1
Seorang pemuda menguap luas, kertas di tangannya
diletakkan ke atas meja. Wajahnya tampak lesu, begitu juga
beberapa orang lain yang turut duduk di sekeliling meja bulat
di tengah-tengah bilik tersebut. Ada juga yang bersandar
pada kerusi sambil memejamkan mata. Permukaan meja
dipenuhi dengan timbunan kertas, fail-fail dan buku-buku.
Di satu sudut bilik, ada sebuah papan putih yang tertampal
gambar beberapa remaja lelaki dan perempuan, nama dan
umur mereka dicatatkan di bawah setiap gambar.
Bang!
Bunyi pintu bilik dibuka membuat mereka terkejut.
Seorang pegawai lengkap beruniform melangkah masuk.
Wajahnya serius, matanya tajam memerhati wajah-wajah di
hadapannya. Ada yang berpura-pura sedang membaca, yang
lain pula membetulkan kedudukan masing-masing.
“Report!”
Mereka saling berpandangan seketika sebelum salah
seorang yang paling senior menjawab. “Kami... masih
berusaha, tuan.”
Keningnya berkerut. “Dah seminggu pun masih tak
dapat apa-apa?”
Serentak mereka menggeleng.
Dia mengeluh. Matanya memandang satu-satu wajah
di hadapannya. Faham benar yang mereka agaknya sudah
terlalu letih sampai gagal berfungsi secara normal.
Sakti8
“Hmmm... Saya bagi korang masa tiga jam. In three
hours, saya nak korang berkumpul balik dekat sini. Faham?”
Wajah masing-masing cerah. Walaupun cuma tiga jam,
sekurang-kurangnya mereka dapat meloloskan diri dari bilik
itu. Masa untuk makan, berehat dan menyegarkan semula
mata dengan kafein dan candu nikotin.
“Terima kasih, Tuan Mikael,” ujar mereka sebelum
beredar. Tidak perlu disuruh dua kali. Mika tersenyum.
Setelah kesemua anak-anak buahnya menghilangkan
diri, Mika kembali ke tempatnya. Dokumen yang berada di
atas meja dipandang sepi. Dia berjalan menghampiri papan
putih.
Kes yang dikendalikannya kali ini agak mencabar.
Setakat ini sudah seramai 15 remaja lelaki dan perempuan
dilaporkan hilang namun satu pun tidak berjaya ditemui
sama ada dalam keadaan hidup ataupun mati.
Suasana cemas yang memenuhi ruang itu seolah
dapat dihidu baunya. Meresap ke dalam jiwa, membuatkan
hormon adrenalin dirembeskan dan jantung dipacu semakin
laju. Seorang gadis menjerit. Satu tubuh rebah terlentang
ke belakang. Darah mengalir membasahi lantai simen.
Tiada gerakan. Esak tangis kedengaran. Seorang lelaki
menghampiri tubuh yang kaku itu.
“Jangan dekat! Dia tak salah! Don’t hurt him anymore!”
ujar seorang lelaki yang lain.
“Jangan halang aku. Kalau kau hormat aku, move!”
Kieraeinz 9
Esak tangis semakin kuat. “Please... please stop...” tangis
gadis itu. Luluh hatinya melihat tubuh yang terlentang di
lantai. Entah hidup atau mati, dia tak boleh memastikannya
dari tempat dia berada.
Penyerang itu tidak berpuas hati. Pisau yang dicapainya
takkala remaja lelaki itu terjatuh digenggam erat. Darahnya
mendidih. Dia benci dengan mereka yang mencabar kata-
katanya. Dia benci budak itu malah dia juga benci lelaki yang
mempertahankannya. Mereka ingkar padanya. Mereka tidak
mendengar kata-katanya. Mereka tidak hormat dirinya.
Mereka lupa siapa dia pada mereka. Dasar tidak kenang
budi!
Dia melangkah menuju ke arah lelaki yang masih
berdiri di hadapan remaja lelaki itu tetapi lelaki itu berjaya
menghalang serangannya. Kedua-dua tangannya dipegang
erat.
Kekuatan lelaki itu sudah pasti berjaya mematahkan
kekuatan penyerang kerana dengan mudah dia mampu
melakukannya. Tapi dia tidak dapat bertindak. Dia terkaku
memerhati wajah bengis insan itu. Tidak mungkin dia mahu
mencederakan penyerangnya. Dia dalam dilema. Kasih
sayangnya pada penyerang itu tidak dapat dilupuskan. Air
matanya menitis.
Penyerang itu mendengus geram. Kata-kata keluar
dari mulutnya bertubi-tubi. Dia meronta-ronta untuk
melepaskan diri namun cengkaman pada kedua-dua
tangannya cukup kuat. Matanya memandang air mata yang
mengalir menuruni pipi lelaki itu. Dia lantas mendekatkan
dirinya lalu menyerang titik kelemahan lelaki itu dengan
tendangan lutut. Pegangan terlepas, lelaki itu terduduk.
Sakti10
Dia puas. Pertama sekali dia perlu selesaikan remaja lelaki
yang masih terlantar tidak sedarkan diri itu.
“Cepat. Bawa dia keluar. Cepat!” jerit lelaki itu.
Tangannya memeluk erat bahagian bawah badan penyerang.
Dia tidak akan biarkan usahanya sia-sia. Dia perlu selamatkan
remaja lelaki yang tidak bersalah itu.
“Arghh... tak guna!” Pisau dihunuskan ke arah bahu
lelaki itu.
Pelukan lelaki itu sedikit terlerai. Kesakitan yang
dirasakan mengurangkan kekuatan jantannya. Darah pekat
mengalir laju seumpama air yang mencurah-curah.
Jeritan dari gadis tadi kembali kedengaran. Berkali-
kali dia memohon maaf, berharap agar penyerang tidak
meneruskan niatnya.
Laungan serta jeritan gadis itu dibiarkan bergema.
Penyerang mengambil kesempatan menolak tubuh lelaki itu.
Tolakan yang kuat membuatkan kepala lelaki itu terhantuk
dengan kuat di simen. Berdentum bunyi kedengaran.
Dengan sekali hayunan, mata tajam pisau berkilat di
tangan menembus dada lelaki itu. Darah memancut diiring
erangan kesakitan. Namun yang membunuh masih tidak
puas hati. Pisau kembali dicabut dan dihayun berkali-kali.
Tidak terkira sudah berapa kali, yang penting hatinya puas.
Kieraeinz 11
Lamunan Mika tersentak mendengar keriuhan di luar
bilik siasatan. Belum sempat dia bangun dari kerusinya,
pintu bilik dibuka dan anak-anak buah yang tadi disuruhnya
berehat sudah kembali. Ada yang membawa mug kopi
masing-masing.
Jam di tangan dilirik. “Eh, baru dua jam kan? Apahal
korang masuk awal sangat?”
Anggota-anggota lain saling berpandangan. “Diorang
takde inform tuan?”
“Inform apa?”
Pintu diketuk. Semua menoleh. Lee melangkah
masuk bersama sebuah fail di tangan dan terus berjalan
menghampiri Mika.
“Tuan, kami baru dapat maklumat dari pasukan
peronda. Ada tiga mayat dijumpai dekat kawasan bekas
lombong di kawasan Dengkil. Dua remaja perempuan dan
seorang lelaki.” Fail dihulurkan kepada Mika. “Saya baru
terima gambar-gambar mangsa tadi.”
Mika membuka fail kertas yang dihulurkan oleh Lee.
Ada tiga keping gambar bersama salinan laporan. Matanya
merenung lama setiap gambar tersebut. Kemudian melirik
ke arah papan putih yang memaparkan gambar dan
nama-nama remaja-remaja yang dilaporkan hilang sejak
kebelakangan ini.
“Mayat sekarang dalam perjalanan ke HKL. Selepas
ni saya akan terus ke sana untuk bertemu dengan pegawai
Forensik. Tapi dari maklumat awal, kami percaya ketiga-
tiga mangsa ada kaitan dengan kes yang sedang tuan siasat
sekarang.”
Sakti12
Mika terpaku. Mereka yang lain juga diam membisu.
Kemungkinan remaja-remaja yang hilang itu sudah tidak
bernyawa memang sentiasa ada tapi mereka sering berdoa
agar kehilangan itu tidak berakhir dengan tragis. Malangnya,
harapan mereka hanya tinggal harapan. Dia menarik
nafasnya dalam-dalam. Cuba menenangkan diri.
Butang kemeja biru laut di tubuhnya dikenakan satu
persatu. Razz mengerling ke arah jam di atas meja. Pukul 1:29
petang. Jam tangan kesayangan jenama Daniel Wellington
di atas meja dicapai dan dipakai sebelum melangkah keluar.
Dia menuruni tangga ke tingkat bawah. Keadaan rumah
banglo dua tingkat itu sunyi. Mika seperti biasa sedang
berada di pejabatnya. Kay pula sedang duduk di ruang
tamu menonton televisyen. Siaran TV sedang menayangkan
buletin berita jam 1.30 petang.
Berita utama adalah mengenai kehilangan beberapa
orang remaja yang sudah hampir sebulan berlaku. Masih
tidak banyak perkembangan tentangnya sedangkan
pencarian besar-besaran sudah dilakukan di seluruh negara.
Macam-macam spekulasi yang berlegar membuat kes
tersebut masih menjadi sebutan di media massa dan juga
dalam Internet.
Razz melangkah ke arah adiknya, cuba melihat reaksi.
Adiknya hanya diam. Pandangannya kosong. “Kay...”
Kay masih membisu.
“Kay...” Kali ini suaranya dikuatkan sedikit. “Kay!”
Kieraeinz 13
Kay tersentak. Dia menoleh ke arah Razz, riaknya agak
cemas.
“Are you okay?”
Kay mengangguk. “Okay.”
“Are you sure?”
“Sure.”
“Ermm... okay. Kalau Kay rasa sakit or tak sedap badan
or apa-apa je, bagitau abang. Boleh?”
“Alright.”
“Abang kena keluar kejap. Ada hal. Nanti abang tapau,
ya? Kay boleh tahan tak? Ke dah rasa lapar sangat ni?”
“Boleh. Tahan.”
Razz angguk. Dia menyentuh kepala Kay lalu diusap
rambut adiknya itu. Senyuman dihadiahkan. Sekurang-
sekurangnya itu akan membuatkan Kay rasa lega. Kenapa?
Dia sendiri tidak tahu. Apa yang dia tahu, dia mahu Kay
rasa selamat. Selamat berada bersamanya, selamat untuk
berkongsi masalah dengannya dan selamat untuk berbicara
dengannya.
Kay mengalihkan pandangannya semula ke TV selepas
abangnya itu keluar. Berita yang bersiaran ditonton tanpa
minat.
Razz memandu meninggalkan kawasan perumahannya.
Kay telah banyak berubah sehingga menyebabkan dia dan
Mika, adik keduanya, risau. Kay yang dulunya cukup ceria,
manja dan sentiasa bertenaga telah menjadi pendiam dan
menyendiri setelah tersedar dari koma. Beberapa bulan
yang lalu, dia dan orang tua mereka telah terlibat dalam
kemalangan yang telah meragut nyawa kedua ibu bapa
mereka itu. Kay terselamat tapi keadaannya parah.
Sakti14
Kay masih lagi termenung. Nafasnya turun naik
secara perlahan. Tangannya mencengkam bantal kecil.
Pandangannya menjadi kabur. Sekejap gelap, sekejap
cerah. Telinganya berdesing menangkap beberapa suara.
Berbagai-bagai jenis suara yang dia dengar. Ada yang
merintih, ada yang melaung, ada yang menangis, ada yang
marah. Tubuhnya menggeletar menahan anjakan tekanan
serta debaran jantung yang berdegup laju.
“Tolong...” Perlahan ayat itu keluar dari mulut Kay.
“Kay, tolong...”
Dia tersedar, lantas berpaling ke kiri. Razz berdiri di
depan pintu dengan dua plastik makanan. Kay kembali
menoleh ke arah televisyen. Jam digital di penjuru skrin
memaparkan pukul 3.18 petang.
“Kay tolong abang. Bawa makanan ni ke dapur. I need
to answer this call.”
Kay menuju ke dapur dengan menjinjing plastik yang
dihulur. Ada tiga bungkus lauk di dalamnya. Pinggan dan
mangkuk diambil. Sebungkus sup ayam dimasukkan ke
dalam mangkuk. Ayam masak merah dan kerabu kaki ayam
pula diletakkan ke dalam pinggan. Dia mengeluh. Sudah
tiga hari berturut-turut mereka makan ayam. Razz memang
menggemari ayam, tidak pernah puas makan ayam. Pada
waktu sebeginilah Kay mengharap abang keduanya ada.
Sekurang-kurangnya mereka akan ada dua jenis lauk. Ayam
dan daging. Nasib baik dia jenis yang boleh makan semua.
“Alright, let’s eat.” Razz membaca doa makan.
Mereka makan dalam keadaan senyap. Razz memerhati-
kan adiknya makan. Tak sampai 5 minit, sepinggan nasi
Kieraeinz 15
habis. Kay menambah lagi sepinggan dan makan dengan
lahap. Habis. Tambah lagi.
“Sorry ya sebab abang lambat. Tentu Kay lapar sangat,
kan?” soal Razz.
Kay memandang Razz. Nasi yang penuh dalam
pinggannya juga ditenung. Sudah tiga kali dia menambah.
Dia tidak pasti kenapa hari itu dia teramat lapar. Tenaganya
juga hilang. Pelik sedangkan dia duduk-duduk saja. Dia
meneruskan suapan, perutnya perlu diisi lagi.
Selesai makan, Razz mencuci pinggan. Sengaja tidak
disuruh Kay melakukan apa-apa kerja di rumah, dia tahu
keadaan adiknya masih tidak begitu stabil. Selesai mencuci
pinggan, dia menjenguk periuk nasi. Hampir kosong.
Selalunya nasi kalau tanak tiga cawan, boleh tahan sampai
malam. Tapi hari ini selera Kay di luar jangkaan.
Telefon berdering. Nama Mika tertera di skrin.
“Hello?”
“Abang tengah buat apa?”
“Lepas lunch.”
“Uik... lambatnya? Kay pun makan lambat ke?”
Razz menggaru kepala yang tidak gatal. Ketegasan Mika
di tempat kerja memang selalu terbawa-bawa ke rumah.
“You know Kay tak boleh makan lambat. Nak makan
ubat ikut time lagi,” sambung Mika bila tidak mendengar
sebarang respons dari abangnya.
“Abang tahulah. Don’t worry, he’s fine.”“Sekarang ni fine la. Esok-esok?”“You worry too much. Calm down. By the way Kay
makan banyak tadi. Tiga kali tambah nasi. Pelik, kan?”
Sakti16
Mika terdiam seketika. “Serius?”
“Betul!” ujar Razz bersungguh. “Abang masak tiga pot,
habis. Licin. Dia makan 3 pinggan tadi. Sebab abang lambat
tadi kot. Dia makan macam orang kebulur.”
“What? Lambat? What do you mean by lambat? Lambat
berapa lama?”
“Sejam lebih. Abang keluar pukul 1.30 tadi. Balik pukul
3 lebih.”
“Abang Razz, Kay kena makan dalam pukul 2 so dia
boleh makan ubat pukul 3.”
“Relax. I know what I’m doing. I’m a doctor, remember?”
Mika mengeluh.
“Kau balik tak malam ni?” soal Razz, mahu lari dari
perbualan mengenai Kay. Dia tahu Mika terlalu obses dengan
adik bongsu mereka itu.
“Tak kot. Ada perkembangan baru. Need to stay.”
Kening Razz terangkat. “Kes remaja hilang tu?”
“Yeah. Ada jumpa mayat kat Dengkil. Tapi belum
confirm. Tengah tunggu bedah siasat.”Razz mengangguk-angguk. “Okay. Kau jaga diri. Kalau
ada apa-apa, call abang.”
Selepas menamatkan panggilan, Razz berjalan kembali
ke ruang tamu. Kosong. Kay tiada di situ. Pandangan mata
Razz terpaku pada pintu gelangsar dan pintu jeriji yang
terbuka. Shit.
Razz berlari keluar. Sejak kemalangan tempoh hari, Kay
tidak pernah keluar dari rumah kecualilah ke hospital untuk
rawatan susulan. Matanya melilau mencari kelibat Kay.
Macam-macam kemungkinan negatif muncul di minda. Kay
lari? Diculik?
Kieraeinz 17
Buaian yang berada berdekatan kerusi batu kelihatan
bergoyang perlahan. Pasu bunga yang tergantung
menghalang penglihatannya. Razz tersenyum lega saat
melihat kelibat Kay yang sedang duduk di buaian. Kepalanya
terlentok ke sisi. Agaknya dia mengantuk lepas makan
banyak tadi.
Sudahnya, Razz menggendong tubuh kurus Kay dan
membawanya ke biliknya di tingkat atas. Berat badan
adiknya itu semakin menyusut. Terlalu ringan, tak seperti
remaja seusianya yang aktif bersukan dan beraktiviti di luar.
Perlahan-lahan dia meletakkan adiknya ke atas katil selepas
itu. Selimut ditarik. Sebelum pukul 5.00 petang dia perlu
kejutkan Kay untuk makan ubat.
Mika memicit dahi. Tidak sampai lima jam mereka
menjumpai tiga mayat remaja itu, satu mayat lagi ditemui
dan satu kes kehilangan baru dilaporkan. Dia memandang
gambar keluarganya yang terletak di atas meja. Satu per satu
wajah kesayangannya direnung.
“Tuan Mikael okay tak ni?” soal Alia, salah seorang anak
buahnya.
Mika mengangguk sebelum mengukir senyum pada
gadis berkulit hitam manis itu. “Saya okay.”
“Ini Nescafe untuk tuan,” ujar Alia, menghulurkan
cawan berisi Nescafe yang masih berwap. Dia memang selalu
prihatin pada rakan-rakan sekerja yang lain, membuatkan
minuman panas dan sebagainya sekiranya perlu. Mika
terpandang cincin belah rotan yang tersarung di jari manis
Sakti18
gadis itu. Ah, lupa pula dia yang Alia sudah bertunang.
Katanya majlis perkahwinan akan berlangsung 3 minggu
lagi. Tapi ada khabar angin mengatakan cuti semua anggota
akan dibekukan sehingga kes ini dapat diselesaikan. Entah
jadi atau tidak majlisnya.
“Tuan Mikael...”
Liew Onn dan Ramatha melangkah masuk ke biliknya.
Kedua-duanya kelihatan sedikit tercungap-cungap. “Ini
maklumat yang kami terima pasal kes kehilangan terbaru
tu.”
Mika mengambil helaian kertas yang dihulur Liew Onn.
“Mangsa berumur 27 tahun tapi dari segi fizikal dia kelihatan macam remaja. Dalam lingkungan 19 ke 20 tahun,”
terang Liew Onn.
“Tapi ada kemungkinan penculik tersalah sangka. Sebab
dari gambar yang ibunya tunjukkan, memang susuk tubuh
dan wajahnya macam masih remaja. Kalau ikut keterangan
ibunya, dia hilang tiba-tiba. Telefon tak aktif. Tak datang
ke tempat kerja. Kawan-kawan pun tak tahu. Langsung tak
dapat dikesan.”
Mika mengangguk. “Saya nak korang berdua teruskan
soal siasat keluarga mangsa. In the meantime, kita akan
consider victim ni as one of ours. But kalau kes ni tiada
kaitan, we need to transfer it.”
Liew Onn dan Ramatha mengangguk.
Kieraeinz 19
Kay berdiri di satu kawasan yang asing. Dia
memandang sekeliling. Kosong. Hanya kegelapan yang dia
nampak. Dadanya mula berdebar-debar, perasaan takut
mula menguasai diri. Perlukah dia berjalan, tapi ada ke
penghujungnya? Di mana penghujungnya? Dia berdiri kaku
di situ. Apa yang perlu dia buat? Dia mengetap bibir. Otaknya
terus ligat berfikir.Kawasan gelap itu mula berubah sedikit demi sedikit.
Berubah menjadi putih. Tetapi Kay masih tidak tahu apa
yang perlu dibuat. Dia memandang sekeliling sekali lagi, cuba
mencari jalan keluar tetapi hampa. Matanya memandang ke
hadapan dan dia terkejut.
Kelihatan seorang lelaki berada di hadapannya sambil
merenung tajam. Bila masa lelaki itu muncul tidak pula
dia tahu. Dia telan liur, debaran di dada makin berdentum
sehingga menyukarkannya bernafas. Mereka berpandangan
agak lama, menanti sebarang pergerakan yang bakal
dilakukan. Masing-masing dalam lamunan sendiri, cuba
mencari kebenaran tanpa jawapan. Bibir lelaki itu bergerak-
gerak memperkatakan sesuatu. Dia mengerutkan dahinya
kerana tidak dapat mendengar apa-apa. Dia cuba melangkah
mendekati.
“Kay, wake up!”
Wajahnya terasa basah. Mata yang terpejam cuba
dibuka. Dalam kesamaran, wajah risau Razz menyapa anak
matanya. “Abang Razz?” Tubuhnya diangkat. Bantal dan
katilnya basah. Dahinya makin berkerut. Kebocoran apakah
yang sedang berlaku? Dia kemudian memandang Razz yang
sedang memegang sebiji gayung. Dia cuba membuka mulut
untuk bertanya namun suaranya tidak mahu keluar.
Sakti20
Tubuh Kay dipeluk erat. Syukur, Kay sedar juga
akhirnya. Sudah berkali-kali dia cuba kejutkan adiknya itu
tetapi tiada respons. Keadaannya sama seperti sewaktu dia
koma dulu. Cuma bernafas namun kekal kaku. “Kay tak apa-
apa?”
“Kay okay.”
“Kay... oh God. I’m so sorry but please don’t do that
anymore!”
“Abang Razz...” Kay mula lemas dalam pelukan itu.
“Kay mandi dulu. Siap-siap, okay? Kita makan dekat
luar.”
Setelah dia pastikan Kay selamat memasuki bilik air
barulah dia meninggalkan bilik adiknya itu. Otaknya ligat
memainkan kembali keadaan tadi. Adakah itu kesan apabila
Kay tidak makan ubat seperti jadual yang ditetapkan? Kay
sudah terlepas memakan ubat yang sepatutnya diambil pada
pukul 3 petang. Waktu itu sudah pukul 7.50 petang. Razz
meneguk liur. Perasaan bimbangnya kembali menyerang.
Destinasi mereka malam itu adalah sebuah restoran
yang terletak tidak jauh dari balai polis tempat Mika bekerja.
Sudah pasti Mika ikut makan bersama mereka. Razz datang
ke situ pun disebabkan permintaan Mika sendiri. Sudah
tiga hari Mika tidak berjumpa Kay. Jika telefon pun Kay
bukannya bercakap, dia lebih banyak mendiamkan diri.
“Sorry, I’m late.” Mika mengambil tempat duduk di
hadapan Kay. “Kay nak makan apa?” soalnya penuh prihatin.
Kay yang sedari tadi termenung melihat menu hanya
terkebil-kebil memandang Mika. Matanya dilarikan
memandang Razz yang sedang khusyuk menatap buku
menu.
Kieraeinz 21
“Kay?” Mika menyoal lagi.
“Anything.” Dia menolak menu yang ada. Terlalu
banyak untuk dipilih jadi biarlah abang-abangnya yang buat
keputusan. Dia bukannya cerewet macam mereka berdua.
“Nah, pergi order.” Razz menghulurkan kertas order
mereka kepada Mika.
“Abang Razz la pergi order.”
“No, you need to go. Kau lambat so kena belanja
kitorang.”
Mika mengeluh. Sebenarnya dia mahu mengetahui
aktiviti seharian Kay. Sejak kebelakangan ini, dia perasan
Razz selalu culas dalam urusan menjaga Kay. Harapkan
kerja je sebagai doktor, tapi tak profesional langsung.
Razz tersenyum saat Mika mengalah. Dia memerhati
langkah Mika menuju ke arah kaunter dan berpaling
semula ke arah Kay yang jauh termenung. Biarlah kecuaian
dia petang tadi tidak diketahui Mika. Jika tidak ceramah
percuma yang dia akan dapat. Dia harus lebih berhati-hati
lain kali.
Makanan yang dipesan sampai selepas 15 minit
menunggu. Kay hanya diam membisu sementara Razz dan
Mika pula rancak berbual, berbicara tentang tugas mereka.
Seorang doktor, seorang polis, masing-masing punya
tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Jika Kay masih
seperti dulu pastinya dia juga akan turut serta merungut
mengenai tugasnya sebagai seorang pelajar pula.
2
Tepat pukul 8 pagi, Kay menelan sebutir pil diikuti
seteguk air suam. Guru yang sedang mengajar di depan tidak
perasan akan tindakannya itu. Dia mengerling sekitar kelas.
Semua orang sedang tekun mendengar penerangan dari
guru yang disampai secara santai. Botol ubat disorokkan
dalam laci meja. Nasib baik dia duduk di belakang dan
bersendirian, lebih baik, tidak ada yang mengganggu.
Sudah dua minggu lebih dia memulakan pengajian di
sekolah baru itu. Razz yang memindahkannya ke situ dengan
alasan ia lebih dekat dengan rumah berbanding sekolah
lamanya. Dua minggu di sini dan dia belum mempunyai
seorang kawan pun. Apa tidaknya, dia sendiri tak banyak
cakap dan enggan bergaul dengan sesiapa.
Dia memandang gurunya. Guru lelaki bermisai nipis itu
kelihatan serius menceritakan sejarah negara.
“Help me!”
“Selamatkan aku!”
‘Tolong! Sesiapa, tolonglah kami!”
Telinganya berdesing. Tekanan di kepalanya juga
menyakitkan. Dia lantas menutup telinganya tetapi suara-
suara itu tetap berkumandang. Suara siapakah itu? Suara
itu dimiliki oleh orang-orang yang berbeza. Perempuan,
lelaki dan kanak-kanak. Siapakah mereka? Apa yang mereka
mahu? Dia tertekan. Dadanya kembali berombak. Suara-
suara itu telah mengganggu kehidupannya. Kerana suara-
suara itu dia sukar memberi tumpuan.
Kieraeinz 23
“Kay...”
Dia mengangkat kepala.
Guru lelaki itu risau melihat wajahnya pucat. “Kamu
okay tak ni?” soalnya.
Kay mengangguk lemah, liurnya ditelan dalam
kepayahan.
Guru lelaki itu meletakkan tangannya ke dahi Kay.
Normal. Tapi wajah Kay yang pucat merisaukan dia. “Ikut
saya pergi bilik kesihatan. Awak pucat sangat ni.”
Rakan-rakan sekelas Kay hanya memerhati.
Perjalanan ke bilik kesihatan dirasakan terlalu jauh
sedangkan jaraknya hanya melintasi sebuah bangunan lain.
Langkah Kay semakin lama semakin perlahan, debaran yang
hadir tidak sedikit pun hilang malah semakin kuat berdetak
sehingga dirasakan dadanya mahu meletup. Satu suara
menggantikan suara-suara yang lain kedengaran semakin
jelas. Suara itu seperti seseorang yang sedang meronta-
ronta, mengharapkan bantuan tiba. Kay takut. Lengan
gurunya dipaut erat.
Cengkaman tangan Kay mengejutkan gurunya. “Eh...
awak sabar kejap. Kita dah nak sampai ni.”
Suara guru lelaki itu tidak didengari Kay. Deria
pendengarannya kini hanya dipenuhi rintihan suara seorang
gadis.
“Dr. Amanda!”
Seorang gadis keluar dari bilik kesihatan itu. “Eh, Cikgu
Hisham? Kenapa ni?” Tumpuannya beralih kepada Kay dan
lantas memberikan ruang untuk mereka berdua masuk.
“Bawa dia ke katil.”
Sakti24
Kelibat Razz yang menghampiri wad disambut dengan
senyuman. Fail di tangan diserahkan pada jururawat di
sebelahnya sebelum dia menghampiri lelaki itu.
“How’s your brother?” soal Dr. Zamarul sebaik Razz
berhenti di hadapannya.
“Okay. Tapi...”
Ayat Razz terputus. Tidak tahu bagaimana mahu
disuarakan apa yang ada dalam fikirannya. Mereka kemudian berjalan beriringan menuju ke arah lif.
“Kenapa? Dia ada masalah ke?” soal Dr. Zamarul
prihatin. Kay merupakan salah seorang pesakitnya.
Dialah yang merawat Kay ketika remaja itu terlibat dalam
kemalangan dulu.
Razz menggeleng-geleng. “Entahlah. Aku rasa macam
ada benda yang tak kena. Aku rasa dia makin pelik sekarang,”
luahnya.
“Hmm.. maybe dia tengah sesuaikan diri dengan
kenyataan? You know that’s a major trauma yang dia baru je
pulih. Kau kena bagi dia masa,” pujuk Dr. Zamarul lembut.
“I hope so.”
Mereka berdua masuk ke dalam lif saat pintunya terbuka.
Butang bernombor lima ditekan dan mereka kemudian diam
membisu. Pagi itu mereka dapat mesej berkenaan mesyuarat
petang ini. Mungkin ada kaitan dengan seorang kerabat
diraja yang baru dimasukkan ke wad sehari sebelumnya
dan kini menempati wad diraja di tingkat tiga blok klinikal.
Biasalah, kalau ada VVIP, mesti banyak sekali protokolnya.
Dan layanan paling baik harus diberikan kepada pesakit
tersebut.
Kieraeinz 25
Itulah yang Razz tidak suka, pantang benar dalam
prinsipnya melebihkan pesakit yang berpangkat. Baginya
setiap pesakit yang tiba perlu dilayan sama rata namun
realitinya tidak semudah itu kerana pesakit VVIP pastinya
akan dilayan dengan lebih baik. Atas sebab apa? Jawapannya
cukup mudah. Duit!
Ya, dengan duit mereka mampu mendapat apa sahaja
yang dimahukan termasuklah rawatan yang terbaik. Tidak
sabar rasanya mahu meninggalkan hospital swasta itu tetapi
kontraknya masih berbaki dua tahun. Nampaknya dia harus
menunggu lagi.
Dr. Amanda membaca laporan kesihatan Kay. Laporan
itu mencatatkan bahawa Kay pernah terlibat dalam
kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan pelajar itu
koma selama sebulan. Nampaknya Kay perlu diberikan
perhatian serius.
Dr. Amanda membaca pula catatan kecil yang ditanda
sebagai catatan penting di dalam laporan itu. Catatan itu
menyatakan jadual untuk Kay mendapatkan ubatnya. Dia
perhatikan jadual ubat Kay pada waktu pagi. Pukul 8. Dia
menjeling jam tangannya.
“Doktor, saya nak balik ke kelas.”
Dia tersentak. Pantas matanya memandang seorang
pelajar perempuan yang berdiri di sebelah mejanya selepas
itu. “Kamu dah okay ke, Suraya?” soalnya.
“Saya dah okay, Doktor.”
Sakti26
“Okay, kamu boleh balik. Tapi kalau kamu still rasa
pening lagi, feel free to come back.” Senyuman manis
diberikan.
Pelajar perempuan itu mengangguk.
Dr. Amanda memerhati pergerakan pelajar
perempuan itu yang kelihatan sedikit perlahan, melintasi
Kay yang terbaring di katil, sebelum terus keluar dari bilik
kesihatan itu. Pagi itu hanya dua orang pelajar sahaja yang
mengunjungi bilik kesihatan ini. Suraya datang hanya
beberapa minit lebih awal. Dia kemudian mengalihkan
pandangannya semula kepada Kay selepas bayangan
Suraya menghilang. Kay masih lena. Nafasnya turun naik
perlahan-lahan. Nyenyak sekali, seolah-olah peristiwa tadi
tidak berlaku.
Sekali lagi dia mengerling ke arah jam. Jarum jam
menghampiri angka sembilan. Dia termenung seketika,
catatan yang ada di dalam laporan di tangannya dibaca
lagi. Dia perlu mengetahui lebih lanjut tentang masalah
kesihatan yang dialami Kay. Tetikus digerak-gerakkan.
Cermin mata yang hanya dipakai ketika menghadap laptop,
dibetulkan.
Mata Kay kemudian bergerak-gerak perlahan-lahan
sebelum terbuka. Dia lihat sekeliling. Seluruh ruangan itu
disinari cahaya putih yang terang. Tiba-tiba dia bertentangan
dengan seseorang. Lelaki yang sama seperti semalamnya,
lelaki yang hadir dalam mimpinya itu. Mereka berdua berdiri
menghadap satu sama lain. Dia terkebil-kebil.
Dia dapat lihat mulut lelaki itu terkumat-kamit
bergerak tetapi satu patah perkataan pun tidak didengari.
Matanya dipejam. Nafasnya ditarik dalam lalu dihembuskan
Kieraeinz 27
secara perlahan. Hatinya berdetik untuk menenangkan diri
sendiri. Dia perlu fokus. Dia yakin hanya fokus yang akan
membantunya memahami bicara lelaki itu.
Matanya dibuka semula. Perlahan-lahan telinganya
mula menangkap perkataan yang keluar. Namun ia tidak
jelas. Dia memerhati sekali lagi bibir lelaki itu yang masih
bergerak. Perlahan-lahan dia cuba mengikut rentak bibir itu.
Please help them.
Dia tersentak. Satu suara bergema dalam mindanya.
Anak matanya bergerak-gerak.
“Assalamualaikum.”
Dia terpaku. Terus memandang lelaki di hadapannya
itu.
“Assalamualaikum.” Sekali lagi lafaz itu diucapkan.
Matanya terus terkebil-kebil. Gema suara tadi serta
tekanan di kepala terus sahaja hilang.
“Assalamualaikum.” Tanpa jemu lelaki itu mencuba
lagi.
“Wa... waalaikumussalam...” Perlahan suara Kay keluar.
“Assalamualaikum,” ucap lelaki itu sekali lagi, jelas
tidak mendengar suaranya.
“Waalaikumussalam!” Kali ini suara Kay lebih kuat.
Giliran lelaki itu pula yang terkejut. Dia terpaku
mendengar jawapan yang diterima. Perlahan-lahan
senyuman terukir di bibirnya. Dia gembira suaranya
akhirnya didengari.
Sakti28
Selesai makan tengah hari, Mika mengajak Alia ke Unit
Forensik HKL untuk mendapatkan laporan bedah siasat
ketiga-tiga mayat yang ditemui di Dengkil tiga hari lepas.
Sepanjang perjalanan dia tidak banyak bercakap. Fikirannya
berserabut sikit. Selain dari memikirkan tentang kes ini
yang masih belum ada sebarang petunjuk, dia sebenarnya
risau akan keadaan adiknya, Kay. Sudah beberapa bulan
kemalangan itu berlaku dan nampaknya Kay masih belum
pulih lagi seperti sediakala.
Kehadiran mereka berdua di unit forensik itu disambut
beberapa orang juruteknik yang masing-masing sedang
sibuk dengan kerja. Mika bertanya sesuatu pada salah
seorang juruteknik yang kemudian membawanya ke sebuah
bilik lain dalam bangunan yang sama.
Seorang wanita berkot makmal warna putih sedang
duduk menaip di mejanya. Melihat kehadiran Mika dan Alia,
wajahnya berubah. Senyum tipis diukir. “Jemput masuk,
Tuan Mikael.”
“Good afternoon Myria. Sibuk ke?” soal Mika berbasa-
basi.
Dr. Myria melirik sekilas. “You datang nak tanya pasal
laporan tu ke? I tengah siapkan.”
“I thought so. I saja datang nak berbual dengan you. Ada
apa-apa yang you boleh kongsikan dengan kami?” soal Mika
kemudiannya.
Myria mengajak Mika dan Alia mengikutnya ke sebuah
bilik lain lagi. Di tengah bilik, sebuah mayat terbaring di atas
meja besi. Seluruh tubuhnya ditutupi dengan kain berwarna
biru muda. Hanya bahagian wajahnya yang terdedah. Sekali
imbas, kelihatan seperti dia sedang tidur pula.
Kieraeinz 29
“Kita dah berjaya kenal pasti identiti ketiga-tiga
mangsa. Memang ketiga-tiganya termasuk dalam senarai
orang hilang yang pihak you bagi pada kami. Dua mayat
sudah dituntut keluarga masing-masing. Yang ini je belum.
Keluarganya belum sampai dari Indonesia.”
“Indonesia? Orang sana ke?” soal Alia yang diam sejak
tadi.
Dr. Myria menggeleng. “Bukan. Dia warga Malaysia,
tapi ibunya orang Indonesia. Lepas dia dilaporkan hilang,
keluarganya selalu diganggu macam-macam orang. Minta
duit dan sebagainya. Mereka tak tahan, pergi balik kampung
buat sementara waktu. Anggota you cakap diorang baru
dapat dihubungi semalam.”
“Oh ya... I lupa. Jadi ini Rachel Chiew kan?”
Dr. Myria mengangguk.
“So apa yang jadi punca kematian?” soal Mika pula.
“Ini.” Dr. Myria menyelak kain biru yang menutupi
tubuh gadis itu. Pada bahagian dada kanannya, ada dua
parut. Satu parut panjang yang masih baru, manakala ada
satu lagi parut yang lebih lama. “They took her liver.”
“What?” Mika tersentak.
“Dalam ni kosong. Hati dia dah tak ada.”
“Organ harvesting?” teka Alia.
Dr. Myria mengangkat bahu. “Mungkin. Tapi macam
ada something yang tak kena. Sebab kalau you tengok
ni...” Jemarinya menunjuk kepada dua parut yang berjarak
satu inci antara satu sama lain. “Yang ini, luka yang kami
jumpa semasa mayat dibawa ke sini. Dan yang ini...” Jarinya
menuding kepada parut yang nampak sudah lama. “Jahitan
ni kemas. Rasanya ini kerja profesional.”
Sakti30
Mika mengerutkan kening. “Could be anybody kan?
Doktor. Nurse. Pakar forensik...”
“Ha...ha. Really funny, Mika.”
“Jadi maksudnya, diorang ni jadi mangsa sindiket
pencuri organ ke?” soal Alia pula.
“Yang itu... pihak youlah yang kena siasat. Pihak kami
cuma siasat punca kematian je.”
Mika cepat-cepat memotong. “Dua yang lain macam
mana?”
“Sama. Ada dua parut. Pun takde hati,” jawab Dr. Myria.
“Boleh tak kita tahu kalau hati tu dikeluarkan semasa
mangsa masih hidup atau selepas dah mati?” soal Mika lagi.
Dr. Myria menunjuk ke arah parut luka yang baru
itu. “Kesan luka ni antemortem. Maknanya mereka semua
masih hidup masa dibedah. Tapi ujian toksin menunjukkan
kandungan propofol yang tinggi dalam darah semua mangsa.
Bermakna mereka semua tak sedar semasa prosedur
dijalankan.”
“Propofol tu apa?” soal Alia.
“Ubat bius. Untuk tidurkan mangsa.”
Mika mengangguk-angguk. “Ada apa-apa lagi yang
kami patut tahu?”
Dr. Myria melirik ke arah Mika sekilas. “Dari
pemeriksaan I, I rasa mereka semua pernah menjalani
pemindahan hati. Mungkin you boleh start dari situ.”
Mika menarik nafas panjang. Kes itu nampaknya
sudah menjadi semakin rumit. Ada orang gila yang sedang
berkeliaran di luar sana.
Kieraeinz 31
“Kamu boleh dengar?”
Kay mengangguk. Dia mampu mendengar suara lelaki
itu dengan jelas. “Boleh. Who are you?”
“Tahu kenapa kamu ada dekat sini?”
Kay menggeleng.
Lelaki itu terdiam seketika. “Tak best kalau kita berbual
dalam keadaan macam ni, kan? Apa kata kita pergi ke tempat
yang lebih baik?”
Wajah Kay berkerut.
Lelaki itu mendekati Kay sambil mengangkat tangan
kanannya. Mulutnya terkumat-kamit sebelum jarinya
dipetik.
Kawasan putih mula berubah secara perlahan-
lahan, diganti dengan kehijauan. Pokok-pokok muncul,
daunnya beralun ditiup angin. Daun-daun perang
berguguran menambahkan keindahannya. Burung-burung
berterbangan, rama-rama hinggap pada bunga-bunga yang
mekar. Bunyi air terjun menarik perhatian Kay. Dia cuba
mencari arah air terjun itu tetapi tidak pula kelihatan.
Lelaki misteri itu menggamit Kay. Kay mengikut
tanpa bantahan. Dia masih terlalu takjub dengan keadaan
sekeliling. Perjalanan mereka terhenti di bawah sepohon
pokok yang rendang. Daun-daunnya yang merimbun,
menghalang cahaya matahari daripada tembus. Angin sepoi-
sepoi bahasa menyentuh tubuh mereka berdua.
Lelaki misteri itu sekali lagi memetik jarinya. Sebuah
meja dan dua buah kerusi berwarna putih muncul. Di atas
meja terdapat sebiji teko, dua biji cawan antik dan sepiring
biskut. Almond cookies, desis hati Kay. Air liur diteguk
tanpa sedar. Sudah lama dia tidak menyentuh biskut itu
Sakti32
sejak ibunya meninggal. Biskut itu kegemaran kedua ibu
bapanya.
“Jom?” ajak lelaki itu. Mereka menghampiri meja dan
duduk di situ. Lelaki itu menuang kopi ke dalam cawan.
Aroma kopi meruap naik. Menghidu aroma kopi pun
sudah membuatkan dia tidak sabar mahu meminumnya.
Tanpa suara mereka menikmati hidangan yang ada. Dia
mengunyah biskut badam yang terasa begitu enak di lidah.
Lepas sekeping, sekeping lagi. Tetapi jumlah biskut badam
dalam piring tidak langsung berkurangan. Begitu juga kopi
di dalam cawannya, masih panas berasap walaupun sudah
lama dituang.
“Aku, Farish,” ujar lelaki itu memperkenalkan diri.
Kay berhenti mengunyah. “Saya... Kay.”
Farish tergelak kecil, entah apa yang lucu. Kay meraba
mulutnya, takut ada serpihan biskut yang mengotori bibir.
“Berapa umur kamu?” soal Farish kemudiannya.
“16. A... awak?”
“32.”
Masing-masing diam seketika. Mereka berpandangan
sebelum akhirnya Farish ketawa lagi. Kay juga turut ketawa.
Canggung menghilang diganti rasa selesa.
“Okay, nanti saya laporkan pada Tuan,” Alia
menamatkan perbualannya. Dia berada di dalam kereta
Mika waktu itu, baru sahaja meninggalkan Hospital Kuala
Lumpur.
“Tuan...”
Kieraeinz 33
Mika masih tenggelam dalam fikirannya. Sejak meninggalkan pejabat Dr. Myria tadi dia tidak bercakap
langsung. Pandangan matanya tertumpu pada jalan di
hadapan
“Ya,” jawab Mika. Otaknya masih ligat berfikir. Matanya hanya tertumpu pada jalan.
“Liew Onn bagitahu yang kes lelaki umur 27 tahun tu
dah dipindahkan. Dia mangsa hit and run. Tapi kita baru je
dapat dua lagi mangsa yang baru.”
Mika senyap.
Alia mula gelisah. Tuan Mikael ni dengar ke tidak?
“Arahkan Liew Onn check victims punya laporan
kesihatan.”
Alia mengangguk. Nombor telefon Liew Onn didail.
Dr. Amanda menghampiri Kay yang masih terbaring.
Risau pula kerana remaja itu masih tidur lena dari tadi. Nadi
dirasakannya. Masih hidup. Dia mengerling ke arah jam.
Waktu rehat sudah pun berlalu tetapi Kay masih lagi begitu.
Apakah perlu dikejutkan atau dibiarkan sahaja? Dan baru
sahaja tangannya mahu menyentuh Kay, kedengaran bunyi
bising di luar.
“Doktor, tolong doktor!” Suara seseorang melaung
cemas. Dua orang pelajar perempuan memapah seorang
pelajar perempuan yang lain. Dr. Amanda segera membantu.
Pelajar perempuan bernama Suraya tadi datang
kembali dalam keadaan yang lebih lemah. Kain seragam
birunya dipenuhi darah. Nafasnya tercungap-cungap.
Sakti34
Peluh memercik di dahi. Tangannya memegang erat lengan
rakannya yang memapahnya.
Dr. Amanda menyuruh mereka membaringkan pelajar
perempuan yang sedang kesakitan itu. “Apa dah jadi?”
soalnya kepada dua rakannya.
“Su... Su gaduh dengan pelajar senior tadi. Lepas tu
senior tu tolak dia, jatuh terduduk. Tapi tak sangka pulak
berdarah macam ni,” jawab salah seorang bernada cemas.
Dr. Amanda mula memeriksa keadaan Su. “Kamu tahu
apa-apa about her condition? Dia ada apa-apa penyakit ke?”
Kedua-dua temannya saling berpandangan. Resah.
“Kay, kenapa ni? Mengantuk ke?” Farish meletakkan
cawannya ke atas piring. Tumpuannya diberikan sepenuhnya
kepada Kay.
“Kenyang sangat la, Abang Farish. Angin pula mendayu-
dayu. Mengantuk pula rasanya,” ujar Kay tanpa segan.
“Kalau macam tu, tidur je dulu. Eh, bukan atas kerusi ni.
Kamu nak makan lagi ke?”
Kay menggeleng.
“Bangun kejap.”
Kay bangun dari kerusi. Farish juga turut bangun,
bibirnya terkumat-kamit lagi untuk beberapa saat sebelum
jarinya dipetik. Meja dan kerusi yang mereka duduki tadi
hilang serta-merta, diganti dengan tikar yang terbentang di
bawah pokok yang rendang itu. Ada sebiji bantal dan sehelai
selimut turut tersedia.
Kieraeinz 35
Tanpa perlu disuruh, Kay terus merebahkan diri di
atas tikar yang dirasakan sangat selesa itu. Farish juga
melabuhkan punggung di atas tikar yang sama.
“Macam mana Abang Farish buat? Guna magic ke?”
soal Kay. Suaranya kedengaran ceria.
“Ini bukan magic, Kay. Ada yang bantu Abang Farish.”
“Siapa?”
“Di atas sana,” jawab Farish. Dia menyandarkan
tubuhnya ke batang pokok.
Kay yang tadinya baring telentang kini sudah mengiring
menghadap Farish. Tidak sabar mahu mendengar cerita
lelaki itu.
“Kalau kita minta pertolongan dengan yang di atas,
Insya Allah, Dia akan bantu. Kita ikhlaskan hati. Kay nak
tahu, sepanjang abang hidup dekat dunia, Allah sentiasa
bantu abang. Bantuan dariNya kekal sampai sekarang.”
“Hidup, tolong la hidup. Aku tak nak kau mati. Hidup.
Hidup. Hidup!”
Kay memejamkan matanya.
Suara Farish diganti dengan suara yang lain. Suara
seorang perempuan.
“Suraya mengandung, Doktor,” akhirnya Maria, rakan
Suraya tadi mengaku.
Dr. Amanda menarik nafas berat. Dia mengeluarkan
telefon bimbitnya dan menghubungi perkhidmatan ambulans.
Suraya harus dibawa ke hospital segera.
Sakti36
Kay di katil sebelah membuka matanya. Suara dalam
mindanya makin kuat menjerit. Suara itu berada dalam
dilema.
“Perlu ke kau hidup? Kalau kau mati, hidup aku lagi
aman. Tapi aku nak kau hidup.”
Kay memalingkan kepalanya ke kiri. Kelihatan seorang
gadis sedang terbaring sambil mengetap bibirnya. Gadis itu
sedang kesakitan. Air matanya menitis. Dia bangun dari katil
dan menuju ke arah gadis itu. “Kalau kau nak dia hidup, kau
kena minta tolong orang untuk selamatkan dia!”
Gadis itu membuka matanya. Pandangan mereka
bertaut. Bibir gadis itu bergetar.
“Suraya...” Dr. Amanda menghampiri mereka. Dia
melihat Kay sebelum beralih kepada Suraya.
“Doktor, tolong saya Doktor. Sakit sangat, Doktor.”
Suraya teresak-esak menangis.
“Panggil Cikgu Hisham,” arah Dr. Amanda kepada
rakan-rakan Suraya. Mudah meminta tolong dengan Cikgu
Hisham. Guru lelaki itu tidak banyak soal malah akan
mengikut saja kehendaknya, bukan seperti sesetengah guru
yang lain.
Kay masih berdiri memandang Suraya. Kenapa dia
boleh mendengar isi hati Suraya? Suraya bukan sahaja
sakit pada fizikal tetapi emosinya turut bercelaru. Sekejap perasaan bersalahnya muncul, selepas itu timbul pula
perasaan benci dengan kehidupannya. Seketika dia mahu
selamatkan kandungannya, kemudian timbul pula perasaan
mahu menghapuskan kandungan itu.
“Khalish... Khalish...”
Kay berpaling memandang Dr. Amanda.
Kieraeinz 37
“Khalish, awak boleh balik ke kelas awak sekarang. Biar
kami uruskan Suraya. Awak dah okay, kan?”
Kay mengangguk. Dia melangkah longlai keluar dari
bilik kesihatan itu. Laungan batin Suraya masih jelas
kedengaran. Dalam perjalanan kembali ke kelas, dia
berselisih pula dengan Cikgu Hisham yang sedang terburu-
buru ke arah bilik kesihatan bersama-sama rakan-rakan
Suraya. Kay kuatkan semangat untuk melangkah, suara
batin Suraya masih lagi kedengaran tetapi tidak sekuat tadi.
Hatinya sakit, sedih mendengar laungan gadis itu.
Dia masuk ke dalam kelas. Renungan dan jelingan
rakan-rakan sekelasnya tidak dihiraukan. Langkahnya diatur
penuh tertib ke arah mejanya. Dia duduk dan merebahkan
kepalanya ke atas meja. Kedua-dua lengannya dijadikan
bantal. Bukannya dia mahu tidur tetapi dia mahu pekakkan
telinga dari mendengar laungan gadis yang tidak dikenalinya
itu. Perlahan-lahan air matanya menitis, kesakitan gadis itu
seperti dapat dirasakannya.
Suara itu semakin lama semakin perlahan sebelum
hilang.