WACANA PENGURUSAN
DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN
WACANA PENGURUSAN
DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN
Diterbitkan oleh:
Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pendidikan Malaysia Kompleks Pendidikan Nilai
71760 Bandar Enstek Nilai, Negeri Sembilan
Tel: 06-7979200 http://iab.moe.edu.my e-mel: [email protected]
Urusan penerbitan oleh:
Pusat Dokumentasi dan Sumber Pendidikan Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pendidikan Malaysia
Cetakan Pertama 2020
Hak Cipta Institut Aminuddin Baki
Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran bertulis
daripada pengarah Institut Aminuddin baki terlebih dahulu.
Pengurus Penerbitan: Mohamad Hanif bin Ramli
Grafik dan Reka Bentuk: Mohamad Hanif bin Ramli Shahrul Nizam bin Salim
Pencetak: Gigawise Network Sdn. Bhd.
JAWATANKUASA PENERBITAN BUKU WACANA PENGURUSAN
DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN
Penaung Dato’ Haji Tajuddin bin Mohd Yunus, Ph.D
Pengarah Institut Aminuddin Baki
Penasihat Haji Abd. Razak bin Manaf, Ph.D
Timbalan Pengarah Kanan (Kluster Khidmat Profesional)
Datuk Haji Mohd Kassim bin Haji Mohd Ibrahim, Ph.D Timbalan Pengarah Kanan (Kluster Khidmat Latihan)
Marzita binti Abu Bakar, Ph.D Ketua Pusat, Pusat Pengurusan Dasar dan Inovasi
Penyelenggara
Wan Zaliha Wan Othman, Ph.D Malek bin Baseri
Editor
Nor Zanariah @ Roba’atul Adawiah binti Talib, Ph.D
Panel Penulis Wan Zaliha binti Wan Othman, Ph.D
Shahrul Nizam bin Salim Nor Zanariah @ Roba’atul Adawiah binti Talib, Ph.D
Norita binti Hamzah Mohd Tamri bin Abd Halim
Malek bin Baseri Salwati binti Shafee, Ph.D
Fauziah binti Ismail Kalai Selvan Arumugham, Ph.D
Hishamuddin bin Jaafar Nur Agnes Linda binti Andrew Bowgel
Anita binti Othman Darussalam Nehemia Bonel Pantulusang
Carl Martin Albert Robit Yusie Fus Han
Mohamad Rushdan bin Hj Azizan, Ph.D Fausiah binti Sulaiman
Kalidass Machappan, Ph.D Mohd Husni bin Ramli
Ahzan Salvinawati binti Ahmad Nor Ahmad bin Khamzah
Zurinah binti Yunus
KANDUNGAN
TAJUK HALAMAN
Peranan PGB Sebagai Pemimpin Instruksional yang Berkesan dalam Mengurus Perubahan. Dr. Wan Zaliha binti Wan Othman Shahrul Nizam bin Salim
1
Penerapan Kepimpinan Spiritual dalam Pengurusan Sekolah Dr. Nor Zanariah @ Roba’atul Adawiah binti Talib
14
Gaya Kepimpinan Pemimpin Sekolah dalam Pengurusan dan Penyelesaian Masalah Program Pendidikan Khas. Norita binti Hamzah Mohd Tamri bin Abd Halim Malek bin Baseri
38
Komunikasi Berkesan dalam Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah. Dr. Salwati binti Shafee Fauziah binti Ismail
59
Pengurusan Pentaksiran Bilik Darjah. Dr. Kalai Selvan Arumugham Hishamuddin bin Jaafar
76
Mewujudkan Suasana Vibran dalam Persekitaran Kerja Organisasi. Nur Agnes Linda binti Andrew Bowgel Anita binti Othman
89
Amalan Kepimpinan dan Pengurusan Penolong Kanan Pusat Tingkatan 6 SMK Tambunan. Darussalam Nehemia Bonel Pantulusang Carl Martin Albert Robit Yusie Fus Han
97
Pendekatan Ahsan Al-Qaul dalam Aspek Komunikasi Kepimpinan Sekolah. Dr. Mohamad Rushdan bin Hj Azizan Fausiah binti Sulaiman
109
Peranan IAB Melahirkan Pemimpin Era Revolusi Industri 4.0. Dr. Kalidass Machappan Mohd Husni bin Ramli Ahzan Salvinawati binti Ahmad
126
Peranan Pemimpin di Sekolah Bagi Memartabatkan Penggunaan Pusat Sumber Sekolah Sebagai Pusat Maklumat. Nor Ahmad bin Khamzah Zurinah binti Yunus
138
i
Kata Alu-Aluan
Pengarah Institut Aminuddin Baki
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia.
Masa hadapan negara sangat bergantung kepada kualiti pendidikan yang diterima oleh rakyat. Kualiti pendidikan pula mempunyai hubungan yang sangat signifikan dengan peranan pemimpin sekolah sebagai penerajunya, yang merupakan teras kekuatan Kementerian Pendidikan Malaysia. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan sistem pendidikan adalah hasil dedikasi para guru dan pemimpin sekolah. Saya mewakili Institut Aminuddin Baki menyeru semua warga sekolah khususnya pemimpin sekolah agar terus komited berganding bahu meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara bagi mendepani cabaran masa depan.
Di kesempatan ini, saya memanjatkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, buku Wacana Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ini berjaya diterbitkan. Penghasilan buku yang merupakan himpunan artikel pensyarah IAB ini adalah satu usaha yang baik bertujuan memberi maklumat kepada pemimpin sekolah agar dapat berperanan dengan lebih berkesan dalam menggalas amanah besar mengurus organisasi sekolah bagi memastikan matlamat pendidikan berjaya dilestarikan. Saya yakin buku ini dapat memberi nilai tambah kepada peningkatan kualiti pemimpin sekolah yang merangkumi pengetua/guru besar dan juga pengurusan pertengahan seperti guru penolong kanan, ketua bidag dan ketua panitia untuk berprestasi lebih cemerlang.
Tahniah diucapkan kepada Dr. Marzita binti Abu Bakar, Ketua Pusat, Pusat Pengurusan Dokumentasi dan Inovasi serta Dr. Rahayu binti Ahamad Bahtiar, Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Staf atas kerja keras menggilap potensi pensyarah baharu IAB. Saya sangat berbangga kerana buku Wacana Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ini akhirnya dapat diterbitkan pada tahun 2020 hasil komitmen padu semua. Syabas sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat, yang telah berusaha bertungkus lumus menjayakan penghasilannya. Sebarang maklum balas mengenai kandungan penulisan buku ini harus diteliti dan dipertimbangkan untuk tujuan penambahbaikan agar ianya terus relevan mengikut perkembangan semasa yang pantas berubah.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Dr Haji Tajuddin bin Mohd Yunus
ii
Kata Alu-Aluan
Ketua Pusat Pusat Pengurusan Dasar dan Inovasi Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia.
Sekalung penghargaan kepada jawatankuasa yang terlibat dan semua pensyarah IAB atas kerjasama dan semangat sepasukan yang baik, yang akhirnya merealisasikan penerbitan buku Wacana Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan IAB ini. Saya percaya ini adalah petanda awal yang positif ke arah kejayaan penghasilan penulisan-penulisan seterusya. Harapan saya semoga buku ini akan dapat menjadi salah satu sumber rujukan utama kepada semua pemimpin pendidikan dalam usaha menjadikan IAB sebagai pusat rujukan dalam bidang pengurusan dan pendidikan.
Dunia pendidikan mutakhir ini yang kian mencabar memerlukan pemimpin pendidikan yang kompeten iaitu berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian tinggi. Pemimpin yang dinamik dan berwibawa akan berupaya membangunkan institusi pendidikan ke arah kecemerlangan melalui keberkesanan pengurusan, yang seterusnya memberi impak kepada kemenjadian murid. Semoga usaha kecil penerbitan buku ini dapat memberi manfaat kepada pengurus pendidikan untuk dijadikan sebagai panduan pentadbiran pemimpin pendidikan. Sekolah dalam merancang, melaksanakan, memantau, membuat penilaian serta penambahbaikan berterusan kepada kaedah pengoperasian sekolah.
Penerbitan buku ini adalah sumbangan yang wajar dibanggakan, serta harus dijadikan sebagai wadah perkongsian ilmu berkaitan kompetensi pemimpin pendidikan. Isu-isu serta informasi yang diketengahkan diharapkan dapat memberi inspirasi dan inovasi kepada pemimpin pendidikan seiring hasrat IAB untuk melahirkan pemimpin sekolah yang berprestasi tinggi sebagaimana yang disasarkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Akhir sekali, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Dr Haji Tajuddin bin Mohd Yunus, Pengarah IAB atas cetusan idea yang sangat baik untuk menghasilkan penulisan buku ini yang akhirnya berjaya direalisasikan.
Terima kasih.
Dr. Marzita binti Abu Bakar
iii
Kata Alu-Aluan
Ketua Jabatan Jabatan Pembangunan Staf (JAPES)
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia.
Penerbitan buku Wacana Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan merupakan satu usaha mendokumentasikan hasil kajian IAB untuk manfaat seluruh warga pendidik di samping memenuhi KPI. Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua pensyarah baharu selaku sidang penulis yang telah menyumbang artikel untuk dimuatkan ke dalam buku ini. Penghargaan dan ucapan terima kasih ditujukan khas kepada Dato’ Dr Haji Tajuddin bin Mohd Yunus, Pengarah IAB kerana telah mengilhamkan penghasilan buku ini. Tidak lupa jutaan terima kasih kepada Ketua Pusat, Pusat Pengurusan Dasar dan Inovasi, Dr Marzita binti Abu Bakar atas sokongan padu yang diberikan, Ketua Pusat, Pusat Dokumentasi dan Sumber Pendidikan (PDSP), Dr Ekerim a/p Din Chen, dan Ketua Jabatan, Jabatan Penerbitan dan Dokumentasi, Pn. Ng Lee Ching, serta semua ahli PDSP yang telah bertungkus lumus bagi menjayakannya.
Memandangkan peranan sebagai pendidik di alaf 21 ini amat mencabar lebih-lebih lagi sebagai kepimpinan sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha memilih hanya calon yang terbaik untuk menyertai profesion pendidikan dan memastikan setiap sekolah dipimpin oleh pengetua dan guru besar yang berkualiti tinggi agar berupaya memacu prestasi sekolah. Maka pemimpin sendiri sebagai peneraju sekolah perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran serta sentiasa meningkatkan kompetensi diri agar dapat beradaptasi dengan tuntutan kerja serta cabaran semasa yang semakin kompleks untuk kekal relevan. Selain Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) yang dikemukakan oleh IAB perlu dijadikan sebagai piawaian minimum, Pengetua/Guru Besar perlu turut merujuk kepada pelbagai bahan bacaan tambahan untuk meningkatkan tahap profesionalisme. Semoga kandungan yang disampaikan dalam buku ini sedikit sebanyak dapat memberi input yang diperlukan, yang dapat membantu melonjakkan kualiti pengurusan sekolah bagi mencapai set jangkaan yang lebih tinggi, seterusnya berkesinambungan dengan kelestarian transformasi pendidikan Malaysia. Akhir kata, saya mendoakan agar segala usaha kita mencapai visi dan membuahkan hasil yang dihasratkan. Marilah kita beriltizam untuk sama-sama menghayati, mengamalkan dan membudayakan amalan terbaik dalam berorganisasi agar kecemerlangan kepemimpinan pendidikan dapat direalisasikan untuk memartabatkan negara kita di persada dunia.
Sekian, terima kasih.
Dr. Rahayu binti Ahamad Bahtiar
iv
Prakata
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan
besar Nabi Muhammad S.A.W. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana
dengan limpah kurniaNya buku berjudul Wacana Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ini
dapat dihasilkan.
Penulisan buku ini mengandungi 10 artikel yang memfokuskan kepada kepimpinan
dan pengurusan organisasi sekolah. Persoalan utama yang diutarakan adalah tentang
kompetensi Pengetua dan Guru Besar dalam konteks mengurus kerja dan mengurus sumber
ke arah mencapai kecemerlangan organisasi. Sememangnya kepimpinan bukanlah topik
yang baru diperbincangkan malah bidang ini telah mula dikaji sejak tahun 1920-an. Namun,
memandangkan isu pengurusan dan kepimpinan sangat signifikan dan begitu relevan dengan
Institut Aminuddin Baki yang berperanan sebagai institusi latihan, maka buku ini diterbitkan
sebagai usaha kecil bagi perkongsian idea dan pemikiran ke arah melahirkan pemimpin
berprestasi tinggi. Saya percaya buku ini bukan sahaja boleh membantu pemimpin
pendidikan malah sesuai dijadikan bahan bacaan untuk seluruh warga pendidik, bakal
pendidik, para pelajar di institusi pengajian tinggi malah masyarakat awam.
Usaha penghasilan buku ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu pelbagai pihak.
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada Pengarah IAB, Dato’ Dr Haji Tajuddin bin Mohd Yunus atas cetusan idea untuk
menghasilkan buku ini. Terima kasih juga saya tujukan kepada Dr. Marzita binti Abu Bakar,
Ketua Pusat, Pusat Pengurusan Dasar dan Inovasi dan Dr. Rahayu binti Ahamad Bahtiar,
Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Staf, Pusat Pengurusan Dokumentasi dan Inovasi
yang memberi peluang kepada kami menyumbang artikel ke dalam buku ini serta memberi
saranan dan pandangan yang membina sehingga akhirnya penerbitan buku ini berjaya
direalisasikan.
Tidak dilupakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga untuk Dr Wan Zaliha binti
Wan Othman dan En Malek bin Baseri yang telah bertungkus lumus menyelenggarakan
bengkel dan menguruskan pelbagai prosedur bagi menjayakan penerbitan buku ini. Akhir
sekali, ucapan penghargaan yang teristimewa didedikasikan kepada En Shahrul Nizam bin
Salim atas usaha dan kreativiti menghasilkan grafik untuk kulit buku ini serta buat semua
rakan-rakan pensyarah atas sumbangan artikel. Semoga penulisan ringkas yang dimuatkan
dalam buku ini menjadi pencetus idea kepada perbincangan serta kajian dan penulisan lanjut
berkaitan pengurusan dan kepimpinan secara lebih komprehensif.
Dr. Nor Zanariah @ Roba’atul Adawiah binti Talib IAB Bandar Enstek
1
PERANAN PENGETUA DAN GURU BESAR (PGB) SEBAGAI PEMIMPIN INSTRUKSIONAL YANG BERKESAN DALAM MENGURUS PERUBAHAN
Dr. Wan Zaliha binti Wan Othman
Shahrul Nizam bin Salim [email protected]
1.0 Pengenalan
Pemimpin bermaksud seseorang yang berkeupayaan untuk mengurus sesuatu organisasi.
Seseorang pemimpin juga perlu mempengaruhi, memotivasikan, mengubah sikap dan tingkah
laku pengikutnya untuk mencapai sesuatu penghasilan dan matlamat organisasi. Manakala
perkataan ‘instruksional’ berasal daripada perkataan bahasa Inggeris instruction yang
berasal daripada kata dasar instruct yang bermaksud ‘ajar’.
Perkataan instruksional ialah kata kerja yang bererti ‘pengajaran’ atau ‘proses
mengajar sesuatu’. Menurut Abdul Ghani (2011), sebagai pemimpin pengajaran atau
instruksional, pengetua memainkan peranan sebagai pembimbing, penyelia, penilai dan
pembekal sumber bagi menggalakkan dan membaiki pengajaran dan pembelajaran (P&P) di
sekolah. Kepimpinan juga merujuk kepada setiap tindakan yang menumpukan sumber-
sumber ke arah matlamat yang benar-benar bermanfaat.
Pemimpin Instruksional bermaksud pemimpin utama dalam kalangan guru iaitu
Pengetua dan Guru Besar yang menguruskan semua hal ehwal berkaitan dengan sekolah.
Menurut Lokman, M. Al Muzammil dan Mislina (2013) kepimpinan instruksional membawa
maksud interaksi guru secara formal, penglibatan secara menyeluruh, pembangunan
profesional guru, pembangunan kurikulum dan implementasi kepada kajian berbentuk
tindakan dengan hasrat dapat meningkatkan kredibiliti dan kapasiti guru di kelas. Menurut
Abdul Ghani (2011), sebagai pemimpin pengajaran atau instruksional, Pengetua atau Guru
Besar memainkan peranan sebagai pembimbing, penyelia, penilai dan pembekal sumber bagi
menggalakkan dan membaiki pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah.
Oleh itu, peranan yang paling penting bagi setiap pemimpin instruksional sama ada
Pengetua ataupun Guru Besar ialah memastikan guru-guru melaksanakan tanggungjawab
hakiki iaitu mengajar dan pelajar-pelajar pula bertanggungjawab untuk belajar dengan sebaik
mungkin. Kedua-dua aktiviti mengajar dan belajar ini menjadi tanggungjawab utama
pemimpin instruksional supaya tidak berlakunya halangan ataupun tergendala apa yang telah
dirancangkan. Tanggungjawab utama pemimpin instruksional adalah mengurus program
2
instruksional iaitu menyelia dan menilai instruksional, menyelaras kurikulum dan memantau
kemajuan PdPc di sekolah.
Pemimpin instruksional sangat memerlukan sokongan daripada orang sekeliling untuk
melaksanakan perubahan. Tanpa sokongan, pastinya agak sukar untuk pemimpin
instruksional menjalankan pelbagai program di peringkat dalaman ataupun luaran. Oleh itu,
mereka perlu mengurus perubahan warga pendidik untuk memastikan berlakunya anjakan
pemikiran daripada kebiasaan kepada yang lebih baik. Pengurusan perubahan memerlukan
usaha dan tindakan yang konsisten untuk memastikan setiap program berjalan dengan lancar
dan memberikan impak kepada organisasi. Mengikut John Kotter (1995), untuk mengurus
perubahan, seseorang memerlukan lapan cara iaitu mencipta keperluan, membentuk pakatan
yang kuat, mencipta visi perubahan, menyampaikan visi melalui komunikasi, menghapuskan
halangan, membentuk sasaran, meneruskan pembinaan perubahan dan membudayakan
perubahan dalam kehidupan.
Oleh itu, pemimpin instruksional seharusnya memiliki beberapa kepakaran iaitu
merancang, mengelola, memimpin, dan mengawal kurikulum untuk memastikan setiap warga
pendidikan dalam seliaannya mengurus diri dengan lebih baik untuk mencapai perubahan diri
yang semaksimum yang mungkin. Kebiasaannya, setiap perubahan yang cuba dijalankan
dan dilaksanakan akan ditentang dan tidak disukai kerana perubahan tersebut akan sedikit
sebanyak memberi kesan atau menjejaskan budaya yang telah sebati dalam sesebuah
organisasi. Seringkali juga berlaku salah tafsir atas perubahan yang cuba dibawa dan
dianggap perosak kepada sistem yang telah sedia ada dan sudah lama digunakan.
2.0 Mengurus Perubahan
Perubahan membawa konotasi beralih daripada yang biasa atau yang kurang berkesan
kepada yang lebih baik. Perubahan tersebut menjadi titik tolak kepada agenda baru yang
akan dilaksanakan di sesebuah organisasi. Menurut Carzo dan Yanouzas (1967), perubahan
merupakan bentuk penukaran kelakuan diri yang biasa atau stabil kepada pola kelakuan atau
perubahan yang lain daripada kebiasaan. Perubahan tersebut menunjukkan perubahan yang
positif dan memberi kesan yang baik kepada seseorang. Jika sekiranya perubahan tersebut
tidak memberikan makna yang positif ataupun perubahan ke arah yang lebih baik, tidak akan
dapat merubah perlakuan dan etika seseorang.
Bagi sesebuah organisasi, mengurus perubahan perlu merujuk kepada misi dan visi
agar selaras dengan kehendak dan keperluan jabatan. Penentuan misi dan visi telah
diselaraskan lebih awal untuk memberi panduan kepada kakitangan dan jika perubahan ingin
dilaksanakan misi dan visi perlu dijadikan bahan utama untuk dirujuk untuk mencapai sesuatu
objektif. Keperluan kepada situasi semasa juga perlu diambil kira dalam merealisasikan
perubahan dengan mengkaji terlebih dahulu aspirasi organisasi.
3
Dalam memastikan perubahan yang berkesan, setiap perubahan yang akan dilakukan
perlu mengenal pasti dahulu jurang yang ada dan jurang tersebutlah yang perlu diisi untuk
memastikan kelompangan tersebut diisi. Sokongan dan persefahaman juga menjadi ciri-ciri
penting untuk menentukan setiap perubahan dilaksanakan dan berjaya direalisasikan.
Jurang yang seharusnya dikenal pasti perlu juga dilihat dari aspek peredaran zaman
terutama sekali dalam era globalisasi ini. Sejak kebelakangan ini, perubahan globalisasi
adalah sesuatu yang tidak dapat dibendung lagi. Sekolah adalah organisasi yang tidak dapat
lari daripada tuntutan perubahan tersebut.1 Era globalisasi kini melihat pelbagai persaingan
yang wujud dan bagi pemimpin yang cepat mengambil peluang yang ada, maka tidak mustahil
organisasi yang dipimpin akan mendapat pelbagai manfaat dan kelebihan.
Tambahan pula, bagi yang berani untuk menghadapi perubahan dan tahu
mengendalikan risiko menjadikan mereka lebih bersedia untuk mengendalikan pelbagai
situasi di sekeliling mereka. Dalam mendepani perubahan juga, pemimpin instruksional yang
seharusnya menjaga masa akademik perlu mengambil kira sebarang risiko yang berlaku di
sekolah dan mereka seharusnya mengatasi masalah tersebut sebelum membuat perubahan.
Contohnya, pemimpin instruksional perlu memastikan setiap kelas selamat diduduki dan perlu
membuat pemeriksaan berkala dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) agar keselamatan
murid terjamin. Mereka tidak boleh membaiki kerosakan sendiri tanpa merujuk kepada pakar-
pakar yang bertauliah agar insiden yang tidak diingini berlaku kepada pelajar.
Jika terdapat sebarang kerosakan di sekolah terutama kerosakan yang akan
menjejaskan kurikulum di sekolah, pemimpin instruksional perlu segera melaporkan kepada
Jabatan Pendidikan agar tindakan segera dapat dijalankan. Untuk itu, pemimpin instruksional
juga boleh meminta kerjasama ibu bapa menerusi jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan
Guru untuk bersama-sama mencari penyelesaian masalah dengan lebih mudah dan cepat.
Jika sekiranya PIBG mempunyai dana yang mencukupi, mereka boleh memberikan
sumbangan untuk digunakan dan pemimpin instruksional perlu mengikuti prosedur agar
segala pematuhan atau Standard Operating Prosedure (SOP) tidak diabaikan.
Di sekolah, apabila sesuatu perubahan diperkenalkan, pengetua sebagai pemimpin
instruksional bertanggungjawab mengimplementasikan perubahan tersebut. Berjaya atau
gagal perubahan itu bergantung kepada pengetua sekolah (Hussein, 2008). Pengetua mesti
bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan melaksanakan perubahan demi
kecemerlangan organisasi sekolah.2 Dalam hal ini, kebijaksanaan pemimpin instruksional
memainkan peranan dan jika berlaku perubahan yang positif akan menggambarkan mereka
1 http://cikgushimaarshad.blogspot.com/2017/04/ppp3113-pengurusan-perubahan-nama.html 2 http://www.jprisma.com/v1/index.php/penulisan/31-ppd-pontian/70-kepimpinan-instruksional
http://www.jprisma.com/v1/index.php/penulisan/31-ppd-pontian/70-kepimpinan-instruksional
4
sebagai seorang pemimpin yang berjaya meneraju perubahan. Dalam masa yang sama, etika
dan peraturan perlu dipatuhi dan diikuti tanpa mengubah suai mengikut kehendak sendiri.
Peraturan yang ditentukan oleh kementerian adalah untuk kebaikan semua pihak dan
sekolah adalah sebagai institusi perlu mematuhi etika dan disiplin yang telah ditetapkan oleh
pihak kementerian pendidikan. Menerusi pelbagai dasar yang ditentukan dan digariskan untuk
kebaikan bersama-sama, pemimpin pendidikan perlu akur untuk melaksanakannya.
Sekiranya terdapat perubahan yang ingin dilaksanakan sekalipun, mereka seharusnya akur
dan melaksanakan perubahan menurut garis panduan yang telah ditetapkan.
3.0 Kepentingan
Menangani perubahan sangat penting dalam mana-mana organisasi untuk kebaikan semua
pihak. Dari aspek kualiti ekonomi, pulangan dan pelaburan adalah berbeza. Pulangan
seharusnya melebihi daripada pelaburan. Begitu juga dengan pentadbiran di sekolah.
Pemimpin instruksional perlu memastikan perbelanjaan yang diperuntukkan dalam sebarang
aktiviti diterjemahkan dalam bentuk keberhasilan pelajar yang lebih baik. Cuma, keberhasilan
pelajar ini hanya akan dapat dikesan dalam tempoh masa yang agak lama. Pelaburan dalam
dunia pendidikan sukar untuk dilihat dalam masa yang singkat. Oleh itu, pemimpin pendidikan
seharusnya bijak menyusun pengurusan termasuk menguruskan perbelanjaan untuk
melaksanakan pelbagai program ke arah institusi yang lebih baik.
Pemimpin instruksional perlu menunjukkan perubahan diri yang lebih baik dalam
pengurusan sebelum membuat perubahan kepada organisasi mereka. Pemimpin
instruksional sangat penting untuk mengubah diri mereka ke arah yang lebih baik dalam
memimpin organisasi mereka. Meskipun pemimpin instruksional sudah merasakan diri
mereka berada pada tahap yang membanggakan dalam pentadbiran, namun kadang-kadang
perlunya sikap lebih terbuka untuk merubah kebiasaan dengan mengambil pendapat dan
saranan daripada kakitangan bawahan mereka. Antara tugas penting pemimpin instruksional
pada peringkat awal ialah merangka matlamat kurikulum sekolah, menyelaras kurikulum,
menyelia dan menilai kurikulum yang telah dirangka.
Oleh itu, perlunya idea digembleng bersama-sama dengan penolong kanan akademik
yang terlibat langsung dengan pelaksanaan kurikulum di sekolah. Isu-isu terkini banyak
dikuasai oleh penolong kanan akademik untuk mengatasi permasalahan akademik di sekolah.
Justeru, pemimpin instruksional perlu memainkan peranan menerima idea-idea untuk
membuat perubahan di peringkat dasar agar susunan pentadbiran akademik berjalan dalam
keadaan terkawal dan prestasi akademik dapat dijaga dan ditingkatkan dari semasa ke
semasa.
Prestasi akademik ini merupakan Key Perfomance Index (KPI) kepada pemimpin
instruksional yang perlu diambil berat. Untuk peningkatan prestasi akademik yang lebih baik,
5
pemimpin instruksional perlu melaksanakan strategi dengan lebih sistematik. Oleh itu,
pemimpin instruksional perlu menunjukkan perubahan diri sebelum membuat sebarang
perubahan kepada organisasi mereka. Banyak kebaikan yang dapat diperoleh apabila
pemimpin instruksional dapat menangani perubahan diri dan organisasi seperti yang
dibincangkan di bawah ini.
3.1 Mengurangkan Konflik
Kewujudan konflik di sekolah dalam kalangan pentadbir dengan kakitangan dan guru-guru
sama ada dalam keadaan tersimpan ataupun terbuka sedikit sebanyak akan menjejaskan
perlaksanaan pentadbiran akademik dan lain-lain perkara. Kesan yang besar akan dihadapi
sekiranya konflik tersebut tidak ditangani dengan segera dan mereka perlu bijak dalam
membuat keputusan agar setiap program yang dilaksanakan berjalan tanpa halangan.
Menurut Jaafar Mohammad (2001), Malaysia mengambil masa lebih kurang satu setengah
jam daripada jumlah waktu bekerja setiap hari untuk menyelesaikan konflik. Sepatutnya masa
tersebut digunakan untuk memikirkan strategi untuk meningkatkan prestasi kerja untuk
kebaikan organisasi.
Untuk menjadi seorang pemimpin instruksional yang cemerlang, pemimpin
instruksional seharusnya mengamalkan corak kepimpinan yang tidak menimbulkan konflik.
Jika sekiranya pemimpin instruksional banyak mengamalkan pentadbiran secara autokratik,
sudah tentunya konflik akan berlaku yang menyebabkan pentadbiran tidak dapat diuruskan
dengan baik. Pemimpin instruksional yang bijak seharusnya mampu bertindak dan berubah
untuk membawa sekolah ke arah perubahan yang lebih baik.
Menurut Pickering (2000), konflik terbahagi kepada tiga bahagian iaitu peringkat
awalan, peringkat cabaran, dan peringkat pertembungan. Peringkat awalan berlaku apabila
ada tanda-tanda guru-guru tidak memberikan kerjasama dengan program yang diadakan di
sekolah. Seringkali juga guru-guru yang ada konflik ini melaksanakan tugas ibarat
melepaskan batuk di tangga. Peringkat cabaran pula menunjukkan ada dalam kalangan guru
yang cuba untuk menghasut orang lain dan akan berkembang ke peringkat yang lebih tinggi
lagi sehinggalah menjadi peringkat pertembungan. Peringkat pertembungan sangat bahaya
jika tidak diselesaikan segera kerana akan menjejaskan tugas utama pemimpin instruksional
untuk menjaga PdPc di dalam kelas.
Perubahan yang dilakukan tidak perlu drastik untuk membina kecemerlangan.
Perubahan yang mendadak menjadikan guru-guru tidak suka dan bekerja dalam keadaan
tertekan. Apabila bekerja dalam suasana yang tertekan dan tidak harmoni, perubahan yang
bakal dilaksanakan sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada semua pihak. Oleh itu,
pemimpin instruksional perlu bijak melaksanakan tindakan agar tidak memberi tekanan
6
kepada guru-guru. Kebijaksanaan melaksanakan tindakan memudahkan proses perubahan
diteruskan tanpa banyak halangan yang dihadapi.
3.2 Meningkatkan motivasi diri
Untuk melaksanakan perubahan, pemimpin instruksional memerlukan semangat dan
kekuatan diri dalam memotivasikan diri sendiri. Perlunya sikap positif untuk memotivasikan
diri sendiri untuk memberikan kesedaran kepada guru-guru yang lain agar mereka turut
menanam sikap sentiasa ada semangat dan sentiasa bermotivasi setiap hari dalam
melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Setiap pemimpin pendidikan yang ingin maju dan memastikan setiap perubahan
direalisasikan, mereka perlu menerapkan hala tuju kendiri masing-masing. Hala tuju tersebut
perlulah meletakkan kepentingan kepada organisasi dan bukannya meletakkan kepentingan
kepada diri sendiri. Hala tuju yang berpihak kepada diri sendiri akan menyebabkan mereka
akan rasa kecewa jika sesuatu matlamat yang ingin dicapai tidak terlaksana. Oleh itu, setiap
hala tuju yang perlu dilaksanakan perlu bersandar kepada realiti semasa dan memberikan
faedah dan keuntungan kepada semua pihak.
Bukan itu sahaja, jika ingin melaksanakan perubahan juga, perencanaan dan strategi
yang dirancang perlu teliti dan terarah. Langkah yang dimulakan perlu bersandarkan kepada
impian untuk berjaya bersama-sama dengan guru-guru dan pelajar-pelajar. Kejayaan yang
dinikmati akan merasa lebih manis dan membahagiakan sekiranya impian dapat dicapai.
Motivasi diri akan lebih meningkat lagi pada masa akan datang dan keinginan untuk berubah
akan sentiasa segar dalam diri tanpa paksaan mana-mana pihak.
Pemimpin pendidikan juga perlu menanamkan sikap sentiasa positif untuk
memotivasikan diri mereka sendiri untuk berubah. Setiap tindakan, percakapan dan kegiatan
yang dilaksanakan perlu disandarkan untuk meraih kejayaan bersama-sama dan bukannya
meraih populariti diri. Mereka tidak perlu membandingkan diri dengan pencapaian organisasi
yang lain. Perbandingan jika diambil dalam sudut yang positif sangat bagus untuk
memberikan motivasi kepada guru-guru untuk berubah. Jangan dibuat perbandingan untuk
merendahkan-rendahkan potensi guru-guru.
Pemimpin pendidikan juga boleh juga mengamalkan pemberian galakan dalam bentuk
hadiah ataupun pujian. Mereka juga boleh berikan penghargaan dalam bentuk bulanan
dengan memberikan sijil pekerja contoh setiap bulan untuk meningkatkan motivasi diri dalam
bekerja. Semua manusia memerlukan penghargaan meskipun hanya ucapan penghargaan.
Motivasi sedemikian akan memudahkan pemimpin pendidikan meneruskan legasi dan
perancangan mereka. Hal ini juga memudahkan pelaksanaan menangani perubahan dalam
diri ahli dalam organisasi.
7
3.3 Meningkatkan daya usaha
Untuk berjaya memerlukan komitmen dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Pemimpin pendidikan seharusnya memiliki pelbagai pendekatan untuk memberikan peluang
kepada guru-guru meningkatkan daya usaha masing-masing. Setiap guru perlu diberikan
peluang untuk membuat perubahan dengan meningkatkan daya usaha sendiri tanpa perlu
mengharapkan diri dipantau dan diminta untuk berbuat demikian.
Contoh pendekatan yang perlu digunakan oleh pemimpin pendidikan dalam
menangani perubahan dalam peningkatan daya usaha pada setiap guru ialah dengan
memberi peluang kepada mereka berusaha. Hal ini seiring dengan Falsafah Pendidikan di
Malaysia yang keempat (FPK) iaitu memberi peluang kepada semua warganegara Malaysia
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017) untuk melaksanakan pelbagai pendekatan dalam
mencapai visi dan misi KPM.
Seringkali juga pemimpin instruksional berusaha untuk memenangi hati guru-gurunya
dengan pelbagai cara untuk meningkatkan amalan di dalam bilik darjah. Jika mengikut
konsep pemimpin yang dikenali, mereka mempunyai penyokong dan pengikut yang setia.
Oleh itu, guru-guru akan didekati dan diberikan perhatian yang lebih sebagai usaha untuk
mencapai matlamat dalam bentuk kumpulan yang besar. Pemimpin instruksional juga akan
berbincang strategi untuk peningkatan taraf akademik dan akan meminta pandangan serta
idea orang yang lebih dekat dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang akademik.
Proses saling mempengaruhi antara pemimpin konvensional dan guru-guru juga menjadi
sebagai salah satu daya usaha untuk melaksanakan perubahan dalam bidang kurikulum di
sekolah.
Untuk berubah, setiap manusia memerlukan usaha yang berpanjangan tanpa
mengenal putus asa. Mereka yang memiliki minda untuk berubah akan sentiasa berfikiran
positif dan akan cenderung untuk berusaha dengan lebih baik. Mereka akan lebih mudah
mencapai keperluan organisasi yang akan memudahkan pemimpin pendidikan mencapai
target dalam kepimpinan mereka. Usaha yang tidak mengenal putus asa akan meningkatkan
juga kemahiran setiap individu dan kemahiran yang diperoleh dari semasa ke semasa adalah
guru yang paling berguna untuk memberikan pengalaman yang berharga kepada mereka.
4.0 Isu dan Penyelesaiannya
Dewasa kini, peranan seorang pemimpin instruksional yang juga merupakan pemimpin
pendidikan dalam organisasi masing-masing perlu menghadapi pelbagai masalah yang
rencam dalam dunia pendidikan untuk membuat perubahan. Klausa utama pemimpin
instruksional adalah menjaga kurikulum sekolah agar cemerlang dan meninggalkan impak
yang positif kepada sekolah. Namun, hal ini tidaklah semudah yang dirancang untuk dicapai.
8
Banyak isu-isu yang terjadi di sekolah yang membuatkan pemimpin instruksional terhalang
dan putus asa dalam menangani perubahan dalam pentadbiran mereka. Contohnya, dalam
hal peperiksaan penting di sekolah, pemimpin instruksional perlu membuat perubahan yang
tidak menyalahi akta peperiksaan yang telah digubal.
Akta Pendidikan 1996 merujuk Seksyen 19 telah menggariskan bahawa setiap
sekolah perlu menyediakan murid-murid bagi peperiksaan awam mengikut ketetapan
Kementerian Pendidikan Malaysia. Pernyataan ini disokong dengan tindakan pemimpin
sekolah dalam menyahut seruan kementerian bagi menyediakan murid- murid mencapai visi
dan misi selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Oleh itu,
perubahan kurikulum seharusnya diambil kira dalam penyediaan Standard Operating
Prosedure (SOP) mereka di sekolah terutama yang melibatkan peperiksaan. Pemimpin
instruksional tidak boleh sesuka hati membuat pembaharuan tanpa memikirkan kesan
sampingan kepada pelajar-pelajar dan sekolah. Hal ini akan memperlihatkan kecuaian
pemimpin instruksional jika tidak dirancang dengan baik yang boleh mendatangkan kerugian
kepada pelajar.
Tee (2004) yang menyatakan seseorang murid itu akan mengalami kerugian dalam
memenuhi tuntutan pendidikan formal disebabkan kecuaian guru. Isu ini akan menjadi lebih
kritikal apabila kepekaan masyarakat menuntut akauntabilti dan ketelusan dalam bidang
pendidikan. Jika kecuaian ini dibiarkan berlarutan akan menyebabkan program ke arah
perubahan di sekolah akan tergendala dan murid-murid turut menerima kesan secara tidak
langsung. Perubahan yang dirancang tidak akan mudah dicapai dan sudah tentu
memperlihatkan halangan yang jelas yang akan mengganggu perancangan akademik
pemimpin instruksional.
Namun persoalannya, adakah pihak sekolah terutamanya pemimpin instruksional
telah membuat persediaan untuk murid-murid menghadapi peperiksaan mengikut garis
panduan dan ketetapan pihak kementerian. Hal ini berlaku kerana pihak sekolah boleh
dikenakan tindakan saman sivil daripada pihak ibu bapa mahupun waris murid. Dalam situasi
lain, pencapaian tahap minimum akademik murid-murid dalam peperiksaan juga boleh
dipertikaikan sekiranya pihak sekolah gagal menyediakan pelan perancangan strategik yang
berfokus kepada pencapaian dan kecemerlangan akademik.
Contoh yang jelas dilihat pada program literasi dan numerasi’ (LiNUS) yang
dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Selaras dengan objektif yang telah
dinyatakan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada tahun 2010, iaitu semua
murid normal boleh menguasai asas kemahiran LiNUS selepas tiga tahun mengikuti
pendidikan rendah. Pemimpin instruksional tidak boleh merancang perubahan di luar
daripada garis panduan LiNUS yang telah ditetapkan tanpa melihat keberkesanan kepada
murid-murid.
9
Jika dilaksanakan juga akan memberi kesan kepada masyarakat dan keghairahan
masyarakat terutamanya ibu bapa terhadap pencapaian akademik anak-anak mereka perlu
diambil kira. Namun dari sudut lain pula akan menimbulkan pelbagai masalah, isu, dan dilema
dalam kalangan guru jika idea yang dirancang dan dilaksanakan tidak menepati pula dengan
kebolehan guru-guru. Natijahnya, guru-guru dan pihak sekolah boleh disaman sekiranya
pihak ibu bapa tidak berpuas hati jika anak-anak mereka yang normal masih tidak dapat
menguasai konsep membaca, menulis, dan mengira selepas tiga tahun. Oleh itu, pemimpin
instruksional perlu bijak menyusun program dan menguruskan perubahan tanpa melibatkan
dasar dan menyentuh sensitiviti masyarakat terutama ibu bapa anak-anak di sekolah.
Meskipun pemimpin instruksional merancang pelbagai perubahan kepada sekolah,
sebagai pemimpin di sekolah, mereka berperanan untuk memastikan murid-murid mendapat
pendidikan yang sesuai dan mencabar dengan kebolehaan pelajar. Pemimpin instruksional
perlu melihat dalam aspek pembelajaran murid-murid di sekolah di samping mendapatkan
maklum balas daripada pihak guru dalam satu-satu tempoh mengikut hasil kerja yang dihantar
(Mortimore, 1993). Pernyataan ini boleh dijelaskan melalui akauntabiliti seseorang pemimpin
instruksional dengan membuat lawatan secara ad hoc ke kelas atau membuat semakan buku
latihan murid-murid secara rawak dari semasa ke semasa mengikut peraturan dan prosedur
yang telah ditetapkan tanpa mengenepikan tugas hakiki dan urusan-urusan lain yang perlu
diutamakan.
Masalah guru-guru tidak masuk ke kelas untuk mengajar disebabkan menghadiri
mesyuarat, kursus, aktiviti kokurikulum, sakit, cuti, ataupun sengaja malas mengajar menjadi
isu dalam usaha melindungi masa instruksional (MMI) di sekolah. Hal ini juga menyebabkan
pemimpin instruksional sukar untuk membuat perubahan dalam akademik meskipun
perancangan telah dibuat dari awal lagi. Pernyataan tentang status guru-guru yang kerap
keluar ini juga sering diutarakan oleh kesatuan-kesatuan guru namun tiada jalan penyelesaian
terbaik yang dapat disarankan kerana terdapat banyak isu lain yang turut berkait dengan isu
ini.
Dalam menangani masalah ketidakhadiran guru-guru yang menjejaskan kewujudan
mereka di dalam kelas, pemimpin instruksional perlu bijak menguruskannya, ‘Ibarat menarik
benang dalam tepung, tepung tidak berserak, benang dapat diambil tanpa cacat.’ Begitu
jugalah pemimpin instruksional yang terpaksa menjaga kedua-dua perkara dalam masa yang
sama. Kebijaksanaan mereka menguruskan masalah ini akan menentukan perubahan dapat
dilaksanakan dengan baik. Akauntabiliti pemimpin instruksional sedikit sebanyak diharapkan
boleh menyelesaikan masalah terhadap masalah guru tidak masuk mengajar di bilik darjah
dengan melaksanakan kelas bercantum, guru ganti, kelas ganti, dan sebagainya.
Pendekatan lain yang boleh diambil oleh PGB terhadap guru-guru ialah dengan
mengadakan kursus-kursus semasa cuti persekolahan atau menghadiri mesyuarat pada
10
hujung minggu supaya tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang
berlangsung pada hari persekolahan. Sebagai seorang PGB di sekolah, kuasa seorang
pemimpin instruksional menjadi tuntutan dan cabaran kerana merupakan respondent superior
yang dipertanggungjawabkan terhadap perlakuan guru-guru, staf, murid-murid dan juga
keputusan peperiksaan di sekolah yang menjadi fokus utama kecemerlangan sesebuah
sekolah.
5.0 Rumusan dan Cadangan
Glickman (1990) menyatakan, seorang pemimpin kurikulum atau instruksional yang berkesan
perlu menguasai tiga aspek iaitu pengetahuan asas, memahami skop tugas, dan menguasai
kemahiran yang bersesuaian. Kepimpinan instruksional yang menjadi asas utama kepada
peranan PGB merujuk kepada komponen kurikulum dan instruksional yang saling
bergantungan antara satu sama lain.
Pemahaman PGB dalam asas pengetahuan kepimpinan kurikulum perlu ditekankan
melalui pengetahuan yang luas dalam pembacaan dan menerusi sumber-sumber berkaitan.
Pendekatan terhadap bidang ilmu pengetahuan yang perlu diterapkan PGB adalah falsafah-
falsafah pendidikan yang berbeza, teori-teori pelaksanaan kurikulum, kajian kesusasteraan
tentang sekolah berkesan, teknik penyampaian mesej yang berkesan, kemahiran menangani
perubahan semasa dan cara memantapkan sistem pentadbiran sekolah.
Selain memiliki ilmu pengetahuan, pemimpin kurikulum perlu memahami bidang
tugasnya yang merangkumi proses merancang, mengelola, memimpin dan mengawal
pelaksanaan kurikulum, menyelia, memerhati dan menilai pengajaran guru, merancang
program pembangunan profesional, memupuk iklim dan budaya sekolah yang positif, menjalin
permuafakatan sekolah dengan komuniti, dan memastikan segala aktiviti sekolah berjalan
dengan lancar. Semua bidang tugas mereka perlu dikuasai untuk melaksanakan sesuatu
apabila ingin memulakan perubahan dalam sistem pentadbiran. Segala perubahan yang
melibatkan keseluruhan sistem memerlukan perancangan yang rapi dan bukan sekadar
berbincang dalam mesyuarat semata-mata.
Kredibiliti seseorang PGB mesti ditampilkan kerana kepakaran yang dimiliki padanya
di samping kuasa yang diberikan dalam istilah perundangan disebut ‘legitimate power’.
Justeru, pemimpin instruksional harus memiliki kemahiran-kemahiran seperti teknik
berkomunikasi secara berkesan, kemahiran membuat keputusan yang baik, adil dan
berkesan, kemampuan menterjemah teori-teori kepada amalan seharian, kebolehan
menetapkan matlamat dan usaha-usaha untuk mencapainya, kecekapan menyelesaikan
masalah atau konflik yang timbul dengan bijaksana.
Namun tidak kurang pula dengan keupayaan menilai kualiti pengajaran guru melalui
sesi penyeliaan yang dibuat, kesabaran memerhati dan kepekaan kepada segala aktiviti yang
11
dijalankan, kebolehan menjalin hubungan interpersonal atau perorangan dengan staf,
murid-murid dan dengan pihak luar, serta kemahiran transformasional yang mampu
menyokong, menggalak dan meningkatkan keupayaan kompetensi guru-guru dan staf
sokongan. Pemimpin instruksional harus memiliki pengetahuan asas tentang faktor-faktor di
sebalik pengajaran dan pembelajaran bersandarkan teori atau falsafah pendidikan yang
kukuh menerusi pemahaman teori pengajaran dan pembelajaran, teori perkembangan dan
keperluan manusia, kaedah pengajaran yang berkesan serta tingkah laku murid-murid dan
pendekatan-pendekatan pengurusan bilik darjah.
Seseorang PGB perlu mempunyai bidang tugas yang bersifat mikro tertumpu kepada
usaha guru-guru bagi mempertingkatkan kawalan dan pemahaman murid-murid dalam
konteks bilik darjah. Dalam erti kata lain, pemimpin instruksional perlu memupuk iklim bilik
darjah yang selesa dan sesuai untuk pembelajaran, menjalankan kajian tindakan terhadap
masalah pengajaran, memilih strategi atau teknik yang dapat memupuk pengajaran berkesan,
memimpin pembelajaran dan memberikan peluang kepada guru-guru yang dipimpinnya untuk
meningkatkan potensi diri masing-masing. Pemimpin instruksional boleh dijadikan suri teladan
dalam meningkatkan hasil pengajaran dan pembelajaran, menggalakkan sebarang inisiatif
yang diambil oleh guru-guru dalam konteks pengajaran dan pembelajaran yang mampu
meningkatkan pembelajaran murid-murid serta bersifat adil dan terbuka kepada idea yang
mampu memaksimumkan kejayaan dalam kalangan murid-murid.
Pemimpin instruksional harus memiliki kemahiran bercorak hands-on yang unggul
dalam mengendalikan bilik darjah agar dapat diteladani oleh guru-guru. Kemahiran yang
dimaksudkan adalah kemampuan mengenal pasti potensi setiap murid dan mengambil
tindakan susulan yang sewajarnya. Kemahiran lain termasuklah kebolehan menguasai aspek
tingkah laku murid yang diingini melalui amalan pengurusan bilik darjah yang berkesan,
memiliki teknik penyampaian pengajaran yang berkesan dan keupayaan menyelia pengajaran
guru. Mengambil tindakan susulan juga merupakan langkah yang mampu memperbaiki kualiti
pengajaran dan kemampuan mengenal pasti murid-murid yang lemah untuk diambil tindakan
pemulihan yang sesuai turut menjadi suatu keutamaan.
Kebolehan mengenal pasti keperluan murid serta mengambil tindakan pengayaan
berupa aktiviti pengukuhan dan pengembangan yang sesuai juga penting agar murid yang
baik terus meningkat dalam prestasi akademik. Peningkatan aspek akademik ini merupakan
kerja buat utama pemimpin konvensional yang akan dilihat oleh KPM dan tanda aras paling
awal selepas peperiksaan penting merupakan keputusan peperiksaan yang menentukan
kedudukan bagi setiap sekolah. Sekaligus meletakkan pemimpin instruksional pada tahap
mana corak kepimpinan mereka dalam bidang akademik.
Sheppard (1996) menyatakan bahawa kepimpinan instruksional merupakan satu entiti
yang berbeza daripada urusan rutin pentadbiran di sekolah yang berkait rapat dengan
12
perlakuan pentadbir dalam penyeliaan tugas guru di bilik darjah dan pemantauan kemajuan
murid. Hallinger dan Murphy (1985) pula beranggapan bahawa kepimpinan instruksional
adalah sebarang aktiviti yang dilaksanakan oleh pentadbir sekolah dengan hasrat untuk
meningkatkan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran serta dalam aspek
pembangunan sekolah.
Drake dan Roe (1986) pula mendefinisikan kepimpinan instruksional sebagai
sebarang usaha ke arah menggalak dan menyokong pihak-pihak yang terlibat dalam proses
pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai matlamat sekolah dalam membentuk satu
sistem sosial sekolah yang kukuh. Jelaslah bahawa peranan pemimpin instruksional merujuk
kepada segala tindakan dan aktiviti yang dilaksanakan oleh seseorang PGB yang bertujuan
memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing. Glickman
(1990) telah menyenaraikan tindakan dan aktiviti-aktiviti yang pelbagai dalam usaha
menyumbang kepada pembelajaran murid (Sheppard, 1996).
Pemimpin instruksional juga perlu mempertingkatkan usaha untuk membuat
perubahan di sekolah masing-masing. Setiap strategi yang dirancang perlu menjurus kepada
program yang dapat mengurangkan berlakunya gangguan agar setiap perubahan yang akan
dibuat berjalan tanpa sebarang halangan. Jika berlaku sebarang halangan dan masalah yang
tidak diduga seperti apa yang telah berlaku seluruh dunia iaitu pandemik Covid 19, maka PGB
perlu membuat perancangan yang bijak supaya segala perancangan tidak bercanggahan
ataupun tersasar daripada objektif yang asal.
Pemimpin instruksional perlu membuat penilaian kendiri tentang corak dan gaya
kepimpinan mereka untuk memudahkan mereka membaiki kelemahan yang ada. Guru-guru
juga boleh membantu pemimpin instruksional untuk bersama-sama memberikan idea dan
pendapat ke arah membentuk budaya yang lebih positif demi manfaat semua pihak termasuk
guru-guru, pelajar-pelajar, ibu bapa, dan masyarakat di sekitar. Keberadaan guru di sekolah
dan kebertanggungjawaban mereka ke atas tugas masing-masing akan menjamin proses
perubahan di sekolah dan pastinya kemenjadian murid pada masa hadapan akan lebih
terserlah.
RUJUKAN Abdul Ghani Abdullah. (2011). Gaya-gaya kepimpinan dalam pendidikan. Kuala Lumpur: PTS
Profesional Publishing Sdn Bhd.
Drake, T. L., & Roe, W. H. (1986). The Principalship. (3rd ed.). Macmillan Publishing Company, New York.
Glickman, C. (1990). Supervision of instruction: A development approach (2nd ed.) Toronto,ON: Allyn and Bacon.
Hallinger, P. & Murphy, J. (1985). Assessing the instructional management behaviour of principals, The Elementary School Journal, 86 (2), 217-247.
13
Hinson, J. M., LaPrairie, K. N., & Carroll, E. (2007). Emergency preparedness and e-learning: Recommendations for readiness. Journal of Interactive Instruction Development, 20(2).
International Baccalaureate Organization. (2020). Online learning, teaching and education continuity planning for schools. International Baccalaureate Organization.
Jaafar Muhammad. (2001). Kelakuan organisasi. Kuala Lumpur: Leeds Publications.
James Ang Jit Eng & Balasandra N Ramiah. (2012). Kepimpinan instruksional. Kuala Lumpur: PTS Akademia Publishing.
Lokman Mohd. Tahir, M. Al Muzammil & Mislina Salleh. (2013). Impak strategi politik terhadap amalan kepimpinan pengajaran pengetua cemerlang. Jurnal Teknologi (Social Sciences), 60,1.
Moseley, B. E. (2016). An examination of how school contunuity plans in northeast arkansas address the post-emergency resumption of the educational process. [Master dissertation. Arkansas Tech University]. Not published.
Mortimore, P. (1993). School effectiveness and the management of effective learning and teaching. School Effectiveness and School Improvement, 4(4).
Pickering, P. (2000). How to manage conflict: Turn all conflict into win-win outcomes. Franklin Lakes, NJ: Career Press.
Sahaid, S. (2014). Pelaksanaan sekolah dalam melindungi masa instruksional di sekolah kebangsaan daerah Muar Johor. [Tesis PhD. Universiti Teknologi Malaysia]. Tidak diterbitkan.
Sheppard, B. (1996). Exploring the transformational nature of instructional leadership. The Alberta Journal of Educational Research, 22(4), 325-344.
Tee Fatt Hee (2004). Liabiliti dalam pengurusan pendidikan. Utusan Publication & Distributors.
website
http://cikgushimaarshad.blogspot.com/2017/04/ppp3113-pengurusan-perubahan-nama.html
http://www.jprisma.com/v1/index.php/penulisan/31-ppd-pontian/70-kepimpinan-instruksional
http://cikgushimaarshad.blogspot.com/2017/04/ppp3113-pengurusan-perubahan-nama.htmlhttp://www.jprisma.com/v1/index.php/penulisan/31-ppd-pontian/70-kepimpinan-instruksional
14
PENERAPAN KEPIMPINAN SPIRITUAL DALAM PENGURUSAN SEKOLAH
Dr. Nor Zanariah @ Roba’atul Adawiah binti Talib [email protected]
1.0 Pengenalan
“Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”. Itulah visi Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) yang bermatlamatkan untuk melahirkan bangsa Malaysia yang berilmu dan
berakhlak mulia bagi menjamin kehidupan bernegara yang sejahtera. Aspirasi ini boleh
dicapai melalui proses pendidikan yang berkualiti, dinamik dan ampuh selaras dengan misi
yang ditetapkan. Kompetensi pemimpin sekolah adalah salah satu daripada penentu utama
pencapaian visi dan misi tersebut. Justeru, KPM cuba menempatkan pemimpin yang
berprestasi tinggi di setiap sekolah sebagaimana yang dirancang dalam Anjakan Ke-5 Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025. Sebagai pengenalan, artikel ini
akan mengupas secara ringkas apa yang dimaksudkan dengan pemimpin dan kepimpinan.
Merujuk kepada kamus dewan edisi keempat, perkataan ‘pemimpin’ berasal daripada
kata dasar ‘pimpin’ yang bermaksud mengetuai, mengepalai, mendidik, melatih, mengasuh
dan membimbing. Maka dari segi etimologi, pemimpin adalah individu yang berperanan
mengetuai kumpulan tertentu, mampu mempengaruhi serta memujuk pihak yang dipimpin
agar melakukan tindakan yang membawa kepada pencapaian matlamat organisasi. Secara
lebih komprehensif, istilah pemimpin membawa konotasi pengaruh, kekuasaan dan
kedinamikan dengan mengetuai sesebuah organisasi, kumpulan atau komuniti.
Para sarjana juga telah mengemukakan berbagai definisi untuk menghuraikan
terminologi kepimpinan. Antaranya, kepimpinan dijelaskan sebagai interaksi sosial (Yukl,
2006) bagi mentransformasikan tingkah laku dan amalan (Bass & Steidlmeier, 1999) melalui
proses mempengaruhi dan membina potensi (Blanchard, 2010) ke arah keberkesanan
organisasi (Northouse, 2018). Pakar-pakar dalam bidang psikologi sosial melihat kepimpinan
sebagai peranan seorang yang memiliki pengaruh peribadi (iaitu pemimpin) mewujudkan
interaksi aktif dengan pengikutnya dalam sesebuah kumpulan atau organisasi (Aminuddin,
1990; Jamal Hassan, 2012).
Dalam organisasi pendidikan, pengetua dan guru besar (PGB) adalah peneraju utama
kepemimpinan yang menetapkan hala tuju sekolah, bertanggungjawab terhadap kepentingan
pendidikan murid serta segala aktiviti yang dijalankan di sekolah (Sarvinder & Ahmad, 2008).
Bossert, Dwyer, Rowan, dan Lee (1982) menggambarkan betapa pentingnya peranan
pemimpin sekolah melalui ungkapan: “Successful schools mean successful principals”.
Tahap kecemerlangan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada faktor orientasi
iaitu gaya kepemimpinan yang diamalkan oleh seseorang PGB (Ahmad Zabidi, 2006).
mailto:[email protected]
15
Pengaplikasian gaya kepemimpinan tersebut bermula dengan bagaimana cara pemimpin
berfikir, yang kemudiannya membentuk sikap beliau dan diserlahkan melalui tindakan (Ainon,
2003) ke arah mencapai matlamat organisasi. Parameter utama dalam mengukur
kecemerlangan organisasi dan keberkesanan kepemimpinan adalah apabila pemimpin
melaksanakan tanggungjawab sebenar sebagai khalifah iaitu mengurus dan memakmurkan
alam untuk kepentingan semua (Lukman, 2015), serta membimbing dan memandu orang
bawahannya menuju keredaan Allah (Baharom et al., 2009).
Sani et al. (2018) mempunyai pandangan yang selari apabila melihat erti
kecemerlangan yang hakiki hanyalah dicapai sekiranya pemimpin memacu warga organisasi
ke arah kejayaan hidup dunia dan akhirat melalui pengimplementasian kepimpinan spiritual.
Maka penulisan ini dihasilkan untuk memberi gambaran tentang konsep sebenar kepimpinan
dan kriteria yang perlu ada pada pemimpin agar dapat berperanan dengan berkesan.
Diharapkan perbincangan ringkas yang dikongsikan di bawah tajuk “Penerapan kepimpinan
spiritual dalam pengurusan sekolah” ini dapat memberikan nilai tambah berkaitan stail
kepemimpinan PGB, aspek-aspek yang perlu diperkasakan bagi meningkatkan peluang
kejayaan dalam mencapai aspirasi kemenjadian murid, seterusnya membantu pemimpin
sekolah melaksanakan tugas pengurusan sekolah dengan berkesan.
2.0 Pemimpin dan Kepimpinan Menurut Perspektif islam
Dalam Islam, pemimpin memikul amanah dan tanggungjawab yang besar dan akan
dipertanggungjawabkan di hadapan Allah atas kepemimpinannya. Ini berdasarkan kepada
sabda Rasulullah yang bermaksud: “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin
akan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah kepimpinannya” (Hadis
riwayat al-Bukhari).
Profesor Dr Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka pula
pernah menyatakan, pemimpin itu adalah seorang yang:
“Memimpin supaya tegak, membimbing supaya dapat berjalan, memapah
supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak
ke muka kalau bahaya datang mengancam”.
Konsep kepimpinan Islam ini harus difahami dalam bentuk yang komprehensif
bersesuaian dengan gagasan Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.
Kepimpinan bukan kuasa (Ahmad Sufyan, 2006) sebaliknya merupakan amanah (Razaleigh,
2015) yang perlu dilaksanakan dan ia adalah sebahagian daripada ibadah (Ali, 2004).
Manusia diciptakan sebagai khalifah (pemimpin) di muka bumi yang dipertanggungjawabkan
untuk mengurus serta memakmurkan alam dengan sebaik-baiknya. Allah telah menjelaskan
berkaitan perkara ini dalam ayat 165 surah al-An’am yang bermaksud:
16
“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah Allah di bumi dan meninggikan
setengah kamu daripada yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak
menguji kamu apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu”.
Berbagai istilah digunakan yang merujuk kepada perkataan kepimpinan daripada
lensa Islam. Antaranya ialah al-khilafah, al-imamah, al-qiyadah, ar-ri’asah dan ar-ri’ayah.
Kesemuanya mengaitkan dengan pertanggungjawaban atau akauntabiliti sama ada secara
formal (dalam bentuk hierarki) atau pun tidak, dengan mengetengahkan ciri keseimbangan,
kesepaduan dan pengintegrasian antara kepentingan roh dan jasad, iaitu perkembangan
spiritual dan pembangunan material bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan juga di
akhirat. Kepimpinan dan pengurusan Islam dianggap gagal jika falsafah ini tidak dilaksanakan
(Ahmad Sufyan, 2006).
Peranan pemimpin sangat kritikal dalam memastikan matlamat dan agenda
pendidikan berjaya dilestarikan. Dalam Islam, pemimpin bukanlah orang yang memiliki kuasa
serta kedudukan untuk disanjung dan diagung-agungkan. Sebaliknya, kepimpinan adalah
amanah yang akan dipertanggungjawabkan, dan pemimpin adalah khadim (orang yang
memberikan perkhidmatan) kepada pengikut atau orang bawahannya (Zulkiple, Roslizawati,
Mohd. Rushdan & Muhamad Yusuf, 2012).
Kewibawaan Rasulullah tidak disangkal lagi dan sejarah telah membuktikan bahawa
baginda berjaya memimpin umatnya dengan sangat berkesan sehingga ke kemuncak
kegemilangan. Maka tidak hairanlah jika Micheal H. Hart (1978), seorang sarjana barat turut
mengiktiraf baginda sebagai individu paling berpengaruh di dunia. Pengiktirafan tersebut
terakam dalam karya penulisan beliau yang bertajuk The100: A ranking of the most influential
persons in the history.
3.0 Sumber Kepimpinan Islam
Al-Quran dan as-Sunnah adalah sumber rujukan utama dalam pelaksanaan kepimpinan Islam
(Ikhwan, 2019). Semua pemimpin Muslim wajib mengetahui, memahami, menghayati, dan
mengamalkan segala dasar yang terkandung dalam ajaran Islam sebagaimana yang
disampaikan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Dalam soal kepimpinan, asas yang menjadi
sandaran ialah ayat 58-59 surah an-Nisa’ yang menggariskan empat dasar yang perlu diberi
keutamaan iaitu:
i. Wajib mentaati Allah.
ii. Wajib taat setia kepada Rasulullah.
iii. Wajib mentaati pemimpin yang dilantik selagi tidak melanggar syariat.
iv. Wajib menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai dustur iaitu sumber rujukan
perundangan atau perlembagaan bagi menyelesaikan sebarang pertikaian.
17
Kepimpinan dalam Islam mencakupi urusan dunia dan akhirat (Lukman, 2015). Maka,
Allah telah menyediakan sumber rujukan yang lengkap dan menyeluruh sebagai panduan
dalam melaksanakan amanah sebagai khalifah iaitu pemimpin.
4.0 Falsafah Kepimpinan Islam
Kepimpinan adalah sebahagian daripada misi pengabdian kepada Allah dan kebaktian
terhadap sesama manusia. Berdasarkan teori kepimpinan Islam, pemimpin dan pengikut
yang beragama Islam wajib memantapkan hubungan dengan Allah sebagai Pencipta, dan
dalam masa yang sama menjaga hubungan baik sesama manusia. Inilah dasar pemikiran
yang perlu diyakini dan dijadikan pegangan (Akademi Pengurusan YaPEIM, 2010).
Amanah kekhalifahan adalah mandat daripada Allah untuk mengurus alam khususnya
manusia yang telah dibekalkan dengan pelbagai potensi untuk dibangunkan. Sumber daya
insani yang kreatif dan inovatif harus digembeleng secara sistematik untuk menghasilkan
produktiviti demi kesejahteraan bersama. Dalam rangka menjayakan pelaksanaan amanah
sebagai seorang pemimpin, kemantapan aqidah dan intellectual capital iaitu potensi keilmuan
adalah modal terpenting. Islam menggalakkan pengintegrasian antara pekerjaan dan objektif
harian seseorang dengan agama dan kerohanian agar kehidupan di dunia menepati
kehendak Allah.
5.0 Paradigma Pengurusan dan Kepimpinan Rasulullah
Ismail (2000) telah mengemukakan model pengurusan dan kepimpinan Rasulullah bertujuan
untuk merumuskan intipati kepimpinan baginda secara holistik agar dapat dijadikan panduan
oleh setiap manusia yang merupakan pemimpin di segenap peringkat. Memandangkan
Rasulullah adalah personalia unggul, idola seluruh manusia, maka segala aspek peribadi dan
kehidupan, termasuklah kepemimpinan baginda sewajarnya dihayati dan diteladani. Model
tersebut digambarkan dalam Rajah 1 berikut.
18
Rajah 1: Model pengurusan dan kepimpinan Rasulullah (Ismail, 2000)
Model ini mengandungi empat elemen utama iaitu aqidah (allignment), ibadah (attunement),
khalifah (empowerment) dan al-falah (synergy). Menurut Ismail (2000), gabungan tauhid,
ibadah, dan khalifah (pengagihan kuasa) akan menghasilkan al-falah (kejayaan). Dalam
melaksanakan tugas memimpin umat Islam, Rasulullah menjadikan tauhid sebagai wawasan
agung yang menyuburkan semangat perjuangan dalam menyampaikan mesej Islam,
keadilan, dan persaudaraan. Ibadah yang merangkumi amalan fardu ‘ain dan fardu kifayah
pula menggabungkan nilai-nilai kebersamaan dan kerja sepasukan seperti memberi
komitmen dan sokongan padu, jujur, berani, saling mempercayai, dan menghormati.
Manakala Rasulullah sendiri sebagai pemimpin utama melaksanakan peranan kekhalifahan
dengan mengupayakan umat Islam di bawah kepemimpinan baginda untuk melakukan
perubahan. Integrasi ketiga-tiga elemen ini yang saling berkait rapat membawa kepada
kejayaan untuk semua.
Paradigma yang diketengahkan ini turut memberi fokus kepada kaedah dan sistem
nilai yang merupakan faktor penting yang mempengaruhi kejayaan pencapaian wawasan.
Dalam mengaplikasikan kepimpinan Islam, Rasulullah mengamalkan tiga teras utama (syura,
keadilan dan kebebasan bersuara) bagi memperkasakan lima aspek sistem nilai Islam iaitu
kewibawaan diri, peningkatan perhubungan, keberkesanan kepimpinan, perlakuan beretika
dan peningkatan moral melalui pengetahuan serta penghayatan spiritual (Ismail, 2008).
Dalam konteks kepimpinan pendidikan di Malaysia, paradigma ini sesuai dilaksanakan
serta dibudayakan. Pemimpin sekolah seharusnyalah menjadikan aqidah atau tauhid sebagai
dasar penjajaran (allignment) yang sentiasa menjadi pegangan dalam proses melihat semula
keputusan yang dibuat dengan realiti sedia ada dan hasrat yang ingin dicapai. Seterusnya,
(PENJAJARAN) AQIDAH TAUHID
Iman x Taqwa
AL FALAH / KEJAYAAN Kesejahteraan - Sinergi
(PEN
ALAA
N)
IBAD
AH
Fard
u ‘A
in x
Far
du K
ifaya
h (PENGAGIHAN
KUASA)
KHALIFAH Sidiq-Am
anah-Tabligh-Fatanah
Syura Adil
Kebebasan Bersuara (Adab al-Ikhtilaf)
+ Kewibawaan Diri
Peningkatan Perhubungan Keberkesanan Kepimpinan
Perlakuan Beretika Peningkatan Moral
19
pemimpin perlu tampil dengan kredibiliti sebagai insan beretika dengan ciri-ciri peribadi yang
unggul agar dapat dijadikan role model oleh warga organisasi. Apabila pemimpin sekolah
mendapat kepercayaan, dia akan dihormati. Maka peranan untuk membentuk etika orang
bawahan menjadi lebih mudah. Gabungan kehebatan pemimpin altruistik dan kepakaran
seluruh warga sekolah yang diupayakan pastinya akan membuahkan keharmonian dan
kecemerlangan dalam berorganisasi (Nik Maheran, Shahram & Marhaini, 2017).
6.0 Nilai-Nilai Kepimpinan Islam
Pemimpin Islam yang sejati perlu berpegang teguh dengan nilai-nilai teras kepimpinan iaitu
memiliki karisma diri yang utuh agar kompeten untuk muncul sebagai pemimpin yang
berkarektor. Toor (2007) telah mengetengahkah nilai-nilai teras dalam kepimpinan Islam yang
sesuai dijadikan panduan oleh seluruh pemimpin pendidikan. Rajah 2 di bawah memaparkan
nilai-nilai tersebut dalam bentuk grafik.
Rajah 2: Nilai teras dalam kepimpinan Islam (Toor, 2007)
Berdasarkan saranan Toor (2007), individu unggul yang selayaknya diangkat sebagai
pemimpin adalah individu Muslim yang menjalani kehidupan berpandukan sumber
perundangan Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak ulamak, dan ijtihad para mujtahidin.
Pegangannya adalah bertunjangkan enam rukun iman manakala amalannya memenuhi
tuntutan rukun Islam yang lima. Mereka yang menepati prasyarat ini akan mampu berfungsi
20
sebagai pemimpin altruistik yang beretika, yang akan mengurus organisasi melalui usaha
mewujudkan hubungan interpersonal yang baik dengan orang bawahan.
Nilai-nilai yang menunjukkan ciri-ciri peribadi mulia seorang pemimpin sebagaimana
yang dikemukakan tersebut adalah selari dengan pandangan kebanyakan sarjana Muslim
yang lain. Contohnya, Ahmad Sufyan (2006) menyatakan, antara nilai yang mesti diutamakan
dalam kepimpinan Islam adalah kejujuran, kesabaran, kerajinan, sifat amanah, dan nilai
persaudaraan Islam serta perpaduan sesama manusia. Kesemua nilai-nilai murni ini
sewajarnya dimiliki oleh pemimpin sekolah yang terlibat secara langsung dalam profesion
pendidikan yang bermatlamatkan kemenjadian murid. Nilai-nilai ini bukan sahaja perlu
diamalkan oleh pemimpin sekolah yang beragama Islam tetapi adalah relevan untuk semua
bangsa dan boleh disesuaikan dengan tuntutan agama masing-masing kerana semua agama
menganjurkan kebaikan.
7.0 Kepimpinan Spiritual
7.1 Konsep kepimpinan spiritual
Kepimpinan spiritual menurut perspektif Islam merujuk kepada kualiti seseorang
pemimpin yang berkeupayaan untuk berfungsi sebagai insan beretika dan juga sebagai
pengurus etika. Pemimpin beretika memiliki nilai-nilai moral yang tinggi dari segi sikap, tutur
kata dan tingkah laku sehingga dapat dijadikan role model. Pengurus etika pula berperanan
membentuk moral warga organisasi dengan cara mengkomunikasikan nilai-nilai yang ingin
diterapkan, membuat perancangan strategik ke arah pembudayaan iklim dini dalam
organisasi dan sentiasa membuat pengawalan serta penambahbaikan bagi memastikan
keberkesanan pelaksanaannya. Komariah (2016) melihat kepemimpinan spiritual sebagai
kemahiran menjalin hubungan erat dengan orang bawahan melalui pengaruh sahsiah atau
dengan kata lain, tingkah laku interpersonal yang baik. Nilai-nilai murni yang dipupuk tersebut
menghasilkan kejeleketan dalam hubungan warga organisasi.
Di barat, orientasi kepemimpinan spiritual telah sekian lama dikaji, namun tentulah
fokus, pendekatan dan pengaplikasiannya adalah berbeza berdasarkan latar belakang
kepercayaan agama dan sosiobudaya. Sebagai contoh, Fry (2003) telah memperkenalkan
konsep kepimpinan spiritual sekular yang mengetengahkan pembentukan budaya organisasi
melalui kekuatan nilai, sikap, dan perilaku pemimpin yang mampu memupuk motivasi intrinsik
subordinat sehingga masing-masing merasakan diri sebagai sebahagian daripada organisasi.
Idea kepimpinan spiritual yang dikembangkan oleh Fry tersebut sangat berbeza
dengan konsep kepimpinan spiritual dalam Islam yang dikenali juga sebagai kepimpinan
quranik (Mohd Rohan, 2012) dan kepimpinan rabbani (Hailan, 2009). Kepimpinan spiritual
yang cuba diketengahkan dalam penulisan ini adalah pengurusan organisasi atas landasan
paradigma tauhid (Ramli, 2008) iaitu sentiasa membuat pertimbangan menurut kaca mata
21
Allah dalam setiap tutur bicara, sikap, dan tingkah laku (Sidek, 2006). Gaya kepimpinan
spiritual ini menepati konsep kepimpinan Islam sebagaimana yang dipelopori oleh Rasulullah
S.A.W. berdasarkan empat prinsip yang telah tercatat dalam al-Quran iaitu keTuhanan,
humanistik, etika, dan keseimbangan (Beekun & Badawi, 1999).
Merujuk kepada konteks sekolah, PGB hendaklah berfungsi sebagai pemimpin
spiritual dengan menerima tanggungjawab tersebut sebagai satu taklif yang menuntut
pengimplementasian nilai dan etika islamik agar sentiasa mengutamakan daya keihsanan dan
keinsanan yang tinggi dalam memujuk, mengilhami, mempengaruhi dan menggerakkan guru-
guru, murid-murid malah seluruh warga sekolah yang dipimpin (Sidek, 2012).
7.2 Model kepimpinan spiritual
Walaupun banyak konsensus yang mengutarakan keperluan kepada teori dan model
baru sebagai pendekatan silang budaya, namun model kepimpian spiritual yang berasaskan
barat masih mendominasi penyelidikan dan praktik kepemimpinan. Salah satu model
kepimpinan spiritual yang begitu popular dalam kalangan penyelidik dalam bidang kepimpinan
ialah model yang diperkenalkan oleh Fry (2003) sebagaimana yang telah disebut sebelum ini.
Fry menggambarkannya sebagai nilai, sikap, dan perilaku yang mempunyai hubungan
dengan makna kehidupan (calling) dan keahlian (membership) dalam sesebuah organisasi,
yang mewujudkan rasa kekitaan dan semangat kerja sepasukan. Kepimpinan ini melibatkan
fungsi pemimpin untuk memotivasi dan menginspirasikan orang bawahan secara halus (inner
life) melalui perkongsian visi, suntikan harapan, dan kepercayaan yang diberi, serta
pemupukan budaya mengutamakan pengikut dengan kasih sayang altruistik. Tujuannya
adalah untuk meningkatkan komitmen dan produktiviti pekerja di samping kesejahteraan
dalam organisasi.
Apa yang menarik, pada tahun 2017, Fry bersama Egel telah membahas isu-isu
berkaitan teori kepimpinan spiritual berdasarkan perspektif barat dan Islam. Mereka juga telah
menghasilkan transposisi model kepemimpinan spiritual barat yang asal kepada model
kepemimpinan Islam yang mana menurut mereka lebih sesuai untuk diaplikasikan dalam
organisasi yang menggunakan khidmat pekerja Muslim. Kedua-dua model kepimpinan
spiritual tersebut ditunjukkan dalam Rajah 3 dan Rajah 4 di bawah.
22
Rajah 3: Model Kepimpinan Spiritual (Fry, 2003)
Transposisi teori komponen Model Kepimpinan Spiritual kepada Model Kepemimpinan
Islam digambarkan secara grafik dalam Rajah 4.
Rajah 4: Model Kepimpinan Islam (Egel & Fry, 2017)
Model Kepimpinan Islam tersebut adalah selari dengan konsep, teori, dan falsafah
kepimpinan Islam sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini.
7.3 Ciri-ciri pemimpin spiritual
Islam tidak melihat kejayaan kepimpinan hanyalah natijah daripada interaksi sosial
warga organisasi semata-mata. Ketokohan atau keunggulan sahsiah pemimpin turut
dititikberatkan kerana keperibadian seseorang mempengaruhi cara dia berfikir dan bertindak.
INNERLIFE/ MINDFULNESS
ORGANIZATIONAL COMMITMENT AND PRODUCTIVITY PSYCHOLOGICAL WELLBEING LIFE SATISFACTION (Job peace & serenity)
MEMBERSHIP
CALLING
Spiritual Leadership
Altruistic Love Hope/Faith
Spiritual Well-being
Individual & Organizational
Outcomes Vission
FITRAH / THE 5 PILLARS
ORGANIZATIONAL COMMITMENT AND PRODUCTIVITY CORPORAT SOCIAL RESPONSIBILITY LIFE SATISFACTION (Financial Performance)
UMMAH
KHILAFAH & UBUDIYYAH
Spiritual Leadership
Rahmah Iman & Islam
Spiritual Well-being
Individual & Organizational
Outcomes Ihsan & Falah
23
Justeru itulah Allah S.W.T menyifatkan Rasululllah sebagai peribadi contoh ikutan sepanjang
zaman (Mahmood Zuhdi, 1999).
Pola kepemimpinan Rasulullah S.A.W adalah teladan terbaik dalam merealisasikan
kepimpinan spiritual sebagai memenuhi amanah sebagai hamba Allah dan juga khalifah di
muka bumiNya. Pemimpin spiritual berusaha sedaya upaya memanfaatkan segala
kompetensi diri untuk memberikan perkhidmatan terbaik. Dengan aura serta daya kekuatan
tersendiri yang dimiliki, pemimpin spiritual berupaya mempengaruhi orang lain dengan cara
memujuk (tanpa paksaan), menyeru (tanpa mengarah) dan menyedarkan (tanpa menyakiti).
Inilah aspirasi yang dihasratkan agar dapat dimanifestasikan dalam institusi pendidikan.
Keunggulan peribadi menjadi prasyarat utama untuk menjadi pemimpin yang efektif
(Baharom, Mohamad Johdi & Che Noraini, 2009). Pemimpin spiritual boleh dikenalpasti
melalui sifat-sifat atau ciri-ciri sebagai pemimpin Islam, juga melalui tingkah laku atau
pengamalan orientasi kepemimpinan Islam.
Di sini disenaraikan beberapa ciri pemimpin spiritual yang perlu diterapkan oleh
pemimpin sekolah:
i. Mempunyai kekuatan iman
Pemimpin pendidikan yang mempunyai pegangan agama yang teguh dan iman yang
kuat akan komited melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh
keikhlasan. Pemimpin sebegini akan menghasilkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja
dalam bidang akademik tetapi juga dalam pembentukan sahsiah unggul. Mereka mudah
didampingi dan sentiasa berusaha membantu pelajar tanpa mengira masa (Mohammad
Shatar, Jasni & Azali, 2008).
ii. Mempunyai ilmu pengetahuan
Al Mawardi, Ibn Khaldun, Al Baghdadi dan ramai lagi sarjana Muslim menetapkan
syarat memiliki ilmu yang mantap sebagai antara ciri terpenting untuk melengkapkan
kompetensi pemimpin spiritual agar berkeupayaan mengurus organisasi (Razaleigh, 2015).
iii. Mempunyai personaliti yang mampu mempengaruhi orang lain
Kepemimpinan dalam Islam amat menitikberatkan aspek keperibadian Islam, dan Nabi
Muhammad S.A.W telah menunjukkan contoh teladan sebagai pemimpin yang unggul (Nik
Maheran, Shahram & Marhaini, 2017).
iv. Siddiq (integriti)
Integriti merupakan konsep penting dalam penaakulan nilai dan etika. Nilai kejujuran
dan integriti adalah ciri utama karakter pemimpin yang didambakan. Isu kelompangan nilai
dan kualiti dalam aspek kepimpinan sentiasa diperkatakan seolah-olah tiada titik noktahnya
walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu. Pengamalan nilai-
24
nilai murni ini sepatutnya ditonjolkan oleh barisan pemimpin kerana mereka bertindak sebagai
tunggak utama kestabilan organisasi. Seorang pemimpin seharusnya mempamerkan nilai
personaliti yang unggul untuk menjadi role model terbaik kepada orang bawahannya.
Kemampuan ketua mengamalkan integriti dalam setiap tindak tanduknya akan menghasilkan
dimensi didikan dan pengaruh yang sangat dinamik sehingga membolehkan masalah disiplin
orang bawahan dapat ditangani dengan lebih berhikmah malahan membantu meningkatkan
tahap penghargaan kendiri pekerjanya.
v. Amanah (trust)
Konsep amanah menurut Robbins (2005) adalah merujuk kepada lima dimensi iaitu
integriti, konsistensi, kompetensi, ketaatan dan keterbukaan sebagaimana yang digambarkan
dalam Rajah 5 di bawah:
Rajah 5: Lima dimensi amanah (adaptasi daripada Trust dimension, Robbins (2005)
Dengan adanya sifat integriti dan amanah, pengurusan kewangan, sumber manusia,
infrastruktur, infostruktur dan lain-lain akan dilaksanakan dengan berhati-hati, cekap, dan
telus tanpa menimbulkan sebarang kesangsian.
vi. Fatanah (smart working)
Kebijaksanaan pemimpin juga adalah begitu signifikan dengan kecemerlangan
organisasi. Ini adalah kerana, pemimpin sebagai peneraju utama sesebuah organisasi perlu
berfikiran strategik dan berupaya mencetuskan idea untuk melakukan perubahan secara
sistematik. Pastinya pemimpin akan berhadapan dengan berbagai personaliti, gelagat dan
kerenah orang bawahan yang memerlukan kebijaksanaan untuk menanganinya. Pelbagai
permasalahan yang timbul juga akan dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik sekiranya
pemimpin mempunyai pelbagai kecerdasan seperti kecerdasan kognitif, emosi, sosial,
bahasa, dan sebagainya. Sebagai contoh, kepekaan dan kecerdasan emosi akan menjadikan
AMANAH
INTEGRITI
KONSISTENSI
KOMPETENSIKETAATAN
KETERBUKAAN
25
seseorang pemimpin mampu untuk mengendali diri serta resilien dalam pelbagai keadaan,
sekalipun menghadapi cabaran dan tekanan (Mohd. Azhar, 2007). Ini adalah kerana, dengan
kebijaksanaan tersebut, pemimpin dapat memahami perasaan sendiri dan orang lain, serta
mudah menyesuaikan diri dalam bersosialisasi.
vii. Tabligh (openly, human relation)
Berbagai perkara perlu dikomunikasikan oleh pemimpin kepada ahli organisasi dalam
usaha mencapai matlamat bersama yang telah ditetapkan. Rasulullah S.A.W sendiri bersifat
tabligh iaitu baginda menyampaikan kebenaran kepada umatnya termasuklah khabar gembira
mahupun amaran keras daripada Allah tanpa menyembunyikan sesuatu pun. Maka begitulah
juga halnya yang perlu diamalkan oleh pemimpin sekolah. Berbagai ilmu, maklumat,
informasi, berita, perkhabaran, latihan, bimbingan, kemahiran, dan sebagainya perlu
disampaikan dengan ikhlas, betul, tepat, dan benar. Sikap terbuka pemimpin serta hubungan
interpersonal yang baik dengan warga organisasi akan memudahkan proses penyampaian
ini.
viii. Adil
Keadilan adalah prinsip asas berorganisasi yang perlu diberi perhatian serius oleh
pemimpin. Dalam Islam, keadilan bukan bermaksud kesamarataan dari segi kuantiti namun
memberi hak yang sepatutnya mengikut kesesuaian berasaskan kepakaran, peranan, dan
bebanan seseorang. Keadilan bukan sekadar melibatkan pengagihan sumber dan ganjaran,
tetapi juga dalam mengagihkan tanggungjawab dan memberi hukuman (Ab Aziz, 2008).
Seseorang pemimpin yang melaksanakan keadilan dengan meletakkan sesuatu pada
tempatnya dan memberi pada yang berhak adalah pemimpin yang berjaya membawa
kesejahteraan.
Pemimpin yang adil tidak akan membelakangkan kebenaran hanya kerana kebencian
terhadap individu, kaum ataupun agama tertentu, sebaliknya meraikan perbezaan dan
kepelbagaian yang wujud tanpa prejudis ketika berurusan dengan orang bawahan. Imam al-
Ghazali pernah berpesan: "Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghukum dengan
penuh keadilan dan berkata dengan penuh kebenaran. Tidak menyakiti hati orang dan jujur
sama ada kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain."
ix. Berfikiran terbuka dan dinamik
Pemimpin spiritual adalah seorang yang berfikiran terbuka, boleh menerima
pandangan atau saranan ramai, bersedia ditegur mahupun dikritik. Musyawarah menjadi
amalan dalam organisasi sebagai kaedah untuk membuat sesuatu keputusan. Maklum balas
daripada orang-orang yang berautoriti diperoleh. Kebebasan turut diberi kepada semua orang
26
bawahan untuk menyuarakan sebarang pendapat. Kepimpinan Islam beroperasi di atas
dasar syura.
x. Berfikiran jauh ke hadapan atau berwawasan
Pemimpin spiritual mempunyai wawasan yang jelas, mahir menjangka masa hadapan
(Beekun & Badawi, 1999), mampu berfikir dengan mendalam, dan menggunakan pelbagai
strategi untuk mencari alternatif demi kesejahteraan orang yang dipimpin. Sesuatu perkara
yang abstrak akan diperhalusi, dipertimbangkan, diperbincangkan, dibuat perancangan
jangka pendek dan jangka panjang, diandaikan kemungkinan-kemungkinan yang boleh
berlaku, dan dilaksanakan proses pengurusan risiko.
xi. Tidak mudah berputus asas
Selain mempunyai daya tahan fizikal, pemimpin juga perlu mempunyai kekuatan
mental dan emosi kerana pastinya pelbagai cabaran sedia menanti. Ketahanan ini akan
terhasil apabila pergantungan utama diletakkan hanya kepada Allah. Sifat tawakal, berharap,
dan bersangka baik terhadap Allah harus mantap kerana apabila yakin Allah sentiasa
bersama dan membantu hambaNya yang sabar, seseorang tidak akan mudah menyerah
kalah sebaliknya menjadi lebih optimis. Bukankah ini adalah ciri-ciri pemimpin spiritual yang
sentiasa dekat hubungannya dengan Pencipta.
Banyak lagi ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh pemimpin sekolah bagi menerapkan nilai-
nilai kepimpinan spiritual. Ini hanyalah sebahagian kecil daripadanya yang dapat
dibincangkan secara ringkas di sini. Segala nilai-nilai yang baik serta selari dengan tuntutan
agama Islam, terutama atribut yang telah diamalkan oleh Rasulullah adalah sesuai
dimanifestasikan oleh pemimpin pendidikan.
8.0 Kepentingan Implementasi Kepimpinan Spiritual
Proses pendidikan bertujuan melahirkan insan yang berkemenjadian iaitu sejahtera dan
seimbang dari segi mental, emosi, rohani, dan jasmani. Dalam era globalisasi yang amat
kompetitif dan penuh cabaran ini, hanya insan yang mempunyai keteguhan jati diri mampu
mendepani persaingan yang hebat, namun masih sentiasa merendah diri dalam berkolaborasi
dan sedia bekerjasama demi mencapai sesuatu matlamat baik. Secara tersiratnya, PGB perlu
melaksanakan tanggungjawab mengurus organisasi berasaskan nilai-nilai spiritual agar dapat
merealisasikan hasrat melahirkan generasi rabbani yang seimbang sebagaimana yang
termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Jika benar-benar dihayati dengan
mendalam, kita akan mengakui bahawa orientasi kepimpinan spiritual amat relevan bagi
merealisasikan FPK tersebut:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
27
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”
Meninjau realiti hari ini, tidak dinafikan bahawa sistem pendidikan yang dipraktikkan
di negara kita Malaysia sememangnya berupaya meningkatkan kecerdasan murid dalam
pelbagai aspek sebagaimana yang telah dikemukakan oleh Gardner (1983) dalam teori
kecerdasan pelbagai beliau. Teori yang merangkumi sembilan bidang kecerdasan tersebut
digambarkan dalam Rajah 6 di bawah
Rajah 6: Teori kecerdasan pelbagai (Gardner, 1983)
Potensi-potensi di atas melibatkan perkembangan domain kognitif, afektif, dan
psikomotor murid. Pembangunan domain spiritual masih kurang diberi keutamaan (Khatijah,
2000; Wan Mohd Zahid, 1993) sedangkan pembinaan modal insan yang berilmu yang bakal
mencorakkan ketamadunan negara pada masa hadapan adalah diasaskan oleh nilai spiritual
(Mohd Zaidi, 2002). Pendidikan rohani adalah unsur utama yang diperlukan dalam proses
pembinaan bangsa (Jamal Hasan, 2012). Sekiranya tiada usaha ke arah penambahbaikan,
fungsi sekolah hanyalah ibarat kilang yang memproduksikan pekerja mahir namun gagal
menyumbang sebagai institusi yang melahirkan generasi intelektual dan teknokrat yang
memiliki nilai keilmuan secara holistik serta memaknainya dalam kehidupan (Rohana, 2010).
Justeru, bagaimanakah sepatutnya? Apakah yang perlu dilakukan sebagai usaha
merealisasikan hasrat murni tersebut? Berbagai langkah wajar dimulakan dan semua pihak
perlu bersatu menggembeleng tenaga serta kepakaran atas dasar kesedaran.
Sebahagiannya adalah terletak di bahu PGB sendiri selaku pemimpin sekolah yang
bertanggungjawab menentukan corak pendidikan yang diterima oleh anak-anak didik.
28
Pengamalan orientasi kepimpinan spiritual yang kreatif dan inovatif diperlukan bagi
melahirkan insan yang beriman dan memahami tanggungjawab setiap individu sebagai
khalifah. Ini adalah kerana pola perlakuan murid dipengaruhi oleh corak kepimpinan yang
memobilisasi organisasi ke arah pencapaian sesuatu matlamat (Razaleigh, 2015). PGB
sebagai pemimpin spiritual yang mempunyai matlamat yang benar dan jelas akan membawa
murid-murid serta seluruh warga sekolah menuju reda Allah di samping mencipta kejayaan di
dunia. Hal ini selaras dengan pendapat yang disuarakan oleh seorang sarjana Muslim, Syed
M. Naquib Al-Attas iaitu pembangunan modal insan yang sebenar adalah proses transformasi
jiwa ke arah kesedaran terhadap hakikat diri sebagai hamba Allah (aktualisasi diri) dan rasa
bertanggungjawab atas amanah sebagai khalifah (Wan Mohd Nor, 2005).
9.0 Peranan Pemimpin Sekolah Sebagai Pemimpin Spiritual
Hanya PGB yang mengamalkan kepimpinan yang dinamik dengan memberi penekanan
kepada pemupukan konsep tauhid dan nilai-nilai murni mampu membentuk generasi yang
mempunyai jati diri yang teguh atas prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Inilah
yang dikatakan pemimpin spiritual, pemimpin yang bekerja dengan penuh keikhlasan, bersifat
altruistik dan komited memberi perkhidmatan cemerlang bagi memenuhi kehendak
pelanggan.
Di samping pencapaian akademik, pemimpin spiritual turut memfokuskan kepada
usaha membina kemahiran insaniah (soft skill). Kemahiran generik tersebut merupakan
elemen penting yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar di sekolah untuk memastikan mereka
menjadi insan yang bijak berkomunikasi, berkeupayaan tinggi dalam menyelesaikan masalah,
berinovasi serta berdaya saing. Mereka harus dipersiapkan sebagai modal insan yang
berilmu dan berakhlak mulia, agar mempunyai kompetensi untuk memikul tanggungjawab
membina ketamadunan bangsa dan negara pada masa hadapan. Berikut disenaraikan
beberapa peranan yang sewajarnya dilaksanakan oleh pemimpin spiritual di sekolah.
9.1 Menentukan visi, misi dan matlamat sekolah
Berdasarkan dokumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysiab gelombang 2
(SKPMg2) yang dikeluarkan oleh Jemaah Nazir, KPM, peranan utama PGB adalah sebagai
peneraju, pembimbing, dan pendorong