Upload
others
View
20
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
JABATAN BAHASA MELAYUFAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASIUNIVERSITI PUTRA MALAYSIA.
BBM 3401
BAHASA MELAYU TINGGI
TAJUK :
KELAINAN ISTILAH BAHASA MELAYU DALAM BIDANG PERTANIAN
Sejak kebelakangan ini, bidang pertanian sangat penting terutamanya pada zaman era
globalisasi yang sedang rancak membangun dengan pesat dan mengaplikasikan penggunaan
sains dan teknologi dalam semua bidang terutamanya dalam bidang pertanian. Bidang pertanian
ini merupakan salah satu sumber utama yang menjana pendapatan negara dan seterusnya
meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dengan pantas. Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak turut menyatakan bahawa bidang pertanian ini amat
menyumbang kepada pendapatan Negara seiring dengan bidang-bidang lain yang dijalankan di
Malaysia ini. Hal ini kerana, bidang pertanian ini dikatakan menyumbang hampir satu per enam
daripada pendapatan negara. Bidang pertanian ini juga memberi peluang pekerjaan kepada para
petani dan peladang untuk menambah pendapatan mereka sekaligus menyara hidup keluarga.
Justeru itu, dalam kertas kerja ini pengkaji akan memberi penekanan mengenai kelainan
istilah bahasa Melayu dalam bidang pertanian. Penggunaan istilah sesuatu bahasa itu sangat luas
dan kompleks pada masa kini terutamanya bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan
bahasa rasmi Negara Malaysia. Terdapat pelbagai istilah bahasa Melayu yang digunakan
antaranya istilah dalam bidang sains dan ilmuan Islam, perakaunan, perubatan dan yang paling
utama sekali dalam bidang pertanian. Penggunaan istilah bahasa Melayu dalam bidang pertanian
amat luas sekali dan pelbagai istilah yang digunakan oleh penutur khususnya bagi membicarakan
perkara yang berkaitan dengan bidang pertanian. Oleh itu, kelainan istilah bahasa Melayu ini
merujuk kepada penggunaan istilah yang berbeza mengikut sesebuah kawasan.
Kelainan istilah ini amat bergantung kepada kawasan tertentu sahaja kerana terdapatnya
perbezaan dialek atau loghat dari negeri-negeri yang tidak sama. Misalnya dialek negeri
Kelantan, dialek Terengganu, dialek Kedah dan dialek Sarawak yang berbeza dengan bahasa
standard atau lebih dikenali dengan bahasa baku. Dialek yang digunakan oleh masyarakat
kawasan tertentu ini mempunyai perbezaan dari segi sebutan (cara membunyikan dan gaya
suara), struktur ejaan, makna dan juga leksikon ( tatabahasa). Kelainan istilah bahasa dan dialek
yang digunakan oleh penutur dalam bidang pertanian ini menyebabkan penutur dari negeri lain
sukar memahami istilah tersebut.
Dengan itu, dalam kertas kerja ini pengkaji akan membincangkan tentang istilah-istilah
yang digunakan oleh para petani mengikut dialek dan bahasa yang berbeza terhadap sebutan,
ejaan dan makna jenis buah-buahan dan sayur-sayuran, alat pertanian dan juga kaedah atau cara
sesuatu aktiviti pertanian itu dijalankan. Oleh itu, penggunaan bahasa atau istilah oleh
masyarakat petani ini sangat penting bagi memudahkan urusan komunikasi dan interaksi antara
mereka. Mereka juga dapat menjalankan aktiviti pertanian dengan mudah apabila penggunaan
sesuatu bahasa itu difahami antara satu penutur dengan penutur yang lain.
Seterusnya, kelainan istilah bahasa Melayu yang ingin dibincangkan adalah untuk
mengkaji peranan bahasa Melayu dalam bidang pertanian. Selain itu, dalam kertas kerja ini juga
bertujuan untuk mengkaji lebih banyak penggunaan istilah yang berbeza dalam kalangan petani
dan peladang. Petani dan peladang di sesebuah kawasan biasanya menggunakan dialek negeri
masing-masing dan hal ini menyebabkan petani dari negeri lain tidak dapat memahami
maknanya secara menyeluruh. Oleh itu, akan adanya penggunaan perkataan yang sama tetapi
membawa maksud yang berlainan dan berbeza mengikut pemahaman dan penaksiran dialek
negeri masing-masing. Namun begitu, muncul pula istilah-istilah saintifik dan moden yang akan
menyebabkan pertambahan istilah baru.
Oleh hal yang demikian, dalam kertas kerja ini pengkaji telah membuat kajian terhadap
sebuah negeri dan satu bahasa yang mempunyai dialek dan bahasa yang berbeza iaitu dialek
negeri Kelantan dan juga bahasa Jawa yang menggunakan bahasa baku. Bahasa baku ini
merupakan bahasa formal atau bahasa standard yang tersusun dan mempunyai tatabahasa yang
lengkap dan kompleks seperti yang terdapat di dalam kamus-kamus seperti Kamus Dewan
Bahasa edisi keempat yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahasa baku ini juga
mudah difahami dan dituturkan oleh semua lapisan masyarakat termasuklah kaum Cina dan India
yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi rakyat Malaysia.
Kesemua dialek dan bahasa ini mempunyai cara pertuturan yang bebeza-beza dan
berlainan sedikit pada bunyi dan gaya suara atau sebutan untuk membunyikan sesuatu istilah
bahasa Melayu terutamanya dalam bidang pertanian. Lapisan masyarakat dan pengkaji sendiri
telah banyak bergaul dengan orang-orang Melayu dari negeri-negeri lain dalam semenanjung ini
dan sudah tentu dapat memerhatikan perbezaan di antara bunyi pertuturan masyarakat masing-
masing di negeri itu. Umpamanya orang Kelantan menyebut sesuatu perkataan itu dengan
sebutan yang berbeza mengikut ciri-ciri yang telah digunakan oleh mereka dalam perbualan
harian. Misalnya huruf ‘n’ dan ‘ng’ di belakang kata yang terdapat dalam bahasa baku digantikan
dengan huruf ‘e’ contohnya perkataan ‘kawan’ menjadi ‘kawe’, huruf ‘a’ di belakang kata juga
diganti dengan bunyi ‘o’ contohnya ‘apa’ menjadi ‘gapo’ dan pelbagai lagi ciri-ciri perbezaan
perkataan yang digunakan dalam dialek Kelantan. Manakala dalam bahasa Jawa pula yang
membezakannya adalah dari segi istilah dan cara sebutan kerana Jawa terdiri daripada banyak
pecahan seperti Jawa Pegelan, Jawa Ponoroge dan sebagainya.
Oleh itu, dalam tajuk kelainan istilah bahasa Melayu dalam bidang pertanian ini, pengkaji
akan mengupas dengan lebih terperinci menggunakan perbezaan istilah dalam dialek Kelantan
dengan bahasa Jawa yang menggunakan bahasa baku untuk membezakan sesuatu perkataan dan
juga sebutan serta maknanya yang digunakan oleh para petani dan juga peladang untuk
membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan bidang pertanian. Contohnya dalam hasil pertanian
iaitu buah-buahan seperti perkataan buah durian iaitu bahasa baku dan di dalam dialek Kelantan
disebut buah driye . Manakala dalam bahasa Jawa disebut buah dhuren. Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat halaman 372 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, buah durian bermaksud sejenis
tumbuhan iaitu pokok dan buahnya berkulit tebal dan berduri. Terdapat pelbagai jenis buah
durian antaranya durian tembaga yang mana isinya berwarana kuning dan rasanya lebih sedap
daripada isi durian yang lain-lain.
Antara istilah lain bagi buah-buahan dalam bidang pertanian ialah buah ciku. Buah ciku
disebut buah sawonilo dalam dialek Kelantan namun dalam bahasa Jawa buah ciku disebut ciku
juga sama seperti sebutan dalam bahasa baku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman
279, buah ciku ditakrifkan sebagai sejenis tumbuhan yang mana kulitnya berwaran coklat
kekuningan dan buahnya sangat lembut. Nama saintifiknya ialah Achras Zapota. Sementara itu,
buah rambutan pula disebut buah mokte dalam dialek Kelantan manakala dalam bahasa Jawa
disebut buah rambutan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1277, buah rambutan
ialah sejenis tumbuhan yang berbuah. Buah rambutan terjadi hasil daripada pencantuman kulit
tunas yang baik kepada pokok yang kurang baik. Kulitnya berwarna merah kehitaman bila sudah
masak dan isinya berwarna putih kekuningan. Terdapat pelbagai jenis buah rambutan contohnya
rambutan budak-budak sekolah, rambutan gula batu dan juga rambutan gading yang mana
berbeza dengan rambutan yang lain kerana kulitnya berwarna kekuningan. Nama saintifik bagi
buah rambutan ialah Nephelium lappaceum.
Seterusnya buah mangga. Buah mangga disebut buah pauh dalam dialek Kelantan dan
dalam bahasa Jawa disebut buah pelem. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 993,
buah mangga bermaksud sejenis tumbuhan yang mana kulitnya berwarna kuning dan isinya
berwarna jingga kekuningan. Masyarakat Melayu gemar menjadikan buah mangga yang muda
sebagai sebahagian daripada lauk-pauk. Contohnya buah mangga ini dijadikan kerabu mangga
ataupun sambal belacan mangga dan sebaginya. Nama saintifik buah mangga ialah Mangifera
indica. Bagi buah manggis pula, dalam dialek Kelantan menyebut buah set’to manakala dalam
bahasa Jawa menyebut buah manggis. Menurut kamus Dewan Edisi Keempat halaman yang
sama, buah manggis adalah sejenis tumbuhan yang berkulit keras, berwarna ungu kehitaman dan
isinya berwarna putih. Nama saintifik bagi buah manggis ialah Garcinia mangostana.
Selain itu juga, dalam dialek Kelantan buah kelapa disebut nyo manakala dalam bahasa
Jawa disebut kelopo. Menurut Kamus Edisi Keempat halaman 712, buah kelapa boleh
didefinisikan sebagai sejenis tumbuhan palma iaitu pokok dan berbuah. Pokok kelapa amat
serbaguna kerana dari daunnya, buahnya, batang pokoknya boleh digunakan untuk sebarang
jenis kegunaan. Contohnya daun kelapa digunakan untuk membuat anyaman ketupat, lidinya
pula digunakan untuk membuat penyapu, isi buah kelapa untuk dimakan dan airnya boleh
diminum. Tempurungnya pula boleh dijadikan sebagai perhiasan dinding dan juga cenderamata
apabila diubahsuai. Batangnya pula boleh dibuat tempat duduk dan pelbagai lagi kegunaan yang
dapat diperoleh daripada pokok kelapa ini. Nama saintifik bagi pokok kelapa ini ialah Cocos
nucifera.
Bagi buah nangka pula, dalam dialek Kelantan disebut nako dan dalam bahasa Jawa pula
disebut gori. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1069, nangka adalah sejenis
tumbuhan yang buahnya berulas-ulas dan boleh dimakan. Buahnya berwarna kuning dan bijinya
boleh juga dimakan. Ia sama seperti buah cempedak. Buah tembikai pula, orang Kelantan
menyebut timun manakala dalam bahasa Jawa disebut semongko. Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat halaman 1641, tembikai bererti sejenis tumbuhan yang memanjat dan berbuah.
Kulitnya berwarna hijau tua dan tebal. Isinya berwarna merah dan ada juga yang berwarna
kuning.
Hasil pertanian seterusnya ialah sayur-sayuran dan herba. Kebiasannya orang Kelantan
menyebut lada sebagai lado sementara masyarakat Jawa menyebut cili sebagai lombok. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 864, lada merupakan sejenis tumbuhan herba. Buahnya
pedas dan biasanya dicampur dengan rempah. Bentuk lada ini memanjang-manjang. Tetapi
terdapat juga lada yang berbentuk bulat berwarna merah atau hijau yang mempunyai rasa pedas
manis dan digunakan sebagai salad atau sayur. Lada ini dipanggil lada benggala. Bagi lada hitam
pula orang Kelantan menyebut sebagai lada bena dan bagi masyarakat Jawa menyebut lada hitam
sebagai merico e’reng. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman yang sama, lada hitam
ini adalah sejenis rempah untuk menambah rasa pedas dan ia berbiji-biji berwarna hitam. Ia
tidak boleh dimakan begitu sahaja. Ia perlu dikisar dan dicampurkan dalam masakan. Daripada
masakan itulah akan rasa pedasnya.
Seterusnya, sayur timun. Timun dalam dialek Kelantan dipanggil timun batang. Namun
dalam bahasa Jawa pula timun disebut sebagai timun. Sama sahaja seperti sebutan dalam bahasa
baku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1689, timun atau dipanggil mentimun ini
merupakan sejenis tumbuhan ( pokok menjalar). Timun boleh dijadikan sebagai ulam dan boleh
juga dimasak dalam pelbagi jenis masakan. Kulitnya berwarna hijau tua seperti warna buah
tembikai dan kulitnya boleh dimakan sekali bersama bijinya. Sayur timun ini banyak khasiatnya.
Selain itu juga, orang Kelantan menyebut lengkuas sebagai ku’ah. Manakala orang Jawa
menyebut lengkuas sebagai laus. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 924, lengkuas
didefinisikan sejenis tumbuhan ( rizom ). Bentuk lengkuas sama seperti halia dan daunnya pula
sama seperti daun kunyit. Lengkuas digunakan dalam masakan seperti dalam masakan rendang.
Selain itu, cekur disebut cekur dalam dialek Kelantan iaitu sama seperti bahasa baku.
Perbezaannnya adalah dari segi sebutannya dan dalam bahasa Jawa disebut kencor. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 257, cekur adalah sejenis tumbuhan juga yang mana
umbinya dibuat ubat. Daunnya digunakan untuk dicampurkan di dalam masakan untuk
menimbulkan bau sebenar cekur contohnya dalam masakan gulai ikan keli masak cekur.
Selanjutnya adalah serai. Masyarakat Jawa menyebut serai sebagai se’re manakala orang
Kelantan biasanya menyebut serra. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1463, serai
diertikan sebagai sejenis tumbuhan yang mana daunnya seperti rumput dan lalang tetapi daun
serai ini berbau harum. Kebiasaanya, serai ini digunakan untuk dibuat perencah masakan. Nama
saintifiknya adalah Cymbopogon citrates.
Istilah lain bagai sayur-sayuran dan herba ini ialah sayur petola. Dalam dialek Kelantan
menyebut petola sebagai ten’ne sementara orang Jawa menyebut petola sebagai gambas.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1201, petola bermaksud sejenis tumbuhan herba
yang memanjat dan berbuah. Bentuknya panjang, berwarna hijau dan berkulit keras. Petola yang
tua tidak boleh dimakan sebaliknya isi dalamnya digunakan untuk mencuci pinggan dan boleh
juga digunakan untuk membersihkan tubuh badan ketika mandi kerana isinya itu sama seperti
beras sabut yang ada pada masa kini. Seterusnya ialah jering. Orang Jawa menyebut jering ini
sebagai jengkol dan dalam dialek Kelantan pula menyebutnya sebagai jering juga sama seperti
dalam sebutaan dan perkataan bahasa baku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman
628, jering adalah sejenis tumbuhan yang mana buahnya dijadikan ulam. Ia sangat berkhasiat
kerana boleh dijadikan penawar untuk pelbagai jenis peyakit, tetapi ia mempunyai bau yang
kurang enak.
Aktiviti pertanian bukan sahaja untuk mendapatkan hasil pertanian seperti buah-buahan
dan sayur-sayuran serta herba tetapi juga untuk diniagakan dan dipasarkan. Untuk melakukan
aktiviti pertanian ini, pelbagai peralatan diperlukan. Antara peralatan yang biasa digunakan ialah
cangkul. Cangkul dalam dialek Kelantan disebut cok dan dalam bahasa Jawa disebut cangkul.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 244, cangkul merupakan sejenis alat untuk
memecahkan ( menggemburkan tanah ). Dalam aktiviti pertanian, cangkul digunakan untuk
menggembur tanah untuk membuat batas. Tujuan batas dibuat adalah untuk mengggariskan
pinggir sesuatu bidang. Kebiasaannya batas ini dibuat di tempat menanam seperti di sawah atau
ladang.
Selain cangkul, peralatan seperti tajak juga digunakan dalam bidang pertanian.
Kebiasannya penutur dari Kelantan menyebut tajak sebagai cok betul dan bagi masyarakat Jawa
pula menyebut tajak sebagai tajak. Sama sahaja bentuk perkataan dan sebutannya. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1573, tajak adalah sejenis alat untuk mencangkul tanah
atau membersihkan rumput di sawah ( bendang dan lain-lain). Fungsinya sama seperti cangkul.
Tetapi apa yang membezakannya adalah bentuk peralatan tersebut. Alat ini terdiri daripada mata
tajak yang diperbuat daripada besi yang berbentuk tirus dan tajam dibahagian hadapannya.
Terdapat dua jenis tajak yang biasa digunakan iaitu tajak runcing yang digunakan untuk kerja-
kerja ringan seperti menggemburkan tanah dan merumput dan tajak mata pepat yang mana
digunakan untuk mengorek lubang, menanam pokok dan membuat parit.
Selain itu juga, alat pertanian yang kebiasaannya digunakan oleh para petani untuk
menjalankan aktiviti pertanian ialah garu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 437,
garu bermaksud sejenis alat (sisir) yang digunakan untuk menggaruk tanah. Bentuk alat ini
seperti garpu iaitu bergigi-gigi. Orang Kelantan menyebut garu ini sebagai ge’rak dan orang
Jawa pula menyebut garu ini sebagai garon. Bagi alat seperti pisau orang Kelantan menyebut
pisau sebagai pisa dan orang Jawa pula menyebut pisau sebagai piso. Menurut Kamus Dewan
Edisi keempat halaman 1216, pisau merupakan sejenis besi tipis yang tajam dan berhulu untuk
memotong atau menghiris. Kebiasaanya alat ini digunakan untuk memotong bahan-bahan
memasak.
Selain itu, alat pertanian seperti plastik ( poli beg ) untuk tujuan pertanian pula disebut
sebagai supit oleh orang Kelantan dan orang Jawa pula menyebut plastik e’reng dan ada juga
yang disebut sebagai plastik keresek. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1218,
plastik diertikan sebagai sejenis bahan sintetik yang warnanya bermacam-macam untuk membuat
pelbagai jenis alat. Alatan yang lain ialah kapak. Dialek Kelantan menyebut kapak sebagai kapok
sementara dalam bahasa Jawa menyebutnya sebagai kampak. Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat halaman 672, kapak bermaksud alatan yang terdiri daripada bilah besi yang tajam dan
bertangkai kayu. Fungsinya adalah untuk menebang pokok dan membelah kayu.
Bagi jentera pula, jentera pertanian yang biasa digunakan sejak dahulu lagi ialah kereta
sorong. Kereta sorong dalam dialek Kelantan disebut keto tolok manakala dalam bahasa Jawa
disebut kereto sorong. Kereta sorong ini digunakan untuk menggangkat tanah ataupun hasil
pertanian dan pelbagai lagi kegunaannya. Kereta sorong ini mudah dibawa tanpa menggunakan
kos yang tinggi seperti kenderaan yang lain. Apa yang perlu hanya menggunakan tenaga sahaja.
Jentera pertanian seperti , jentera untuk membuat batas,menuai dan memetik hasil pertanian yang
tujuannya adalah untuk pertanian pula disebut keto ghalo oleh orang Kelantan. Manakala
masyarakat Jawa pula menyebut jentera ini sebagai bajak. Jentera ini digunakan pada masa kini
untuk mempercepatkan lagi proses penanaman tanpa menggunakan tenaga yang banyak tetapi
menggunakan kos yang agak tinggi.
Selain alatan dan jentera pertanian, terdapat juga kaedah atau cara pertanian itu
dijalankan. Antaranya ialah menanam, menuai, membajak, menyemai dan menebas. Terdapat
istilah yang digunakan oleh para petani terutama bagi yang berketurunan Jawa dan menggunakan
dialek Kelantan. Bagi kaedah pertanian seperti menanam, orang Kelantan menyebut menane.
Manakala orang Jawa menyebut menanam sebagai nandur. Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat halaman 1593, menanam merupakan aktiviti mencucuk dan menabur benih ke dalam
tanah supaya tumbuh. Kaedah pertanian seperti menuai disebut menu oleh orang Kelantan
sementara orang Jawa pula menyebut menuai sebagai ngunduh untuk menuai hasil seperti
rambutan, jagung, kelapa sawit dan lain-lain lagi. Manakala menuai untuk hasil pertanian seperti
padi disebut ani-ani oleh orang Jawa. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1717,
menuai bermaksud memotong padi dengan tuai dan mengetam padi. Para petani menanam padi
pada bulan Oktober dan mengetamnya dalam bulan Februari.
Seterusnya aktiviti pertanian seperti membajak. Dalam dialek Kelantan menyebutnya
dengan membajok dan bagi orang Jawa pula menyebut sebagai mbajak. Menurut Kamus Dewan
edisi Keempat halaman 110, membajak merupakan kaedah pertanian yang digunakan oleh para
petani untuk menggemburkan tanah, meluku dan menenggala dengan menggunakan jentera
seperti bajak untuk membajak sawah dan sebagainya. Selain itu, bagi kaedah pertanian seperti
menyemai pula, orang Kelantan menyebutnya dengan menyema. Manakala bagi masyarakat
Jawa pula menyebut menyemai dengan ngambang. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
halaman 1432, menyemai membawa maksud menanam atau menabur benih di tempat yang
tertentu dan akan dialih ke tempat lain.
Kelainan istilah bahasa Melayu dalam pertanian ini juga membincang sesuatu cara
pertanian dilakukan seperti aktiviti menebas. Orang Kelantan menyebut menebas sebagai
menebah sementara orang Jawa pula menyebutnya sebagai mancah. Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat halaman 1622, menebas bererti memotong atau merambah pokok-pokok kecil,
menebang pokok-pokok dalam hutan, membuka hutan untuk bercucuk tanam dan setelah selesai
menebang, menunggu masa untuk membakar pula. Begitulah antara hasil pertanian, alatan dan
juga cara pertanian itu dijalankan di sesebuah kawasan yang biasa diutarakan oleh penutur-
penutur dalam kalangan petani yang mempunyai pelbagai perbezaan sebutan dan cara
berkomunikasi bagi seseorang penutur.
Secara analoginya, kelainan istilah bahasa Melayu dalam bidang pertanian yang
menggunakan dialek Kelantan dan bahasa Jawa ini memang sangat luas dan menarik untuk
dikaji dengan lebih mendalam lagi. Pengkaji telah melalui sendiri bagaimana masyarakat
disekeliling menggunakan dialek daerah kawasan masing-masing dan cara menutur serta
berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain terutamanya bagi membicarakan mengenai
perihal dalam bidang pertanian yang kebiasaannya dituturkan oleh golongan petani dan
peladang. Komunikasi antara mereka ini bukan sahaja mengenai bidang pertanian tetapi juga
dalam bidang perniagaan untuk mereka memasarkan hasil pertanian kepada masyarakat dan
untuk dieksport keluar Negara.
Konklusinya, peranan bahasa Melayu ini memainkan peranan yang amat penting untuk
seseorang itu memahami tentang sesuatu bahasa. Tanpa bahasa, tiadalah komunikasi antara
penutur dengan masyarakat. Dengan adanya kelainan istilah dalam pelbagai dialek ini, para
petani dan peladang dapat menambah lagi perbendahara kata selain mengetahui dialek yang
mereka gunakan. Justeru, sebagai pengkaji perlulah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu
ini hingga ke pelosok negeri dan ke seantero dunia agar bahasa Melayu ini terus menjadi bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi Negara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan Perkara 152. Sememangnya sesuatu bahasa itu sangat penting untuk digunakan dan
diaplikasikan dalam menjalankan sebarang aktiviti termasuklah dalam bidang pertanian ini
supaya bahasa Melayu ini tidak ketinggalan dek kerana persaingan yang hebat antara sesuatu
bahasa dan juga istilah lain untuk berkomunikasi.
BIBLIOGRAFI
1. Zainal Abidin Ahmad ( Za’ba ) (2002) Ilmu Mengarang Melayu, Edisi Ejaan
Rumi Baharu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
2. Ajib Che Kob (1985), Dialek Geografi Pasir Mas.
3. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Majalah Dewan Siswa, Mac 2007.
5. Majalah Dewan Siswa, Julai 2010.
6. Utusan Melayu, Agro Biz, Pertanian Menjana ekonomi Negara, Sabtu, 24
Oktober 2009.
7. Mohd Fazli, DIALEK.htm.
8. Mohd Fazli, Maghi_Blaja_Kkecek_Kelate.htm.
9. Bahasa Jawa, Wikipedia Bahasa Melayu ensiklopedia bahasa. htm.
10. Famili Azam. com, Kamus_mel_Jawa_htm.
11. Famili Azam.com,Bahasa Jawa.