Upload
gptd-unisel
View
117
Download
11
Embed Size (px)
DESCRIPTION
Catatan travelog oleh para aktivis Grup Hamka GPTD semasa mengikuti Kembara Akal Budi pada awal Mac 2013 ke Jakarta. Menjejak dan meneladani ketokohan Hamka dengan menziarahi ke makam beliau, pertemuan bersama anak dan cucu beliau. Semoga ada manfaat pada pembaca. Sempat bertemu dengan jaringan PEPIAT iaitu PII, HMI
Citation preview
Saat kau dilahirkan, engkau menangis tetapi orang
lain ketawa, tetapi BERJUANGLAH sampai disaat
engkau mati, orang lain menangisi pemergianmu
tetapi engkau tertawa dalam senyuman. - HAMKA
Page 2 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Catatan Pengalaman sendiri dan "Merantau ke Deli" oleh Hamka - Sarrah
Membaca "Merantau ke Deli" pasti akan mengingatkan anak-anak dari kampung yang berhijrah ke Kuala
Lumpur untuk mencari pekerjaan. Jika "Merantau ke Deli" menceritakan bagaimana anak-anak desa dan
kebanyakkannya bangsa Jawa telah di tipu untuk mendapat pekerjaan baik-baik di Deli, begitu juga hal yang
nyata terjadi pada anak-anak "mendatang" Kuala Lumpur. Seperti pengalaman aku sendiri bila ramai kawan-
kawan telah berhijrah ke KL dan sekaligus menjadi warga KL dengan tujuan untuk bekerja. Zaman aku ini
(2010), pekerjaan memang berlambak tetapi di sektor swasta dan kebanyakkannya adalah kerja sebagai
Pegawai Khidmat Pelanggan (tukang menjawab telefon/membuat panggilan telefon) dari syarikat-syarikat
seperti Celcom,Digi,Maxis, TM dan sebagainya. Pekerjaan inilah yang paling banyak dan pendapatan boleh
tahan lumayan berbanding gaji jika bekerja sebagai juruwang 7eleven. Masih sama juga seperti "Merantau
ke Deli", taraf pekerjaannya adalah sebagai pekerja kontrak.Aku sendiri juga pada mula datang ke KL hanya
bekerja taraf kontrak, dimana jika syarikat memerlukan khidmat, kontrak aku akan disambung dalam tempoh
3 bulan sekali. Tapi nasib aku agak baik kerana bekerja kerajaan (orang kerajaan memang tak banyak kerja).
Tidak seperti kawan-kawan aku yang bekerja sebagai tukang jawab telefon sebagai contoh, taraf kontrak
mereka memerlukan terma dan syarat. Jika sudah bekerja jangan haraplah mudah mendapat cuti, waktu
bekerja juga tidak konsisten. Dan yang aku tahu gaji mereka setiap bulan tidak dibayar penuh, mungkin
sedikit akan ditahan oleh majikan sehingga kontrak mereka habis barulah bayaran sepenuhnya akan
diberikan. Inilah terma dan syaratnya bekerja kontrak. Jadi jika ada pekerja kontrak yang tidak menghabiskan
tempoh khidmatnya, alamat rugilah sebahagian gaji yang tidak dibayar lagi oleh majikan.
Namun, beza peredaran zaman membezakan waktu-waktu di Deli dan KL. Didalam novel ini, Hamka
menceritakan bagaimana Poniem telah ditipu dan terjebak dalam pekerjaan di Deli sekaligus memusnahkan
hidupnya sebagai seorang perempuan "suci". Aku percaya zaman sekarang jika berhijrah ke KL tidak
mendatangkan masalah sosial yang teruk jika kita pandai membawa diri. Bandar KL bukanlah lubuk maksiat
atau segala yang teruk, bahkan di KL lah gelandangan boleh hidup tanpa perlu memikirkan hal kelaparan.
Bertambah pula dengan zaman sekarang kerajaan atau NGO ada menyediakan rumah persinggahan untuk
para pencari kerja berehat dan menumpang sebelum mendapat pekerjaan di KL. Yalah itu pengalaman aku,
boleh jadi juga ada orang yang berpengalaman buruk semasa baru dengan suasana KL. Tapi kalau bernasib
baik, di bandar KL inilah status sosial seseorang bisa berubah bila status ekonomi juga berubah menjadi lebih
baik seperti yang aku tahu dalam kisah hidup Siti Nurhaliza (artis popular Malaysia).
Disamping hal-hal penindasan, Hamka juga telah menyusun dengan menarik sekali jalan cerita tentang cinta
disisi jelek manusia.Didalam kisah ini, jalan percintaan antara Poniem, Leman dan Mariatun menjadi nadi
utama penggerak cerita.Antara perkara menarik perhatian aku adalah apabila Hamka menjelaskan disini
tentang perhubungan antara suami isteri itu sudah bukan hubungan gurauan manja bahkan hubungan itu
akan berubah menjadi sahabat yang sehidup semati malah berkomitmen pula antara satu sama lain apabila
usia meningkat kelak (m/s 97). Haha aku juga sedang berfikir-fikir tentang hubungan perkahwinanku. Di sisi
lain, aku fikir jalan percintaan cerita ini juga mempengaruhi adat-adat dan budaya sesuatu bangsa. Konflik
dalam cerita berlaku apabila hubungan perkahwinan Poniem dan Leman yang berusia hampir 10 tahun itu
musnah disebabkan pihak ketiga iaitu Mariatun. Hamka memberikan watak Leman yang lemah dan tidak
pandai menahan "ombak". Begitulah perumpamaan yang diberikan Hamka kepada susuk perempuan di
dalam cerita, " Perempuan adalah lautan, bila kita tidak kuat merenangi, kita akan ditelannya" (m/s
117). Kejatuhan Poniem di akhir-akhir muka novel bukanlah penyudah bagi cerita ini. Hamka sekali lagi
menyusun kenaikan jalan cerita dengan menyelitkan nasihat dan petua-petua secara tersirat didalam cerita.
Aku boleh melihat disini dimana watak Poniem dan bekas pembantunya Suyono yang "hidup" semula setelah
Page 3 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
dibuang sehelai sepinggang, cuba bangun dari kejatuhan dan meneruskan hidup. Berbeza dengan Leman,
perniagaannya menuju kejatuhan setelah pemergian isterinya Poniem dan pembantunya Soyono. Sebagai
pengakhiran, aku ingin memetik satu perenggan dari novel "Merantau ke Deli", sebagai kekuatan yang akan
aku pegang sampai bila-bila dalam menjalani kehidupan sebagai seorang SAUDAGAR. Kerana aku juga sedang
dan akan berpengalaman sebagai peniaga pada masa akan datang.
"Janganlah dipercaya orang-orang yang demikian tidak menyimpan wang. Kerapkali kita tertipu dengan
orang-orang yang membawa rambutan beberapa ikat pagi-pagi dari kampungnya yang jauh, mengayuh
basikal berpayah-payah. Janganlah kita sangka bahawa mereka itu golongan yang miskin. Kadang-kadang
kerana hematnya, dan kerana cita-citanya itu, bergulung-gulung wang kertas yang asalnya dari ketip, ketip
menjadi wang tengahan, tengahan menjadi rupiah, dan bila cukup rupiah itu sepuluh buah, ditukarkan
kepada wang kertas. Bertahun-tahun kemudian, barulah wang itu keluar dari penaruhan, kadang-kadang
untuk belanja ke Mekah, dan kadang-kadang untuk belanja kenduri kematiannya. Meskipun mereka
menderita payah, tetapi mata mereka hidup. Tidak ada debar dan goncang jantung melainkan berjalan
menuju maksud."- (m/s 146) Merantau ke Deli, Hamka.
(Sarrah adalah alumni UiTM Shah Alam dan isteri kepada Riza Aidil, aktivis Grup Pengkaji Tamadun Dunia
(GPTD Unisel). Buku “Merantau ke Deli” telah dibincang, dibedah dan dikongsikan pada Jumaat, 1 Mac 2013
di Pusat Pelajar Unisel bersempena mengambil semangat aktivis-aktivis yang akan menjejak ketokohan Buya
Hamka di Indonesia pada 8-11 Mac 2011. )
Page 4 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
“Hamka tetap hidup!”.
Bagi mahasiswa seperti saya, sekiranya diajukan pertanyaan oleh rakan “Sudah berapa kali kamu keluar
negara?”. Sudah tentu dengan penuh bangga saya akan menjawab pertanyaan itu dengan mengatakan “1
kali, dan 1 kali itu adalah ke Indonesia!”. Saya berpergian ke Indonesia itu bukanlah seperti orang yang
sentiasa berduit, jalan ke sana atas tujuan bercuti, membeli-belah, bergambar sambil membuat isyarat “V” di
jari . Bagi mahasiswa seperti saya kemampuan untuk bercuti ke Indonesia itu amat terbatas bahkan hampir
tidak ada. Apatah lagi atas faktor saya yang masih belajar (sudah berkahwin pula), tujuan untuk pergi ke
Indonesia untuk sekadar berjalan-jalan tentu terlalu “absurd” kedengarannya.
Kesempatan yang disediakan oleh GPTD Unisel untuk menjalankan Kembara Akal Budi XPDC Hamka
digunakan sepenuhnya peluang untuk saya ke sana. Proses untuk ke Indonesia hakikatnya tidaklah mudah.
Bagi orang yang sentiasa berduit, sekadar ke Indonesia sahaja boleh dikatakan seperti mengupas kacang di
jari ; mudah dan boleh dilakukan sambil menutup mata. Bagi saya, pengalaman menempuh perjalanan ke
Indonesia merupakan sebuah jalan cerita yang cukup berharga dalam mematangkan fikrah saya. Proses yang
di hadapi untuk ke sana penuh dengan cabaran, sejak mula sehinggalah ke penghujungnya. Pengalaman
mengutip dana daripada pensyarah yang menyokong usaha mengkaji keperibadian Hamka, pengalaman
berkejaran ke setiap masjid untuk meletakkan tabung dalam usaha meminta dana dan berbagai-bagai lagi
usaha akan kekal segar dalam ingatan mungkin sehingga ke hujung usia. Bagi manusia yang masih belajar
seperti saya, catitan ini mungkin bukanlah apa-apa sebenarnya. Hanya catitan picisan orang yang tidak
berduit pertama kali ke Indonesia. Ya, catitan seorang mahasiswa yang baru belajar untuk mengenal dunia
luarnya.
Berbekalkan semangat Hamka yang merantau ke luar negara sejak di usia muda, saya juga mahu mencuba-
cuba untuk memahami semangat yang melingkari dan sentiasa hidup di tanah Jakarta, Indonesia ; tanah
wafatnya Hamka. Niat di hati tidak sesekali mahu mengecewakan sumbangan yang diberikan, maka catitan
demi catitan telah dilakukan untuk membuktikan bahawa saya ke Indonesia itu bukanlah untuk sekadar
bergambar di Tugu Monas, atau membeli-belah pakaian batik yang tersohor di bumi Indonesia. Hampir
keseluruhan masa di Indonesia dilakukan demi mengkaji keperibadian Hamka di samping membina jaringan
bersama mahasiswa di sana. Mungkin mahasiswa di Malaysia tidak tahu, bahawasanya mahasiswa Unisel di
bawah platform Grup Penjejak Tamadun Dunia ini sudah beberapa kali mengharumkan nama mahasiswa di
Malaysia dengan saling menjalinkan hubungan bersama mahasiswa di sana. Di sana juga diskusi ilmiah telah
dijalankan bagi menghidupkan semangat mahasiswa yang sepatutnya berjalan iaitu mewujudkan budaya
saling berwacana, sekaligus cuba menafikan trend mahasiswa Malaysia yang semakin tenggelam dalam dunia
statik iaitu hanya berfokuskan kepada peperiksaan semata-mata.
Mungkin ini berita “baik” untuk rakyat Malaysia terutamanya mahasiswa kita. Sekiranya ada seseorang yang
mengajukan pertanyaan, “Adakah kamu mengenali keperibadian Hamka?” manakala jawapan kita adalah
“Tidak tahu!”, sebenarnya ia bukanlah apa-apa. Pada masa kini, seseorang yang tidak mengenali ketokohan
Prof. Hamka itu adalah suatu perkara yang biasa. Sedangkan rakyat di Indonesia juga semakin melupakan
beliau, apatah pula kita ; mahasiswa yang segan-segan untuk membaca. Mahasiswa kita mungkin tidak tahu
betapa besarnya jasa Tafsir Al-Azhar karya Prof. Dr. Hamka ini kepada masyarakat Islam di Nusantara.
Mahasiswa kita juga mungkin tidak pernah tenggelam dalam keindahan bahasa yang dinukilkan dalam karya
Page 5 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
agung Prof. Dr. Hamka seperi Tenggelamnya Kapal Van Der Witz mahupun karya-karyanya yang lain seperti
Merantau Ke Deli, Di Bawah Lindungan Kaabah dan sebagainya. Mahasiswa kita juga mungkin tidak pernah
menelusuri begitu hebatnya pengajaran tasawuf didalam karya Tasawuf Moderen dan Tasawuf
Perkembangan dan Pemurniannya. Alangkah bagusnya sekiranya mahasiswa kita membaca semua karya-
karya ini lantas akan tahu betapa besarnya jasa Hamka ini dalam ruang hidup kita. Kelak sudah tentu akan
timbulnya perasaan empati, kasih sayang dan sebagainya sehingga menguatkan kaki kita untuk menziarahi
dan menjejaki ketokohan Hamka di tanah Indonesia.
Melalui Kembara Ilmu XPDC Hamka ini juga saya turut merenung dan berfikir bagaimana Indonesia mampu
menghasilkan tokoh yang hebat seperti Prof Hamka. 4 hari berada di Jakarta mungkin bukan tempoh yang
mencukupi untuk mengetahui bagaimana Indonesia ini begitu subur dalam menghasilkan tokoh keilmuan.
Namun dengan bergaul bersama-sama dan melihat cara rakan mahasiswa di Indonesia beraktivisme dan
memerhatikan bagaimana cara mereka berfikir mungkin dapat memberi sedikit klu untuk menjawab
persoalan di minda saya. Seperti yang telah saya sebutkan, perbezaan mahasiswa di Malaysia dan Indonesia
ternyata ada sedikit perbezaan daripada segi kualitinya. Bukan maksud saya untuk melebih-lebihkan
mahasiswa Indonesia, sebaliknya tulisan ini diharapkan agar dapat dijadikan renungan bersama.
Melalui pemerhatian saya, apa yang mahasiswa di Malaysia perlu contohi daripada mahasiswa Indonesia
adalah sikapnya ; iaitu sikap yang begitu lahap kepada bahan bacaan dan juga sikap yang gemarkan ilmu
pengetahuan. Tambahan pula di Indonesia, sumber untuk membaca boleh dikatakan tidak terbatas
berbanding di Malaysia ; saya fikir daripada faktor ini juga membolehkan mereka lebih maju daripada kita.
Usaha penterjemahan buku begitu aktif dilakukan dan bukanlah jadi penghalang untuk mereka dalam
mencari sesuatu pengetahuan baru. Berbeza pula dengan kita (dalam mencari pengetahuan baru) kita
bergantung sepenuhnya kepada bacaan yang bukan dalam bahasa ibunda kita. Maka, ilmu baru itu boleh
dikatakan eksklusif untuk orang yang memiliki bahasa kedua (second language) sahaja. Oleh kerana itu lah
(mungkin), hasil daripada mudahnya akses kepada bahan bacaan dalam memahami sesuatu pengetahuan
baru, sekaligus membolehkan Indonesia aktif menghasilkan pelbagai tokoh ilmuan mengatasi kita di
Malaysia. Bagi pendapat saya, di Indonesialah tempat yang saya percaya wafatnya seorang Hamka di sana,
boleh melahirkan 1000 Hamka yang lain ; hasil kecintaan mendalam anak mudanya terhadap ilmu
pengetahuan.
Memetik sebuah kata daripada Sukarno yang disampaikan oleh Saudara Irfan yang membawa kami menjejak
ketokohan Hamka. “Ambillah api sejarah!” yang bermaksud ambillah semangat iaitu api yang berkobar-
kobar. Walaupun ekspedisi keilmuan ini berlangsung selama 4 hari sahaja, namun api semangat nya
InsyaAllah akan diperteruskan dan diperlanjutkan sampai bila-bila. Begitulah kami peserta Kembara Ilmu
XPDC Hamka kali ini. Nama Hamka bagi sesetengah antara kita mungkin sudah menjadi sejarah yang bakal
dilupakan, namun wajarnya untuk mahasiswa yang memiliki kesedaran harus jadikan semangat Hamka
dalam proses menjadi tokoh keilmuan dapat dijadikan teladan selagi nyawa dikandung badan. Nama Hamka
mungkin dapat diibaratkan seperti “cakera keras” tetapi semangatnya adalah “software” yang boleh
senantiasa dirujuk dan digunakan. Sama juga seperti rakyat di Venezuela yang berikrar bahawa “Chavez
tetap hidup!”, begitu juga kami ahli GPTD Hamka turut mengatakan, “Hamka juga tetap hidup!”. Semoga kita
ketemu lagi dalam misi menjejak keperibadian Hamka yang lain.
Page 6 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Ditulis oleh Riza Aidil Abd Azis
Ijazah Pendidikan Awal Kanak-kanak
Unisel, Selangor.
Pasar Buku Senin di Jakarta
Page 7 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Travelog Azmah sepanjang perjalanan xpdc Hamka 2013
Assalamualaikum wbt. Sebagai seorang khalifah dan seorang pelajar dengan rasa rendah diri saya ingin
mengucapkan syukur alhamdulillah kepada ALLAH SWT dan GPTD UNISEL yang telah memberikan
kesempatan dan peluang kepada saya dalam projek “Kembara akal budi dan meneladani legasi Hamka.“ Ini
adalah pengalaman pertama saya menjejak ketokohan para ilmuan dan para ulama. Banyak pengalaman dan
cabaran sebelum, semasa dan selepas ekspedisi Hamka dijalankan yang memberi banyak kenangan berharga
dan akan sentiasa segar di kotak ingatan saya yang hampir membuat saya putus semangat untuk
meneruskan projek ekspedisi Hamka, tetapi syukur alhamdulillah semangat saya ibarat api yang membara .
Terima kasih kepada ibu bapa saya, pensyarah UNISEL, rakan-rakan UNISEL, dan tidak lupa kepada penduduk
kota puteri yang telah memberi sumbangan dana kepada saya untuk menjalankan ekspedisi ini dengan
ucapan Jazakallahu KhairanKathira.
Pada 7 mac 2013, Ahli ekspedisi Hamka seramai 7 orang berangkat ke Jakarta, Indonesia untuk memulai misi
“Kembara akal budi dan meneladani legasi Hamka”. Sebelum perjalanan menaiki pesawat ahli ekspedisi
Hamka membuat perbincangan ringkas dan nasihat-nasihat yang berguna untuk menjadi bekalan sepanjang
bermusafir mencari ilmu dan pengalaman di negara jiran (Indonesia). Perjalanan dari Malaysia ke Indonesia
mengambil masa lebih kurang 2jam lebih. Setibanya kami di Bandara Soekarno Hatta kami di jemput oleh
Pak Irfan beliaulah yang banyak membantu kami sepanjang misi ekspedisi Hamka di Jakarta berlangsung.
Kami menginap di sebuah rumah yang cukup istimewa iaitu rumah keluarga besar Persatuan Islam Indonesia
(PII). Ekspedisi Hamka juga ada membuat jaringan-jaringan daripada mahasiswa-mahasiswa Indonesia seperti
Persatuan Islam Indonesia (PII), Himpunan Mahasiswa Islam(HMI), KAMMI, dan KAHFI.
Jujur saya katakan selama ini saya hanya terfikir untuk mengunjungi makam Rasulullah dan tidak pernah saya
terfikir untuk mengunjungi makam para ulama-ulama besar dan tersohor tetapi alhamdulillah saya diberi
kesempatan. Kami mengunjungi makam Almarhum Hamka yang terletak di Tanah Kusir, Jakarta Selatan.
Almarhum Hamka meninggal pada 24 julai 1981 akibat serangan strok. Pemergian Almarhum Hamka
merupakan kehilangan besar bukan sahaja rakyat Indonesia tetapi seluruh rakyat Nusantara termasuklah
negara kita Malaysia. Hal ini kerana kelebihan beliau yang cukup mengkagumkan dan serba boleh tanpa
memerlukan pendidikan yang tinggi, beliau seorang sasterawan, sejarawan, seorang ilmuan, dan seorang
ulama besar yang banyak memperjuangkan Islam. Di makam tanah Kusir juga terdapat makam pejuang-
pejuang Indonesia sewaktu yang lain. Di makam tersebut terdapat makam Syafruddin Prawiranegara beliau
adalah pejuang pada masa kemerdekaan Republik Indonesia yang juga pernah memegang jawatan sebagai
Presiden/Ketua PDRI (Pemerintah Darurat Republik Indonesia) ketika pemerintahan Republik Indonesia di
Yogyakarta jatuh ke tangan Belanda saat Agresi Militer Belanda II 19 Desember 1948.
Selesai dari makam buya Hamka, ahli ekspedisi hamka bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Agung Al
-Azhar yang dibina oleh 14 tokoh Masyumi. Istimewanya di Masjid Agung Al-Azhar ada memberi kursus Al-
Quran, pengetahuan agama, dan berbahasa Arab bersesuaian dengan hadis yang mengatakan “bacalah Al-
Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat menjadi pemberi syafa’at bagi orang yang bersahabat
dengannya” (HR. MUSLIM). Di masjid Agung Al-Azhar kami bertemu dengan anak kandung perempuan
Page 8 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Almarhum Hamka iaitu Ibu Azizah dan cucu-cucu Almarhum Hamka yang bakal mewarisi bakat beliau.
Pertama kali saya melihat Ibu Azizah terpancar sekali jiwa keibuannya dan sifatnya yang tulus serta mesra
dengan masyarakat sekeliling yang terhasil daripada didikan keperibadian Almarhum Hamka yang begitu
menyayangi anak-anak dan cucu beliau. Ibu Azizah banyak menceritakan kepada kami tentang keperibadian
Hamka dari kecil hinggalah beliau wafat, dan pesanan serta nasihat Almarhum Hamka buat anak-anak dan
cucu-cucu beliau. Apabila kami bertanyakan kepada Ibu Azizah perasaan beliau menjadi seorang anak dari
seorang ulama yang tersohor, beliau menjawab “biasa-biasa sahaja seperti anak-anak lain” hal ini kerana
Almarhum Hamka membesarkan mereka sebagai seorang bapa dan bukan seorang ulama, dan beliau juga
mengajar anaknya dengan hidup serba sederhana. Masih segar diingatan saya yang ibu Azizah mengatakan
tentang pesanan Almarhum Hamka kepada ibu Azizah iaitu “jangan jadi seperti batu yang bila-bila masa akan
tenggelam dan tidak ada yang akan menolong, tetapi jadilah seperti air yang ringan dan boleh mengalir di
celah-celah batu mengikut liku-liku arus.” pesanan Ibu Siti Raham iaitu isteri Almarhum Hamka buat anaknya
Ibu Azizah pula “cerminlah mukamu dan ingatlah yang kamu bukan siapa-siapa, kamu cuma anak Hamka” .
cukup tersirat maksudnya tetapi cukup bermakna bagi ibu Azizah yang sehingga kini pesanan tersebut masih
segar di ingatan beliau. Rugi rasanya jika nasihat-nasihat berguna seperti ini tidak kita ambil untuk
diaplikasikan dalam diri dan kehidupan kita.
Selepas bertemu dengan anak perempuan Almarhum Hamka, kami juga bertemu dengan anak lelaki
Almarhum Hamka iaitu pak Rusydi dan keluarganya. Pak Rusydi adalah anak yang paling rapat dan sentiasa
bersama Almarhum Hamka ke mana sahaja beliau pergi. Dengan kesempatan ini kami mengambil peluang
untuk menemu ramah pak Rusydi mengenai Almarhum Hamka. Dari situ saya dapat mengenali Almarhum
Hamka dengan lebih dekat lagi, Almarhum Hamka sewaktu kecil adalah seorang yang cukup nakal, dengan
usia yang cukup muda iaitu 17 tahun beliau sudah mengembara kerana terasa dengan kata-kata bapanya
yang mengatakan “kau memang anak tidak berguna.” Dari situ Almarhum Hamka meninggalkan kampungnya
tanpa pengetahuan ayahnya. Beliau lari ke Mekah untuk mencari ilmu. Berbeza dengan anak zaman sekarang
yang apabila dimarahi ibu bapa mulalah anak tersebut lari dari rumah dan pergi ketempat-tempat sosial yang
merosakkan hidup anak-anak muda. Almarhum Hamka juga pernah dipenjarakan selama lebih kurang 2tahun
7bulan atas sebab tuduhan dan fitnah. Alhamdulillah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, hikmah yang
ALLAH SWT ingin berikan kepada Almarhum Hamka ialah selama di penjara beliau telah berjaya
menyempurnakan tafsir Al-Azhar yang cukup terkenal dan mudah difahami oleh masyarakat Nusantara.
Begitu banyak cobaan yang dihadapi Almarhum Hamka tetapi semangatnya untuk meneruskan pejuangan
sangat tinggi. Karya-karya Almarhum Hamka bukan tenggelam begitu sahaja, tetapi terus dihidupkan oleh
cucu beliau iaitu pak Yusron anak kepada pak Rusydi. Karya-karya beliau dicetak dan diterbitkan oleh pak
yusron kerana merasa sayang sekali apabila karya-karya beliau dibiarkan begitu sahaja, kerana karya-karya
Almarhum Hamka banyak menyentuh tentang pengajaran hidup dan ilmu yang bermanfaat untuk kita.
Pustaka Panjimas adalah pusat pencetakkan dan penerbitan bagi karya-karya Hamka.
Memang benar perjuangan dan sumbangan Hamka tidak banyak yang ambil tahu terutamanya kita sebagai
mahasiswa, dan sesetengah masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara Almarhum Hamka
sendiri (Indonesia). Tetapi alhamdulillah pada tahun 2011 beliau telah di angkat oleh kerajaan Indonesia
sebagai pahlawan nasional yang banyak berjasa kepada Indonesia. Dengan usia saya yang masih muda dan
Page 9 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
masih mencari ilmu serta pengalaman semangat Almarhum Hamka akan saya jadikan satu semangat untuk
diri saya dalam meneruskan perjuangan.
Ada juga suara-suara sampingan yang mengatakan “kenapa mesti bersusah payah pergi jauh untuk menjejaki
ketokohan para ilmuan dan para ulama? Kenapa tidak search sahaja di google?” Sebagai mahasiswa yang
berilmu rugilah rasanya jika kita hanya bergantung kepada maklumat di hujung jari atau lebih senang dikenali
sebagai (google) kerana pengalaman menjejak ketokohan adalah pengalaman jangka panjang kita
berbanding dengan search di google. Lebih senang saya ambil contoh kenapa kita sebagai seorang pelajar
perlu pergi merantau jauh mencari ilmu? kan lebih senang duduk di rumah depan komputer dan search
sahaja maklumat yang kita perlukan. Maka dengan itu, Kita berbalik kepada pepatah “tuntutlah ilmu walau
sampai ke negara china.” Pepatah itulah yang ingin ditunjukkan GrupPenjejak Tamadun Dunia (GPTD) kepada
setiap ahlinya dan disampaikankepadaparapelajarsertamasyarakat.
Terdapat persepsi sesetengah manusia yang berfikir apabila kerja-kerja yang melibatkan aktiviti keluar
Negara pasti tujuan untuk melancong atau berhibur. Malangnya persepsi itu adalah salah, ekspedisi Hamka
ini dijalankan demi mencari ilmu dan pengalaman, kerana rugi rasanya jika kita keluar negara semata-mata
untuk melancong atau berhibur kerana pencarian dana banyak memberi saya erti kesusahan dan
alhamdulillah sekaligus membakar semangat saya untuk terus menjalankan ekspedisiHamkaini.
Syukur Alhamdulillah ekspedisi Hamka dapat diselesaikan dengan jayanya. Semoga travelog yang saya tulis
hasil pengalaman saya memberi kita semangat dan menguatkan serta meringankan kaki kita untuk terus
menjejak ketokohan para ilmuan dan para ulama. InsyaALLAH kita bertemu lagi dalam misi menjejak
ketokohan dan keperibadian Hamka yang akan datang. Perkara yang baik datang daripada ALLAH SWT dan
perkara yang buruk datang dari kelemahan diri saya sendiri sebagai seorang manusia yang serba kekurangan.
Wassalam.
Ditulis oleh Azmah Aede
Ijazah Pendidikan Awal Kanak-kanak
Unisel, Selangor
Page 10 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Hamka.
Terkadang terdetik di hati, adakah aku serius mengikuti ekspedisi ini? Seringkali perkara sama yang bermain
main di minda. Meski bukan kali pertama ke luar Negara, tetapi debaran kali ini seakan lain. Lain dari yang
lain. Bukan juga kerana akan menaiki pesawat. Mungkin saja kerana ini kali pertama berpergian tanpa ibu
ayah. Mungkin juga kerana berpergian untuk menjejak legasi keilmuan yang di inspirasikan oleh tokoh agung
ini, Hamka.
Persiapan demi persiapan dibuat. Dari menelaah roman tulisan Hamka, mengkaji serba sedikit latar belakang
dan biodatanya, dan sebagainya. Namun aku terasa asing kerana aku ditaja oleh PAMA a.k.a papa mama.
Tidak mengapa. Untuk ekspedisi lainnya nanti, pasti aku akan bersama sama sahabat sahabat lain belajar
mengumpul dana untuk perjalanan ilmu. Terasa rugi pun ada juga kerana jelas terlihat pada tampang
sahabat sahabat kepuasan mereka menggunakan dana yang mereka kumpulkan sendiri dengan penat lelah
mereka tanpa merunsingkan orang tua.
Segalanya diajar sebelum memulakan perjalanan jauh ini. Dari melipat baju hingga adab sopan di Negara
orang. Ku akui, saat ini amat amat aku rindukan mama. Yang biasa melipatkan baju saat akan berpergian.
Yang akan mengingatkan tentang passport dan tiket. Yang akan membebelkan itu dan ini. Mungkin ini yang
namanya keharusan berdikari?
7 mac 2013
Lalu, hari yang ditunggu tiba jua. Walau debar terasa ku gagahkan juga diri melangkah sambil mendukung
beg beratku. Setelah berhempas pulas didalam kelas menghadapi ujian dari subjek yang menyakitkan otak.
Kajian tentang tokoh yang akan dijejak masih juga diteruskan untuk saat saat yang terakhir ini. Juga
menelaah latar belakang beberapa buah organisasi pelajar islam di Indonesia. Buat persediaan untuk
berdialog, agar tidak ‘blur’ nantinya.
Perjalanan bermula seawal jam 5.oo p.m waktu Malaysia. Pesawat dijadualkan berlepas jam 10.30 p.m.
tetapi bagi mengelakkan terlambat kerana kesesakan lalu lintas perjalanan di mulakan seawal mungkin.
Menunaikan solat maghrib di lapangan terbang amat membuatkan aku tidak selesa. Ini bukan rumah
shazuan. Mind set yang perlu diubah. Kerana bumi itu adalah tempat bersujud. Selesakan saja dirimu. Jangan
mengeluh.
Kelamaan menunggu membuat aku bosan. Lantas aktiviti bersembang menjadi pilihan. Saat aku
diamanahkan untuk memegang dan menyimpan tiket untuk “return” ke Malaysia terasa satu beban berat
dilempar ke bahu. Mungkin saja kerana menyedari aku ini seorang yang pelupa. Khuatir aku lupa di mana
letaknya. Siapa yang akan menjawab? Mahu jadi rakyat Indonesia semuanya?
Berita pesawat ditangguh membuat aku mati sebentar. Aku kepenatan menunggu. Aku mahu masuk
kedalam pesawat sesegera mungkin. Aku ingin tidur!
Saat tibanya waktu menaiki pesawat, hatiku melonjak kegembiraan. Kali pertama naik pesawat tanpa ibu
ayah. Sempat aku bisikkan itu ke telinga rakan seperjuangan ku. Tidak mengapa. Mati nanti pun tanpa ibu
ayah. Saat pesawat berlepas aku pun mula selesakan diri dan ingin memulakan perjalanan mimpi indahku.
Page 11 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Namun aku terganggu dengan bau makanan yang dihidangkan oleh pramugara dan pramugari dan juga
kewajipan mengisi borang masuk ke Negara tujuan, Indonesia. Ada ada saja pengacaunya.
Saat pesawat mendarat selamat, aku sangat bersyukur. Bau udara Indonesia berbeza ya. Bisik hati kecil.
Perjalanan diteruskan ke tempat penginapan. Mengambil masa kurang 2 jam. Amat memenatkan. Bila tiba,
tanpa membuang masa terus saja aku menyambung pelayaran mimpi yang sempat terhenti di sempadan
pulau sedar. Esok akan menjadi hari yang panjang.
8 mac 2013
Jumaat di Indonesia. Seawal 5.00 a.m kami bangun menunaikan solat subuh berjemaah diteruskan dengan
bacaan al-mathurat penambah perasa dalam adunan keimanan dan diiringi doa rabitah penguat ukhuwah
kami. Semoga berterusan sampai ke Malaysia, sampai bila bila hendaknya.
Tujuan pertama hari ini adalah pemakaman Buya Hamka dan ahli keluarga. Suasana sayu menyelubungi
segenap kepingan hati hati kami. Penerangan yang di berikan masuk ke tangkai hati kami. Data data
dikumpul untuk dijadikan tatapan rakan di Malaysia yang tidak ikut sama ke sini tetapi semangat mereka
dirasai seakan berdiri disisi sisi kami.
Tujuan seterusnya adalah masjid al-azhar, tempat dimana tafsir al-azhar dibahas. Bukan untuk menyambung
perbahasan tafsir, tetapi untuk bertemu turunan ilmuan agung Hamka, Ibu Azizah. Dialog yang dijalankan di
Aula Buya Hamka ini menyentuh ke dasar hati kami. Cerita zaman kanak kanaknya disajikan kepada kami.
Nasihat agung dan kata-kata hikmah dari Buya Hamka di kongsi bersama kami.
Solat jumaat kami di masjid agung ini. Jemaah di Indonesia ini memang berbeza dengan saudara di Malaysia.
Belum apa apa, ruangan solat sudah penuh. Makanya aku dan teman teman terpaksa duduk bersila di luar.
Sepertinya di Masjidil Haram saja. Ketika rintik jernih mula menampar pipi, kami mula bergerak masuk
kedalam meski harus duduk berlapis.
Perjalanan diteruskan ke Pustaka Panjimas, tempat pencetakan buku buku Hamka. Sekarang ianya diuruskan
oleh cucunya.
9 mac 2013
Kepenatan setelah berjalan seharian. Menjalankan dialog mahasiswa bersama pimpinan gerakan pelajar
islam di Indonesia. Semoga saja aku bias seperti mereka. Tahu membagi masa, mahir mengurus organisasi
dan terus kuat mengharungi cabaran.
*tandang ke gelanggang walau seorang
Page 12 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
10 mac 2013
Berjalan sambil menghabiskan not kertas yang ada. Pagi di Pasar Senen, petang di Islamic Book Fair.
Menjelang maghrib, sekali lagi aku dikejutkan dengan betapa berbezanya jemaah di sini. Solat berjemaah
memerlukan 3 hingga 4 pusingan. Tapi tetap saja dijalankan. MasyaALLAH.
11 mac 2013
Harinya untuk pulang ke Malaysia. Meneruskan perjuangan yang masih panjang bersama sama cita cita dan
harapan. Semoga apa yang di kumpul bakal berguna untuk semua. Semoga semoga dan semoga. Meski
sudah jauh ditinggalkan, namun sepertinya aku sudah jatuh cinta dengan Indonesia.
Ditulis oleh Mohd Syazwan
Foundation TESL
Unisel, Selangor
Bersama keluarga Hamka
Pak Rusydi dan cucu beliau Pak Yusran yang sekarang menguruskan Percetakan Panjimas
Page 13 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Pagi itu rasa tenang yang aman. Angin bertiup, dan matahari mula meninggi. Walaupun terasa sirnanya,
kehangatannya tidak terlalu mengancam tubuh hinggakan menimbulkan rasa kurang selesa. Itulah yang
dirasai ketika menjejakkan kaki ke tanah perkuburan wira Negara Indonesia, unit Islam, apabila kami,
ekspedisi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dalam Kembara Akal Budi untuk meneladani Legasi HAMKA.
Terasa sayu melihat makam Haji Abdul Malik yang disemadikan disini. Terasa bagaikan mengimbau zaman
lalu apabila Saudara Irfan, sahabat dari Indonesia yang banyak membantu kami dalam kajian ini,
mengisahkan kisah tokoh hebat ini. Jika di Malaysia, ia mungkin digelar Tok Guru, Syeikh, Dato’ Seri atau apa
sahaja pangkat yang ada ekoran dengan kehebatan beliau dalam menjadi sasterawan, ulama’ dan juga tokoh
politik. Beliau bercita-cita besar dengan menubuhkan Pesantren Al-Azhar sebelah Masjid Agung Al-Azhar
dalam mendidik generasi muda Islam membangunkan dan mengagungkan Islam di tanah Indonesia ini. Prof.
Dr. HAMKA, itulah tulisan yang diukir diatas batu nisannya.
Seusai di makam, kami menuju ke Masjid Agung Al-Azhar. Ingin melihat sendiri kehebatannya, ingin mengkaji
dengan lebih mendalam apa kelebihannya dan merasai suasana Islam yang berbeza dari Malaysia. Tujuan
kami ke sini bukan sekadar ingin melihat Masjid dan Pesantren Al Azhar tetapi, mendapatkan maklumat
lanjut tentang Buya HAMKA dari anak perempuan pertama beliau yakni Ibu Azizah. Ketika melihat Ibu Azizah,
semangatnya sangat kuat walaupun tubuhnya sudah meningkat senja. Gagah berdiri dan menguruskan
kehidupan peribadi dan menjalankan tanggungjawab sebagai nenek kepada cucunya seorang diri serta
mampu melayan kami bagi melengkapkan kajian kami terhadap orang yang dicintainya iaitu bapanya sendiri.
Ketika ditanya, banyak falsafah-falsafah yang dikeluarkan terutama ketika ibu Azizah bersama bapanya serta
uminya. Dua orang ini yang paling rapat dengannya dalam memastikan ibu Azizah membesar dengan baik.
Walaupun di rumah HAMKA membesarkan anaknya dengan peranan sebagai seorang bapa bukannya ulama,
tetapi uminya mengingatkan bahawa dia bukan anak kepada orang yang sebarangan. Pernah terjadi satu
kisah Ibu Azizah mengadu kesedihan kepada bapanya ekoran dengan peristiwa disekolah, bapanya berpesan,
untuk pergi ke Masjid, selesaikan solat yang wajib dan sunat, kemudian sepanjang perjalanan dari masjid ke
rumah, perhatikan apa yang berlaku dan lihat alam ini dengan sebaiknya. “Alhamdulillah, setelah melakukan
apa yang bapa saya katakan, saya terasa jiwa yang geram dan marah seolah-olah hilang dan terasa damai
apabila melihat alam ini.” Ujar Ibu Azizah. HAMKA memang gemar melihat alam ciptaan Allah SWT dan
banyak mendapat insipirasi darinya.
Hebat sungguh orang yang hebat. Ini kerana ia dapat dilihat bukan sahaja kepada anaknya, malah hinggakan
cucu dan cicitnya mendapat tempias kehebatan dan kebijaksanaanya. Ibu Azizah ada juga menceritakan
serba sedikit kisah cucunya yakni cicit HAMKA dan sungguh istimewa keturunan HAMKA ini. Selepas bertanya
dan memperoleh maklumat tentang HAMKA daripada Ibu Azizah, kami terus ke Pustaka Panjimas
berhampiran dengan rumah anak kedua HAMKA yakni Pak Rusydi.
Disini, karya-karya Buya HAMKA dikumpul dan akan diulang cetak oleh Pustaka Panjimas yang dilakukan oleh
Pak Rusydi dan diteruskan oleh anaknya pula, yakni cucu HAMKA, Pak Yousran. Pak Yousran antara cucu yang
sempat bermanja dengan HAMKA dan ada dikongsikan juga yang HAMKA mengangkat martabat wanita
Page 14 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
seperti mana dapat diihat karya HAMKA ‘Kedudukan Wanita dalam Islam’ dan dalam Tafsir Al Azhar dari
Surah An Nisa’. Pak Rusydi juga ada menulis karya tentang ayahnya kerana Pak Rusydi ini antara anaknya
yang paling rapat dan sering mengikuti ke mana sahaja urusan HAMKA. Disini kami juga dikisahkan tentang
zaman HAMKA dari kecil hingga beliau meninggal dunia ketika itu, ramai sekali manusia yang hadir juga
berbilang agama dalam memberi penghormatan terakhir hinggakan Pak Yousran tidak berpeluang untuk
melihat dan mencium HAMKA sebelum dikebumikan ekoran masih kecil dan orang terlalu ramai.
Peluang berada disana dilanjutkan dengan mengadakan sesi dialog bersama Himpunan Mahasiswa Islam
(HMI) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII). Apa yang dapat dilihat adalah generasi muda Islam
Indonesia yang begitu semangat memikul tanggungjawab memimpin dan membentuk generasi pemimpin
negara. Kisah HAMKA yang memperjuangkan agama, negara dan meninggalkan keilmuannya kepada
generasi muda dapat dikesan didalam aktivis-aktivis Islam Indonesia ini apabila semangat mereka dan cara
mereka berfikir amat luar biasa sekali. Ketua Umum atau di Malaysia mungkin dikenali sebagai Yang Di-
Pertua atau Presiden sudah mula menulis buku bagi membentuk fikrah, Tarbiyyah dan organisasi mereka
demi menerbitkan dan menghasilkan naskah-naskah dan buku-buku.Mereka ini memperjuangkan dan
menyambung tugas-tugas tokoh Islam sebelum ini dalam meneruskan usaha dakwah dari Rasulullah S.A.W.
ini. Semangat yang diperoleh ini akan dibawa ke Malaysia supaya perjuangan ini diteruskan disini.
Ditulis oleh Edi Rozaidi
Dari UPM, Selangor.
Para aktivis semasa menziarahi makam pahlawan Indonesia
Page 15 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Disebalik kehebatan Almarhum Hamka berdirinya seorang isteri (Siti Raham)
Disediakan oleh Azmah Binti Aede.
Menyingkap kisah-kisah lelaki yang hebat pasti disebaliknya seorang yang bergelar wanita, sama ada dia
adalah ibu, isteri, saudara-saudara perempuan, dan berkemungkinan juga seorang musuh yang bergelar
wanita. Bak kata pepatah “belakang seorang lelaki (samada kejayaan atau kegagalan) ada seorang wanita.”
Nabi Muhammad SAW juga kehidupannya diiringi dua orang wanita yang cukup hebat iaitu Saidatina
Khadijah r.a dan Saidatina Aisyah r.a. Begitulah juga disebalik kehebatan Almarhum Hamka berdirinya
seorang wanita yang tidak kurang hebatnya juga iaitu isteri beliau Almarhuma Siti Raham (ummi).
Almarhuma ummi adalah seorang wanita yang mempunyai hati yang mulia dan rendah diri, dia tidak akan
meminta apa- apa diluar kemampuan suaminya. Sewaktu dalam kemiskinan mereka sembahyang berganti-
ganti kerana mempunyai sehelai kain sarung sahaja. Ummi juga telah mengadaikan barang kemas, pakaian
terpilih miliknya untuk membeli beras bagi memberi sesuap nasi kepada anak dan suaminya, teladannya
agak dekat dengan Siti Khadijah r.a yang mengunakan hartanya membantu perjuangan Rasulullah. Dialah
yang sering membakar semangat Hamka untuk berjuang di jalan dakwah. Kesibukan Almarhum Hamka dalam
berdakwah dan penulis menuntut beliau menguruskan segala keperluan suami dan anak-anak disamping
memberi didikan yang sempurna kepada mereka dalam menuntut ilmu.
Tembok kekuatan hati ummi telah diuji bila mana Almarhum Hamka dipenjarakan selama 2tahun 7bulan
oleh pemerintah, ummi melalui hidup bersama anak-anak tanpa suami disisi pasti mengundang pelbagai
cabaran dan tomahan. Namun dikuatkan hatinya demi anak-anak tersayang, ketika itulah gelaran seorang
bapa dijunjungnya dengan penuh amanah. Besar amanah yang dipikul namun itulah pengorbanan yang
sekiranya niat untuk mencapai keredhaanNya menjadi satu ibadah, seperti yang telah difirmankan didalam
Al-Quran yang bermaksud “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah
menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada kepada yang makruf, mencegah dari
yang mungkar, mendidirkan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka
itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
Semasa Almarhum Hamka dibebaskan, beliau dijemput untuk mengadakan pengajian agama di Makasar dan
kehadiran ummi menyebabkan masyarakat meminta untuk mendengar pidato darinya. Hadirin menunggu
dan Almarhum Hamka berdebar-debar dengan apa yang bakal diucapkan.“Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh,” kata ummi dengan lancar dan tetap tersenyum. “Saya diminta berpidato, tapi sebenarnya ibu-
ibu dan bapa-bapa sendiri memaklumi bahawa saya tak pandai berpidato. Saya bukan tukang pidato seperti
Buya Hamka. Pekerjaan saya adalah menguruskan tukang pidato, sejak dari memasakkan makanan hingga
menjaga kesihatannya. Oleh kerana itu maafkan saya tidak boleh bicara lebih panjang. Wassalamu’alaikum
warahmatullah,” kata ummi dan ummi pun turun dari mimbar. Tanpa diluar jangkaan, orang ramai yang
hadir ketika itu bertepuk tangan sambil menyebut “Hidup ummi, hidup ummi!”. Ketika itulah gugurnya
airmata seorang lelaki juga suami kerana sangat terharu dengan kehebatan isterinya (ummi).
Page 16 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Bersama Ibu Azizah (anak Hamka) dan sekitar Masjid Al-Azhar
Page 17 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
MEMBINA JARINGAN PELAJAR-PELAJAR INDONESIA
Antara kelebihan yang kami perolehi sepanjang XPDC GPTD Hamka ini adalah dengan terbinanya
jaringan bersama para mahasiswa di sana. Kesempatan ini telah digunakan sepenuhnya oleh kami
untuk saling bersuai kenal, belajar dan akhirnya ia memprovok fikiran kami dengan menyaksikan
sendiri bagaimana para mahasiswa di sana beraktivisme dan di dalam masa yang sama tidak
melupakan pekerjaan utama seorang mahasiswa iaitu untuk belajar.
Teringat pesanan Ungku Aziz yang dipetik didalam buku Mahasiswa Menggugat ; “Biarlah
mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.” Kami percaya inilah sepatutnya yang perlu
dijalankan oleh universiti kita khususnya seseorang yang bergelar mahasiswa. Gelaran mahasiswa
itu sungguh bermakna apabila diaplikasikannya bukan sahaja di dalam ruang kelas, sebaliknya juga
berada di lapangan iaitu dengan bertemu, mempelajari hal ehwal kemasyarakatan serta mengkaji
keperibadian manusia/tokoh contohnya Prof. Dr. Hamka.
KAMMI (Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia)
KAMMI adalah sebuah gerakan yang berorientasi kepada aksi real dan sistematik yang berlandaskan
AL-Qur'an dan Sunnah mengenai reformasi dan pembentukan masyarakat Islam dari segi peradaban
masyarakat.Visi gerakan KAMMI dilandasi dengan pemahaman tentang realiti bangsa Indonesia
dengan pelbagai masyarakat majmuk, sehingga KAMMI akan bekerja untuk kebaikan dan kemajuan
bersama rakyat, bangsa dan tanah air mereka (Indonesia). Dengan prinsip yang KAMMI pegang iaitu
kemenangan islam adalah jiwa perjuangan dan kebathilan adalah musuh abadi, serta persaudaraan
adalah watak muamalah, KAMMI telah menubuhkan sebuah organisasi yang cukup hebat dan
berstruktur.
PII (Pelajar Islam Indonesia)
Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) adalah organisasi yang mempunyai pola kaderisasi yang
mengabungkan aktivisme, intelektualisme, dan keagamaan yang disebut Ta’dib. Istilah Ta'dib tidak
sekadar digunakan sebagai istilah tarbiyah yang tidak bermakna spesifik karena konsep tarbiyah
bersifat umum sementara ta'dib lebih bersifat spesifik pada pendidikan dalam rangka pembentukan
manusia yang lebih beradab. Akan tetapi konsep Ta'dib dipakai untuk suatu visi luas dan kehadapan
yang dimiliki oleh PII sejak kelahirannya di tahun 1947. Kehebatan PII dapat kita lihat apabila PII
meningkatkan penggunaan bahasa melayu kerana orang melayu lebih dekat dengan islam. Latihan
Page 18 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
HMI (Himpunan Mahasiswa Islam)
Himpunan mahasiswa Islam (HMI) adalah salah satu organisasi mahasiswa terbesar di
Indonesia. Penubuhan organisasi HMI adalah bertujuan untuk mempertahankan Negara
Republik Indonesia dan mengangkat darjat rakyat Indonesia. Selain itu, HMI juga mengambil
peranan dalam menegakkan dan mengembangkan ajaran agama islam. Kehebatan HMI dapat
dilihat apabila HMI dapat menerbitkan sebuah jurnal UNIVERSAL yang dihasilkan empat
bulan sekali yang membicarakan tentang pemikiran, pergerakan, dan peradaban manusia.
KAHFI BBC SCHOOL (Bagus Brain Communication School)
KAHFI merupakan program belajar komunikasi plus yang didirikan, diasuh, dan dipimpin
oleh Tubagus Wahyudi. KAHFI adalah sekolah percuma dan hanya perlu dibayar dengan
solat lima waktu. Bapak Tubagus memiliki semangat dan penumpuan yang tinggi untuk
meningkatkan kemampuan mahasiswanya dalam public speaking, komunikasi, baik
intrapersonal (pada diri sendiri), mahupun interpersonal, dasar fikiran islamik,
pengembangan keperibadian, dan pelbagai kemahiran lagi. Semuanya dibangun dari
fundamental hypnosis dengan penekanan pada kekuatan otak kanan manusia iaitu kekuatan
tanpa sedar manusia yang memiliki kemampuan yang belipat kali ganda dari otak kiri.
Para aktivis bergambar kenangan bersama barisan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI)
Page 19 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Bergambar bersama pimpinan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII)
Perbincangan dan bertukar idea ketika pertemuan bersama Kesatuan Aksi Mahasiswa
Islam Indonesia (KAMMI)
Page 20 KEMBARA AKAL BUDI—HAMKA (8 MAC 2013 HINGGA 11 MAC 2013)
Pelajar-pelajar Kahfi BBC School bersama guru mereka, Bapak Tubagus