Upload
others
View
52
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
Edaran percuma (Harga RM0)
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 1 daripada 25
MAKLUMAT PENERBITAN
Nama Buku Digital (e-book):
Panduan Menggunakan GIMP (Asas)
Tarikh terbitan:
Jumaat, 01 Muharram 1439 Hijrah | 22 September 2017 Masihi
eISBN:
eISBN 978-967-11366-2-1
Penerbit:
Kolej Komuniti Gerik, Bukit Nasah, 33300, Gerik, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Identiti Penerbit : ISBN 978-967-11366
No. Telefon : 605 791 6199 / 0299
No. Faks : 605 791 6399
Laman Sesawang : http://www.kkgri.edu.my
Alamat e-mel : [email protected] / [email protected]
Facebook : https://www.facebook.com/KolejKomunitiGerik
Twitter : https://twitter.com/kkgerik
Instagram : https://www.instagram.com/KolejKomunitiGerik
MAKLUMAT HAK CIPTA
© 2017 oleh Kolej Komuniti Gerik
Nor Islahiah binti Muhammed (Penulis/Pengarang/Penyunting)
Penyelaras Unit Rekaan Kreatif Kolej Komuniti Gerik / Pengajar Kursus GIMP
Rekaan Muka Depan © 2017 oleh Nuraisyah binti Abdul Aziz
Ketua Penyelaras Unit Rekaan Kreatif Kolej Komuniti Gerik / Pengajar Kursus GIMP
Hak cipta terpelihara. Tidak ada sebarang bahagian dalam buku digital ini yang boleh diterbitkan semula atau
digunakan dalam apa-apa cara tanpa kebenaran bertulis daripada penulis/penerbit KECUALI penggunaan
petikan ringkas (brief quotation) untuk ulasan buku.
Tujuan buku digital ini dihasilkan adalah untuk kemudahan pengajar dan peserta kursus GIMP di Kolej Komuniti
Gerik, Perak (KKGP). Namun begitu, matlamat utama kursus tersebut dan buku digital ini diadakan adalah untuk
mengalakkan penggunaan perisian GIMP dan mengurangkan kebiasaan menggunakan perisian cetak rompak
yang salah di sisi undang-undang dan agama dikalangan rakyat Malaysia.
Oleh yang demikian, pemilik hak cipta/penerbit mengambil keputusan untuk mengedarkan buku digital ini secara
percuma. Pembaca juga dibenarkan untuk membuat salinan dan mengedarkan buku digital ini TANPA perlu
meminta kebenaran daripada kami DENGAN SYARAT, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk khidmat
tersebut. Bayaran hanya boleh dikenakan untuk khidmat cetakan.
PENAFIAN
Penulis/Penerbit bukanlah pemilik atau rakan usahasama perisian GIMP. Perisian ini merupakan perisian
terbuka yang dilesenkan di bawah “General Public License v3 and later”. Maklumat yang dikongsikan di dalam
buku digital ini adalah panduan dalam menggunakan perisian GIMP versi 2.8.14 sahaja berdasarkan
pengetahuan/pengalaman peribadi Penulis.
Penulis telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan tiada kesilapan pada maklumat yang dikongsikan
namun begitu tiada jaminan dapat diberikan bahawa maklumat yang diberikan adalah 100% tepat.
Penulis/Penerbit tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan atau kerugian secara langsung atau
tidak langsung yang timbul akibat menggunakan maklumat di dalam buku digital ini.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 2 daripada 25
Isi kandungan panduan ini:
Perkara Muka surat
01. Senarai Isi Kandungan 02
02. Pengenalan kepada GIMP 03
03. Pengenalan kepada Antaramuka (Interface) GIMP 04 – 05
04. Penerangan Ringkas Antaramuka (Interface) GIMP 06 – 08
06. Asas Sebelum Menggunakan GIMP Untuk Menyunting Gambar
Membuka gambar (Open Image)
Menyimpan gambar (Save Image)
Ubah paparan GIMP menjadi satu tetingkap (Single-Window Mode)
Menguruskan tetingkap mudah alih (Dockable Dialog)
Menukar ukuran dan mutu cetakan gambar (Image Print Size & Resolution)
Membuat/membuang Garisan Penanda (Guideline)
Membesar/mengecilkan paparan gambar (Display Zoom In/Out)
09 – 12
09
09 – 10
10
10 – 11
11
11 – 12
12
07. Panduan Asas Menyunting Gambar
Bekerja dengan lapisan (Layers)
Memilih/menanda kawasan tertentu pada gambar (Select Tools)
Potong gambar (Image Crop)
Padam bahagian tertentu pada gambar (Delete)
Menambah tulisan pada gambar (Add Text)
Buang mata merah pada gambar (Red Eye Removal)
Kecilkan/Besarkan gambar (Image Resize)
Tukar tahap kecerahan gambar (Image brightness level)
Tukar gambar berwarna menjadi gambar hitam putih
Terbalikkan gambar (Flip)
Pusing gambar supaya senget (Rotate)
Bermain dengan kesan khas kepada gambar (Filters)
13 – 20
13 – 14
14 – 16
17
17
18
18
18 – 19
19
19
20
20
20
08. Asas Melukis Dan Mewarna Dengan GIMP
Memilih warna
Melukis secara bebas
Melukis garisan lurus
Melukis garisan melengkung
Melukis bentuk petak
Melukis bentuk bulatan
Mewarna
21 – 24
21
22
22
22
23
23
24
10. Senarai Sumber Rujukan dan Sumber Gambar 25
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 3 daripada 25
PENGENALAN KEPADA GIMP
Nama GIMP terhasil daripada singkatan kepada “GNU Image Manipulation Program”.
Sesuai dengan namanya, perisian ini dihasilkan melalui sistem operasi (operating system) GNU
untuk membolehkan penggunanya mengendalikan gambar (image manipulation) untuk tugasan
seperti...
membaiki gambar (photo retouching)
mengubahsuai susun atur dan rupa gambar (image composition)
menyediakan pandu arah untuk antaramuka (image authoring)
menukar format gambar (image format converter)
...dan banyak lagi.
Perisian ini boleh dipasang di komputer yang menggunakan sistem operasi Windows,
Mac, GNU, atau Linux. Anda boleh muat turun perisian ini di www.gimp.org dan
menggunakannya secara percuma (Ya, perisian ini sememangnya percuma!).
Namun hanya kerana perisian ini boleh diperolehi secara percuma, tidaklah bermakna
perisian ini boleh dipandang rendah. Keupayaan GIMP keluaran terkini mungkin tidak boleh
dikatakan setanding dengan Adobe Photoshop keluaran yang terkini buat masa ini, namun
begitu perisian ini merupakan tulang belakang kepada laman sesawang Flaming Text Logo
Generator dan Cooltext Logo Generator dalam menjana pelbagai gambar yang menarik
secara atas talian, selain digunakan dalam penghasilan filem Linux and Scooby-Doo.
Antara ciri-ciri yang ditawarkan dalam GIMP ialah:
Set melukis yang lengkap termasuk berus, pensel, penyembur, dan klon
Saiz gambar hanya terhad mengikut ruang simpanan (disk space) yang ada
“Sub-pixel sampling” alat mengecat untuk pelicinan garisan bermutu tinggi
Sokongan penuh saluran Alpha untuk bekerja dengan ciri lutsinar
Lapisan berlapis (layers) dan saluran (channels)
Keupayaan untuk menggunakan skrip canggih
Alat pengubah termasuk pemusing, pengubah saiz dan pembalik
Sokongan format fail yang meluas termasuk GIF, JPEG, PNG, XPM, TIFF,
TGA, MPEG, PS, PDF, PCX, BMP dan banyak lagi.
Alat pemilih termasuk segiempat, bulatan, bebas, ajaib, dan gunting pintar
Pelbagai pemalam (plug-ins) yang membenarkan penambahan format fail baru
dan kesan khas dengan mudah
Kesimpulannya, perisian ini sebenarnya agak canggih dan berupaya untuk memenuhi
keperluan sesetengah pereka grafik, jurugambar, pelukis, dan ahli sains serta kebanyakan
pengguna biasa.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 4 daripada 25
PENGENALAN KEPADA ANTARAMUKA (INTERFACE) GIMP
Secara umumnya, beginilah rupa antaramuka GIMP.
Pengguna tidak memilih untuk menggunakan satu tetingkap sahaja (Single Window Mode)
Pengguna memilih untuk menggunakan satu tetingkap sahaja (Single Window Mode)
4 3
2
1
4 3
2
1
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 5 daripada 25
PENGENALAN KEPADA ANTARAMUKA (INTERFACE) GIMP
1. Senarai Pilihan (Menu)
2. Tetingkap Gambar (Image Window)
3. Tetingkap Lapisan (Layers)
4. Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox)
5. Tetingkap Tetapan Alat (Tool Options)
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 6 daripada 25
PENERANGAN RINGKAS ANTARAMUKA (INTERFACE) GIMP
Senarai Pilihan (Menu)
Bagi pengguna baru yang tidak begitu mahir menggunakan pintasan papan kekunci (keyboard
shortcut), Senarai Pilihan (Menu) GIMP sangat membantu. Hampir kesemua pilihan tindakan
boleh dicari/dipilih di sini.
Tetingkap Gambar (Image Window)
Gambar yang anda sedang sunting/lukis akan terpapar di sini.
Tetingkap Lapisan (Layers)
GIMP menyokong penyuntingan gambar yang terdiri daripada banyak lapisan. Anda boleh
lihat senarai semua lapisan tersebut dan pilih lapisan yang hendak disunting di sini.
Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox)
Di sini tersimpan semua alat yang anda perlukan untuk menyunting/melukis gambar. Anda
boleh rujuk jadual di bawah untuk penerangan ringkas setiap alat yang ditawarkan.
BIL. GAMBAR ALAT
PENERANGAN
01
Alat Pemilih Bentuk Petak (Rectangle Select Tool) Gunakan alat ini untuk menandakan suatu kawasan berbentuk petak.
02
Alat Pemilih Bentuk Bulatan (Ellipse Select Tool) Gunakan alat ini untuk menandakan suatu kawasan berbentuk bulatan.
03
Alat Pemilih Bentuk Bebas (Free Select Tool) Gunakan alat ini untuk menandakan suatu kawasan mengikut bahagian yang anda tandakan.
04
Alat Pemilih Ajaib (Fuzzy Select Tool / Magic Wand) Gunakan alat ini untuk menandakan suatu kawasan yang mempunyai warna yang lebih kurang sama.
05
Alat Pemilih Mengikut Warna (Select By Color Tool) Gunakan alat ini untuk menandakan semua kawasan yang mempunyai warna yang sama.
06
Alat Pemilih Seakan Gunting (Scissors Select Tool / Intelligent Scissors) Alat ini adalah antara alat pintar yang paling sesuai untuk membantu anda menandakan kawasan yang mempunyai bentuk tertentu dengan lebih cepat kerana alat ini berupaya untuk mengekori alur sesuatu bentuk dengan sendirinya.
07
Alat Pemilih Bahagian Depan (Foreground Select Tool) Secara umumnya, gambar terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian depan (foreground) dan latar belakang (background). Sekiranya bahagian depan gambar dan latar belakang gambar mengandungi gabungan warna yang berlawanan, alat ini adalah antara alat pintar yang paling sesuai untuk membantu anda menandakan suatu kawasan di bahagian depan (foreground) gambar dengan cepat.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 7 daripada 25
Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox)
08
Alat Pembuat Laluan (Paths Tool) Gunakan alat ini untuk menghasilkan garisan beralun atau bentuk tertentu.
09
Alat Pengutip Warna (Color Picker Tool) Jika anda tidak tahu kod warna yang anda lihat pada gambar tapi anda mahu gunakan warna tersebut maka alat inilah yang paling sesuai untuk anda guna bagi mendapatkan warna tersebut.
10
Alat Pembesar / Pengecil Paparan (Zoom Tool) Gunakan alat ini untuk besarkan atau kecilkan paparan gambar.
11
Alat Pengukur (Measure Tool) Gunakan alat ini untuk mengukur jarak dan sudut antara dua titik.
12
Alat Penggerak (Move Tool) Gunakan alat ini untuk mengubah kedudukan gambar.
13
Alat Penyusun (Alignment Tool) Gunakan alat ini untuk menyusun gambar mengikut aturan tertentu.
14
Alat Pemotong (Crop Tool) Gunakan alat ini untuk memotong gambar dengan cepat.
15
Alat Pemutar (Rotate Tool) Gunakan alat ini untuk putar gambar supaya senget ke kiri atau ke kanan tanpa mengubahsuai atau merosakkan gambar.
16
Alat Pengubah Saiz (Scale Tool) Gunakan alat ini untuk membesar atau mengecilkan gambar.
17
Alat Pengherot (Shear Tool) Gunakan alat ini untuk mengherot-benyotkan gambar ke satu arah.
18
Alat Pengubah Sudut Pandangan (Perspective Tool) Gunakan alat ini untuk membetulkan atau mengubah sudut pandangan pada gambar.
19
Alat Pembalik (Flip Tool) Gunakan alat ini untuk menterbalikkan gambar samaada terbalik kiri ke kanan atau atas ke bawah.
20
Alat Pengubah Bentuk (Cage Transform) Gunakan alat ini untuk mengubah bentuk gambar.
21
Alat Penulis (Text Tool) Gunakan alat ini untuk menulis pada gambar.
22
Alat Penuang Warna (Bucket Fill Tool) Gunakan alat ini untuk mewarnakan kawasan yang telah ditandakan dengan satu warna atau corak tertentu.
23
Alat Penuang Pelbagai Warna (Blend Tool) Gunakan alat ini untuk mewarnakan kawasan yang telah ditandakan dengan adunan pelbagai warna yang tertentu.
24
Alat Pensel (Pencil Tool) Gunakan alat ini untuk melukis / mewarna seolah-olah anda melukis / mewarna dengan pensel.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 8 daripada 25
Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox)
25
Alat Berus Lukisan (Paintbrush Tool) Gunakan alat ini untuk melukis / mewarna seolah-olah anda melukis / mewarna dengan berus lukisan.
26
Alat Pemadam (Eraser Tool) Gunakan alat ini untuk memadam bahagian tertentu pada gambar / lukisan.
27
Alat Penyembur Warna (Airbrush Tool) Gunakan alat ini untuk melukis / mewarna seolah-olah anda melukis / mewarna dengan alat penyembur warna.
28
Alat Pen Dakwat (Ink Tool) Gunakan alat ini untuk melukis / mewarna seolah-olah anda melukis / mewarna dengan pen berdakwat basah.
29
Alat Peniru (Clone Tool) Gunakan alat ini untuk meniru gambar atau corak.
30
Alat Penyembuh (Healing Tool) Sama seperti Alat Peniru (Clone Tool) tetapi dengan kepintaran tambahan untuk mengambil kira keadaan sekitar supaya hasil tiruan tampak lebih asli.
31
Alat Peniru Bersudut Pandangan (Perspective Clone Tool) Gunakan alat ini untuk meniru gambar atau corak mengikut sudut pandangan tertentu.
32
Alat Pengkabur / Penajam (Blur / Sharpen Tool) Gunakan alat ini untuk mendapatkan kesan kabur atau kesan gambar yang tajam pada gambar menggunakan berus.
33
Alat Pencomot (Smudge Tool) Gunakan alat ini untuk mendapatkan kesan comot pada gambar menggunakan berus.
34
Alat Penerang / Penggelap (Dodge / Burn Tool) Gunakan alat ini untuk mendapatkan kesan warna yang lebih terang atau lebih gelap pada gambar menggunakan berus.
35
Bekas Warna (Foreground & Background Colors) Di sini, anda boleh memilih warna yang akan digunakan pada Alat Pensel (Pencil Tool), Alat Berus Lukisan (Paintbrush Tool), Alat Penyembur Warna (Airbrush Tool) dan lain-lain alat.
36
Berus Yang Sedang Digunakan (The Active Brush) Bahagian ini membolehkan anda memeriksa serta menukar jenis berus, jenis corak, dan jenis adunan warna yang sedang digunakan dengan pantas.
37
Gambar Yang Sedang Digunakan (The Active Image) Pautan pantas ke gambar yang berada di lapisan teratas dalam susunan gambar (Layers).
Tetingkap Tetapan Alat (Tool Options)
Apabila pengguna memilih mana-mana alat bilangan (bil.) 01-34 daripada Tetingkap Kotak
Peralatan (Toolbox), pengguna boleh menukar tetapan alat tersebut di sini. Contohnya apabila
anda memilih Alat Penyembur Warna (Airbrush Tool), maka di sini anda boleh memilih saiz
penyembur, kekuatan warna semburan (kuat atau lembut), dan sebagainya.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 9 daripada 25
ASAS SEBELUM MENGGUNAKAN GIMP UNTUK MENYUNTING GAMBAR
1. Membuka gambar sedia ada untuk disunting.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik (menekan dengan tetikus) pada
“File”.
Klik pada “Open”.
Pilih gambar yang dikehendaki.
Klik pada butang “Open”.
Kesannya, gambar yang dipilih akan
terpapar di Tetingkap Gambar (Image
Window).
2. Membuka gambar kosong untuk disunting.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “File”.
Klik pada “New ”.
Pilih tetapan yang dikehendaki seperti
keluasan gambar (lebarxtinggi), jenis
kedudukan (menegak atau mendatar),
kedalaman warna (resolution), dan sebagainya.
o Kedalaman warna 72 selalunya sudah
mencukupi untuk laman sesawang.
o Kedalaman warna 150-300 selalunya
sudah mencukupi untuk tujuan
cetakan.
o Untuk latar lutsinar, pilih “Fill
with: Transparency”.
Klik pada butang “OK”.
Kesannya, gambar kosong mengikut
tetapan yang dipilih tadi akan terpapar di Tetingkap Gambar (Image Window).
3. Menyimpan gambar yang sedang atau telah siap
disunting.
Pergi ke Senarai pilihan (Menu).
Klik pada “File”.
Klik pada “Save”.
Letakkan nama yang dikehendaki di
bahagian “Name”.
Pilih di mana anda hendak simpan gambar ini. Contoh: xampp (rujuk gambar
di bawah).
Semak di bahagian “Save in folder” untuk pastikan tempat yang dipilih tadi
adalah betul.
Klik pada butang “Save”.
Kesannya gambar ini akan disimpan dalam format .xcf.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 10 daripada 25
ASAS SEBELUM MENGGUNAKAN GIMP UNTUK MENYUNTING GAMBAR
4. Menyimpan gambar yang telah siap disunting dalam format selain .xcf, .xcf.bz2,
.xcfbz2, .xcf.gz, atau .xcfgz. Contoh: .jpg.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “File”.
Klik pada “Export”.
Letakkan nama yang dikehendaki di bahagian “Name”
Untuk pilih jenis format, pergi ke bahagian “Select File Type”, klik pada kotak
yang ada bentuk + supaya senarai format yang boleh dipilih terpapar, dan
pilih format yang dikehendaki.
Pilih di mana anda hendak simpan gambar ini.
Klik pada butang “Export”.
Klik pada butang “Export” sekali lagi.
Kesannya gambar ini akan disimpan dalam format yang dikehendaki.
5. Menetapkan supaya semua bahagian dalam GIMP dipaparkan dalam satu (1)
tetingkap sahaja atau sebaliknya.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Windows”.
Lihat pada “Single-Window Mode”.
Perhatikan, ada atau tiada tanda (checked) di
sebelahnya (rujuk gambar kanan).
Jika ada, anda tidak perlu buat apa-apa. Jika tiada, klik pada pilihan “Single-
Window Mode” tersebut.
6. Menyelesaikan masalah tiada Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox), Tetingkap Lapisan (Layers), Tetingkap Tetapan Alat (Tool Options), atau Tetingkap Mudah Alih (Dockable Dialog) lain.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Windows”.
Klik pada “Dockable Dialogs”.
Klik pada nama tetingkap yang berkenaan.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 11 daripada 25
ASAS SEBELUM MENGGUNAKAN GIMP UNTUK MENYUNTING GAMBAR
7. Sorok semua Tetingkap Mudah Alih (Dockable Dialog) buat sementara waktu untuk
memudahkan lihat paparan penuh gambar yang sedang disunting/dilukis dan papar
semula.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Windows”.
Lihat pada “Hide Docks”. Perhatikan, ada atau tiada tanda (checked) di
sebelahnya. Jika ada, maksudnya tetingkap telah disorokkan. Jika tiada,
maksudnya adalah sebaliknya.
Klik pada “Hide Docks” untuk tandakan atau buang tanda pada pilihan ini.
8. Tutup Tetingkap Mudah Alih (Dockable Dialog) yang tidak dikehendaki. Contoh: Tetingkap
Tetapan Alat (Tool Options).
Pergi ke tetingkap mudah alih tersebut.
Perhatikan di bahagian hujung, ada butang kecil
bentuk segitiga di situ (rujuk butang yang ditunjukkan anak panah dalam
gambar di sebelah). Klik butang itu.
Klik “Close Tab” untuk tutup tetingkap.
9. Cara menukar ukuran dan mutu cetakan gambar (image print resolution).
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu), klik “Images”,
dan klik “Print Size”.
Isikan maklumat ukuran yang dikehendaki.
“Width” dan “Height” merujuk kepada ukuran
lebar dan panjang gambar apabila dicetak.
Dalam contoh ini, ukuran gambar ialah
13.889 inci lebar x 9.264 inci panjang. “X
resolutions” dan “Y resolutions” merujuk kepada mutu gambar. Dalam contoh
ini, terdapat 72 unsur gambar (pixel) bagi setiap keluasan satu inci gambar.
Lebih tinggi kepadatan unsur gambar, lebih elok hasil cetakan gambar.
Apabila selesai, klik butang “OK”.
10. Meletak/memadam Garisan Rujukan (Guideline).
Pertama sekali, pastikan gambar yang hendak disunting telah dibuka. Rujuk
panduan 1 dan 2 jika tidak tahu bagaimana untuk buat demikian.
Kemudian, pergi ke Tetingkap Gambar (Image Window).
Dalam gambar di bawah, yang pertama tiada Pembaris (Ruler) tetapi yang
kedua ada. Jika tetingkap anda seperti yang pertama, anda perlu pergi ke
Senarai Pilihan (Menu), klik “View”, klik “Show Rulers” terlebih dahulu.
... bersambung di halaman seterusnya
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 12 daripada 25
ASAS SEBELUM MENGGUNAKAN GIMP UNTUK MENYUNTING GAMBAR
Jika tetingkap anda seperti yang kedua, anda hanya perlu klik pada hujung
Pembaris tersebut (rujuk bulatan atas dalam gambar di bawah), JANGAN
lepaskan klik, seret ke tempat yang anda mahu, kemudian barulah lepaskan
tetikus (rujuk bulatan bawah dalam gambar di bawah).
Pembaris terbahagi pada dua bahagian: satu atas, satu kiri. Jika tarik dari
atas, dapatlah garisan penanda melintang seperti dalam gambar di atas.
Untuk garisan penanda menegak, garisan perlu ditarik dari sebelah kiri.
Untuk buang garisan penanda, klik sahaja pada garisan tersebut, seret
kembali ke Pembaris, dan lepaskan tetikus.
11. Membesar/mengecilkan paparan gambar.
Pertama sekali, pastikan fail yang hendak disunting telah dibuka. Rujuk
panduan 1 dan 2 jika tidak tahu bagaimana untuk berbuat demikian.
Kemudian, pergi ke Tetingkap Gambar (Image Window).
Tengok di bahagian bawah sekali.
Anda sepatutnya akan nampak seperti gambar di atas.
Klik pada anak panah kedua untuk pilih nisbah ukuran
paparan kepada ukuran sebenar gambar.
Kesannya, kalau anda pilih 100 iaitu 100%, gambar
akan dipaparkan mengikut ukuran sebenar. Kalau anda
pilih 50 iaitu 50%, gambar akan dipaparkan 50% lebih
kecil berbanding ukuran sebenar, dan begitulah
seterusnya.
Nisbah paparan: 100% Nisbah paparan: 400%
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 13 daripada 25
PANDUAN ASAS MENYUNTING GAMBAR
1. Mengubah kedudukan lapisan pada gambar.
Apabila menggunakan GIMP, satu-satu gambar itu boleh terdiri daripada
pelbagai lapisan. Contoh: Sila perhatikan di Tetingkap Lapisan (Layers) pada
gambar di bawah. Anda akan dapati bahawa gambar ini sebenarnya terdiri
daripada 2 lapisan gambar.
Sebagaimana di dunia sebenar, lapisan di atas akan menutup lapisan di
bawah. Dalam contoh di atas, lapisan berwarna hitam legam yang dinamakan
sebagai Lapisan 2 menutup lapisan bernama Lapisan 1 yang mempunyai
gambar seorang lelaki.
Untuk mengubah kedudukan
lapisan, anda hanya perlu klik pada
lapisan tersebut dan seret ke
kedudukan yang dikehendaki.
Contoh: Lapisan 1 mahu diletakkan
di atas Lapisan 2. Maka, klik dan seret lapisan tersebut ke atas Lapisan 2.
Kesannya adalah seperti dalam gambar di bawah:
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 14 daripada 25
PANDUAN ASAS MENYUNTING GAMBAR
2. Menyunting gambar pada lapisan tertentu.
Apabila menyunting gambar, peralatan yang digunakan hanya akan berkesan
pada lapisan yang dipilih sahaja.
Untuk mengetahui anda sekarang berada di lapisan mana, lihat sahaja di
Tetingkap Lapisan (Layers). Lapisan tersebut akan ditandakan dengan warna
biru seperti dalam contoh gambar pertama di bawah:
Mengikut contoh dalam gambar pertama di atas, anda sekarang berada di
“Lapisan 1”. Untuk memilih “Lapisan 2”, anda hanya perlu klik pada “Lapisan
2”. Hasilnya seperti dalam gambar kedua di atas.
3. Menyelesaikan masalah lapisan gambar tidak lutsinar.
Pergi ke Tetingkap Lapisan (Layers).
Klik kanan pada lapisan yang dikehendaki.
Klik “Add Alpha Channel”.
4. Memilih kawasan yang dikehendaki pada gambar.
Terdapat tujuh (7) alat untuk memilih
kawasan yang disediakan dalam GIMP
iaitu Alat Pemilih Bentuk Petak (Rectangle
Select Tool), Alat Pemilih Bentuk Bulatan (Ellipse Select Tool), Alat Pemilih Bentuk
Bebas (Free Select Tool), Alat Pemilih Ajaib (Fuzzy Select Tool/Magic Wand), Alat Pemilih
Mengikut Warna (Select By Color Tool), Alat Pemilih Seakan Gunting (Scissors Select Tool /
Intelligent Scissors), dan Alat Pemilih Bahagian Depan (Foreground Select Tool).
Untuk menggunakan alat di atas, pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox).
Klik untuk pilih mana-mana alat yang dikehendaki. Contoh: Alat Pemilih
Bentuk Petak (Rectangle Select Tool).
Untuk Alat Pemilih Bentuk Petak (Rectangle Select Tool), dan Alat Pemilih Bentuk
Bulatan (Ellipse Select Tool), Klik di mana-mana pada gambar. JANGAN lepaskan
klik tersebut. Seterusnya, seret ke atas/bawah/kiri/kanan/mana-mana untuk
menandakan kawasan yang dikehendaki. Setelah selesai, baru lepaskan klik.
... bersambung di halaman seterusnya
01 02
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 15 daripada 25
PANDUAN ASAS MENYUNTING GAMBAR
Untuk Alat Pemilih Bentuk Bebas (Free Select Tool), anda hanya perlu klik, klik, dan
klik lagi di sekeliling kawasan yang anda kehendaki untuk menandakan
kawasan tersebut sehingga di akhirnya anda perlu klik pada titik tanda yang
pertama (rujuk gambar pertama di bawah) untuk mengesahkan bahawa anda
telah selesai memilih kawasan yang dikehendaki.
Untuk Alat Pemilih Ajaib (Fuzzy Select Tool/Magic Wand), hanya perlu
klik pada mana-mana kawasan yang sama warna. Contoh:
Untuk menandakan kawasan berwarna hijau sahaja, anda
perlu klik sekali di mana-mana dalam kawasan yang
berwarna hijau itu. Namun begitu, alat ini hanya mampu
memilih kawasan yang bersambungan sahaja sebab itu
kalau perhatikan gambar contoh di sebelah, bukan semua kawasan berwarna
hijau berjaya ditandakan.
Untuk menandakan semua kawasan berwarna hijau pada
gambar, anda perlu gunakan Alat Pemilih Mengikut Warna (Select By Color Tool). Cara gunanya sama sahaja seperti Alat
Pemilih Ajaib (Fuzzy Select Tool/Magic Wand). Hasilnya seperti
Cara guna Alat Pemilih Seakan Gunting (Scissors Select Tool /
Intelligent Scissors) adalah lebih kurang sama seperti Alat Pemilih
Bentuk Bebas (Free Select Tool) cuma anda bukan klik, klik, klik ikut suka hati tetapi
klik, klik, klik, di sekeliling kawasan yang mempunyai bentuk. Alat ini dengan
sendirinya akan mengikut alur bentuk tersebut, sekaligus memudahkan anda
untuk menandakan kawasan sebegini. Di akhir sekali, anda perlu klik semula
pada titik tanda yang pertama (rujuk gambar pertama di bawah) dan klik
sekali dalam kawasan yang ditandakan (rujuk gambar kedua di bawah) untuk
mengesahkan bahawa anda telah selesai memilih kawasan yang
dikehendaki.
... bersambung di halaman seterusnya
03
06
04
05
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 16 daripada 25
PANDUAN ASAS MENYUNTING GAMBAR
Dan yang akhir sekali, Alat Pemilih Bahagian Depan (Foreground Select Tool).
o Gunakan langkah yang sama seperti apabila menggunakan Alat
Pemilih Bentuk Bebas (Free Select Tool) untuk tandakan secara kasar
bahagian depan pada gambar yang anda mahu. (Rujuk gambar
pertama di bawah)
o Bahagian dalam kawasan yang telah anda tandakan akan kelihatan
agak gelap manakala kawasan lain akan dipenuhi dengan warna biru,
hijau atau merah yang terang. (Rujuk gambar kedua di bawah)
o Seterusnya klik pada mana-mana bahagian yang paling gelap pada
bahagian depan gambar. JANGAN lepaskan klik tersebut. Seret ke
mana-mana bahagian paling gelap pada bahagian depan gambar.
Kemudian barulah lepaskan klik pada tetikus. (Rujuk gambar pertama
di bawah)
o Anda akan lihat bahawa semua bahagian depan gambar akan
dipaparkan dengan jelas, manakala semua di latar belakang akan
digelapkan dengan warna biru, hijau, atau merah.
o Sekiranya anda berpuas hati dengan hasil di atas, klik butang “Alt”
dan “Enter” pada papan kekunci untuk mengesahkan bahawa anda
mahu menanda/memilih kawasan tersebut.
o Kesannya, jika anda rujuk gambar 01-07 di atas, ada kawasan pada
gambar yang kini dikelilingi garisan putus-putus yang bergerak-gerak.
Inilah kawasan yang telah kita tandakan/pilih tadi. Macam-macam
boleh dibuat dengan kawasan ini.
07
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 17 daripada 25
PANDUAN ASAS MENYUNTING GAMBAR
5. Potong gambar (Image Crop) – Cara 1.
Buka gambar yang dikehendaki.
Tandakan kawasan gambar yang dikehendaki sahaja.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Image”.
Klik pada “Crop to Selection”.
Kesannya...
Amaran: Sekiranya gambar ini mempunyai beberapa lapisan, semua lapisan
akan terpotong sama (rujuk gambar hujung sekali sebelah kanan di atas).
6. Potong gambar (Image Crop) – Cara 2.
Buka gambar yang dikehendaki.
Tandakan kawasan gambar yang dikehendaki sahaja.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Layer”.
Klik pada “Crop to Selection”.
Kesannya...
7. Padam bahagian tertentu pada gambar.
Buka gambar yang
dikehendaki.
Tandakan pada kawasan
gambar yang dikehendaki sahaja.
Pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox).
Klik pada Alat Pemadam (Eraser Tool).
Kemudian, klik dan seret pemadam pada padam bahagian yang hendak
dipadam.
Contoh kesannya seperti gambar di
sebelah:
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 18 daripada 25
PANDUAN ASAS MENYUNTING GAMBAR
8. Menambah perkataan pada gambar.
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox).
Klik pada Alat Penulis (Text Tool).
Klik dan seret untuk membentuk kotak di mana perkataan itu akan berada.
Kemudian, terus tulis perkataan yang dikehendaki.
Contoh hasil seperti gambar di bawah:
9. Buang mata merah pada gambar (Red Eye Removal).
Buka gambar yang dikehendaki.
Tandakan pada kawasan bola mata yang
berwarna merah.
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Filters”.
Klik pada “Enhance”.
Klik pada “Red Eye Removal”.
Ubah ketetapan “Threshold” mengikut kesesuaian.
Klik “OK”.
10. Kecilkan/Besarkan gambar (Image Resize) – Cara 1.
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Image”.
Klik pada “Scale Image”.
Tetapkan keluasan yang dikehendaki.
Klik butang “Scale”.
Contoh kesannya adalah seperti
gambar di bawah.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 19 daripada 25
PANDUAN ASAS MENYUNTING GAMBAR
11. Kecilkan/Besarkan gambar (Image Resize) – Cara 2.
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox).
Klik pada Alat Pengubah Saiz (Scale Tool).
Klik pada gambar yang hendak dibesar/kecilkan.
Klik dan seret gambar untuk besarkan/kecilkan gambar.
Setelah puas hati, klik butang “Scale”.
Lihat pula di Tetingkap Lapisan (Layers). Kadang-kadang akan keluar satu
lapisan seperti yang ditunjukkan dalam gambar hujung sekali sebelah kanan
di atas.
Jika ada, klik situ dengan butang tetikus sebelah kanan (right mouse click).
Kemudian klik pada “Anchor Layer”.
12. Tukar tahap kecerahan gambar (Change image brightness level).
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Colors”.
Klik pada “Curves”.
Klik dan seret garisan di tengah-tengah tu ke atas untuk cerahkan gambar
atau ke bawah untuk gelapkan gambar.
Setelah puas hati, klik butang “OK”.
13. Tukar gambar berwarna menjadi gambar hitam putih.
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Colors”.
Klik pada “Desaturate”
Pilih tetapan warna kelabu yang disukai.
Setelah puas hati, klik butang “OK”.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 20 daripada 25
PANDUAN ASAS MENYUNTING GAMBAR
14. Terbalikkan gambar.
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox).
Klik pada Alat Pembalik (Flip Tool).
Kemudian tengok di bawah Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox), ada kotak yang
dinamakan Tetapan Alat (Tool Options). Pilih tetapan yang
sesuai. Contoh: “Flip Type (Ctrl): Vertical”.
Klik pada gambar yang hendak dibalikkan.
Contoh hasil seperti gambar di bawah:
15. Pusing gambar supaya senget.
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox).
Klik pada Alat Pemutar (Rotate Tool).
Klik pada gambar yang hendak dipusing kedudukannya.
Pilih tetapan yang sesuai. Contoh: “Angle: 75”
Setelah puas hati, klik butang “Rotate”.
Contoh hasil seperti gambar di sebelah kanan:
16. Bermain dengan kesan khas pada gambar (Filters).
Buka gambar yang dikehendaki.
Pergi ke Senarai Pilihan (Menu).
Klik pada “Filters”.
Pilih kesan khas yang dikehendaki. Contoh:
“Filter” > “Render” > “Pattern” > “Jigsaw”
Pilih tetapan yang dikehendaki. Contoh: Untuk
kesan “Jigsaw”, anda boleh pilih berapa keping pecahan
gambar yang dikehendaki, kedalaman gambar, dan lain-
lain.
Setelah puas hati, klik butang “OK”.
Contoh hasil seperti gambar di sebelah kanan.
Lain-lain contoh kesan khas yang disediakan dalam GIMP:
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 21 daripada 25
ASAS MELUKIS DAN MEWARNA DENGAN GIMP
1. Memilih warna
Tidak kiralah peralatan apa yang anda sedang
gunakan dalam GIMP, pemilihan warna akan dibuat
di satu tempat sahaja iaitu di Bekas Warna (Foreground &
Background Colors) yang berada di Tetingkap Kotak
Peralatan (Toolbox).
Terdapat dua jenis warna yang boleh dipilih di sini
iaitu warna latar depan (foreground color) dan warna latar
belakang (background color). Dalam contoh gambar
pertama di sebelah, terdapat empat kotak warna dan
satu anak panah .
Kotak besar berwarna hitam di atas ialah kotak yang
menunjukkan warna latar depan (foreground color) yang
sedang digunakan. Sebagai contoh, sekiranya warna
yang kita sedang gunakan berwarna jingga, maka
akan berwarna jinggalah kotak ini (rujuk gambar
kedua di atas).
Kotak besar berwarna putih di atas ialah kotak yang
menunjukkan warna latar belakang (background color) yang sedang digunakan.
Sebagai contoh, sekiranya warna yang kita sedang gunakan berwarna
perang, maka akan berwarna peranglah kotak ini (rujuk gambar kedua di
atas).
Dua kotak kecil berwarna hitam dan putih di bawah itu pula sebenarnya
merupakan satu butang yang boleh ditekan untuk mengembalikan warna latar
depan (foreground color) dan warna latar belakang (background color) yang telah kita ubah
ke warna asal iaitu warna hitam dan putih.
Anak panah itu pun merupakan satu butang yang anda boleh tekan untuk
menukar warna antara warna latar depan (foreground color) dengan warna latar
belakang (background color) (rujuk gambar ketiga di atas untuk contoh).
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 22 daripada 25
ASAS MELUKIS DAN MEWARNA DENGAN GIMP
2. Melukis secara bebas
Untuk melukis secara bebas, terdapat empat alat iaitu Alat Pensel (Pencil Tool),
Alat Berus Lukisan (Paintbrush Tool), Alat Penyembur Warna (Airbrush Tool), dan Alat
Pen Dakwat (Ink Tool).
Untuk menggunakan peralatan ini, buka gambar yang dikehendaki.
Kemudian pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox) dan klik pada mana-
mana peralatan yang dinyatakan di atas.
Klik pada gambar dan seret untuk lukis.
3. Melukis garisan lurus
Untuk melukis garisan lurus, peralatan
yang boleh digunakan ialah Alat Pensel (Pencil Tool), Alat Berus Lukisan (Paintbrush Tool),
Alat Penyembur Warna (Airbrush Tool), Alat
Pen Dakwat (Ink Tool), Alat Pemadam (Eraser
Tool), Alat Peniru (Clone Tool), Alat Pengkabur /
Penajam (Blur / Sharpen Tool), Alat Pencomot (Smudge Tool), dan Alat Penerang / Penggelap (Dodge / Burn Tool). Pilih salah satu.
Klik sekali sahaja di mana anda mahu garisan itu bermula pada gambar.
Seterusnya, klik butang “Shift” pada papan kekunci (keyboard). Jangan lepaskan
butang tersebut.
Klik sekali sahaja di mana anda mahu garisan itu berakhir.
Lepaskan butang “Shift” tadi.
4. Melukis garisan melengkung
Untuk melukis garisan jenis ini, pergi ke Tetingkap
Kotak Peralatan (Toolbox) dan klik pada Alat
Pembuat Laluan (Paths Tool).
Klik sekali sahaja di mana anda mahu garisan itu
bermula pada gambar.
Klik sekali sahaja di mana anda mahu garisan itu berakhir.
Klik pada garisan yang terhasil dan seret ke atas/bawah/kiri/kanan untuk
hasilkan garisan yang melengkung. Lepaskan klik apabila puas hati.
Tidak seperti sebelum ini, garisan yang dihasilkan tidak berwarna. Untuk
mewarnakan garisan ini, pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox), tengok
Tetingkap Tetapan Alat (Tool Options). Klik pada butang “Stroke Path”.
Pilih tetapan yang sesuai. Contoh: “Stroke with a paint tool: Paintbrush”.
Klik butang “ Stroke”.
Tekan butang “b” pada papan kekunci (keyboard) apabila selesai.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 23 daripada 25
ASAS MELUKIS DAN MEWARNA DENGAN GIMP
5. Melukis bentuk segi empat/petak
Untuk melukis bentuk ini, pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox) dan klik
pada Alat Pemilih Bentuk Petak (Rectangle Select Tool).
Klik di mana-mana pada gambar. JANGAN lepaskan klik tersebut.
Seret ke atas/bawah/kiri/kanan/mana-mana untuk hasilkan bentuk petak.
Apabila puas hati, lepaskan klik.
Bentuk yang dihasilkan tidak berwarna. Untuk
mewarnakan bentuk ini, pergi ke Senarai Pilihan
(Menu), klik “Edit” dan pilih salah satu daripada ini
Tapi untuk kali ni, cuba ambil “Stroke Selection”.
Pilih tetapan yang sesuai. Contoh: ““Stroke with a paint
tool: Paintbrush”.
Klik butang “ Stroke”.
6. Melukis bentuk segi empat sama
Langkahnya sama sahaja seperti apabila melukis bentuk segi empat/petak
cuma selepas klik pada Alat Pemilih Bentuk Petak (Rectangle Select Tool), anda perlu pergi ke Tetingkap
Tetapan Alat (Tool Options) , tandakan pada kotak
“Fixed” terlebih dahulu jika belum ditanda dan pastikan di sebelah kotak
“Fixed” itu, tetapan yang dipilih ialah “Aspect ratio”.
7. Melukis bentuk segi empat tanpa bucu tajam
Langkah sama seperti di panduan 5 dan 6, cuma di Tetingkap Tetapan Alat (Tool Options), tandakan pada kotak “Rounded corners” dan pilih tetapan “Radius”
yang sesuai.
8. Melukis bulatan
Langkahnya sama seperti apabila melukis bentuk segi empat/petak cuma
peralatan yang digunakan bukan Alat Pemilih Bentuk Petak (Rectangle Select Tool)
tetapi Alat Pemilih Bentuk Bulatan (Ellipse Select Tool).
9. Melukis bentuk bulatan sempurna
Langkahnya sama sahaja seperti apabila melukis bulatan cuma selepas klik
pada Alat Pemilih Bentuk Bulatan (Ellipse Select Tool),
anda perlu pergi ke Tetingkap Tetapan Alat (Tool
Options) , tandakan pada kotak “Fixed” terlebih dahulu
jika belum ditanda dan pastikan di sebelah kotak “Fixed” itu, tetapan yang
dipilih ialah “Aspect ratio”.
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 24 daripada 25
ASAS MELUKIS DAN MEWARNA DENGAN GIMP
10. Mewarna – Cara 1
Tandakan kawasan yang hendak diwarnakan.
Pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox) dan
klik pada Alat Penuang Warna (Bucket Fill Tool).
Di Tetingkap Tetapan Alat (Tool Options), terdapat
banyak pilihan disediakan untuk anda. Untuk
contoh kali ini, pilih “Affected Area (Shift): Fill
whole selection” (tetapan 1) atau “Affected Area
(Shift): Fill similar colors” (tetapan 2).
Klik pada kawasan yang hendak diwarnakan.
Jika anda gunakan tetapan 1, hasilnya seperti
dalam gambar kedua di bawah. Jika anda
gunakan tetapan 2, hasilnya seperti dalam
gambar ketiga di bawah.
11. Mewarna – Cara 2
Tandakan kawasan yang hendak diwarnakan.
Pergi ke Tetingkap Kotak Peralatan (Toolbox) dan
klik pada Alat Penuang Pelbagai Warna (Blend
Tool).
Di Tetingkap Tetapan Alat (Tool Options), terdapat
banyak pilihan disediakan untuk anda. Pilihlah
tetapan yang anda suka.
Klik dalam kawasan yang telah ditandakan
tadi, JANGAN lepaskan klik, seret dahulu ke
mana-mana arah, kemudian baru lepaskan.
Antara hasil yang boleh didapati menggunakan
alat ini:
PANDUAN MENGGUNAKAN GIMP (ASAS) Halaman 25 daripada 25
SUMBER RUJUKAN
Laman sesawang rasmi GIMP di http://www.gimp.org
Puan Nuraisyah binti Abdul Aziz, lepasan Sarjana Muda Senireka (Grafik), UiTM
Beginning GIMP From Novice to Proffesional Second Edition oleh Akkana Peck
(2008)
Video panduan bertajuk Best GIMP Training #9 - Foreground Select Tool oleh
jec112203 di https://www.youtube.com/watch?v=aDdWMP1hEto (2016)
GIMP USER’S MANUAL oleh Karin Kylander & Olof S Kylander (1999)
Modul Pelatihan Desain Grafis oleh Tim Kreatif, UKM Creative Computer Club,
Universitas Trunojoyo Madura (2011)
OSCC MAMPU OSS Case Study Awards 2010 - Penulisan Nota GIMP dalam
Bahasa Malaysia oleh Duratul Ain Yahya, Bahagian Multimedia & Teknologi
Pendidikan, Pusat Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (2010)
SUMBER GAMBAR
Wilber (lambang khas GIMP) adalah milik https://www.gimp.org
Yellow Hibiscus in Malaysia oleh Tu7uh - Karya sendiri, CC BY 3.0,
https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=17032972
Selain yang dinyatakan di atas, gambar yang selebihnya adalah gambar percuma
yang diambil dari pelbagai sumber dan gambar yang diambil atau disediakan sendiri
oleh penulis atau kakitangan KKGP.