Upload
prabu-sanasi
View
49
Download
0
Embed Size (px)
DESCRIPTION
Kad bacaan jenis cerita digunakan khasnya murid tahap 1
Citation preview
Melawat Ladang Ternakan Lembu
Pada hari Sabtu yang lalu, saya dan rakan-rakan telah melawat ke
ladang ternakan lembu milik Pak Din. Ladang ternakan lembu tersebut
agak luas.
Selain membela lembu, Pak Din juga membela kambing. Haiwan
ternakan itu dibiarkan bebas meragut rumput di padang yang luas.
Semasa berada di ladang ternakan itu, kami melihat lembu dan
kambing Pak Din gemuk-gemuk belaka. Ladang ternakan Pak Din begitu
bersih kerana dijaga dengan rapi oleh dua orang pembantunya.
Walaupun berasa sunnguh penat, kami berasa amat gembira
kerana telah mendapat sebuah pengalaman baharu.
Soalan:
1. Selain lembu,apakah binatang lain yang dibela oleh Pak Din?
2. Bagaimanakah keadaan ladang ternakan Pak Din?
3. Pak Din mempunyai berapa orang pembantu?
Rumah Baharu Sofia
Ayah Sofia telah membeli sebuah rumah banglo baru. Rumah baru
Sofia terletak di Taman Pokok Sena. Rumah itu ialah rumah banglo dua
tingkat. Rumah itu berharga RM 430 000.
Pada hari Sabtu yang lalu, Sofia sekeluarga telah berpindah ke rumah
banglo itu. Rumah itu besar dan cantik. Rumah itu mempunyai empat buah
bilik tidur, sebuah dapur, dan ruang tamu yang besar. Halaman rumahnya
juga luas.
Ibu Sofia telah menghias rumah baharu itu dengan kemas sekali. Di
luar rumah, ibunya telah menanam bermacam-macam jenis pokok bunga
seperti Bunga Orkid, Bunga Kertas, dan Bunga Raya. Sekarang, rumah
baharu Sofia kelihatan sungguh cantik.
Soalan:
1. Apakah jenis rumah yang dibeli oleh ayah Sofia?
2. Di manakah terletaknya rumah baru Sofia?
3. Apakah jenis pokok bunga yang ditanam oleh ibu Sofia?
Hari Pertama ke Sekolah
Rani berasa gementar pada hari ini. Hari ini ialah hari pertama Rani
ke sekolah. Rani memakai pakaian seragam sekolah dengan kemas.
Ayahnya menghantar Rani ke sekolah dengan menaiki kereta.
Apabila tiba di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, orang telah ramai.
Rani dengan ditemani oleh ayahnya terus masuk ke dewan untuk
mendaftar. Kemudiannya, Rani dibawa ke Tahun Satu Bestari. Guru kelas
Rani bernama Cikgu Zuraidah.
Rani mendapat ramai kawan. Rakan sekelas Rani sangat baik dan
peramah. Perasaan gementar Rani hilang sedikit demi sedikit.
Setelah pulang ke rumah, Rani menceritakan pengalaman hari
pertamanya ke sekolah kepada ayah dan ibunya.
Soalan:
1. Siapa yang menghantar Rani ke sekolah?
2. Apakah nama sekolah Rani?
3. Siapakah nama guru kelas Rani?
Gotong-royong
Pada hari Sabtu lepas, sekolah Saiful telah mengadakan gotong-
royong untuk membersihkan kawasan sekolah. Guru Besar menyuruh
semua murid membawa alat-alat yang diperlukan seperti pongkes, baldi,
parang, kain buruk, dan sebagainya.
Tepat jam 8.00 pagi,semua guru dan murid sudah berkumpul di tapak
perhimpunan. Penolong Kanan telah membahagikan murid-murid kepada
beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diketuai oleh tiga orang guru. Ada
yang mencuci longkang, memungut daun-daun kering, membakar sampah-
sarap, dan menebas rumput. Selepas itu, mereka mengemas bilik darjah
pula.
Aktiviti gotong-royong itu tamat pada jam 11.00 pagi. Guru Besar
berasa gembira kerana kawasan sekolah kelihatan bersih dan indah.
Soalan:
1. Bilakah gotong-royong diadakan di sekolah Saiful?
2. Pukul berapakah semua guru dan murid berkumpul di tapak
perhimpunan?
3. Apakah kerja yang dilakukan oleh murid-murid?
Lawatan ke Rumah Orang-orang Tua.
Sempena Hari Warga Tua, Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat telah
mengadakan lawatan ke Rumah Orang-orang Tua Sri Indah. Lawatan
disertai oleh 35 orang murid beserta tiga orang guru pengiring.
Mereka berpeluang untuk bermesra dengan penghuni rumah tersebut
yang berjumlah 102 orang. Beberapa orang murid turut menghiburkan
mereka dengan persembahan nyanyian dan tarian. Penghuni-penghuni di
situ kelihatan terhibur.
Cikgu Azizah telah menyampaikan sumbangan kepada penghuni-
penghuni rumah orang tua itu. Sumbangan berupa wang dan pakaian itu
didermakan oleh ibu bapa, guru-guru, dan orang ramai beberapa minggu
sebelum lawatan diadakan. Lawatan itu telah meninggalkan banyak
pengalaman manis dalam hati setiap murid serta guru.
Soalan:
1. Berapakah orang murid yang menyertai lawatan itu?
2. Berapakah penghuni yang tinggal di Rumah Orang Tua Sri Indah?
3. Apakah jenis sumbangan yang diberi oleh Cikgu Azizah?
Melawat Rakan di Hospital
Pada petang Khamis yang lalu, Aznil bersama rakan-rakannya telah
pergi ke Hospital Besar Selayang. Mereka ke sana untuk melawat Haziq
yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dua hari yang lepas. Aznil ketua
kelas Tiga Marikh telah memberi buah tangan kepada ayah Haziq.
Menurut ayah Haziq, Haziq telah dilanggar oleh sebuah kereta. Pada
hari kejadian itu, Haziq dalam perjalanan pulang dari sekolah. Sebuah
kereta yang dipandu laju telah terbabas dan melanggar Haziq. Haziq telah
terbaling di atas jalan raya. Pemandu itu pula terus lari tanpa memberikan
pertolongan.
Mereka berasa simpati dengan nasib Haziq. Haziq mendapat
kecederaan teruk di kepala dan kakinya pula terpaksa disimen kerana
patah. Aznil dan rakan-rakannya berharap Haziq akan cepat sembuh dan
kembali semula ke sekolah.
Soalan:
1. Di hospital manakah Haziq dirawat?
2. Siapakah Ketua Kelas Haziq?
3. Bagaimanakah kemalangan tersebut berlaku?
Menolong Jiran
Pada suatu hari, Hafiz sedang berehat di tepi tingkap biliknya. Tiba-
tiba, dia ternampak seorang pencuri sedang cuba memasuki rumah
jirannya. Kebetulan jirannya, Encik Kuljit dan keluargannya pulang ke
kampung. Tanpa berlengah lagi, Hafiz terus menelefon polis untuk
melaporkan kejadian tersebut.
Tidak berapa lama kemudian, beberapa orang anggota polis tiba di
tempat kejadian. Mereka telah mengepung rumah itu. Polis telah berjaya
memberkas pencuri yang cuba menceroboh masuk ke rumah Encik Kuljit.
Pencuri itu telah digari dan dibawa ke balai polis.
Keesokkan harinya, Encik Kuljit kembali ke rumahnya setelah
dimaklumkan oleh pihak polis tentang kejadian itu. Beliau telah
mengucapkan terima kasih kepada Hafiz atas pertolongan dan tindakan
pantasnya.
Soalan:
1. Apakah yang ternampak oleh Hafiz?
2. Apakah yang dilakukan oleh Hafiz?
3. Siapakah yang mengucapkan terima kasih kepada Hafiz?
Kebersihan Tempat Tinggal
Encik Nordin, Encik Leong, dan Encik Sunil tinggal berjiran. Mereka
tinggal di Kampung Sungai Rokam. Pada suatu malam, Encik Sunil dan
keluargannya tidak dapat tidur lena kerana banyak nyamuk dan terhidu bau
longkang yang sangat busuk.
Pada keesokkan harinya, Encik Sunil berbincang dengan Encik
Nordin dan Encik Leong. Mereka telah sepakat untuk membersihkan
kawasan tempat tinggal mereka. Tanpa membuang masa, mereka terus
menjalankan tugas masing-masing. Encik Leong membersihkan longkang.
Encik Sunil sedang sibuk memotong rumput di tepi pagar manakala Encik
Nordin pula mengumpul sampah-sarap untuk dibakar.
Mereka berasa gembira kerana kawasan tempat tinggal mereka kini
sudah bersih dan selesa.
Soalan:
1. Di manakah Encik Nordin, Encik Leong, dan Encik Sunil tinggal?
2. Mengapakah Encik Sunil dan keluarganya tidak dapat tidur lena?
3. Mengapakah mereka merasa gembira?
Keracunan Makanan
Cuaca pada hari ini sangat panas. Syamil berjalan pulang dari
sekolahnya. Dia berasa sangat lapar dan dahaga. Tiba-tiba, dia ternampak
sebuah gerai di tepi jalan.
Syamil terus membeli air sirap dan kuih karipap. Dia makan dengan
cepat. Dia tidak mempedulikan keadaan gerai yang sangat kotor. Makanan
di gerai itu juga tidak ditutup. Ada banyak lalat hinggap di atas kuih-muih
yang dijual itu.
Setibanya di rumah, perut Syamil mula terasa sakit dan memulas-
mulas. Dia memberitahu ibunya. Ibunya berasa bimbang lalu membawa
Syamil ke klinik. Doktor memeriksa perut Syamil.
Menurut doktor, Syamil mengalami keracunan makanan. Doktor
memberi ubat kepada Syamil. Dia juga menasihati Syamil supaya berhati-
hati ketika membeli makanan atau minuman yang dijual di tepi jalan.
Soalan:
1. Apakah yang dimakan oleh Syamil?
2. Bagaimanakah keadaan makanan di gerai?
3. Apakah nasihat yang diberi oleh doktor kepada Syamil?
Hari Ibu
Pada 8 Mei yang lalu, keluarga Selvi telah menyambut Hari Ibu. Hari
Ibu disambut untuk menunjukkan rasa terima kasih atas pengorbanan dan
jasa ibu.
Pada hari itu, ayah Selvi telah membeli sebiji kek coklat untuk ibunya
manakala Selvi dan kakak membeli hadiah istimewa untuk ibu mereka.
Apabila hadiah itu dibuka, ibu Selvi berasa terkejut melihat sebuah beg
tangan berjenama ‘Bonia’. Ibunya berasa sungguh gembira.
Ibu Selvi mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua anaknya.
Selvi dan kakaknya berjanji akan mendengar kata dan nasihat daripada ibu
mereka. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa
ibu.
Soalan:
1. Bilakah Hari Ibu disambut?
2. Apakah tujuan menyambut Hari Ibu?
3. Apakah yang dihadiahkan oleh Selvi dan kakaknya kepada ibunya?
Hari Guru
Pada 16 Mei setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Guru.
Sambutan Hari Guru bertujuan untuk mengenang jasa dan pengorbanan
para guru yang mendidik dan membimbing murid-murid menjadi manusia
yang berguna.
Sekolah saya juga tidak ketinggalan menyambut Hari Guru. Pada
hari itu, semua murid berkumpul di dewan bersama dengan guru-guru.
Selepas lagu ‘Negaraku’ dan lagu sekolah dinyanyikan, guru besar telah
membacakan perutusan daripada Menteri Pelajaran Malaysia. Selepas itu,
guru-guru menyanyikan lagu ‘Kami Guru Malaysia’.
Seterusnya disusuli dengan pertunjukan pentas oleh murid-murid
seperti nyanyian, tarian, lakonan, dan mendeklamasikan sajak. Para guru
dam murid terhibur dengan persembahan –persembahan tersebut.
Soalan:
1. Bilakah Hari Guru disambut?
2. Apakah tujuan menyambut Hari Guru?
3. Apakah tajuk lagu yang dinyanyi oleh semua guru?
Majlis Hari Jadi
Hari ini ialah hari jadi Rafiqah yang kesembilan. Ibunya telah
mengadakan satu majlis untuk meraikan hari jadinya. Ibu Rafiqah
bertungkus-lumus menyediakan pelbagai juadah. Ramai kawannya
dijemput ke majlis itu.
Pada petang itu, Rafiqah memakai baju kurung yang berwarna biru.
Rafiqah kelihatan cantik sekali. Di atas meja pula tersedia makanan yang
lazat-lazat seperti kek, mi goreng, rendang ayam, biskut, dan gula-gula.
Semua kawan Rafiqah datang dengan membawa hadiah.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Selamat Hari Jadi’ oleh
kawan-kawannya. Mereka bertepuk tangan sebaik sahaja Rafiqah meniup
sembilan batang lilin di atas kek itu.
Selepas itu, semua tetamu dijemput menjamu selera. Rafiqah sangat
gembira kerana mendapat banyak hadiah daripada keluarga dan kawan-
kawannya.
Soalan:
1. Berapakah umur Rafiqah?
2. Apakah yang dipakai oleh Rafiqah pada petang itu?
3. Apakah makanan yang disediakan dalam majlis hari jadi Rafiqah?
Hari Kebangsaan
Hari ini saya bangun awal pagi. Bapa membawa saya ke Dataran
Merdeka untuk melihat sambutan Hari Kebangsaan. Pada 31 Ogos setiap
tahun, negara kita menyambut Hari Kebangsaan. Pada hari tersebut juga,
semua rumah dan bangunan akan memasang bendera.
Pelbagai acara menarik diadakan sempena Hari Kebangsaan seperti
pertunjukan konsert, pancaragam, tarian, dan pertunjukan bunga api.
Selain acara kebudayaan, perarakan perbarisan juga turut diadakan.
Ramai orang mengibarkan Jalur Gemilang. Saya berasa sungguh
gembira kerana dapat menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan.
Soalan:
1. Bilakah Hari Kebangsaan disambut?
2. Apakah acara yang diadakan sempena Hari Kebangsaan?
3. Apakah yang dikibarkan oleh ramai orang?
Pengalaman di Pasar Malam.
Pada suatu petang, ibu Rafi mengajaknya pergi ke pasar malam.
Pasar malam itu terletak berdekatan dengan rumah Rafi.
Setibanya di pasar malam, Rafi melihat ramai orang sibuk membeli
barang. Keadaan di pasar malam itu sungguh sesak dan riuh-rendah.
Terdapat banyak barang yang dijual di sana, antaranya ialah sayur-
sayuran, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan banyak lagi.
Menjelang malam, makin ramai orang yang datang. Para peniaga
sibuk melayan para pelanggan yang datang ke gerai mereka. Ibu Rafi
membeli banyak barang keperluan dapur seperti cili, bawang, dan rempah.
Rafi juga membeli air soya kegemarannya. Selepas membeli barang-
barang mereka pun pulang.
Soalan:
1. Di manakah terletaknya pasar malam?
2. Apakah jenis barangan yang dijual di pasar malam itu?
3. Apakah yang dibeli oleh Rafi?
Berkelah di Teluk Batik.
Pada hujung minggu yang lalu, Shamilah dan keluarganya telah pergi
berkelah. Mereka berkelah di Pantai Teluk Batik, Lumut, Perak. Mereka
menaiki kereta ke sana.
Sebaik sahaja sampai di sana , Shamilah dapati ramai orang yang
sedang mandi-manda di laut. Shamilah menurunkan barang-barang dan
membentang tikar. Adiknya pula mengangkat bekalan nasi dan kuih-muih
yang dimasak oleh ibunya.
Shamilah berasa tidak sabar untuk berenang di laut. Shamilah
mengajak ayahnya ke laut untuk mandi. Adiknya pula leka membina istana
pasir. Setelah penat, mereka berehat dan makan nasi serta kuih yang
dibawa dari rumah.
Selepas makan, Shamilah mengajak adiknya mandi ke laut. Ibu
Shamilah menasihati mereka supaya tidak mandi di tempat yang dalam.
Setelah puas mandi, mereka pun pulang dengan hati yang gembira.
Soalan:
1. Di manakah Shamilah dan keluarganya berkelah?
2. Apakah yang dilakukan oleh Shamilah sebaik sahaja sampai di pantai?
3. Apakah nasihat diberi oleh ibu Shamilah?