Upload
tranthuan
View
244
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
i
MALAY LANGUAGE CURRICULUM FOR SECONDARY SCHOOLS
IN SINGAPORE: AN EVALUATION OF ITS DEVELOPMENT AND
IMPLEMENTATION
PAIRAH BTE SATARIMAN
(DEGREE OF BACHELOR OF ARTS, NUS)
A DISSERTATION SUBMITTED
IN APRTIAL FULFILMENT OF THE REQUIREMENT
FOR THE DEGREE OF MASTER OF ARTS (MALAY STUDIES)
NATIONAL UNIVERSITY OF SINGAPORE
2006
ii
PENGHARGAAN
Alhamdullillah, akhirnya tesis ini dapat disiapkan tanpa adanya halangan yang
besar. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima
kasih kepada semua yang memberikan kerjasama dan bantuan secara langsung dan tidak
langsung dalam penyediaan tesis ini.
Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada penyelia saya, Profesor
Madya Dr Shaharuddin Maarof dan Dr Noor Aisha Abdul Rahman atas segala nasihat,
tunjuk ajar, bimbingan, keperihatinan dan galakan yang diberikan sepanjang tempoh
pengajian saya.
Saya juga merakamkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Singapura
yang menaja pengajian saya. Kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada saya untuk
menimba ilmu amat saya hargai. Begitu juga ucapan terima kasih saya kepada mantan
Timbalan Pengarah, Cawangan Bahasa dan Kesusasteraan, Kementerian Pendidikan,
Encik Cheah Chak Mun dan mantan guru saya, Encik Kasmadi Haji Nasir atas galakan
dan sokongan mereka.
Ucapan terima kasih yang tak terhingga saya tujukan kepada ibu yang dihormati,
Hajjah Bidah Bte Unang yang sentiasa mendoakan kejayaan saya tanpa jemu; almarhum
suami yang tercinta, Haji Osman Bin Mohd Yusoff yang sentiasa memahami,
memberikan dorongan, semangat dan cahaya dalam perjuangan saya semasa hayatnya;
iii
dan anak-anak yang dikasihi, Nuriana, Nur Amanina, Muhd Nadhir dan Nur Dyna yang
menjadi perangsang dan penguat semangat.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa penghargaan
kepada semua pengetua sekolah yang memberikan kerjasama, juga para guru dan pelajar
yang terlibat dalam tinjauan yang dijalankan. Akhir sekali kepada teman-teman saya yang
tidak jemu-jemu memberikan sokongan, perangsang dan perhatian, saya ucapkan ribuan
terima kasih. Kejayaan ini ialah kejayaan kita semua.
iv
KANDUNGAN
Penghargaan ii
Ringkasan viii
Bab
1 Pendahuluan 1
1.1 Penilaian Kurikulum 1
1.1.1 Maksud Kurikulum 1
1 .1.2 Penilaian Kurikulum Sebagai Satu Bidang Yang Penting 2
1.2 Beberapa Penilaian Kurikulum Yang Dijalankan 8
1.3 Kesimpulan 12
2 Latar Belakang Sistem Pendidikan di Singapura 14
2.1 Pengenalan
2.1.1 Falsafah Pendidikan Sekolah Di Singapura
14
2.1.2 Evolusi dan Struktur Pendidikan Sekolah di Singapura
15
2.1.3 Sejarah Ringkas Perkembangan dan Kedudukan Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan
20
2.1.4 Penubuhan Institut Perkembangan dan Pembangunan Singapura (CDIS) dan Unit Bahasa Melayu.
27
2.2 Pernyataan Masalah dan Skop Kajian 28
2.3 Tujuan 32
2.4 Kepentingan Kajian 32
2.5 Kaedah Kajian 34
2.6 Batas Kajian 36
v
3 Keberkesanan Pelaksanaan Sistem Sebutan Baku dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
38
3.1 Bahasa Baku dan Aspek-aspek Bahasa yang Dibakukan 38
3.2 Pembakuan Bahasa Melayu 42
3.3 Maksud dan Prinsip Sebutan Baku 45
3.4 Latar Belakang Pelaksanaan Sistem Sebutan Baku di Singapura
49
3.5 Rasional Pelaksanaan Sistem Sebutan Baku di Singapura
51
3.6 Pelaksanaan Sistem Sebutan Baku dalam Kurikulum Bahasa Melayu di Sekolah-sekolah
53
3.7 Keberkesanan Pelaksanaan Sistem Sebutan Baku di Sekolah- sekolah Menengah
56
3.7.1 Pengenalan 56
3.7.2 Maklumat Sampel 62
3.7.3 Kaedah Kajian 64
3.7.4 Dapatan Kajian 67
3.7.4.1 Latar Belakang Responden
67
3.7.4.2 Pelaksanaan Sistem Sebutan Baku dalam Bilik Darjah dan Peranan Guru Sebagai
Model Penutur
70
3.7.4.3 Keberkesanan dan Pencapaian Pelaksanaan Sistem Sebutan Baku di Sekolah
74
3.7.4.4 Faktor-faktor yang Berkaitan dengan Pelaksanaan Sistem Sebutan Baku
76
3.7.4.5 Masalah yang Dihadapi 80
3.8 Kesimpulan dan Saranan 83
vi
4 Pembelajaran dan Pemerolehan Kosa Kata Bahasa Melayu di Kalangan Para Pelajar Peringkat Sekolah Menengah
89
4.1 Objektif dan Skop Kajian 89
4.2 Pengertian Kosa Kata 90
4.3 Kosa Kata Sebagai Asas Penguasaan Bahasa 91
4.4 Kajian Yang Pernah Dijalankan 95
4.5 Pengajaran dan Pembelajaran Kosa Kata dalam Kurikulum Bahasa Melayu
98
4.5.1 Penelitian dan Analisis Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
98
4.5.2 Penelitian dan Analisis Bahan dan Kaedah Pengajaran 103
4.6 Kesimpulan dan Saranan 119
5 Peranan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Sebagai Saluran bagi Penyerapan dan Penerapan Nilai
126
5.1 Objektif dan Skop Kajian
126
5.2 Definisi dan Fungsi Nilai
127
5.3 Latar Belakang Pendidikan Nilai di Singapura 129
5.4 Hubungan Antara Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Dengan Pendidikan Nilai dan Budaya
134
5.5 Kurikulum Bahasa Melayu Sebagai Wadah Penyerapan Nilai-nilai Murni
139
5.5.1 Peribahasa Sebagai Wadah Penyerapan dan Penerapan Nilai
142
5.5.2 Bahan Sastera Sebagai Wadah Penyerapan dan Penerapan Nilai
159
5.5.2.1 Gurindam
160
5.5.2.2 Pantun
164
5.5.2.3 Prosa Klasik dan Moden 169
vii
5.6 Kesimpulan dan Saranan
179
6 Kesimpulan 184
Bibliografi 194
Lampiran 209
viii
RINGKASAN
Kurikulum Bahasa Melayu di Singapura telah mengalami banyak perubahan dan
perkembangan dari masa ke semasa dan keadaan ini dicetuskan oleh keinginan dan
tuntutan masyarakat dan negara yang berbeza-beza yang disebabkan oleh perubahan dan
perkembangan yang berlaku di dalam dan di luar negara. Untuk memastikan kurikulum
Bahasa Melayu yang digunakan di sekolah-sekolah di Singapura relevan dan menepati
anspirasi dan keinginan masyarakat dan negara, penilaian terhadap kurikulum yang ada
perlu dilakukan secara konsisten dan berterusan. Penilaian seumpama in berfungsi untuk
mengukur keberkesanan kurikulum tersebut dan hasil daripada penilaian yang dijalankan
bertindak sebagai lapor balik dan input yang amat berguna kepada penggubal dasar
bahasa, pelaksana kurikulum juga mereka yang terlibat langsung dalam pembinaan
kurikulum khususnya dalam membuat penilaian dan keputusan mengenai kurikulum yang
ada dan untuk membuat pertimbangan bagi tindakan-tindakan susulan yang wajar.
Kajian yang dijalankan ini cuba meneliti dan menilai kurikulum Bahasa Melayu
peringkat sekolah menengah di Singapura. Penilaian ini memberikan tumpuan kepada
dua aspek sistem bahasa iaitu sebutan baku dan kosa kata dan satu fungsi program
Bahasa Melayu iaitu sebagai wadah bagi penyerapan dan penerapan nilai-nilai murni
dalam kalangan pelajar.
Pada dasarnya, kajian ini cuba menilai aspek-aspek yang berkaitan dengan
pembentukan kurikulum seperti pemilihan item, kesesuaian item yang dipilih, proses
implementasi dan masalah yang berkaitan dan sama ada kurikulum yang ada ini sejajar
ix
dengan ciri-ciri, struktur, hasrat dan keperluan masyarakat dan negara Singapura yang
berbilang bangsa, agama dan budaya. Kajian ini juga bertujuan untuk mengukur
keberkesanan dan mengenal pasti perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan
aspek-aspek yang dikaji dan seterusnya mengemukakan beberapa pandangan dan saranan
yang diharapkan dapat memberikan sumbangan.
Kajian ini meliputi penelitian terhadap tiga keluaran sukatan pelajaran dan bahan-
bahan pengajaran bercetak ( buku teks, buku kerja dana buku panduan guru) yang
diterbitkan oleh pihak MOE dari tahun 982 hingga 2002. Tinjauan untuk mendapatkan
lapor balik terhadap pelaksanaan dan keberkesaan sebutan baku juga dijalankan di
sekolah-sekolah yang melibatkan 76 orang guru yang mengajar Bahasa Melayu dan 300
orang pelajar Melayu dan bukan Melayu daripada pelbagai kurus/aliran yang mengambil
Bahasa Melayu sebagai kedua dan ketiga.
Secara keseluruhan, kajian ini mendapati bahawa terdapat usaha secara sedar oleh
pihak Kementerian Pendidikan (MOE) untuk merealisasikan objektif kurikulum Bahasa
Melayu yang dibina. Namun, usaha tersebut belum mendapat sokongan padu daripada
semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pembentukan dan
pelaksanaan kurikulum tersebut. Keadaan ini dirumitkan lagi oleh kurangnya kesedaran
dalam kalangan para pembina bahan, pelaksana kurikulum, penggubal dan pengguna
bahasa terhadap kepentingan, kedudukan dan peranan ketiga-tiga aspek yang dikaji dan
kaitannya dalam pembangunan, kemantapan dan penakatan Bahasa Melayu . Tahap
kesedaran yang kurang memuaskan ini boleh dikesan melalui pendekatan, perancangan
x
dan pelaksanaan program Bahasa Melayu yang ada sekarang. Akibatnya, mutu dan
keberkesanan program Bahasa Melayu khususnya dalam aspek-aspek yang dikaji masih
berada di tahap yang boleh dipersoalkan. Oleh yang demikian, usaha bersepadu dan
langkah yang wajar haruslah diambil dengan segera agar segala kekurangan atau
kepincangan yang dikenal pasti dapat ditangani dan sekaligus memantapkan dan
meningkatkan mutu kurikulum Bahasa Melayu yang ada.
xi
SUMMARY
The Malay Language curriculum for secondary schools in Singapore has been
undergoing a lot of changes and development from time to time as a result of the
changing demands and needs of the society and nation due to the changes and
development which are taking place in and outside the country. To ensure that the Malay
Language curriculum used in schools in Singapore are relevant and meets the aspirations
and the needs of the society and nation, an evaluation to measure the effectiveness of the
curriculum should be carried out continuously and consistently. Such evaluation
functions as a means of gathering feedback and provides relevant and useful input to
curriculum developers, curriculum implementers, language policy makers and those who
are involved in the development of curriculum especially in making judgement and
decisions about the existing curriculum and considering sensible follow up actions.
This study is carried out to evaluate Malay Language curriculum for secondary
schools in Singapore. The evaluation focuses on two aspects of the system of Malay
Language namely standard pronunciation (Sebutan Baku) and lexicon, and the role of
Malay Language learning as a means of inculcating positive values among the students.
Basically, the study evaluates aspects related to the development of the
curriculum such as methods of item selection, suitability of the selected items,
implementation process and its possible problems and whether the existing curriculum
reflects features, structure and needs of the multi-racial, multi-language and multi-cutural
society and nation in Singapore. In short, this study aims to measure the effectiveness of
xii
the curriculum implemented and to identify areas of concern related to its implementation
especially of the areas under study and also to provide views and recommendations for
consideration.
The evaluation covers three publications of Malay Language syllabuses and
teaching materials (text book, work book and teacher’s guide) published by MOE from
1982/1983 to 2002. The survey to gather feedback on the implmentation of ‘Sebutan
Baku’ was conducted in selected secondary schools involving 76 Malay Language
teachers and 300 Malay and non-Malay students of different streams/courses who are
offering Malay Language as second and third language.
On the whole, this study finds that MOE has put in considerable and conscious
effort in order to achieve the objectives of the Malay Language curriculum. However, its
effort has not yet received total support needed from those who are involved directly and
indirectly in the development and the implementation of the curriculum. This situation
has become more complicated with the lack of awareness among the curriculum
developers, curriculum implementors and language users on the importance, level and
role of the three language aspects under study and their relations to the development,
stability and survival of Malay Language. Such lack of awareness could be seen in the
approach, planning and implementation of the existing Malay Language program. Thus,
the merit and the effectiveness of the program especially in the three language aspects
under study are still questionable. Therefore, necessary actions should be taken quickly
xiii
to address any weaknesses identified so as to stablise and improve the quality of the
existing Malay Language curriculum.
xiv
SINGKATAN
1. ASEAN Association of South East Asian Nations (Perstauan Negara-negara Asia Tenggara)
2. BPKBM Buku Panduan Khas Bahasa Melayu
3. CDIS Curriculum Development Institute of Singapore ( Institut Perkembangan dan Kurikulum singapura)
4. DBP Dewan Bahasa dan Pustaka
5. GCE ’O’ Level
General Certificate of Education Ordinary Level (Sijil Am Pelajaran Peringkat Biasa)
6. GCE ’N’ Level
General Certificate of Education Ordinary Level (Sijil Am Pelajaran Peringkat ‘N’)
7. JBMS Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura
8. KGMS Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura
9. MABBIM Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia
10. MBMS Majlis Bahasa Melayu Singapura
11. MICA Ministry of Information, Communication and the Arts (Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kebudayaan)
12. MITA Ministry of Information, Telecommunication and the Arts (Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kebudayaan)
13. MOE Ministry of Education (Kementerian Pendidikan )
14. NE National Education (Pendidikan Nasional )
15. NIE National Institute of Education (Institut Pendidikan Nasional)
16. PGBM Persatuan Guru-guru Bahasa Melayu
17. PSLE Primary School Leaving Examination (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah)
xv
DAFTAR JADUAL
1. Pelajar Mengikut Jantina dan Bangsa
2. Bahasa Pertuturan Utama yang Digunakan oleh Pelajar Melayu
3. Bahasa Pertuturan Utama yang Digunakan oleh Pelajar Bukan Melayu
4. Gambaran Keseluruhan Penggunaan Bahasa Melayu di Kalangan Pelajar
5. Peranan MOE dalam Menyokong Pelaksanaan Sebutan Baku di Sekolah-sekolah
6. Bahan Pengajaran Bahasa Melayu bagi Tahun Pertama Penggunaan 1983, 1994 dan 2002
7. Objektif (Peratusan) Pengajaran/ Pembelajaran dan Latihan Kosa Kata dalam Buku Teks Peringkat Menengah 2 Pakej Pancaran Bahasa
8. Objektif (Peratusan) Pengajaran/Pembelajaran dan Latihan Kosa Kata Peringkat Menengah 1 Buku Teks Pakej Jendela Bahasa
9. Contoh Perkataan yang Diulang (huruf tebal ) dalam Teks Bacaan Utama Buku Menengah 3 Pakej Intisari Bahasa
10. Contoh Perkataan yang Diulang (huruf tebal ) dalam Teks Bacaan Utama Buku Menengah 2 Pakej Pancaran Bahasa
11. Jumlah Kosa Kata Setiap Peringkat dan Peratus Kosa Kata Yang Diulang bagi Pakej Intisari Bahasa
12. Jumlah Kosa Kata Setiap Peringkat dan Peratus Kosa Kata Yang Diulang bagi Kursus Ekspres Pakej Pancaran Bahasa
13. Senarai Perkataan bagi Tajuk Perkembangan dan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Pakej Intisari Bahasa dan Pakej Pancaran Bahasa
14. Jumlah Penuh dan Jumlah Purata Kosa Kata Setiap Unit dalam Buku 4 Pakej Pancaran Bahasa
15. Jumlah Peribahasa yang Perlu Dipelajari
xvi
DAFTAR RAJAH
1. Pengalaman Mengajar Mengikut Tahun
1
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Penilaian Kurikulum 1.1.1 Maksud kurikulum
Secara ringkas kurikulum dapat difahamkan sebagai sesuatu kandungan mata pelajaran
yang dirancangkan yang hendak diajarkan kepada para pelajar di sekolah-sekolah. Kamus
Dewan mendifinisikan kurikulum sebagai ‘skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di
sekolah, senarai kesemua mata pelajaran ( kursus pengajian ) di sekolah dan lain-lain’.1 Oleh
itu, apa-apa sahaja yang diajar di sekolah merupakan kandungan mata pelajaran yang
diajarkan menerusi pelbagai mata pelajaran, pelbagai pilihan disiplin ilmu pengetahuan,
pelbagai rumusan masalah tentang kehidupan seharian dan pelbagai cara penyusunan.
Kurikulum ini dirancang bagi menyediakan kesempatan dan membimbing para pelajar
menimba dan memperoleh ilmu dan pengalaman yang diingini berdasarkan objektif tertentu
kurikulum tersebut.2
Kurikulum adalah satu bidang yang dinamik. Ini bermakna bidang ini sentiasa
berkembang dan berubah. Sesuatu kurikulum itu berkembang dan berubah dari semasa ke
1. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994. Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur, DBP, hlm 735. 2. Lihat: Pratt, David, 1980. Curriculum- Design and Development, New York, Harcourt Brace, Jovanovich, Publishers:Taba Hilda, 1962. Curriculum Development- Theory and Practice, New York, Harcourt, Brace and World, Inc: Tanner Daniel & Tanner Laurel N., 1975. Curriculum Development, London Collier Macmillan Publishers: Taylor Philip H. & Richards Colin M., 1985. An Introduction to Curriculum Studies (Second Edition ), Berkshire, NFER-NELSON: Taylor Philip H. (ed), 1986. Recent Developments in Curriculum Studies, Philadelphia, NFER-NELSON: Tyler, Ralph, W., 1949,. Basic Principles of Curriculum and Instruction, Chicago and London, The University of Chicago Press: Warwick, David, 1975. Curriculum Structure and Design, London, University of London Press Ltd.
2
semasa mengikut keperluan dan keadaan tertentu sesuatu masyarakat atau negara. Perubahan
dan perkembangan ini membolehkan sesuatu kurikulum berkembang bukan sahaja dari yang
kurang baik kepada yang lebih baik, tetapi juga dari satu tahap ke satu tahap yang lain.
Sesuatu kurikulum itu akan melalui pelbagai proses seperti proses pembentukan,
penyebaran, pelaksanaan dan penilaian. Penilaian ini dilakukan untuk mengetahui sejauh
mana kurikulum tersebut berkesan dalam mencapai matlamat yang diingini. Akhir sekali,
kurikulum tersebut akan melalui proses pembaharuan yang akan membawa kepada
terbentuknya satu kurikulum yang baharu.
1.1.2 Penilaian Kurikulum Sebagai Satu Bidang yang Penting
Sejak awal tahun 1950-an, beberapa projek pembangunan kurikulum secara besar-
besaran telah dijalankan di beberapa buah negara di serata dunia. Perkembangan dalam
aktiviti pembangunan kurikulum ini mendorong kepada meningkatnya permintaan dalam
penilaian program pendidikan. ‘Bahan pengajaran dan cara-cara mengajar memerlukan
penilaian supaya menggambarkan dengan betul ciri-ciri para pelajar yang berubah-ubah
dan ilmu pengetahuan yang baharu, isu-isu dan orientasi dunia yang kontemporari’.3
3. Lewy, Arieh (ed), 1977. Handbook of Curriculum Evaluation, New York, Longman Inc., hlm V. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘Instructional materials and methods sorely required revision so as to reflect properly the changing characteristics of students and the new knowledge, issues, and orientation of the contemporary world’.
3
Pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam pendidikan ingin mengetahui
sama ada program pendidikan yang diperkenalkan membuahkan hasil yang memuaskan atau
tidak. ‘Informasi mengenai program baharu yang relevan didapatkan bagi memenuhi
keperluan masyarakat dan pelajar, kepentingan saintifik dan kesahan bahan-bahan
pembelajaran yang baharu, keupayaan program untuk mencungkil kelakuan guru-guru dan
pelajar tertentu, dan hasilan sebenar menggunakan satu set bahan-bahan pengajaran yang
diberikan’.4
Selain itu, mereka ingin mendapatkan kepastian mengenai beberapa perkara yang
menjadi persoalan seperti: a)Adakah wajar masa yang diperuntukkan bagi mempelajari bahan-
bahan yang terdapat dalam program tersebut?; b) Bolehkah bahan-bahan pengajaran tersebut
menggambarkan perkembangan dan pembangunan idea-idea terkini sama ada dari segi
intelektual atau saintifik?; c) Bolehkah para pelajar menguasai kemahiran-kemahiran tertentu
dalam program dan menghayati nilai-nilai dan tingkah-laku tertentu yang diingini?; d) Adakah
program baharu yang diperkenalkan ini merupakan cara yang paling efektif untuk mencapai
cita-cita yang dihajatkan?; dan e) Apakah hasilan yang tidak diingini yang mungkin timbul
akibat penggunaan program yang disarankan?
Untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut, para pengkaji yang
berkecimpung dalam bidang penilaian kurikulum ini telah cuba mengemukakan kaedah dan
prinsip-prinsip yang boleh digunakan untuk memproses data dan menghasilkan keputusan
yang diperlukan. Oleh itu, sejak beberapa dekad yang lalu, tumpuan banyak ditujukan kepada
4. Ibid, hlm 4. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘Information was sought concerning the relevance of the new program to the needs of the society and the learner ,the scientific significance and validity of the new study materials, the ability of the program to elicit certain teacher and student behaviors, and the actual outcomes of using a given set of instructional materials.’
4
penilaian kurikulum. Beberapa pusat pengajian tinggi telah menawarkan kursus mengenai
penilaian kurikulum ini. Banyak mesyuarat profesional, seminar antarabangsa mengenai
bidang ini telah dianjurkan. American Educational Research Association umpamanya telah
menerbitkan satu siri monograf yang membincangkan tentang pelbagai aspek penilaian
kurikulum. Pada tahun 1974, dalam mesyuarat pertubuhan ini sebanyak 150 kertas kerja yang
bertemakan penilaian kurikulum telah dibentangkan. Hal ini menunjukkan dengan jelas
kemunculan dan pentingnya bidang penilaian kurikulum ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan penilaian kurikulum? Penilaian kurikulum
dimaksudkan sebagai satu proses untuk mendapatkan informasi mengenai sesuatu program
umpamanya program pendidikan yang bertujuan untuk membantu dalam membuat keputusan.
‘Ianya merupakan satu proses di mana penilaian individu dan masyarakat umum dihasilkan
bagi menggambarkan sesuatu tindakan. Ianya didorong oleh desakan untuk memahami dan
membuat keputusan dan pilihan.5 Penilaian kirikulum berfungsi sebagai ‘satu proses yang
menggambarkan, mendapatkan dan memberikan informasi mengenai sesuatu program
pendidikan yang memerlukan kita menerangkan dan memahami program tersebut dan
membuat penilaian dan keputusan yang berkaitan dengan program itu’.6 Ringkasnya,
penilaian kurikulum merupakan proses untuk membuat keputusan tentang keberkesanan
sesuatu kurikulum. Jadi, penilaian kurikulum yang sistematik haruslah mengandungi satu
5. Kemmis Stephen, 1981. A Guide to Evaluation Design, Canberra, Deakin University, hlm 1. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘It is the process whereby individual and public judgement processes are harnessed for reflection on action. It is guided by the impulse to understand and to make informed judements and choices’. 6. Straton Ralph G., 1985. Curriculum Evaluation, Victoria, Deakin University, hlm 4. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘the process of delineating, obtaining and providing information about an educational program which is of us in describing and understanding the program and in making judgements and decisions related to the program’.
5
tugasan formal yang berguna kepada pendidikan. Penilaian harus bertindak sebagai satu
proses menentukan, mendapatkan dan memberikan maklumat yang berfaedah untuk membuat
pertimbangan mengenai tindakan-tindakan selanjutnya. Oleh yang demikian, sesuatu
penilaian program itu perlu melibatkan beberapa langkah: memilih informasi yang diingini;
bagaimana dan daripada sumber mana informasi tersebut boleh didapatkan; bila, bentuk dan
kepada siapa informasi itu akan diberikan; dan bagaimana informasi tersebut boleh
dimanfaatkan.
Sesuatu penilaian kurikulum ini akan melibatkan beberapa aktiviti atau proses seperti
mengenal pasti rasional dan tujuan penilaian, aspek-aspek yang hendak dinilai, kaedah
penilaian, kaedah penganalisaan maklumat dan menginterpretasikan dapatan. Seterusnya
keputusan tertentu mengenai kurikulum tersebut akan dibuat dari segi keberkesanannya dan
status masa depannya sama ada kurikulum tersebut akan diteruskan, diperbaik atau digantikan
dengan kurikulum yang baharu.
Secara umum penilaian kurikulum dijalankan untuk memenuhi beberapa tujuan dan
proses. Sebelum sesuatu kurikulum dilakar, perlu ditinjau dan dinilai terlebih dahulu perkara-
perkara asas yang akan menjadi tunjang atau dasar kepada proses pembentukan dan
perkembangan kurikulum. Perkara-perkara asas ini termasuklah menilai keupayaan awal
pelajar-pelajar, latar belakang pelajar, permintaan masyarakat masa kini dan kelemahan dan
kebaikan kurikulum yang ada. Dapatan daripada penailaian ini boleh memberikan maklumat
penting dalam membentuk sesuatu program yang sesuai dan membantu meningkatkan
keberkesanan proses pembentukan kurikulum. Seperti yang dimaklumi, pembentukan dan
perkembangan kurikulum merupakan satu proses yang rumit dan melibatkan pelbagai tahap
6
yang perlu diberikan pertimbangan. Jadi tidak hairan jika berlaku beberapa ketidakwajaran
dan ketidakseimbangan dalam proses tersebut.
Oleh yang demikian, ‘penilaian kurikulum bertindak untuk memperbaiki mana-mana
aspek dalam proses pembentukan dan perkembangan tersebut’.7 Ketika sesuatu kurikulum itu
dalam proses perkembangannya, penilaian yang dikenali sebagai penilaian berterusan atau
pembaikan akan dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan dan kekurangan serta
memperbaik setiap kelemahan atau kekurangan tersebut supaya hasil akhirnya dapat
mencerminkan pencapaian objektif yang telah ditentukan. Akhir sekali, sesuatu penilaian itu
dilakukan untuk mengetahui sejauh mana sesuatu kurikulum yang dilaksanakan itu berkesan.
Penilaian ini akan menumpukan kepada hasil atau produk sesuatu kurikulum atau program.
Penilaian ini akan memberikan gambaran terakhir dan jelas tentang baik tidaknya sesuatu
kurikulum itu. Berdasarkan dapatan yang diperoleh, satu keputusan akan dibuat ke atas
kurikulum tersebut.
Menurut K.A. Leithwood ( 1986) dalam artikelnya yang berjudul ‘Planned
Educational Change’, sesuatu penilaian yang dijalankan haruslah memenuhi beberapa perkara
iaitu:
a. Masalah yang berkaitan dengan perkara yang hendak dinilai hendaklah dijelaskan.
Hal ini termasuk pengenalpastaian hambatan, kebarangkalian dari segi pengguna,
isu-isu yang berkaitan dan keputusan yang akan diambil
7. Razali Raof, 1991. Pengantar Kurikulum, Kuala Lumpur, DBP, hlm 63.
7
b. Pemilihan kaedah yang sesuai- sumber, reka bentuk dan jenis soalan, cara terbaik
mendapatkan informasi, saiz sampel, data dan kaedah analisis yang akan
digunakan
c. Pengenalpastian tugas yang terlibat- mendapatkan maklumat/data, menganalisis
data dan membuat laporan
d. Pelaksanaan proses penilaian- membina instrumen, memilih sampel dan
mengumpulkan data berdasarkan masa yang ditetapkan
e. Tugas menganalisis dan penyediaan laporan- membuat analisis data yang
dikumpulkan dan laporan berdasarkan dapatan
Razali Raof ( 1991 ) dalam bukunya ‘Pengantar Kurikulum’, juga menyarankan agar
sesuatu penilaian yang dilakukan mengandungi perkara-perkara yang berikut:
a. sebab, rasional dan tujuan penilaian
b. sampel yang dinilai
c. alat ukur pengumpulan maklumat/data dan jadual penilaian
d. kekangan/hambatan dan faedah penilaian yang dijalankan
e. pentadbiran dan pengurusan
f. pemprosesan dan huraian maklumat/data
g. penginterpretasian penemuan
h. keputusan atau saranan yang dikemukakan.
Sebagai kesimpulan, dapatlah dirumuskan bahawa pernilaian kurikulum ini berupaya
menyumbang kepada pembentukan, kesinambungan, dan peluasan sesuatu program. Sesuatu
penilaian juga bertindak untuk mendapatkan bukti-bukti bagi menyokong dan mengukuhkan
sesuatu program yang dilaksanakan, selain bagi tujuan dokumentasi informasi, penggubalan
8
dasar, perancangan, pengagihan sumber, pengurusan, pemantauan dan pembaikan.8 Penilaian
juga merupakan rujukan bagi para guru, pakar kurikulum, pentadbir sekolah dan mereka yang
terlibat dalam pembentukan kirikulum. Ringkasnya, sesuatu penilaian yang baik dapat
memberikan informasi yang berguna mengenai sesuatu kurikulum dan perkara ini penting
kepada penggunaan dan pelaksanaan kurikulum, kajian terhadap kurikulum dan relevan
kepada proses memilih dan membuat keputusan mengenai sesuatu kurikulum yang disasarkan..
1.2 Beberapa Contoh Penilaian Kurikulum yang Dijalankan
Penilaian kurikulum telah dilaksanakan sejak beberapa tahun yang lalu oleh
kumpulan-kumpulan tertentu.Di bawah ini diturunkan beberapa contoh kajian penilaian
kurikulum yang pernah dijalankan dan bagaimana sesuatu penilaian itu membantu dalam
menilai keberkesanan sesuatu program dan dalam membuat keputusan dan pilihan.
Di negara-negara barat, penyelidik seperi J.M. Rice dan Raph Tyler menjalankan
penilaian terhadap program yang dijalankan di sekolah-sekolah. Umpamanya Ralph Tyler
pernah membuat penilaian yang dikenali sebagai ‘The Eight Year Study’ pada tahun 1942.
Kaedah ini merupakan kaedah pertama di mana pengkaji keluar daripada kebiasaan
menggunakan cara psikometrik untuk menjalankan pemerhatian terhadap kelakonan para
pelajar. Laporan yang dihasilkan amat menarik atas dua sebab. Pertama, laporan ini
mewujudkan bentuk penilaian yang menyatakan tujuan, menjelaskan cara-cara yang pelbagai,
cara-cara mengajar, aktiviti pelajar dan hasil program yang dikaji yang digunakan sebagai
sebahagian daripada tema penilaian yang dijalankan. Kedua, pelbagai bentuk laporan
8 . Lihat: Kemmis Stephen, 1981. A Guide to Evaluation Design, Canberra, Deakin University: Straton Ralph.G; 1985, Curriculum Evaluation, Victoria, Deakin University: Razali raof, 1991. Pengantar Kurikulum, Kuala Lumpur, DBP.
9
digunakan sebagai usaha memberikan gambaran yang menyeluruh. Tyler menggunakan
kelakonan pelajar, sosiograms, temu bual , diari pelajar dan kajian kes (case studies)- hampir
semua bentuk informasi yang relevan digunakan dalam pendekatan yang digunakan oleh
Tyler.
Di Australia, kajian terhadap tahap kelakonan pelajar dijalankan berikutan kajian
peringkat nasional pada tahun 1973 yang bertujuan untuk mengukur tahap kebolehan pelajar
yang berumur antara 10 hingga 14 tahun dalam membaca dan mengira. Kajian seterusnya
yang dilakukan ini digunakan sebagai dasar pembentukan dan pengurusan ujian dalam aspek
bacaan, penulisan dan matematik. Dapatan yang dihasilkan oleh kajian ini dapat membantu
Australia’s Education Council untuk membuat keputusan sama ada program ujian bagi negara
tersebut harus diteruskan atau tidak.
Bagi negara-negara sedang membangun, menurut Lewy, kemunculan sistem
pendidikan baharu telah mengakibatkan perubahan yang besar dalam kurikulum. Keadaaan ini
memerlukan sistem penilaian untuk mengukur merit atau nilai sesuatu kurikulum yang
dibentuk.
Negara-nagara timur seperti China, Filipina dan Indonesia umpamanya menjalankan
penilaian terhadap kurikulum yang digunakan untuk mengukur keberkesanan kurikulum yang
disediakan. Kajian ini dijalankan oleh kementerian pendidikan negara-negara berkenaan atau
kumpulan-kumpulan tertentu yang mempunyai kepentingan dalam bidang pendidikan.
Dapatan daripada usaha ini digunakan untuk mempertingkatkan kaedah pengajaran dan
pembelajaran di peringkat nasional dan untuk membentuk kurikulum yang efektif pada masa
hadapan. Sejauh ini dapatan dan analisis daripada tinjauan dan kajian yang dijalankan
digunakan untuk menyemak semula objektif dan kandungan dalam kurikulum yang dikaji.
10
Penilaian yang dijalankan di negara-negara ini menunjukkan langkah-langkah yang diambil
dengan jelas ke arah memperkenalkan proses semakan semula dalam kaedah pengajaran,
objektif pengajaran dan kandungan kurikulum bagi sesetengah subjek.
Di Malaysia pula, Program Standard I Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, dinilai
pada tahun 1971, sejurus sebelum pelancaran kurikulum sekolah rendah yang baharu.
Penilaian dilakukan untuk memastikan program yang disemak semula bersesuaian dengan
tahap penguasaaan bahasa pelajar dan keperluan mereka. Kajian ini juga menguji kelakonan
para pelajar dalam kedua-dua bahasa ini. Kajian ini menguji kemahiran asas bahasa pelajar
menggunakan ujian pencapaian yang disediakan oleh pihak kementerian pendidikan di negara
tersebut. Hasil kajian didapati amat berguna dalam menentukan keberkesanan sukatan tersebut
dan kelakonan para pelajar dalam kedua-dua subjek bahasa itu.
Untuk memastikan kelancaran kurikulum nasional di Malaysia, beberapa jawatankuasa
pelbagai subjek ditubuhkan di peringkat nasional khususnya bagi subjek bahasa kebangsaan,
Inggeris, matematik dan sains. Tugas jawatankuasa ini ialah menyemak keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan secara tetap. Perubahan dalam kandungan
kurikulum dilakukan berdasarkan rekomendasi yang disarankan. Jawatankuasa bagi subjek-
subjek lain juga ditubuhkan untuk menyemak dan mengajukan saranan bagi pemeringkatan
kurikulum yang ada.
Di Singapura, walaupun terdapat semakan yang dilakukan terhadap kurikulum Bahasa
Melayu di sekolah-sekolah di peringkat nasional umpamanya dalam awal dan akhir 1990an,
tumpuan banyak diberikan kepada aspek-aspek tertentu seperti penerapan nilai-nalai nasional
dan kemahiran segajat seperti penggunaan teknologi maklumat dan kemahiran berfikir secara
11
kritis dan kreatif. Penilaian secara terperinci terhadap sistem bahasa seperti aspek sebutan,
kosa kata, peribahasa dan tatabahasa amat kurang.
Walaupun demikian terdapat segelintir individu yang membuat kajian terhadap
penggunaan bahasa Melayu secara umum oleh penutur di Singapura. Roksana Bibi Abdullah
pada tahun 2003, umpamanya membuat kajian tentang masalah penggunaan bahasa di
Singapura. Ini meliputi kajian terhadap situasi bahasa dalam kalangan masyarakat Melayu,
dengan memberikan fokus yang khusus kepada perubahan-perubahan dalam aspek bahasa dan
pemilihan bahasa dalam kalangan generasi yang berbeza-beza. Kajian ini juga meninjau
persoalan percampuran dan peralihan kod dalam bahasa Melayu, antaranya untuk melihat
sejauh mana gangguan dialek atau bahasa-bahasa lain ke dalam bahasa Melayu.
Satu lagi contoh kajian yang pernah dijalankan di sini ialah kajian yang dilakukan oleh
Kamsiah Abdullah pada tahun 2000. Beliau membuat penyelidikan tentang sikap, penguasaan
dan penggunaan Bahasa Melayu oleh tiga golongan: pelajar-pelajar Melayu di sekolah
nasional yang mengambil Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda; pelajar di beberapa jaluran
persekolahan iaitu peringkat rendah, menengah dan prauniversiti; dan guru pelatih yang
sedang belajar di NIE. Antara tujuan kajian yang dijalankan ini ialah untuk mengetahui ciri-
ciri sikap pelajar Melayu dan aras motivasi pelajar tersebut terhadap pelajaran Bahasa Melayu.
Kesan beberapa faktor tertentu ke atas sikap dan motivasi pelajar seperti sikap ibu bapa dan
guru-guru, kedudukan sosio-ekonomi dan sifat etnosentrik juga diselidiki.
Daripada contoh-contoh yang diberikan, kita dapati bahawa pendidikan yang bermutu
amat penting bagi tujuan pengekalan mutu sesuatu kurikulum. Mutu pendidikan hanya dapat
dicapai dengan membuat kajian dan penilaian secara tetap terhadap kelebihan atau merit
12
sesuatu kurikulum itu. Fokus utama penilaian kurikulum itu ialah melihat pada dasar-dasar
yang dijelmakan melalui struktur dan kerangka pembentukan kurikulum; bentuk kurikulum,
pelbagai bahan pengajaran yang digunakan; penelitian terhadap kemajuan pelajar;
keberkesanan pengajaran dan para guru; persekitaran pembelajaran dan akhir sekali sumber
kewangan yang ada. Dengan penilaian pendidikan, semua faktor ini berupaya mengukur
keberkesanan dasar-dasar pendidikan yang dilaksanakan dalam proses perkembangan
kurikulum.
1.3 Kesimpulan
Oleh sebab terdapat bayak langkah dan susun atur yang harus diikuti dan dipenuhi
untuk membentuk, melaksana dan menguruskan kurikulum, maka sesuatu kurikulum itu
memerlukan penelitian yang rapi untuk dilaksanakan. Pembentukan dan pelaksanaan sesuatu
kurikulum itu melibatkan masa, tenaga dan biaya yang bukan sedikit dan juga melibatkan
masyarakat muka yang akan mengikuti kurikulum yang dibina. Penilaian kurikulum perlu
dijalankan bagi memastikan sama ada sesuatu kurikulum yang dilaksanakan itu berkesan atau
bermasalah. Jika bukti-bukti yang dikumpulkan menunjukkan bahawa terdapat kelemahan dan
kekurangan, proses pembaikan harus dijalankan dengan segera agar risiko dan kerugiannya
tidak berpanjangan dan menjadi semakin besar.
Kurikulum merupakan sesuatu bidang yang dinamik, yang sentiasa berubah-rubah
mengikut zaman. Perubahan dan perkembangannya selalu dikaitkan dengan keperluan dan
keinginan manusia. Penelitian yang rapi haruslah diberikan tumpuan dalam menentukan hala
tuju dan matlamat pendidikan. Semua perubahan dan perkembangan haruslah diberikan
pemantauan yang terperinci dan dengan penuh dedikasi demi pemantapan kurikulum. Dengan
13
cara ini, pentadbir masyarakat atau pemerintah akan dapat merancang dan menentukan corak
pendidikan dan kehidupan yang diinginkan dan diperlukan oleh rakyatnya. Sebarang
perubahan dan perkembangan kurikulum ini membawa implikasi yang amat besar kepada
individu, masyarakat dan negara, baik dalam bentuk ekonomi, politik atau sosial. Jaya
tidaknya atau maju mundurnya sesebuah masyarakat dan negara itu bukan sahaja bergantung
kepada mutu dan kecekapan para pemimpinnya tetapi juga bergantung kepada faktor-faktor
lain dan antaranya ialah sistem pendidikan yang terangkum dalam kurikulum yang
direncanakan dan dijelmakan di sekolah-sekolah. Perancangan kurikulum yang rapi dan
teratur akan memungkinkan pembentukan generasi pelapis bagi meneruskan tradisi ilmu,
budaya dan bangsa negara tersebut.
14
BAB 2
LATAR BELAKANG SISTEM PENDIDIKAN SINGAPURA
2.1 Pengenalan 2.1.1 Falsafah Pendidikan Sekolah-sekolah Di Singapura
Falsafah yang mendasari sistem pendidikan sekolah di Singapura termaktub dalam
misi pendidikan Negara, iaitu untuk membentuk masa depan rakyat yang seterusnya akan
menentukan masa depan negara. Sistem pendidikan menyediakan rakyat dengan pendidikan
yang seimbang dan menyeluruh, supaya mereka berupaya membentuk dan meningkatkan
potensi mereka sepenuhnya, menjadi warga yang baik, bertanggungjawab terhadap keluarga,
masyarakat dan negara. Dengan lain perkataan, pendidikan di Singapura bertujuan untuk
membentuk rakyat agar mempunyai moral yang tinggi, berkebolehan, produktif dari segi
ekonomi, bertanggungjawab, tahan lasak dan mempunyai kesedaran estetik.
Falsafah ini sedemikian rupa kerana keunikan keadaan dan persekitaran Singapura –
negara yang muda, saiz tanah yang kecil, kekurangan hasil semula jadi, dan penduduk yang
berbilang bangsa dan budaya. Rakyat Singapura merupakan aset yang berharga dan
merupakan sumber kekayaan dan kemakmuran negara. Walaupun demikian, rakyat Singapura
menjalani kehidupan yang penuh bermakna, mempunyai harapan masa depan yang lebih
cerah, mempunyai rasa kecintaan dan identiti yang terhasil daripada penakatan, kemakmuran
dan kejayaan Singapura.
Sistem pendidikan menggambarkan prinsip-prinsip utama yang membentuk
masyarakat dan negara Singapura. Ciri-ciri utama tersebut meliputi peluang untuk semua,
meritokrasi, dwibahasa, pendidikan moral, dan penekanan terhadap nilai-nilai murni,
15
pengetahuan dan kemahiran bagi menjalani kehidupan dan pekerjaan yang lebih efektif.
Pendidikan dalam sekolah-sekolah nasional menyediakan pengetahuan teras yang menjadi
asas yang kuat bagi pendidikan dan latihan selanjutnya yang boleh menyediakan rakyat bagi
ekonomi yang berteraskan ilmu (knowledge-based economy). Sistem ini juga memberikan
para pelajar pengalaman asas dan umum dalam pendidikan yang boleh membantu mereka
untuk membangun identiti dan perpaduan nasional.
2.1.2 Evolusi dan Struktur Pendidikan Sekolah Di Singapura
Tugas Singapura mengendalikan dan merancang pendidikan sudah bermula sejak
Singapura mendapat taraf pemerintahan sendiri pada tahun 1959. Sejak itu, sistem pendidikan
sekolah di Singapura sudah mengalami pelbagai perubahan demi perubahan semata-mata
untuk memenuhi keperluan sebuah negara yang baru membangun. Dasar dilakar dan diubah
suai dari semasa ke semasa untuk memenuhi keadaan yang sering berubah-ubah. Namun,
prinsip asas, iaitu meritokrasi dan keharmonian kaum dan agama menjadi asas yang
menyokong semua dasar dalam sistem pendidikan.
Pada tahun 1959, keutamaan yang diberikan ialah untuk mewujudkan negara yang
bersatu dan berupaya dalam bidang ekonomi. Pendidikan pada masa itu lebih menekankan
pendidikan bagi penakatan ( survival ) Singapura. Bidang pendidikan dikenal pasti sebagai
anak kunci dan strategi untuk membentuk perpaduan sosial dan tenaga kerja yang
berkemahiran. Oleh itu, langkah pertama yang diambil ialah untuk memastikan setiap kanak-
kanak bersekolah dalam sistem persekolahan nasional. Ini bermakna menyatukan sistem
pendidikan yang berdasarkan kaum pada ketika itu – aliran Melayu, Cina, dan Tamil - dengan
memberikan layanan yang sama rata dan menyediakan kurikulum dan peperiksaan yang
16
umum. Salah satu ciri pendidikan ketika itu ialah dasar dwibahasa (bahasa Inggeris dan
bahasa ibunda), kebolehan membaca dan menulis, kebolehan mengira, pendidikan moral dan
sivik, sains dan pendidikan teknikal.
Dasar dwibahasa memerlukan semua pelajar mempelajari dua bahasa. Bahasa Inggeris
dipelajari bagi tujuan administrasi, ekonomi, sains dan teknologi, sementara bahasa ibunda
(Melayu, Cina dan Tamil) bagi pemupukan nilai-nilai murni dan pengekalan warisan dan
budaya. Bahasa Inggeris juga bertindak sebagai bahasa umum yang digunakan dalam alam
pekerjaan bagi semua bangsa di Singapura.
Sepanjang dua dekad (1959-1978 ), banyak kemajuan yang telah dicapai. Pendidikan
sekolah rendah, menengah dan posmenengah telah dibangunkan, dan sistem pendidikan
mempunyai fokus dan matlamat nasional yang kukuh. Dengan adanya sistem pendidikan
nasional, setiap sekolah dipastikan untuk mempunyai standard asas yang minimum dan
memberikan peluang kepada para pelajar untuk mendapat pendidikan asas yang diperlukan.
Walau bagaimanapun, sistem yang ada ini tidak dapat memenuhi keperluan dan keupayaan
pelajar yang pelbagai.
Oleh itu pada tahun 1979, sistem pendidikan disemak semula untuk meningkatkan
mutu dan keupayaannya serta mengurangkan sebarang pembaziran. Berdasarkan laporan Goh
Keng Swee tahun 1979, sistem pelbagai kursus/aliran mengikut keupayaan pelajar
diperkenalkan. Pendidikan ini lebih menekankan kecekapan (efficiency) para pelajar dalam
pelajaran. Para pelajar di peringkat rendah dan menengah ditempatkan dalam kursus/aliran
yang berbeza-beza berdasarkan keupayaan mereka dalam pelajaran. Para pelajar ini
mempelajari kurikulum dan menjalani tahap pembelajaran yang berbeza juga. Hal ini
17
berdasarkan kepercayaan bahawa para pelajar dikurniai kebolehan yang berbeza-beza, tetapi
mereka mestilah mendapat pendidikan setinggi mungkin berdasarkan kebolehan mereka.
Oleh itu, pendidikan peringkat rendah ditetapkan antara 6-8 tahun, sementara
peringkat menengah pula antara 4-5 tahun, bergantung pada aliran. Ini memberikan pelajar
peluang untuk belajar dan maju pada tahap yang sesuai dengan kebolehan mereka.
Nampaknya sistem yang diperkenalkan ini membuahkan hasil yang agak lumayan. ‘Dengan
memperkenalkan sistem aliran berdasarkan keupayaan, sistem ini menjadi bertambah efisien;
kadar keciciran merosot dan pencapaian pelajar meningkat. Para pelajar pelbagai keupayaan
berpeluang untuk mengalami kejayaan dalam pelajaran mereka dan menimba ilmu dan
kemahiran yang relevan bagi pendidikan dan latihan lanjutan atau untuk alam pekerjaan’.9
Kemajuan yang dicapai pada lewat 1980-an menjadi mangkin ke arah sistem
pendidikan yang lebih bermutu. Sekolah-sekolah diberi autonomi yang lebih luas bagi
menggalakkan pembentukan program dan pendekatan pendidikan yang lebih inovatif.
Keadaan ini menggalakkan penubuhan lapan buah sekolah menengah bebas seperti Institusi
Raffles, Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang, Sekolah Perempuan Raffles dan Sekolah Tinggi
Cina. Pada masa ini juga, ekonomi Singapura berkembang dengan pesat dan memerlukan
pengetahuan dan kemahiran yang lebih canggih. Pendidikan dan kemahiran tenaga kerja
perlulah berkembang maju sejajar dengan perkembangan ekonomi bagi menyokong
perubahan ini ke arah menghasilkan aktiviti yang bernilai tambah. Oleh itu, timbul keperluan
untuk meningkatkan keupayaan pendidikan di peringkat posmenegah dan peringkat tinggi. Ini
memerlukan semakan semula sistem pendidikan yang ada.
9. Laporan Jabatan Pengembangan dan Pembangunan Kurikulum, MOE, 2003. School Education in Singapore, Singapore, MOE, hlm 3. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘With the introduction of ability-based streaming, the system became more efficient; the dropout rate fell and students achievement rose. Students of all abilities were able to experience success in their studies and acquire knowledge and
18
Pada tahun 1991, sistem pendidikan diperhalusi untuk memastikan agar semua pelajar
dapat menamatkan 10 tahun pendidikan asas -- 6 tahun di sekolah rendah dan 4 tahun di
sekolah menengah. Sistem aliran berdasarkan kebolehan diperbaik dan kurikulum baharu
disediakan khususnya bagi pelajar yang kurang berkemampuan dalam pelajaran untuk
mendapat kemahiran asas dalam bahasa Inggeris, matematik, nilai-nilai murni dan kemahiran
hidup (life skills). Latihan vokasional dianjakkan dan pelajar akan hanya disalurkan untuk
mengikuti latihan ini setelah tamat 10 tahun persekolahan.
Ini untuk memberikan pendidikan yang boleh membentuk mereka secara holistik dan
mempunyai asa bagi pendidikan dan latihan.10 Diharapkan sistem ini dapat menyiapkan
pelajar dengan kemahiran bagi menjalani kehidupan secara efektif dan bekerja dalam sebuah
negara yang maju dalam teknologi serta menyumbang secara produktif kepada ekonomi
negara.
Keadaan berubah lagi pada bahagian kedua tahun 1990-an. Trend sejagat yang menuju
ke arah globalisasi, perubahan teknologi yang pantas dan perlunya menghasilkan kepakaran
intelektual berdasarkan ekonomi berteraskan ilmu telah mendorong kepada pembentukan
inisiatif baharu dalam pendidikan. Pada tahun 1997, pendidikan di Singapura memberikan
lebih penekanan kepada keupayaan ( ability ) para pelajar dalam bidang pelajaran. Bagi
memastikan Singapura kekal relevan dari segi ekonomi, setiap rakyat Singapura haruslah
berubah dan meningkatkan keupayaan dan kepakaran sesuai dengan perubahan pesat yang
berlaku di sekeliling Singapura.
10. Lihat Lampiran 1 bagi Struktur Sistem Pendidikan di Singapura.
19
Antara perkara yang diberikan tumpuan termasuklah memastikan setiap kanak-kanak
berupaya belajar dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Hal ini amat jelas
terangkum dalam visi Kementerian Pendidikan ‘Sekolah Berdaya Fikir, Negara Penimba
Ilmu’ (Thinking School, Learning Nation)11. Konsep ini merupakan pusat bagi visi
kementerian. Sekolah-sekolah mestilah membina generasi akan datang yang boleh berfikir
dan komited dan berupaya untuk membuat keputusan bagi mengekalkan kedudukan
Singapuran sebagai sebuah negara yang bersemangat dan berjaya pada masa hadapan.
Diakui bahawa untuk memupuk kepakaran intelektual, sistem pendidikan mestilah
berupaya membentuk dan membangunkan bakat dan keupayaan dalam diri setiap rakyat agar
mereka dapat menyumbang kepada masyarakat. Sistem pendidikan yang berteraskan
keupayaan ini menjadi dasar bagi pembentukan program-program pendidikan dan kelenturan
yang diwujudkan dalam sistem ini amat diperlukan untuk memenuhi kumpulan pelajar yang
mempunyai pelbagai keperluan dan bakat.
Dengan fokus baharu ini, kurikulum sekolah dikemaskinikan untuk memberikan
tumpuan kepada kemahiran berfikir dan pembelajaran kendiri. Kandungan kurikulum
dikurangkan bagi memberikan laluan kepada aktiviti-aktiviti yang menggalakkan kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif dan pembentukan moral dan sosial dan intelektual para
pelajar yang diperlukan dalam kehidupan. Penggunaan teknologi maklumat yang menjadi
asas pembelajaran diperkenalkan secara meluas. Pada masa yang sama, Pendidikan Nasional
(National Education atau NE) diterapkan dalam semua kurikulum sekolah untuk memupuk
rakyat Singapura agar taat setia kepada negara dan berpegang teguh kepada warisan dan
budaya mereka. Pendidikan moral juga terus ditekankan bagi memastikan para pelajar
11. Lihat teks ucapan Encik Goh Chok Tong dalam Majlis Perasmian Persidangan Ke 7 tentang Berfikir ( The 7th International Conference on Thinking ) pada 2 June, MOE.
20
mempunyai moral dan berhemah tinggi. Cara penilaian dikembangkan dan kerja projek
diperkenalkan bagi menggalakkan pelajar berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan
masalah serta bekerja secara berkumpulan dan berkomunikasi secara efektif. Berdasarkan
perubahan ini, adalah diharapkan setelah tamat persekolahan, para pelajar ini sudah
mempunyai asas kemahiran untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi dengan
efektif, menyelesaikan masalah, hidup dan bekerja secara harmoni dalam kumpulan sosial dan
di tempat kerja, serta taat setia dan tinggal di Singapura dan terus menimba ilmu sepanjang
hayat mereka.
Sistem pendidikan di Singapura akan terus berubah selagi keadaan dan sekitaran
Singapura berubah. Sistem dan struktur pendidikan yang ada sekarang akan terus dikemas
kini dari semasa ke semasa untuk memenuhi dan menyediakan keperluan individu dan negara
dalam sekitaran yang terus berubah pesat ini.
2.1.3 Sejarah Ringkas Perkembangan dan Kedudukan Bahasa Melayu
dalam Sistem Pendidikan
Sejajar dengan evolusi dan perubahahan dalam pendidikan Singapura, bahasa Melayu
juga mengalami banyak perkembangan sejak Singapura menjadi negara berpemerintahan
sendiri . Pada masa itu, Bahasa Melayu yang menjadi lingua franca di rantau ini telah
diangkat menjadi Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu menjadi bahasa utama dan bahasa
pengantar di sekolah-sekolah terutama dengan terdirinya sekolah- sekolah menengah aliran
Melayu. Pada tahun 1959-1962, buku bahasa Melayu yang berjudul Bahasa Negaraku yang
ditulis oleh Muhd Ariff Ahmad diterbitkan dan digunakan sebagai buku teks bagi pelajar-
21
pelajar bukan Melayu di sekolah-sekolah aliran Inggeris dan Cina. Bahasa Melayu terus
berkembang dengan pesat sehingga ke peringkat prauniversiti pada awal tahun 1965.
Tahun 1965 juga merupakan tahun di mana Singapura berpisah daripada Malaysia dan
bermulalah sejarah baharu Singapura, iaitu Singapura tidak bergantung lagi kepada Malaysia
terutamanya dari segi politik. Perubahan ini bermakna perlunya pembentukan nilai-nilai
baharu nasional dan juga keupayaan untuk berdikari dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Pengunduran pihak British, ketegangan hubungan dengan Indonesia dan Malaysia selepas
perpisahan menjadikan Singapura lebih rapuh dan oleh sebab itu, Singapura perlu
mempertingkatkan keupayaannya untuk tujuan penakatan dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Begitu juga, walaupun ancaman daripada pihak komunis sudah dapat dikawal, hubungan
pelbagai kaum perlu dipertingkatkan dan dikekalkan bagi membangunkan sebuah masyarakat
yang utuh dan berdisiplin. Dari segi ekonomi pula, Singapura perlu mengubah bentuk
ekonominya yang amat bergantung kepada import sebelum ini kepada industri yang
berorientasikan eksport. Selain itu, seluruh infrastruktur ekonomi haruslah lebih kondusif bagi
pelaburan asing, terutamanya syarikat-syarikat berbilang negara (MNCs). Bagi pemerintah
Singapura, semua faktor ini menunjukkan bahawa pendidikan perlu diberikan penekanan yang
wajar demi mencapai dua objektif kembar, iaitu untuk membantu transformasi ekonomi dan
pembentukan masyarakat yang kohesif dan berdisiplin. Atas dasar ini, beberapa perubahan
dilakukan termasuk perubahan dari segi pendidikan. Dasar Pendidikan Nasional
diperkenalkan, antaranya ialah dasar dwibahasa yang diperkenalkan pada tahun 1966.
Dengan adanya dasar dwibahasa, Bahasa Melayu diajar sebagai bahasa kedua sementara
Bahasa Inggeris pula menjadi bahasa pertama dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah aliran
nasional. Pemerintah percaya bahawa penguasaan dalam bahasa Inggeris dan dalam bahasa
ibunda akan mempertingkatkan peluang seseorang itu dalam bidang pekerjaan dan juga
22
membantu memecahkan tembok pemisah antara kaum yang seterusnya akan membantu
pembentukan sebuah masyarakat Singapura yang bersepadu dan harmoni. Dua dekad selepas
itu, dasar dwibahasa ini ditingkatkan lagi. Menurut Tony Tan dalam uacapan parlimen pada
tahun 1986, ‘Saya berpendapat bahawa dasar dwibahasa yang memerlukan seorang pelajar
belajar Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda merupakan satu ciri asas dalam sistem pendidikan
kita... Para pelajar mesti belajar Bahasa Inggeris agar mereka terdedah kepada dunia ilmu,
teknologi dan kepakaran dunia moden. Mereka mesti mengetahui bahasa ibunda mereka untuk
membantu mereka memahami apa yang membentuk mereka seperti yang ada pada hari ini.’12
Seterusnya pada tahun 1979, apabila laporan Goh Keng Swee diterima oleh
pemerintah, Bahasa Melayu dan bahasa etnik yang lain (Cina dan Tamil ) yang diajar di
sekolah-sekolah dikenali pula sebagai bahasa ibunda.
Berikutan dengan perkembangan ini, kurikulum Bahasa Melayu disemak semula pada
tahun 1980. Secara umum, perubahan yang diperkenalkan ialah khususnya yang berkaitan
dengan aspek-aspek untuk menjadikan sukatan pelajaran sejajar dengan Sistem Pendidikan
Baharu terutamanya yang berkaitan dengan tahap penguasaan bahasa. Satu jawatankuasa
semakan dibentuk untuk menyemak sukatan pelajaran yang ada. Walaupun demikian,
jawatankuasa ini tidak menyarankan perubahan yang ‘radikal’ dalam sukatan pelajaran.
Objektif, kandungan dan susunan bagi strutktur bahasa dan komponen-komponen bahasa yang
lain tidak berubah. Berikut ialah rekomendasi yang disarankan oleh jawatankuasa tersebut:
12. Tan Keng Yam, Tony, 1986a. ‘Parliamentary Speech, March 1986’, disebut dalam Yip Soon Kwong, John & Sim Wong Kooi (ed ), 1990. Evolution of Education Excellence, Singapore, Longman Singapore Publishers Ltd. Tukilan asal dalam bahasa Inggeris ialah ‘Our policy of bilingualism that each child should learn English and his mothertongue as fundamental feature of our education system…Children mest learn English so that they will have a window to the knowledge, technology of the modern world. They must know their mother tongues ro enable them to know what makes us that we are.’
23
a. memperbaik struktur ayat atau kenyataan yang kabur
b. memperuntukkan masa kurikulum bagi setiap komponen: tatabahasa, karangan dan
kefahaman
c. kemahiran menulis, walaupun tidak merupakan aspek yang diajar secara formal,
perlu juga diberikan perhatian yang wajar. Penyataan tentang perkara ini perlu
dicatatkan dalam bahagian awal sukatan pelajaran yang baharu
d. kementeriaan dan Institut Pengembangan Kurikulum Singapura (CDIS) perlu
mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku teks sendiri bagi subjek Bahasa
Melayu agar guru dan pelajar tidak bergantung kepada Malaysia untuk
mendapatkan buku teks.
Beberapa perkembangan berlaku dalam pengajaran subjek Bahasa Melayu sejak
pertengahan tahun 1980-an. Pada tahun 1986, pelajar-pelajar bukan Melayu yang merupakan
kohort 10% terbaik Peperiksaaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dibenarkan untuk
mengambil Bahasa Melayu Program Khas (MSP) sebagai bahasa ketiga ketika mereka di
sekolah menengah. Pelajar-pelajar ini belajar bahasa menggunakan kurikulum yang berbeza
dengan pelajar-pelajar yang mengambil Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Begitu juga
pelajar yang cemerlang 10% terbaik PSLE bagi kohort yang mengambil Bahasa Melayu
sebagai bahasa kedua dan mendapat sekurang-kurangnya gred A dalam Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris, dibenarkan untuk mengambil Bahasa Melayu Lanjutan (peringkat bahasa
pertama) apabila mereka berada di peringkat sekolah menengah. Sejak tahun 2002, jumlah
peratusan pelajar yang dibenarkan mengambil Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga dan
Bahasa Melayu Lanjutan dinaikkan kepada 30% pelajar terbaik. Pada tahun 2004 pula, selain
pelajar 30% terbaik yang dibenarkan mengambil subjek ini, kementerian melonggarkan
kriteria kelayakan dengan membenarkan setiap pelajar mempelajari subjek ini sekiranya
24
mereka berminat. Perubahan ini memberikan gambaran yang jelas tentang dasar kementerian
yang ingin menggalakkan setiap pelajar belajar bahasa ibunda mereka setinggi yang mungkin
berdasarkan kemampuan mereka. Menyedari bahawa tidak semua pelajar mempunyai
keupayaan, motivasi dan suasana rumah yang sama, kementerian mengambil langkah dengan
memperkenalkan pendekatan yang berbeza untuk memenuhi keperluan ini. Perubahan ini juga
adalah untuk mengekalkan daya saing Singapura di arena antarabangsa khususnya dari segi
ekonomi dan hubungannya dengan negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei
Darussalam, China dan India.
Pada awal tahun 1990-an, kurikulum bahasa ibunda termasuk Bahasa Melayu disemak
semula. Langkah ini diambil kerana kurikulum yang digunakan pada masa itu sudah
dilaksanakan sejak tahun 1983. Perkembangan yang berlaku di sekeliling Singapura juga
sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial berubah dengan pesatnya dan Singapura perlu
membuat perubahan dalam sistem pendidikan untuk kekal relevan. Saranan bagi pendekatan
yang bersifat tematik, interaktif dan gabung jalin kemahiran dan aktiviti digunakan dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Saranan bagi sukatan pelajaran yang baharu ini
diluluskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Kurikulum pada Januari 1993. Ringkasan
saranan yang diajukan adalah seperti yang berikut:
a. tumpuan yang sama berat diberikan terhadap kedua-dua objektif pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu, iaitu untuk membangunkan penguasaan bahasa
pelajar dan untuk menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar bagi tujuan
pembangunan negara
b. penggunaan pendekatan yang tematik, gabung jalin dan berdasarkan aktiviti untuk
menjadikan pembelajaran bahasa lebih efektif, menarik dan bermakna
25
c. penyediaan daftar kemahiran mikro yang perlu dipelajari oleh setiap pelajar dalam
pembelajaran bahasa ibunda mereka. Daftar ini juga berguna kepada para guru
dalam menyediakan rancangan pelajaran dan kepada pembina buku teks
d. perubahan dalam daftar peribahasa juga akan menjadikan pembelajaran lebih
bermakna.
Pada tahun 1997 pula, dengan arus globalisasi dan pentingnya penggunaan teknologi
maklumat, kurikulum sekolah termasuk kurikulum Bahasa Melayu mengalami beberapa
perubahan sekali lagi. Kurikulum Bahasa Melayu disemak semula pada tahun 1999.
Jawatankuasa semakan ini dipengerusikan oleh Encik Teo Chee Hian yang menjadi menteri
pendidikan ketika itu. Sehubungan dengan ini, satu Jawatankuasa Penasihat Bahasa Melayu
ditubuhkan. Jawatankuasa ini diketuai oleh Encik Hawazi Daipi, seorang anggota parlimen,
dan dianggotai oleh pegawai pendidikan, pengetua/naib pengetua sekolah, pensyarah
universiti, wakil persatuan dan pihak media. Tugas jawatankuasa ini ialah untuk menyemak
secara umum kurikulum Bahasa Melayu dan juga untuk mendapatkan maklum balas daripada
pelbagai pihak yang ada kaitan dengan penggunaan bahasa Melayu di Singapura.
Hasil semakan tersebut diumumkan oleh Encik Teo Chee Hian. Strategi dan rancangan
yang diumumkan berhasrat untuk mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu, memberikan peluang kepada para pelajar yang berkebolehan mempelajari bahasa
setinggi yang boleh dan sekali gus melahirkan individu pelapis yang mahir dalam bahasa dan
budaya yang boleh bertindak sebagai penyambung budaya dan bahasa Melayu di Singapura.
Rancangan dan strategi yang diusulkan pelaksanaannya pada tahun 2001 dan 2002 adalah
seperti yang berikut:
26
a. Semakan semula sukatan pelajaran bagi peringkat rendah,
menengah dan prauinversiti. Bahan-bahan pengajaran baharu dibina
berdasarkan sukatan baharu ini. Sukatan pelajaran dan bahan-bahan pengajaran
yang baharu ini mula digunakan di sekolah rendah dan menengah secara
berperingkat-peringkat bermula pada tahun 2002.
b. Bahasa Melayu ‘B’ diperkenalkan bagi para pelajar yang lemah
dalam penguasaaan Bahasa Melayu. Sukatan ini mula ditawarkan di peringkat
menengah 3 dan prauniversiti. Walaupun demikian, peperiksaan nasional bagi
Bahasa Melayu ‘B’ peringkat GCE ‘O’ dan GCE ‘AO’ pertama kali
diperkenalkan pada tahun 2001. Untuk ini, bahan-bahan interim disediakan
oleh pihak kementerian bagi kegunaan para pelajar.
c. Program Elektif Bahasa Melayu bagi Sekolah-sekolah Menengah (EMAS)
diperkenalkan di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang. Program ini
disediakan bagi para pelajar yang mengambil Bahasa Melayu Lanjutan di
sekolah tersebut. Para pelajar ini berpeluang mengikuti program pengayaan
seperti bengkel penulisan kreatif, perkhemahan bahasa, ceramah, penglibatan
dalam aktiviti budaya seperti drama dan bangsawan. Program ini bertujuan
untuk memberikan para pelajar pendedahan yang lebih luas kepada bahasa dan
budaya.
d. Program Elektif (Bahasa Melayu) atau MLEP diperkenalkan di Maktab Rendah
Tampines bagi para pelajar prauniversiti yang mengambil Bahasa Melayu
Lanjutan di peringkat GCE ‘A’. Para pelajar program MLEP juga berpeluang
27
mengikuti program penyerapan (immersion programme) dan perkhemahan
bahasa dan budaya yang dianjurkan setiap tahun dan juga aktiviti bahasa dan
budaya yang lain seperti ceramah, bengkel dan bahas. Program ini bertujuan
untuk memberikan pendedahan bahasa dan budaya yang lebih luas kepada para
pelajar dan berharap agar para pelajar menjadikan bidang perguruan atau
kewartawanan sebagai kerjaya mereka apabila mereka tamat persekolahan.
e. Program Ijazah (Kepujian) dalam Bahasa dan Kesusasteraan
Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NIE) diperkenalkan bagi para pelajar
yang ingin menjadi guru siswazah. Program ini dibuka juga kepada para guru
Bahasa Melayu yang sedang mengajar di sekolah-sekolah bagi membolehkan
mereka mempertingkatkan diri dan memperoleh ijazah dalam bidang
pendidikan.
2.1.4 Penubuhan Institut Pengembangan Kurikulum Singapura (CDIS) dan Unit
Bahasa Melayu
Untuk memperkemas dan menyelaraskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu, CDIS dan Unit Bahasa Melayu ditubuhkan pada awal tahun 1980. Tugas CDIS
adalah menyediakan bahan-bahan pengajaran dan bahan-bahan sokongan dari peringkat
sekolah rendah hingga menengah. Bengkel bagi para guru khususnya yang berkaitan dengan
penggunaan bahan pengajaran secara efektif turut dianjurkan.
Unit Bahasa Melayu yang menaung di bawah Cawangan Bahasa dan Kesusasteraan,
Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum (CPDD), Kementerian Pendidikan,
bekerja rapat dengan CDIS. Unit ini melakar kurikulum, menyediakan sukatan pelajaran,
28
memantau pelaksanaan program di sekolah-sekolah, membantu guru dalam pelaksanaan
kurikulum dan penggunaan bahan pengajaran khususnya dalam strategi pengajaran. Unit ini
juga menganjurkan bengkel-bengkel dan seminar bahasa bagi para guru serta aktiviti bahasa
bagi para pelajar peringkat sekolah rendah hingga peringkat prauniversiti.
Para pegawai yang bertugas dalam kedua-dua unit ini terdiri daripada para guru
Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah-sekolah. Mereka dipinjamkan ke unit ini dalam
jangka waktu tertentu atau mengikut lamanya sesuatu projek itu dijalankan. Sebelum
memulakan tugas menulis, biasanya pegawai-pegawai ini tidak melalui latihan yang formal
dan khusus, umpamanya bagi pembinaan sukatan dan bahan pengajaran. Mereka belajar
melalui latihan sambil bekerja (on the job training) di samping menghadiri beberapa kursus
pendek yang ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan aspek pembinaan bahan.
Pembinaan bahan ini pula berdasarkan sukatan pelajaran yang disusun oleh MOE. Jadi, bahan
pengajaran yang disediakan merupakan interpretasi misi dan visi sukatan pelajaran yang
disediakan oleh pihak kementerian bagi satu jangka masa tertentu.
Pada akhir tahun 1996, setelah penutupan CDIS dan percantuman CDIS dan CPDD,
Unit Bahasa Melayu mengambil alih sepenuhnya semua tugas yang berkaitan dengan
kurikulum, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan pembinaan bahan-bahan
pengajaran yang digunakan di sekolah-sekolah di Singapura.
2.2 Pernyataan Masalah dan Skop Kajian
Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa rasmi di Singapura dan mempunyai
peranan dalam sistem pendidikan di sini, khususnya dalam penerapan nilai-nilai murni dan
29
pengekalan warisan dan budaya serta pembentukan identiti dan perpaduan nasional.
Walaupun terdapat semakan yang dilakukan, contohnya dalam tahun 1980-an dan1990-an,
sejauh ini semakan yang dilakukan adalah secara umum yang kebanyakannya tertumpu
kepada aspek-aspek tertentu seperti pendekatan, kemahiran mikro, kemahiran berfikir,
pembelajaran sepanjang hayat, penggunaan teknologi maklumat, pendidikan nasional dan
pembelajaran kendiri. Semakan yang dilakukan ini dan saranan yang diajukan sudah pun
diterangkan dengan terperinci dalam halaman yang lebih awal. Pada masa itu, semakan
tersebut merupakan reaksi kepada perubahan globalisasi yang pesat berlaku. Oleh itu,
semakan tersebut berhasrat untuk memenuhi tuntutan semasa dari segi ekonomi, social dan
hubungan Singapura dengan negara-negara serantau dan memastikan subjek-subjek yang
diajar di sekolah-sekolah kekal relevan dari segi sumbangannya kepada pembangunan negara.
Dengan yang demikian, perubahan yang disarankan melalui semakan tersebut banyak
tertumpu kepada aspek pedagogi seperti penggunaan teknologi maklumat dan kemahiran
berfikir secara meluas dalam semua subjek termasuk juga subjek Bahasa Melayu. Akibatnya,
penelitian terhadap tiap-tiap aspek sistem bahasa dan fungsi Bahasa Melayu dalam sistem
pendidikan kurang diberi tumpuan. Oleh itu, kajian yang dijalankan ini berhasrat untuk
meneliti, mengenal pasti keberkesanan dan kekurangan serta mencadangkan huraian bagi
mengatasi kekurangan yang ada. Diharapkan hasil kajian ini dapat menyumbang, khususnya
dalam penyediakan sukatan pelajaran, bahan pengajaran dan strategi pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu.
Salah satu sistem bahasa yang dikaji ialah aspek sebutan baku. Sistem sebutan baku
ini merupakan aspek yang penting dalam proses pembakuan bahasa Melayu setelah
pembakuan ke atas sistem ejaan, tatabahasa, istilah dan kosa kata. Pelaksanaan sebutan baku
dalam pengajaran Bahasa Melayu merupakan dasar atau polisi pengajaran bahasa yang
diambil oleh kementerian pendidikan setelah meneliti keperluan penggunaannya dari aspek
30
pengajaran Bahasa Melayu terutamanya dalam bidang bacaan dan ejaan. Dengan kata lain,
sebutan baku merupakan aspek penting dalam kurikulum Bahasa Melayu bagi tujuan
pemerolehan dan penguasaan bahasa Melayu yang standard. Selain itu, pelaksanaan sebutan
baku berkait rapat dengan usaha Singapura dan negara-negara serantau dalam proses
pemantapan bahasa Melayu dan usaha serantau dalam menyeragamkan sebutan dalam bahasa
Melayu. Walaupun demikian, sejak dilancarkan di sekolah-sekolah lebih sedekad lalu, isu
sebutan baku masih diperkatakan dengan hangat oleh sebilangan masyarakat Melayu.
Terdapat golongan yang masih ragu-ragu dengan pelaksanaannya di peringkat sekolah dan
manfaat yang boleh diraih oleh para pelajar. Setelah lebih sedekad dilaksanakan di sekolah-
sekolah di Singapura dan walaupun ada keraguan yang dilahirkan oleh masyarakat umum,
tiada kajian yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu termasuk pihak kementerian sendiri
tentang keberkesanan pelaksanaan sebutan baku ini. Oleh itu, kajian ini berhasrat untuk
memenuhi kekosongan ini dengan menyorot pelaksanaan sebutan baku di peringkat sekolah
dan faktor-faktor yang berkaitan dengan jaya tidaknya pelaksanaan sebutan ini. Dapatan
daripada kajian ini diharap dapat membantu perancangan dan pelaksanaan sebutan baku
dengan lebih baik pada masa hadapan.
Satu lagi sistem bahasa yang dikaji ialah aspek kosa kata. Sudah dimaklumi bahawa
penguasaan kosa kata pelajar mempunyai pengaruh yang langsung terhadap keupayaannya
bertutur, membaca dan menulis. Pemerolehan kosa kata yang baik akan membantu seseorang
pelajar dalam proses penguasaan sesuatu bahasa yang dipelajarinya. Pengajaran kosa kata
perlulah dirancang dengan baik dan dijalankan secara sedar serta dengan menggunakan teknik
dan strategi yang sesuai. Pengajaran kosa kata tidak boleh dianggap sebagai sebahagian kecil
atau aspek sampingan dalam pengajaran sesuatu bahasa seperti mana yang berlaku sekarang
ini. Sejauh ini belum ada usaha bagi meneliti atau menilai pengajaran kosa kata dalam subjek
31
Bahasa Melayu secara terperinci. Hal ini sudah pun diterangkan dalam halaman yang lebih
awal. Oleh itu terdapat keperluan agar pengajaran dan pembelajaran kosa kata ini ditinjau dan
dinilai untuk mengetahui bagaimana proses pemilihan kosa kata dilakukan dan kaedah
pengajaran yang digunakan. Tahap kesesuaiannya berdasarkan kebolehan pelajar, kursus dan
tingkatan juga harus dikenal pasti bagi memungkinkan perancangan dan tindakan susulan
yang wajar.
Dari segi fungsi Bahasa Melayu, pengkaji akan meninjau peranan yang dimainkan
oleh subjek Bahasa Melayu dalam penyerapan dan pemupukan nilai-nilai murni dalam
kalangan pelajar. Penyerapan nilai-nilai murni yang dihajatkan haruslah dijalankan secara
sedar oleh setiap guru melalui ruang-ruang yang ada. Persoalannya ialah sejauh manakah
para guru sedar akan peranannya dalam pemupukan nilai-nilai ini dan adakah cara yang
digunakan dalam menyampaikan hasrat itu sesuai dan efektif? Sejauh manakah pula nilai-
nilai yang sudah diajar itu dipastikan sudah dihayati oleh para pelajar?
Oleh sebab pemupukan nilai-nilai murni ini merupakan salah satu objektif utama
dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam sukatan
pelajaran Bahasa Melayu tahun 2002, penilaian terhadap perkara ini perlu dijalankan dari
semasa ke semasa untuk memastikan objektif yang diingini itu tercapai. Oleh itu, selain
meninjau peranan para guru, kajian ini juga akan mengenal pasti nilai-nilai yang cuba
dikemukakan dan sama ada nilai-nilai yang dipaparkan melalui pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu memenuhi objektif tersebut dan sejajar dengan aspirasi dan
budaya masyarakat Melayu dan sesuai dengan konteks masyarakat Singapura yang
berbilang kaum, budaya dan agama.
32
2.3 Tujuan
Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk memenuhi beberapa objektif iaitu untuk:
a. meneliti dan menilai kurikulum Bahasa Melayu peringkat sekolah menengah yang
merangkumi pelajar pelbagai kursus/aliran: Khas, Ekspres, Normal (Akademik)
dan Normal (Teknikal). Kajian ini akan menilai dua aspek sistem bahasa dan satu
fungsi bahasa khususnys dari aspek pemilihan atau pembentukan, jenis, bentuk dan
pelaksanaannya.
b. meninjau keberkesanaan pelaksanaan aspek-aspek tersebut, hambatan
dalam pelaksanaannnya dan bagaimana hambatan-hambatan ini dapat
ditangani.
Kajian yang dijalankan ini merangkumi perkembangan dan pembangunan
kurikulum Bahasa Melayu sejak tahun 1982 sehingga tahun 2004. Perkembangan dan
pembangunannya sebelum dan selepas tahun tersebut tidak akan dibincangkan dalam
kajian ini.
2.4 Kepentingan Kajian
Oleh sebab masyarakat Singapura merupakan masyarakat majmuk, maka semua
bahasa rasmi termasuk bahasa Melayu mempunyai peranan yang penting dalam pemupukan
semangat kecintaan terhadap negara, keharmonian dan perpaduan negara Singapura.
Kedudukan Singapura dalam kalangan negara-negara ASEAN yang kebanyakannya
menggunakan bahasa Melayu juga menggambarkan bahawa Bahasa Melayu itu harus dipupuk
33
dan dijaga kerana bahasa Melayu ini mempunyai peranan, terutamanya dalam hubungan
Singapura dengan negara-negara serantau khususnya negara-negara ASEAN.
Pentingnya penilaian dan pemeliharaan Bahasa Melayu bertambah genting dengan
bertambahnya bilangan warga Melayu Singapura amnya dan para pelajar Melayu khasnya
yang menggunakan bahasa Inggeris di rumah. ‘Walaupun 78 peratus para pelajar Melayu
yang memasuki darjah satu masih menggunakan bahasa Melayu di rumah, kadar mereka yang
menggunakan bahasa Inggeris kian meningkat. Bagi para pelajar Melayu darjah satu yang
mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu bapa berpendidikan universiti, kadar mereka
yang menggunakan bahasa inggeris di rumah hampir 60 peratus’.13 Dalam ucapannya
sempena Majlis Penutup Bulan Bahasa 2004, Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Sekitaran dan
Sumber Air merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam,
mengatakan ‘kita harus fikirkan cara pengajaran yang boleh merangsangkan pelajar muda
Bahasa Melayu untuk mengalami lebih mendalam kekayaan budaya dan Bahasa Melayu
sambil mereka dapatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan. Dengan ini, akan lahirlah
masyarakat Melayu Singapura yang penuh keyakinan – keyakinan dalam bangsa mereka,
dalam bahasa dan budaya mereka’.14 Oleh itu, penilaian dan semakan terhadap kurikulum
Bahasa Melayu secara terperinci, sistematik dan berterusan amat perlu dilakukan sama ada
dari sudut pendekatan, teknik pengajaran, aspek sistem bahasa dan fungsinya untuk
mengetahui kekuatan dan kelemahan kurikulum tersebut agar usaha segera untuk
mempertingkatkannya dapat dilakukan, sekali gus menangani keadaan yang sedang melanda
masyarakat Melayu kini. Penilaian dan semakan terhadap kurikulum ini merupakan satu
proses yang penting dan harus dilaksanakan agar objektif pengajaran dan pembelajaran
13. Berita Harian, Ogos 2004. Jurus Baru Teguhkan Bahasa, Singapore Press Holdings, hlm 1. 14. Ibid, hlm 1.
34
bahasa Melayu ini dapat dipenuhi sebaik mungkin. Namun sejauh ini, penilaian dan kajian
secara terperinci terhadap kurikulum Bahasa Melayu khususnya terhadap aspek sistem bahasa
dan fungsinya amat kurang diberikan perhatian.
Amatlah diharapkan agar hasil dapatan daripada kajian ini dapat menyumbang kepada
perancangan dan pembangunan kurikulum Bahasa Melayu bagi sekolah-sekolah menengah di
Singapura.
2.5 Kaedah Kajian
Secara umum, kaedah penilaian yang dilakukan dalam kajian ini berdasarkan kaedah
dan kriteria yang dikemukakan oleh Leithwood dan Razali Raof seperti yang diterangkan
dalam Bab 1. Penilaian yang dijalankan mengambil kira objektif, rasional dan tujuan penilaian.
Alat ukur, reka bentuk dan jenis soalan, sumber dan tugas-tugas yang terlibat dalam sesuatu
penilaian seperti pengumpulan dan pemprosesan data serta penginterpretasian data diberikan
perhatian. Akhir sekali, saranan atau langkah-langkah yang boleh diambil dikemukakan
berdasarkan dapatan yang dijalankan.
Secara khusus, salah satu kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah
keperpustakaan khususnya dalam kajian mengenai kosa kata dan penyerapan dan penerapan
nilai-nilai murni. Bahan-bahan yang bersangkutan dengan kurikulum Bahasa Melayu tidak
banyak diterbitkan, oleh itu sebagai tambahan, pengkaji mendapatkan maklumat daripada
rencana-rencana, akhbar tempatan dan kertas-kertas kerja yang dibentangkan dalam ceramah,
bengkel dan seminar-seminar setempat dan luar negara. Selain itu, kertas kajian ilmiah dan
disertasi juga dirujuk. Oleh sebab kurangnya kajian yang dilakukan terhadap pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu di Singapura, pengkaji juga merujuk beberapa kajian yang
35
dilakukan terhadap pembelajaran bahasa Inggeris di Singapura bagi tujuan perbandingan.
Untuk mendapatkan butiran dan gambaran yang lebih jelas, pengkaji juga membuat rujukan
ke atas tiga sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah yang diterbitkan oleh MOE
pada tahun 1982, 1993 dan 2002 dan 132 buah bahan pengajaran peringkat menengah yang
diterbitkan oleh CDIS dan Unit Bahasa Melayu dari tahun 1983 hingga tahun 2004 (Sila lihat
Jadual 6 bagi perinciannya). Bahan-bahan ini meliputi buku teks, buku kerja dan buku
panduan guru yang digunakan bagi aliran Normal (Teknikal ), Normal (Akademik), Ekspres
dan Khas.
Bagi kajian terhadap pelaksanaan sebutan baku, pengkaji menggunakan borang soal
selidik untuk mendapatkan input. Borang soal selidik ini terdiri daripada dua jenis. Satu
disediakan untuk mendapatkan input daripada guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu yang
secara purata mempunyai pengalaman mengajar yang berbeza-beza antara 1-20 tahun. Guru-
guru ini mengajar di sekolah pemerintah dan sekolah bantuan pemerintah. Satu borang lagi
untuk diisikan oleh 300 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar pelbagai kursus/aliran
daripada sekolah-sekolah yang terpilih.
Secara keseluruhannya, borang soal selidik ini terbahagi kepada dua jenis soalan, iaitu
soalan yang memerlukan responden mengisi tempat kosong dan menandakan dengan tanda (√)
menggunakan skala Likert bagi kenyataan yang dipersetujui mengenai item yang diberikan.
Soalan jenis kedua ialah soalan jenis terbuka yang bertujuan untuk menyediakan peluang
kepada semua responden memberikan respons dengan bebas setelah mereka mengenal pasti
maksud soalan yang dikemukan ( Sila rujuk bab 3 bagi perincian soal selidik ini ).
36
2.6 Batas Kajian
Pengkaji mengalami beberapa hambatan ketika menjalankan kajian ini. Untuk
menyokong hasil kajian yang dilakukan terhadap pelaksanaan sebutan baku, pengkaji cuba
menggunakan keputusan peperiksaan lisan para pelajar dalam Bahasa Melayu di peringkat
peperiksaan nasional. Tetapi pengkaji tidak mendapat kelulusan daripada pihak MOE. Oleh
itu, pengkaji tidak dapat menunjukkan kaitan dengan jelas antara inisiatif ini dengan
kelakonan para pelajar dalam peperiksaan nasional. Walaupun demikian, pengkaji berupaya
menunjukkan kaitan antara inisiatif yang dilaksanakan dengan kelakonan para pelajar
berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh para guru mengenai keupayaan para pelajar
menggunakan sebutan baku dalam kelas Bahasa Melayu dan dalam peperiksaan lisan di
peringkat sekolah.
Tinjauan yang dijalankan di sekolah-sekolah mengenai pelaksanaan sebutan baku
bertembung dengan peperiksaan akhir persekolahan. Jadi tidak semua para guru yang dipilih
memulangkan borang tinjauan yang diberikan atas alasan sibuk dengan urusan peperiksaan
dan kegiatan musim cuti sekolah akhir tahun. Namun sebanyak 76 guru telah mengambil
bahagian dalam tinjauan ini dan jumlah ini mewakili 20.8% daripada jumlah keseluruhan
sebanyak 365 orang guru ( pada masa tinjauan dijalankan) yang mengajar Bahasa Melayu di
peringkat sekolah menengah.
Kajian yang dijalankan ini hanya meneliti 3 aspek yang penting dalam kurikulum
Bahasa Melayu bagi peringkat sekolah menengah di Singapura. Aspek-aspek yang dikaji ialah
pelaksanaan sebutan baku, pemerolehan kosa kata dan penyerapan dan penerapan nilai-niali
murni dalam kalangan pelajar. Oleh itu dapatan yang terhasil akan hanya menggambarkan dan
37
merangkumi ketiga-tiga aspek ini. Kajian yang lebih menyeluruh terhadap semua aspek
sistem bahasa dan fungsi Bahasa Melayu akan berupaya memberikan gambaran yang lebih
jelas tentang kelebihan dan kekurangan kurikulum yang digunakan. Namun, kajian ini
diharapkan dapat menyumbang dalam memperkemas dan mempertingkatkan pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu khususnya dalam aspek-aspek yang dikaji.