yang difikirkan sesuai supaya interaksi pelbagai hala dapat dibina dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

4. Sinopsis kuliah yang bernas perlu diedarkan kepada murid sebagai panduan. Jangan membuang masa dengan menulis formula atau membaca petikan dari buku.

5. Sesuatu kuliah juga perlu ada permulaan, pertengahan dan penamat di samping perlu disampaikan dengan intonasi suara yang baik.

KESIMPULAN

Page 15: cara pemakahan upsr

Walaupun penggunaan kaedah kuliah dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah telah mendapat kritikan hebat daripada para cendikiawan namum kaedah ini masih lagi diamalkan dengan meluas kerana faktor penjimatan masa, efisiensi dan memudahkan guru membuat persediaan. Namum begitu ia memerlukan anjakan paradigma para pendidik dari mendefinisikan kuliah sebagai menyampaikan syarahan atau input ilmu semata-mata kepada membina perkembangan kognitif, sahsiah, sosial dan juga merangsang pertumbuhan pelajar kepada pembinaan konsep kendiri yang positif. Selain itu, penggunaan pelbagai alat bantu mengajar ketika menyampaikan kuliah seperti komputer, multimedia, alat tayang dan sebagainya dapat meningkatkan lagi mutu perkuliahan.

BIBLIOGRAFI

Brown,G., (l978). Lecturing and Explaining. N. York: Methuan & Co. Ltd.

Fretwell, E.K., (l965). Techniques of Teaching. Oxford: Pergaman Press.

Musa b. Daia, (1992). Kaedah dan Teknik Pengajaran. Johor Bahru: Badan Bookstore Sdn. Bhd.

Suradi Salim, (1989). Meninggikan Keberkesanan Kuliah dalam Jurnal Masalah Pendidikan. K. Lumpur: Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Azman b. Kanil @ Konil adalah pensyarah di Jabatan Ilmu Pendidikan, Maktab Perguruan Keningau, Sabah.

Laporan Tinjauan

PENDIDIKAN SEKOLAH RENDAH DI PEDALAMAN KENINGAU-SATU TINJAUAN DI KAMPUNG SALAROM, NABAWAN

Oleh Ishak bin Harun

PENDAHULUAN

ekolah Kebangsaan Salarom terletak di tengah-tengah Kampung Salarom. Jarak dari bandar Keningau lebih kurang 150 kilometer melalui jalan pembalakan yang memakan masa lima jam perjalanan. Penduduk Kampung Salarom seramai 186 orang. Hampir 100% penduduknya keturunan Murut Taghol. Sekolah-sekolah kebangsaan lain yang terdapat di zon ini ialah SK Layon, SK Sililiran, SK Pangaraan dan SK Ponontoman. Antara sekolah-sekolah ini dihubungkan oleh jalan-jalan pembalakan.

Walaupun Kampung Salarom ini terpencil di pedalaman dan jauh dari arus pembangunan, namum ia berjaya memenanagi hadiah kampung terbaik kebangsaan tahun 1994. Kejayaan yang diperolehi ini adalah berkat kerjasama, semangat tolong-menolong dan pemikiran terbuka masyarakat. Seperti kampung-kampung lain, Kampung Salarom mempunyai organisasi pentadbiran yang lengkap iaitu Ketua Kampung Encik Tinting bin Sugulu (Aman Tinting), Pengerusi JKK Encik Semaan bin Ompohol, Ketua Belia Encik Gintaun @ Paulus Tinting dan Ketua Cawangan UMNO Encik Ahwar Rasam. Di kawasan ini tidak dapat pancaran television. Ini menyebabkan pengetahuan masyarakat tentang dunia luar sangat terhad.

Dari segi pembangunan, kampung ini mempunyai sebuah sekolah rendah, sebuah rumah kebudayaan, sebuah rumah kraftangan dan dua buah rumah rehat untuk tetamu. Untuk menghadapi cabaran abad 21 dan ke arah Wawasan 2020 pembangunan yang lebih pesat di kampung ini tidak akan tercapai tanpa pembangunan mental. Keseimbangan pembangunan fizikal dan mental masyarakat hanya boleh diperolehi melalui pendidikan yang berterusan. Untuk ini generasi baru yang ada di sekolah-sekolah hari ini

Page 16: cara pemakahan upsr

perlu diberi perhatian wajar dalam pendidkan. Persoalannya sekarang mengapa pencapaian muruid-murid di Sekolah Kebangsaan Salarom masih diparas membimbingkan. Setelah sekian lama SK Salarom dibuka masih belum ada murid yang lulus dalam peperiksaan UPSR.

Kampung Salarom berjaya dalam pengemblengan tenaga penduduk hingga menjuarai kampung terbaik kebangsaan 1994 dan menerima hadiah wang tunai RM40,000. Namun begitu, dalam bidang pendidikan ternyata jauh tertinggal, sama ada dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik atau pun Bahasa Inggeris. Analisis keputusan UPSR 1994 menunjukkan masih belum ada pelajar yang lulus keempat-empat subjek bagi ke lima-lima sekolah di kawasan ini.

Kelemahan pelajar ini semakin ketara apabila dibuat Ujian Pengesanan Pencapaian (UPP) Tahap Satu bagi murid-murid tahun tiga. Keputusan UPP Tahap 1 didapati hanya seorang calon daripada lima calon sahaja yang lulus dengan Gred C. Apabila dibuat ujian bacaan bagi murid tahun tiga didapati hanya seorang calon sahaja yang boleh membaca. Kebanyakan calon tidak begitu faham makna perkataan dan kurang perbendaharaan kata bahasa Melayu. Dalam pelajaran Matematik pula tidak seorang pun yang tahu atau ingat sifir tiga.

Di Tahap Satu KBSR penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira merupakan asas terpenting sebelum mereka naik ke Tahap Dua yang merupakan tahap pengisian ilmu pengetahuan. Sekiranya tamat tahun tiga, pelajar-pelajar ini masih gagal menguasai kemahiran asas 3M, sudah pasti mereka menghadapi kesukaran untuk mengikuti subjek-subjek khusus pada Tahap Dua kelak. Akhirnya hingga tamat persekolahan Tahun Enam masih ada pelajar yang gagal membaca. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kegagalan membaca kanak-kanak. Crow (1980) mengemukakan dua faktor dalam membaca iaitu penguasaan mekanik membaca dan perkembangan daya untuk mentafsir dengan betul, idea yang dikemukakan dalam bentuk bertulis atau bercetak. Umumnya para penyelidik telah rata-rata bersetuju bahawa membaca adalah berhubung dengan proses sosial, psikilogi, fisikologi, pengamatan, linguistik dan intelek.

OBJEKTIF DAN LIMITASI KAJIAN

Pendidikan yang sempurna dan kebolehbacaan perlu dinikmati oleh semua warga Malaysia selaras dengan kehendak Perlembagaan Malaysia. Kegagalan penguasaan asas menulis, membaca dan mengira peringkat sekolah rendah lebih menyulitkan lagi pelajar-pelajar ini untuk mengikuti dan menguasai pelajaran di sekolah menengah kelak. Oleh itu kajian ini akan meninjau apakah kawasan kelemahan murid dan punca kemerosotan mutu pendidikan pelajar-pelajar SK Salarom dari perspektif guru dan masyarakat setempat.

KEPENTINGAN KAJIAN

Dapatan kajian ini akan menjadi titik tolak bagi Jabatan Pendidikan Bahagian dan Maktab Perguruan Keningau untuk mengatur strategi yang berkesan ke arah peningkatan mutu pendidikan murid-murid di pedalaman Sabah.

KAEDAH KAJIAN

Kajian ini dibuat dengan menggunakan kaedah perpustakaan , soal selidik, temu bual dan kaedah lapangan. Kajian perpustakaan dibuat untuk melihat tentang kajian para sarjana tentang beberapa aspek kegagalan membaca kanak-kanak. Soal selidik diberi kepada murid-murid Tahun Tiga dan Empat untuk melihat latar belakang murid, sikap dan penggunaan bahan sehari-hari pelajar. Temu bual dibuat untuk melihat pendapat, murid, guru dan masyarakat setempat yang berkaitan dengan pendidikan. Di samping itu Ujian Pengesanan Pencapaian Tahap 1 dan Ujian Lisan dikendalikan.

PENGUASAAN KEMAHIRAN ASAS 3M

Latar belakang Sekolah Kebangsaan Salarom

Terdapat seramai 50 murid yang sedang belajar di sekolah ini dari Tahun Satu hingga Tahun Enam. Bilangan murid mengikut kelas adalah seperti berikut:

Tahun 1 - 18 murid

Page 17: cara pemakahan upsr

Tahun 2 - 8 murid

Tahun3 - 5 murid

Tahun 4 - 5 murid

Tahun 5 - 11 murid

Tahun 6 - 3 murid

Jumlah - 50 murid

Berdasarkan bilangan murid, sekolah ini hanya layak menerima lima orang guru sahaja. Oleh itu kelas bercantum mesti dijalankan. Percantuman kelas adalah seperti berikut:

Tahun 1 - 18 murid (1 kelas)

Tahun 2 + 3 - 13 murid (1 kelas)

Tahun 4 + 5 - 16 murid (1 kelas)

Tahun 6 - 3 murid (1 kelas)

Melihat bilangan murid yang sebegini kecil dan jumlah guru seramai 5 orang memungkinkan proses pembelajaran murid dapat dijalankan dengan baik. Namun begitu, keadaan sebaliknya berlaku. Pencapaian pelajaran murid-murid di sekolah ini sangat membimbangkan.

Penguasaan Kemahiran Membaca Murid

Ujian bacaan bagi murid-murid Tahun 3 telah dijalankan dan didapati:

3 murid gagal membaca

kenal abjad a - z

boleh membunyikan sebahagian suku kata terbuka

1 murid gagal membaca

boleh membaca dua suku kata terbuka gagal membaca perkataan yang mengandungi tiga suku kata atau lebih

1 murid boleh membaca

meninggalkan beberapa perkataan salah sebut perkataan yang dibaca keliru dengan perkataan yang hampir sama ejaan

Merujuk keputusan ujian bacaan di atas dapat disimpulkan bahawa keseluruhan murid Tahun 3 belum menguasai kemahiran membaca dan memerlukan pembaikan sepenuhnya.

Penguasaan Kemahiran Lisan murid

Ujian lisan Bahasa Melayu dijalankan untuk meninjau bahasa pertuturan murid dan keupayaan mereka berfikir dalam Bahasa Melayu. Didapati kebanyakan murid Tahun 3:

Page 18: cara pemakahan upsr

1. Gagal menyatakan makna perkataan berdasarkan petikan 2. Tidak fasih bertutur Bahasa Melayu 3. Banyak gangguan dialet Murut 4. Penggunaan ayat-ayat Bahasa Melayu tidak mengikut struktur Bahaya Melayu Baku 5. Menggunakan dialek Melayu Salarom 6. Sukar mengeluarkan pendapat dalam Bahasa Melayu

Kelemahan kemahiran lisan murid berkait rapat dengan sikap murid, kaedah dan teknik pengajaran guru, sikap ibu bapa, penggunaan bahasa sehari-hari pelajar dan pendedahan pelajar kepada Bahasa Melayu Baku.

Penguasan Kemahiran Menulis Murid

Untuk meninjau kemahiran menulis pelajar-pelajar SK Salarom, pemeriksaan buku tulis (buku latihan) murid dibuat. Didapati:

1. Tulisan murid tidak kemas 2. Terdapat banyak salah ejaan 3. Penggunaan tanda baca tidak betul:

noktah penggunaan huruf besar tanda soal

1. Gagal membina ayat mudah2. Penggunaan imbuhan

Kegagalan kemahiran menulis murid ini ada beberapa faktor yang saling berkait rapat, iaitu pendekatan dan perkaedahan yang digunakan oleh guru, kesediaan murid dan galakan ibu bapa.

Penguasan Kemahiran Mengira Murid

Congak matematik dijalankan untuk meninjau secara ringkas tentang kemahiran matematik. Didapati:

Tahun 1 4 murid - gagal menghafal sifir 2

1 murid - gagal menghafal sifir 3

Tahun 2 1 murid - gagal menjawab olahan campur

yang jawapannya satu digit

4 murid - gagal menjawab olahan campur

yang jawapannya dua digit

Tahun 3 5 murid - gagal menjawab olahan bahagi

balikan sifir dua dan tiga

Kemahiran asas congak merupakan aspek penting

dalam kemahiran mengira. Berdasarkan dapatan di atas ternyata murid di sekolah ini memerlukan perhatian yang sewajarnya, khususnya dalam pendekatan dan metodologi pengajaran.

Page 19: cara pemakahan upsr

Merujuk kepada fakta-fakta di atas jelas memperlihatkan kelemahan pelajar dalam penguasan kemahiran asas 3M. Kelemahan penguasan kemahiran asas berbahasa Bahasa Melayu khususnya boleh menjejaskan kelemahan dalam mata pelajaran lain. Ini kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

PERANAN DAN TUGAS GURU

Sekolah Kebangsaan Salarom mempunyai 5 orang guru iaitu seorang guru terlatih (Guru Besar), tiga guru sandaran tidak terlatih dan seorang guru yang sedang mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC). Apabila ditanya tentang minat terhadap kerjaya guru keseluruhannya menyatakan minat.

Antara strategi meningkatkan pendidikan murid adalah dengan cara penggunaan radio/TV pendidikan, penggunaan ABM, penggunaan perpustakaan, aktiviti kebahasaan atau aktiviti berasas kurikulum dan kelas tambahan. Didapati tiada seorang guru yang mengadakan kelas tambahan atau menggunakan radio/TV pendidikan. Penggunaan ABM dalam pengajaran hanya kadang-kadang sahaja, manakala aktiviti kebahasaan atau aktiviti berasaskan kurikulum hanya setahun sekali.

Selain itu menurut pengakuan guru-guru sendiri mereka kurang memberi kerja rumah kepada murid. Guru yang terlibat dengan perpustakaan pula menyatakan tidak ada pengalaman dalam pengurusan buku-buku perpustakaan. Berdasarkan temu bual dengan guru-guru lain di sekolah ini kesemuanya menyatakan tiada kawalan khusus tentang peminjaman dan pemulangan buku-buku perpustakaan. Semua guru yang terlibat dalam pengajaran Bahasa Melayu menyedari ada murid-muridnya yang gagal membaca tetapi kesemuanya menyatakan tidak tahu cara mengatasinya. Semasa temu bual dijalankan kebanyakan guru-guru tidak dapat mengenalpasti kawasan kesukaran membaca murid. Masalahnya sekarang guru-guru yang terlibat mengajar Tahap 1 adalah guru-giuru sandaran tidak terlatih yang tidak mengetahui metodologi bacaan asas kanak-kanak.

Menyentuh tentang penggunaan bahasa sehari-hari pelajar mereka menyatakan hampir 90% murid-murid menggunakan dialek Murut. Dalam tinjauan penyelidikan ini didapati kawasan sekolah terlalu kurang label Bahasa melayu. Hanya ada satu sahaja itu "SELAMAT DATANG KE KG. SALAROM".

PANDANGAN MASYARAKAT SETEMPAT TERHADAP PENDIDKAN

Ibu bapa dan masyarakat sekitar adalah wadah utama yang boleh mempengaruhi minat dan kecendurangan anak-anak belajar selain daripada sekolah. Sebagai ibu bapa seharusnya bersedia memberi kemudahan belajar di rumah. Manakala abang atau kakak yang sudah remaja tinggal bersama sepatutnya sentiasa membantu dan memberi galakan untuk adik-adik belajar. Begitu juga masyarakat setempat haruslah sentiasa memikirkan kanak-kanak dalam setiap aktiviti kemasyarakatan Umumnya kesedaran seluruh ahli masyarakat diperlukan demi untuk meningkatkan mutu pendidikan anak-anak.

Pandangan Belia Dan Belia Wanis

Rata-rata para belia yang tinggal di kampung ini menyatakan rasa pentingnya pelajaran pada hari ini.        Abir bin Rami berumur 20 tahun memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1994 dengan pangkat 2, menyatakan pendidikan merupakan satu aspek yang sangat penting dalam kehidupan. Beliau sendiri telah berulangkali mengambil peperiksaan SPM. Beliau juga menganggap Bahasa Melayu penting dipelajari sebagi alat perhubungan. Namum begitu beliau menyatakan kebanggaannya menjadi orang Murut. Untuk meningkatkan mutu pendidikan saudara Abir mencadangkan agar diadakan kelas bimbingan anjuran belia dan guru-guru. Malah beliau sendiri bersedia untuk memberi sumbangan tenaga jika diperlukan.

Simi bin Morol berumur 23 tahun memiliki Sijil Am Pelajaran, melahirkan rasa kesal kerana tidak belajar bersungguh-sungguh semasa belajar dahulu. Saudara Simi tidak tahu bagaimana cara untuk meningkatkan pendidikan murid-murid sekolah, beliau harap guru dapat mengajar bersungguh-sungguh. Sebagaimana, Abir, Simi juga menganggap Bahasa Melayu penting sebagai alat perhubungan.

Page 20: cara pemakahan upsr

Esei Pedagogi Bahasa

PEMARKAHAN KARANGAN UMUM DAN

KARANGAN UPSR

Oleh Mohd. Isa bin Abd. Razak

PENGENALAN

Soalan subjektif, khususnya karangan, boleh menjadi alat pengukuran yang berkesan jika dilengkapkan dengan peraturan memberi markah (PMM) yang sesuai, diperiksa oleh pemeriksa yang cekap dan ada penyelarasan antara pemeriksa-pemeriksa. PMM, kecekapan pemeriksa dan penyelarasan pemeriksaan adalah perkara mesti jika ujian itu ialah ujian pencapaian dan pemeriksanya lebih daripada seorang. Keperluan PMM pula tetap menjadi perkara mesti bagi soalan esei walaupun pemeriksanya hanya seorang. Berbagai-bagai faktor di luar dan di dalam diri si pemeriksa itu sentiasa sahaja mempengaruhi kebolehpercayaan pemarkahannya.

Kertas ini membincangkan secara ringkas PMM bagi karangan. Tumpuan perbincangan ialah pada aspek amali pemarkahan karangan. Beberapa contoh PMM karangan dikemukakan. Pemarkahan karangan peringkat sekolah rendah diberi perhatian istimewa dengan harapan kecemerlangan pendidikan bahasa kita semerbak sejak peringkat sekolah rendah lagi. Bagaimanapun, contoh-contoh PMM yang dikemukakan di sini tidak semestinya sama dengan PMM dalam ujian sebenar. Sebagai melengkapkan kertas ini, dibincangkan juga teknik memarkah, penyelarasan dan beberapa isu yang berkaitan dengan pemeriksaan karangan.

PERATURAN MEMBERI MARKAH

Sebelum memeriksa karangan, kita perlu menyediakan PMM. Bagi ujian sumatif seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMM telah disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Amnya, ada dua teknik membina PMM iaitu teknik global (impresif, holistik, tanggapan) dan teknik analisis (perincian) (Abdul Aziz (1993: 155). Pemarkahan

Page 21: cara pemakahan upsr

global boleh digabungkan dengan pemarkahan analisis, dan boleh dinamakan teknik eklektik.

Teknik Global

Global atau holistik bermaksud menyeluruh. Rasional teknik ini ialah keseluruhan lebih penting daripada bahagian. Berasaskan rasional ini, pemeriksa melakukan penilaian secara keseluruhan terhadap sesuatu karangan. Karangan itu dibaca sekali lalu untuk menganggarkan prestasi calon berasaskan sesuatu skala seperti gred A hingga E. Pemeriksa meletakkan nilainya sendiri terhadap karangan itu. Katakan pemeriksa memberi gred B. Karangan itu dibaca sekali lagi untuk mengenal pasti kekuatan-kekuatan dan kesilapan-kesilapannya pula. Sesudah itu dimuktamadkanlah markahnya.

Cara ini amat subjektif, memerlukan pemeriksa yang cukup mahir dan berkebolehan membaca secara kritikal. Amat subjektif bermakna kebolehpercayaan pemarkahan amat rendah. Bagaimanapun, kebolehpercayaan pemarkahan pemeriksa itu dapat ditinggikan sedikit melalui penyelarasan antara para pemeriksa dan penyediaan model jawapan untuk rujukan bersama.

Satu lagi teknik global dilakukan melalui perbandingan. Dengan teknik ini pemeriksa membaca karangan berkenaan sekali lalu dan menyusunnya mengikut kualiti. Karangan terbaik diletakkan di atas dan yang paling lemah diletakkan di bawah sekali. Kesemua karangan itu dibaca sekali lagi untuk memastikan kedudukannya. Kemudian ditentukan peratus A, B, C dan seterusnya. Teknik bandingan ini sesuai untuk memarkah esei panjang seperti kerja projek. Teknik ini juga sesuai untuk memilih esei, cerpen, sajak, novel dan lain-lain bagi sesuatu peraduan, terutamanya pada peringkat saringan. Satu contoh PMM teknik global diberi dalam Lampiran A.

Teknik Analisis

Markah diberi berdasarkan kriteria tertentu. Sekiranya jawapan calon mempunyai banyak unsur yang dinyatakan dalam kriteria itu, maka tinggilah markahnya. Pemarkahannya sistematik dan kebolehpercayaannya tinggi. Pemeriksa pula tidak semestinya pakar dalam bidang berkenaan. Teknik pemarkahan ini sesuai untuk ujian pencapaian dan boleh juga digunakan untuk ujian formatif kerana ia boleh digunakan untuk tujuan diagnostik dan memberi maklumat kembali kepada pelajar dan pengajar.

(a) Perincian Aspek Karangan Biasa

Teknik ini digunakan untuk memarkah karangan berdasarkan peruntukan markah tertentu. Bagi karangan Bahasa Melayu, pembahagian markah mungkin seperti di bawah.

Isi = 30%

Bahasa = 40%

Gaya dan Olahan = 30%

Jumlah = 100%

Bagi isi, tetapkan jumlah isi dan gunakan skala global 10 mata atau teknik analisis. Jika skala global 10 mata dipilih, kriterianya hendaklah berkaitan dengan isi. Jika teknik analisis digunakan, butirkan pembahagian markah dan sertakan contoh-contoh isi. Bagi aspek bahasa, gunakan sistem tolak iaitu tolak satu markah bagi setiap kesalahan bahasa seperti struktur frasa, struktur ayat, penggunaan kata, ejaan dan sebagainya. Bagi gaya dan pengolahan, gunakan skala global 10 mata. (Lihat Lampiran C.)

Page 22: cara pemakahan upsr

Sebenarnya teknik analisis ini boleh dinamakan teknik gabungan kerana jelas dicampurkan unsur global dengan unsur analisis. Teknik ini amat sesuai digunakan untuk menguji kemahiran bahasa kerana 70% daripada markah diperuntukkan bagi aspek-aspek bahasa dan penglahirannya. Teknik ini juga amat berguna untuk tujuan menganalisis kesilapan. Lazimnya, isi diberi pemberatan separuh atau lebih daripada separuh. Kelaziman itu sesuai untuk memarkah esei pengajian tinggi seperti mata pelajaran Pengajian Am, Sijil Tinggi Persekolahan dan tugasan-tugasan tertentu bagi Sijil Perguruan Malaysia.

(b) Perincian Aspek Karangan Berformat

PMM analisis karangan berformat selalunya lebih terperinci. Katakan kita telah meyediakan soalan berbentuk wawancara. Markah penuh bagi soalan itu ialah 15. Kita boleh menggunakan nisbah 2:2:1 bagi aspek bahasa, isi dan format. Dengan kata lain bahasa diperuntukkan enam markah, isi diperuntukkan enam markah dan format diperuntukkan tiga markah.

Perincian Markah Bahasa

Laras dan gaya 2 markah

Tanda baca 1 markah

Ayat, ejaan dll. 3 markah

Perincian Markah Isi

Dalam pendahuluan 1 markah

Dalam susulan 4 markah

Dalam penutup 1 markah

Perincian Markah Format

Nama penyoal ½ markah

Nama tetamu ½ markah

Tajuk ½ markah

Pendahuluan ½ markah

Pemerengganan ½ markah

Penutup ½ markah

TEKNIK MEMARKAH

Katakanlah kita akan memarkah sebuah karangan. Pemarkahan boleh dilakukan berdasarkan susunan kertas iaitu kita periksa jawapan calon A, diikuti dengan calon B dan seterusnya. Pemarkahan boleh juga dilakukan berdasarkan tajuk karangan. Misalnya, mula-mula kita periksa semua karangan "Cita-cita Saya". kemudian kita periksa pula karangan "Faedah Membaca", dan seterusnya tanpa mengikut susunan kertas ujian.

Page 23: cara pemakahan upsr

Kedua-dua cara ini boleh digunakan. Jika kertas yang hendak diperiksa itu banyak, cara kedua lebih berkesan kerana pemeriksa dapat menumpukan fikirannya kepada isi tajuk berkenaan. Jika kertas itu mengandungi lebih daripada satu soalan karangan, cara kedua perlu diutamakan kerana dengan cara ini fikiran kita tidak disela oleh pelbagai isi karangan yang lain; apa lagi jika skema pemarkahannya berbeza-beza. Mokhtar (1995: 110) menyatakan, cara ini boleh menghindarkan pemeriksa daripada dipengaruhi oleh soalan sebelumnya ketika memeriksa butiran seterusnya.

Bagi ujian formatif, elok diwujudkan kebiasaan merahsiakan nama calon seperti yang dilakukan dalam peperiksaan awam. Dengan cara ini kita dapat mengurangkan kesan emosi yang dinamakan kesan halo. Bagi ujian formatif juga, skema pemarkahan sepatutnya diberitahu kepada pelajar.

PENYELARASAN

Dalam peperiksaan awam, penyelarasan pemarkahan item esei memang sentiasa dilakukan. Amalan ini elok dilaksanakan di sekolah bagi kedua-dua jenis ujian, sumatif dan formatif, jika pemeriksanya lebih daripada seorang. Penggubalan kertas soalan bagi ujian semester dan tahunan yang dipusatkan dalam sesuatu mukim atau daerah sangat digalakkan. Usaha ini perlu disempurnakan dengan penyelarasan pemarkahan.

Penyelarasan boleh meninggikan kebolehpercayaan pemarkahan. Mereka yang menghadiri mesyuarat penyelarasan memeriksa sampelan jawapan calon. Kemudian, dibincangkan sebab-sebab markah yang diberi itu terlalu tinggi atau terlalu rendah. Melalui perbincangan, pemeriksaan semula, perubahan terhadap skema dan sebagainya, perbezaan markah di antara pemeriksa-pemeriksa itu boleh diminimumkan. Lazimnya penyesuaian atau moderasi markah dilakukan dalam penyelarasan apabila selisih markah antara pemeriksa melebihi 5%.

PEMARKAHAN KARANGAN UPSR

ertas Bahasa Melayu (Ujian Penulisan) UPSR mengandungi dua soalan yang dinamakan Soalan 1 dan Soalan 2. Calon dikehendaki menjawab kedua-dua soalan. Bagi Soalan 1, calon boleh memilih sama ada Soalan 1 (a) atau Soalan 1 (b). Bagi Soalan 2, calon tidak diberi pilihan.

Pemarkahan yang sesuai bagi kertas ini ialah teknik analisis. Jika markah penuh 50, markah bagi setiap soalan ialah 25 markah. Oleh sebab Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah menekankan kemahiran berbahasa, nisbah markah bahasa wajar melebihi markah isi. Pecahannya ialah 15 markah bagi bahasa dan 10 markah bagi isi

Perincian markah bahasa di bawah ini lazimnya digunakan.

(a) Perbendaharaan kata 3 markah

(b) Struktur ayat 3 markah

(c) Penggunaan imbuhan 3 markah

(d) Penggunaan tanda baca 3 markah

(e) Ejaan 3 markah

Bagi komponen perbendaharaan kata dan struktur ayat, markah boleh diberi secara global. Markah penuh diberi jika calon berjaya memperlihatkan keluasan penggunaan perbendaharaan kata dan menggunakan pelbagai jenis dan ragam ayat. Bagi komponen-

Page 24: cara pemakahan upsr

komponen yang lain, sistem pemotongan markah boleh digunakan. Potong setengah markah bagi setiap kesalahan penggunaan imbuhan, penggunaan tanda baca, dan ejaan. Markah tidak dipotong bagi kesalahan yang berulang. Ini bermakna calon boleh kehilangan sembilan daripada 15 markah bahasa.

Markah isi pula boleh diagihkan seperti di bawah:

Pendahuluan 1 markah

4 isi x 2 markah 8 markah

Penutup 1 markah

Agihan markah isi ini boleh digunakan untuk kesemua soalan. Di bawah ini diberikan beberapa contoh umum berdasarkan soalan UPSR yang sebenar.

1992: Soalan 1 (a) Empat cara menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.

Soalan 1 (b) Empat cara kita boleh menggembirakan ibu bapa.

1993: Soalan 1 (a) Empat episod peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

Soalan 1 (b) Empat cara menggunakan wang, jika saya ada banyak wang.

1994: Soalan 1 (a) Empat cara menjaga kesihatan badan.

Soalan 1 (b) Empat faedah bersukan.

1995: Soalan 1 (a) Empat episod cerita aneh.

Soalan 1 (b) Empat gambaran Hari Kebangsaan yang telah disaksikan.

1996: Soalan 1 (a) Empat cara menjaga kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal.

Soalan 1 (b) Empat faedah membaca.

1997: Soalan 1 (a) Empat cara mengenang jasa ibu bapa.

Soalan 1 (b) Empat kepentingan kerjasama di kalangan murid.

Pembahagian markah isi tidaklah terlalu rigid. PMM yang baik lazimnya menyatakan bahawa pemeriksa boleh mempertimbangkan markah yang sesuai bagi isi yang berkaitan dengan soalan walaupun isi-isi itu tidak tercatat dalam PMM. PMM yang baik juga disertai contoh rangka jawapan. Di bawah ini diberikan satu contoh rangka jawapan bagi Soalan 1 (b) tahun 1996:

Pendahuluan (1 markah)

Amalan membaca sangat bermanfaat kepada manusia.

Isi (2 markah x 4 isi)

1. Meluaskan pengetahuan yang dipelajari dalam bilik darjah. 2. Menambah pengalaman melalui cerita benar atau pengembaraan.

Page 25: cara pemakahan upsr

3. Menambah perbendaharaan kata. 4. Mendapat keseronokan atau kepuasan melalui cerita-cerita rekaan.

Penutup (1 markah)

Tabiat membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi.

Bagi soalan yang memerlukan format, calon mesti menulis karangan dalam format yang dikehendaki. Pemeriksa boleh memotong sehingga tiga markah daripada keseluruhan markah yang diperoleh bagi item yang berkenaan. Perhatikan contoh penerangan tentang hal ini yang sesuai untuk PMM sekolah rendah:

Soalan 1 (a) jika tidak ditulis dalam bentuk dialog, tolak tiga markah.

Soalan 1 (b) jika tiada pendahuluan, tolak satu markah; jika tiada kata penegasan di tengah karangan, tolak satu markah; dan jika tiada penutup, tolak satu markah.

Sebelum tahun 1996, Kertas Bahasa Melayu (Ujian Penulisan) UPSR mensyaratkan calon menulis karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 80 patah perkataan. Apabila frasa tidak kurang daripada 80 patah perkataan digunakan, PMM perlu menerangkan sistem pemotongan markah jika calon menggunakan lebih daripada 80 patah perkataan. Cadangan pemotongan markah bagi karangan yang pendek adalah seperti yang berikut:

60 -- 75 patah perkataan: tolak satu markah daripada jumlah markah yang diperoleh untuk soalan itu.

50 -- 59 patah perkataan: tolak dua markah daripada jumlah markah yang diperoleh untuk soalan itu.

40 -- 49 patah perkataan: tolak tiga markah daripada jumlah markah yang diperoleh untuk soalan itu.

39 patah perkataan ke bawah: peruntukan markah tidak boleh melebihi 10 daripada 25 markah.

Mulai tahun 1996, had maksimumnya perkataan yang boleh digunakan oleh calon dicatatkan dalam arahan, iaitu tidak melebihi 120 patah perkataan. PMM perlu memberikan garis panduan kepada pemeriksa jika calon melanggar had maksimum yang ditetapkan itu. Lazimnya, pemeriksa tidak perlu menilai bahagian yang melebihi had maksimum itu. Dengan kata lain, calon tidak diberi sebarang markah untuk perkara yang ditulis selepas had maksimum itu. Penggunaan perkataan melebihi had maksimum itu juga tidak membabitkan pemotongan markah. Namun demikian, calon dijangka akan kehilangan markah isi jika isinya, khususnya penutup, terkandung dalam perkataan-perkataan yang melebihi had maksimum itu.

Pemeriksaan secara analisis untuk karangan sekolah rendah sudah tentu memerlukan pemeriksa yang teliti. Pemeriksa perlu membaca karangan itu sekali lalu terlebih dahulu untuk mendapatkan kesan dan menentukan jumlah perkataan yang digunakan oleh calon. Kemudian karangan itu dibaca sekali lagi untuk menimbangkan markahnya yang sebenar berdasarkan ketetapan cara pemberian markah. Ketika membaca, pemeriksa perlu menanda isi dan kesalahan-kesalahan seperti Rajah 1.

Apabila penandaan telah selesai dilaksanakan, tuliskan markah yang telah dipertimbangkan itu pada sebelah kanan bahagian bawah karangan seperti dalam Rajah 2.

Page 26: cara pemakahan upsr

Rajah 1: Penandaan Karangan

Aspek Pecahan Markah

Isi (a) 8

Bahasa (b) 3

  (c) 2

  (d) 3

  (e) 2

Jumlah 18

- Format 0

- Bilangan perkataan -1

JUMLAH 15

Rajah 2: Catatan Markah

Biasa markah penuh yang diberi adalah dalam angka bulat. Jika calon mendapat 85½ markah daripada 100, markah itu boleh dibulatkan menjadi 86. Namun demikian, apabila nilai ½ markah itu dari segi peratusnya begitu tinggi, pembulatan itu tentulah kurang wajar. Bagi kertas Bahasa Melayu (Ujian Penulisan) UPSR, ½ markah bernilai 2%. Pembulatan markah bagi kes ini kurang wajar.

Markah muktamad hendaklah ditulis di penjuru sebelah kanan halaman pertama karangan calon. Bagi karangan yang terpesong, peruntukan markah tidak boleh melebihi lima markah.

BEBERAPA ISU

Penandaan Kesilapan

Penandaan kesilapan boleh dilakukan berpandukan Rajah 1 atau cara-cara yang difikirkan sesuai (lihat Abdul Aziz Abdul Talib, 1993: 278-279). Penandaan kesilapan sangat penting bagi ujian sumatif. Dalam ujian sumatif lazimnya sampelan kertas yang telah diperiksa oleh pemeriksa akan disemak semula oleh ketua pasukan. Sampelan kes lulus biasa, semua kes gagal dan semua kes cemerlang mungkin juga akan disemak oleh ketua pemeriksa. Penandaan kesilapan itu akan memudahkan ketua pasukan dan ketua pemeriksa melaksanakan tugas mereka.

Page 27: cara pemakahan upsr

Bagi ujian formatif, kesilapan yang telah ditanda pada kertas jawapan boleh menjadi sumber maklumat yang sangat berguna untuk guru dan murid. Guru boleh menggunakannya untuk menganalisis kesilapan dan mengadakan tindakan susulan. Pelajar pula dapat mengetahui kelemahan mereka dan boleh berusaha membaiki kelemahan yang ditunjukkan itu.

Pemeriksa boleh juga menggunakan tanda-tanda penyuntingan jika sasaran memahami tanda-tanda penyuntingan itu. Penandaan kesilapan dan penyuntingan dengan menggunakan tanda-tanda penyuntingan sangat sesuai dilakukan di sekolah menengah dan peringkat pengajian tinggi bagi ujian-ujian formatif, khususnya latihan harian.

Dua Ekstrem

Pemeriksa mungkin sukar membuat keputusan apabila bertemu dengan keadaan yang bertentangan. Yang pertama ialah isi jawapan calon sangat tepat dan matang, tetapi ada masalah dari segi bahasa. Antara masalah bahasa yang lazim berlaku ialah kesilapan struktur frasa dan ayat, kurang keragaman susuk ayat dan kesilapan penggunaan tanda baca. Peringkat tertinggi bagi kes ini ialah peringkat B. Yang kedua ialah isi jawapan calon terpesong terus, tetapi prestasi bahasanya cemerlang. Peringkat tertinggi yang boleh diberi kes ini ialah peringkat D.

PENUTUP

Berbanding dengan butiran berbilang pilihan, butiran subjektif, khususnya karangan, mudah digubal. Namun demikian penyediaan PMM dan usaha memarkah butiran subjektif menuntut kesungguhan yang bukan kepalang. Pemeriksa mestilah melaksanakan tugasnya secara profesional dan bersungguh-sungguh. Penguasaan yang mendalam terhadap subjek yang diperiksa juga sangat dituntut. Pemeriksa terdedah kepada tuduhan tidak adil jika gagal mengesan kesilapan calon atau menyalahkan sesuatu yang sememangnya sudah betul.

Abu Bakar Nordin (1986: 220) menyarankan pemeriksa melakukan tugasnya semasa fikiran tenteram dan di tempat yang sesuai. Namun demikian, jika masih terdengar rungutan daripada calon setelah segala usaha dilakukan sebaik mungkin, pemeriksa boleh secara bersahaja meluahkan rasa, "Memang sudah adat benda subjektif!"

BIBLIOGRAFI

Abdul Aziz Abdul Talib, (1993). Menguji Kemahiran Bahasa: Prinsip, Teknik dan Contoh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 28: cara pemakahan upsr

Abu Bakar Nordin, (1986). Asas Penilaian Pendidikan. Petaling Jaya: Longman.

Azman Wan Chik, (1994). Pengujian Bahasa: Kes Bahasa Melayu, Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahir Publications, (1997). Koleksi Kertas UPSR Bahasa Malaysia. Shah Alam: Mahir Publications Sdn. Bhd.

Mohd. Isa Ab. Razak, (1988). "Soalan Subjektif: Teknik Penggubalan dan Skema Pemarkahan". Kertas kerja. Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban.

Mokhtar Ismail, (1995). Penilaian di Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raminah Haji Sabran, (1991). Penilaian dan Pengujian Bahasa Malaysia, Penerapannya pada Peringkat Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Isa b. Ab. Razak adalah Ketua Jabatan, Jabatan Bahasa, Maktab Perguruan Keningau, Sabah.

LAMPIRAN A

TEKNIK GLOBAL

Soalan 1: Karangan (100 markah)

Calon dikehendaki memilih dan mengarang satu tajuk sahaja. Panjang karangan kira-kira 350 patah perkataan seperti yang ditetapkan itu adalah panduan sahaja. Tidak ada potongan markah bagi karangan yang kurang atau lebih daripada 350 perkataan.

Panduan Am

Pemeriksa hendaklah membaca karangan itu sekali lalu untuk mendapatkan kesan dan menganggarkan peringkat karangan itu sambil memerhatikan perkara-perkara berikut:

Bahasa dan Gaya. Menggunakan bahasa yang betul, lancar dan jelas. Gaya bahasanya sesuai dengan tajuk karangan.

Isi dan Susunan. Mempunyai sekurang-kurangnya lima isi yang sesuai; memperlihatkan kematangan fikiran, tersusun dan baik penyampaiannya.

Pemberian Markah

Setelah membaca karangan itu sekali lalu, tetapkan peringkat yang sesuai berdasarkan peringkat-peringkat di bawah ini.

Peringkat A (75--100 markah)

Takrif terhadap tajuk karangan yang dipilih tepat. Bahasa lancar dan bersih daripada kesalahan tatabahasa: struktur ayat, imbuhan, perenggan, tanda baca, peribahasa dan lain-lain. Susuk ayat beragam dan penggunaan perbendaharaan katanya luas dan tepat. Isinya cukup dan berkembang, lengkap dengan contoh-contoh yang sesuai. Pengolahannya sangat menarik dan berkesan. Hujah-hujahnya sangat logik dan memperlihatkan ciri-ciri kematangan fikiran yang tinggi.

Peringkat B (60--74 markah)

Page 29: cara pemakahan upsr

Takrif terhadap tajuk karangan yang dipilih masih lagi tepat. Bahasa memuaskan. Keragaman susuk ayat kurang sedikit. Perbendaharaan katanya sederhana. Isinya cukup dan pengolahannya agak menarik. Terdapat juga ciri-ciri kematangan fikiran dalam penulisannya.

Peringkat C (40--59 markah)

Takrif terhadap tajuk karangan yang dipilih kurang tepat. Ada kesalahan tatabahasa tetapi dapat dimaafkan. Tidak menunjukkan keanekaragaman susuk ayat. Perbendaharaan katanya terhad, mudah dan kurang tepat. Isinya kurang: ada yang cocok, ada yang tidak sesuai. Pengolahannya kadang kala kabur.

Peringkat D (30--39 markah)

Tajuk karangan kurang difahami. Terdapat kesilapan tatabahasa yang tidak boleh dimaafkan. Susunan bahasanya membayangkan penguasaan bahasa yang kurang mantap. Perbendaharaan katanya tidak tepat. Pengolahan dan penyusunannya agak lemah dan tidak teratur. Isinya sipi.

Peringkat E (1--10 markah)

Tajuk karangan tidak difahami langsung. Penguasaan bahasanya lemah. Struktur ayat berkecamuk. Olahannya mengelirukan dan sukar difahami. Perbendaharaan katanya salah. Isinya terpesong.

Kesimpulan

Baca karangan itu sekali lagi dengan teliti untuk menimbangkan markah yang sebenar. Sambil membaca itu, tandakan kesalahan-kesalahan bahasa, isi dan ejaan. Bagi kesalahan ayat, frasa dan perkataan, buat garisan di bawah kesalahan itu. Bagi kesalahan isi, kurungkan perenggan atau ayat yang mengandungi kesalahan isi dengan kurungan. Bagi kesalahan ejaan, tandakan dengan satu palang / dan kesalahan ejaan yang sama tandakan dengan dua palang //. Bagi kesalahan tanda baca buat bulatan pada bahagian yang berkenaan. Potong setengah markah bagi tiap-tiap kesalahan ejaan. Markah tidak dipotong bagi kesalahan yang berulang. Potongan maksimum kesalahan ejaan ialah lima markah. Tulis markah yang telah dipertimbangkan di sebelah kanan bahagian bawah karangan. Contoh: Keseluruhan 70

Tolak Ejaan -4

Jumlah 66

Bagi karangan yang berbentuk perbahasan, calon dikehendaki menulis kontra kepada tajuk itu. Tajuk itu sendiri dianggap sebagai pro atau pencadang dalam karangan itu. Untuk karangan yang berbentuk perbincangan, calon dikehendaki menulis pro dan kontra. Bagi karangan yang berbentuk cerpen dan peribahasa pula, sesuaikan kriteria. 

LAMPIRAN B

TEKNIK ANALISIS

Karangan Berformat: Berita

Format 4 markah

Isi 6 markah

Bahasa 5 markah

Perincian Markah Format

Page 30: cara pemakahan upsr

Tajuk berita ½ markah

Nama penulis ½ markah

Tempat berlaku ½ markah

Tarikh ½ markah

Pemerengganan 1 markah

Penutup 1 markah

Jumlah 4 markah

Perincian Markah Isi

Isi dalam intro 2 markah

Isi dalam susulan 3 markah

Isi dalam penutup 1 markah

Jumlah 6 markah

Perincian Markah Bahasa

Laras dan gaya 1½ markah

Tanda bacaan ½ markah

Ayat, ejaan dll. 3 markah

Jumlah 5 markah

LAMPIRAN C

TEKNIK EKLEKTIK

Soalan 1: Karangan (20 markah)

Calon dikehendaki menjawab satu soalan sahaja. Pemarkahan untuk semua jawapan adalah seperti yang berikut:

Bacaan pertama untuk mengesan isi dan menggredkan pengolahan. Bacaan kali kedua untuk menandakan kesilapan dan memastikan markah pengolahan.

Isi = 10 markah

Pengolahan = 10 markah

Jumlah = 20 markah

(a) Teknik Analisis untuk Isi

Page 31: cara pemakahan upsr

Isi (10 markah). Dikehendaki sekurang-kurangnya empat isi. 4 isi x 2½ markah = 10 markah. Beri markah penuh bagi isi yang tepat dan lengkap. Jika isi melebihi empat, beri satu markah bonus asalkan tidak melebihi markah maksimum keseluruhan. Beri satu markah sahaja bagi isi yang kurang tepat atau kurang lengkap.

Contoh isi:

(Skema sebenar menyenaraikan isi bagi semua soalan. Di sini diturunkan contoh isi bagi satu soalan sahaja.)

Soalan (a) Faktor sosial yang menentukan penggunaan kata ganti diri:

- Kelas sosial

- Kedudukan ekonomi atau pekerjaan dalam keluarga

- Umur

- Situasi formal dan tidak formal

-Jawapan-jawapan lain yang sesuai

(b) Teknik Global 10 Mata untuk Pengolahan

Pengolahan (10 markah). Bagi kesalahan ayat, frasa dan perkataan: tandakan dengan garisan di bawah kesalahan berkenaan. Bagi kesalahan isi, tandakan dengan kurungan. Bagi kesalahan ejaan: tandakan dengan satu garis miring ke kanan (back slash). Bagi kesalahan ejaan yang sama, tandakan dengan dua garis miring ke kanan. Bagi kesalahan tanda bacaan: tandakan dengan bulatan. Potong ½ markah bagi tiap-tiap kesalahan ejaan. Markah tidak dipotong bagi kesalahan yang berulang (dua palang). Potongan maksimum kesalahan ejaan ialah dua markah. Tulis markah yang telah dipertimbangkan di sebelah kanan bahagian bawah karangan seperti contoh di bawah ini:

Isi 7/10

Pengolahan 6/10

Jumlah 13/20

- E - 1

Jumlah akhir 12/20

Peringkat A (9--10 markah) Takrif terhadap tajuk esei tepat dan bahasa lancar. Tiada kesalahan tatabahasa. Susuk ayat beragam. Penggunaan perbendaharaan katanya luas dan tepat. Pengolahannya sangat menarik dan berkesan. Hujah-hujahnya sangat lojis dan memperlihatkan ciri-ciri kematangan fikiran yang tinggi.

Peringkat B (7--8 markah) Takrif terhadap tajuk esei masih lagi tepat. Bahasanya memuaskan. Keragaman susuk ayat kurang sedikit. Perbendaharaan katanya agak sederhana. Pengolahannya agak menarik. Terdapat juga ciri-ciri kematangan fikiran dalam penulisannya.

Peringkat C (5--6 markah) Takrif terhadap tajuk esei kurang tepat. Terdapat kesalahan tatabahasa--dapat dimaafkan. Tidak menunjukkan keanekaragaman susuk ayat. Perbendaharaan katanya terhad, mudah dan kurang tepat. Pengolahannya kadang kala kabur.

Page 32: cara pemakahan upsr