17
MELESTARIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA by SHAIKH MOHAMED NOORDIN [2010] 1 LNS(A) iv MALAYSIA Pengenalan Usaha-usaha memartabat dan melestarikan Bahasa Melayu didalam bidang perundangan dan kehakiman sudah lama bermula sejak awal tahun enam puluhan. Walau bagaimanapun peningkatan trend penggunaan Bahasa Melayu dikalangan peguam hanya nampak ketara sejak lima tahun kebelakangan ini. Para peguam masih lagi menghadapi sedikit kesukaran dari segi penggunaan istilah, tatabahasa dan terjemahan seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Melayu Majlis Peguam Malaysia Muhammad Hasif Hassan tidak beberapa lama dulu [1 ] . Hampir 80 peratus daripada 13,000 peguam di negara ini kini menggunakan Bahasa Melayu ketika mengendalikan kes-kes mereka di mahkamah. Menurut Muhammad Hasif, Majlis Peguam Malaysia akan terus bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengadakan kursus Bahasa Melayu bagi meningkatkan kemahiran dan memberi ruang kepada peguam mempelajari istilah, tatabahasa dan laras bahasa dengan betul supaya penghujahan kes di mahkamah dapat berjalan dengan lebih fasih dan lancar. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perundangan dan kehakiman sering menjadi tajuk perbincangan dikalangan pengamal undang- undang sejak sekian lama [2 ] . Bagaimanapun baru-baru ini isu penggunaan Bahasa Melayu kembali hangat diperkatakan apabila Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa para peguam perlu terikat dengan ketetapan menggunakan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah.

Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

Embed Size (px)

DESCRIPTION

The usage of Malay language as a language of law in Malaysia

Citation preview

Page 1: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

MELESTARIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA

by

SHAIKH MOHAMED NOORDIN

[2010] 1 LNS(A) iv

MALAYSIA

Pengenalan

Usaha-usaha memartabat dan melestarikan Bahasa Melayu didalam bidang perundangan dan kehakiman sudah lama bermula sejak awal tahun enam puluhan. Walau bagaimanapun peningkatan trend penggunaan Bahasa Melayu dikalangan peguam hanya nampak ketara sejak lima tahun kebelakangan ini. Para peguam masih lagi menghadapi sedikit kesukaran dari segi penggunaan istilah, tatabahasa dan terjemahan seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Melayu Majlis Peguam Malaysia Muhammad Hasif Hassan tidak beberapa lama dulu[1].

Hampir 80 peratus daripada 13,000 peguam di negara ini kini menggunakan Bahasa Melayu ketika mengendalikan kes-kes mereka di mahkamah. Menurut Muhammad Hasif, Majlis Peguam Malaysia akan terus bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengadakan kursus Bahasa Melayu bagi meningkatkan kemahiran dan memberi ruang kepada peguam mempelajari istilah, tatabahasa dan laras bahasa dengan betul supaya penghujahan kes di mahkamah dapat berjalan dengan lebih fasih dan lancar.

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perundangan dan kehakiman sering menjadi tajuk perbincangan dikalangan pengamal undang-undang sejak sekian lama[2]. Bagaimanapun baru-baru ini isu penggunaan Bahasa Melayu kembali hangat diperkatakan apabila Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa para peguam perlu terikat dengan ketetapan menggunakan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah.

Pada 10 Oktober 2009, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad telah menolak rayuan kes Datuk Seri Anwar dalam saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas alasan memorandum rayuan yang difailkan Datuk Seri Anwar dalam Bahasa Inggeris itu adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah[3].

Ketiga-tiga Hakim tersebut membuat keputusan ini berdasarkan Perkara 152 (Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 110 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994. Ini bermakna Bahasa kebangsaan mesti digunakan bukan sahaja semasa prosiding tetapi juga dalam memfailkan dokumen-dokumen mahkamah.

Page 2: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

Menurut Hakim Abdul Malik Ishak, "keutamaan Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Melayu dalam mahkamah kita tidak boleh dinafikan lagi. Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain daripada memberi keterangan oleh seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah mesti dalam Bahasa Kebangsaan. Kaedah 101, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 menetapkan dokumen-dokumen perlu dalam Bahasa Kebangsaan. Oleh itu, kegagalan dipihak perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam Bahasa Malaysia menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak boleh digunakan".

Salah seorang peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair, bagaimanapun mendakwa Mahkamah Rayuan bersikap berat sebelah kerana menolak kes anak guamannya semata-mata kerana kesalahan menggunakan kertas prosiding dalam Bahasa Inggeris. Sankara membangkitkan rasa tidak puas hati tentang keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai respon kepada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang tidak menolak prosiding Big Scope walaupun kertas prosiding kes tersebut juga menggunakan Bahasa Inggeris[4].

Jelas Sankara, keputusan Mahkamah Rayuan menolak kes Datuk Seri Anwar itu memberi gambaran sebagai berat sebelah. Sepatutnya Mahkamah Rayuan tidak terus menolak kertas prosiding ini terlebih dulu tanpa memberi peluang kepada pihak perayu mengemukakan semula kertas prosiding ini dalam Bahasa Melayu.

Ketidakadilan keputusan yang disuarakan oleh Sankara itu disokong oleh Karpal Singh yang juga rakan pembantu beliau dalam kes tersebut. Karpal Singh turut menyarankan kerajaan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara. Walaupun Akta Bahasa Kebangsaan mengkehendaki penyerahan dokumen mahkamah dilakukan dalam Bahasa Melayu tetapi keperluan itu tidak perlu dibuat hingga menjejaskan proses keadilan kerana menolak kes tersebut atas sebab-sebab teknikal yang hanya membabitkan penggunaan Bahasa Inggeris saja. Menurut Karpal lagi, matlamat sesuatu perbicaraan itu perlulah bertujuan untuk memastikan keadilan itu tercapai bukannya memberi penekanan yang lebih berat atas sebab-sebab teknikal[5].

Sebelum ini Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sering digunakan di mahkamah tanpa menimbulkan sebarang masalah. Namun sejak tahun 2002, beberapa pindaan telah dibuat keatas kaedah-kaedah mahkamah dimana jika terdapat kesilapan-kesilapan teknikal dan prosedur yang tidak mendatangkan mudarat atau menjejaskan mana-mana pihak, mahkamah tidak perlu menolak kes-kes yang terbabit. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia, Edmund Bon Tai Soon, walaupun menjadi kesalahan memfailkan dokumen-dokumen dalam Bahasa Inggeris di mahkamah-mahkamah di Semenanjung, tetapi mahkamah perlu juga mengambil kira tentang maksud pindaan peraturan tersebut yang tidak memerlukan kes itu ditolak semata-mata kerana kesilapan teknikal[6].

Setiausaha Majlis Jaksa Pendamai Sabah, Datuk Lawrence Thien, pula berkata kedudukan negeri Sabah dan Sarawak berbeza dengan di Semenanjung kerana kedua-dua negeri ini tidak memerlukan dokumen mahkamah difailkan dalam Bahasa Kebangsaan. Di Sabah dan Sarawak dokumen-dokemen mahkamah masih perlu difailkan dalam Bahasa Inggeris dan dokumen terjemahan dalam Bahasa Melayu pula boleh disertakan sebagai dokumen tambahan seperti

Page 3: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

mana yang dikehendaki dalam kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Oleh itu keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Anwar itu tidak memberi apa-apa kesan terhadap kes-kes dari Sabah dan Sarawak. Dibawah Kaedah 102, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan tentang keengganan mematuhi mana-mana kaedah mahkamah (termasuk Kaedah 101 yang memerlukan dokumen mahkamah dibuat dalam Bahasa Kebangsaan) seharusnya tidak mengakibatkan prosiding mahkamah menjadi tidak sah. Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar itu dilihat sebagai contoh keputusan yang mendatangkan kesulitan dan ketidakadilan akibat tafsiran yang terlalu sempit dalam mematuhi kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh mahkamah itu[7].

Walau bagaimanapun masih terdapat kelonggaran tertentu yang boleh membenarkan mahkamah memberi laluan penggunaan Bahasa Inggeris ini. Kelonggaran inilah yang menyumbangkan ketidakseragaman dalam perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu sekali gus membawa keputusan yang bercanggah seperti mana yang diputuskan dalam kes Datuk Seri Anwar berbanding dengan kes Big Scope ini. Percanggahan seperti ini dilihat boleh menjejaskan keadilan bagi pihak-pihak yang terbabit. Ini juga mendorong ramai pihak menyalahkan pihak kehakiman kerana dikatakan tidak menggunakan budi bicara mereka dengan tegas untuk memastikan penggunaan Bahasa Melayu itu diutamakan.

Disamping itu mereka masih juga dipersalahkan jika tidak memberi kelonggaran penggunaan dalam Bahasa Inggeris untuk memastikan keadilan kepada semua pihak tidak dinafikan.

Ada juga yang menyalahkan pihak peguam kerana lebih gemar atau sengaja memilih Bahasa Inggeris atas sebab kelonggaran yang dibenarkan itu atau atas motif tertentu. Peguam-peguam ini sebenarnya mampu menguasai dan menggunakan Bahasa Melayu dengan baik walaupun tidak sebaik penggunaan dalam Bahasa Inggeris. Ada juga yang menyalahkan kerajaan kerana terlalu lembab dalam menyeragamkan peraturan berkaitan penggunaan Bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya dalam semua peringkat mahkamah sedangkan tempoh peralihan perlaksanaan ke Bahasa Melayu selepas sepuluh tahun dari hari merdeka sudah lama berlalu.

Tidak kurang juga ada yang menyalahkan sistem pendidikan undang-undang itu sendiri termasuk ahli-ahli akademik yang nampaknya lebih gemar menyediakan bahan-bahan rujukan perundangan dalam Bahasa Inggeris dengan harapan mendapat pasaran yang lebih meluas. Setiap pihak yang terlibat dalam memartabatkan Bahasa Melayu ini masing-masing mempunyai alasan tersendiri hingga menyebabkan perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu secara menyeluruh dan teratur menjadi lembab.

Persoalannya sekarang, ketahap manakah penggunaan Bahasa Melayu itu hendak dicapai dan bagaimanakah kejayaan penggunaan Bahasa Melayu disektor perundangan ini boleh diukur jika penggunaan bahasa ini masih belum dapat diseragamkan disemua peringkat, sama ada diperingkat awam mahu pun diperingkat akademik. Dibahagian manakah penggunaan Bahasa Melayu itu harus diutamakan, adakah penggunaannya hanya tertumpu ketika menjalankan prosiding mahkamah atau lebih mengutamakannya dalam pendokumentasian perundangan? Persoalan yang tidak kurang pentingnya adalah tentang sumber perundangan manakah yang

Page 4: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

perlu diperluas dan dipertingkatkan dalam Bahasa Melayu supaya ianya dapat memenuhi permintaan pengamal undang-undang yang kini masih lagi menghadapi kesulitan dan kesukaran bagi mendapat kepelbagian sumber rujukan perundangan dalam Bahasa Melayu?

Walau bagaimanapun kejayaan perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu itu boleh diukur dan dinilai keberkesanannya melalui penggunaannya dalam dua bahagian undang-undang yang dinamakan undang-undang bertulis (written law) dan undang-undang tidak bertulis (unwritten law). Apa yang dimaksudkan dengan undang-undang bertulis itu adalah undang-undang yang digubal oleh badan pembuat undang-undang seperti dewan perundangan termasuk pihak eksekutif. Undang-undang yang digubal itu pula kemudiannya akan diwartakan sebelum dikuatkuasakan seperti akta-akta dan perundangan subsidiari. Manakala undang-undang tidak bertulis (unwritten law) pula adalah undang-undang yang dibuat oleh hakim melalui penghakiman mereka yang lazimnya akan dilaporkan dalam laporan undang-undang (law reports[8]). Undang-undang tidak bertulis ini juga dikenali sebagai undang-undang kes.

Masalah penggunaan dwi-bahasa perundangan

Masih terdapat dokumen-dokumen perundangan utama Malaysia yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai naskah sahih, misalnya naskah sahih Perlembagaan Persekutuan itu adalah Bahasa Inggeris. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67[9] pula menyebut bahawa bermula dari 1 September 1967 naskah Bahasa Inggeris bagi undang-undang yang baru digubal tidak lagi dijadikan sebagai naskah sahih sebaliknya digantikan dengan naskah Bahasa Melayu sebagai naskah sahih, namun penggunaan kedua-dua bahasa ini masih diwajibkan dalam semua pengwartaan rang undang-undang, akta, enakmen dan perundangan subsidiari.

Walaupun telah disebut bahawa naskah Bahasa Kebangsaan itu akan dijadikan teks sahih bermula 1 September 1967, namun masih banyak lagi akta-akta yang digubal sebelum 1 September 1967 yang masih kekal dalam naskah asal berbahasa Inggeris dan menunggu giliran untuk diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu sebagai naskah sahih yang baru, selagi akta-akta ini tidak diterjemahkan, selagi itulah naskah Inggeris itu akan terus dijadikan sebagai naskah sahih.

Ini bererti bahawa Bahasa Inggeris masih perlu digunakan di mahkamah terutama apabila kes-kes yang melibatkan akta-akta yang naskah sahihnya berbahasa Inggeris itu dibangkitkan di mahkamah. Begitu juga dengan perundangan subsidiari, jika ianya diperbuat dan dikeluarkan dibawah Akta, Ordinan dan Enakman yang dikanunkan sebelum 1 September 1967, teks Bahasa Inggeris perundangan subsidiari ini masih kekal dijadikan sebagai naskah sahih seperti mana yang disebut dalam Pemberitahu Undang-Undang, P.U. 32/1968.

Notis awal mengenai penggunaan Bahasa Melayu yang bakal dilaksanakan dalam mahkamah di negara ini sudah mula disebut didalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuaan 1957, dalam peruntukan sementara Fasal (4) dan (5)[10] dimana Bahasa Inggeris masih lagi dibenarkan penggunaannya buat sementara waktu selama sepuluh tahun dari tarikh hari merdeka 31 Ogos 1957 dikedua-dua peringkat mahkamah tinggi dan mahkamah rendah.

Page 5: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

Seksyen 8, Akta Bahasa Kebangsaan 1967[11] akhirnya diperkenalkan dengan tujuan untuk menggantikan peruntukan sementara Fasal (4) dan (5) ini, namun peruntukan ini masih memberi kelonggaran kepada penggunaan Bahasa Inggeris di mahkamah. Mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan salah satu Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris digunakan bagi keseluruhan prosiding, pilihan yang diberi itu nampaknya ia tidak memihak kepada Bahasa Melayu dan sekali gus langsung tidak membantu usaha-usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah. kecuali dalam kes terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim dimana Mahkamah Rayuan menunjukkan ketegasan penggunaan Bahasa Melayu dengan menganggap kes tersebut sebagai cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah kerana menggunakan Bahasa Inggeris.

Pelaksanaan penggunaan Bahasa Melayu ini sebenarnya telah lama diperbetulkan melalui Akta A765 Akta Bahasa Kebangsaan (Pindaan) 1990 yang berkuatkuasa pada 1 Jun 1990 bertujuan untuk memantapkan lagi penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah. Peruntukan yang dipinda kini cuma membenarkan Bahasa Inggeris digunakan dalam keadaan tertentu saja, namun peruntukkan ini masih juga tidak menghalang penggunaan Bahasa Inggeris sama sekali dalam mahkamah di negara ini terutama diperingkat mahkamah tinggi keatas.

Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu

Bagi mengisi kekurangan sumber perundangan dalam Bahasa Melayu ini, usaha-usaha mengenal pasti kelompongan sumber perundangan dalam Bahasa Melayu perlu dipertingkatkan mengikut kepentingan dan keperluan amalan perundangan di negara ini. Dua jabatan utama kerajaan iaitu Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman telah diberi tanggungjawab untuk memperkasa dan melestarikan Bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman ini. Penglibatan kedua-dua jabatan ini sebenarnya dapat membantu perlaksanaan penggunaan Bahasa Melayu dengan lebih berkesan disamping dapat mempercepatkan lagi kekayaan sumber undang-undang bertulis dan undang-undang tidak bertulis dalam Bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan dan permintaan pengamal undang-undang di negara ini.

Satu unit khas yang dipanggil "Unit Penterjemahan" telah ditubuhkan pada 1 April 1964 oleh Jabatan Peguam Negara. Pada mulanya Unit ini diberi tanggungjawab untuk menterjemahkan borang-borang berkanun, semua perundangan utama dan perundangan subsidiari yang digubal selepas Akta Bahasa Kebangsaan ini diluluskan pada tahun 1963 dan sekali lagi disemak dan diluluskan selepas tempuh penangguhan penggunaan Bahasa Kebangsaan itu tamat dan dikuatkuasakan pada 1 September 1967 untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Disamping itu, Unit ini juga menterjemahkan undang-undang yang sedia ada, perjanjian antarabangsa dan lain-lain dokumen perundangan yang dianggap perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Pada tahun 1979 Unit Penterjemahan ini ditukarkan namanya dengan nama Seksyen Bahasa Kebangsaan, Bahagian Gubalan. Fokus utama Seksyen ini ialah untuk merealisasikan peruntukkan Seksyen 6 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67[12] yang mengkehendaki semua rang undang-undang dan perundangan subsidiari digubal dengan menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dilakukan secara serentak.

Page 6: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

Sekysen Bahasa Kebangsaan kemudiannya dipecahkan kepada dua Unit iaitu Unit A dan Unit B bagi mengasingkan tugas antara mengubal dan menterjemah undang-undang. Unit A menumpukan usaha-usaha dalam menggubal rang undang-undang dan perundangan subsidiari yang baru dibuat selepas 1 September 1967 dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu secara serentak, manakala Unit B pula menumpukan usaha-usaha dalam menterjemahkan semua akta-akta lama yang digubal dalam Bahasa Inggeris sebelum 1 September 1967 ke dalam Bahasa Melayu.

Bagi tujuan mencari maksud yang tepat dalam sesuatu istilah perundangan itu, satu jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Istilah telah ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 5 Disember 1965 yang disertai oleh ahli-ahli akademik, ahli-ahli bahasa dan peguam-peguam, termasuk dari Jabatan Peguam Negara. Senarai istilah undang-undang pertama hasil dari usaha jawatankuasa ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1970.

Jawatankuasa ini telah dinaikkan taraf menjadi Jawatankuasa Istilah Undang-Undang Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia (JKTBM). Edisi semakan istilah undang-undang telah dihasilkan dari Jawatankuasa ini dan diterbitkan pada tahun 1985. Selain dari Jawatankuasa ini, satu lagi jawatankuasa istilah ditubuhkan dibawah Bahagian Gubalan Jabatan Peguam Negara pada 3 September 1981 yang dinamakan Jawatankuasa Istilah Seksyen Bahasa Kebangsaan (JKISBK). Fungsi utama JKISBK ialah untuk memutakmatkan istilah-istilah yang diragui ketepatan maksudnya untuk penggunaan dalam teks perundangan.

Jabatan kehakiman juga mempunyai peranan yang hampir sama seperti Jabatan Peguam Negara dalam memastikan perlaksaan penggunaan Bahasa Melayu berjalan lancar dalam bidang kehakiman. Penggunan Bahasa Melayu dalam mahkamah secara lisan merangkumi penggunaannya dalam prosiding mahkamah (proceedings), pertuduhan (charge), sebutan (mention), keterangan saksi-saksi, hujah-hujah dan alasan keputusan secara lisan. Manakala penggunaannya secara tulisan pula meliputi surat-menyurat, notis-notis amalan, pekeliling kehakiman, penyata-penyata rayuan (records of appeal), pengistiharan persidangan dan penghakiman bertulis (written judgments) yang juga dikenali sebagai undang-undang tidak bertulis atau undang-undang kes.

Sejak berakhirnya tempoh peralihan penggunaan Bahasa Inggeris selepas sepuluh tahun dari tarikh merdeka bermula pada 1 September 1967 itu, surat pekeliling pertama[13] mengenai arahan penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah mula diedarkan kepada semua Presiden Mahkamah Sesyen (kini dinamakan Hakim Mahkamah Sesyen) dan Majistret telah dikeluarkan pada 20 November 1969. Arahan penggunaan Bahasa Melayu ini kemudian diperluaskan lagi kepada semua peringkat mahkamah pada 21 September 1981[14] mengarahkan seluruh urusan mahkamah dan surat menyurat dari Jabatan Kehakiman hendaklah menggunakan Bahasa Melayu.

Hasil perlaksaan penggunaan Bahasa Melayu didalam mahkamah dapat dinilai melalui banyaknya penghakiman yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Biro Terjemahan Mahkamah Agong telah ditubuhkan dalam bulan Ogos 1984 untuk menterjemahkan sebeberapa banyak alasan penghakiman Mahkamah Agong sebagai menandakan bermulanya era penggunaan Bahasa Melayu dalam undang-undang tidak bertulis. Penghakiman Bahasa Melayu turut

Page 7: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

dilaporkan secara dwi-bahasa didalam siri-siri utama laporan undang-undang Malayan Law Journal (MLJ) dan Current Law Journal (CLJ).

Biro ini kemudiannya telah ditukar nama kepada nama baru iaitu Bahagian Penyelidikan dan Sekretariat Bahasa Melayu Mahkamah Agong (BPSBMA) sejajar dengan peranannya yang lebih agresif dan menyeluruh. Beberapa nota-nota amalan[15] dan Pekeliling Hakim Besar[16] telah menyusul mengarahkan mahkamah menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah termasuk memberi "alasan penghakiman" dalam Bahasa Melayu.

Satu lagi lagi jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Malaysia di Mahkamah (JPPBMM) telah ditubuhkan pada 15 Mac 1988 bertujuan untuk membuat perancangan bersepadu dan bersistematik supaya penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Usaha sama diantara Dewan Bahasa dan Pustaka, Bahagian Penyelidikan dan Sekretariat Bahasa Melayu Mahkamah Agong (BPSBMA) dan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia telah berjaya menerbitkan sebuah jurnal undang-undang pertama dalam Bahasa Melayu pada 4 Disember 1989 yang dipanggil Jurnal Kanun yang turut melaporkan penghakiman Mahkamah Agong yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Berbagai lagi usaha telah dijalankan oleh Bahagian Penyelidikan dan Sekretariat Bahasa Melayu Mahkamah Agong bagi memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu termasuk mengadakan kelas Bahasa Melayu serta memperkenalkan dan memperbaiki lagi istilah-istilah Bahasa Melayu yang lazim digunakan di mahkamah.

Kelebihan penggunaan dwi-bahasa perundangan

Amalan penggunaan dwi-bahasa dalam teks undang-undang negara sebenarnya memberi kelebihan kepada negara ini berbanding dengan beberapa negara jiran lain seperti Thailand dan Indonesia yang baru saja mula menterjemahkan undang-undang mereka kedalam Bahasa Inggeris terutama undang-undang yang berkaitan dengan perdagangan. Mereka menyedari bahawa undang-undang negara mereka bukan saja dirujuk untuk kegunaan dalam negeri tetapi juga oleh pelabur-pelabur asing yang ingin mengetahui kedudukan undang-undang negara mereka sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pelaburan atau perdagangan mereka.

Jika Malaysia mengubah dasar dwi-bahasa perundangan seperti mana yang diamalkan sekarang dengan memansuhkan penggunaan Bahasa Inggeris, itu bermakna Malaysia memberi laluan kepada negara-negara jiran mendahului negara ini dalam penguasaan Bahasa Inggeris dalam bidang perundangan ini. Walaupun satu ketika dulu mereka hanya menggunakan Bahasa Kebangsaan mereka sebagai bahasa perundangan tetapi kini mereka juga mula menterjemah teks undang-undang mereka ke dalam Bahasa Inggeris supaya undang-undang mereka menjadi lebih tulus dan mudah difahami oleh masyarakat antarabangsa.

Tambahan pula dengan adanya Piagam ASEAN yang menyediakan rangka perundangan baru bagi negara-negara anggota ASEAN, Bahasa Inggeris telah dijadikan sebagai "bahasa kerja" (working language) seperti mana yang termaktub dalam Perkara 34, Piagam ASEAN[17]. Pemilihan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perundangan ASEAN ini akan menjurus kepada penyeragaman bahasa undang-undang dalam bidang tertentu dikalangan negara-negara anggota bagi memenuhi aspirasi ASEAN yang ingin dilihat sebagai sebuah entiti serantau yang

Page 8: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

mempunyai personaliti perundangannya sendiri. Sudah tentu negara-negara seperti Malaysia, Singapura dan Filipina dilihat mempunyai kelebihan dari segi penguasaan Bahasa Inggeris ini kerana penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perundangan sudah tidak asing lagi di negara-negara berkenaan.

Kesimpulan

Penggunaan kedua-dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam bidang perundangan dan kehakiman ini perlu dilihat sebagai pelengkap antara satu dengan yang lain. Penggunaan Bahasa Inggeris itu pula tidak pernah bermaksud untuk menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa perundangan di negara ini sememangnya tidak pernah dicabar oleh mana-mana undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan mahu pun Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 itu sendiri. Malahan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 sendiri tidak melarang penggunaan Bahasa Inggeris oleh badan-badan pembuat undang-undang di negara ini, sama ada Parlimen atau mahkamah menggunakannya walaupun penggunaannya itu perlu dilakukan secara bersyarat.

Walau bagaimanapun, untuk memantapkan lagi penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman ini, kita perlu meningkatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman supaya semua sumber perundangan dalam Bahasa Melayu sama ada sumber perundangan utama, sumber perundangan sekunder, perundangan utama, perundangan subsidiari dan juga pengunaannya dalam undang-undang bertulis dan undang-undang tidak bertulis dapat diperkaya dan dilestarikan lagi.

Sesungguhnya usaha-usaha untuk memartabat dan melestarikan penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman ini perlu diteruskan sepanjang masa kerana ruang untuk memperbaikinya sentiasa terbuka. Disamping itu kita juga perlu menerima hakikat bahawa Bahasa Inggeris masih perlu digunakan dalam sistem perundangan kita tetapi tidaklah sampai boleh menjejaskan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa perundangan yang terunggul di negara ini.

Rujukan

Pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dalam bidang perundangan, oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara, Bab 1, Bahasa dan Undang-Undang. Nik Safiah dan Faiza Tamby Chik, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka, 1994 ms 3 hingga 11.

Bahasa Melayu dalam bidang undang-undang: Perspektif penggunaannya di mahkamah, oleh Faiza Tamby Chik, Hakim Mahkamah Tinggi, Seremban, Bab 2, Bahasa dan Undang-Undang. Nik Safiah dan Faiza Tamby Chik, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pusataka, 1994 ms 43 hingga 64.

Peranan Bahagian Penyelidikan dan Sekretariat Bahasa Mahkamah Agung dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang kehakiman, oleh Wan Adnan Muhamad, Pengarah, Biro Bantuan Guaman, Bab 7, Bahasa dan Undang-Undang. Nik Safiah dan Faiza Tamby Chik, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka, 1994 ms 125 hingga 147.

Page 9: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

Kes Big Skop Buktikan Mahkamah Rayuan Berat Sebelah- (Harakahdaily - 22-12-2009)

http://harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23815:kes-big-skop-buktikan-mahkamah-rayuan-berat-sebelah&catid=1:utama&Itemid=50

English should not render proceedings void - (The Sun- 15-12-2009)

http://www.malaysianbar.org.my/legal/general_news/english_should_not_render_proceedings_void.html

Court documents must be in English in Sabah and Sarawak (The Star -11-12-2009)

http://thestaronline.com/news/story.asp?file=/2009/12/11/nation/20091211211209&sec=nation

Karpal wants English as country's second language - (Malaysia Insider - 10-12-2009)

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/46093-karpal-wants-english-as-countrys-second-language-nd-language-

Isu penggunaan bahasa: Mahkamah Rayuan tolak kes Anwar(9-12-2009 - Free Malaysia Today)

http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=1104

Tidak perlu bahasa rasmi kedua (Utusan - 12-12-2009)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1212&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

80 Peratus Peguam Guna Bahasa Melayu Di Mahkamah (Bernama - 5-07-2009)

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=422745

Bahasa Melayu Dalam Mahkamah (Utusan - 7-12-2008)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1207&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

Kotakan Janji Bahasa Melayu di Mahkamah (Utusan - 9-12-2008)

http://panduan.org/content/kotakan-janji-bahasa-melayu-di-mahkamah

Lucut keistimewaan peguam tidak fasih Bahasa Melayu (Utusan - 10-12-2008)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1210&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm&arc=hive

Page 10: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

Memartabat Bahasa Melayu Di Mahkamah Oleh Zainul Rijal Abu Bakar (Berita Harian - 17-12-2008)

http://peguamsyarie.org/?p=370

Guna sepenuhnya BM di mahkamah (Utusan - 17-12-2008)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1217&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_11.htm&arc=hive

DBP perlu kuasa - Ambil tindakan undang-undang pihak perlekeh Bahasa Melayu - Oleh Zabry Mohamad (Mingguan Malaysia - 5-3-2006)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0305&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm&arc=hive

[1] "80 Peratus Peguam Guna Bahasa Melayu Di Mahkamah" (Bernama - 5-07-2009) http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=422745

[2] "Bahasa Melayu Dalam Mahkamah" (Utusan - 7-12-2008) http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1207&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

[3] "Isu penggunaan bahasa: Mahkamah Rayuan tolak kes Anwar" (9-12-2009 - Free Malaysia Today) http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=1104

[4] "Kes Big Skop Buktikan Mahkamah Rayuan Berat Sebelah"- (Harakahdaily - 22-12-2009) http://harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23815:kes-big-skop-buktikan-mahkamah-rayuan-berat-sebelah&catid=1:utama&Itemid=50

[5] "Karpal wants English as country's second language" - (Malaysia Insider - 10-12-2009) http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/46093-karpal-wants-english-as-countrys-second-language-nd-language-

[6] "English should not render proceedings void" - (The Sun - 15-12-2009) http://www.malaysianbar.org.my/legal/general_news/english_should_not_render_proceedings_void.html

[7] "Court documents must be in English in Sabah and Sarawak" (The Star - 11-12-2009) http://thestaronline.com/news/story.asp?file=/2009/12/11/nation/20091211211209&sec=nation

[8] Contoh laporan Undang-Undang seperti Malayan Law Journal (MLJ), Current Law Journal (CLJ) dan All Malaysia Reports (AMR).

Page 11: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

[9] Teks penuh Akta ini boleh didapati disini: http://www.agc.gov.my/agc/oth/Akta/Vol.%201/Akta%2032.pdf

[10]"Fasal (4) dan (5), Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan (4) Walau apapun Peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan dalam Mahkamah Agung atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam Bahasa Inggeris: Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak payah diterjemah atau direkodkan dalam Bahasa Inggeris.(5) Walau apapun peruntukkan Fasal (1), sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan dalam Mahkamah Rendah, lain daripada mengambil keterangan, hendaklah dijalankan dalam Bahasa Inggeris".

[11] "Bahasa Mahkamah 8. Segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan. Dengan syarat bahawa Mahkamah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau permintaan mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding dan selepas menimbangkan kepentingan keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dijalankan dalam Bahasa Inggeris."

[12] "Teks sahih undang-undang 6. Teks - (a) bagi segala Rang Undang-Undang yang akan dikemukakan atau pindaan kepadanya yang akan dicadangkan dalam Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri; (b) bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan; (c) bagi segala Enakmen dan perundangan subsidiary yang dikeluarkan oleh mana-mana Kerajaan Negeri; dan (d) bagi segala Ordinan yang diistiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, hendaklah dalam Bahasa Kebangsaan dan dalam Bahasa Inggeris, dan teks dalam Bahasa Kebangsaan itu adalah sahih melainkan jika Yang diPertuan Agong menetapkan sebaliknya sama ada secara am atau bagi mana-mana undang-undang yang tertentu."

[13] Surat Pekeliling No. 7, Tahun 1969 (20 November 169).

[14] Pekeliling Pendaftar (U) Bil. 12 & 13 tahun 1981

[15] 9. (i) Nota Amalan (Penyelarasan Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 1 Tahun 1988, bertarikh 11 Oktober 1988. (ii) Nota Amalan (Penyelarasan Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 2 Tahun 1988, bertarikh 1 November 1988. (iii) Nota Amalan (Penyelarasan Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 3 Tahun 1988, bertarikh 3 Disember 1988. (iv) Nota Amalan (Penyelarasan Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 1 Tahun 1989, bertarikh 28 Januari 1989. (v) Nota Amalan (Penyelarasan Penggunaan Bahasa Malaysia) No. 2 Tahun 1989, bertarikh 4 April 1989.

[16] (i) Pekeliling Hakim Besar Malaya No. 2/1990 bertarikh 10 Mei 1990 bertajuk "Perlaksanaan Pengunaan Bahasa Malaysia di Mahkamah". (ii) Arahan Amalan No. 2 Tahun 1990 bertarikh 31 Mei 1990 bertajuk "Prosiding Mendesak dan Prosiding Belum Selesai". (iii) Pekeliling Hakim

Page 12: Melestarikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Undang-Undang di Malaysia

Besar Malaya No. 3 Tahun 1990 bertarikh 25 Jun 1990 bertajuk "Alasan Penghakiman dalam Bahasa Malaysia".

[17] Teks penuh Piagam ASEAN boleh didapati disini; http://www.aseansec.org/ASEAN-Charter.pdf

Sumber CLJ Online: http://www.cljlaw.com/membersentry/articlesdisplayformat.asp?A_2010_1_LNS_iv;2010