Upload
di-en
View
849
Download
4
Embed Size (px)
DESCRIPTION
num
Citation preview
KONSEP NUMERASI DALAM KONTEKS PENDIDIKAN SEKOLAH RENDAH DI
MALAYSIA
Numerasi adalah satu daripada komponen LINUS, definisi Numerasi adalah keupayaan
untuk melakukan operasi asas matematik yang digubal khusus bagi menangani
masalah yang dihadapi oleh murid dalam menguasai kemahiran asas mengira serta
memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan dalam
kehidupan harian mengikut bahasa pengantar di sekolah. Kandungan program
Numerasi dipilih dan disusun supaya mampu memberi pangalaman yang mencukupi
kepada murid untuk membina asas yang kukuh dalam membuat pengiraan dan
seterusnya membolehkan mereka mengikuti pembelajaran matematik dengan lebih
bermakna dan efektif. Matlamat utama program Numerasi adalah semua murid
berkeupayaan untuk menguasai asas numerasi kecuali murid berkeperluan khas
selepas 3 tahun mengikuti pendidikan sekolah rendah menjelang 2012.
Numerasi memberi tumpuan terhadap operasi mengira, iaitu sebahagian
daripada fokus LINUS yang disebut sebagai 3M. Aktiviti mengira merupakan satu
aktiviti kognitif yang meliputi beberapa proses dan pemeringkatan. Dalam konteks
kurikulum negara Malaysia, proses mengira ditakrifkan sebagai operasi tambah, tolak,
darab dan bahagi. Keempat-empat proses tersebut disebut sebagai operasi asas
aritmetik. Proses dan pemeringkatan difokuskan terhadap skop pemeringkatan tahap
kebolehan M3 murid yang ditetapkan berdasarkan kandungan kurikulum Matematik
Kemahiran Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) atau Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR). Manakala operasi aritmetik hanya dihadkan kepada nombor bulat
dalam lingkungan 20 sahaja. Program Numerasi ini menilai keberkesanan melalui
penaksiran keupayaan murid berdasarkan ujian.
Program Numerasi ini mempunyai objektif yang terarah iaitu, di akhir program
Numerasi murid berupaya; membaca, menulis, membilang dan menyusun nombor
hingga angka 1000 serta mampu membilang dua-dua, lima-lima dan sepuluh-sepuluh
dalam lingkungan 1000 bermula daripada sebarang nombor. Murid juga diharapkan
berupaya untuk menyatakan fakta asas tambah, tolak, dan bahagi dan seterusnya
mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik dalam wang, ukuran dan sukatan.
Numerasi yang dilaksanakan di dalam tiga tahun, menggunakan modul yang
menumpu kepada nombor bulat, iaitu bagi Tahun 1; membaca, menulis, membilang dan
menyusun nombor hingga 20 dengan operasi asasnya iaitu dengan penyataan fakta
asas tambah dan tolak yang diaplikasikan ke atas mata wang Malaysia hingga RM1O,
menyatakan bahagian dalam sehari dan mengenal bentuk 3-dmensi dan 2-dimensi.
Manakala bagi Tahun 2, menumpu kepada membaca, menulis, membilang dan
menyusun nombor hingga seratus dengan operasi asas iaitu menyatakan fakta asas
tambah, tolak, darab dan bahagi (2,4,5,10) menggunakan aplikasi terhadap mata wang
RM50, penyataan waktu dalam jam dan mengelas bentuk 3-dmensi dan 2-dimensi.
Seterusnya bagi Tahun 3, tumpuan nombor bulat adalah terhadap aktiviti membaca,
menulis, membilang dan menyusun nombor hingga 1000 dengan operasi asas iaiti,
penyataan fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi (3,6,7,8,9) menggunakan
aplikasi terhadap mata wang Malaysia RM100, penyataan waktu dalam jam dan minit
serta menamakan bentuk 3-dmensi dan 2-dimensi.
Terdapat 12 Konstrak yang ditetapkan bagi Numerasi, iaitu; pertama ialah
keupayaan pranombor dan mengenal angka menggunakan deria serta menyatakan
sesuatu di persekitaran secara kuantitatif berdasarkan angka (0,1,2,3,4,5,6,7,8,9)
secara lisan penulisan secara rawak. Kedua ialah keupayaan membilang objek samada
secara tersusun mahupun rawak secara lisan atau penulisan, Ketiga ialah keupayaan
memahami nilai nombor, dengan kemampuan menunjukkan perwakilan nombor,
susunan mengikut urutan tertib, samada secara menaik atau menurun. Empat,
keupayaan seriasi, iaitu menyusun objek mengikut kriteria samada banyak atau sedikit,
banyak atau sedikit, pendek atau panjang dan tinggi mahupun rendah.
Seterusnya yang kelima, keupayaan mengenal mata wang Ringgit dengan
kemampuan mengecam, mengasingkan dan mengklasifikasikan nilai mata wang
Ringgit Malaysia. Enam, keupayaan mengenal dan menyatakan waktu samada pagi
atau petang berdasarkan situasi yang diberi. Tujuh, keupayaan mengendali asas kira-
kira dengan mengendalikan operasi tambah dan tolak. Lapan, keupayaan
mengendalikan operasi asas membabitkan mata wang Ringgit. Sembilan, keupayaan
mengukur jisim dan isi padu objek . Sepuluh adalah keupayaan menterjemah ayat biasa
kepada ayat matematik dan sebaliknya. Sebelas, keupayaan menggunakan
pengetahuan serta kemahiran nombor bulat dalam kehidupan harian; manakala yang
terakhir adalah keupayaan menggunakan mata wang, masa dan ukuran panjang dalam
kehidupan harian.
Di dalam melaksanakan program Numerasi ini terdapat beberapa pendekatan
pengajaran yang bersesuaian untuk diaplikasi antaranya, pendekatan numerasi secara
pembelajaran masteri dengan memastikan murid sudah memiliki pengetahuan asas
yang kukuh sebelum memperkenalkan kemahiran baru, manakala bagi murid yang
belum menguasai sesuatu kemahiran perlu diajar semula, dengan tujuan untuk
memperbetul ketidakfahaman yang wujud. Namun begtu, pengajaran semula yang
dilaksanakan harus menggunakan strategi yang berbeza daripada sebelumnya.
Pendekatan seterusnya adalah, ansur maju (berperingkat), iaitu dengan
memperkenalkan konsep matematik bermula dengan perkara yang senang kepada
yang susah dan rumit, daripada yang konkrit kepada abstrak dan daripada konstektual
kepada konstruktif.
Pendekatan seterusnya adalah didik hibur, ini kerana murid yang terlibat dengan
program LINUS ini memerlukan perhatian yang lebih khusus terutama pada murid yang
berada di dalam aliran pemulihan khas, ia bertujuan melahirkan rasa minat dalam
pembelajaran dan aktiviti yang dilakukan. Konsep didik hibur diterapkan melalui aktiviti
nyanyian, permainan dan penggunaan bahan manupulatif yang menarik disarankan
untuk diaplikasi dalam pengajaran. Seterusnya adalah pendekatan panggabung jalinan
kemahiran antara satu kemahiran dengan kemahiran ynag lain berdasarkan
kesesuaian. Sebagai contoh, dalam tajuk “ Wang Hingga RM 10” kemahiran menambah
dan menolak sesuai untuk diaplikasikan.
Perkembangan program LINUS dalam konteks pendidikan sekolah rendah di
Malaysia
LINUS merupakan singkatan daripada Literacy and Numeracy Screening atau di dalam
Bahasa Malaysia dinamakan sebagai Saringan Literasi dan Numerasi yang merupakan
kesinambungan Program KIA2M yang dilaksanakan sebelum ini. LINUS juga
merupakan satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
PENDIDIKAN yang difokuskan di dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10). Ia
adalah satu program pemulihan yang dilaksanakan bermula pada 2010 untuk murid-
murid normal yang menghadapi masalah membaca, menulis dan mengira atau
singkatanya 3M. Program ini bermatlamat untuk memastikan murid menguasai
kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun pendidikan peringkat rendah, iaitu
sebelu melangkah ke tahun 4 menjelang tahun 2012.
Disamping itu, Program ini dilaksanakan berasaskan rasional yang menyatakan
bahawa asas Literasi dan Numerasi merupakan kemahiran yang diperlukan bagi
membolehkan murid berkomunikasi dan berinteraksi dalam kehidupan seharian serta
bertujuan untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi. Berdasarkan data KIA2M pada tahun 2008 menunjukkan sebanyak 54000 murid
Tahun 1 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Manakala data
PROTIM tahun 2008 pula menunjukkan sebanyak 48233 murid Tahun 4 belum
menguasai kemahiran asas membaca dan menulis, sementara sebanyak 117000 murid
Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas mengira. Selain tu, data Bahagian
Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan , Kementerian Pelajaran Malaysia
menunjukkan keciciran murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia pada
tahun2008, adalah sebanyak 31939.
Oleh itu KPM berpendapat bahawa satu pendekatan bersepadu perlu
dilaksanakan untuk mengatasi masalah Literasi dan Numerasi seawal tahap 1. Perkara
ini perlu diberi perhatian yang serius kerana murid yang belum menguasai kemahiran
asas membaca, menulis dan mengira merupakan kumpulan yang berhadapan dengan
risiko keciciran dan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya.
Komponen utama di dalam LINUS adalah Literasi dan Numersi, Literasi membawa
maksud keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal
dan ayat majmuk untuk diaplikasi di dalam kehidupan. Manakala Numerasi adalah
keupayaan untuk melakukan operasi asas matematik yang digubal khusus bagi
menangani masalah yang dihadapi oleh murid dalam menguasai kemahiran asas
mengira serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan
pengetahuan dalam kehidupan harian.
Program ini wajib dilaksanakan di semua jenis sekolah rendah kerajaan, SK,
SJKC, SJKT dan SABK dengan menggunakan Instrumen LINUS yang dibina dalam dwi
bahasa iaitu, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Bagi program ini
terdapat tiga peringkat saringan setiap tahun iaitu, Saringan 1 pada bulan Mac,
Saringan 2 pada bulan Jun dan Saringan 3 pada bulan September. Semua murid
Tahun 1 yang dikenalpasti sebagai murid yang tiada masalah pembelajaran akan
menduduki ujian Saringan LINUS untuk menilai tahap penguasaan kemahiran asas
mereka pada awal setiap tahun, dimana program ini melibatkan secara aktif guru-guru
Bahasa Malaysia, Matematik dan Pemulihan.
Saringan yang dilakukan berdasarkan 12 konstrak yang menjadi kayu pengukur
tahap penguasaan murid, melalui Saringan yang dilakukan murid akan diasingkan di
dalam kumpulan atau aliran yang telah ditetapkan samada LINUS arus perdana
ataupuan LINUS pemulihan Khas. Bagi LINUS arus perdana murid belajar di dalam
kelas pada masa Bahasa Malaysia dengan menggunakan Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) manakala bagi LINUS aliran pemulihan murid dibawa ke bilik
pemulihan khas dan diajar oleh guru pemulihan khas dan guru LINUS yang terlibat
secara intensif menggunakan modul yang telah disediakan. Guru pemulihan khas yag
ditempatkan di sekolah bagi melaksanakan LINUS diletakkan mengikut nisbah murid
LINUS tegar dengan nilai 1:15, supaya tumpuan sepenuhnyadapat diberikan kepada
murid berkenaan, dengan cadangan masa satu jam Literasi dan satu jam untuk
Numerasi . Selain itu, bagi guru yang sedia ada (guru Bahasa Malaysia dan Matematik)
yang melaksanakan program diberikan latihan khusus dalam teknik pemulihan dan
bimbingan untuk menangani murid yang memiliki masalah Literasi dan Numerasi.
Program LINUS meletakkan enam strategi utama iaitu melaksanakan saringan
terhadap murid pada tahun 1, 2 dan 3 dan melaksanakan fokus intervensi bagi
menyediakan program pemulihan dan komprehensif serta meningkatkan kemahiran
pedagogi guru. Seterusnya melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas
membaca, menulis dan mengira dalam kalangan warga sekolah dan komuniti.
Menjalankan pemantauan , penyeliaan dan penilaian serta mewujudkan jawatan fasi
LINUS di Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru memastikan murid berupaya
membaca, menulis dan mengira.
Hasil daripada pebagai strategi pelaksanaan dan pelbagai pendekatan kreatif
yang digunakan untuk program LINUS, program ini menjadi antara program utama
sekolah dan difahami oleh para guru walaupun guru yang tidak terlibat secara
langsung. Ia adalah program yang sentiasa menjadi fokus pemantauan dan perhatian
oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan ini dapat dilihat melalui pelantikan fasiLINUS bagi
membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran program LINUS di sekolah, malah
jawatan aguru pemulihan khas juga akan bertambah di sekolah bagi melaksanakan
program LINUS dengan baik dan berkesan. Program ini menegaskan usaha
Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengatasi masalah Literasi dan Numerasi
dalam kalangan murid yang berkeupayaan kecuali murid berkeperluan khas pada
peringkat awal persekolahan. Komitmen semua pihak manjadi tonggak yang
memastikan program ini berjaya selaras denagan sasaran NKRA PENDIDIKAN.
Kesimpulanya, program LINUS terhasil disebabkan desakan masalah keciciran
dalam kalangan murid walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai program
seperti KIA2M dan PROTIM. Pelaksanaan ini secara tidak langsung menggambarkan
keperihatinan kerajaan dengan meletakkan LINUS sebagai sub NKRA pendidikan yang
ditekankan untuk perhatian warga pendidik dan pelaksana sistem pendidikan negara
agar matlamat pendidikan tercapai dengan berkesan.
RUJUKAN
Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin. (2011). Sudut Pandang Muhyiddin Yassin. Kuala
Lumpur : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Abdul Jalil Othman & Normarini Norzan. (2011). Cabaran Guru Program Linus Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa : Masalah Pendidikan. Fakuliti
Pendidikan : UM.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2011). Modul Pengajaran Asas Literasi. Putrajaya:
Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kementerian Pelajaran Malysia. (2011). Buku Panduan Dan Pengoperasian: Program
Literasi Dan Numerasi (LINUS). Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.
http://nkra.moe.gov.my/