1
SENTUHAN SAINS MUSTAFA ABDUL RAHMAN
DALAM TAFSIR AL-QUR’AN AL-HAKIM
Nor Syamimi Mohd, Haziyah Hussin & Wan Nasyrudin Wan Abdullah
Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM
ABSTRAK
Mustafa Abdul Rahman (1918-1968) ialah pengarang Tafsir al-Qur’an al-Hakim yang ditulis
pada tahun 1949. Ia merupakan karya tafsir berbahasa Melayu terawal di Malaysia yang
hampir lengkap 30 juzuk al-Quran. Beliau mentafsirkan makna ayat al-Quran yang
mempunyai isyarat sains dan mengaitkannya dengan kajian dan penemuan sains moden.
Pendekatan ini tidak diaplikasikan oleh pentafsir tempatan yang seangkatan dengannya. Oleh
itu, kajian ini menganalisis dimensi sains yang dibawa oleh Mustafa dalam Tafsir al-Qur’an
al-Hakim. Reka bentuk kajian yang digunakan ialah analisis kandungan terhadap Tafsir al-
Qur’an al-Hakim. Data dikumpul melalui analisis dokumen dan dianalisis secara deskriptif
bertema. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perbincangan tafsir Mustafa merangkumi
beberapa tema sains iaitu penciptaan cakerawala, asal usul kejadian manusia, proses kejadian
hujan, kepelbagaian tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kesihatan dan pemakanan, hikmah
pensyariatan hukum dari perspektif sains. Selain itu, dimensi sains yang dibawa oleh beliau
juga mengandungi nilai tambah baru, bersifat semasa dan sesuai dengan tahap pemikiran dan
keperluan semasa masyarakat. Implikasi kajian menunjukkan bahawa Tafsir al-Qur’an al-
Hakim karya Mustafa terkehadapan mendahului langkah ulama dan zamannya. Ia sekali gus
menonjolkan kemukjizatan al-Quran yang sentiasa relevan dalam semua zaman bermula
zaman penurunan al-Quran hinggalah zaman ledakan sains dan teknologi masa kini.
Kata kunci: Mustafa Abdul Rahman, tafsir Malaysia, tafsir Nusantara, tafsir ‘ilmi, tafsir bi
al-ma’thur, sains tauhidik
PENGENALAN
Al-Quran mengandungi prinsip-prinsip asas kepada ilmu sains dan perkara ini menjadi lebih
terang dan jelas bagi sesiapa yang mengkaji ilmu tersebut dengan lebih mendalam. Penemuan
baru yang dihasilkan melalui penelitian ilmiah dan kajian sains menunjukkan keselarasan dan
tiada pertentangan dengan isyarat yang telah dinyatakan oleh al-Quran sebagaimana yang
telah diakui oleh sarjana antaranya Maurice Bucaille dan Zakir Naik (Ansari 2001; Rehman
2003). Dari sudut dimensi ilmu sains yang disentuh dalam pentafsiran al-Quran, biasanya
pentafsir dan pengkaji hanya melibatkan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan kawniyyat sahaja
(al-Dhahabi 2005; Abu Hajar 1991; Mazlan 1998; Fadl Hassan ‘Abbas 2005; Ahmad Bazli
2014). Namun, perbincangan mengenai dimensi ini telah dikembangkan oleh Selamat et al.
(2012) yang menemukan perspektif sains dalam ayat hukum dan gaya bahasa al-Quran seperti
perumpamaan dalam al-Quran.
Nadzirah (2006), Mustaffa (2009a & 2011) dan Nurzatil (2009) mendapati Mustafa
mentafsirkan makna ayat al-Quran yang mempunyai isyarat sains dengan mengaitkannya
berdasarkan kajian dan penemuan sains tertentu. Pentafsiran ini dikenali sebagai tafsir ‘ilmi.
2
Contoh tafsir ‘ilmi daripada Tafsir al-Qur’an al-Hakim yang dikesan oleh Nadzirah (2006)
ialah isyarat sains pada ayat 56 daripada surah al-Nisa’ tentang wujudnya lapisan kulit dan
saraf sakit. Mustaffa (2009a & 2011) pula membawa contoh perbincangan tentang
kemudaratan arak dalam ayat 219, surah al-Baqarah. Manakala Nurzatil (2009)
mengetengahkan tentang proses kacukan pokok berlaku dengan adanya benih jantan dan
benih betina berdasarkan tafsiran ayat 22, surah al-Hijr.
Pendedahan hasil kajian-kajian ini sangat signifikan dalam membuktikan wujudnya sentuhan
sains dalam penulisan kitab tafsir Mustafa. Sentuhan sains ini perlu diterokai lagi
memandangkan Tafsir al-Qur’an al-Hakim adalah sebuah kitab tafsir besar dan banyak lagi
contoh perbincangan dan nilai tambah baru tentang sains dalam tafsiran al-Quran yang
diketengahkan oleh beliau sesuai dengan keperluan semasa masyarakat. Oleh itu, kajian ini
menganalisis dimensi sains yang disentuh oleh pengarang dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim.
METODOLOGI
Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian secara analisis kandungan. Kandungan teks yang
digunakan dalam kajian ini ialah Tafsir al-Qur’an al-Hakim yang diterbitkan oleh Persama
Press, Pulau Pinang pada tahun 1949. Kajian hanya menggunakan 19 jilid sahaja iaitu bermula
jilid satu hingga 18, dan jilid 21. Kesukaran mendapatkan keseluruhan jilid iaitu 27 jilid
adalah disebabkan oleh ia sudah tidak dijual di pasaran dan tidak diulang cetak lagi setelah
pihak penerbit mengalami masalah kewangan dan tidak ada orang yang hendak
menguruskannya (Ismail 1995a). Selain itu, kajian mendapati ada sebahagian jilid tafsir
tersebut telah hilang dan tidak dapat dikesan oleh pemiliknya yang menyimpan Tafsir al-
Qur’an al-Hakim sebagai koleksi peribadi.
Data kajian dikumpul secara analisis dokumen. Dokumen utama yang menjadi asas kajian ini
ialah Tafsir al-Qur’an al-Hakim oleh Mustafa Abdul Rahman. Data yang dikumpul ialah
tafsiran makna ayat al-Quran yang mengandungi isyarat sains yang dikaitkan dengan kajian
dan penemuan sains tertentu. Di samping itu, data berkaitan biodata pengarang, antara sumber
utama yang dirujuk ialah Ma’ahad Il al-Ehya Asshariff Gunung Semanggol: 1934-1959 oleh
Nabir Haji Abdullah (1976), Perkembangan pengajian dan penulisan tafsir di Malaysia oleh
Ismail Yusoff (1995a), Athar Madrasat al-Manar fi al-tafasir al-Malayuwiyyah: Tafsir al-
Qur’an al-Hakim li Shaykh Mustafa Abdul Rahman Mahmud Unmudhajan oleh Nadzirah
Mohd (2006) dan Tafsir Nur al-Ihsan oleh Muhammad Said bin Umar dan Tafsir al-Qur’an
al-Hakim oleh Mustafa Abdul Rahman: Kajian perbandingan metodologi pentafsiran oleh
Nurzatil Ismah Azizan (2009). Data-data yang diperoleh seterusnya disusun secara kronologi.
Kaedah penganalisisan data kajian dilakukan melalui pendekatan deskriptif secara bertema.
Kajian menetapkan tujuh tema iaitu penciptaan cakerawala, asal-usul kejadian manusia,
proses kejadian hujan, kepelbagaian haiwan, kepelbagaian tumbuh-tumbuhan, kesihatan dan
pemakanan, dan hikmah pensyariatan hukum dari perspektif sains. Pengkategorian ini adalah
berdasarkan kategori ayat yang biasa dikaitkan dengan tafsir ‘ilmi yang dikemukakan oleh al-
Khalidi (2010), Abu Hajar (1991), Mazlan (1998), Selamat et al. (2012) dan Ahmad Bazli
(2014). Selain itu, data-data perbincangan tafsir ‘ilmi yang mempunyai persamaan idea
tafsiran diletakkan di bawah tema yang sama dan hanya salah satu daripadanya dianalisis.
3
LATAR BELAKANG MUSTAFA ABDUL RAHMAN
Nama penuh pengarang kitab Tafsir al-Qur’an al-Hakim ialah Mustafa bin Abdul Rahman
bin Mahmud (Nadzirah 2006). Beliau dilahirkan di Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak
Darul Ridzwan dalam sebuah keluarga yang taat beragama dan teguh berpegang pada prinsip
dan nilai keislaman (Nadzirah 2006). Bapanya bernama Abdul Rahman bin Mahmud berasal
daripada Kampung Dewan Beta, Kota Bharu, Kelantan. Abdul Rahman ialah pelajar lepasan
Universiti al-Azhar dan Masjid al-Haram, Mekah serta mengasaskan sebuah pondok yang
diberi nama Pondok al-Rahmaniah, Gunung Semanggol pada 1918. Ibu Mustafa bernama
Mariam Andak dan berasal daripada Klang iaitu penduduk asal Bugis. Mereka telah berpindah
ke Gunung Semanggol setelah mendirikan rumah tangga. Mustafa merupakan anak sulung
daripada tujuh adik-beradik iaitu Fatimah, Mahmud, Rokiyah, Kalsom, Ahmad dan Abdul
Majid (Che Hasmawati 2004). Mustafa lebih dikenali dengan gelaran Pak Wa oleh penduduk
kampungnya. Gelaran ini diberikan kepadanya memandangkan beliau adalah anak sulung.
Pak Wa atau Mak Wa merupakan gelaran khas untuk anak sulung di kebanyakan daerah Utara
Semenanjung Malaysia. Manakala guru-gurunya pula memanggil beliau dengan gelaran
Mustafa Naim (Che Hasmawati 2004; Nurzatil 2009).
Sarjana berbeza pandangan dalam menentukan tahun kelahiran Mustafa. Ismail (1995a)
mengatakan bahawa Mustafa dilahirkan pada tahun 1918 sebagaimana keterangan hasil temu
bual beliau dengan adik Mustafa iaitu Ahmad pada 14 Mac 1992. Pandangan ini turut
disokong oleh Che Hasmawati (2004) yang telah menemu ramah Ruhiyyah, isteri kepada
Mustafa pada 17 Februari 2002. Nadzirah (2006) menambah bahawa pada tahun 1918 adalah
bersamaan dengan tahun hijrahnya iaitu 1337H. Manakala Mustaffa (2009a) pula
berpandangan tahun kelahiran Mustafa adalah pada tahun 1917 berdasarkan catatan pada sijil
kelahiran. Maklumat ini diperoleh daripada hasil temu bual yang dilakukannya bersama isteri
beliau pada 23 Februari 2008. Kajian mendapati tahun 1337H adalah merangkumi tahun 1917
dan 1918, justeru semua pendapat pengkaji boleh diterima.
Beliau memulakan kehidupan berkeluarga ketika berumur 26 tahun dengan mengahwini
seorang perempuan pilihan keluarganya, Rohiyah Yahya. Perkahwinannya dilangsungkan
pada bulan Februari 1943. Isterinya berasal dari Taiping, Perak. Ketika itu isterinya berumur
17 tahun. Perkahwinan beliau dengan Rohiyah Yahya tidak dikurniakan cahaya mata oleh
Allah SWT. Mereka berdua telah mengambil dua orang anak saudara isterinya sebagai anak
angkat iaitu Farid bin Mustafa dan Nor Aisyah binti Mohd Zin (Che Hasmawati 2004).
Dari segi latar belakang pendidikan, Mustafa adalah pelajar Madrasah Idrisiah, Bukit
Chandan, Kuala Kangsar, Perak selama enam tahun (Che Hasmawati 2004). Di Madrasah
Idrisiyyah beliau berkesempatan menuntut ilmu dengan ramai ulama tersohor antaranya ialah
Muhammad Salleh, Abdullah Maghribi dan Abdullah Fahim (Ishak & Mohd Azhar 2010).
Abdullah Fahim ialah guru Mustafa yang paling banyak mempengaruhi pembentukan
peribadi dan keintelektualannya. Abdullah Fahim merupakan seorang ulama yang
berpengetahuan luas dalam bidang agama khususnya ilmu hadith dan tafsir. Beliau juga
sangat mahir dalam ilmu falak dan bahasa Arab (Khairul Nizam 2008). Selain itu, Mustafa
adalah pelajar Ma’ahad al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol yang terkenal sebagai sebuah
4
madrasah beraliran Islah. Beliau termasuk dalam golongan pertama pelajar terawal yang
bersekolah di Ma’ahad ini pada tahun 1934 (Nabir 1976). Beliau juga adalah murid kepada
Abu Bakar al-Baqir (M. 1974) pengasas Hizbul Muslimin yang banyak terpengaruh dengan
idea pemikiran reformis dari Timur Tengah (Mustaffa 2008).
Selepas tamat belajar di Ma’ahad al-Ehya Asshariff, beliau berkhidmat sebagai guru agama
di ma’ahad ini pada tahun 1946 hingga 1948 (Nabir 1976). Selain mengajar secara formal di
ma’ahad, beliau aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di surau dan masjid pada waktu
malam di sekitar Gunung Semanggol dan daerah-daerah sekitarnya. Dalam kuliah ilmunya
beliau menekankan aspek islah dengan menyeru masyarakat supaya meninggalkan perkara-
perkara yang bertentangan dengan agama, seperti memasang lilin pada malam Jumaat,
meminum arak, sabung ayam dan merompak. Beliau juga menyatakan hukum mengenai
perkara maksiat seperti kegiatan perjudian yang berleluasa di kawasan perumahannya dalam
kuliah-kuliah yang disampaikan (Asmidar 2003; Che Hasmawati 2004).
Selain itu, beliau banyak menulis dan menerbitkan buku-buku dalam pelbagai bidang,
antaranya tafsir, hadith, sejarah Islam, akhlak, mantik, ekonomi, dan perkamusan. Karyanya
dalam bidang tafsir ialah Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Dalam bidang hadith pula, beliau
menghasilkan karya Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya, Terjemahan Mukhtasar Ibn Abi
Jamrah, dan Pelajaran Hadith Nabawi. Dalam bidang sejarah Islam, beliau menghasilkan
karya seperti Ringkasan Sejarah Khulafa al-Rasyidin, Pedoman Tarikh Junjungan
Muhammad Rasulullah, dan Ringkasan Nur al-Yaqin Sejarah Sayyid al-Mursalin. Dalam
bidang akhlak, karya yang dihasilkan seperti Peribadi, Pedoman Budi, Sendi Pergaulan
dalam Islam, Ilmu Jiwa dalam Islam, dan Akhlak dan Kewajipan dalam Islam. Karya yang
ditulis dalam bidang mantik ialah Perintis Ilmu Mantiq, bidang ekonomi ialah Sejarah Ilmu
Ekonomi dan bidang perkamusan ialah Kamus Tiga Bahasa, English, Malay, Arabic (Wan
Sabri et al. 2003; Nadzirah 2006; Mustaffa 2009a & 2011; Nurzatil 2009). Ismail (1995)
menyatakan Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya dan Ringkasan Sejarah Khulafa al-
Rasyidin ialah antara karya Mustafa yang dijadikan sebagai buku teks di setengah-setengah
Sekolah Agama Rakyat. Selain itu, Mustaffa (2009a) menjelaskan bahawa penghasilan Tafsir
al-Qur’an al-Hakim adalah istimewa dan beliau melabelkan pengarangnya sebagai ulama
tafsir aliran islah terulung di Malaysia.
Mustafa telah kembali ke rahmatullah di rumah ibunya di Gunung Semanggol pada
28 Oktober 1968 bersamaan 6 Syaaban 1388H ketika berusia 51 tahun. Beliau meninggal
dunia akibat penyakit jantung yang dihadapinya. Jenazahnya dikebumikan di hadapan mihrab
Masjid al-Rahmaniyyah, Bukit Putus, Gunung Semanggol (Che Hasmawati 2004; Nadzirah
2006). Pada ketika itu, karya Mustafa bersama sahabatnya Ibnu Rawi, Terjemahan Mukhtasar
Ibn Abi Jamrah sedang dalam proses percetakan. Tarikh kematian ini telah dicatat di dalam
kitab tersebut sebagai penghargaan kepada Mustafa di atas sumbangannya (Mustafa 1968;
Mustaffa 2009a).
Latar belakang Mustafa yang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh
kepada ajaran Islam, berpeluang untuk mendapat pendidikan di madrasah beraliran Islah dan
berguru dengan ulama yang mahir dan berpengetahuan luas dalam pelbagai disiplin ilmu
5
Islam banyak membantu dalam mengasah dan membentuk keintelektualan beliau dalam dunia
penulisan khususnya dalam bidang tafsir.
PENGENALAN KITAB TAFSIR AL-QUR’AN AL-HAKIM
Tafsir al-Qur’an al-Hakim ditulis oleh Mustafa Abdul Rahman pada tahun 1949 dan ia terdiri
daripada 27 jilid. Setiap jilid mewakili satu juzuk al-Quran. Bilangan jumlah jilid kitab ini
disepakati oleh beberapa orang pengkaji misalnya Ismail (1995), Wan Sabri et al. (2003),
Nadzirah (2006), Mustaffa (2009a) dan Mazlan et al. (2009). Mohd Fazali (2011) pula berbeza
pandangan tentang jumlah jilid kitab tafsir ini. Beliau menyatakan Tafsir al-Qur’an al-Hakim
mengandungi 23 jilid sahaja. Nurzatil (2009) menyatakan jilid yang selebihnya iaitu jilid ke-
24 hingga jilid ke-27 tidak ditemui kerana ia hanya diterbitkan sekali sahaja oleh Persama
Press, Pulau Pinang. Nadzirah (2006) pula hanya berjaya menemukan 14 jilid sahaja iaitu jilid
pertama hingga jilid ke-12, kecuali jilid ke-7 dan jilid ke-16 hingga jilid ke-18. Kajian ini
hanya berjaya menemukan 19 jilid sahaja iaitu jilid pertama hingga jilid ke-18, dan jilid ke-
21.
Tafsir al-Qur’an al-Hakim ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi lama dan dicetak
buat pertama kalinya oleh Persama Press (Ismail 1995). Ia kemudiannya diulang cetak
berasaskan cetakan pertama oleh Maktabah Abdullah Muhammad Nuruddin al-Rawi, Pulau
Pinang, Percetakan al-Ma’rif Sendirian Berhad, Pulau Pinang (Wan Sabri et al. 2006), Syeikh
Sa’id al-Yamani, Bagan Serai, Perak (Nurzatil 2009) dan Maktabat wa Matba’at Muhammad
al-Nahdi wa Awladuhu, tanpa tempat (Mohd Fazali 2011).
Sumber rujukan yang digunakan dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim ialah Jami’ al-Bayan fi
tafsir al-Qur’an oleh al-Tabari, Ma’lim al-Tanzil oleh al-Baghawi dan Tafsir al-Qur’an al-
‘Azim oleh Ibn Kathir, Tafsir Mafatih al-Ghayb oleh al-Razi, Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq
al-Ta’wil oleh al-Nasafi, Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani al-Tanzil oleh al-Khazin, Tafsir Jalalayn
oleh Jalal al-Din al-Mahalli dan Jalal al-Din al-Suyuti, Ruh al-Ma’ani oleh al-Alusi dan al-
Bahr al-Muhit oleh Abu Hayyan, al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi, Ihya’ ‘Ulum
al-Din oleh al-Ghazali, al-Jawahir fi Tafsir al-Qur’an oleh Tantawi al-Jawhari, Tafsir al-
Maraghi oleh Shaykh Mustafa al-Maraghi, Kitab Risalah al-Tawhid dan Tafsir al-Manar oleh
Muhammad ‘Abduh dan al-Islam wa al-Tib al-Hadith oleh ‘Abd al-Aziz Isma’il Basha,
Marah Labid Tafsir al-Nawawi oleh Muhammad Nawawi al-Jawi, Nayl al-Maram min Tafsir
Ayat al-Ahkam oleh al-Qanawji dan Fath al-Qadir oleh al-Shawkani (Wan Sabri et al. 2003;
Mazlan et al. 2009; Nurzatil 2009; Mustaffa 2009a).
Jelaslah bahawa pengarang mempelbagaikan sumber rujukan iaitu klasik dan kontemporari.
Ia merangkumi kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh pengarang lain, kitab-kitab hadith dan
buku-buku ilmiah tertentu. Selain itu, beliau ada merujuk karya dalam bidang sains iaitu al-
Islam wa al-Tib al-Hadith yang ditulis oleh cAbd al-Aziz Ismacil Basha.
ANALISIS PEMIKIRAN TAFSIR MUSTAFA ABDUL RAHMAN TERHADAP
AYAT AL-QURAN BERUNSUR SAINS
6
Dimensi sains yang dibawa oleh Mustafa dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim terdiri daripada
penciptaan cakerawala, asal-usul kejadian manusia, proses kejadian hujan, penciptaan
tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kesihatan dan pemakanan, dan hikmah pensyariatan hukum
dari perspektif sains.
PENCIPTAAN CAKERAWALA
Tema sains yang berkaitan penciptaan cakerawala yang disentuh oleh pengarang Tafsir al-
Qur’an al-Hakim ialah firman Allah SWT dalam ayat 16 surah al-Hijr. Ayat ini
membicarakan tentang kedudukan matahari, bulan dan bintang. Pengarang menyentuh
tentang maksud buruj ketika mentafsirkan tersebut. Beliau menjelaskan buruj ialah bintang-
bintang yang dapat dilihat di atas langit. Ia seolah-olahnya nampak bertentangan dengan
matahari. Beliau mengetengahkan kedudukan buruj yang merangkumi 12 buah dan ia
menyamai bilangan bulan dalam Masihi; hamal, thawr, jawza’, saratan, asad, sunbulah,
mizan, ‘aqrab, qawus, jadi, daluw dan hut (Mustafa 1952). Buruj bintang atau zodiak dalam
ilmu asronomi pada masa kini dikenali dengan nama berikut; hamal (aries), thawr (taurus),
jawza’ (gemini), saratan (cancer), asad (leo), sunbulah (virgo), mizan (libra), ‘aqrab
(scorpius), qawus (sagittarius), jadiy (capricorn), daluw (aquarius), hut (pisces) (Baharrudin
2002). Di samping itu, pengarang memberi penjelasan lanjut dalam menentukan bulan dalam
tahun Masihi berdasarkan kedudukan buruj. Misalnya, pada bulan Mac, matahari berada di
buruj hamal, ertinya pada malam tersebut kelihatan bintang yang bernama hamal. Manakala
pada bulan April di buruj thawr, dan pada bulan Mei di buruj jawza’ dan demikianlah
seterusnya (Mustafa 1952). Penjelasan beliau ini adalah bertepatan dengan pengetahuan ilmu
astronomi pada masa kini iaitu buruj hamal berlaku pada 21 Mac – 20 April, thawr (taurus)
berlaku pada 21 April – 21 Mei dan jawza’ (gemini) berlaku pada 22 Mei – 21 Jun (Baharrudin
2002).
Oleh itu, pengarang mengemukakan tafsiran makna ayat al-Quran berkaitan penciptaan
cakerawala yang merangkumi kedudukan matahari, bulan dan bintang yang selaras dan tidak
bertentangan dengan isyarat yang telah dinyatakan oleh al-Quran. Selain itu, pengarang
menyentuh penemuan dan kajian sains tertentu berdasarkan ilmu astronomi bagi
mengukuhkan lagi tafsiran dan menonjolkan keesaan dan kebijaksanaan Allah SWT yang
mencipta cakerawala. Walau bagaimanapun, sentuhan sains yang dibawa oleh pengarang
tidak dinyatakan sumber rujukan yang digunakan dalam tafsiran.
ASAL-USUL KEJADIAN MANUSIA
Pengarang membincangkan tentang asal-usul kejadian manusia ketika mentafsirkan firman
Allah SWT daripada surah al-Nahl ayat empat. Pengarang menyentuh peringkat penciptaan
manusia dan perkembangan janin dalam rahim ibu bahawa Allah SWT menjadikan manusia
daripada air mani yang bercampur di antara dua jenis air mani lelaki dan perempuan.
Kemudian air mani itu berubah menjadi darah dan seterusnya menjadi daging. Setelah
sempurna kejadiannya, maka ditiupkan padanya jiwa lalu dikeluarkan dia ke alam dunia
(Mustafa 1952).
7
Tafsiran yang sama berkaitan peringkat penciptaan manusia dan perkembangan janin dalam
rahim ibu turut diberi perhatian oleh pengarang dalam mentafsirkan ayat 22 surah al-Hajj.
Selain itu, berdasarkan ayat ini pengarang menambah ulasan tentang kedudukan air mani
dalam tubuh badan manusia. Beliau menjelaskan bahawa air mani terbentuk di tulang
belakang seseorang lelaki iaitu bapa (Mustafa 1954). Pengarang juga memperincikan
bagaimana air mani terbentuk ketika mentafsirkan firman Allah SWT dalam surah al-
Mu’minun ayat 12 hingga 14. Pengarang menerangkan bahawa air mani terbentuk daripada
makanan yang dimakan oleh manusia. Kemudian ia berubah menjadi darah yang setengah
daripadanya berubah menjadi air mani. Daripada air mani itulah terciptanya manusia yang
sempurna (Mustafa 1952).
Secara keseluruhannya, tafsiran berkaitan asal usul kejadian manusia dibincangkan di tempat
yang berlainan dalam ayat dan surah yang bertaburan. Selain itu, pengarang tidak menyatakan
sumber rujukan yang digunakan ketika menjelaskan tentang ayat al-Quran berunsur sains ini.
PROSES KEJADIAN HUJAN
Pengarang menyentuh proses kejadian hujan ketika mentafsirkan ayat 43, surah al-Nur.
Pengarang menjelaskan bahawa Allah SWT berkuasa mengarahkan awan supaya bergerak.
Kemudian menghimpunkan antara bahagian-bahagian yang bercerai-cerai itu dan
menjadikannya berkumpul-kumpul setengahnya atas setengah. Maka pada waktu itu hujan
keluar daripada celah-celah awan, dan turun daripada langit dan bukit-bukit yang sejuk. Air
hujan yang turun itu mengenai dan menimpa bumi yang Ia kehendaki untuk mendapat
faedahnya, dan dipalingkan air hujan itu daripada tempat tidak kehendaki. Ini adalah semata-
mata bergantung pada kehendaknya Allah SWT. Selain itu, pengarang menjelaskan bahawa
cahaya sinaran pada celah-celah awan yang dikeluarkan air hujan adalah menyambar
penglihatan atau pandangan mata oleh kerana terlalu cepat dan kuat cahayanya. Di samping
itu, pengarang turut mentafsirkan tentang kekuasaan Allah SWT dengan menukarkan siang
dan malam dengan cukup mudah (Mustafa 1954).
Tafsiran yang sama berkaitan proses kejadian hujan ini turut dikemukakan oleh pengarang
ketika mentafsirkan ayat 48 daripada surah al-Rum (Mustafa 1957). Selain itu, berdasarkan
ayat ini pengarang menambah ulasan tentang manfaat hujan bahawa Allah SWT menurunkan
air hujan adalah untuk menyuburkan bumi dan menghidupkan segala tanaman yang ada
(Mustafa 1957).
PENCIPTAAN TUMBUH-TUMBUHAN
Antara tema sains yang berkaitan penciptaan tumbuh-tumbuhan yang disentuh oleh
pengarang Tafsir al-Qur’an al-Hakim ialah ayat-ayat yang membicarakan kepelbagaian jenis.
Pengarang menjelaskan kepelbagaian kejadian tumbuh-tumbuhan ketika mentafsirkan firman
Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 141. Berdasarkan ayat 141, surah al-An’am,
pengarang mengupaskan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada yang menjalar
dan tidak menjalar dan berlainan rasa, warna, bau dan bentuk. Pengarang mengetengahkan
contoh kepelbagaian tumbuh-tumbuhan tersebut menerusi tafsirannya iaitu; “…tumbuhan-
tumbuhan menjalar seperti tembikai, labu dan timun dan pokok yang tidak menjalar seperti
tamar, nyiur dan rambutan”, dan “…kalau di Tanah Air kita ini didapati pokok seperti pokok
8
padi, getah, kelapa, rambutan dan durian. Semuanya itu tumbuh di atas sekeping tanah atau
satu bumi yang diberikan air yang sama dan mengeluarkan buah yang berlainan rasanya, ada
yang manis, masam dan pedas” (Mustafa 1951). Contoh tumbuh-tumbuhan yang
dikemukakan oleh pengarang ketika mentafsirkan ayat ini ialah tumbuh-tumbuhan yang hidup
di sekeliling masyarakat tempatan. Hal ini menunjukkan kepekaan beliau terhadap keperluan
masyarakatnya. Ia secara tidak langsung membantu pembaca memahami ayat tersebut dan
tafsiran ini sesuai dengan tahap pemikiran semasa masyarakat.
PENCIPTAAN HAIWAN
Pengarang menjelaskan asal usul haiwan, rupa bentuk dan keadaannya ketika mentafsirkan
ayat 45 surah al-Nur. Pengarang mengetengahkan bahawa semua haiwan yang berjalan dan
merayap di atas bumi dan berasal daripada air. Selain itu, Allah SWT menciptakan haiwan
dengan pelbagai rupa bentuk dan keadaan. Ada haiwan yang berjalan di atas perut, merayap,
berjalan atas dua kaki dan berjalan di atas empat kaki. Di samping itu, pengarang
memperincikan tafsiran ayat ini dengan membawa contoh-contoh bentuk dan keadaan haiwan
tersebut. Antara contoh haiwan berjalan di atas perutnya ialah ular dan ikan. Haiwan yang
berjalan atas dua kaki ialah burung, dan yang berjalan di atas empat kaki pula ialah unta,
lembu dan kambing (Mustafa 1954). Contoh-contoh haiwan yang dikemukakan oleh
pengarang merupakan haiwan yang hidup di sekeliling masyarakat tempatan. Hal ini
menonjolkan kepekaan beliau dalam membantu pembaca memahami ayat tersebut dengan
menyuntik unsur sains yang bersesuaian keperluan dan tahap pemikiran semasa dan
masyarakat.
KESIHATAN DAN PEMAKANAN
Pengarang menyentuh khasiat madu lebah ketika menjelaskan firman Allah SWT dalam surah
al-Nahl ayat 69. Pengarang mengetengahkan kepelbagaian warna madu yang keluar daripada
perut lebah. Beliau menyatakan madu tersebut ada ketikanya berwarna putih dan ada pula
berwarna merah, bergantung kepada makanan yang dimakan oleh lebah. Pengarang juga
mengupas kebaikan madu lebah yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihidapi
oleh manusia. Cara penggunaannya pula ialah dengan meminumnya mengikut peraturan
perubatan, atau mencampurkan madu lebah dalam ramuan ubat tertentu (Mustafa 1952).
HIKMAH PENSYARIATAN HUKUM DARI PERSPEKTIF SAINS
Pengarang membincangkan hikmah pengharaman arak dari sudut sains ketika menjelaskan
ayat 219 surah al-Baqarah. Pengarang mengetengahkan kemudaratan arak terhadap kesihatan
manusia. Antaranya ialah boleh merosokan usus perut, menghilangkan selera makan,
memucatkan warna kulit serta menyebabkan sakit jantung, buah pinggang dan strok. Beliau
juga memetik pandangan seorang doktor bangsa Jerman bahawa; “peminum-peminum yang
berusia 40 tahun adalah anggotanya seperti orang-orang yang berusia 60 tahun” (Mustafa
1960). Kesan negatif minuman arak yang diketengahkan oleh pengarang ini diteguhkan
dengan kajian dan penemuan terkini iaitu meningkatkan risiko seseorang peminum arak
menghidap kanser mulut, kerongkong dan esofagus (bahagian salur makanan yg terletak di
antara tekak dan perut) (Danial 2014).
9
Selain itu, pengarang menambah ulasan tentang kegunaan arak iaitu untuk dijadikan ubat
(Mustafa 1960). Danial (2014) memetik pandangan sebahagian pakar perubatan bahawa arak
apabila diminum dengan kadar yang sedikit, ia memberi manfaat bagi jantung. Beliau juga
menyatakan ramai pakar dalam bidang kardiologi menggalakkan masyarakat meminum wain
sebanyak satu hingga dua gelas sehari supaya kesihatan jantung mereka terpelihara. Walau
bagaimanapun, pengarang menegaskan dalam tafsirannya bahawa kemudaratan arak adalah
lebih besar berbanding manfaatnya. Hal ini turut disokong oleh kajian yang dilakukan oleh
saintis yang melaporkan kemudaratan berpunca daripada arak adalah lebih banyak daripada
kebaikannya dan arak merupakan salah satu pemusnah kesihatan yang berbahaya di dunia
(Danial 2014). Oleh itu, sentuhan sains yang dibawa oleh pengarang bagi menjelaskan
keburukan arak terhadap kesihatan manusia dalam ayat ini menonjolkan hikmah di sebalik
Allah SWT mengharamkannya. Ia secara tidak langsung menggalakkan kajian sains terkini
untuk menerokai rahsia lain yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa.
KESIMPULAN
Mustafa Abdul Rahman merupakan seorang ulama yang menyumbang jasanya dalam bidang
penulisan tafsir al-Quran. Kesungguhan dan kegigihannya terbukti dengan terhasilnya sebuah
kitab tafsir iaitu Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Perbincangan mengenai sentuhan sains
pengarang dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim melibatkan kedua-dua jenis ayat iaitu ayat-ayat
al-Quran yang ada isyarat ilmiah dan sebaliknya. Tema sains yang terdapat dalam kitab tafsir
ini ialah penciptaan alam semesta, asal usul kejadian manusia, proses kejadian hujan,
kepelbagaian haiwan dan tumbuh-tumbuhan, kesihatan dan pemakanan, dan hikmah
pensyariatan hukum dari sudut sains.
Nilai tambah baru dalam tafsir ‘ilmi pula didapati dalam contoh-contoh berunsur sains yang
relevan dengan masyarakat tempatan. Misalnya mengenai kepelbagaian tumbuh-tumbuhan,
pengarang membawa contoh tumbuh-tumbuhan yang dikenali dan ada di sekeliling
masyarakat iaitu pokok getah, padi, kelapa rambutan dan durian. Contoh-contoh ini mudah
digambarkan oleh para pembaca tentang bagaimana bentuk dan rupa tumbuh-tumbuhan
tersebut. Mereka secara tidak langsung tidak hanya terikat dengan contoh tumbuh-tumbuhan
yang disebut oleh zahir makna ayat al-Quran sahaja
Pendidikan yang diterima oleh pengarang memainkan peranan besar membentuk
keintelektualan beliau dalam tafsir ‘ilmi. Di Madrasah Idrisiyyah dan Madrasah al-Ehya
Asshariff subjek-subjek ilmu moden diajar dan didedahkan kepada pelajar misalnya ilmu
astronomi, geografi dan ilmu hisab. Selain itu, buku teks tafsir yang diguna pakai dalam
madrasah ini adalah merujuk kepada tafsir beraliran islah iaitu Tafsir al-Maraghi. Idea yang
terkandung dalam kitab tafsir ini secara tidak langsung mempengaruhi Mustafa mengambil
idea tersebut untuk dimuatkan dalam penulisan tafsirnya sendiri. Walau bagaimanapun,
perbincangan tafsir ‘ilmi dalam Tafsir al-Qur’an al-Hakim tidak mencedok keseluruhan
perbincangan tafsir ‘ilmi dalam Tafsir al-Maraghi. Ia diambil secara ringkas sahaja.
Selain itu, Mustafa mendapat pendedahan idea pemikiran islah secara langsung daripada
gurunya Abdullah Maghribi di Madrasah Idrisiah. Beliau juga berpeluang untuk menimba
ilmu dengan Abdullah Fahim yang mahir dan berpengetahuan luas dalam bidang bahasa Arab,
tafsir, hadith dan ilmu astronomi. Oleh sebab itu, tidak hairan mengapa beliau banyak
10
memasukkan perbincangan ilmu astronomi dalam tafsiran ayat berkaitan kejadian bulan,
matahari dan bulan berdasarkan pengetahuan asas dan pembelajaran formalnya di Madrasah
beraliran islah.
11
RUJUKAN
‘Abbas, Fadl Hassan. 1425H/2005. al-Ittijahat al-Tafsir wa Manahij al-Mufassirin fi al-‘Asr
al-Hadith al-Tafsir Asasiyatihi wa Ittijahatihi. ‘Amman: Maktabah Dandis.
Abu Hajar, Ahmad ‘Umar. 1411H/1991. al-Tafsir al-‘Ilmi li al-Qur’an fi al-Mizan. Beirut:
Dar al-Qutaibah.
Ahmad Bazli Ahmad Hilmi. 2014. Terjemahan makna ayat kawniyyat dalam terjemahan
al-Qur’an bahasa Melayu: analisis berdasarkan tafsir ‘ilmi. Disertasi Sarjana,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Ansari, Z.I. 2001. Scientific exegesis of the Qur’an. Journal of Qur’anic Studies 3(1): 91-
104. http://www.jstor.org/stable/25728019 [27 Mei 2013].
Asmidar Mohd. Dalan. 2003. Metodologi Mustafa Abdul Rahman dalam pentafsiran surah
al-Nahl. Latihan Ilmiah, Akademi Pengajian Islam, Univerisiti Malaya.
Baharrudin Zainal. 2002. Pengenalan Ilmu Falak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa &
Pustaka.
Che Hasmawati Che Awang. 2004. Ustaz Mustafa ‘Abdul Rahman: sejarah hidup dan
sumbangannya dalam ilmu hadith di Malaysia. Disertasi Sarjana, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Danial Zainal Abidin. 2014. Quran Saintifik. Edisi kemas kini. Batu Cave: PTS Millennia.
al-Dhahabi, Muhammad Husain. 1426H/2005. al-Tafsir wa al-Mufassirun. Jil. 2. al-
Qahirah: Dar al-Hadith.
Ishak Saat & Mohd Azhar Bahari. 2010. Madrasah Idrisiah Bukit Chandan 1922-2000:
Sumbangan & Kejayaan. Batu Pahat: Penerbit UTHM.
Ismail Yusoff. 1995a. Perkembangan pengajian dan penulisan tafsir di Malaysia. Tesis Dr.
Fal, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Khairul Nizam Zainal Badri. 2008. Ketokohan dan Pemikiran Abu Bakar Al-Baqir. Shah
Alam: Karisma Publications.
al-Khalidi, Salah ‘Abd al-Fatah. 1431H/2010. Ta’rif al-Darisin bi Manahij al-Mufassirin.
Cet. 4. Dimasyq: Dar al-Qalam.
Mazlan Ibrahim. 1998. Tafsir ilmiy: sejarah perkembangan serta pandangan ahli tafsir dan
ulama terhadapnya. Disertasi Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Mazlan Ibrahim, Jawiah Dakir & Mohd Najib Abdul Kadir. 2009. Pengenalan Tokoh dan
Kitab-kitab Tafsir Melayu Ulama Nusantara. Bangi: Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Fazali Abdul Manas. 2011. Sumbangan Abd Aziz bin Abd Salam dalam pengajian
tafsir: tumpuan terhadap al-Bayan pada ta’wil ayat-ayat al-Qur’an. Disertasi
Sarjana, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
12
Mustafa Abdul Rahman. 1951. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 12 & 13. Pulau Pinang:
Persama Press.
Mustafa Abdul Rahman. 1952. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 14 & 15. Pulau Pinang:
Persama Press.
Mustafa Abdul Rahman. 1954. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 17 & 18. Pulau Pinang:
Persama Press.
Mustafa Abdul Rahman. 1957. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 21. Pulau Pinang:
Persama Press.
Mustafa Abdul Rahman. 1960. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 2. t.tp: Maktabat wa
Matba’at Muhammad al-Nahdi wa Awladuh.
Mustafa Abdul Rahman. t.th. Tafsir al-Qur’an al-Hakim. Penggal 5. Pulau Pinang: Persama
Press.
Mustafa Abdul Rahman. 1968. Terjemahan Mukhtasar Ibn Abi Jamrah. Pulau Pinang:
Maktabah al-Rawi.
Mustaffa Abdullah. 2008. Pengaruh Tafsir al-Manar dan kesannya kepada perjuangan
reformis tempatan memartabatkan pendidikan orang-orang Melayu. Jurnal
Pengajian Melayu 19: 108-125. http://www.myjurnal.my/
filebank/published_article/24060/Article_7.PDF [21 Ogos 2014].
Mustaffa Abdullah. 2009a. Khazanah Tafsir di Malaysia. Kuala Lumpur: Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Mustaffa Abdullah. 2011. Khazanah Tafsir di Nusantara. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya.
Nabir Haji Abdullah. 1976. Ma’ahad Il Al-Ehya Asshariff Gunung Semanggol: 1934-1959.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nadzirah Mohd. 2006. Athar Madrasat al-Manar fi al-tafasir al-Malayuwiyah: Tafsir al-
Qur’an al-Hakim li Shaykh Mustafa ‘Abd al-Rahman Mahmud unmudhajan. Tesis
Dr. Fal, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia.
Nurzatil Ismah Azizan. 2009. Tafsir Nur al-Ihsan oleh Muhammad Said bin Umar dan
Tafsir al-Qur’an al-Hakim oleh Mustafa Abdul Rahman: Kajian perbandingan
metodologi pentafsiran. Disertasi Sarjana, Akademi Pengajian Islam, Universiti
Malaya.
Rehman, J. 2003. Searching for scientific facts in the Qur’an: Islamization of knowledge
or a new form of scientism? Islam & Science. 1(2): 245-252.
Selamat Amir, Mohd Murshidi Mohd Noor & Ahmad Bazli Ahmad Hilmi. 2012. Scientific
assimilation in the interpretation of the Qur’an: an approach to Zaghlul el-Najjar’s
work entitled “Tafsir al-Ayah al-Kawniyyah fi al-Qur’an al-Karim”. Al-Bayan
Journal of al-Quran and al-Hadith 10(2): 49-67.
13
http://www.myjurnal.my/public/issue-view.php?id=3130&journal_id=165 [27
Mei 2013].
Wan Sabri Wan Yusof, Shayuthy Abdul Manas & Nadzirah Muhammad. 2003. Sheikh
Mustafa Abdul Rahman Mahmud (1918-1968): Twentieth Century Malay
Qur’anic Interpreter. Mohamad @ Md. Som Sujimon. Monograph on Selected
Malay Intellectuals, hlm.259–283. Kuala Lumpur: Research Centre International
Islamic University Malaysia.