Upload
zahirul-haq
View
234
Download
0
Embed Size (px)
DESCRIPTION
E- Kerajaan Dan Edagang
Citation preview
E-Kerajaan dan E-Dagang:Isu Kepercayaan dan Keselamatan
Oleh
Dr. Mohd Yusof Hj. Abdullah & Mohd Azul Mohamad SallehPusat Pengajian Media dan KomunikasiFakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Abstrak
Sektor awam dan sektor swasta adalah nadi kepada pembangunan negara. Kedua-dua
sektor ini menawarkan perkhidmatan masing-masing kepada pelanggan yang sama
iaitu rakyat Malaysia. Dua sektor ini saling berusaha meningkatkan kualiti
penyampaian perkhidmatan bagi memastikan kepuasan maksima pelanggan.
Kemunculan TKM telah memberikan alternatif baru kepada sektor awam dan swasta
untuk menambahbaik kualiti penyampaian perkhidmatan. TKM telah membuka satu
ruang baru untuk menyedia perkhidmatan urusan awam dan perdagangan. Hampir
semua sektor awam dan swasta telah memperkenalkan aplikasi elektronik atau digital
melalui medium Internet di dalam proses perniagaan, pengurusan kerajaan,
perdagangan, dan perindustrian. Sebagai contoh, dalam sektor awam terdapat E-
Kerajaan, kad pelbagai guna (MyKad), e-perolehan, dan e-perkhidmatan, manakala di
sektor swasta seperti e-dagang, e-perbankan, e-pembelajaran, e-media, dan lain-lain.
Penggunaan TKM di sektor awam terkandung dalam konsep E-Kerajaan,
manakala di sektor swasta dikenali sebagai E-Dagang. Persoalannya adalah apakah
respons orang ramai kepada aplikasi E-Kerajaan dan E-Dagang? Satu daripada
kerisauan orang ramai terhadap penggunaan aplikasi E-kerajaan dan E-Dagang adalah
kepercayaan tahap keselamatan sistem rangkaian dan keyakinan kepada pelbagai kad
elektronik. Kepercayaan dan keyakinan yang tinggi adalah perlu untuk memastikan
penggunaan meluas E-kerajaan dan E-Dagang. Kertas ini memfokuskan perbincangan
kepada isu kepercayaan dan keselamatan terhadap penggunaan MyKad, Bankcard,
Kad Touch n Go, Kad Kredit dan sistem rangkaian, di kalangan pengguna. Persepsi
kurang percaya kepada aplikasi E-Kerajaan dan E-Dagang ini mempengaruhi
keperluan dan penggunaan meluas kemudahan berurusan menggunakan aplikasi kad
tersebut secara atas talian.
1
Penggunaan maksima fungsi MyKad boleh meningkat jika orang ramai itu,
khususnya pemilik kad mempunyai keyakinan terhadap sistem rangkaian dan juga
kepercayaan kepada MyKad. Keyakinan dan kepercayaan yang tinggi tentang
keselamatan rangkaian dan MyKad boleh mendorong kepada penggunaan
perkhidmatan awam dan e-dagang. Namun, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa
tahap keyakinan orang ramai terhadap sistem rangkaian dan kepercayaan kepada
MyKad dan e-dagang adalah sederhana. Dapatan kajian tinjauan yang dijalankan ke
atas 1500 responden mendapati hanya 10% menggunakan Internet untuk transaksi
perkhidmatan bank. Juga, penggunaan MyKad adalah lebih kepada pengenalan diri
berbanding dengan fungsi-fungsi lain yang telah diprogramkan.
Kajian ini menunjukkan masyarakat Malaysia sudah mula menerima
perkhidmatan atas talian. Kebanyakan rakyat Malaysia sudah mengetahui apa itu
perkhidmatan atas talian. Namun, masih ramai yang belum terdorong untuk
menggunakan aplikasi secara elektronik. Ini disebabkan oleh rasa kurang yakin dan
percaya terhadap sistem rangkaian dan aplikasi urusan secara elektronik di atas talian.
Beberapa saranan dikemukakan di sini untuk pertimbangan pihak yang berkenaan;
1. Kerajaan dan pihak swasta perlu bekerjasama untuk merancang kempen
komunikasi bertujuan untuk membentuk, membetul, dan mengukuhkan tahap
keyakinan orang ramai tentang kelebihan pelbagai fungsi kad dan selamatnya
transaksi atas talian. Fokus kempen adalah penjelasan maklumat tentang
faedah/kelebihan berurusan secara atas talian dan demontrasi menunjukkan
kenapa sistem rangkaian dan kad itu tidak boleh diceroboh
2. Membentuk maklumat khusus untuk menyakinkan orang ramai bahawa
Mykad bukanlah kad pengenalan biasa. Bentuk maklumat khusus ini adalah
pesan khidmat awam yang perlu disiarkan melalui TV, akhbar, dan risalah.
3. Mengadakan aktiviti dialog berkaitan kelebihan dan ciri-ciri keselamatan
aplikasi kad dan transaksi atas talian kepada pelanggan.
2
Pendahuluan
Sudah lebih 15 tahun negara kita merancang, membangun, dan melaksanakan usaha
ke arah penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (TKM) di sektor awam dan
swasta. Banyak perkembangan dan kejayaan telah ditempah khususnya dalam
penyediaan dan pembangunan prasarana TKM. Hasil daripada usaha ini, urusan atau
transaksi di sektor awam dan swasta boleh dijalankan secara atas talian. Di sektor
awam, urusan secara atas talian dengan perkhidmatan kerajaan di kenali sebagai e-
kerajaan, manakala di sektor swasta dikenali sebagai e-dagang. Kaedah baru
berurusan di sektor awam dan swasta ini memberikan alternatif kepada cara kita
mendapatkan perkhidmatan yang diberi dan ditawarkan oleh kedua sektor tersebut.
Justeru, bagi kebanyakan daripada kita, berurusan dengan kerajaan dan swasta kini
telah lebih mudah kerana adanya pilihan sama ada untuk berurusan secara atas talian
atau beratur di premis kerajaan atau swasta. Namun begitu, perkhidmatan e-kerajaan
dan e-dagang ini menjanjikan cara berurusan yang lebih cepat, murah, dan efisyen
kepada kedua belah pihak- pelanggan dan pemberi perkhidmatan.
Konsep kerajaan elektronik dan e-dagang telah meletakkan asas untuk
berurusan dengan perkhidmatan kerajaan dan swasta secara atas talian.Perlaksanaan
e-kerajaan dan e-dagang ini melibatkan penyediaan sistem rangkaian (untuk
pemprosesan) dan aplikasi (tool) untuk membolehkan orang ramai berurusan secara
atas talian. Bagi memudahkan transaksi secara elektronik kepada beberapa urusan
awam, kerajaan melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan MSC telah
membangunkan sebuah kad pelbagai guna yang dikenali sebagai MyKad. Di pihak
swasta pula, perkhidmatan menggunakan Internet untuk urusan perbankan dan
bayaran bil telah diperkenalkan. MyKad dan kad-kad perbankan adalah tool yang
penting untuk pelbagai transaksi.
Kertas kerja ini membincangkan respons orang ramai kepada perkhidmatan
baru yang diperkenalkan ini. Perbincangan difokuskan kepada isu kepercayaan dan
keselamatan terhadap urusan secara elektronik ini. Perbincangan adalah berdasarkan
data daripada kajian tentang masyarakat jaringan yang mendapat biaya IRPA.
3
Kajian berbentuk tinjauan yang dijalankan ke atas 1500 responden
menunjukkan bahawa hanya separuh atau 50.3% responden itu telah memiliki
MyKad. MyKad adalah kad pintar yang telah diprogramkan dengan pelbagai fungsi.
Namun, dapatan kajian tentang penggunaannya mendapati bahawa belum ramai yang
memaksimakan fungsinya.Dari segi e-dagang pula, dapatan kajian menunjukkan
bahawa hanya 10% responden menggunakan Internet utnuk transaksi perkhidmatan
perbankan. Sebanyak 84.5% memiliki kad ATM, dan 26% memiliki kad kredit.
Kajian juga mendapati bahawa tools untuk e-dagang ini lebih digunakan untuk fungsi
asal ianya dikeluarkan iaitu ATM sebagai mengeluarkan wang dan kad kredit untuk
pembayaran belian.
Keselamatan Sistem Rangkaian dan Aplikasi
Pencerobohan dan tidak selamat teknologi komunikasi dan maklumat (TKM) seperti
sistem Internet, sistem rangkaian komputer, sistem rangkaian perbankan elektronik,
sistem kad kredit dan sistem bankcard di negara ini sering menjadi perhatian dan
agenda pihak pengguna dan media. Walaupun pada masa ini sistem-sistem hanya
dicerobohi setakat menukar muka utama laman web, pengklonan kad, pengklonan IP
(Internet Protocol) sahaja tetapi tidak mustahil mereka yang tidak bertanggungjawab
ini berusaha untuk menceroboh mendapatkan maklumat rasmi, data-data sulit, dan
data rasmi perniagaan di masa depan.
Isu tahap keselamatan TKM ini menjadi agenda yang penting pihak tertentu
seperti Pusat Respons Kecemasan Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kebangsaan (NISER), MDC, MIMOS dan lain-lain badan. Isu ini juga mendapat
liputan meluas di media massa disebabkan ada beberapa laman web syarikat swasta
dan agensi kerajaan telah dicerobohi dengan mengubah muka depan laman web
sahaja. Di Malaysia, pasukan yang bertanggungjawab dalam memantau perkara ini
adalah Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) yang
ditubuhkan pada 1997. Sebagai contoh, seorang penceroboh atau hacker yang yang
dikenali sebagai ‘topeira’ telah mengejutkan negara apabila berjaya menceroboh
laman web Parlimen dan Universiti Teknologi Malaysia. Kejadian seperti ini telah
menunjukkan tahap keselamatan sistem rangkaian komputer atau Internet kita adalah
4
lemah dan sedikit sebanyak telah mengubah imej Malaysia yang sedang giat
mempromosi Koridor Raya Multimedia (MSC) dan TKM.
Mungkin kita mengatakan, pencerobohan seperti ini adalah perkara yang biasa
dan berlaku di seluruh dunia. Cuba kita bayangkan dalam ruang lingkup yang lebih
besar, sekiranya penceroboh itu adalah seorang yang tidak bertanggungjawap dan
berjaya menembusi sistem maklumat kerajaan, sistem perbankan dan sistem
perdagangan elektronik. Mungkin perkara yang lebih besar akan berlaku, bukan
sekadar menukar laman utama laman web. Ada juga yang mengatakan, tidak semua
hacker adalah jahat, mereka hanya sekadar menggunakan sistem tersebut sebagai satu
medan untuk menguji kehebatan dan kepintaran sahaja. Tetapi semua pihak yang
terlibat sebenarnya risau dan bimbang, terutamanya pengguna iaitu rakyat Malaysia.
Kita tidak patut biarkan perbuatan seperti ini berterusan kerana ia boleh
menjejaskan imej negara, kepentingan umum, keyakinan pengguna terhadap sistem
yang disediakan dan juga pemalsuan pelbagai teknologi sehinggalah kepada
pemalsuan identiti penceroboh. Sebenarnya dunia tanpa sempadan yang beralih
kepada era dunia maya ini memberi kepentingan kepada semua pihak, semua agensi,
semua firma dan organisasi, tetapi tanpa disedari ada mereka yang tidak
bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mendapat sesuatu yang mereka
inginkan. Sesiapa sahaja tahu bahawa TKM memberi peluang untuk membentuk
mencetus pelbagai konsep baru dalam masyarakat, salah satunya adalah masyarakat
jaringan (network society) yang bertujuan untuk menyatu, memproses, mendapat,
mempromosi, memperolehi dan berkongsi maklumat dalam sistem rangkaian
elektronik yang bersifat global yang tidak dibatasi oleh ruang dan masa.
Disebabkan sesiapa saja yang mempunyai keupayaan untuk belajar, praktik
dan mengendalikan sesuatu peralatan TKM, ilmu dan kepintaran telah digabungkan
untuk mencuri masuk dan menceroboh sistem rangkaian biarpun telah dilengkapi
dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan seperti penggunaan kata laluan (password),
dinding api (firewall), pelayan proxy dan sebagainya. Sebenarnya, firma atau
organisasi yang terlibat dengan transaksi atas talian seperti Amazon.com bimbang
terhadap e-dagang kerana pelbagai rekod boleh dicuri dan dijual kepada sesiapa yang
berminat. Apatah lagi pengguna yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam
5
dalam aspek keselamatan komputer, sekiranya nombor pin dan pengklonan kad ATM
berlaku keatas mereka pun telah menjadi sesuatu yang besar, inikan pula data-data
perniagaan dan maklumat rasmi negara.
Langkah-langkah pencegahan, perlindungan, dan undang-undang penting
dalam menangani masalah keselamatan dan keyakinan pengguna terhadap sistem
yang kendalikan oleh sektor kerajaan dan swasta kerana Malaysia kini telah
mengalami perkembangan TKM yang pesat. Jika kita lihat, hampir semua sektor
awam dan swasta telah memperkenalkan aplikasi elektronik atau digital melalui
medium Internet di dalam proses perniagaan, pengurusan kerajaan, perdagangan dan
perindustrian. Sebagai contoh, dalam sektor awam seperti e-kerajaan, kad pelbagai
guna (Mykad), e-perolehan, dan e-perkhidmatan. Sektor swasta pula dengan aplikasi
seperti –dagang, e-perbankan, e-pembelajaran, e-media dan lain-lain. Aplikasi-
aplikasi ini sebenarnya menyimpan data dan maklumat yang berjuta-juta dalam bank
data iaitu pangkalan data (database). Data dan maklumat ini adalah sulit dan terhad
penyebaran.
Banyak persoalan yang kita perlu timbulkan, bagaimana kalau data dan
maklumat ini diguna atau dijual oleh pengkhianat negara atau individu tertentu?
Adakah pengguna memahami konsep keselamatan komputer? Apakah bentuk
undang-undang yang disediakan? Adakah pengguna tahu mereka boleh mengguna
undang-undang siber? Apakah peruntukan undang-undang yang boleh menjaga hak
pengguna dan boleh dikenakan kepada penceroboh? Persoalan ini harus dijawab
untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pengguna untuk berurusan dengan
aplikasi-aplikasi yang telah disediakan oleh sektor awam dan swasta tadi. Walaupun
Malaysia masih baru dalam bidang Internet, e-kerajaan dan e-dagang tetapi soal
keselamatan sistem rangkaian dan aplikasi atas talian tidak boleh diabaikan kerana ia
boleh menghakis keyakinanan dan kepercayaan pengguna untuk beralih ke kaedah
berurusan secara elektronik. Isu untuk membelanjakan satu peruntukan yang besar
untuk tujuan keselamatan dalam sesuatu organisasi tidak menjadi masalah yang besar
apabila TKM menunjukkan tanda-tanda keuntungan kepadanya.
6
Perbincangan: Isu keselamatan e-kerajaan dan e-dagang
Satu daripada fokus kajian ini adalah tentang keyakinan orang ramai terhadap sistem
jaringan Internet dan “tool” untuk urusan E-kerajaan dan E-dagang. Keyakinan adalah
ke atas tahap keselamatan sistem jaringan yang menjadi infrastruktur untuk mengguna
kad-kad elektronik seperti Mykad, kad kredit, kad Touch n’ Go dan kad bank. Sistem
jaringan adalah satu medium yang menyediakan hubungan untuk proses komunikasi
data-data urus niaga atau transaksi di dalam persekitaran Internet. Sekiranya tahap
keselamatan sistem rangkaian berada pada paras yang tinggi, pertumbuhan dan
pertambahan orang ramai untuk berurusan dalam E-kerajaan dan E-dagang secara
tidak langsung akan meningkat.
E-kerajaan adalah satu konsep yang merujuk kepada sistem pentadbiran
kerajaan berasaskan elektronik. Ianya adalah “the application of the tools and
techniques of the Internet and the electronic economy to the business of government
for the benefit of both government and citizens” (Ghazali Darman, 2002). Matlamat
utama e-kerajaan adalah untuk menyedia dan memberikan perkhidmatan awam yang
paling cekap dan responsif kepada pelanggan. Secara khusunya, e-kerajaan ini adalah
untuk memudahkan lagi rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan dan
menambahbaik aliran maklumat dalaman di kalangan agensi-agensinya. Melalui
kerajaan elektronik ini, perkhidmatan awam seperti pendaftaran kelahiran,
pendaftaran sekolah dan institusi pendidikan, pengeluaran dan pembaharuan kad
pengenalan dan lesen memandu, pembayaran cukai, pembayaran bil dan saman,
pendaftaran syarikat, pengeluaran lesen import eksport, perolehan, dan sebagainya
boleh dijalankan secara elektronik (Mohd Yusof Abdullah et al, 2004).
Perkhidmatan kerajaan secara elektronik ini telah menyediakan sistem
rangkaian dan “tool” untuk transaksi. MyKad adalah aplikasi e-kerajaan yang penting
untuk rakyat Malaysia. “My” merujuk kepada alamat Internet Malaysia dan diri
sendiri. “Kad” adalah kependekan kepada “Kad Akuan Diri” dan “Kad Aplikasi
Digital”(http://wwweps.unisys.com/public_sector/clients/featured_case_studies_/
malaysia _smart). Justeru, MyKad adalah kad pintar yang memuatkan maklumat
peribadi seseorang dan juga untuk membolehkan transaksi seperti pembayaran.
7
MyKad telah dilancarkan pada September 2001. Di dalamnya, dimuatkan
maklumat untuk berfungsi sebagai pengenalan diri, lesen memandu, pasport, rekod
kesihatan. Antara transaksi yang boleh digunakan adalah pembayaran tol di
lebuhraya, pembayaran letak kereta, pembayaran tambang pengangkutan awam,
pengeluaran wang di ATM, dan pembayaran bil. Dapatan kajian kami mendapati
bahawa MyKad memang lebih digunakan sebagai kad pengenalan diri berbanding
dengan fungsi lain. Semua 754 responden yang memiliki MyKad menggunakannya
sebagai kad pengenalan diri berbanding dengan fungsi lain. Sebanyak 234 orang atau
31% menggunakan sebagai lesen memandu, 16.4% menggunakan sebagai kad bank,
9.9% menggunakan sebagai pasport imigresen, dan hanya 4.9% menggunakan untuk
pembayaran tol. Penggunaan terhad fungsi MyKad ini di kalangan pemilik dan bukan
pemilik adalah pelbagai.
Di kalangan responden yang belum memiliki MyKad, alasan utama adalah kad
pengenalan lama masih laku. Alasan kedua, tidak ada masa untuk menukar, ketiga,
tidak yakin, dan keempat, tidak tahu perlu tukar ke MyKad. Berdasarkan alasan-
alasan ini, boleh dirumuskan bahawa ramai orang yang berfikiran bahawa MyKad itu
serupa fungsinya seperti kad pengenalan diri. Oleh itu, kemungkinan mereka
merasakan tidak segera sangat untuk mendapatkannya. Perlu juga diberi perhatian
tentang alasan tidak yakin.
Penggunaan maksima fungsi MyKad boleh meningkat jika orang ramai itu,
khususnya pemilik kad itu mempunyai keyakinan terhadap sistem rangkaian dan juga
kepercayaan kepada MyKad. Keyakinan dan kepercayaan yang tinggi tentang
keselamatan rangkaian dan MyKad boleh mendorong kepada penggunaan
perkhidmatan awam dan e-dagang. Namun, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa
tahap keyakinan orang ramai terhadap sistem rangkaian dan kepercayaan kepada
MyKad adalah sederhana. Hanya 44.6% responden merasa yakin bahawa privasi
rangkaian adalah terjamin, 37.3% merasa yakin untuk berurusan dengan kerajaan
melalui Internet, manakala 46.6% merasa tidak pasti tahap keselamatan sistem
rangkaian tidak mudah untuk diceroboh. Jadual 1 di bawah menunjukkan dapatan
kajian tersebut.
8
Jadual 1: Keyakinan Terhadap Rangkaian (N=1500)
Tidak Setuju
(Peratus)
Tidak Pasti
(Peratus)
Setuju
(Peratus)
Yakin privasi rangkaian adalah
terjamin
12.7 42.7 44.6
Yakin tahap keselamatan sistem
rangkaian tidak mudah diceroboh
17.3 46.6 36.1
Yakin Internet selamat untuk
urusan e-kerajaan
14.0 49.1 36.9
Rasa selamat untuk urusan dengan
kerajaan melalui Internet
14.8 47.9 37.3
Dapatan kajian tentang keyakinan terhadap MyKad juga adalah sederhana.
55.2% responden merasa yakin dengan tahap keselamatan MyKad, 51.8% percaya
bahawa MyKad mampu merahsiakan maklumat peribadi, 50.1% percaya MyKad
dapat menyimpan maklumat dengan selamat, dan 34.5% percaya bahawa MyKad
tidak boleh disabotaj oleh mana-mana pihak. Jadual 2 di bawah memperlihatkan
dapatan kajian tersebut.
Jadual 2: Keyakinan Terhadap Aplikasi MyKad
Tidak Setuju
(Peratus)
Tidak Pasti
(Peratus)
Setuju
(Peratus)
Yakin dengan tahap keselamatan
MyKad
12.1 32.7 55.2
Percaya MyKad mampu
merahsiakan maklumat peribadi
12.4 35.8 51.8
Percaya MyKad dapat menyimpan
maklumat dengan selamat
11.5 38.4 50.1
Percaya MyKad tidak di sabotaj
oleh mana-mana pihak
22.8 42.7 34.5
9
Penggunaan teknologi komputer sebagai alat untuk mengerak dan
menjalankan aktiviti perniagaan menyedia satu gelanggang persaingan yang sihat
dalam era TKM. Perniagaan atau perdagangan yang menggunakan peralatan dan
infrastruktur TKM sebagai medium untuk proses komunikasi dan juga transaksi ini
dikenali sebagai perdagangan secara elektronik atau juga dikenali sebagai e-dagang
(e-commerce). E-dagang adalah satu transaksi perniagaan yang berlaku dalam talian
atau lebih spesifik lagi melalui rangkaian elektronik (Schneider, G. P. & Perry, J. T.,
2000). E-dagang merupakan perkhidmatan yang menjadi tumpuan utama kepada
sektor kerajaan mahupun swasta dalam mengendalikan transaksi dan perkhidmatan
secara elektronik.
E-dagang telah dipandang serius oleh kerajaan dengan gabungan potensi
TKM dalam menjayakan Malaysia dan lahirlah projek Koridor Raya Multimedia
(MSC). Bagi pihak kerajaan, aplikasi e-dagang dan aplikasi lain dalam MSC menjadi
model kepada industri bagaimana kerajaan mampu mewujudkan jaringan serta
rantaian elektronik dalam urusan harian antara kerajaan dan masyarakat perniagaan di
negara ini. Pasaran dan potensi e-dagang sememang agak besar kepada negara jika
dilihat statistik mengenainya. Sebagai contoh, satu kajian dari syarikat penyelidikan
IDC Corporation mengjangkakan perolehan e-dagang dalam tahun 2005 dijangka
sekitar RM35.7 bilion berbanding RM1.5 bilion di tahun 2000.
E-dagang mewujudkan satu proses transaksi atau akses kepada TKM untuk
menjalankan transaksi urus niaga melalui sambungan elektronik seperti Internet yang
mana pengguna dan pembekal boleh berkomunikasi bila-bila masa dan di mana jua.
Contohnya, Amazon.com telah membuka satu sistem e-dagang yang boleh
mempercepatkan proses membuat tempahan buku dan sebagainya. Antara contoh
yang ada di Malaysia adalah Mall of Malaysia, AsiatravelMart.com,
RelianceTravel.com dan lelong.com yang meliputi bidang industri seperti hiburan
runcit, perisian, pelancongan dan jualan lelong. Penekanan penggunaan rangkaian
elektronik telah mengubah e-dagang daripada bentuk perniagaan secara tradisional
yang menggunakan proses fizikal kepada perniagaan berbentuk elektronik (Morni
Hayati, 2003). Secara tidak langsung e-dagang telah membawa impak yang besar
kepada beberapa perkara seperti masa kerja dan urus niaga yang lebih fleksibel,
organisasi maya, dan pasaran perniagaan sedunia dalam 24 jam sehari.
10
Proses perkembangan e-dagang ini pada mulanya melalui teknologi
Pertukaran Data Elektronik (EDI) yang diimplementasi untuk mengurangkan
penggunaan kertas, mempercepatkan proses transaksi dalam perniagaan,
mengurangkan masa dan kos. Selain daripada EDI, Mesin Juruwang Automatik
(ATM) adalah satu teknologi yang menyumbang kepada pembangunan dan konsep e-
dagang. Di Malaysia, momentum ini bukan satu bentuk transaksi elektronik yang baru
kerana pada era 1970-an rangkaian ofis elektronik melalui ATM telah dimulakan.
Dalam usaha membangunkan e-dagang di Malaysia kerajaan dengan kerjasama Bank
Negara teleh memperkenalkan Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEPS)
untuk menjalankan transaksi dalam-talian di antara pelanggan dengan pihak pedagang
melalui rangkaian elektronik.
Dalam konteks e-dagang, Internet dan juga rangkaian elektronik hanya
menjadi medium untuk menemukan antara penjual dan pembeli (Vendor atau
Customer). Ia menjadi perantara yang membolehkan satu-satu urus niaga atau
transaksi dimeterai (sealed). Proses yang boleh menggerakkan sepenuhnya potensi e-
dagang ialah dengan mendorong evolusi jaringan elektronik dan rantaian elektronik
bagi membolehkan setiap aspek penghantaran serta transaksi dibuat secara elektronik
mengguna kad-kad elektronik seperti Mykad, Bankcard, Kad Touch’N Go, kad debit
dan kad kredit.
E-dagang telah berkembang dan banyak digunakan untuk mengkoordinasikan
operasi pembelian dengan pembekal, pihak logistik dengan pengangkutan dalam
proses menghantar produk kepada pengguna dan juga perkhidmatan penyelengaraan
operasi pembelian dan pembayaran. Secara umumnya, proses ini boleh dihubungkan
dalam satu sistem komunikasi melalui persekitaran elektronik diantara peniaga
kepada peniaga yang lain, diantara individu dengan individu yang lain, diantara
individu dengan peniaga atau individu dengan kerajaan.
Betulkah sistem e-dagang akan berdepan dengan masalah keyakinan di
kalangan pelanggan dan juga keselamatan dalam proses mengendalikan transaksi urus
niaga? Adakah kegagalan mengenal pasti pelbagai kelemahan yang dihadapi sistem
utus niaga e-dagang akan menyebabkan pelanggan atau pengguna hilang keyakinan?
Adakah masalah ini telah menimbulkan masalah dalam perkembangan e-dagang atau
11
menyebabkan e-dagang tidak berupaya mencapai matlamatnya dalam menyumbangan
kewangan kepada syarikat mahunpun negara? Satu kaji selidik yang dilakukan oleh
Ernest and Young mengenai Kebimbangan e-dagang pada tahun 1998 menunjukkan
aspek keselamatan menduduki senarai teratas berbanding dengan kebimbangan lain
seperti persaingan, daya maju perniagaan dan penerimaan pelanggan. Ini
menunjukkan isu keselamatan menjadi faktor yang penting untuk menyedia satu
situasi yang lebih yakian kepada semua pihak dalam berurusan melalui e-dagang.
Sindrom kurang percaya, kurang yakin dan risau akan keselamatan untuk
mengendali urus niaga melalui TKM perlu dikikis di kalangan pengguna di negara ini
untuk memberi peluang kepada e-dagang berkembang dengan baik. Keselamatan dan
keyakinan di kalangan pengguna atau orang ramai terhadap urus niaga e-dagang
merupakan halangan utama kemajuannya di negara ini. Halangan utama adalah
bukannya kerana kekurangan pengetahuan tentang kelebihan serta faedah yang
diperolehi daripada e-dagang, sebaliknya isu mereka kurang yakin dan percaya
kepada kaedah ini. Antara risiko yang dirisaukan oleh orang ramai adalah
menggunakan Internet sebagai medium urus niaga. Ini adalah kerana terdapat pihak-
pihak tertentu yang boleh mengubah laman web, memalsukan identiti, kecurian
maklumat kad kredit, manipulasi data dan sebagainya.
Jadual 3: Keyakinan Terhadap Rangkaian (N=1500)
Tidak Setuju
(Peratus)
Tidak Pasti
(Peratus)
Setuju
(Peratus)
Yakin dengan tahap keselamatan
rangkaian yang menerima kad bank.
14.4 25 60.6
Yakin dengan tahap keselamatan
kad Touch’nGo dimana-mana ia
digunakan.
7.7 54.9 37.4
Yakin dengan tahap keselamatan
jaringan yang menerima kad kredit
16.1 46.4 37.5
Yakin dengan tahap keselamatan
Internet untuk urusan e-dagang
15.9 52.7 31.4
12
Hasil kajian mendapati 60.6% responden yakin dengan keselamatan rangkaian
yang disediakan oleh pihak bank untuk berurusan dengan mesin ATM menggunakan
kad bank. Jika dilihat dalam Jadual 3, responden kebanyakkannya tidak pasti dengan
tahap keselamatan rangkaian untuk berurusan dengan kad Touch’nGo dan Kad kredit.
Responden juga masih sangsi dan tidak pasti dengan tahap keselamatan untuk
berurusan melalui Internet bagi urursan e-dagang. Tetapi, jika dibanding antara
responden yang tidak yakin dengan yakin, kajian mendapati ramai responden yang
yakin dengan tahap keselamatan jaringan yang disediakan untuk urusan-urusan
tersebut.
Persoalannya disini adalah, kenapa peratusan responden yang tidak pasti
adalah tinggi? Persoalan ini dijawab apabila satu lagi kaedah pengumpulan data
secara kualitatif dijalankan, iaitu kumpulan fokus. Semasa temubual dibuat kepada
kumpulan fokus, kebanyakan responden menyatakan mereka tidak pasti dengan tahap
keselamatan kerana masalah yang berkaitan dengan keselamatan seperti pengklonan
kad, pencerobohan nombor pin dan sebagainya tidak pernah dialami oleh mereka.
Ada diantara mereka pula tidak arif dan tidak mempunyai pengetahuan yang
mendalam berkenaan dengan isu keselamatan jaringan yang disedia. Mereka juga
menyatakan, pihak-pihak yang terlibat hanya banyak menyatakan kemudahan dan
kelebihan berurusan dengan perkhidmatan yang disediakan, tetapi jarang yang
menyediakan maklumat atau risiko-risiko yang akan dihadapi kepada pengguna.
Jadual 4: Keyakinan Terhadap Kad (N=1500)
Tidak Setuju
(Peratus)
Tidak Pasti
(Peratus)
Setuju
(Peratus)
Yakin dengan tahap keselamatan
kad bank.
13.8 24.3 61.9
Yakin mengguna kad kredit melalui
Internet.
23.0 58.0 19.0
Yakin dengan tahap keselamatan
kad Touch’nGo
7.6 54.7 37.7
13
Jadual 4 menunjukkan peratusan di kalangan responden kepada isu keyakinan
terhadap kad bank, kad Touch’nGo dan kad kredit. Kajian mendapati 61.9%
responden yakin dengan keselamatan kad bank, 24.3% tidak pasti dan 13.8% tidak
yakin. Tahap keyakinan responden terhadap kad bank tinggi kerana, kad bank baru
menggunakan mikrocip untuk mengantikan kad bank yang mengguna magnetik. Kad
bank yang berkonsep kepada kad pintar ini mempunyai peranan yang besar untuk
menyedia ruang storan yang besar, mengelak pencerobohan dan pengklonan, atau
disalin oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggunjawab.
Berlainan pula dengan peratusan keyakinan terhadap penggunaan kad kredit
melalui medium Internet. Jadual 3 menunjukkan 58% responden tidak pasti tentang
keyakinan mengguna kad kredit melalui Internet, tetapi responden yang tidak yakin
adalah 23% jika dibanding dengan hanya 19% yang yakin. Di sini jelas kita nampak,
tahap keyakinan untuk mengguna kad kredit bagi membuat pembayaran dan transaksi
melalui Internet berada pada paras yang rendah. Jika disandarkan kepada peratusan
ini, responden merasa tidak yakin mungkin disebabkan akhir-akhir ini terdapat
banyak berita dari media cetak dan elektronik yang mendedahkan kes-kes yang
berkaitan dengan keselamatan sistem rangkaian, pengklonan kad kredit, pencerobohan
rangkaian Internet dan sebagainya.
Kajian mendapati 37.7 peratus responden yakin dengan tahap keselamatan kad
Touch’nGo, 54.7 peratus tidak pasti dan 7.6 peratus tidak yakin. Peratusan responden
yang tidak pasti dengan tahap keselamatan kad ini adalah tinggi kerana peratusan
pengguna yang tidak mengguna kad juga tinggi iaitu 1246 (83.1%). Ini
berkemungkinan responden tidak pernah mengalami masalah, mengguna atau
mengendalikan kad ini. Tetapi, peratusan responden yang yakin dengan tahap
keselamatan adalah jauh lebih tinggi jika dibanding dengan responden yang tidak
yakin.
Meningkatkan keselamatan dalam e-dagang akan mewujudkan satu
persekitaran e-dagang yang positif dan membolehkan syarikat-syarikat mengambil
peluang daripada kelebihan Internet termasuklah untuk membuat penyelidikan,
berkomunikasi, dan pemasaran.
14
Implikasi Dasar
Satu daripada cabaran dalam memperkenalkan kaedah berurusan secara elektronik
adalah menyakinkan pengguna tentang selamatnya untuk berurusan secara atas talian.
Keyakinan pengguna terhadap keselamatan sistem rangkaian dan aplikasi untuk
berurusan secara atas talian adalah penting untuk meluaskan penggunaan maksima
fungsi dan faedah e-kerajaan dan e-dagang. Yakin kepada selamat untuk
menggunakan Internet dan pelbagai kad elektronik boleh mendorong tindakan
menggunakannya. Kajian ini telah menyingkap respons orang ramai tentang
keyakinan kepada keselamatan rangkaian dan MyKad, bankcard, kad kredit, dan kad
touch n go.
Umumnya, orang ramai sudah mempunyai kesedaran tentang perkhidmatan
berurusan secara elektronik. Dapatan kajian tentang keyakinan kepada rangkaian dan
aplikasi kad adalah sederhana. Satu daripada implikasi dasar penemuan ini adalah
untuk menghakis jurang keyakinan terhadap MyKad. Beberapa saranan dikemukakan
di sini untuk pertimbangan pihak yang berkenaan.
1. Kerajaan dan pihak swasta perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk
merancang dan melaksana kempen komunikasi bertujuan untuk membentuk,
membetul, dan mengukuhkan tahap keyakinan orang ramai tentang kelebihan
pelbagai fungsi kad dan selamatnya transaksi atas talian. Fokus kempen adalah
penjelasan maklumat tentang faedah/kelebihan berurusan secara atas talian
dan demontrasi menunjukkan kenapa dan bagaimana sistem rangkaian dan kad
itu tidak boleh diceroboh.
2. Membentuk maklumat khusus untuk menyakinkan orang ramai bahawa
MyKad bukanlah sebuah kad pengenalan biasa. Bentuk maklumat khusus ini
adalah pesan khidmat awam yang boleh disiarkan melalui TV, akhbar, dan
risalah.
3. Mengadakan aktiviti dialog berkaitan kelebihan dan ciri-ciri keselamatan
aplikasi kad dan transaksi atas talian kepada golongan pelanggan.
15
Kesimpulan
Isu kepercayaan dan keselamatan dalam menjalankan urusan atas talian adalah perlu
diambil perhatian oleh semua pihak. Masalah kepercayaan dan keselamatan ini perlu
menjadi pengalaman serta pengajaran kepada semua agensi yang menyediakan
perkhidmatan atas talain untuk tujuan e-kerajaan dan e-dagang bagi meningkat atau
menambah lagi ciri-ciri keselamatan dan keyakinan orang ramai. Kita perlu sedar
bahawa dunia tanpa sempadan yang menggunakan Internet serta sistem rangkaian
untuk berurusan dengan data-data yang mengabungkan nilai bit 0 dan 1 sedang
beralih kepada satu dunia transaksi yang maya. Oleh itu, sesiapa sahaja yang
mempunyai kebolehan, pengalaman dan kepintaran dalam bidang ini boleh
menceroboh, mencuri masuk sistem komputer dan sebagainya. Justeru itu, langkah
pencegahan melalui peningkatan ciri-ciri keselamatan sistem rangkaian, sistem
komputer dan Internet dan pendidikan melalui kempen komunikasi adalah perlu untuk
mengukuhkan tahap keyakinan orang ramai apabila mereka berurusan di ruang siber.
Persekitaran keselamatan yang cukup kuat perlu diwujudkan bagi
menyediakan capaian dan memupuk kebolehpercayaan orang ramai melakukan
urusan secara atas talian. Mekanisme keselamatan dan kepercayaan ini diperlukan
oleh semua lapisan bermula daripada persekitaran orang ramai atau pelanggan
sehinggalah kepada rangkaian Internet. Malah, mekanisme seperti ini perlu meliputi
juga aspek sistem rangkaian dalaman agensi kerajaan dan organisasi yang
mengendalikan e-kerajaan dan e-dagang dan apa-apa sahaja sumber yang berkaitan
dengan pengkomputeran. Oleh itu, kawalan keselamatan untuk urusan e-kerajaan dan
e-dagang memerlukan sistem keselamatan dan kepercayaan menyeluruh seperti
keselamatan akses dan kebolehpercayaan serta perkhidmatan enkripsi untuk menyedia
tahap integriti yang tinggi semasa merentas rangkaian Internet.
Penggunaan maksima fungsi MyKad untuk urusan e-kerajaan dan e-dagang
boleh meningkat jika orang ramai itu, khususnya pemilik kad mempunyai keyakinan
terhadap sistem rangkaian dan juga kepercayaan kepada MyKad. Keyakinan dan
kepercayaan yang tinggi tentang keselamatan rangkaian dan MyKad boleh
mendorong kepada penggunaan perkhidmatan awam dan e-dagang. Namun, dapatan
kajian ini menunjukkan bahawa tahap keyakinan orang ramai terhadap sistem
16
rangkaian dan kepercayaan kepada MyKad dan e-dagang adalah sederhana.
Meningkatkan kepercayaan dan keselamatan e-kerajaan dan e-dagang membolehkan
kerajaan dan syarikat mengambil kesempatan daripada kelebihan dan kecekapan
Internet, kad elektronik, aplikasi e-kerajaan dan e-dagang untuk membolehkan zaman
“e” benar-benar berkembang di Malaysia.
Rujukan
Ghazali Darman. “huge potential to develop online public services” dalam New
Straits Times, June 14th. 2002. halaman 8.
Mohd Yusof dan rakan-rakan. 2004. “Usage of e-government:A study on MyKad
application”. Kerta kerja yang dibentangkan di International conference on Social
Science and Humanities. 14-16th. December 2004. UKM, Bangi.
Morni Hayati Jaafar Sidik. 2003. The Income Taxation of Electronic: A Malaysian
Perpective. Kertas kerja yang dibentang di Seminar Kebangsaan Teknologi
Komunikasi dan Maklumat 2003, Kuala Lumpur.
Schneider, G. P., Perry. J. T. 2000. Electronic Commerce. Canada: Course
Technology.
17