Upload
syed-aieman
View
34
Download
5
Embed Size (px)
DESCRIPTION
assignment
Citation preview
1.0 Pengenalan
Malaysia sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada kalangan kepelbagaian
budaya bangsa, agama dan kaum memiliki keistimewaan yang tersendiri. Keistimewaan
yang kita miliki ialah ikatan persaudaraan yang cukup kukuh meski antara kita berbeza
fahaman. Namun, ini semua tidak menghalang kemajuan daripada pesat berkembang di
Malaysia. Inilah yang telah menjadi contoh kepada negara sekitar nusantara mahupun
seantero dunia. Roh dan jasad perpaduan begitu utuh dalam diri masyarakat Malaysia
sehingga berupaya membina satu rangka yang mewujudkan keharmonian dan kestabilan
negara.
Kepelbagaian etnik ini tidak menjadi penghalang kepada usaha kerajaan
membangunkan negara dan mewujudkan perpaduan. Perpaduan antara seluruh warga
Malaysia menjadi wadah utama dalam mengekalkan keharmonian negara.
“Berlagulah dalam serunai hayat yang senafas hirup,
Nyanyian persaudaraan dalam batin yang harus hidup
Meski antara kita faham-faham berlainan terpaut “
( Usman Awang, 1969 )
Perpaduan yang kita miliki pada hari ini turut diterjemahkan dalam bait-bait sajak Usman
Awang pada tahun 1969 yang bertajuk Politik. Begitu besar makna perpaduan dalam
kehidupan masyarakat Malaysia kerana tanpa perpaduan, negara Malaysia tidak akan
pernah merdeka dan semua yang dimiliki tidak akan kekal sehingga ke hari ini. perpaduan
yang dimiliki perlu untuk terus dikekalkan agar setiap yang kita miliki pada hari ini tetap
kekal sehingga ke akhir zaman. Sejarah hitam 16 Mei 1969 perlu untuk dielakkan daripada
berulang. Bak kata pepatah, pisang tidak akan berbuah dua kali. Kejayaan yang dikecapi
pada hari ini tidak akan pernah wujud tanpa perpaduan .
Penulisan kali ini akan menjelaskan aplikasi hubungan etnik dalam realiti kehidupan
masyarakat majmuk di Malaysia berlandaskan nilai-nilai tertentu seperti kemesraan dalam
berkomunikasi, budaya ziarah-menziarahi, mengambil berat, memuliakan dan menghormati
seseorang dan menghormati jiran. Kerangka perpaduan ini penting kerana pengajian
ketamadunan sesebuah bangsa yang berjaya perlu dibina di atas epistemologi yang jelas
dan bertitik tolak daripada premis yang dibina berdasarkan acuan pandangan di mana ianya
diwujudkan. Kerangka perpaduan di Malaysia tidak sama dengan negara-negara luar.
2.0 Definisi
Perpaduan adalah satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara
seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk
satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.
Perpaduan masyarakat merupakan sebahagian yang penting daripada perpaduan negara. Oleh
itu adalah mustahak bagi kita meneliti latar belakang dan ciri-ciri masyarakat majmuk di negara
kita. Menurut Tun Abdul Razak,
“ Perpaduan dan integrasi penting supaya tenaga negara dapat disalurkan untuk
memajukan negara daripada digunakan untuk menyelesaikan masalah yang wujud daripada
kepelbagaian tersebut “
3.0 Aplikasi hubungan etnik dalam kehidupan
a ) Kemesraan dalam berkomunikasi
Tamadun atau peradaban merupakan suatu disiplin ilmu yang penting untuk semua
pihak sama ada bagi yang muda mahupun yang tua. Hal ini adalah kerana semua aktiviti
kehidupan manusia merupakan satu proses membina dan memperkasa tamadun. Dalam
konteks pembangunan Malaysia, peradaban ini perlu untuk untuk terus hidup agar generasi
yang akan datang akan tetap menikmati keharmonian yang ada pada hari ini. Untuk
mengukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Malaysia ialah melalui
komunikasi. Sejak dari zaman dahulu lagi komunikasi memainkan peranan penting untuk
memajukan sebuah tamadun yang berjaya.
Hubungan antara etnik-etnik yang wujud di Malaysia bukan datang sekelip mata. Dasar
pecah perintah yang dijalankan sewaktu zaman pemerintahan British tidak menggalakkan
komunikasi antara kaum-kaum. Untuk itu, mereka telah memisahkan kaum-kaum yang ada di
Malaysia mengikut kehendak mereka. Orang cina diletakkan di bandar, orang melayu
diletakkan di kawasan kampung dan orang india pula diletakkan di kawasan estet (Hashim,
2011). Disebabkan perkara sebegini, maka negara kita lambat untuk mengecapi kemerdekaan
kerana tidak wujud komunikasi antara kaum-kaum ini. Komunikasi yang kurang antara satu
sama lain menyebabkan pembudayaan semangat patriotik dalam diri amat kurang kerana
berfokus kepada kemajuan sesebuah kaum sahaja.
Pada masa kini, komunikasi yang wujud antara semua kelompok masyarakat
menjadikan proses pembangunan semangat bersatu padu dalam diri masyarakat Malaysia
amat kukuh. Ketika berkomunikasi antara satu sama lain, kaum-kaum di Malaysia
menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Ini memudahkan maklumat
disampaikan dan difahami. Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar telah
menjadi asas untuk mengeratkan hubungan di antara satu sama lain. Ini jelas menunjukkan
kemesraan telah wujud di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia kerana masing-masing
memahami kebudayaan masing-masing. Masyarakat di Malaysia sudah cukup lama
mengamalkan kemesraan dalam berkomunikasi. Mereka ini yang sudah lama merasai asam
geram kehidupan tentunya tahu bahawa ada saat dimana mereka merasa dekat antara satu
sama lain meski fahaman mereka ini berbeza.
Kemesraan dalam berkomunikasi ini jelas wujud dalam realiti kehidupan masyarakat
majmuk di Malaysia (Fukuyama, 2007). Jarang untuk wujud perbezaan pendapat dan kata
sepakat mudah untuk dicapai kerana semua pihak tidak mementingkan ego masing-masing.
Akibatnya, kehidupan kekal harmoni kerana wujud kesepakatan dalam diri. Oleh sebab itu,
menyatakan bahawa diri mencintai kemerdekaan sebuah negara tidaklah cukup untuk
menjaga kemesraan hubungan antara satu dan lain, kerana yang paling penting ialah
komunikasi yang positif antara semua pihak sebagai syarat untuk mewujudkan iklim kehidupan
yang selesa.
Bagi menjamin perpaduan dan keharmonian dalam sesebuah komuniti, Hubungan yang
baik dan mesra perlu dikekalkan dalam hubungan interaksi sesama manusia (Muhammad,
2009). Sikap melukakan atau mengguris perasaan seseorang perlu dielakkan dalam hubungan
berkomunikasi. Laras bahasa yang digunakan semasa bertutur perlulah mempunyai nilai-nilai
positif dan memberi manfaat kepada pihak pendengar. Justeru itu, perkataan dan perilaku yang
memberi konotasi negatif di tegah dalam pembentukan perpaduan di Malaysia. Adalah menjadi
kewajipan kepada setiap warga Malaysia menjauhkan dari sesuatu yang boleh
menyumbangkan impak negatif kepada perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan
persaudaraan.
Meskipun wujud perselisihan faham, masalah tersebut berjaya diatasi melalui
komunikasi yang baik yang wujud. Komesraan dalam berkomunikasi ini wujud dengan
mendengarkan pandangan antara satu sama lain. Hal ini membawa maksud, sekiranya wujud
perselisihan, kaum-kaum ini perlu berani untuk berbicara antara satu dan lain dengan bertujuan
untuk mengelakkan masalah menular. Hal ini akan membuatkan setiap orang mudah dan saling
memahami antara satu dan lain. Kemesraan yang wujud ini akan menyebabkan satu keputusan
yang bermanfaat untuk semua telah berjaya untuk dicapai. Peristiwa 13 Mei berlaku disebabkan
tiada kemesraan dalam komunikasi masyarakat pada ketika itu. Mereka tidak berbincang
mengenai sesuatu masalah sebaliknya menggunakan keganasan sebagai jalan penyelesaian.
Umumnya, di Malaysia masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum, peringkat usia,
taraf kedudukan, pangkat dan kebolehan ilmu pengetahuan serta pelbagai sistem agama dan
kepercayaan. Bagi menjamin dan menjaga keharmonian institusi masyarakat, setiap anggota
dalam masyarakat perlu memahami konsep dan peraturan hidup masyarakat. Nilai-nilai murni
yang yang diajarkan di sekolah mahpun di rumah oleh bperlu dihayati dengan terperinci dan
dipraktiskan bertujuan untuk memelihara keutuhan dan keharmonian dalam masyarakat.
Kelembutan dan kesantunan budi pekerti yang ada dalam komunikasi masyarakat Malaysia
amatlah dikagumi oleh tamadun lain.
Bagi menjamin perpaduan dan keharmonian dalam sesebuah komuniti, Hubungan yang
baik dan mesra perlu dikekalkan dalam hubungan interaksi sesama manusia. Sikap melukakan
atau mengguris perasaan seseorang perlu dielakkan dalam hubungan berkomunikasi. Laras
bahasa yang digunakan semasa bertutur perlulah mempunyai nilai-nilai positif dan memberi
manfaat kepada pihak pendengar. Justeru itu, perkataan dan perilaku yang memberi konotasi
negatif di tegah dalam pembentukan perpaduan di Malaysia. Adalah menjadi kewajipan kepada
setiap warga Malaysia menjauhkan dari sesuatu yang boleh menyumbangkan impak negatif
kepada perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan persaudaraan.
b ) Budaya ziarah menziarahi
Perpaduan yang telah dinikmati oleh masyarakat Malaysia pada hari ini datangnya
menerusi persaudaraan, perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang
agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya
terus kekal dan diwarisi oleh generasi semasa dan akan datang. Perkara-perkara yang boleh
memusnahkan perpaduan masyarakat perlu untuk dijauhi. Untuk mengekalkan keharmonian ini,
masyarakat perlu berpegang kepada nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat
menghormati, bersatu padu dan sebagainya. Keperluan kepada nilai ini perlu dibudayakan oleh
setiap lapisan masyarakat dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam semua
perkara. Tanpa perpaduan yang erat, sudah pasti ianya akan mewujudkan pelbagai masalah
kepada masyarakat dan mengundang kepada perpecahan.
Masyarakat ialah sekelompok orang yang membentuk sebuah sistem semi tertutup atau
semi terbuka, di mana sebahagian besar interaksi adalah antara individu-individu yang berada
dalam kelompok tersebut. Kata "Masyarakat" itu sendiri berasal dari perkataan arab iaitu
musyarak. Masyarakat adalah sebuah komuniti yang bergantung satu sama
lain.Umumnya,istilah masyarakat digunakan untuk menunjukkan sekelompok orang yang hidup
bersama dalam satu komunitas yang teratur ( Alfian Faidhi bin Ahmad, 2010 ). Umum
mengetahui bahawa di Malaysia terdapat pelbagai jenis perayaan telah disambut. Antaranya
ialah perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Pesta Keamaatan dan Gawai.
Seluruh pelosok Malaysia meraikan perayaan tersebut. Dari negeri Sabah dan Sarawak
sehinggalah ke negeri Perlis.
Budaya ziarah menziarahi yang wujud dalam konteks hubungan etnik Malaysia ini tidak
hanya terhad kepada perayaan sahaja namun juga untuk perkara lain. Antaranya ialah ketika
ditimpa sakit, musibah, kenduri ataupun kematian. Amalan ziarah menziarahi ini mendatangkan
seribu maslahat kepada kita terutamanya bagi mengekalkan perpaduan yang wujud di
Malaysia. Ini sekaligus akan dapat menghubung dan merapatkan ikatan persaudaraan antara
pelbagai kaum. Perpaduan yang wujud ini amat menggalakkkan rakyat Malaysia untuk sentiasa
berusaha untuk memperbaiki setiap tautan silaturrahim dan semangat ukhuwah antara satu
sama lain.
Sewaktu sambutan Tahun Baru Cina, orang India dan Melayu akan datang ziarah
menziarahi ke rumah sanak saudara atau sahabat handai untuk menyambutnya bersama-
bersama. Orang Cina pula akan menerima kedatangan mereka dengan tangan terbuka. Mereka
akan berkongsi kegembiraan tersebut. Begitu juga yang berlaku sewaktu sambutan perayaan
yang lain. Budaya ziarah menziarahi ini sudah sebati dalam diri masyarakat Malaysia.
Kegembiraan sewaktu perayaan dikongsikan bersama walaupun tidak sama perayaan dan
kebudayaan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara
maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya
kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Konsep ziarah menziarahi yang dibudayakan dalam masyarakat majmuk di Malaysia ,
menjadikan keamanan dan keharmonian masyarakat tetap kukuh. Konsep rumah terbuka
dalam kalangan masyarakat di musim perayaan menggalakkan kita bercampur gaul dengan
kaum lain. Contohnya semasa rumah terbuka Aidilfitri, kaum Cina dan India akan dapat
menziarahi dan bersama merayakannya bersama , dengan ini keamanan negara akan dapat
dikekalkan. Bagi pihak yang dahulunya berbalah, budaya ziarah menziarahi inilah yang akan
menjadi medium bagi mereka untuk meleraikan setiap sengketa yang wujud dalam kalangan
mereka (Othman, 2007). Malaysia adalah sebuah negara yang sungguh unik kerana
menjadikan budaya ziarah menziarahi sebagai alat untuk mengukuhkan lagi ikatan perpaduan
dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sewaktu ziarah menziarahi, tingkah laku dan tatatusila turut dijaga supaya tidak
menyinggung perasaan orang lain yang dikunjungi (Othman, 2007). Semua kaum memegang
pada etika yang sama. Inilah yang menyebabkan budaya ziarah menziarahi yang ada di
Malaysia cukup istimewa. Hampir kesemua aktiviti yang dijalankan mempunyai peraturan serta
adabnya. Ketika berziarah, masyarakat Malaysia akan bertanya khabar dan memilih waktu
yang sesuai untuk berziarah. Kebanyakan masyarakat Malaysia lebih selesa jika memberitahu
terlebih dulu sebelum datang berziarah ke rumah sanak saudara dan sahabat handai sewaktu
perayaan ataupun diluar masa perayaan. Amalan ini banyak memberi manfaat kepada kedua-
dua pihak. Ada ketikanya waktu yang dirasakan sesuai untuk menziarahi, tidak sesuai untuk
orang yang diziarahi. Oleh itu, masyarakat di Malaysia lebih suka untuk menghubungi sebelum
pergi berziarah.
Adab yang turut diamalkan oleh masyarakat Malaysia ialah ketika ziarah menziarahi,
ianya haruslah mulakan dengan salam. Jika tiada orang yang menyahut, orang yang datang
mengunjungi tidak akan datang ziarah menziarahi kerana mungkin tuan rumah tiada di rumah.
Meskipun begitu, mereka tidak akan menyimpan di dalam hati ataupun berdendam walaupun
tidak dapat berjumpa orang yang ingin dikunjungi kerana mereka bersangka baik antara satu
sama lain. Adab seterusnya yang turut diamalkan oleh masyarakat Malaysia adalah membawa
hadiah atau buah tangan. Ini adalah sebagai tanda kenang-kenangan bagi tuan rumah.
Budaya ziarah menziarahi ini telah lama wujud di Alam Melayu. Zaman Kesultanan
Melayu sendiri telah menceritakan konsep ziarah menziarahi ini telah wujud dalam hubungan
perdagangan tamadun tersebut dengan tamadun yang lain. Kesultanan Melayu Melaka telah
menjalinkan hubungan dengan tamadun besar dunia pada ketika itu seperti tamadun China dan
India (Jelani, 2008). Kedatangan pedagang-padagang ke tanah Melaka disambut dengan
kemeriahan. Pada akhirnya, tamaduan ini terus maju dan berkembang kerana hubungan yang
kukuh dengan tamadun yang lain menyebabkan masalah-masalah yang mungkin wujud berjaya
diselesaikan dengan hubungan diplomasi. Begitu juga dengan konsep hubungan etnik yang
wujud di Malaysia. Budaya ini menjadikan perpaduan ini mekar dan terus maju kerana wujud
ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
c ) Mengambil berat
Kasih sayang merupakan satu fitrah yang amat bernilai dalam diri manusia. Dari zaman
Nabi Adam diciptakan sehinggalah ke hari ini, semua manusia pasti memiliki nilai kasih sayang
dalam diri mereka walaupun hanya sekelumit. Dalam menjamin keharmonian sesebuah
masyarakat, pentingnya usaha untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Untuk mewujudkan
masyarakat penyayang ini, pentingnya nilai mengambil berat bagi melahirkan sebuah negara
yang aman. Kemakmuran sebuah negara bergantung kepada sejauh manakah kemantapan
semangat cinta akan perpaduan dan keutuhan hubungan tersebut pada setiap lapisan
masyarakat. Perbezaan agama, bangsa dan budaya tidak pernah menjadi penghalang untuk
masyarakat majmuk di Malaysia menerapkan semangat mengambil berat dalam kehidupan
seharian (Muhammad, 2009).
Budaya itu sendiri bersifat dinamik, iaitu ianya melalui proses penyerapan dan
penyesuaian secara berterusan (Fukuyama, 2007). Budaya mengambil berat antara satu sama
lain ini telah lama ditanam dalam diri masyarakat Malaysia semenjak dari zaman penjajahan
lagi. Lihatlah bagaimana proses mendapat kemerdekaan berlaku. Semua kaum mengambil
berat akan kepentingan setiap kaum dalam pembentukan sebuah negara yang merdeka. Kalau
bukan disebabkan oleh sikap mengambil berat ini wujud, negara kita pasti tidak akan pernah
merdeka. Selepas negara kita mencapai merdeka, konsep mengambil berat ini lebih kepada
ikatan antara masyarakat yang berbeza fahaman. Prinsip ini bertepatan dengan situasi
penduduk yang berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya rakyat di Malaysia.
Perpaduan kaum di Malaysia boleh diwujudkan dengan penerapan nilai mengambil
berat. Walaupun tindakan mengambil berat akan seseorang ini nampak mudah tetapi
sebenarnya sukar untuk dilaksanakan. Semua masyarakat dari pelbagai kaum perlu bersatu
hati bagi menjayakan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan. Nilai mengambil berat ini
turut wujud dalam kerangka ekonomi Malaysia. Lihat sahaja bagaimana kerajaan Malaysia
membahagikan kekayaan ekonomi negara. Kerajaan mengambil berat akan kesamarataan
dalam pembahagian kekayaan negara secara sama rata dan tiada monopoli ekonomi berlaku.
Untuk itu, pelan-pelan ekonomi yang dilaksanakan adalah bertujuan bagi memastikan semua
orang menikmati kekayaan ekonomi negara. Kita tidak mahu sesetengah pihak sahaja
mengecapi kejayaan dan pastinya menginginkan semua pihak menikmatinya. Nilai mengambil
berat akan kepentingan semua pihak ini menelusuri secara tidak langsung dalam kerangka
ekonomi Malaysia kerana kerajaan sedar akan hak semua semua warga Malaysia.
Dalam konteks hubungan sesama manusia pula, nilai mengambil berat ini ditunjukkan
dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam sebuah perumahan, pasti wujud masyarakat yang
berbeza kaum. Nilai ini diaplikasikan dengan nyata apabila wujudnya Jawatankuasa
Keselamatan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Jawatankuasa ini wujud disebabkan mereka
sedar akan kepentingan mengambil berat antara satu dan lain. Walaupun berbeza kaum, itu
semua tidak menjadi halangan untuk semua orang mengambil berat antara satu dan yang lain.
Lihat sahaja sewaktu musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, apabila orang beragama islam dan
kebiasaannya berbangsa Melayu pulang ke kampung, jiran-jiran berdekatan yang tidak pulang
ke kampung akan memantau keadaan rumah jiran yang telah pulang ke kampung. Ini turut
berlaku sebaliknya bila jiran-jiran ini balik ke kampung, jiran yang tidak menyambut akan
memantau keadaan rumah jiran mereka. Buat baik akan dibalas dengan baik. Hal ini wujud
kerana wujudnya semangat bersatu hati. Sekiranya hubungan ini tidak dijaga, pastinya jenayah
akan mudah untuk menular dan berlaku.
Nilai mengambil berat ini memperlihatkan bukan sahaja hasil yang bercorakkan sesuatu
yang konkrit sahaja namun turut diterjemahkan dalam sesuatu yang tidak nampak ataupun
abstrak. Hasil itu lahir dalam bentuk bukan fizikal iaitu kasih sayang. Misalnya pertalian antara
pemikiran yang memikirkan orang lain dan pemikiran yang digambarkan sebagai mengambil
berat, dijelmakan melalui perbuatan dan akhirnya mengeratkan hubungan silaturahim sesama
manusia. Mengetengahkan semangat ini akan menonjolkan ciri keperibadian nasional bagi
menjadi salah satu identiti bangsa dan bukannya hanya tertumpu kepada sekelompok
masyarakat sahaja.
Sifat ikram ini dikenali di dalam masyarakat Malaysia sebagai sifat suka menolong orang
lain (Othman, 2007). Setiap anggota masyarakat sentiasa mengambil berat terhadap apa yang
berlaku di sekitar mereka, peka terhadap apa yang berlaku kepada orang lain, menyayangi dan
menghargai orang lain, membantu mereka yang teraniaya dan kurang bernasib baik serta
merasa bertanggungjawab terhadap manusia lain. Membentuk sebuah masyarakat adalah
sama seperti membina sebuah bangunan. Bandar Rom tidak dibina dalam sehari. Sekiranya
dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, maka begitu jugalah dengan
pembentukan masyarakat. Ia mestilah dimulakan dengan pembinaan asasnya. Asas perpaduan
ini boleh kita terapkan menerusi pemahaman yang mendalam terhadap semangat mengambil
berat antara satu dan lain meski tidak sama fahaman dan sebagainya.
Realitinya, perpaduan di Malaysia boleh mencapai tahap yang tinggi melalui kesedaran
terhadap nilai murni itu sendiri. Kesedaran ini pula mestilah meningkat naik setaraf dengan
pencapaian kebendaan. Sekiranya tidak ada keseimbangan di antara pembangunan ekonomi
dengan peningkatan akhlak masyarakat, sesebuah negara itu tidak boleh dikira sebagai negara
maju. Ini adalah kerana kemajuan negara berkait rapat dengan kemajuan pemikiran rakyatnya.
d ) Memuliakan dan menghormati seseorang
Malaysia telah melalui dua era pemerintahan iaitu era penjajahan dan era kemerdekaan.
Malaysia mempunyai sejarah penjajahan yang amat panjang iaitu selama 446 tahun bermula
dari tahun 1511 sehinggalah 1957 (Jelani, 2008). Dalam tempoh penjajahan ini telah banyak
yang berlaku. Kekayaan sumber asli telah dikaut oleh penjajah asing dan sistem pecah perintah
telah dijalankan bagi memisahkan kaum-kaum di Malaysia untuk menyukarkan proses
perpaduan daripada berlaku. Setelah merdeka, pelbagai rintangan yang dihadapi oleh
Malaysia. Dari konfrontasi sehinggalah peristiwa hitam 13 Mei.
Manusia merupakan makhluk yang paling sempurna diciptakan oleh tuhan.
Kesempurnaan ini menjadikan manusia mempunyai kehormatan dan persamaan dari sudut
kedudukan yang mesti diiktiraf oleh semua manusia. Apabila seseorang itu dikenali sebagai
manusia, maka ia harus dihormati oleh setiap individu dan tarafnya adalah sama. Begitu juga
dalam konteks hubungan etnik di Malaysia. Amalan yang perlu untuk sentiasa diamalkan ialah
memuliakan dan menghormati seseorang. Memuliakan dan menghormati seseorang adalah
asas bagi membentuk satu suasana yang positif bagi memupuk semangat perpaduan. Tidak
ada istilah darjat rendah dan tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Asas yang pertama ialah memuliakan dan menghormati seseorang dalam konteks hidup
bermasyarakat (Muhammad, 2009). Malaysia terdiri daripada satu kelompok masyarakat yang
cukup luas. Dalam hidup bermasyarakat, amat penting untuk kita memuliakan dan menghormati
seseorang. Kepelbagaian etnik ini tidak pernah menghalang kita untuk terus mendeklamasikan
semangat perpaduan yang tinggi. Sikap hormat menghormati ini melahirkan suasana kerja yang
harmoni dan semua orang berada dalam situasi yang seronok. Antara tingkah laku yang
kebiasaannya ditunjukkan dan menggambarkan sikap memuliakan dan menghormati dalam
kalangan masyarakat Malaysia ialah sentiasa memberikan salam ataupun memberikan
senyuman ikhlas semasa bersemuka dengan orang di sekeliling tanpa mengira fahaman yang
dimiliki.
Lihat sahaja di kedai makan, kita akan lihat pelanggan-pelanggan yang duduk makan di
kedai kopi akan menegur rakan-rakan mereka atau orang di sekeliling meski berbeza kaum dan
sebagainya. Mereka tidak menghalau ataupun mengusir orang-orang yang tidak sebangsa
dengan mereka namun mempersilakan mereka untuk duduk sama. Semangat inilah yang wujud
dalam kalangan warga Malaysia. Warga Malaysia amat memuliakan dan menghormati orang
lain yang berada di sekeliling mereka. Contoh lain yang boleh dilihat adalah ketika berjumpa di
mana-mana. Seorang lelaki berbangsa Melayu berjumpa dengan sahabatnya yang berbangsa
Iban. Apakah yang mereka lakukan ?. Apabila mereka berjumpa, mereka akan menunjukkan
rasa hormat dengan berjabat tangan ataupun melambaikan tangan. Mereka berdua ini juga
akan memanggil nama rakannya dengan nama yang sesuai. Misalnya mengenali Robert
dengan gelaran Panjang tetapi semasa menyapa beliau di kalangan orang tidak dikenali, akan
memanggilnya dengan nama Robert sebagai tanda memuliakan dan menghormati beliau.
Asas yang kedua ialah memuliakan dan menghormati seseorang dalam konteks
pembangunan negara iaitu pemimpin (Hashim, 2011). Pemimpin bertanggungjawab untuk
menjaga kelestarian kawasan yang dipegang. Mentaati mereka dalam urusan kebaikan
termasuk merealisasikan perintah mereka yang membawa kearah kebaikan dan membantu
mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan adalah sesuatu yang amat dituntut bagi
mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Meskipun pemimpin tersebut
datangnya dari kaum yang berbeza, namun itu semua tidak menjadi halangan untuk terus taat
dan setia kepada pemimpin kita. Menghormati dan memuliakan kedudukan mereka sebagai
pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka. Inilah amalan yang menjadi teras
kepada pengekalan kesyumulan sebuah kemerdekaan.
Contohnya ialah melaksanakan kebaikan secara bersama. Pelbagai aktiviti atau
program yang direncana dan dilaksanakan haruslah disertai bersama. Lihat sahaja program-
program yang dianjurkan kerajaan seperti Hari Bersama Pemimpin. Semua warga masyarakat
tidak kira yang tua atau yang muda dan tanpa mengira fahaman agama ataupun perbezaan
kaum datang dari seluruh ceruk kawasan. Perbezaan ini dilupakan atas dasar memuliakan dan
menghormati pemimpin. Pemimpin adalah suara hati rakyat. Ketidakpuasan hati yang ingin
diterjemahkan akan diwakilkan oleh pemimpin. Untuk menunjukkan bukti taat setia dan cinta
akan perpaduan, masyarakat majmuk ini harus sedar akan kepentingan memuliakan dan
menghormati pemimpin. Antara tindakan yang wajar dilakukan ialah tidak berusaha untuk
menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat membangkang terhadap kepimpinan, dan tidak
menghina atau mencela mereka walaupun mereka bertindak buruk dan zalim.
Kita boleh berbeza pendapat dan ideologi tapi demi negara tidak boleh tukar bendera
atau pijak gambar pemimpin dan kita harus hormat pemimpin. Amalan memuliakan dan
menghormati pemimpin ini telah lama diamalkan di Malaysia. Kesepakatan dalam pemilihan
pemimpin jelas menunjukkan bahawa masyarakat plural di Malaysia memiliki semangat
perpaduan yang cukup erat. Semangat berpuak tidak perlu untuk diamalkan dan semangat
perkauman hanya akan memusnahkan keamanan. Masyarakat Malaysia adalah masyarakat
yang unik kerana masih hidup sebumbung meskipun memiliki perbezaan (Hashim, 2011).
Namun, ini bukanlah halangan untuk masyarakat Malaysia menunjukkan amalan memuliakan
dan menghormati seseorang dalam hidup bermasyarakat kerana mereka sedar bahawa amalan
ini akan terus mengekalkan hubungan silaturahim yang telah lama wujud.
e ) Menghormati jiran
Kepelbagaian peradaban antara manusia dalam ciri-ciri khas yang sarat dengan nilai-
nilai yang positif perlu untuk selalu diketengahkan kerana merupakan sesuatu yang unik bagi
membuka ruang dan peluang untuk saling kenal mengenali antara satu dan yang lain. ebuah
masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama
mereka bahkan menjadi aset paling penting kepada negara dalam usaha membangun dan
memajukan negara baik ketika senang mahupun susah.
Islam sendiri menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan yang erat dalam
kalangan masyarakatnya (Othman, 2007). Dalam konteks hubungan etnik di Malaysia,
hubungan ini telah lama erat melalui konsep hidup berjiran. Hidup berjiran ini tidak hanya terhad
kepada sesama masyarakat yang sama bangsa sahaja malahan melepasi batas agama,
bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan sebagainya. Hidup berjiran dalam kepelbagaian
budaya bangsa adalah salah satu cara hidup yang berkesan bagi mengekalkan perpaduan
yang dimiliki. Dalam konteks kejiranan di Malaysia , penghuninya perlu mengekalkan hubungan
baik dan mesra sesama mereka. Hubungan baik ini memainkan peranan penting dalam
menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan,
kelapangan dan mencari jalan keluar bagi menyelesaikan konflik yang berlaku.
Semangat kejiranan ini sebati dalam konsep bermasyarakat etnik-etnik yang wujud di
Malaysia (Hashim, 2011). Jiran adalah orang yang tinggal paling hampir dengan kita kerana
mereka tinggal bersebelahan atau tidak jauh dari tempat tinggal. Apabila berlakunya perkara
yang tidak diinginkan kepada penghuni rumah, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya akan
diketahui oleh jiran. Jiran-jiran ini tidak akan bersikap endah tak endah, acuh tak acuh.
Masyarakat Malaysia dikenali sebagai masyarakat yang tidak mengamalkan semangat asabiah
yang tinggi. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara
menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan
yang kukuh antara jiran yang dapat melahirkan suasana seperti ini.
Sebagai sebuah negara yang besar dan memiliki berbagai-bagai kaum, agama serta
adat, maka Malaysia telah membina acuan yang tersendiri dalam budaya serta
ketamadunannya. Kebudayaan ini terus menyerap dalam adat istiadat, tradisi dan pemikiran
masyarakat plural. Nilai menghormati jiran ini memiliki susunan tingkat sosial yang amat tinggi.
Antara realiti kehidupan berjiran yang wujud pada hari ini ialah kita dikelilingi oleh manusia yang
mempunyai pelbagai citarasa, pandangan, minat, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa dan
budaya yang berlainan dan berbeza-beza. Jenis dan ragam manusia yang bermacam-macam
ini ditambah lagi tidak semua mereka memiliki hati yang suci bersih dan luhur menyebabkan
usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran menghadapi sedikit kesulitan dan
kerumitan. Amatlah diakui bahawa bahawa usaha memupuk semangat kejiranan perlu
dilakukan dengan gigih dan berterusan. Pelbagai pendekatan dan amalan boleh dibuat bagi
memenuhi hasrat tersebut.
Untuk itu, jiran perlu untuk sentiasa dihormati bagi mengekalkan hubungan yang positif
dalam kalangan masyarakat majmuk. Jiran yang hidup dalam suasana saling hormat
menghormati antara satu dan lain serta mengambil berat antara satu sama lain sudah
semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan
masyarakat setempat. Perpaduan antara setiap kaum yang berbeza adalah kunci kepada
kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa semangat yang tinggi tentang perpaduan,
negara akan sentiasa berada dalam keadaan kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup
dalam aman damai.
Bagi memastikan perpaduan dan kemakmuran ini terus kekal, ianya perlu dimulai
dengan hubungan baik sesama jiran. Nilai hormat menghormati akan membina satu hubungan
yang positif. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, saling
percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya perkara sebegini
diabaikan maka lambat-laun masalah ini akan terus mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan
perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan. Sudah
pastinya peristiwa 13 Mei tidak boleh untuk dibiarkan berulang kembali. Masyarakat Malaysia
amat menghargai nilai hidup berjiran. Meskipun jiran-jiran terdiri daripada pelbagai kaum,
mereka saling menghormati antara satu dan lain. Tutur kata yang sopan akan dilafazkan ketika
berkomunikasi antara satu dan lain. Bahasa kesat tidak akan digunakan sama sekali. Bahasa
sopan ini akan menjadikan komunikasi itu semakin berkesan dan memupuk nilai hormat.
Contoh lain yang boleh dilihat adalah sewaktu musim perayaan, masyarakat majmuk
dalam sesebuah perumahan amat menghormati jiran-jiran mereka. Sewaktu perayaan Tahun
Baru Cina, masyarakat berbangsa cina bebas untuk bermain mercun selagi tidak merosakkan
harta benda. Ketika Hari Raya Aidilfitri, masyarakat berbangsa melayu bebas untuk bermain
mercun kerana perayaan disambut setahun sekali. Bagaimanakah ini semua
berlaku?.Disebabkan oleh nilai menghormati adat dan budaya sesebuah kaum, masyarakat
majmuk ini tidak mengalami masalah dalam menyambut hari perayaan masing-masing.
Perpaduan yang wujud ini amat menekankan konsep hormat menghormati antara satu dan
yang lain. Sekiranya jiran tersebut tidak menyukai sesuatu perkara, mereka boleh berbawa
berbincang untuk menyelesaikannya. Dalam hidup berjiran, kita perlu untuk saling hormat
menghormati antara satu dan yang lain.
Amalan hormat menghoramati sesama jiran adalah titik permulaan bagi terjalinnya
hubungan yang erat dan mesra antara satu dan yang lain (Hashim, 2011). Membiasakan diri
untuk berkongsi pandangan dan hormat akan pandangan orang lain dapat menjadi penghubung
kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila
ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada
kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Oleh itu, amalan hormat menghormati perlu dilakukan
oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.
Jiran juga mempunyai hak sendiri dan kita perlu untuk menghormatinya supaya kita akan terus
berada dalam keadaan harmoni. Pengaplikasian sikap hormat menghomati sesama jiran ini
telah wujud di negara kita.
Rujukan Fukuyama, F. (2007). Penamat Sejarah dan Manusia Terakhir. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara.
Hashim, W. (2011). Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara.
Jelani, A. (2008). Sejarah dan Tamadun Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications.
Muhammad, A. (2009). Panduan Bergaul dan Memilih Teman. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara.
Othman, A. (2007). Islam Yang Mudah. Selangor: PTS Publications.