Upload
duongquynh
View
298
Download
2
Embed Size (px)
Citation preview
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
321 | MEDC 2018
METODOLOGI BERFIKIR DALAM PEMBELAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN
(PDPC) KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)
*SHAMILATI CHE SEMAN, 1WAN MAZWATI WAN YUSOFF & 2RAHIMAH EMBONG
1Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 2Universiti Sultan Zainal Abidin *[email protected]
Abstrak: Keunikan manusia terletak pada keinginan mereka untuk mengetahui sesuatu. Sifat inkuiri ini
menjadikan manusia sebagai makhluk Allah swt yang istimewa. Bahkan, manusia mempunyai keupayaan
intelek yang membolehkan kita berfikir untuk membuat sebarang tindakan. Walau bagaimanapun,
keupayaan intelek perlu dipupuk untuk meningkatkan kualiti berfikir seseorang. Oleh itu, kajian ini
dijalankan secara kualitatif untuk meneroka amalan berfikir guru dalam pembelajaran dan pemudahcaraan
(PdPc) Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di bilik darjah. Data dikumpulkan melalui temu bual dan
pemerhatian separa berstruktur terhadap sembilan informan yang mendapat pendedahan awal tentang
penggunaan alat berfikir dalam PdPc di bilik darjah di sekolah Showcase Program i-THINK Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM). Data yang dianalisis secara tematik bertema mendapati metodologi berfikir
guru dalam PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah boleh diklasifikasikan kepada tiga bahagian, iaitu
prinsip berfikir (Bahasa Pemikiran dan Tingkah laku Berfikir); kaedah berfikir (Tabiat Berfikir, Semangat
Insani dan Gaya Berfikir); dan alat berfikir. Metodologi berfikir ini adalah keupayaan kendiri yang tidak
mampu dilaksanakan oleh semua orang kerana proses ini menuntut usaha yang bukan sedikit. Bahkan,
metodologi berfikir ini merupakan suatu mekanisme pemangkin dalam PdPc KBAT. Justeru, seseorang
guru itu perlu berfikir di luar konteks kebiasaan, melihat sesuatu dari pelbagai sudut pandangan yang
berbeza dan bersedia menghadapi pelbagai bentuk kemungkinan yang menyusul.
Kata kunci: Metodologi Berfikir, Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT), Bilik Darjah Berfikrah.
PENDAHULUAN
Manusia dikurniakan minda untuk berfikir. Daripada proses berfikir, datangnya maklumat dan
ilmu. Berfikir juga menjadikan kita tahu tentang sesuatu perkara dan menyebabkan kita
berpengalaman. Kebanyakan daripada kita mempunyai minda yang amat bagus, tetapi tidak
mampu untuk menggunakannya dengan sebaik-baiknya. Hal ini disebabkan salah anggapan
kebanyakan daripada kita yang menyangka bahawa semakin bertambah kerap dan banyak
minda digunakan untuk berfikir, semakin bertambah lesu dan penat minda, semakin susah untuk
berfikir. Sebenarnya, semakin bertambah kerap minda digunakan untuk berfikir, semakin
bertambah efisien minda berfungsi.
Ahli psikologi mendapati, pembentukan cara berfikir yang betul dan positif mampu untuk
mengatasi masalah dan berupaya mengenal pasti kelebihan dan kekurangan pada diri. Cara
berfikir yang betul pastinya membawa perubahan yang besar dalam diri. Namun, usaha untuk
membentuk pemikiran khususnya ke arah KBAT pastinya bukan tugas yang mudah. Hal ini
kerana definisi KBAT mempunyai masalah dalam mengoperasi di dalam bilik darjah, bahkan
kesukaran untuk menentukan dengan pasti sejauh mana seseorang itu terlibat dalam pemikiran
aras tinggi. Guru yang berinteraksi dengan beberapa murid sekali gus tidak mempunyai banyak
peluang untuk mendiagnosis secara terperinci keadaan intelektual murid secara individu.
Justeru, mereka membuat andaian terlebih dahulu mengenai tahap pengetahuan sedia ada
Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2018
Penyunting: Rahimah Embong, Hanif Md Lateh @ Junid, Mustafa Che Omar, Mohamad Zaidin Mohamad & Abdul Hakim Abdullah
eISBN 978-967-2231-03-5 (2018), http: //www.unisza.edu.my/medc2018
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
322 | MEDC 2018
sekumpulan murid dan jenis aktiviti berfikir yang berfungsi sebagai rangsangan terhadap tugas-
tugas tertentu dalam pembelajaran mereka. Oleh itu, cara terbaik guru lakukan dengan
membimbing murid-murid memanipulasikan maklumat untuk menyelesaikan masalah yang
mencabar pemikiran dan menggalakkan serta menyokong usaha murid dalam berfikir.
Oleh itu, guru perlu mendefinisi secara operasi kemahiran berfikir yang diaplikasikan di
dalam bilik darjah dalam konteks yang lebih luas. Hal ini disebabkan kesukaran untuk mengenal
pasti secara khusus kemahiran berfikir yang diajar/dipelajari di dalam bilik darjah dan
kemahiran tersebut tidak sering mewakili kategori tersendiri. Bahkan, aktiviti atau kemahiran
yang diajar adalah lebih daripada satu kategori. Ditambah pula dengan cabaran yang dihadapi
dalam usaha untuk mengajar kemahiran berfikir.
Walau bagaimanapun, guru tidak perlu terlalu bimbang tentang istilah kemahiran atau
kategori berfikir yang digunakan, sebaliknya menumpukan perhatian kepada apa dan bagaimana
untuk menggalakkan percambahan pemikiran murid. Oleh itu, bagi mengajar KBAT di bilik
darjah, guru perlu mengetahui teori yang menyokong pembangunan pemikiran, pedagogi dan
alat-alat berfikir serta menggunakannya dengan cara yang paling efektif. Namun, masih tiada
satu strategi terbaik atau template untuk digunakan oleh guru dalam PdPc kerana gabungan
pelbagai aspek tersebut dengan baik boleh membawa hasil KBAT yang berkualiti. Lantaran itu,
guru perlu kreatif dalam memilih pedagogi atau alat berfikir yang sesuai untuk PdPc KBAT di
bilik darjah masing-masing.
PENYATAAN MASALAH
KBAT diaplikasikan dalam kurikulum, pentaksiran, aktiviti kokurikulum serta teknologi
komunikasi dan maklumat dalam PdPc. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan
pemangkin kepada transformasi proses PdPc di bilik darjah dalam usaha untuk memastikan
perubahan paradigma daripada berpusatkan peperiksaan kepada berorientasikan keberhasilan
holistik murid berdasarkan enam aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2015. Jelas bahawa kompetensi guru dalam mengaplikasikan KBAT dalam
PdPc abad ke-21 adalah penting dalam menyediakan murid untuk masa hadapan (Hayati Ismail,
2017).
Sehubungan itu, sokongan guru sangatlah diperlukan untuk kejayaan semua inisiatif
baharu di sekolah, khususnya, PdPc KBAT abad ke-21. Ini juga termasuk menyediakan
pelbagai jenis sumber bahan untuk guru. Guru-guru telah sedia dibebankan dengan banyak
tanggungjawab. Di samping mengajar kelas yang besar, menyediakan murid-murid bagi
menghadapi peperiksaan merupakan antara cabaran terbesar untuk sebarang inisiatif baharu
mencapai kejayaan di bilik darjah dan sekolah. Pada masa ini, kita kekurangan sumber bahan
panduan untuk guru dalam PdPc KBAT. Dengan ini, perlunya usaha menyediakan sumber
bahan untuk mengurangkan beban guru dan juga menyokong guru dalam PdPc KBAT menerusi
standard kandungan subjek supaya lebih menarik dan efektif. Di samping itu, tidak terdapat
skim latihan dalam perkhidmatan yang komprehensif dan sistematik untuk PdPc KBAT.
Selain itu, terdapat sedikit sahaja bilangan bahan bacaan dalam bidang pengajaran
berfikir walaupun dalam masa 30 tahun yang lalu berlaku kemajuan besar dalam sains psikologi
berfikir yang banyak menumpu dan menekankan kepada pencapaian sesuatu tugasan tertentu
dan terdapat bilangan bahan bacaan yang lebih kecil dalam psikologi pemikiran kritis,
produktif, pemikiran aras tinggi dan kreatif (Rajendran, 2017).
Dari segi pembelajaran di bilik darjah, khususnya Vygotsky menekankan perhubungan di
antara berfikir dengan organisasi sosial pengajaran dan pembelajaran. Teras kepada pandangan
Vygotsky tentang perkembangan kognitif adalah fahaman yang mengatakan bahawa pelbagai
jenis pemikiran kompleks dan penaakulan mula timbul kerana interaksi dengan orang lain dan
bahan sumber, kemudiannya diserap atau disesuaikan sebagai bentuk pemikiran sendiri. Ini
kerana pemikiran sebenarnya sesuatu yang subjektif. Walau bagaimanapun, pembelajaran
berlaku hasil daripada “perbuatan” dan “pengalaman” dalam menyelesaikan masalah yang
bermakna. Bahkan, pemikiran berkecenderungan untuk membentuk pola tertentu dan
menstrukturkannya.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
323 | MEDC 2018
Sehubungan itu, senario yang paling jelas untuk menganalisis fenomena ini tentulah
melalui penggunaan “ibarat” yang lazim dalam budaya fikir orang Melayu. Diibaratkan
seseorang itu petani, jika tidak pernah ditunjukkan cangkul sebagai alatnya, apalah yang dia
tahu tentang kerja bercucuk tanam. Jika cangkul itu diperkenalkan pun, jika dia tidak diajari
cara menggunakannya, mustahillah dia akan pandai sendiri. Kalau dia pandai pun, tentulah
kebetulan. Cuba kita fikirkan sejenak, berapa orang murid Malaysia yang pandai kerana
kebetulan? Kalau seseorang itu pandai menggunakannya pun, jika tidak dicernakan dan
diamalkan dalam budaya seharian, kemahiran itu akan hilang. Justeru, pentingnya metodologi
berfikir sebagai suatu mekanisme pemangkin dalam pemikiran aras tinggi.
KONSEPTUAL KAJIAN
Kajian ini menggunakan kerangka konseptual berdasarkan Model Pemikiran Guru dan
Tindakan oleh Clark dan Peterson (1984), Myers dan Myers (1995) serta Teori Interaksi
Simbolik (Mead, 1894-1931 dalam Ritzer, 1996). Kerangka konseptual kajian ini mengandungi
dua domain, iaitu proses berfikir guru dan tindakan guru. Terdapat tiga kategori utama dalam
domain proses berfikir guru yang merangkumi perancangan guru (pemikiran pre aktif dan pos
aktif); pemikiran interaktif dan keputusan guru; serta pengetahuan guru. Domain kedua ialah
domain tindakan, iaitu tingkah laku berfikir guru di bilik darjah yang boleh mempengaruhi
murid-murid. Kajian mengandaikan tingkah laku berfikir guru di bilik darjah mempengaruhi
tingkah laku berfikir murid di bilik darjah yang akhirnya mempengaruhi penguasaan murid
dalam berfikir (Dunkin & Biddle, 1974; Doyle, 1978 dalam Clark & Peterson, 1984).
Seterusnya, proses interaksi simbolik melibatkan tiga unsur utama, iaitu pemikiran, diri
dan komuniti sekolah yang saling berkait antara satu sama lain. Interaksi ini memfokuskan
kepada tiga tema utama, iaitu kepentingan tingkah laku dalam berfikir, konsep kendiri dan
hubungan bermakna dalam berinteraksi.
Kesimpulannya, kajian ini mengandungi kerangka konseptual kajian yang
mengkonseptualisasikan tingkah laku intelektual guru dalam mengajar kemahiran berfikir yang
merangkumi dua domain proses berfikir guru; cabaran dan peluang; teori interaksi simbolik;
dan faktor luaran serta atribut PdPc.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan reka bentuk kajian kes eksploratori dan
pendekatan fenomenologi. Kes yang dipilih dalam kajian ini adalah berkaitan sekumpulan guru
yang mengajar untuk berfikir, mengajar cara berfikir dan mengajar tentang berfikir dalam PdPc
KBAT di sekolah rendah. Informan yang dipilih adalah terdiri daripada guru yang mengajar
Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains di sekolah Showcase Program i-THINK Kementerian
Pendidikan Malaysia. Dua instrumen utama yang digunakan ialah temu bual dan pemerhatian
separa berstruktur untuk memperoleh data secara telus dan serta-merta daripada informan. Di
samping itu, dokumen seperti laporan kendiri guru, buku teks dan Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dianalisis untuk menyokong, menambahkan bukti dan
menolong mengesahkan maklumat yang diperoleh daripada temu bual dan pemerhatian.
Seterusnya, data disahkan menggunakan strategi trangulasi.
DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Analisis dapatan kajian menunjukkan metodologi berfikir guru dalam PdPc KBAT di bilik
darjah berfikrah boleh diklasifikasikan kepada tiga bahagian, iaitu prinsip berfikir; kaedah
berfikir; dan alat berfikir.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
324 | MEDC 2018
Prinsip Berfikir
Prinsip berfikir ialah asas yang menjadi pokok dalam sesuatu pemikiran. Asas sesuatu
pemikiran berkait rapat dengan tingkah laku pemikiran seseorang individu tersebut. Tingkah
laku pemikiran adalah cerminan proses berfikir dan tahap pemikiran. Sehubungan itu, prinsip
berfikir dikelaskan kepada dua kumpulan, iaitu bahasa pemikiran dan tingkah laku berfikir.
(a) Bahasa Pemikiran
Bahasa merupakan alat pertukaran kata-kata harian di bilik darjah dan boleh digunakan untuk
meningkatkan perkembangan kognitif ke tahap yang tinggi. Malah, bahasa digunakan sebagai
kerangka penyampai kandungan, tugasan berfikir untuk murid lakukan dan tingkah laku dalam
interaksi linguistik di bilik darjah.
Sehubungan itu, analisis daripada kajian mendapati guru menggunakan bahasa pemikiran
semasa mengajar KBAT di bilik darjah berfikrah, iaitu menggunakan perbendaharaan kata yang
tepat, soalan berfikrah/kritis, menyediakan maklumat bukan penyelesaian, memberi arahan,
membangunkan metakognisi dan menganalisis logik bahasa. Walau bagaimanapun, mereka
tidak mengamalkan bahasa pemikiran bagi menangani spesifikasi.
Didapati semua informan menggunakan perbendaharaan kata yang tepat kerana setiap mata
pelajaran mempunyai istilah kognitif atau terminologi tertentu. Penggunaan istilah kognitif
membolehkan guru mengajar berfikir dan membantu murid belajar berfikir dengan lebih mudah
serta bagaimana untuk melakukan sesuatu kemahiran dan menguasai konsep tertentu yang
tersirat. Oleh itu, amalan penggunaan terminologi dapat meningkatkan perkembangan proses
berfikir murid.
Seterusnya, mengemukakan soalan berfikrah diamalkan oleh semua informan kecuali
seorang guru yang mengajar Matematik. Mereka membuat keputusan tentang tingkah laku
berfikir di bilik darjah yang menggalakkan dan mengukuhkan proses berfikir dengan
mengemukakan soalan yang menyebabkan murid-murid mengkaji tingkah laku berfikir masing-
masing, mempertimbangkan tingkah laku berfikir tersebut dan memilih tindakan yang lebih
sesuai.
Menyediakan maklumat, bukan penyelesaian juga diamalkan oleh semua informan kecuali
seorang guru yang mengajar Bahasa Malaysia. Mereka memberi peluang kepada murid-murid
untuk bertanggungjawab terhadap tingkah laku berfikir masing-masing, iaitu membimbing
murid untuk berfikir dalam memproses maklumat dan bagaimana untuk mengambil tindakan
yang sesuai dan akibatnya. Guru menggalakkan murid untuk bertindak secara berautonomi,
peka kesan tingkah laku berfikir mereka terhadap kawan dan orang lain serta lebih empati
dengan mengesan isyarat lisan dan bukan lisan daripada kawan-kawan dan orang di sekeliling.
Bahkan, mereka juga menggunakan bahasa pemikiran dalam memberi arahan untuk mengajar
makna dalam berfikir.
Amalan menggunakan bahasa pemikiran dalam konteks memberi arahan ini boleh
mengurangkan sikap kebergantungan murid kepada guru dan mengelakkan budaya “spoon
feeding” dalam kalangan murid. Ini kerana dalam memberi arahan, guru tidak menyediakan
begitu banyak maklumat tanpa perlu membuat kesimpulan yang bermakna. Murid perlu
mendapatkan maklumat, menganalisis dan mengenal pasti maklumat dalam proses
melaksanakan tugasan berfikir mereka. Proses pemerolehan maklumat ini adalah melalui
metakognisi.
Selain itu, semua informan yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik
mengamalkan berfikir tentang pemikiran (metakognisi) dalam PdPc KBAT. Mereka berkongsi
rancangan PdPc dan pemikiran dengan murid-murid serta verbalisasi soalan untuk memodelkan
proses metakognitif. Manakala, murid menggambarkan proses berfikir yang digunakan,
membangunkan kelenturan pemikiran dan pelbagai cara menyelesaikan masalah, serta
menerangkan proses metakognisi yang dikongsi daripada kawan-kawan.
Guru mengamalkan suatu tabiat berbahasa yang merangsang pemikiran dengan mengajar
murid menjadi peka terhadap proses berfikir yang terdapat dalam bahasa verbal dan tulisan
dengan menyedari bahasa mereka sendiri dengan memecahkan kod sintaksis, semantik dan
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
325 | MEDC 2018
isyarat retorik yang terdapat dalam bahasa dengan mengintegrasikan kekompleksan bahasa,
pemikiran dan tindakan.
Oleh yang demikian, tabiat menggunakan bahasa pemikiran ini membantu mengupayakan
murid menstrukturkan pemikiran, jenis pemahaman dan menginterpretasikan mengikut persepsi
masing-masing. Persepsi mereka berbeza mengikut cara mereka melihat, memproses dan
mengkonsepsikan maklumat kerana kepelbagaian kecenderungan dan pilihan dalam
pembelajaran dan pemikiran, bertingkah laku serta amalan.
Malah, penyampaian atau arahan guru yang jelas dan mudah difahami oleh murid-murid
menjadikan mereka lebih berminat dan mengikuti PdPc sehingga tamat. Kepelbagaian dalam
gaya penyampaian dan bahasa yang mudah difahami, sesuai, jelas serta tepat menjadikan
pembelajaran berfikir murid-murid bertambah efektif dan komited. Kepelbagaian ini juga
memudahkan mereka menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru,
seterusnya dapat meningkatkan penguasaan pembelajaran murid.
Amalan bahasa pemikiran ini membantu guru mengetahui taraf kebolehan bahasa murid,
penguasaan pengetahuan dan kefahaman dalam mengaplikasikan sesuatu teori atau formula.
Dalam konteks ini, penyampaian dan arahan guru berbeza di antara murid pintar dengan
sederhana dan murid Linus. Bahkan, guru menerangkan secara jelas mengenai sesuatu konsep
abstrak dan konkrit mengikut tahap keupayaan berfikir murid.
Kesimpulannya, bahasa berpunca daripada cara berfikir, kemudian bahasa itu
menggalakkan perkembangan pemikiran. Justeru, peranan interaktif guru adalah penting dalam
pengalaman pembelajaran berfikir sebagai pengantara perkembangan pemikiran kanak-kanak
(Feuerstein, 1980). Malah, bahasa digunakan oleh guru sebagai “kerangka” penyampaian
kandungan, tugasan untuk murid-murid lakukan, dan norma-norma tingkah laku yang boleh
diterima dan tidak boleh diterima dalam interaksi linguistik di bilik darjah (Green & Smith,
1982). Dalam erti kata lain, guru memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan dalam berfikir,
bila untuk melakukannya, dan bagaimana untuk bertingkah laku apabila mereka melakukannya.
Di samping itu, bahasa mewujudkan budaya bilik darjah yang didefinisikan sebagai set
persefahaman penting dikongsi oleh komuniti bilik darjah kerana budaya bilik darjah berfikrah
adalah “nada keteraturan” dan “suasana penerimaan” yang menjadi kunci untuk PdPc berfikir
yang efektif (Parelius, 1980; Purkey & Smith, 1982). Bahkan, budaya berfikir sebenarnya
“hidup dalam bahasa” (Burge, 1977).
(b) Tingkah Laku Berfikir Guru
Gaya berfikir guru membentuk tingkah laku berfikir. Tingkah laku berfikir guru ini
mempengaruhi pencapaian, konsep kendiri, hubungan sosial dan kebolehan berfikir murid.
Bahkan, tingkah laku berfikir guru boleh membangunkan, mengekalkan dan meningkatkan
pemikiran murid terutama di bilik darjah. Kajian ini mendapati guru mengamalkan tiga kategori
tingkah laku berfikir semasa PdPc KBAT untuk mewujudkan bilik darjah berfikrah, iaitu
menyoal untuk mencabar intelek murid, menstrukturkan bilik darjah berfikrah dan bertindak
balas terhadap tingkah laku berfikir.
Sehubungan itu, semua informan menstrukturkan bilik darjah berfikrah dengan mengawal
semua sumber persekitaran bilik darjah seperti masa, ruang, tenaga manusia dan bahan-bahan
serta menstrukturkan murid untuk bertindak balas dan berinteraksi dalam berfikir. Penstrukturan
ini membolehkan guru berkongsi objektif pembelajaran dengan murid, masa digunakan dengan
efisien, guru jelas dengan hala tuju PdPc dan tenaga murid dioptimumkan dalam pembelajaran
bermakna.
Mereka memberi arahan yang jelas dan tepat menggunakan bahasa pemikiran, menyatakan
peraturan asas, menerangkan objektif dan mewujudkan corak bilik darjah berorganisasi untuk
mendapatkan prestasi pemikiran yang terbaik yang dikehendaki daripada murid-murid.
Dalam konteks tindak balas tingkah laku berfikir yang diamalkan guru, terdapat lima pola
tindak balas, iaitu menggunakan masa menunggu, memudahkan pemerolehan maklumat,
menerima tanpa pertimbangan, menjelaskan dan empati. Namun, penggunaan masa menunggu
sahaja yang diamalkan oleh semua informan dalam PdPc dan perbincangan di bilik darjah
berfikrah.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
326 | MEDC 2018
Amalan ini memberi impak kepada PdPc dan murid-murid. Dalam konteks ini, ia
mewujudkan iklim bilik darjah berfikrah; meningkatkan kualiti interaksi di bilik darjah;
meningkatkan keberkesanan aktiviti PdPc; membolehkan pengolahan sumber dan bahan dengan
efisien; serta membuatkan guru-murid bekerja dalam keadaan yang mesra dan sempurna.
Bahkan, amalan tingkah laku berfikir ini juga mewujudkan gaya PdPc KBAT yang
tersendiri dalam melaksanakan peranan guru sebagai pemudah cara di bilik darjah berfikrah.
Dapatan kajian ini menunjukkan guru mengamalkan gaya PdPc berfikir dengan pendekatan
menyoal berasaskan pemikiran (pendekatan dialogikal) dan fakta. Gaya PdPc pendekatan
dialogikal ini amat berguna untuk menggalakkan perbincangan atau dialog di bilik darjah dan
merangsang pemikiran murid ke arah KBAT.
Di bilik darjah berfikrah, guru mengamalkan kepelbagaian kaedah dan teknik penyampaian
untuk menarik perhatian dan minat murid terhadap aktiviti KBAT di samping menggalakkan
mereka berfikir. Dalam konteks ini, kepelbagaian kaedah dan teknik tersebut dikenali sebagai
kemahiran variasi rangsangan, iaitu tingkah laku berfikir guru untuk mewujudkan bilik darjah
berfikrah yang merangkumi kemahiran guru dalam mengubah tingkah laku berfikir,
mempelbagaikan aktiviti pengalihan saluran deria, menukar pola interaksi guru-murid untuk
merangsang pemikiran murid dan mempelbagaikan bantuan yang mengupayakan murid
merasakan mereka boleh melakukan tugas berfikir. Pada waktu yang sama, masa menunggu dan
bahasa pemikiran guru dicerna dan lebur dalam variasi rangsangan ini.
Kemahiran variasi rangsangan ini mengandungi enam komponen, iaitu perubahan
pergerakan tingkah laku, pergerakan anggota, nada suara, fokus deria, bentuk lisan dan fizikal
guru. Rumusan berdasarkan analisis pemerhatian tersebut mendapati PdPc KBAT guru di bilik
darjah berfikrah bersifat holistik, komprehensif dan ideal. Isi kandungan PdPc dibahaskan
dalam pelbagai genre dan menggunakan kapasiti ke tahap maksimum. Dalam konteks ini, guru
bertindak selaku arkitek pembangunan insan yang istiqamah yang dimanifestasikan dengan
jelas, misalnya guru sebagai role-model. Perubahan bentuk lisan guru dalam konteks menyoal-
menjawab di mantap oleh teknik menyoal yang menjadi satu alat untuk merangsang aktiviti
berfikir murid.
Fokus pembelajaran di dalam bilik darjah berfikrah adalah berbeza. Tumpuan tidak lagi
pada pembelajaran dengan menghafal dan mengingat tetapi belajar bagaimana untuk belajar dan
berfikir. Kini, murid-murid menggunakan maklumat yang dipelajari dan menunjukkan
penguasaan mereka terhadap kandungan dalam projek-projek yang diusahakan. Mereka belajar
bagaimana untuk bertanya soalan yang betul dan berfikrah menggunakan bahasa pemikiran,
bagaimana untuk menjalankan inkuiri yang sesuai, bagaimana untuk mencari jawapan/berhujah
dan cara untuk menggunakan maklumat. Penekanan di bilik darjah berfikrah adalah untuk
mewujudkan pembelajaran sepanjang hayat. Dengan terpahatnya matlamat ini dalam pemikiran,
maka mereka bergerak di luar peranan sebagai murid, iaitu belajar melalui pengalaman dunia
sebenar. Oleh itu, bilik darjah berfikrah menyediakan murid-murid ruang dan peluang untuk
menjadi seorang ahli fikir yang proaktif dan produktif.
Sebagaimana pembelajaran murid telah berubah, begitu juga pentaksiran pembelajaran.
Guru mengaplikasikan pelbagai pentaksiran untuk mengenal pasti tahap pembelajaran dan
penguasaan murid. Ujian yang mengukur keupayaan murid untuk menghafal dan mengingat
fakta-fakta tidak lagi menjadi cara untuk menilai pembelajaran murid. Sebaliknya, guru
menggunakan projek murid, persembahan dan pentaksiran autentik untuk menentukan tahap
penguasaan murid-murid dan keperluan pembelajaran mereka.
Dengan ini, tingkah laku berfikir guru di bilik darjah berfikrah memberi impak dalam PdPc
KBAT, iaitu;
(i) Guru adalah pemudah cara yang menggunakan sumber, alat berfikir dan peluang yang
sesuai untuk mewujudkan suasana pembelajaran berfikrah yang mengupayakan setiap
kanak-kanak membina pengetahuan sendiri. Guru bersama-sama dengan murid-muridnya
mengetahui langkah-langkah dalam pembelajaran serta menyediakan tugasan bermakna
yang melibatkan murid-murid secara aktif dalam pembelajaran KBAT mereka.
(ii) Mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, menyokong dan positif untuk
semua murid. Ini membolehkan guru merancang untuk mengelakkan risiko keselamatan,
mewujudkan susun atur bilik darjah yang menggalakkan dan menyokong pembelajaran
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
327 | MEDC 2018
KBAT serta memberi akses kepada semua murid dengan lebih mudah. Guru yang
berkemahiran dalam menguruskan pengalaman pembelajaran yang pelbagai boleh
mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berfikrah untuk semua murid di bilik darjah
berfikrah. Prosedur dan dasar bilik darjah berfikrah adalah satu bahagian penting dalam
mewujudkan persekitaran pembelajaran berfikrah untuk KBAT. Guru menilai dan
melaksanakan teknik-teknik pengurusan bilik darjah yang berkesan dengan cara yang
konsisten, menggunakan rutin harian dan prosedur yang memaksimumkan masa PdPc
KBAT. Murid-murid mengetahui apa yang diharapkan daripada mereka dan guru
mengetahui bagaimana untuk mengendalikan gangguan secara efektif sehingga tiada
kesan negatif semasa PdPc.
(iii) Merancang untuk jangka pendek dan jangka panjang secara efektif.
(iv) Memupuk kerjasama dalam kalangan murid di bilik darjah. Guru menjadi contoh dan
menggalakkan proses berfikir.
(v) Menggalakkan rasa ingin tahu, minat dan motivasi dalaman murid-murid dalam konteks
belajar untuk berfikir, belajar tentang berfikir dan belajar cara berfikir. Guru membantu
menyediakan pengalaman yang membangunkan mereka untuk berdikari, berfikiran kritis,
kreatif, inovatif dan berkemahiran menyelesaikan masalah. Guru memberi masa yang
cukup kepada murid-murid untuk menyelesaikan tugasan berfikir. Murid-murid terlibat
secara aktif dalam pembelajaran kendiri dalam suasana yang menghormati keperluan unik
pembangunan pemikiran mereka dan menggalakkan jangkaan positif serta saling
menghormati.
(vi) Membuat murid merasa dihargai. Guru menekankan usaha kolaboratif secara koperatif
dan bukannya usaha individu yang kompetitif melalui projek kerjasama dan semangat
berpasukan dalam mengembangkan pemikiran.
(vii) Berdialog atau berkomunikasi secara efektif dengan murid dan rakan-rakan. Guru
menggunakan dialog atau komunikasi secara bertulis, lisan dan teknologi serta
mewujudkan pengalaman pembelajaran yang positif dan aktif berfikir.
(viii) Menggunakan bahasa pemikiran untuk memupuk ekspresi diri, pembangunan identiti dan
pembelajaran bermakna dalam kalangan murid.
(ix) Mendengar dengan teliti dan responsif dalam pelbagai perspektif.
(x) Memupuk kesedaran dan kepekaan budaya berfikir dalam diri murid-murid. Guru
menggalakkan mereka untuk belajar tentang budaya berfikir dan menanam dalam diri
mereka sifat menghormati orang lain dan perbezaan pemikiran yang ada antara individu.
Kaedah Berfikir
Kaedah berfikir merangkumi cara, gaya dan keadaan yang lazim dilakukan dalam berfikir.
Sehubungan itu, kajian mendapati kaedah berfikir guru boleh diklasifikasikan kepada tiga
bahagian, iaitu tabiat berfikir, semangat insani dan gaya berfikir.
(a) Tabiat Berfikir
Kekuatan pemikiran guru mempunyai kaitan dengan tabiat berfikir yang diamalkan. Tabiat
berfikir pula menunjukkan guru mempunyai kemahiran, sikap berfikir, kaya dengan pengalaman
lepas dan berkecenderungan terhadap berfikir ke aras yang lebih tinggi. Hal ini menunjukkan
guru memiliki pola berfikir tertentu termasuk kecerdasan kontekstual, kelenturan pemikiran,
mempunyai tahap ketangkasan dalam melaksanakan tingkah laku berfikir yang efektif dan
mengubah suai tabiat berfikir dari masa ke masa untuk diaplikasikan dalam situasi lain.
Sehubungan itu, kajian mendapati guru mengamalkan sembilan daripada enam belas tabiat
berfikir dalam PdPc KBAT secara efektif di bilik darjah berfikrah. Tabiat berfikir tersebut
dirangsang dalam kalangan murid supaya menjadi amalan berfikir harian mereka ke arah
pemikiran aras tinggi. Amalan berfikir guru semasa PdPc di bilik darjah berfikrah ini dikelaskan
kepada lima kelompok yang membentuk suatu pola pemikiran. Pola ini terhasil daripada
keselarian antara laporan kendiri guru, dapatan temu bual dan pemerhatian terhadap PdPc di
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
328 | MEDC 2018
bilik darjah. Mereka menarik bersama-sama kelompok tabiat berfikir tersebut untuk
diaplikasikan dalam pelbagai situasi.
Kelompok utama yang menjadi amalan semua informan dalam PdPc KBAT di bilik darjah
ialah tabiat menguruskan dorongan; berusaha untuk ketepatan dan ketelitian; serta berfikir dan
berkomunikasi dengan tepat dan jelas. Guru-guru menunjukkan tabiat menguruskan dorongan
berdasarkan tindakan yang diambil selepas melalui proses berfikir tertentu; visi produk/hasil
PdPc yang dibentuk; matlamat dan hala tuju yang ditetapkan sebelum memulakan PdPc; arahan
yang diberikan adalah jelas dan mudah difahami; strategi yang dibangunkan untuk
menyelesaikan masalah dan pertimbangan yang dibuat secara kritis; pertimbangan alternatif
yang dibuat sebelum mengambil tindakan dan akibatnya; peningkatan peluang pengumpulan
sumber maklumat; masa yang diambil untuk berfikir sebelum memberi jawapan/respons; dan
pelbagai sudut pandangan alternatif yang didengari mereka.
Dalam konteks berusaha untuk ketepatan dan ketelitian, mereka menunjukkan tabiat dan ciri
craftsmanship; terus berusaha mencari kesempurnaan dalam PdPc KBAT dengan meletakkan
standard yang tinggi dan cuba untuk mencapainya; penilaian dan penambahbaikan untuk
mencapai tugas mengajar murid-murid berfikir pada aras yang tinggi.
Guru-guru mengamalkan tabiat berfikir dan berkomunikasi dengan tepat dan jelas
berdasarkan amalan mereka yang sentiasa berusaha untuk berkomunikasi dengan tepat dalam
kedua-dua bentuk lisan dan bertulis; ketelitian dalam mendefinisikan istilah/mendefinisi secara
operasi dan penggunaan bahasa yang tepat; penggunaan nama yang betul dan label yang
universal serta analogi yang sesuai/tepat.
Kelompok kedua terdiri daripada metakognisi; serta menyoal dan mengemukakan masalah.
Mereka mengamalkan metakognisi setiap hari dalam PdPc berdasarkan tabiat mereka dalam
membangunkan strategi PdPc untuk suatu pelajaran, menyimpan strategi dalam fikiran seluruh
pelajaran dan menunjukkan keberkesanannya dalam penghasilan output/hasil pembelajaran
yang diingini/disasarkan; serta amalan membuat refleksi dalam setiap PdPc untuk menilai
kualiti kemahiran berfikir dan strategi mereka sendiri. Amalan membuat refleksi ini menyokong
kajian Murray (2012).
Tabiat menyoal dan mengemukakan masalah dikenal pasti berdasarkan tabiat mereka yang
menonjolkan sifat dan sikap ingin tahu apa yang mereka tahu, bagaimana mereka tahu dan suka
bertanya; tahu maklumat yang diperlukan; pembinaan strategi menyoal untuk mendapatkan
maklumat; dan masalah yang dikemukakan untuk diselesaikan.
Kelompok ketiga ialah tabiat mencipta, membayangkan dan menginovasi, iaitu tabiat kreatif
dan inovatif. Tabiat ini berdasarkan kecenderungan mereka mencuba pelbagai cara lain; penjana
idea baharu yang lebih menarik; penciptaan sesuatu kelainan; keterbukaan kepada kritikan; dan
pemerolehan maklum balas dalam usaha untuk memperbaiki atau menambah baik produk/hasil.
Dalam konteks ini, hasil keberkesanan PdPc KBAT di bilik darjah.
Seterusnya, kelompok keempat merangkumi tabiat berfikir secara fleksibel; dan
mengaplikasikan pengetahuan lepas untuk situasi baharu. Tabiat berfikir secara fleksibel jelas
melalui kelenturan pemikiran guru; pengetahuan dan maklumat yang ditimba dari himpunan
strategi penyelesaian masalah; penyesuaian gaya mengikut keadaan semasa; pendekatan
terhadap masalah dari pelbagai sudut; pertimbangan terhadap sudut pandangan alternatif; dan
penggunaan pelbagai sumber maklumat. Seterusnya, tabiat mengaplikasikan pengetahuan lepas
untuk situasi baharu diperlihatkan melalui penggunaan apa yang telah dipelajari; perujukan
terhadap pengetahuan sedia ada; dan pemindahan pengetahuan melangkaui ruang lingkup
pembelajaran.
Kelompok terakhir ialah tabiat berfikir saling memerlukan dengan amalan bekerjasama
dalam satu kumpulan. Mereka mengatakan bahawa kerjasama dalam satu kumpulan lebih
berkuasa secara intelektual dan fizikal berbanding bekerja secara individu. Bahkan, dalam
keadaan penyelesaian masalah yang semakin kompleks, tidak ada orang yang mempunyai akses
kepada semua maklumat yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan yang kritis dan tiada seorang pun yang dianggap memiliki banyak alternatif
sebagaimana yang boleh diberikan oleh beberapa orang dalam kumpulan.
Walau bagaimanapun, kajian ini mendapati masih ada tujuh tabiat berfikir yang tidak
diamalkan oleh informan, iaitu tabiat gigih berusaha; mendengar dengan memahami dan empati;
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
329 | MEDC 2018
mengumpul data melalui semua deria; menjawab dengan kekaguman dan kehairanan;
mengambil tanggungjawab berisiko; kecindan; dan pembelajaran berterusan. Hal ini kerana
tabiat-tabiat berfikir tersebut tidak menjadi amalan rutin mereka di bilik darjah. Sekiranya ada
digunakan dalam PdPc di bilik darjah tersebut, ianya adalah secara tidak langsung tanpa sedar.
Tabiat adalah suatu tindakan yang dilaksanakan secara automatik tanpa perlu berfikir
mengenainya secara sedar. Tabiat adalah bahagian yang penting dalam pemikiran berfikrah.
Guru tidak mengaplikasikan semua tabiat berfikir dalam PdPc KBAT di bilik darjah
mungkin mereka belum bersedia sepenuhnya dan masih belum memahami serta menguasai
secara mendalam konsep sebenar tabiat dalam berfikir.
Tabiat berfikir guru ini memberi impak kepada pedagogi guru dan pembelajaran murid.
Dalam konteks guru, tabiat berfikir mengupayakan guru menyampaikan pengetahuan dan
keseluruhan isi pelajaran dengan lebih efektif dalam tempoh masa yang ditetapkan; perancangan
PdPc yang lebih rapi dan holistik; perancangan semua aspek KBAT lebih teliti dan mantap.
Impak terhadap murid-murid pula, membolehkan mereka menerima pengetahuan dan kemahiran
yang bermakna; menggalak dan menyokong perubahan yang positif dari aspek kognitif, afektif
dan psikomotor; pencapaian tahap penguasaan lebih tinggi.
(b) Semangat Insani
Pemikiran didorong, dipengaruhi, di motivasi dan diberi inspirasi oleh kapasiti intelektual yang
menghasilkan tindakan produktif. Dalam konteks ini, kapasiti intelektual tersebut ialah
semangat insani yang terdiri daripada fleksibiliti, craftsmanship, saling bergantungan, efikasi
dan kesedaran.
Sehubungan itu, kajian mendapati semangat insani dalam PdPc KBAT berfungsi sebagai
alat diagnostik yang menjadi konstruk penilaian dan pentaksiran pembangunan pemikiran guru
dan murid-murid. Di samping itu, semangat insani juga menjadi alat disiplin dalam membuat
pilihan dan pengangkutan dalam perjalanan merancang dan mengamalkan KBAT. Semua
informan mempunyai minda fleksibel/kelenturan pemikiran dengan merujuk kepada
keterbukaan dan kemampuan mereka dalam menghargai pelbagai perspektif orang lain;
penciptaan dan pencarian pendekatan baharu; keupayaan berubah fikiran apabila menerima
maklumat tambahan; penglibatan diri mereka dalam pelbagai aktiviti serentak; keupayaan
merumus himpunan strategi penyelesaian masalah dan kebolehan mengubah gaya mengajar
mengikut kesesuaian semasa; serta penerimaan terhadap alternatif dan pola respons yang
disesuaikan.
Didapati mereka adalah craftsperson kecuali seorang guru yang mengajar Bahasa Malaysia.
Ini dicirikan oleh amalan mereka dalam PdPc yang mementingkan kesempurnaan, kesenian dan
rasa komuniti; sumbangan kepada kebaikan bersama; kebolehan menguruskan perbezaan
kumpulan dengan cara yang produktif dan proaktif; penggunaan maklum balas daripada orang
lain sebagai suatu pembelajaran; kesedaran tentang tindakan pemikiran mereka sendiri dan
kesan terhadap orang lain; pembinaan perkongsian pengetahuan daripada interaksi yang
dijalankan.
Namun demikian, kajian mendapati lima informan sahaja yang mempunyai efikasi kendiri
yang tinggi. Mereka menzahirkan kesukaran untuk menghasilkan pengetahuan baharu. Guru-
guru dengan efikasi kendiri yang tinggi dilihat berdasarkan penglibatan diri mereka dalam
pemikiran sebab dan akibat; keaktifan dalam mengemukakan masalah; kebolehcapaian dalam
mengubah suai kendiri; pelaksanaan konsep; dan kesediaan untuk terus belajar bagaimana untuk
belajar. Dari segi kesedaran pula, guru-guru mengetahui apa dan bagaimana tindakan hasil
pemikiran mereka memberi kesan kepada pemikiran orang lain terutama murid-murid dan
komuniti alam belajar di bilik darjah.
Realitinya, murid-murid mempunyai prestasi, tahap pencapaian dan keupayaan berfikir
yang berbeza. Ada yang cepat memahami dan menguasai isi kandungan pelajaran yang diajar
oleh guru, namun ada yang lambat untuk memahami isi PdPc. Oleh itu, semangat insani ini
mengupayakan guru untuk mengajar murid-murid sama ada yang cerdik dan pintar ataupun
yang sederhana dan lemah.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
330 | MEDC 2018
Semangat insani dapat mengubah suai dan mencorakkan situasi pembelajaran berfikir yang
berfikrah. Murid-murid bebas daripada sebarang tekanan emosi, perasaan dan mental. Guru
tidak mengamalkan pembelajaran yang bersifat autokratik dan pasif, sebaliknya lebih bersifat
participative dan aktif. Pengaruh semangat insani guru dapat mencorakkan pembelajaran KBAT
di bilik darjah berfikrah, menarik, kreatif, produktif, fleksibel dan efektif.
Pengaruh semangat insani juga menjadikan PdPc KBAT lebih mesra dan mudah didekati;
sesuai dengan naluri perkembangan manusia; mendorong perubahan dan kemajuan kognitif,
efektif dan psikomotor; mengembangkan pelbagai kecerdasan dengan menyediakan pelbagai
peluang pembelajaran yang dapat menggilap dan mengembangkan potensi individu yang
berbeza dari segi kebolehan, minat, kecerdasan dan kecekapan murid.
Perubahan dinamik yang berlaku di bilik darjah berfikrah disebabkan oleh kesan positif
semangat insani guru, terutamanya dari segi kaedah PdPc guru. Kaedah dan pendekatan yang
lebih menarik dan efektif yang berlaku mencerminkan fleksibiliti guru dan hasil craftsmanship,
gaya dan organisasi pembelajaran.
(c) Gaya berfikir
Analisis daripada kajian mendapati, pendekatan berpusatkan aktiviti merupakan gaya berfikir
yang menjadi amalan utama semua informan dalam PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah.
Pendekatan ini secara khusus memberi fokus kepada aktiviti minds-on. Dalam konteks ini, ia
dipengaruhi oleh persekitaran murid-murid dan hubungan pemikiran mereka dengan alam
sekeliling pembelajaran. Oleh yang demikian, didapati informan lebih memilih cara berfikir
yang bersifat metafora dengan membuat pemetaan terhadap pelbagai aspek dan perspektif yang
berbeza. Dengan kata lain, mereka mempunyai gaya pemikiran pemerintahan kendiri.
Sehubungan itu, gaya pemikiran pemerintahan kendiri yang diamalkan dan diaplikasikan
informan dalam PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah dikelaskan kepada fungsi, bentuk, tahap,
skop dan kecenderungan. Hasil analisis menunjukkan semua informan dominan dengan skop
gaya luaran kerana mereka lebih menyukai aktiviti berkumpulan; mengutamakan tugasan secara
kolaborasi; dan bekerja melalui interaksi.
Seterusnya, gaya pemikiran pemerintahan kendiri dari segi kecenderungan, didapati semua
informan mengamalkan gaya liberal dalam PdPc KBAT kecuali seorang guru yang mengajar
Matematik mengamalkan gaya konservatif. Dalam hal ini, mereka menunjukkan sifat berfikir
yang suka melangkaui kaedah-kaedah dan prosedur sedia ada yang mengeksplisitkan hasil yang
disasarkan.
Semua informan menjalankan PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah dengan gaya tempatan
kecuali seorang guru Bahasa Malaysia dengan gaya global. Gaya pemikiran pemerintahan
kendiri dalam konteks tahap ini ditunjukkan melalui keutamaan mereka dalam menjalankan
tugas yang memerlukan penglibatan khusus; menumpukan kepada butiran konkrit/maujud; dan
mementingkan ketepatan yang tinggi dalam pelaksanaan tugasan.
Sementara itu, gaya eksekutif menunjukkan fungsi gaya pemikiran pemerintahan kendiri
keempat banyak digunakan informan dalam PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah dengan hanya
dua orang guru yang mengajar Bahasa Malaysia sahaja tidak menggunakan gaya eksekutif.
Gaya eksekutif ini jelas ditunjukkan melalui sifat pelaksana mereka, sifat berfikir yang
bergantung kepada kaedah sedia ada untuk menguasai keadaan PdPc; penumpuan lebih pada
aktiviti berfikir yang ditakrifkan dan berstruktur; pembentukan jaringan dan pergaulan yang
baik bagi membolehkan mereka menerima bimbingan daripada yang lebih pakar. Bahkan, gaya
ini lebih jelas berdasarkan pemerhatian terhadap PdPc mereka yang menggunakan DSKP, buku
teks, buku aktiviti dan modul yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai
bahan sumber yang utama. Mereka mematuhi setiap perancangan strategik dan takwim panitia
sebagaimana yang ditetapkan. Reka bentuk PdPc, aktiviti dan sebagainya yang dicipta, diubah
suai atau di inovasi adalah berdasarkan DSKP dan buku teks supaya hala tuju PdPc berada
dalam skopnya.
Namun begitu, mereka mengamalkan dan mengaplikasikan bentuk gaya pemikiran
pemerintahan kendiri yang pelbagai, iaitu terdiri daripada gaya monarki, gaya hierarki dan gaya
oligarki dalam PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
331 | MEDC 2018
Kesimpulannya, gaya berfikir tidak terukir pada batu ketika lahir. Sebaliknya, gaya ini
muncul sebahagian besarnya daripada fungsi interaksi pemikiran dengan alam sekitar yang
dapat dikembangkan dan disosialisasikan. Dapatan menunjukkan informan dengan satu gaya
dalam satu tugas/keadaan tertentu mempunyai gaya yang berbeza dalam tugas/keadaan yang
lain. Beberapa informan menunjukkan satu profil gaya berfikir pilihan pada satu tahap dan satu
lagi profil gaya di peringkat yang lain. Dengan itu, gaya berfikir boleh mengalir dan ianya
dialirkan dalam kalangan murid. Hal ini demikian kerana gaya berfikir menjadi fungsi interaksi
pemikiran guru dengan tugas PdPc KBAT dan situasi bilik darjah berfikrah.
Alat Berfikir
Alat berfikir ialah suatu medium sokongan yang menggabungkan semua amalan berfikir
(praktikal) dengan teori untuk tiba pada pemikiran aras tinggi. Dalam hal ini, alat berfikir
tersebut menggambarkan apa yang perlu diketahui tentang PdPc kemahiran berfikir,
menjelmakan pengetahuan dalam bahan sumber, mempunyai nilai praktikal di bilik darjah dan
mewujudkan hubungan antara jenis alat dalam mempelajari kemahiran, konsep, proses dan
sikap dalam berfikir.
Analisis dapatan kajian menunjukkan guru menggunakan pelbagai alat berfikir dalam
PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah seperti peta i-THINK yang digunakan oleh semua
informan kecuali seorang guru yang mengajar Matematik (GM3T6); Thinking Matrix atau
Thinktrix (GB2T5, GB3T6, GM1T4, GM2T5, GS1T4 dan GS3T6); Think-Pair-Share (GB1T4,
GM1T4 dan semua informan yang mengajar Sains); See-Think-Wonder (GM1T4, GS1T4 dan
GS2T5); Strategi Bookmark (GS2T5 dan GS3T6); Thinking Hats (GB2T5 dan GS2T5); Chalk Talk
dan Exploration Game (GM1T4 dan GS2T5); penyelesaian masalah strategi roda (GS1T4 dan
GS3T6); Ready-Reading-Revise (GS1T4 dan GS2T5); 3-2-1Bridge (GS2T5 dan GS3T6); Think-
Puzzle-Explore (GM1T4); Zoom In (GS2T5); Silent Conversation (GM2T5); Compass Point
(GS2T5); dan Connect-Extent-Challenge (GM1T4).
Walaupun didapati peta i-THINK sangat tersohor yang digunakan oleh semua informan
tetapi alat hanya menggambarkan tugas untuk mewujudkan responsif berfikir di bilik darjah.
Dapatan dalam konteks amalan penggunaan peta i-THINK dalam kajian ini tidak selari dengan
dapatan Abdul Halim et al. (2015) yang mendapati peta pemikiran i-THINK tidak diamalkan
sepenuhnya kerana guru tidak menguasai semua lapan alat berfikir tersebut dengan baik
walaupun telah giat di promosi oleh KPM (KPM, 2012).
Secara ringkasnya, amalan menggunakan alat berfikir dalam PdPc KBAT berfungsi
sebagai isyarat berfikir yang nyata untuk guru dan murid terutama dalam iklim pendidikan yang
semakin kompleks. Dengan kata lain, bantuan memori dalam meningkatkan pemikiran murid-
murid ke arah KBAT kerana alat berfikir saling melengkapi dalam memahami rangka kerja
rujukan guru dan murid dengan memberikan terminologi umum (misalnya, Thinktrix) dan
isyarat tertentu untuk bertindak (misalnya, Think-Pair-Share) serta mengandungi mesej tersirat
yang mengupayakan murid membuat gambaran mental. Dengan ini, cara murid berfikir dan
bertingkah laku dalam berfikir berterusan kekal di luar bilik darjah.
Pemikiran berlaku dalam minda dan guru tidak nampak proses yang berlaku. Oleh itu,
apabila guru mengajar cara berfikir, mengajar tentang berfikir dan mengajar untuk berfikir,
mereka melihat hasil daripada proses berfikir tersebut. Misalnya, dalam karangan, guru dapat
membaca pandangan kritis murid tentang sesuatu tema/tajuk yang dipelajari. Guru
menggunakan alat bantu dalam mengajar murid berfikir, melihat proses berfikir dan menilai
proses pemikiran muridnya. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru menggunakan alat berfikir
dalam PdPc KBAT dengan mengatakan penggunaan alat berfikir membuatkan pemikiran
kelihatan kerana alat berfikir hadir bersama dengan proses berfikir dan soalan-soalan berfikrah.
Dengan cara itu guru dapat meningkatkan kemahiran berfikir murid-murid. Bahkan,
melalui alat itu murid dapat mengawal proses pemikirannya kerana ia adalah satu kerangka atau
medan yang digunakan guru untuk memindahkan apa-apa yang sedang difikirkannya dari dalam
minda ke atas kertas untuk dilihat dan disusun. Dengan alat berfikir guru dapat memperlihatkan
secara eksplisit proses berfikir yang berlaku dalam minda.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
332 | MEDC 2018
Apabila guru menggunakan alat berfikir dan murid-murid diberi peluang
menggunakannya, proses PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah lebih efektif dan hasil
pembelajaran lebih mudah dicapai. Dalam konteks ini, penggunaan alat berfikir meningkatkan
kejelasan tujuan mempelajari sesuatu kandungan pelajaran; mengupayakan cetusan idea yang
lebih kreatif; penyusunan maklumat lebih sistematik; menggandakan pemupukan dan
penyuburan pemikiran analitis, kritis dan kreatif ; kandungan pelajaran lebih bermakna; murid-
murid lebih aktif dan produktif dalam mengemukakan cadangan/memberi respons/hujah dan
menghubung kait maklumat; mesej yang disampaikan dapat dipersepsi dengan lebih tepat;
memudahkan kawalan terhadap proses berfikir yang sesuai; menggambarkan pemeringkatan
dalam proses berfikir; keupayaan menjana soalan-soalan berfikrah.
KESIMPULAN
Metodologi berfikir untuk PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah diklasifikasikan kepada tiga
bahagian, iaitu prinsip berfikir; kaedah berfikir; dan alat berfikir. Sehubungan itu, prinsip
berfikir dikelaskan kepada dua kumpulan, iaitu bahasa pemikiran (menggunakan
perbendaharaan kata yang tepat; soalan berfikrah; menyediakan maklumat bukan penyelesaian;
memberi arahan; membangunkan metakognisi; dan menganalisis logik bahasa) dan tingkah laku
berfikir (menyoal untuk mencabar intelek murid; menstrukturkan bilik darjah berfikrah; dan
bertindak balas terhadap tingkah laku berfikir).
Kaedah berfikir guru dikelaskan kepada tiga kumpulan, iaitu tabiat berfikir (tabiat
menguruskan dorongan; berusaha untuk ketepatan dan ketelitian; berfikir dan berkomunikasi
dengan tepat dan jelas; metakognisi; menyoal dan mengemukakan masalah; mencipta,
membayangkan dan menginovasi; berfikir secara fleksibel; mengaplikasikan pengetahuan lepas
untuk situasi baharu; berfikir saling memerlukan), semangat insani (fleksibiliti; craftsmanship;
saling bergantungan; efikasi; kesedaran) dan gaya berfikir (gaya pemikiran pemerintahan
kendiri dengan fungsi, bentuk, tahap, skop dan kecenderungan gaya).
Alat berfikir yang digunakan oleh guru berfikrah dalam PdPc KBAT di bilik darjah
berfikrah adalah peta i-THINK; Thinking Matrix; Think-Pair-Share; See-Think-Wonder;
Strategi Bookmark; Thinking Hats; Chalk Talk dan Exploration Game; penyelesaian masalah
strategi roda; Ready-Reading-Revise; 3-2-1Bridge; Think-Puzzle-Explore; Zoom In; Silent
Conversation; Compass Point; dan Connect-Extent-Challenge.
Semakin tinggi tahap pengetahuan dan kemahiran, semakin tinggi tahap pemikiran
seseorang. Oleh itu, keperluan mengajar KBAT menjadi semakin penting untuk memastikan
generasi baharu mempunyai kemahiran berfikir yang diperlukan untuk kelangsungan kehidupan
pada masa hadapan. Dalam hal ini, metodologi berfikir guru menjadi mekanisme utama dalam
membangunkan dan mengembangkan pemikiran murid-murid ke tahap yang lebih tinggi serta
pemangkin dalam membudayakan KBAT di sekolah dan dalam kehidupan harian.
Sehubungan itu, metodologi berfikir perlu dipupuk, disemai dan dicernakan sehingga
menjadi budaya atau amalan rutin dalam kalangan murid. Maka, peranan guru dalam KBAT
boleh dianalogikan seperti seorang pengembara yang merenungi dan menjiwai alam pemikiran
dalam menyalakan sumbu inspirasi dan aspirasi PdPc KBAT; seorang artis yang berupaya
melihat dan menterjemahkan aktiviti dan kraf berfikir secara kritis dan kreatif walaupun
berhadapan dengan pelbagai hambatan; seorang hakim yang dapat menilai dan berani
mengambil keputusan terbaik dalam menyelesaikan masalah; seorang Kesatria yang gigih, sedia
menyahut cabaran dan melakukan perubahan radikal di luar normal dengan tindakan yang wajar
dan dinamik, pragmatik serta ke hadapan dalam berfikir.
Secara ringkasnya, prinsip, kaedah dan alat berfikir membentuk metodologi berfikir yang
menjadi suatu mekanisme pemangkin yang efektif dalam mengoperasi PdPc KBAT di bilik
darjah berfikrah (Rajah 1). Bahkan, metodologi berfikir ini mengupayakan seseorang itu
menjadi guru berfikrah. Ini akan menjamin keberhasilan pemikiran aras tinggi.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
333 | MEDC 2018
Rajah 1: Metodologi berfikir dalam PdPc KBAT di bilik darjah berfikrah
Prinsip Berfikir
• Bahasa Pemikiran - menggunakan perbendaharaan kata yang tepat - menggunakan soalan berfikrah - menyediakan maklumat, bukan penyelesaian - memberi arahan - membangunkan metakognisi - menganalisis logik bahasa
• Tingkah Laku Berfikir Guru - menyoal untuk mencabar intelek murid - menstrukturkan bilik darjah berfikrah - bertindak balas terhadap tingkah laku berfikir
Kaedah Berfikir
• Tabiat Berfikir
- tabiat menguruskan dorongan; berusaha untuk ketepatan dan ketelitian; berfikir dan berkomunikasi dengan tepat dan jelas
- metakognisi; menyoal dan mengemukakan masalah
- mencipta, membayangkan dan menginovasi
- berfikir secara fleksibel; mengaplikasikan pengetahuan lepas untuk situasi baharu
- berfikir saling memerlukan
• Semangat Insani
- fleksibiliti
- craftsmanship
- saling bergantungan
- efikasi
- kesedaran
• Gaya Berfikir
- Gaya pemikiran pemerintahan kendiri (gaya luaran; liberal; tempatan; eksekutif; monarki; hierarki; oligarki)
Alat Berfikir
pemetaan kognitif, peta i-THINK, matriks berfikir,
Think-Pair-Share, See-Think-Wonder dan lain-lain.
Metodologi Berfikir
Keberhasilan
KBAT
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |
334 | MEDC 2018
RUJUKAN
Abdul Halim Abdullah, Baharuddin Aris, Muhammad Sukri Saud, Yusof Boon & Saidatul
Akmal Awang Ali (2015). Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT): Isu dan
Cabaran Dalam Aspek Kurikulum, Pedagogi dan Pentaksiran. Seminar Kebangsaan
Majlis Dekan-dekan Pendidikan Universiti Awam.
Burger, H. G. (1977). Panculture: A Hominization-Derived Processed Taxonomy from
Murdock’s University Basics. In The Concept and Dynamics of Culture. ed by B.
Bernardi. Netherland: The Hague.
Clark, C. M. & Peterson, P. L. (1984). Teachers’ Thought Process. Michigan State University:
The Institute for Research on Teaching.
Dunkin, M. J. & Biddle, B. (1974). The Study of Teaching. New York: Holt, Rinehart and
Winston.
Feuerstein, R. (1990). Instrumental enrichment. In A. L. Costa (Ed.). Developing minds: A
resource book for teaching thinking (pp. 144-149). Alexandria, VA: Association for
Supervision and Curriculum Development.
Green, J. L. & Smith, D. C. (1982). Teaching and learning: A Linguistic Perspective. Paper
presented at the conference on Research on Teaching: Implications for Practice.
Warrenton, Va.
Hayati Ismail (2017). Imbasan PPPM 2013-2025: Ke Arah Pendidikan Bertaraf Dunia
(Bahagian II). Majalah Pendidik, Bil. 115, (pp. 22-24).
Murray, E. C. (2012). Implementing Higher-Order Thinking in Middle School Mathematics
Classrooms. Doctoral Thesis. Athens, Georgia.
Myers, C.B. & Myers, L.K. (1995). The professional educator. A new introduction to
teaching and schools. Belmont: Wadworth Publishing Company.
Parelius, R. J. (1980). Faculty cultures and instructional practices. New Brunswick, NJ:
Rutgers University Press.
Purkey, S. C. & Smith, M. S. (1982). Effective school: A review. Madison: Wisconsin Center for
Educational Research, University of Wisconsin.
Rajendran, N. S. (2017). Pengajaran dan penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi: Teori
dan amalan. Tanjong Malim, Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Ritzer, G. (1996). Sociological theory. Ed. ke-4. New York: The McGraw-Hill Companies, Inc.