Upload
hahanh
View
245
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
51
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
PENYIASATAN SECARA INISIATIF KANAK-KANAK
MENERUSI PENDEKATAN PROJEK
Noor Ashikin binti Mohd Yusop¹
Norazizah binti Abdul Rahman²
Muhd Fariz bin Ismail³
Yazid bin Abdul Manap4
1Unit Peperiksaan dan Penilaian 2 Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Pendidikan
3 Jabatan Sains
¹²³4Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik,
Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk meneroka elemen-elemen penyiasatan secara inisiatif kanak-kanak
menerusi Pendekatan Projek. Kajian kualitatif ini menggunakan reka bentuk kajian pelbagai
kes. Data kajian diperoleh sepenuhnya melalui pemerhatian dan dokumen tidak rasmi yang
dihasilkan oleh kanak-kanak. Peserta kajian terdiri daripada dua orang pendidik berserta dua
kumpulan fokus kanak-kanak yang berusia 4+ dan 5+ di sebuah tadika di negeri Perak.
Penghuraian dan rumusan data dilakukan dengan meneliti tema, subtema dan soalan kajian.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa elemen-elemen pelaksanaan penyiasatan secara
inisiatif kanak-kanak ditonjolkan menerusi soalan kanak-kanak, pemilihan bahan dan alat
radas serta tatacara pelaksanaan penyiasatan. Implikasi kajian ini menjelaskan bahawa
pendidik di peringkat awal kanak-kanak perlu melakukan transformasi amalan pengajaran dan
pembelajaran dengan memberi peluang penerokaan mengikut inisiatif, minat dan inkuiri
kanak-kanak.
Kata Kunci: Pendekatan Projek, Inisiatif Kanak-kanak, Inkuiri, Sains, Penyiasatan.
_________________________________________________________________________
52
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
PENGENALAN
Penyiasatan secara inisiatif merupakan proses pembelajaran yang memberi peluang
penerokaan dan pembinaan pengetahuan baharu menerusi persoalan yang ditimbulkan oleh
kanak-kanak sendiri. Menurut Helm dan Katz (2011), pembelajaran menerusi penyiasatan
mendalam mengenai sesuatu topik dapat meningkatkan daya intelektual serta memberi
peluang pengaplikasian kemahiran proses sains asas oleh kanak-kanak. Malah, menerusi
pengalaman penyiasatan yang dilaksanakan menerusi aktiviti penerokaan di dalam dan luar
bilik darjah dapat membina semula konsepsi sains kanak-kanak terhadap sesuatu fenomena
(Helm & Katz, 2011; Harlen, 2014).
Selain itu, pendidik turut memainkan peranan penting sebagai perancang aktiviti penyiasatan
yang bersesuaian dengan tahap dan minat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak. Dengan itu,
pendidik bertindak sebagai pendengar, pemerhati serta memahami setiap tingkah laku dan
idea kanak-kanak bagi menyokong pengalaman pembelajaran yang berkesan menerusi
penyiasatan (Azizah Zain, 2015; Helm & Katz, 2015). Malah, jaringan interaksi sosial yang
wujud di antara kanak-kanak dengan pendidik, pakar, ibu bapa dan rakan sebaya juga
merupakan elemen penting yang turut menyokong pembentukan dan penguasaan
pengetahuan baharu dalam proses penerokaan dan penyiasatan kanak-kanak (Noriati, Pong
& Sharifah Fakhriah, 2012).
Noor Miza (2015) beranggapan bahawa kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti
pembelajaran secara inisiatif sendiri lebih cemerlang dalam penguasaan kemahiran asas di
peringkat akhir pra sekolah berbanding kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran secara
didaktik. Situasi ini disebabkan pembelajaran secara inisiatif memberi kebebasan kepada
kanak-kanak untuk terlibat secara aktif dalam semua aktiviti di sepanjang proses pengajaran
dan pembelajaran. Malah, kanak-kanak belajar menerusi pengalaman yang dibina dari
perasaan ingin tahu, bukan pembelajaran dalam bentuk arahan atau aktiviti yang dirancang
oleh pendidik Harlen, 2014).
Oleh itu, pendidik di peringkat prasekolah disarankan untuk melaksanakan proses pengajaran
dan pembelajaran berasaskan projek. Hal ini berikutan pembelajaran berasaskan projek
memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengemukakan idea, membuat keputusan
dalam memainkan peranan utama semasa aktiviti projek. Walau bagaimanapun, pelaksanaan
pembelajaran berasaskan projek ini adalah lebih berstruktur kerana topik, bentuk projek dan
hasil pembelajaran telah ditetapkan oleh pendidik (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012;
Noor Miza, 2015).
Sementara itu, Pendekatan Projek yang diasaskan oleh Katz dan Chard (2000) memberi
peluang penerokaan pembelajaran kepada kanak-kanak secara autentik dalam membina
pengetahuan tentang dunia mereka. Kanak-kanak menjalankan aktiviti projek menerusi
penyiasatan mendalam terhadap sesuatu topik yang diminati. Malah, kanak-kanak
menggunakan inisiatif kendiri dalam melakukan sesuatu penerokaan dan penyiasatan (Helm
& Katz, 2011; Noor Miza, 2015).
Justeru, kajian ini bertujuan untuk meneroka bagaimana Pendekatan Projek membentuk
penyiasatan secara inisiatif kanak-kanak. Hasil kajian ini diharap dapat memberi maklumat
53
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
dan panduan kepada pendidik di peringkat awal kanak-kanak tentang elemen-elemen inisiatif
kanak-kanak yang boleh diaplikasikan agar peranan aktif kanak-kanak diutamakan serta
mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan serta bermakna.
PERNYATAAN MASALAH
Tidak dinafikan bahawa Kurikulum Prasekolah berfokus untuk melahirkan kanak-kanak yang
berkebolehan berkomunikasi dan bersosialisasi dengan yakin. Seterusnya melahirkan
generasi yang mampu menghadapi cabaran serta berkeupayaan menyelesaikan masalah
menerusi aktiviti penyiasatan secara inisiatif kanak-kanak. Namun, kajian-kajian terdahulu
kurang membincangkan tentang elemen-elemen penyiasatan secara inisiatif kanak-kanak.
Sehubungan itu, pendidik di peringkat awal kanak-kanak kurang memahami kaedah
pelaksanaan pembelajaran secara inisiatif kanak-kanak. Malah, pendidik lebih yakin
melaksanakan aktiviti pembelajaran yang lebih berstruktur serta mengikut perancangan.
Sehubungan itu, kajian ini ingin meneroka tentang elemen-elemen penyiasatan secara inisiatif
kanak-kanak menerusi Pendekatan Projek.
BATASAN KAJIAN
Skop kajian ini adalah berfokus kepada penyiasatan kanak-kanak menerusi Pendekatan
Projek bagi menangani kerangka alternatif. Kanak-kanak yang terlibat adalah seramai 15
orang yang berusia berusia 4+ hingga 5+ tahun di sebuah tadika di kawasan Tanjung Malim,
Perak. Kajian ini juga melibatkan dua orang pendidik yang bertindak sebagai fasilitator dalam
melaksanakan aktiviti projek bersama kanak-kanak. Oleh kerana jumlah peserta kajian adalah
kecil dan terhad di sekolah yang terlibat sahaja, maka pengumpulan data menerusi
pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen berkaitan bidang yang diselidiki juga adalah
terhad.
Oleh itu, dapatan kajian ini tidak dapat digeneralisasikan kepada penyiasatan menerusi
Pendekatan Projek yang dipraktiskan oleh kanak-kanak dan pendidik tadika di seluruh
Malaysia. Walau bagaimanapun, penyelidik mengambil inisiatif untuk meneroka dan
memahami proses pelaksanaan Pendekatan Projek dalam kalangan pendidik yang
berpengalaman lima tahun dan ke atas agar dapat dijadikan panduan kepada pendidik lain.
OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini adalah untuk meneroka penyiasatan yang dijalankan secara inisiatif kanak-kanak
menerusi Pendekatan Projek. Justeru, kajian ini bertindak untuk meneroka elemen-elemen
pelaksanaan penyiasatan secara inisiatif kanak-kanak.
SOALAN KAJIAN
Kajian ini ingin meneroka: Apakah elemen-elemen penyiasatan secara inisiatif kanak-kanak?
54
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
TINJAUAN LITERATUR
“Project Approach” dalam kajian ini merupakan satu pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang diketengahkan oleh Katz dan Chard (2000). Perkataan “Project Approach”
digunakan oleh Katz dan Chard adalah bagi menggambarkan bahawa aktiviti projek boleh
diimplemetasikan dalam pendidikan awal kanak-kanak (Kementerian Pelajaran Malaysia,
2010; Kementerian Pelajaran Malaysia, 2016) menerusi pelbagai cara, bergantung kepada
komitmen, pilihan yang ada dan kekangan yang dihadapi oleh pelaksana, khasnya para
pendidik. Definisi “project” yang dinyatakan oleh Katz dan Chard (2000) adalah:
…refer to an in-depth study of a particular topic usually undertaken by whole
class working on subtopics in small groups, sometimes by a small group of
children within a class and occasionally by an individual child. The key of a
project is that it is an investigation – a piece of research that involves children
in seeking answers to questions they have formulated themselves or in
cooperation with their teacher and that arise as their investigation proceeds.
(Katz dan Chard, 2000, ms.2)
Berdasarkan definisi tersebut, dapat ditafsirkan bahawa pendekatan projek merupakan
penyiasatan mendalam kanak-kanak terhadap sesuatu topik berdasarkan persoalan yang
dikemukakan oleh mereka sendiri atau hasil perbincangan dengan pendidik. Malah aktiviti
projek ini boleh melibatkan penyertaan kesemua kanak-kanak, kumpulan kecil atau secara
individu.
Sehubungan itu, aktiviti projek sebagai satu “approach” dalam pendidikan awal kanak-kanak
adalah merujuk kepada kepelbagaian cara yang digunakan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dan bukannya satu set teknik atau pengajaran atau urutan aktiviti yang rutin
dan telah ditetapkan (Katz & Chard, 2000). Lantaran itu, Pendekatan Projek menekankan
aspek kebertanggungjawaban pendidik terhadap kanak-kanak secara individu dan juga
seluruh kumpulan kanak-kanak dalam sesuatu bilik darjah.
Tiga Fasa Pelaksanaan Pendekatan Projek
Setiap penerokaan menerusi Pendekatan Projek dilaksanakan dalam tiga fasa utama. Aktiviti
projek bermula dengan persoalan yang dicetuskan oleh kanak-kanak dalam fasa pertama.
Semasa fasa pertama, pendidik menggunakan teknik perbincangan untuk mengenal pasti
pengalaman dan pengetahuan sedia ada kanak-kanak. Di samping itu, pendidik turut dapat
mencungkil minat kanak-kanak terhadap sesuatu topik menerusi pembinaan web kanak-
kanak. Malah, segala persoalan kanak-kanak dikumpul dan dicatat oleh pendidik untuk tujuan
penerokaan dan penyiasatan kanak-kanak.
Seterusnya, untuk fasa kedua kanak-kanak mendapatkan informasi berkaitan topik yang
dipilih untuk diterokai menerusi pelbagai sumber seperti buku, video, gambar dan internet.
Seterusnya, kanak-kanak menjalankan aktiviti penyiasatan terhadap persoalan yang telah
dikemukakan oleh mereka pada fasa pertama dengan menjalankan kajian lapangan dan
bertemu pakar. Pada peringkat ini, pengetahuan kanak-kanak semakin berkembang dengan
55
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
pengumpulan maklumat yang banyak menerusi khidmat pakar dan perkongsian maklumat
dari rakan sebaya yang dipersembahkan dalam pelbagai bentuk lukisan, model, cerita dan
lakonan.
Fasa yang terakhir, merupakan aktiviti kemuncak bagi pelaksanaan sesuatu projek. Dalam
fasa ini, kanak-kanak membina model atau lakonan berkaitan pembinaan projek yang dipilih
untuk dipersembahkan kepada para pelawat pada hari kemuncak projek. Di samping itu,
kanak-kanak turut mempersembahkan maklumat yang telah diperolehi sepanjang aktiviti
projek bermula dari fasa pertama hingga ketiga (Katz, Chard & Kogan, 2014).
KEPENTINGAN KAJIAN
Berdasarkan objektif yang telah dibincangkan, hasil kajian ini diharap dapat memberi
maklumat dan panduan kepada pendidik dan penyelidik baharu tentang senario pelaksanaan
Pendekatan Projek dalam kalangan kanak-kanak prasekolah. Maklumat ini boleh digunakan
untuk menambah baik mutu pelaksanaan aktiviti projek dengan mengamalkan proses
pengajaran dan pembelajaran yang mengambil kira minat dan persoalan kanak-kanak.
Adalah diharap, pendidik dan penyelidik dapat mengenal pasti bagaimana sesuatu
penyiasatan difokuskan dan dilaksanakan secara inisiatif kanak-kanak.
METODOLOGI KAJIAN
Reka bentuk kajian pelbagai kes (multiple case design) oleh Yin (2015) dipilih bagi kajian ini
adalah untuk menghuraikan pelaksanaan penyiasatan secara inisiatif yang dijalankan oleh
kanak-kanak dalam lingkungan konteks sebenar proses pengajaran dan pembelajaran
menerusi Pendekatan Projek. Sehubungan itu, kes dalam kajian ini adalah merujuk kepada
aktiviti projek yang dijalankan oleh kanak-kanak dalam Projek Sabun dan Projek Darah
(Rajah 1). Himpunan dua kes tunggal ini merupakan suatu unit yang dianalisis secara holistik
dalam kajian ini.
Rajah 1. Himpunan kes bagi aktiviti Projek Sabun dan Projek Darah
56
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
Peserta Kajian
Peserta kajian yang terlibat adalah terdiri daripada dua orang pendidik dan dua kumpulan
fokus yang terdiri daripada kanak-kanak yang berusia 4+ dan 5+. Kanak-kanak kumpulan
fokus berusia 4+ adalah seramai sepuluh orang menjalankan aktiviti Projek Darah manakala
Projek Sabun dilaksanakan oleh lima orang kanak-kanak berusia 5+. Pemilihan peserta
adalah secara persampelan bertujuan iaitu individu-individu yang dipilih dalam kajian memiliki
ciri-ciri tertentu yang dapat membantu penyelidik memperoleh maklumat yang banyak bagi
menjawab persoalan kajian. Contohnya, ciri pendidik yang terlibat dalam kajian ini adalah
berpengalaman dalam pelaksanaan Pendekatan Projek. Sementara itu, kanak-kanak yang
terlibat dipilih berdasarkan penglibatan aktif serta dapat mengemukakan idea secara spontan
semasa aktiviti dalam bilik darjah dengan mengambil kira saranan daripada pendidik.
Instrumen
Bagi mendapatkan data ini, pemerhatian menerusi rakaman video dijalankan di sepanjang
proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Selain itu, data turut diperoleh dalam
bentuk dokumen seperti lakaran dan tulisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak sebagai
sokongan terhadap dapatan data pemerhatian.
Prosedur Pengumpulan Data
Pemerhatian dilakukan oleh penyelidik secara kritikal bagi tujuan penginterpretasian data-
data “non-verbal” yang diperoleh menerusi segala aktiviti, peristiwa serta tingkah laku peserta
kajian. Oleh itu, bagi tujuan merekod pemerhatian, rakaman video terhadap aktiviti yang
dijalankan oleh peserta kajian adalah dalam lingkungan masa 30 minit hingga 1 jam.
Penggunaan alat perakam video oleh penyelidik disedari oleh peserta kajian kerana
diletakkan di bahagian belakang bilik darjah dan perakam MP3 juga diletakkan di atas meja
kanak-kanak. Tempoh rakaman berlangsung selama sepuluh bulan untuk melengkapkan
Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 dalam Pendekatan Projek.
Selain itu, penyelidik juga membuat catatan pemerhatian berbentuk catatan lapangan bagi
mendapatkan pemahaman dan huraian terperinci berkaitan pelaksanaan aktiviti penyiasatan
kanak-kanak menerusi Pendekatan Projek. Penyelidik membuat catatan lapangan dengan
berpandukan prinsip umum yang digariskan oleh Bryman (2012) iaitu (1) menulis dengan
ringkas dan pantas sebaik sahaja melihat atau mendengar sesuatu yang berkaitan dengan
kajian, (2) kemudiannya menulis semula dalam bentuk transkripsi dengan lebih terperinci
pada waktu malam semasa ingatan masih segar. Di samping itu, data juga diperoleh daripada
dokumen tidak rasmi yang telah dihasilkan oleh kanak-kanak yang berbentuk lakaran, buku
catatan, model serta gambar aktiviti penyiasatan yang relevan dengan kajian ini.
57
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
Analisis Data
Proses penganalisisan data bermula dengan menyusun data-data yang dikumpul dalam
bentuk yang berfungsi setelah melalui proses analitikal. Data-data yang diperoleh dari sumber
pemerhatian dan dokumen dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan berdasarkan
tema, dengan mematuhi tiga proses utama yang dikemukakan oleh Miles dan Huberman
(1994) iaitu (1) mereduksi data, (2) mengorganisasi data dan (3) verifikasi serta membuat
kesimpulan (Rajah 2).
Rajah 2. Penganalisisan data
Proses penyaringan atau reduksi terhadap data-data yang dikumpul dilakukan agar data-data
yang kurang releven dapat diasingkan. Seterusnya proses pengekodan data dilakukan
menggunakan kaedah “provisional coding” iaitu dengan menentukan kod-kod tema yang
berkaitan dengan fokus kajian dengan lebih awal berdasarkan pembacaan soroton kajian. Di
samping itu, kaedah “pattern coding” turut dilakukan iaitu dengan menghimpunkan kod-kod
yang mempunyai ciri-ciri yang hampir sama untuk tujuan penganalisisan data dalam peringkat
kedua.
Fasa kedua dalam proses penganalisisan data adalah merupakan proses mengorganisasi
dengan mempersembahkan data dalam bentuk jadual. Seterusnya, lima orang panel pakar
dilantik untuk semakan dan pengesahan ketepatan maksud yang telah ditafsirkan bagi setiap
tema, subtema, kategori, subkategori dan indikator yang digunakan dalam dapatan kajian ini.
DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Dapatan kajian menunjukkan terdapat empat elemen yang membawa kepada penyiasatan
secara inisiatif kanak-kanak iaitu (1) soalan kanak-kanak, (2) pemilihan bahan dan alat radas
dan (3) tatacara pelaksanaan penyiasatan.
Soalan Kanak-kanak
Terdapat dua jenis bentuk soalan yang dikemukakan oleh kanak-kanak iaitu (1) soalan
berbentuk keinginan untuk menjalankan penerokaan terhadap sesuatu perkara yang menarik
58
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
perhatian dan (2) soalan berbentuk untuk menjalankan penyiasatan atau aktiviti hands-on
(Jadual 1)
Jadual 1
Senarai soalan kanak-kanak
Kes
Sabun
Bentuk soalan Senarai soalan
Penerokaan
i. strawberi “apakah rasa buah strawberi?” (PE (2) O/RV-15/2/16,
perenggan 15)
“kenapa buah strawberi perlu dibasuh?”.(PE (2) O/RV-
15/2/16, perenggan 18).
ii. biji benih “apakah titik-titik yang ada kat buah strawberi?” (PE
(2) O/RV-15/2/16, perenggan 15)
“cikgu, biji benih tu apa? (PE (4) O/RV-22/2/16,
perenggan 15)
Penyiasatan
i. Roti “cikgu macam mana nak buat roti?” (PE (6) O/RV-
2/3/16, perenggan 6).
“kenapa dia naik nie cikgu? dan “kenapa ada bau
busuk? (PE (7) O/RV-3/3/16, perenggan 16)
“kenapa dia jadi besar” (PE (7) O/RV-3/3/16, perenggan
22).
Kes Darah
Bentuk
soalan Senarai soalan
Penerokaan
i. Haiwan “cikgu, boleh tak kita google nak tengok
koala?” (PF (1) O/RV-21/6/16, perenggan
8).
“kenapa binatang boleh bergerak?” (PF
(1) O/RV-21/6/16, perenggan 9).
Penyiasatan
i. Tulang “boleh tak kita tengok tulang, cikgu?”
(PF (1) O/RV-21/6/16, perenggan 10)
“darah ni dari mana?” (PF (6) O/RV-
14/7/16, perenggan 3).
Dalam kes Sabun, soalan-soalan yang dikemukakan oleh kanak-kanak 5+ memandu
penerokaan tentang buah strawberi yang menarik perhatian mereka serta penyiasatan
mendalam tentang perkara yang menyebabkan adunan roti berbau agak busuk dan menjadi
besar apabila dibiarkan terdedah selama lima belas minit. Di samping itu, soalan kanak-kanak
4+ membawa kepada aktiviti penerokaan yang menjurus kepada minat mereka terhadap
koala serta pergerakannya. Selain itu, soalan kanak-kanak turut menggambarkan keinginan
untuk melakukan penyiasatan terhadap warna tulang dan penghasilan darah.
59
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
Pemilihan Bahan Dan Alat Radas
Kanak-kanak menggunakan daya inisiatif mereka sendiri untuk menentukan cara penerokaan
sesuatu penyiasatan. Perkara ini dapat diperhatikan menerusi peluang yang diberikan oleh
pendidik kepada kanak-kanak dalam mengemukakan idea tentang pemilihan penggunaan
bahan dan alat radas untuk menjalankan sesuatu penyiasatan.
Data pemerhatian mendapati penggunaan alat radas dan bahan yang digunakan dalam
sesuatu aktiviti penyiasatan adalah berdasarkan cadangan kanak-kanak. Manakala, pendidik
berfungsi sebagai perancah dalam menyediakan sumber untuk memenuhi keperluan kanak-
kanak. Contohnya, kanak-kanak 5+ telah mencadangkan penggunaan bahan-bahan seperti
buah strawberi dan roti manakala pinggan sebagai alat radas yang turut digunakan dalam
penyiasatan berkaitan pertumbuhan kulat (PE (5) O/RV-1/3/16, perenggan 8). Malah, terbukti
bahawa pada hari penyiasatan dijalankan (PE (6) O/RV2/3/16, perenggan 7), pendidik telah
menyediakan bahan-bahan seperti yang telah disenaraikan oleh kanak-kanak (DTRA 20,
2/3/16) (Gambar Foto 1).
Gambar Foto 1. Bahan-bahan yang digunakan untuk menyiasat pertumbuhan kulat
Sementara itu, kanak-kanak 4+ mencadangkan kepada pendidik agar menggunakan seekor
ayam sebagai bahan ujikaji untuk memudahkan mereka melihat struktur tulang (PF (4) O/RV-
28/6/16, perenggan 15). Oleh itu, data pemerhatian mendapati (PF (6) O/RV-14/7/16,
perenggan 1) pendidik telah membawa seekor ayam sebagai bahan ujikaji. Pemerhatian juga
mendapati kanak-kanak berkeupayaan melakarkan serta menyenaraikan struktur fizikal yang
mudah dan dikenali seperti kepala, ekor, kaki, peha dan sayap (DTRA21, 14/7/16) (Gambar
Foto 2).
60
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
Gambar Foto 2. Ayam yang digunakan dalam penyiasatan tentang tulang
Selain itu, kanak-kanak 4+ turut mencadangkan biji kacang, plastik, tanah dan air digunakan
semasa aktiviti penyiasatan percambahan biji benih. Kanak-kanak turut menjelaskan bahawa
air, udara dan tanah diperlukan oleh biji benih untuk hidup. Manakala plastik dipilih untuk
dijadikan sebagai tempat semaian biji benih (PF (1) O/RV-1/2/16, perenggan 11).
Sehubungan itu, pendidik menyediakan bahan-bahan dan alat radas seperti yang dinyatakan
oleh kanak seperti biji benih kacang merah, tanah, plastik dan air (Gambar Foto 3). Walau
bagaimanapun, pendidik turut menyediakan kapas bagi tujuan memanipulasikan medium
untuk semaian biji benih (DTRA22, 31/3/16). Data pemerhatian menunjukkan bahawa kanak-
kanak diberi kebebasan untuk memilih dan menggunakan bahan dan alatan yang disediakan
untuk melakukan proses percambahan biji benih (PF (2) O/RV-31/3/16, perenggan 18).
Gambar Foto 3. Bahan dan alat radas untuk penyiasatan percambahan biji benih
Tatacara Pelaksanaan Penyiasatan
Cetusan idea kanak-kanak dalam merancang tatacara penyiasatan percambahan biji benih
(PF (1) O/RV-1/2/16, perenggan 12). Contohnya, kanak-kanak 4+ mengemukakan idea
bahawa dalam langkah pertama, mereka perlu memasukkan biji kacang ke dalam beg plastik
(Gambar Foto 4). Langkah seterusnya adalah memasukkan tanah ke dalam beg plastik
tersebut. Akhirnya, mereka merancang untuk menyiram air pada setiap pagi dan sebelum
berakhirnya waktu persekolahan (DTRA14, 31/3/16). Selain itu, mereka turut membuat
keputusan untuk meletakkan biji-biji benih tersebut di lokasi yang mudah mendapat cahaya
61
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
matahari (DTRA15, 31/3/16) (Gambar Foto 5). Justeru, aktiviti penyiasatan sebenar (PF (2)
O/RV-31/3/16, perenggan 18) telah dijalankan oleh kanak-kanak seperti berikut:
Gambar Foto 4. Kanak-kanak menyiram air setelah memasukkan biji benih dan tanah ke
dalam plastik
Gambar Foto 5. Kanak-kanak meletakkan biji benih di tempat yang mudah terdedah dengan
cahaya matahari seperti digantung pada (a) cermin tingkap, (b) atas lantai dan (c) atas meja.
Selain itu, data pemerhatian (PE (8) O/RV-7/3/16, perenggan 6) mendapati kanak-kanak 5+
turut mengemukakan idea mengenai langkah-langkah dalam melaksanakan penyiasatan
tentang pertumbuhan kulat pada pelbagai jenis bahan makanan. Antara bahan makanan yang
menjadi pilihan kanak-kanak dalam ujikaji ini ialah buah-buahan, kek, nasi dan biskut.
Kanak-kanak turut memberi justifikasi terhadap pemilihan bahan seperti plastik yang
digunakan dalam penyiasatan tersebut. Kanak-kanak menjelaskan bahawa plastik digunakan
sebagai alat pembungkusan sampel makanan tersebut agar tidak terdedah kepada bahan
cemar yang terdapat dalam udara. Di samping itu, tempoh pelaksanaan pemerhatian
terhadap sampel makanan tersebut turut dicadangkan oleh kanak-kanak kepada pendidik.
Kanak-kanak menyatakan bahawa pemerhatian terhadap kehadiran kulat perlu dijalankan
pada setiap hari dan direkodkan dalam buku jurnal mereka (PE (8) O/RV-7/3/16, perenggan
9).
Data pemerhatian (PE (12) O/RV-19/4/16, perenggan 2) mendapati pelaksanaan penyiasatan
sebenar adalah seperti yang dirancangkan iaitu semua sampel makanan dimasukkan ke
dalam plastik yang kemudiannya ditutup rapi agar tidak terdedah kepada habuk dan udara
a b c
62
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
(Gambar Foto 6). Kemudian, bahan-bahan tersebut diletakkan di atas meja yang terdapat
dalam bilik darjah. Akhirnya, kanak-kanak melakukan pemerhatian dan merekod
pertumbuhan kulat yang terdapat pada sampel makanan mengikut jumlah hari yang telah
ditetapkan (Gambar Foto 7).
Gambar Foto 6. Kanak-kanak memasukkan sampel makanan ke dalam beg plastik
Gambar Foto 7. Kanak-kanak melakukan pemerhatian dan merekod pertumbuhan kulat
Perbincangan Dapatan Kajian
Dapatan kajian mendapati soalan kanak-kanak merupakan elemen yang membawa kepada
penerokaan dan penyiasatan secara inisiatif kanak-kanak yang dijalankan menerusi
Pendekatan Projek. Kanak-kanak mengemukakan soalan di sepanjang proses pengajaran
yang berlaku. Kajian mendapati terdapat pelbagai bentuk soalan yang dikemukakan
antaranya soalan yang berbentuk ingin meneroka tentang sesuatu perkara dan soalan yang
berbentuk ingin melakukan penyiasatan secara “hands-on”. Walau bagaimanapun, didapati
kanak-kanak perlu menjalankan beberapa siri penerokaan sebelum sesuatu penyiasatan
dijalankan. Hal ini berikutan sikap ingin tahu kanak-kanak sentiasa berubah. Oleh itu, pendidik
perlu memastikan kecenderungan minat kanak-kanak terhadap topik yang ingin disiasat.
Selain itu, soalan-soalan yang bernas dan boleh diuji sahaja dipilih untuk disiasat oleh kanak-
kanak (Helm & Katz, 2011; Katz, Chard & Kogan, 2014).
Selain itu, dapatan menunjukkan bahawa kanak-kanak bersama pendidik melakukan
perbincangan dan mengenal pasti soalan-soalan yang akan melalui siri-siri penerokaan dan
penyiasatan. Dalam erti kata lain, siri penerokaan kanak-kanak hanya melibatkan pencarian
maklumat secara mendalam tentang sesuatu konsep yang ingin dikaji, menerusi pembacaan
buku, perbincangan dalam bilik darjah, kerja lapangan dan internet (Helm & Katz, 2015).
63
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
Manakala penyiasatan adalah merupakan aktiviti “hands-on” yang melibatkan penggunaan
bahan dan alat radas serta penggunaan kemahiran proses sains dalam aktiviti pengumpulan
data (Azizah Zain, 2015). Malahan, kanak-kanak bertindak memilih sendiri bahan dan alat
radas yang diperlukan untuk menjalankan sesuatu penyiasatan.
Walau bagaimanapun, dapatan kajian menunjukkan bahawa sesuatu penyiasatan ditentukan
oleh pendidik dengan berpandukan soalan kanak-kanak. Hal ini disebabkan kanak-kanak
tidak dapat mengemukakan idea secara jelas tentang aktiviti penyiasatan yang bersesuaian
selaras dengan soalan yang dikemukakan oleh mereka sendiri.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, sesuatu aktiviti penerokaan dan penyiasatan menerusi Pendekatan Projek
dilihat bersesuaian bagi pembentukan pengetahuan dan konsep baharu yang diterokai sendiri
oleh kanak-kanak. Proses pembelajaran kanak-kanak menerusi aktiviti penyiasatan,
perbincangan dan kajian lapangan dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk
menggunakan inisiatif sendiri dalam mencari maklumat baharu tentang sesuatu topik yang
diminati. Penyediaan aktiviti penyiasatan yang tepat oleh pendidik adalah penting bagi
mengekalkan minat serta motivasi kanak-kanak untuk bertindak aktif sebagai perantis muda
dalam menyiasat sesuatu perkara yang diterokai.
64
2018 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XX, (Dis)
ISSN 1511 5828
RUJUKAN
Azizah Zain. (2015). Pelaksanaan Modul Projek Penyiasatan Dalam Meningkatkan
Komunikasi dan Kemahiran Sosial Kanak-kanak Prasekolah. (Tesis Doktor Falsafah
tidak Diterbitkan). Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Bryman, A. (2012). Social research methods (4th ed.), 379-414. United States: Oxford
University Press.
Harlen, W. (2014). Helping Children’s Development of Inquiry Skills. Inquiry in Primary
Science Education (IPSE), 1, 1, 5-19. Diperolehi dari
http://www.esera2013.org.cy/conference.
Helm, J. H., & Katz, L.G. (2011). Young investigators: The project approach in the early years.
Teachers College Press.
Helm, J. H & Katz, L.G. (2015). Becoming young thinkers: Deep project work in the classroom.
Teachers College Press.
Katz, L. G, & Chard, S. C. (2000). Engaging children's minds: The project approach.
Greenwood Publishing Group.
Katz, L. G, Chard, S. C. & Kogan, Y. (2014). Engaging Children’s minds: The project
approach-third edition. United Stated of America: Praeger.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2010). Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan 2010.
Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
2010. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
2025. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Miles, M. B., & Huberman, A. M. (1994). Qualitative data analysis: An expand sourcebook.
(2nd ed). Thousand Oaks: California.
Noor Miza Abdul Rahman. (2015). Pembinaan Modul Berasaskan Pendekatan Projek Untuk
Meningkatkan Kemahiran Berkomunikasi Murid Tadika (Tesis Doktor Falsafah tidak
diterbitkan). Universiti Sains Malaysia).
Noriati Rashid, Pong, Y.B. & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2012). Murid dan alam belajar.
Selangor: Oxford Fajar.
Yin, R. K. (2015). Qualitative research from start to finish. New York: The Guilford Publication.