33
Penghargaan Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Unit Perkhidmatan Tadbir Jabatan Pulau Pinang kerana telah memberi peluang kepada kami menghadiri Kursus Induksi SSM bagi Kumpulan 1 Ambilan 4/ 2004. Kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan urusetia yang telah sentiasa membantu kami dalam menyesuaikan diri di sini. Di samping itu, kami juga ingin berterima kasih kepada penceramah-penceramah yang telah membantu kami untuk menyempurnakan tugasan ini. Tidak ketinggalan, kami ingin berterima kasih kepada ahli keluarga kami yang memberi semangat kepada kami untuk berjaya mengikuti dan berjaya dalam kursus ini. Tidak dilupa juga, rakan-rakan seperjuangan yang saling memberi sokongan dan dorongan sepanjang kursus ini. Sebagai kesimpulannya, kursus ini sangat bermakna bagi kami. Hal ini kerana ia dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman bagi kami. Sekian, terima kasih. 1

Dasar Pendidikan Negara

Embed Size (px)

DESCRIPTION

dasar pendidikan negara

Citation preview

Dasar Pendidikan Negara bertujuan mewujudkan satu bentuk pendidikan nasional yang bersifat Malaysia dengan bermatlamatkan pers

Penghargaan

Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Unit Perkhidmatan Tadbir Jabatan Pulau Pinang kerana telah memberi peluang kepada kami menghadiri Kursus Induksi SSM bagi Kumpulan 1 Ambilan 4/ 2004.

Kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan urusetia yang telah sentiasa membantu kami dalam menyesuaikan diri di sini. Di samping itu, kami juga ingin berterima kasih kepada penceramah-penceramah yang telah membantu kami untuk menyempurnakan tugasan ini. Tidak ketinggalan, kami ingin berterima kasih kepada ahli keluarga kami yang memberi semangat kepada kami untuk berjaya mengikuti dan berjaya dalam kursus ini. Tidak dilupa juga, rakan-rakan seperjuangan yang saling memberi sokongan dan dorongan sepanjang kursus ini.

Sebagai kesimpulannya, kursus ini sangat bermakna bagi kami. Hal ini kerana ia dapat menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman bagi kami.

Sekian, terima kasih.

Dasar Pendidikan Negara bertujuan mewujudkan satu bentuk pendidikan nasional yang bersifat Malaysia dengan bermatlamatkan persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum. Huraikan kaedah-kaedah pelaksanaan dasar tersebut.

A) Pengenalan

Pendidikan merupakan satu proses yang penting dalam pembentukan diri setiap individu ke arah mengenali diri dan mencapai kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna. Pendidikan telah didefinasikan oleh Prof.Dr. Muhammad Naquib sebagai menanam sesuatu ke dalam diri manusia.

Pendidikan di Malaysia menjadi satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan kemajuan negara. Ia juga diiktiraf sebagai alat untuk mencapai matlamat perpaduan dan integrasi national. Ia disusun di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dasar Pendidikan Kebangsaan menitikberatkan perpaduan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta berasaskan kurikulum, peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang sama. Ini kerana kerajaan sedar tanpa pendidikan bersepadu dan perpaduan daripada rakyat, negara tidak akan membangun dengan maju.

B) Latar BelakangDalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang apa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan bagi menggantikan sistem pendidikan penjajah dan memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahirnya satu Dasar Pendidikan Negara melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957.

Dari segi perpaduan, Penyata Razak 1956 menyatakan :

Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatakan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.

( Penyata Razak, perenggan 12 )

Dasar Pendidikan Negara ini telah disemak semula pada tahun 1960 dan telah menghasilkan Laporan Rahman Talib pada tahun tersebut. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan pada tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan pada tahun 1979.

C) Rasional

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa pertimbangan kepada keperluan pembangunan, pembinaan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok ketika zaman Tanah Melayu terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah mencapai kemerdekaan, didapati tidak sesuai lagi. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka, berdaulat dan mempunyai matlamat sendiri.

D) Objektif

Objektif dasar ini adalah dinyatakan dalam Pendahuluan pada Akta Pelajaran 1961 iaitu :

BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya

Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah mentafsirkan sebagai menyatukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ( tenaga rakyat , istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet ) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif ini dikhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini menunjukkan bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek serta melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.

Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan nyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang dapat mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.

E) Penyata-penyata

Di bawah Dasar Pelajaran Kebangsaan, terdapat dua penyata telah dibentuk khas sebagai satu alat yang amat penting bagi mewujudkan perpaduan antara rakyat Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum, iaitu :

1. Penyata Razak 1956

Dasar Pelajaran Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 adalah berasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Kedua-dua laporan ini menitikberatkan aspek-aspek yang berkaitan dengan perpaduan negara dan penghasilan tenaga kerja rakyat. Daripada segi penyatuan kaum ,penyata Razak 1956 telah menyatakan : -

Tujuan dasar pelajaran ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa penggantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur (Penyata Razak, perenggan 12)Cara yang dicadangkan oleh Penyata Razak untuk menyatukan kaum-kaum di negara ini adalah menerusi satu sistem pelajaran yang bercorak seperti berikut :

Satu daripada umbi kemahuan Dasar Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu ini ialah mengubah corak semua sekolah-sekolah rendah dan sekolah menengah supaya bercorak Tanah Melayu. Kami berpendapat bahawa caranya supanya sempurna perkara ini ialah dengan jalan menyamakan sukatan pelajaran semua sekolah-sekolah (Penyata Razak, perenggan 115)Jelas bahawa Penyata Razak telah mengutamakan perpaduan negara dan unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan akan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan untuk menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat di Malaysia yang berbilang bangsa . Konsep perpaduan dalam konteks negara ini perlu difahami sebagai satu prinsip Rukun Negara . Perpaduan yang diwujudkan mestilah berupaya menangkis semua gejala yang boleh memecahbelahkan rakyat, umpamanya semangat perkauman yang tebal dan perasaan kedaerahan yang melampau.

Untuk mencapai matlamat perpaduan negara melalui sistem pendidikan. Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib telah menggariskan tiga asas utama.

Pertama:Sistem Persekolahan yang sama bagi semua

Kedua

:Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama

di semua peringkat persekolahan

Ketiga

:Kurikulum dan peperiksaan sekolah yang sama

kandungan dan bercorak kebangsaan.

a. Menyatakan satu sukatan pelajaran yang sama untuk semua sekolah

b. Terdapat 2 jenis sekolah rendah :

i. Sekolah Umum

ii. Sekolah Jenis Umum

c. Sekolah Umum menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar

d. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjadi matapelajaran wajib di semua sekolah.

2. Penyata Rahman Talib 1960

Dalam tahun 1960 Penyata Rahman Talib yang merupakan semakan semula Penyata Razak 1956, juga telah menitikberatkan perlunya kurikulum sekolah disesuaikan dengan keadaan dan keperluan negara. Usaha yang sungguh-sungguh telah dibuat untuk menyemak dan memperbaharui sukatan-sukatan pelajaran supaya dapat membantu dan memupuk kepentingan rakyat Malaysia. Di antara mata pelajaran baru diperkenalkan yang berkaitrapat dengan kehidupan masyarakat ialah mata pelajaran baru diperkenalkan yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat ialah mata pelajaran Tatarakyat, Pendidikan Moral, Sejarah dan Ilmu Alam yang menekan kepada hal ehwal tempatan, alam sekeliling , keadaan fizikal dan sosial.

a. Pemberian pelajaran seara percuma mulai tahun 1962.b. Umur berhenti sekolah ditingkatkan dari 12 tahun ke 15 tahun.c. Kursus Vokasional ditawarkan selama 3 tahun di sekolah pelajaran lanjutan untuk mereka yang gagal melanjutkan pelajaran akademik.d. Sekolah Rendah Umum dan Sekolah Rendah Jenis Umum diubahkan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan ( SRK ) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan ( SRJK ).F) Kaedah-kaedah Pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara

Beberapa kaedah telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut :

1. Menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar yang utama.

a. Penggunaan satu bahasa kebangsaan dapat mengeratkan hubungan dan persefahaman antara kaum.

b. Mulai tahun 1970, Bahasa Malaysia secara berperingkat telah menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Semua matapelajaran diajar dalam Bahasa Melayu di sekolah rendah Inggeris. Geografi dan Sejarah dalam Bahasa Melayu telah diperkenalkan di darjah 4 sekolah rendah Inggeris. Kelas-kelas yang menggunakan pengantar Bahasa Melayu dimulakan di semua sekolah menengah teknik. Pada tahun ini juga, Sabah menerima dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan mula melaksanakannya di peringkat darjah 1 sekolah Inggeris.

c. Semua sekolah aliran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil diwajibkan mengajar Bahasa Malaysia. Penggunaan satu bahasa dapat mengeratkan lagi perhubungan, persefahaman dan perpaduan antara kaum di negara ini.

d. Mulai tahun 1983, semua kursus tahun pertama di peringkat universiti menggunakan Bahasa Malaysia.

2. Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.

a. Sekolah merupakan ejen sosialisasi yang penting. Kurikulum yang sesuai dapat membentuk keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan.

b. Kurikulum berorientasikan Malaysia yang sama telah diperkenalkan untuk semua sekolah tanpa mengira bahasa pengantar.

c. Unsur-unsur pendidikan kewarganegaraan telah diterapkan ke dalam semua matapelajaran. Pendidikan kewarganegaraan dapat memupuk semangat kebangsaan dan taat setia kepada negara di kalangan murid sekolah. Ia juga dapat membentuk sifat toleransi, persefahaman dan tolak ansur yang perlu bagi melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu.

d. Terdapat juga matapelajaran Pendidikan Moral bagi murid-murid bukan Islam dan Pendidikan Islam bagi murid-murid Islam.

e. Matapelajaran-matapelajaran ini dapat menanamkan nilai-nilai dan sikap hidup yang baik serta membentuk kelakuan yang bersopan santun dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

f. Matapelajaran Sejarah pula yang bersifat Malaysian-centric dapat mewujudkan semangat patriotisme dan perasaan hormat-menghormati.

g. Pendidikan berunsurkan ketatanegaraan dan cintakan Malaysia telah diserapkan ke dalam semua matapelajaran. Dengan cara ini, semangat kebangsaan dan sifat taat setia kepada negara dapat dipupuk.

h. Oleh sebab penekanan dibuat ke atas keadaan hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya, maka perpaduan dapat dipupuk.

3. Mewujudkan sistem peperiksaan dan sukatan pelajaran yang sama.

Jawatankuasa Sukatan Pelajaran Am dan jadual waktu yang ditubuhkan pada tahun 1956 telah membentuk sukatan pelajaran yang sama kandungannya bagi semua matapelajaran di semua aliran sekolah. Sukatan pelajaran dan peraturan kursus pengajian yang telah ditetapkan mula dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia sejak tahun 1957 dan diikuti oleh Sabah dan Sarawak. Berikut adalah pelaksanaan-pelaksanaan yang telah dilakukan :

a. Kerajaan telah juga memperkenalkan peperiksaan yang sama bagi membentuk satu identiti Malaysia. Pada tahun 1957 FMC ( Federation Of Malaya Certificate of Education) dimulakan dalam mana Bahasa Kebangsaan menjadi matapelajaran wajib. Manakala kelulusan dalam Bahasa Kebangsaan diwajibkan dalam Lower Certificate Of Education dan Federation Of Malaya Certificate Of Education diadakan dalam Bahasa Melayu.

b. Matapelajaran Sastera diadakan dalam peperiksaan Higher School Certificate dan buat pertama kalinya Bahasa Melayu turut dijadikan bahasa pengantar dalam Malaysian Certificate Of Vocational Education.

c. Peperiksaan yang sama dan seragam telah dimulakan oleh kerajaan seperti Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ), Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM ) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR ).

d. Dengan adanya peperiksaan yang seragam dan sama ini, maka perasaan rendah diri dapat dihindarkan dan satu imej dan identiti yang sama dan sepadu dapat dibentuk.

4. Menggalakkan aktiviti kokurikulum.

a. Aktiviti kokurikulum dan sukan telah digalakkan oleh kerajaan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

b. Ini adalah untuk memupuk disiplin seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

c. Kegiatan ini dibahagikan kepada 3 kategori iaitu :

i. Aktiviti Berpesatuan

ii. Unit Beruniform

iii. Sukan atau olahraga.

d. Dengan cara ini, usaha melahirkan generasi muda yang berdisiplin, bersemangat kebangsaan dan bersatupadu akan mudah dicapai.

e. Kegiatan sukan seperti permainan bola sepak, bola jaring, hoki dan olahraga memberi peluang kepada murid-murid untuk bercampur gaul dan memupuk persefahaman serta perpaduan.

5. Memperluaskan pendidikan vokasional dan teknik.

a. Sekolah-sekolah menengah vokasional dan teknik telah ditubuhkan bagi melatih pelajar-pelajar dengan kemahiran vokasional dan pengetahuan teknik asas.

b. Pendidikan vokasional dilaksanakan menerusi dua program, iaitu akademik dan latihan kemahiran.

c. Pelajar yang memilih bidang kemahiran akan diberi latihan selama dua tahun. Dalam latihan ini, mereka mempelajari banyak matapelajaran akademik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia ( SPM ) dan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia ( SPVM ) di peringkat tingkatan lima.

d. Selepas menduduki peperiksaan ini, pelajar-pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran mereka ke maktab perguruan, politeknik, institut teknologi, kolej, institut kemahiran, universiti tempatan dan universiti luar negeri .

e. Institusi-institusi ini menawarkan pelbagai kursus profesional di peringkat sijil, diploma dan ijazah.

f. Jika pelajar tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran, mereka masih berkelayakan untuk menyertai pasaran tenaga manusia.

6. Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.

a. Untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan, strategi yang akan dilaksanakan meliputi pemantapan sistem pengurusan dengan meningkatkan autonomi dan desentralisasi proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, peluasan penggunaan ICT pada semua peringkat pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia.b. Kementerian Pendidikan Malaysia memantapkan sistem pengurusan dan pembangunan personal dengan membangunkan sistem pengurusan maklumat perkhidmatan dan pembangunan personal yang cekap serta pemantapan program latihan kemahiran dalam ICT kepada semua personal Kementerian Pendidikan Malaysia.c. Membudayakan elemen pembelajaran dan pewacanaan intelektual di kalangan personal Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadikannya sebagai sebuah learning organization dan mempertingkatkan skim perkhidmatan pendidikan yang lebih baik dengan memberi insentif dan kebajikan, peluang naik pangkat, gaji yang kompetitif serta pengiktirafan kelulusan tambahan.d. Sistem pengurusan maklumat akan dimantapkan dengan pengukuhan sistem pengaliran maklumat Kementerian Pendidikan Malaysia supaya kefahaman dasar dan pewujudan dasar pengurusan maklumat yang menyeluruh dan bersepadu dapat memantapkan sistem penyebaran maklumat pendidikan pada semua peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia.e. Pengukuhan penyelidikan dan pembangunan ( R & D ) akan dilakukan dengan mengenalpasti bidang-bidang pengurusan pendidikan yang memerlukan penyelidikan, menggiatkan semula mekanisme koordinasi dan penyebaran hasil kajian yang sedia ada.f. Penyediaan peruntukan yang mencukupi bagi aktiviti R & D, penyebaran peningkatan akses kepada R & D yang dijalankan disemua institusi pendidikan dan sokongan yang berterusan untuk aktiviti R & D.7. Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu.

a. Potensi individu tidak boleh dikembangkan secara berasingan.

b. Setiap potensi yang dikembangkan itu harus dihubungkait atau diselaraskan dengan potensi yang lain.

c. Tujuannya adalah supaya perkembangan potensi itu tidak bertentangan di antara satu dengan lain. Malahan semua potensi akan berkembang secara bersepadu.

d. Misalnya perkembangan potensi intelek, rohani dan jasmani dalam permainan atau sukan tidak boleh dipisahkan dari aspek-aspek sosial seperti memperolehi pengetahuan untuk bermain dengan cara betul, cekap dan tangkas serta mempunyai semangat kerjasama, kekitaan dan berbakti terhadap negara.

8. Mengadakan peluang pendidikan asas selama 9 tahun

a. Setiap murid mestilah menerima pelajaran formal sekurang-kurangnya selama 9 tahun iaitu 6 tahun di peringkat rendah dan 3 tahun di peringkat menengah rendah.

9. Mendemokrasikan pendidikan

a. Pendidikan didemokrasikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar dan pedalaman.

b. Dasar Pendidikan Kebangsaan bermatlamatkan untuk menyediakan infrastruktur yang sesuai dan mencukupi untuk memberi peluang kepada pelajar sebagai memberi pendidikan yang wajib.

c. Kerajaan telah mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian yang khusus kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan mengurangkan kadar keciciran.

d. Ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran membaca, menulis, mengira dan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

e. Untuk meningkatkan ekuiti dalam pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memenuhi peningkatan pendidikan terhadap semua sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional juga memberi tumpuan kepada sekolah di luar bandar yang menghadapi masalah pembangunan infrastruktur, ketidakseimbangan penempatan guru.

f. Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil langkah untuk membangunkan infrastruktur dan membina sekolah baru, mengoptimumkan penggunaan sumber pendidikan, meningkatkan kebajikan pelajar miskin serta pelajar berpenyakit kronik secara berpanjangan.

10. Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR )

a. Sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik, berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan.

b. Pendidikan sekolah rendah merupakan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu dari segi struktur, kandungan, pendekatan dan bahan pengajaran dan pembelajaran.

c. Ini adalah untuk membolehkan perkembangan yang menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan bakat.

d. Dengan itu, kemahiran, pengetahuan dan nilai adalah disepadukan dalam semua matapelajaran dalam kurikulum dan aktiviti kokurikulum.

e. Untuk memastikan perkembangan yang menyeluruh dan seimbang ini, penekanan di peringkat awal KBSR adalah ditumpukan kepada penguasaan kemahiran asas 3M, penerapan nilai dan pemupukan minat dan bakat.

f. Secara khusus, penguasaan kemahiran asas 3M dilakukan melalui Bidang Komunikasi yang mengandungi matapelajaran bahasa dan matematik.

11. Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM )

a. KBSM adalah merupakan lanjutan daripada KBSR yang mula diperkenalkan pada tahun 1982.

b. Ia merupakan satu reformasi penting dalam sejarah pembangunan pendidikan negara.

c. Penggubalannya adalah berpaksikan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara yang bertunjangkan Rukun Negara.

d. Kurikulum ini bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara dan memastikan wadah berkesan ke arah memenuhi aspirasi negara.

e. Pada asasnya, KBSM menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu selaras dengan usaha untuk melahirkan generasi yang dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat, menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan diri serta menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.

f. Menyedari kepentingan KBSM, satu penilaian yang menyeluruh ke atas KBSM telah dicadangkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan KBSR/KBSM Bil. 50/90.

g. Pada 1990, iaitu setelah 2 tahun KBSM digubal. Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan KBSR/KBSM Bil. 50/90 telah memutuskan supaya suatu pasukan yang terdiri daripada pengawai-pengawai ikhtisas pendidikan dibentuk untuk mengendalikan proses penilaian tersebut.

h. Berikutan daripada itu, satu jawatankuasa induk diwujudkan dan telah membuat keputusan untuk melaksanakan penilaian KBSM dalam beberapa fasa dan peringkat iaitu :

i. Fasa I

Fasa ini bermula dari bulan Januari 1992 sehingga December 1994.

Antara kajian yang telah dibuat ialah Kajian Maklumat Data Asas KBSM ( Base-line ), Kajian Sekolah Peringkat Menengah Rendah, Kajian Analisis Item Data Peperiksaan SRP 1992 dalam 6 matapelajaran KBSM, Kajian Kes Peringkat Menengah Rendah dan Kajian Universiti dan Maktab Perguruan.

ii. Fasa II

Fasa bermula dari Januari 1993 sehingga December 1994.

Antara kajian yang terlaksana ialah Kajian Sekolah Peringkat Menengah Atas, Kajian Analisis Item Data Ujian Menengah Rendah dalam 8 matapelajaran KBSM dan Kajian Kes Peringkat Menengah Atas.

iii. Fasa III

Fasa III telah dilaksanakan bermula pada Januari 1995 sehingga December 1995.

Fasa ini telah melibatkan kajian tentang analisis kandungan untuk buku teks untuk sekolah menengah rendah.

i. Setelah 4 tahun dinilai, 9 laporan kajian penilaian terhadap program KBSM telah dihasilkan.

j. Status kemajuan setiap kajian seterusnya telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa KBSR/ KBSM.

k. Di samping itu, hasil kajian turut dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Penilaian KBSM yang menekankan isu dan hala tuju strategi ke arah abad 21 yang dibuat pada tahun 1996.

l. Seminar ini seterusnya telah menghasilkan satu draf resolusi yang mengandungi cadangan-cadangan dan strategi-strategi ke arah pemantapan pelaksanaan KBSM dalam semua bidang dan peringkat.

m. KBSM telah dibentuk dan dilaksanakan berasaskan beberapa matlamat penting iaitu menyediakan pendidikan umum kepada semua, menekankan kesepaduan semua unsur-unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani, membolehkan pelajar memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperolehi melalui disiplin yang pelbagai, melahirkan pelajar yang mempunyai moral dan estetika yang tinggi dan mantap, membantu pelajar membina asas yang kukuh untuk pendidikan seumur hidup dan meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu.

n. Semua matlamat ini telah diterjemahkan ke dalam isi kandungan kurikulum dan pada amnya konsep kurikulum ini bertujuan menyediakan pengalaman yang terbaik untuk dipelajari oleh pelajar.

o. Bagi memastikan semua matlamat KBSM dicapai dengan baik, pendekatan berteraskan pembelajaran bersepadu telah dipilih.

p. Pendekatan ini sangat penting bagi memastikan insan yang seimbang seperti mana yang diharapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara benar-benar terhasil.

q. Pembelajaran bersepadu yang dipilih bermaksud proses pembelajaran yang diberikan kepada pelajar perlu mempunyai gabungan unsur-unsur berikut, iaitu ilmu, kemahiran, nilai dan bahasa, kesepaduan antara pengalaman pembelajaran pelbagai matapelajaran, kesepaduan antara teori dan amali dan kesepaduan antara pengalaman dan kesan pembelajaran dalam bilik darjah dengan persekitaran dan pengalaman hidup seharian pelajar.

r. Penekanan semua prinsip kesepaduan ini membawa implikasi terhadap pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah khususnya dari segi perolehan ilmu pengetahuan, penguasaan kemahiran belajar, peningkatan daya intelek, pemupukan dan penerapan nilai, penguasaan dan penggunaan bahasa dan kesepaduan antara matapelajaran.

12. Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin.

a. Komponen kerohanian dan moral amat penting bagi pemupukan nilai Islam dan nilai murni masyarakat berbilang kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang percaya kepada Tuhan, berperibadi mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

b. Komponen kerohanian dan moral mengandungi Pendidikan Islam untuk murid Islam dan Pendidikan Moral untuk murid bukan Islam.

c. Pendidikan Islam memberi fokus kepada penyampaian ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

d. Pendidikan Moral memberi fokus kepada penyampaian ilmu untuk menjadikan seseorang insan berakhlak mulia dan bermoral.

e. Kurikulum Pendidikan Islam pra sekolah merangkumi aspek keimanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan ketatanegaraan.

f. Tumpuan kursus kurikulum adalah kepada :

i. Pembentukan akidah dan bimbingan asas Fardhu Ain.

ii. Pemupukan amalan Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah yang dituntut oleh syariah Islam.

iii. Penyuburan adab dan akhlak Islamiah ke dalam diri kanak-kanak, berteraskan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh yang terbaik.

iv. Pengenalan kepada asas bahasa Al-Quran dan surah-surah pendek dari Juzu Amma.

v. Pengenalan kepada tulisan Jawi.

g. Melalui ilmu, kemahiran dan amalan yang disarankan kurikulum Pendidikan Islam dapat menyumbangkan ke arah melahirkan murid Islam yang beriman, berilmu, berakhlak mulia, bertaqwa dan beramal soleh.

h. Pendidikan Islam prasekolah dapat disampaikan melalui aktiviti bercerita, tunjuk cara, latihan, amali, nyanyian lagu dan nasyid, permainan, lakonan, penjelajahan, pemerhatian alam sekitar dan melihat kegiatan manusia.

i. Sekolah digalakkan mengadakan lawatan di persekitaran sekolah, kebun bunga, tempat bersejarah dan mengadakan perkelahan di kawasan pemandangan semula jadi.

j. Penyampaian kandungan kurikulum Pendidikan Islam hendaklah disepadukan dan diseimbangkan dengan lima komponen kurikulum prasekolah yang lain semasa pengajaran dan pembelajaran.

k. Penyampaian yang berkesan mampu menanam asas keimanan dan membentuk murid agar mempunyai cita-cita yang tinggi, daya tahan, semangat juang, gigih berusaha dan mampu mempertingkatkan harga diri dan menyumbang kepada asas kemajuan masyarakat, bangsa dan negara.

13. Menjadikan bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai matapelajaran yang wajib

a. Kedua-dua bahasa ini diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempurna bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil.

b. Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan strategi-strategi peningkatan penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

c. Perubahan sistem peperiksaan dengan memberikan pemberatan kepada penilaian formatif serta menekankan pengukuran perkembangan JERI ( jasmani, emosi, rohani dan intelek ) pelajar dan mengukuhkan program bimbingan kerjaya dan kaunseling di semua sekolah.

d. Kementerian Pendidikan Malaysia juga meningkatkan bilangan guru siswazah terlatih di semua sekolah sehingga mencapai 100% menjelang tahun 2010 dengan meningkatkan bilangan guru bagi opsyen mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris.

e. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan perkembangan profesional guru sekolah terutamanya di kawasan luar bandar dan meningkatkan insentif dan menyediakan suasana kerja yang lebih kondusif.

f. Tindakan ini akan diambil bagi meningkatkan penggunaan bahan bantu mengajar dan memanfaatkan bahan teknologi pendidikan.

14. Pelajar dididik supaya tahu berbangga, dan menghormati lambang-lambang kebangsaan.

a. Di setiap sekolah, pengibaran bendara kebangsaan Jalur Gemilang disertai dengan nyanyian Negaraku perlu diadakan setiap kali perhimpunan rasmi sekolah.

b. Oleh yang demikian, tindakan seumpama ini akan menimbulkan rasa kekitaan dan cinta akan negara Malaysia.

G) Kesimpulan

Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan yang sesuai dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya.

Oleh itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan yang mencari kerja. Pelbagai pendekatan dan strategi yang telah dinilai secara berterusan dan menyeluruh sememangnya sangat bermakna kepada kemajuan dan kecemerlangan mutu pendidikan negara, seperti berikut :

1. Menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar yang utama.

2. Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.

3. Mewujudkan sistem peperiksaan dan sukatan pelajaran yang sama.

4. Menggalakkan aktiviti kokurikulum.

5. Memperluaskan pendidikan vokasional dan teknik.

6. Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.

7. Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu.

8. Mengadakan Mendemokrasikan pendidikan

9. Peluang pendidikan asas selama 9 tahun

10. Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR )

11. Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM )

12. Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin.

13. Menjadikan bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai matapelajaran yang wajib

14. Pelajar dididik supaya tahu berbangga, dan menghormati lambang-lambang kebangsaan.

Pendekatan dan strategi yang telah pun dilaksanakan ini sewajarnya perlu terus dipertingkatkan kesannya bagi menjamin kecemerlangan yang berterusan. Ini menjamin masa depan dunia pendidikan untuk membolehkan negara melahirkan warganegara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bibliografi

1. Abdullah Sanusi Ahmad, Kerajaan dan Pentadbiran Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980.

2. Chang Ming Phang, Perkembangan Pelajaran Dalam Masyarakat Berbilang Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1974.

3. Chew Hock Thye, Masalah Perpaduan Nasional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1975.

4. Institut Tadbiran Awam Negara, Negara Kita : Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan, Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur, 1986.

5. Kementerian Pelajaran Malaysia, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksaan Dasar Pelajaran 1979, Kuala Lumpur, 1982.

6. Mak Soon Sang dan Lee Shok Mee, Pendidikan di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn.Bhd, Kuala Lumpur, 1990.

7. Ranjit Singh Malhi, Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Federal Publications, Kuala Lumpur, 2001.

8. Ranjit Singh Malhi, Peperiksaan Am Kerajaan , Federal Publications, Kuala Lumpur, 1989.

9. Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia , Malaysia Kita, International Law Book Services, Selangor Daruh Ehsan, 2002.

10. Sidang Pengarang , Penilaian Tahap Kecekapan ( PTK ), Penerbit Femina, Petaling Jaya, 2003.PAGE 12