Persatuan Bangsa Sungai Sabah

Preview:

Citation preview

Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS)

Persatuan Bangsa Sungai Sabah atau Sabah Association of Bangsa Sungai yang juga dikenali sebagai SABAS telah didaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Negeri Sabah pada 26 September 1979 dengan rujukan pendaftaran ref :32/79.

Matlamat utama persatuan ini adalah untuk mempromosikan budaya Bangsa Sungai yang terdapat di Negeri Sabah.

Perlembagaan SABAS telah menetapkan bahawa Bangsa Sungai adalah istilah generik dan label etnik menyeluruh yang merangkumi 30 sub-etnik dan kumpulan dialek seperti berikut :

* Begahak * Bengkoka * Buludupi * Dewara * Dumpas

* Idahan * Inokang * Kalabuan * Kuamut * Lingkabau

* Liwago * Makiang * Mangkaak * Milian * Minokok

* Paitan * Pingas * Puawang * Rumanau * Segilitan

* Sinobu * Sinorope * Subpan * Sugud * Sukang

* Suyat * Tambangan * Tengara * Tinagas * Tindakon

TAHUKAH ANDA??

Lembaga Kebudayaan Sabah mendapati bahawa di Sabah terdapat 35 kumpulan etnik dan 215 sub-etnik..!!!

Taburan Bangsa Sungai Di Negeri Sabah Yang Paling Ramai

•Daerah Kinabatangan

•Daerah Tongod

•Daerah Labuk-Sugut

•Daerah Pitas

•Daerah Sandakan

•Daerah Lahad Datu

•Daerah Telupid

•Daerah Kecil Paitan

•Daerah Beaufort

•Daerah Kota Kinabalu

MASYARAKAT SUKU KAUM ORANG SUNGAI DI SABAH

Oleh

Hamra @ Amrah Bin Haji Liwangsa

Haji Abdul Hamid Bin Ahmad

Haji Halim Bin Haji Akmad

Abdul Razak Bin Haji Jamil

Jumadil Bin Haji Akmad

Abdul Kadir Bin Haji Jamil

Abd Manap Bin Abd Rahim

1.0 Sejarah Awal

Berdasarkan sejarah awal penduduk Pulau Borneo tergolong dalam kelompok Austronesia, iaitu daripada kelompok Negrito dan Austroloid. Kelompok ini telah meninggalkan Tanah Melayu bersama-sama penduduk Austronesia yang lain selepas zaman air batu, iaitu kira-kira 2,500 - 5,000 tahun yang lalu. Mereka memulakan penghidupan baru dan berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain disamping mengamalkan pertanian pindah (shifting cultivation) dalam menyara hidup seharian mereka.

Amalan ini telah dilakukan untuk beberapa lama sehinggalah mereka sampai di Utara Pulau Borneo. Perubahan hidup masyarakat ketika itu telah bermula dengan petempatan secara kekal dan bertumpu di tebing sebuah tasek yang dikelilingi oleh pokok-pokok Ara di ulu Sungai Labuk yang dikenali dengan nama Nunukragang. Tidak dapat dipastikan samada Kampung Nunukragang yang terletak tidak jauh dari jambatan Tampias ketika ini adalah kampung yang dimaksudkan dalam sejarah penghijrahan awal ini. Salah satu suku etnik yang terdapat disini adalah suku kaum Orang Sungai.

Dari segi catatan sejarah, asal-usul mengenai Orang Sungai adalah bermula pada 1881, apabila residen pertama Sandakan iaitu Sir William Pryer menjalankan ekspedisi menyusur Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Imbok yang masih wujud pada ketika ini. Sewaktu ekspedisi tersebut, rombongan beliau telah terserempak dengan sekumpulan masyarakat yang sudah bertamadun dengan berkebolehan mendirikan petempatan di tebing sungai serta pandai bercucuk tanam yang dicirikan dengan imej berambut panjang dan mempunyai kulit kemerah-merahan. Disebabkan masalah komunikasi ketika itu, beliau tidak mengetahui asal-usul masyarakat tersebut dan untuk memudahkan, beliau telah menamakan kumpulan masyarakat ini dengan panggilan the river people. Selepas peristiwa tersebut dan semasa pemerintahan The British North Borneo Chartered Company (BNBCC) panggilan ini telah dialihbahasakan kepada Orang Sungai dan telah kekal digunakan, bukan sahaja terhadap masyarakat yang mendiami Sungai Kinabatangan tetapi juga masyarakat yang menghuni sungai-sungai yang lain juga turut digelar sedemikian.

Masyarakat yang tinggal di pinggir sungai yang dirujuk sebagai Orang Sungai terus berkembang dan petempatan mereka sering tertumpu di tebing-tebing sungai utama seperti Sungai Bengkoka, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Paitan, Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Pemilihan tempat ini boleh dikaitkan dengan cara hidup masyarakat ini yang gemar bercucuk tanam dan sentiasa mencari kawasan yang subur terutama kawasan lembangan sungai.

2.0 Sistem Kepercayaan dan Adat Resam

Suku kaum Orang Sungai menganut fahaman yang berbeza-beza, ada yang beragama Islam, Kristian dan ada yang masih mengamalkan fahaman Animisma. Mereka yang menganut agama Islam pada asasnya adalah terdiri daripada mereka yang berkahwin campur dengan peniaga Suluk.

Orang Sungai mengamalkan adat resam yang dipusakai daripada nenek moyang mereka yang banyak menerima pengaruh animisma dan kini pengaruh Islam. Mereka mengamalkan adat bersanding semasa majlis perkahwinan, adat bertimbang, adat menggunting rambut kanak-kanak dan adat melenggang

perut. Pemilihan jodoh bermula dengan istiadat merisik calon isteri. Setelah istiadat merisik maka istiadat meminang pula dilakukan. Dalam istiadat ini, rombongan pihak lelaki bertandang ke rumah keluarga gadis pilihan untuk meminang secara rasmi. Selepas itu, istiadat menghantar damak atau pemberian dilakukan. Pada hari tersebut tarikh perkahwinan dan belanja hantaran untuk majlis perkahwinan akan ditentukan. Istiadat perkahwinan dalam kalangan masyarakat suku kaum Orang Sungai dilakukan mengikut amalan agama masing-masing.

3.0 Kesenian Dan Artifak

Kesenian dan artifak suku kaum Orang Sungai terserlah dan dapat disaksikan melalui senibina, seni tampak, seni tari, sistem nilai dan budaya mereka yang penuh kelembutan dan keunikan. Dari aspek seni bina bukan sahaja mereka mampu menghasilkan binaan rumah yang kukuh dan unik malahan turut dihiasi ukiran kayu yang halus. Selain daripada itu, masyarakat ini juga terkenal dengan hasil kraftangan yang halus dan berbagai motif seperti yang terdapat pada tudung saji, tikar mengkuang, sulaman, tekat, tenunan yang halus dengan rapi pada sarung bantal dan baju tradisional. Seni hias yang menarik seperti serimpak pada pengantin perempuan serta seni hias sempangan yang diperbuat daripada perca kain beraneka warna dijadikan perhiasan pada dinding dan lelangit rumah semasa majlis perkahwinan.

Penggunaan peralatan muzik tradisi yang unik dan rancak seperti yang terdapat pada permainan kulintangan, gabbang kayu, gong dan gendang yang mampu dimainkan dalam berbagai rentak dan tempoh. Manakala gesekan kecapi yang merdu boleh didengar ketika majlis perkahwinan disempurnakan. Seni silat yang dinamik serta seni tari yang gemalai pula, dapat dilihat dalam rangkaian gerak tari tarian runsai, titikas, menumpos, abungan, mengalai serta sumarikayau. Semua kegiatan seni ini diperkembangkan serta diwariskan kepada generasi muda suku kaum Orang Sungai demi memastikan kesinambungannya berterusan serta tetap terpelihara.

4.0 Ekonomi dan Kerjaya

Ekonomi suku kaum Orang Sungai banyak bergantung pada sumber alam semulajadi sekeliling mereka. Bersesuaian dengan asas kemunculan tamadun mereka yang gemar mendiami lembangan sungai, kerjaya suku kaum Orang Sungai bermula sebagai nelayan tradisional di sungai. Pada suatu ketika dahulu, kerjaya mereka adalah sebagai pekerja balak dan kini sebagai petani yang berdaya maju. Malahan suku kaum Orang Sungai juga terkenal sebagai penuai sarang burung yang sangat mahir dan berani disamping memiliki beberapa jenis peralatan penuaian sarang burung yang canggih diwarisi dari

nenek moyang mereka. Teknik dan penggunaan peralatan penuaian ini masih lagi praktikal digunakan sehingga kini yang terdapat di Gua Gomantong, Gua Madai dan Gua Batu Timbang.

Sejajar dengan perubahan masa dan kepekaan terhadap kepentingan pendidikan, masyarakat ini telah banyak melahirkan generasi baru yang berjaya mendapat kelulusan yang cemerlang dalam bidang akademik di peringkat universiti dan ketika ini ramai telah berkhidmat dalam pelbagai sektor sebagai doktor, peguam, pentadbir, pendidik, ahli korporat, tokoh politik dan berbagai lagi.

5.0 Sistem Dan Hiraki Kepimpinan

Sistem dan hiraki kepimpinan suku kaum Orang Sungai terdiri daripada Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Orang Tua atau Ketua Kampung. Mereka dilantik oleh kerajaan kerana berpengaruh dan berwibawa dalam menyelesai masalah masyarakat terutama dalam bidang adat istiadat suku kaum Orang Sungai tanpa mengira kepercayaan agama mereka masing-masing.

Gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK) diberi kepada Ketua Daerah yang menjadi ketua kepada sesebuah daerah. Gelaran kepada Ketua Anak Negeri yang membantu mentadbir daerah tersebut pula diberi gelaran sebagai Panglima. Satu gelaran yang tertinggi dalam masyarakat Orang Sungai adalah Gelaran Tagajoh Gayoh (Pemimpin Agung) yang dianugerahkan kepada seseorang pemimpin yang dipilih berdasarkan jasa dan sumbangan kepada bangsa, agama dan Negara. Sementara Gelaran Tagajoh (Pemimpin) adalah satu lagi gelaran kedua tertinggi yang dianugerahkan kepada beberapa orang pemimpin terpilih berdasarkan kepada kepimpinan, perjuangan dan khidmat bakti khususnya kepada masyarakat Orang Sungai. Kedua-dua gelaran ini dimashyurkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang diwakili oleh semua ketua suku kaum Orang Sungai yang terdiri daripada 30 sub-etnik dari seluruh Negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS).

Dalam masyarakat suku kaum Orang Sungai yang beragama Islam, Imam adalah pemimpin yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal keagamaan. Manakala mereka yang masih menganut fahaman animisma, pemimpin mereka adalah Ketua Kampung atau Orang Tua. Masyarakat suku kaum Orang Sungai yang menganut agama Kristian pula merujuk kepada paderi untuk menyelesaikan hal-ehwal keagamaan mereka.

Teks ini pernah diterbitkan dalam Buku Cenderamata Pesta Sungai Kinabatangan 2005 dan Buku Cenderamata Majlis Kebudayaan bersama Persatuan Bangsa Sungai Sabah pada 29 Ogos, 2004

DAFTAR BAHASA ETNIK

*Melayu / Makiang / Buludupi

*Satu / Iso / Ssa *Dua / Dwo / Duwo

*Tiga / Talo / Tollu *Empat / Apat / Ppat

*Lima / Limo / Limo *Enam / Anom / Nnom

*Tujuh / Toro / Turu’ *Lapan / Walo / Wolu

*Sembilan / Siwoi / Siwai *Sepuluh / Apolo / Polu’

*Seratus / Aratus / Meratu *Seribu / Aribo / Meribu

*Rambut / Tabok / Ebpok *Muka / Poros / A-ngas

*Mata / Mato / Mato *Hidung / Tadong / Irung

*Dada / Kangkab / Sodtu’ *Perut / Tan / Torai

*Pusat / Posod / Pusod *Tangan / Longon / Pie

*Lutut / Latod / Alob *Telinga / Talinga / Taligo

*Leher / Ilyow / Lig *Belakang / Likud /Tukod

*Bahu / Kayab / Sadtoong *Pinggang / Tawek / Awak

*Punggung / Busol / Tebping *Paha / Poh / Bo-ngol

mengikut Prentice (1970), orang sungai dikategorikan kpd 3 subkeluarga iaitu idahan, paitanik dan dusunik..

Recommended