Cerpen Wan Norazlina BM2

Embed Size (px)

DESCRIPTION

lokman oh lokman

Citation preview

CERPENLoqman mana? Kenapa lama cikgu tak nampak dia? soalku kehairanan. Memang agak menghairankan sudah lama Loqman tidak kelihatan.

Loqman tak datang cikgu, dia kalau ada sains memang dia tak datang, Si Senah menyampuk. Senah, nama gelaran ku bagi pada murid ku yang memang becok mulutnya macam makcik-makcik. Namanya Hasanah, saja ku panggil Senah, biar dia tahu mulut dia memang macam orang tua-tua. Yang hairannya, dia hanya senyum bila aku panggil dia dengan nama itu.

Kenapa pula? soalku lagi. Dia takut dengan cikgu, Azizul ketua kelas 5 Arif pula menjawab.Aku hanya mendiamkan diri. Memang aku akui aku agak garang. Kalau ada yang tidak menyiapkan kerja rumah yang aku bagi memang akan ku denda, aku akan marah-marah, adakalanya aku menjerit. Bukan apa kelas yang aku ajar adalah kelas hujung, kelas murid-murid lemah. Selalunya aku tak akan memberi kerja rumah yang banyak untuk mereka. Sekadar mereka perlu menyiapkan sedikit sahaja. Selalunya aku akan memberi masa untuk menyiapkan dahulu sedikit di sekolah setelah selesai aku mengajar. Kemudian di sambung di rumah. Dan jangka masa untuk mereka menyiapkan bukan sehari, kadang kala aku beri masa seminggu. Tapi itupun ramai yang tak dapat menyiapkannya. Dan dengarlah pelbagai alasan dari mulut kecil mereka. Selalu alasannya lupa, jaga adik, pergi Tesco. Pergi Tesco seminggu tak balik-balik.. memang alasan yang diberikan menyakitkan hati, jiwa dan kadang-kadang membuatkan aku sakit kepala.

Loqman murid yang pada aku pintar, walaupun dia berada di kelas hujung. Walaupun sering tak datang, tidak ada ketika aku mengajar, namun setiap kali peperiksaan, dia akan lulus dalam matapelajaran sains walaupun hanya cukup-cukup makan. Rakan-rakannya yang lain walaupun datang setiap hari ramai yang masih gagal. Sebab itu aku rasa cukup sayang jika Loqman tidak hadir ke sekolah. Dia sememangnya kerap tidak menyiapkan kerja sekolahnya, tulisannya amat menyakitkan hati. Cakar ayam lagi cantik dari tulisannya yang besar-besar, hitam macam pensil ditekan dengan kuat dan kelam kabut. Dia juga agak lambat menyiapkan nota di papan putih.

Orangnya kecil sahaja. Muka saling tak tumpah seperti abangnya. Abangnya Izzuddin. Ya, sampai sekarang tak mungkin aku melupakan Izzuddin walaupun sudah bertahun-tahun berlalu. Rasanya dia sekarang sudah berumur 18 atau 19 tahun. Aku mengajar abangnya dari darjah lima. Bezanya waktu itu abangnya berada di kelas pertama, tapi tulisan, muka, kelakuan lebih kurang tak jauh beza dengan Loqman. Orangnya juga pendiam seperti Loqman, tidak berkawan, kerja sekolah kadang-kadang tak siap, tulisan yang memang menyakitkan hati. Tapi apa yang membuatkan aku mengingati Izzuddin kerana satu peristiwa ketika dia dalam darjah lima.

Aku selalu menegur dia kerana pakaiannya yang berlemuih, tidak bersih, berbau dan gigi yang tebal dengan taik gigi. Patutlah dia tak banyak bercakap. Aku panggil dia, tanya dia gosok gigi ke tidak pagi tadi, dia hanya menggeleng dengan menundukkan mukanya. Berapa lama kamu tak gosok gigi Izzuddin?, soal ku lagi dengan agak keras. Dia hanya diam. Kenapa tak gosok gigi?, tanyaku bertubi-tubi. Berus gigi hilang, jawabnya perlahan. Bila hilangnya?, dia hanya diam. Aku tanya lagi dengan agak kuat, geram juga bila kita tanya dia tak mahu menjawab. masa darjah 4, jawabnya perlahan.

Aku tergamam, nak gelak pun ada, terkejut pun ada. Maknanya sudah setahun dia tak gosok gigi. Aduhhhhh .. aku tak mampu nak cakap apa lagi, aku suruh dia duduk. Dalam kepala berfikir-fikir kenapa la dia jadi begitu. Ibu bapanya ada, mungkinkah dia diabaikan. Tak kan anak tidak ada berus gigi sampai setahun. Tak kan mak ayahnya tak tengok fizikal anak, pakaian anak, terbiar sungguh.

Kak Norsiah, guru bahasa inggeris kelasnya dengan rela hati menghadiahkan set mandian untuk Izzuddin. Aku? Guru kelasnya? Apa aku buat waktu itu.. aku hanya menceritakan kisah itu pada kawan-kawan ku tapi tidak terfikir untuk membantunya. Naifnya aku waktu itu. Tapi bila aku mengenali ibunya, barulah aku memahami kenapa Izzuddin begitu. Ibunya masih muda, mungkin sebaya aku, tapi fizikalnya, cara jalannya, pendiam, tak banyak bercakap memang sama dengan Izzuddin. Ibunya ketika itu bekerja sebagai tukang sapu di sekolah. Tapi tak lama kerana dengarnya dia dibuli. Entahlah, aku memang cukup bersimpati dengan keluarga ini. dan kini Loqman juga begitu. Pendiam, comot dan kini tak mahu pula ke sekolah jika aku ada. Loqman oh Loqman. Cikgu marah bukan kerana benci, tak suka, cikgu marah sebab cikgu tahu kamu murid yang boleh, pandai dan jika betul-betul datang ke sekolah, kamu boleh berjaya lebih baik dari rakan-rakan. Mungkin kamu tak akan duduk di kelas hujung lagi.

Loqman satu antara seribu masalah murid-murid yang berada di kelas hujung. Kebanyakan mereka terbiar, dari keluarga yang susah, keluarga yang bercerai berai, anak-anak yatim. Mungkin itu sebabnya mereka terbiar dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Seorang lagi murid juga sekelas dengan Loqman juga tidak hadir ke sekolah. Rasanya sudah berbulan-bulan. Bila ditanya pada kawan-kawannya, meraka menjawab dia takut cikgu. Tak tahulah cikgu yang mana. Aku lagi ke??? Ramainya tak datang sekolah sebab aku. Tapi murid ini memang kasihan. Aku panggil dia Daniel. Nama penuhnya Al Daniel Ramadhan. Kecil-kecil dan manis orangnya. Selalu tersenyum, tapi pakaian lebih kurang Loqman. Terbiar. Abangnya pernah aku ajar dulu, berbeza dengan adiknya, abangnya berbadan besar tapi tetap comot. Pakaiannya dibasuh sendiri. Seluar birunya luntur, bila di tanya kenapa jadi begitu, jawabnya dia tersilap terendam sekali seluar dalam bekas yang ada klorok. Kanak-kanak sebesar itu terpaksa menguruskan keperluan diri sendiri. Ibu bapanya terpaksa bekerja, jadi mereka adik beradik akan bergilir-gilir menjaga adik kecil di rumah. Memang mereka kerap tak hadir, dari abangnya, kini adiknya juga begitu. Lagi-lagi sekarang bapanya sudah meninggal dunia. Ibunya seorang menyara mereka 5 beradik. Yang paling kecil pula baru berusia beberapa tahun.

Tak terbayang rasanya keperitan yang ditanggung oleh mereka, sedangkan ada ayah pun mereka susah, inikan pula bila ayahnya sudah meninggal. Aku ada bertanya pada Daniel tentang kematian ayahnya, dia dengan muka selamba bercerita. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Budak sekecil ini, apalah ditahu tentang keperitan, kesusahan. Aku yang mendengar bergenang air mata. Aku nasihatkan dia agar belajar rajin-rajin, tolong mak, dia senyum lagi. Aku betul-betul nak dia berjaya supaya dapat membantu ibunya kelak, memang dia lemah dalam pelajaran, tapi semua boleh berubah kalau dia berusaha. Tapi nampaknya nasihat aku hanya sekadar nasihat. Dia juga tak mahu datang ke sekolah. Ibunya berkata mereka adik beradik sukarela nak duduk dirumah jaga adik mereka yang masih kecil. Walaupun ibunya meminta mereka jaga secara bergilir-gilir, nampaknya kini tiga beradik ini dari tingkatan 1, darjah 6 hinggalah Daniel darjah 5 juga tak mahu ke sekolah. Apalah nak jadi dengan masa depan mereka. Apa yang mereka nak buat tanpa pendidikan. Kerja kilang sekalipun mahukan kelulusan. Hanya Allah yang mampu melindungi mereka sekeluarga.

Mengajar kelas hujung ni sebenarnya menyeronokkan. Banyak ragam, resam hidup masalah keluarga dapat aku lihat. Murid-murid ini yang sememangnya lemah tanpa perhatian, kasih sayang membuat mereka lagi terbiar. Mereka jadi tidak berminat untuk belajar. Kalau adapun yang berminat, tapi tanpa sokongan keluarga juga atau masalah dari rumah menyebabkan fokus mereka dalam pelajaran terganggu. Betapa lemahnya mereka. Sebagai anak-anak yang masih kecil, minda mereka mudah terganggu. Keluarga yang utama membentuk jati diri mereka, kelakuan mereka kelak. Aku cukup bersimpati pada murid-murid ini. kadang-kadang apabila hari bertemu waris, aku akan membantu guru kelas hujung memberikan maklumat tentang prestasi anak-anak mereka. Ketika inilah akan dengar pelbagai cerita tentang masalah-masalah keluarga. Ada yang ayah kahwin dua , tiga kemudian bercerai. Anak-anak terbiar.

Namun begitu ada juga emak-emak murid yang datang walaupun bermasalah, tapi tetap mengutamakan pelajaran anak-anak. Ini antara sebab mengapa aku sebagai guru yang mengajar kelas hujung perlu berusaha lebih kuat agar murid-murid ini keluar dari keperitan hidup mereka, berubah kepada kehidupan yang lebih baik.

Murid-murid kelas hujung ini biasanya yang paling mengingati gurunya nanti. Mereka tak kan segan silu nak menegur cikgu-cikgunya jika berjumpa di luar. Mereka jugalah yang paling rajin membantu guru bila diperlukan. sebagai guru yang mengajar kelas hujung aku amat mengharapkan mereka lulus dalam matapelajaran yang aku ajar. Tidak pernah aku harapkan lebih dari itu, tapi ada kalanya mereka dapat mencapai B dalam UPSR, itu sudah cukup menggembirakan. Sekurang-kurangnya pelajaran selama 6 tahun di sekolah rendah tidak sia-sia. Loqman Oh Loqman Nukilan Cikgu Wan Norazlina Mohamad Salleh, Program PPG Kohort 2, Opsyen Bahasa Melayu, Kelas BM 02, Semester 7.