Upload
ct-awer-yusoh
View
342
Download
6
Embed Size (px)
DESCRIPTION
k
Citation preview
SEJARAH BOLA BALING
PENGENALAN
Permainan bola baling (handball) berasal dari Eropah. Permainan ini telah
diubah suai daripada permainan-permainan asak seperti Czeska Hasenka di
Denmark dan Korball serta Raffball di Jerman. Permainan-permainan ini pernah
menjadi sukan yang popular di negara-negara Eropah pada suatu masa dahulu.
Semasa perang Dunia Pertama, permainan ini membabitkan tujuh orang
pemain sepasukan dan dikenali sebagai Torball. Pada tahun 1917, bilangan
pemainan dalam permainan ini diubah menjadi 11 orang sepasukan dan dimainkan
di padang bola sepak. Ia diperkenalkan di Jerman oleh Heizer dan permainan ini
mula dikenali sebagai handball. Mengikut sejarawan Rusia, permainan ini (tujuh
orang sepasukan) telah dimajukan oleh Edward Maly pada tahun 1909 di Kharkov.
PERKEMBANGAN SUKAN BOLA BALING
Peringkat Kebangsaan (Malaysia)
Permainan bola baling mula diperkenalkan pada tahun 1976 kepada
sekumpulan guru dan pelajar di Selangor oleh Encik Lim Hock Han. Ketika itu, dia
bertugas sebagai Pengarah Bahagian Sukan di Pejabat Pendidikan Selangor dan
kemudian di Universiti Malaya. Seterusnya, satu jawatankuasa kerja bola baling
yang dipengerusikan oleh Encik Cheah Hai Su dari unit Pendidikan Jasmani dan
Sukan. Kementerian Pendidikan telah ditubuhkan pada tahun 1978. Sejak itu,
kursus-kursus bola baling (aspek pengenalan permainan, pengadilan dan
kejurulatihan) untuk guru-guru telah dijalankan untuk mempopularkan permainan
ini di kalangan pelajar sekolah.
Persekutuan Bola Baling Olimpik Malaysia telah ditubuhkan pada tahun
1984 dan menjadi ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia. Langkah ini telah
memesatkan lagi perkembangan sukan ini ke seluruh negara. Sungguhpun
permainan bola baling olimpik telah dipertandingkan di peringkat kebangsaan
antara sekolah pada tahun 1979, buat kali pertamanya, hanya pada tahun 1987
sukan ini diterima sebagai salah satu permainan anjuran MSSM untuk peringkat
kebangsaan.
Pada tahun 1994, Persekutuan Bola Baling Malaysia telah menganjurkan
Kejohanan Bola Baling antara Kelab-Kelab Negara Komanwel. Negara-negara
yang mengambil bahagian terdiri daripada Bangladesh, England, India, Kenya,
Nigeria, New Zealand dan Malaysia. Selain itu, Persekutuan Bola Baling Malaysia
telah menghantar Encik Lam Fei Eng, seorang jurulatih untuk mengikuti kursus
kejurulatihan antarabangsa di Universiti Leipzig, Jerman.
Peringkat Sekolah dan Maktab
Di peringkat sekolah, MSSM telah menganjurkan dua kursus bola baling
untuk melatih guru-guru dari semua negeri di Malaysia dalam aspek pengadilan
dan kejurulatihan. Kursus pertama telah diadakan di Kompleks TUDM di Lumut,
Perak pada tahun 1985 bagi melatih guru-guru yang berminat menjadi jurulatih dan
pengadil permainan. Pada tahun 1986, satu lagi kursus untuk melatih guru-guru
yang ingin menjdi pengadil permainan telah diadakan di Sekolah Menengah Sains
Selangor di Kuala Lumpur.
Di peringkat maktab perguruan pula, permainan bola baling telah mula
aktif dan dipertandingkan dalam Pestarama Maktab pada tahun 1985. Pada tahun
1986, seramai 45 orang pensyarah maktab perguruan telah menghadiri satu kursus
pengadilan dan kejurulatihan dalam usaha memperkenal dan mempopularkan
permainan ini di kalangan penuntut maktab.
PERALATAN PERMAINAN
PENGENALAN
Bola Baling boleh dimainkan sama ada di dalam atau luar dewan. Peralatan
yang diperlukan adalah tidak banyak. Apa yang diperlukan ialah padang atau
gelanggang (tertutup atau terbuka), sebiji bola baling dan 14 orang pemain (tujuh
orang sepasukan). Dua orang pengadil diperlukan untuk mengawal permainan.
GELANGGANG BOLA BALING DAN UKURAN
PADANG/GELANGGANG (KAWASAN PERMAINAN)
Permukaan gelanggang mestilah keras dan rata. Gelanggang yang
digunakan boleh merupakan gelanggang berumput di padang terbuka atau
gelanggang bersimen atau berparket di dalam dewan yang tertutup. Gelanggang
permainan berbentuk segiempat bujur, 40 meter panjang di garisan tepi dan 20
meter lebar di garisan gol. Gelanggang permainan dibahagikan kepada dua
bahagian yang sama luas oleh satu garisan tengah. Setiap kawasan gol
mengandungi satu garisan kawasan go yang berjejari 6 meter dari tepi dalam tiang
gol. Garisan balingan percuma adalah putus-putus dan berjejari 9 meter dari tepi
dalam tiang gol.
Panjang garisan penalti ialah 1 meter dan berjarak 7 meter dari tengah
garisan gol. Panjang garisan penjaga gol pula ialah 15 cm dan jaraknya dari tengah
garisan gol ialah 4 meter. Di dua garisan tepi, terdapat dua garisan pertukaran
pemain dengan panjang 15 cm dan jaraknya dari garisan tengah ialah 4.5 meter.
Semua garisan dalam gelanggang perlu ditandakan secara jelas dengan ukuran
selebar 5 cm.
BOLA
Bola harus berbentuk bulat dan diperbuat daripada kulit atau getah
berwarna yang tidak terlalu keras. Berat dan lilitan bola untuk setiap kategori
pemain adalah seperti berikut :
1. Lelaki dan remaja lelaki (16 tahun ke atas)
Bola saiz 3.
Berat antara 425 g sehingga 475 g.
Lilitan antara 58 cm hingga 60 cm.
2. Wanita dan remaja perempuan (14 tahun ke atas) dan remaja lelaki (12 tahun
sehingga 16 tahun)
- Bola saiz 2.
- Berat antara 325 g hingga 375 g.
- Lilitan antara 54 cm hingga 56 cm
3. Remaja perempuan (8 tahun hingga 14 tahun) dan remaja lelaki (8 tahun
hingga 12 tahun)
- Bola saiz 1.
- Berat antara 290 g hingga 330 g.
- Lilitan antara 50 cm hingga 52 cm.
Biasanya, dua biji bola yang telah diperiksa dan disahkan oleh pengadil akan
disediakan bagi setiap perlawanan. Bola yang digunakan dalam sesuatu
perlawanan tidak boleh ditukar ganti kecuali dengan sebab-sebab tertentu. Di
peringkat antarabangsa, hanya bola yang ditandakan dengan logo IHF (Kesatuan
Bola Baling Antarabangsa) dibenarkan dalam sesuatu pertandingan.
TIANG GOL
Tiang gol perlu diletakkan di tengah-tengah garisan gol. Tiang gol terdiri
daripada dua batang tiang tegak yang panjangnya 3 meter dan tingginya 2 meter.
Kedua-dua tiang ini disambungkan oleh sebatang palang empat segi yang
panjangnya 3.16 meter. Tiang gol diperbuat daripada kayu atau bahan sintetik yang
serupa dan dicat dengan warna yang sama dengan ukuran 28 cm. Di bahagian lain
tiang gol dan palang ialah 8 cm.
PEMAIN DAN PAKAIAN
Pakaian untuk pemain lelaki dan pemain perempuan terdiri daripada baju
lengan pendek atau panjang, seluar pendek, stoking dan kasut biasa atau but.
Semua pemain gelanggang hendaklah berpakaian serupa (seragam) kecuali penjaga
gol yang perlu memakai warna pakaian yang berlainan daripada pemain lain dalam
pasukannya dan pemain pasukan lawan. Pemakaian segala alat yang dianggap
berbahaya kepada pemain-pemain adalah tidak dibenarkan.
Setiap pasukan Bola Baling perlu terdiri daripada 12 orang pemain, iaitu 10
orang pemain gelanggang dan dua orang penjaga gol. Pemain-pemain dibenarkan
memakai jersi bernombor antara 1 orang hingga 20. No 1, 12 dan 16 dikhaskan
untuk penjaga gol sahaja manakala nombor-nombor lain adalah untuk pemain-
pemain gelanggang.
KEMAHIRAN BOLA BALING
KEMAHIRAN ASAS PERMAINAN BOLA BALING
1. Berlari
2. Melompat
3. Hantaran bola
4. Menyambut bola
5. Mengelecek bola dengan tangan
6. Mengadang
7. Menjaring
8. Menjaga gol
Di dalam kerja kursus ini, saya akan menerangkan hanya 3 sahaja kemahiran asas
dalam Bola Baling dan prinsip sains yang berkaitan dengan kemahiran tersebut. 3
kemahiran asas tersebut ialah :
1. Hantaran bola
2. Menangkap bola
3. Menjaring
KEMAHIRAN PERTAMA : HANTARAN BOLA
Dalam permainan Bola Baling terdapat beberapa cara penghantaran bola
yang sama dengan cara-cara yang digunakan dalam permainan bola keranjang dan
bola jaring. Jenis hantaran yang biasa digunakan adalah seperti berikut :
a) Hantaran bahu
b) Hantaran lantun
c) Hantaran aras dada
d) Hantaran lompat
e) Hantaran sisi
HANTARAN BAHU
Cara menghantar bola yang sering digunakan oleh pemain dalam
permainan Bola Baling. Biasanya, cara ini dilakukan semasa membuat hantaran
jauh. Kelebihan cara ini ialah persediaan hantaran ini boleh mengelirukan pihak
lawan. Dari keadaan bersedia, pemain boleh terus mengelecek, menjaring,
menukar hala hantaran atau memusingkan badannya.
HANTARAN LANTUN
Dilakukan apabila membuat hantaran secara mengejut. Kelemahannya
adalah bola itu dapat disekat oleh pihak lawan yang bertindak balas pantas.
Hantaran ini biasanya dilakukan dengan sebelah tangan.
HANTARAN ARAS DADA
Berasal daripada kemahiran yang sama dalam permainan bola keranjang.
Sesuai untuk hantaran jarak dekat di aras dada. Pergerakan bola itu adalah hasil
tolakan dari jari-jari tangan. Tangan hendaklah ikut lajak di akhir tolakan.
HANTARAN LOMPAT
Ini adalah satu lagi gerak keliru yang berasal dari permainan bola
keranjang. Biasanya apabila seorang penyerang melompat untuk menjaring tidak
berpeluang membuat demikian, ia akan membuat hantaran terus kepada kawannya
supaya bola tidak terlepas kepada pihak lawan.
HANTARAN SISI
Cara hantaran sisi juga digunakan bila membuat hantaran jarak dekat dan
pantas. Pemain tidak perlu memusingkan badannya untuk menghadap ke arah
penerima hantarannya apabila hantaran sisi dilakukan. Hantaran cara ini banyak
melibatkan pergerakan pergelangan tangan dan memang sesuai bagi pemain yang
mempunyai tapak tangan yang besar.
PRINSIP ASAS HANTARAN BOLA
Keberkesanan sesuatu hantaran bola oleh seorang pemain bola dilihat dari
sejauh mana hantaran itu memenuhi prinsip-prinsip asas yang berikut:
a) Suai-masa (timing) – bilakah bola patut dilepaskan?
b) Ketepatan – adakah bola ditujukan kepada sasarannya?
c) Arah – ke manakah bola dihantar supaya permainan menjadi positif?
d) Kekuatan – sekuat manakah boal patut dibaling dalam situasi yang dihadapi
oleh pemain supaya sesuai dengan jarak dan kedudukan pemain yang menerima
bola?
PRINSIP SAINS DALAM HANTARAN
Dalam kemahiran hantaran, prinsip sains yang berkaitan ialah sistem tuas.
Tuas ialah suatu struktur yang teguh yang diengselkan pada satu titik dan daya
diaplikasikan kepada kedua-dua titik lain (Hay,1985). Tuas tubuh badan adalah
penting untuk menghasilkan pergerakan yang berkesan terutama ketika membuat
hantaran di dalam permainan Bola Baling. Kemahiran hantaran bola berkait rapat
dengan sistem tuas kelas ketiga. Hal ini disebabkan salah satu fungsi tuas yang
berikut:
a) Ia membolehkan rintangan yang lebih besar dari kuasa yang diaplikasikan
diatasi.
b) Untuk menambahkan kelajuan sesuatu halangan atau rintangan yang bergerak
atau menambahkan jarak pergerakan sesuatu rintangan.
Konsep – konsep Penting dalam Sistem Tuas
1. Daya – usaha di mana otot menghasilkan daya.
2. Beban/rintangan – sebarang objek yang digerakkan atau anggota-anggota
badan itu sendiri.
3. Paksi/fulkrum – sendi
4. Lengan daya dan lengan beban.
a) Lengan daya (LD) yang lebih panjang membolehkan beban yang lebih
diangkat.
b) Lengan beban (LB) yang lebih panjang membolehkan kelajuan yang lebih
dihasilkan.
Kesimpulannya, sistem tuas membolehkan pemain membuat hantaran
menggunakan daya yang terdapat di lengannya. Apabila bola berada di tapak
tangan pemain, lengan menjadi daya kepada bola tersebut untuk bergerak
manakala siku sebagai fulkrum atau sendi yang berfungsi untuk menggerakkan
bola tersebut. Oleh itu, jika lengan mengenakan daya yang kuat ke atas bola
tersebut maka bola itu akan bergerak dalam kelajuan yang tinggi dan menyebabkan
hantaran bola itu berlaku dengan cepat.
KEMAHIRAN KEDUA : MENANGKAP BOLA
Prinsip utama dalam menangkap bola ialah mengawal, mematikan kelajuan
bola, memegangnya dengan baik dan terus mengawalnya dengan menggunakan
kedua-dua belah tangan yang berkedudukan relaks.
Pelbagai cara tangkapan boleh dilakukan dengan paling penting ialah setiap
tangkapan hendaklah dilakukan dengan tepat tanpa mengira kelajuan atau jenis
hantaran yang dibuat oleh rakan. Bagaimanapun, tangkapan yang tepat dan betul
bermula daripada lontaran atau hantaran yang tepat atau sempurna.
Untuk menangkap bola dengan tepat dalam apa jua keadaan dan situasi
permainan, seorang pemain mestilah memberikan perhatian pada faktor-faktor
berikut:
1. Penglihatan pemain hendaklah fokus pada bola dan penghantarnya.
2. Kedua-dua belah tangan direnggangkan dan dihulurkan ke arah bola.
3. Tangan dan jari hendaklah dalam kedudukan terbuka semasa membuat
tangkapan. Ibu jari berfungsi sebagai penahan bola.
4. Setelah berjaya ditangkap, bola hendaklah dirapatkan ke dada dalam
kedudukan yang selamat.
5. Kedudukan sebelah kaki hendaklah ke depan dan harus berjarak seluas bahu
dengan kaki belakang.
6. Sepanjang pergerakan untuk menangkap bola, pemain hendaklah berada dalam
kedudukan seimbang.
7. Bola yang diterima berada di atas pinggang perlu ditangkap dengan tangan
terbuka dan jari-jari menunjuk ke atas dengan ibu jari membentuk W di
belakang bola. Untuk bola yang berada di bawah pinggang, tangan
diterbalikkan dan bola disentuh hanya pada jari. Untuk menangkap bola terlalu
rendah, satu kaki dikeluarkan ke depan, lalu lutut membengkok dan tangan
terbalik. Pemain perlu berupaya menangkap pelbagai hantaran seperti hantaran
tinggi, hantaran rendah dan hantaran sisi sama ada dalam kedudukan bergerak
atau statik.
CARA MENANGKAP BOLA
1. Dengan kedua-dua belah tangan – bola aras muka
Apabila hendak menangkap bola setinggi aras muka, pemain seboleh-bolehnya
hendaklah berada di belakang hala pergerakan bola itu. Kedua-dua belah tangan
dihulur secara lurus ke hadapan untuk menangkap bola. Sebaik sahaja ditangkap
bola hendaklah dibawa dekat badan untuk kawalan yang lebih baik.
2. Dengan kedua-dua belah tangan – bola rendah
Untuk menangkap bola rendah pemain perlu merendahkan badannya dan kedua-
dua belah tangan dihulur untuk menerima bola yang menuju kepadanya. Jari-jari
menghala ke bawah semasa menangkap bola.
3. Menangkap bola dengan sebelah tangan
Cara ini hanya dapat dilakukan dalam situasi apabila penerima bola tidak
menghadapi tekanan atau gangguan daripada pihak lawan semasa hantaran dibuat.
Penerima hendaklah memerhatikan bola sehingga dapat ditangkapnya. Untuk
kawalan bola yang kemas, keseluruhan tapak tangan yang menangkap bola
hendaklah berada di belakang bola.
4. Menangkap bola tinggi
Jika perlu pemain hendaklah melompat untuk menangkap bola hantaran tinggi.
Faktor yang sangat penting dalam situasi ini adalah lompatan hendaklah dibuat
pada masa yang tepat. Kedua-dua belah tangan dihulur ke atas untuk menangkap
bola. Sebaik sahaja mendarat, bola hendaklah dibawa rapat ke badan supaya dapat
mengawalnya dengan lebih kemas.
KESALAHAN-KESALAHAN MENANGKAP BOLA
1. Memegang bola menggunakan jari dan tidak menggunakan tapak tangan.
2. Tangan yang dihulurkan ke depan berada terlalu rendah dan tidak pula berada
terlalu jauh di belakang.
3. Tidak menggunakan pergelangan tangan.
4. Genggaman yang tidak kemas.
5. Tangkapan yang salah dan tidak mengikut situasi permainan.
MEMEGANG BOLA
Selepas menangkap bola, pemain dibenarkan memegangnya tidak lebih
daripada 3 saat sebelum menghantarnya kepada rakan atau terus membuat jaringan
gol. Dalam masa yang singkat ini, pemain menguasai bola sepenuhnya. Pemain
perlu memegang bola dengan kedua-dua belah tangannya kerana jika sebelah
tangan digunakan, kemungkinan bola terlepas daripada pegangannya.
Apabila bola dirapatkan ke dada, ia dipegang erat oleh jari-jari yang dibuka
dan mengarah ke depan. Pegangan yang kukuh ini adalah penting bagi
membolehkan pemain melakukan gerakan yang seterusnya.
Umumnya, memegang bola hendaklah menggunakan kedua-dua belah
tangan dan berkedudukan pada aras dada. Pegangan ini hendaklah sekejap
mungkin agar tidak mengganggu pergerakan bola serta memberikan masa dan
kesempatan kepada pemain pertahanan pasukan lawan mengatur pertahanannya
atau mematah serangan.
KEMAHIRAN KETIGA : MENJARING BOLA
Bola baling ialah sukan yang berkisar tentang menjaringkan gol. Sudah
tentu pemain dan penonton akan berasa puas hati dan gembira apabila gol berjaya
dihasilkan, terutamanya jika hasil gol itu dianggap menarik. Dianggarkan purata
jumlah gol yang mampu dijaringkan dalam sesuatu permainan bola baling ialah 40
gol. Maka, bola baling merupakan permainan yang banyak menghasilkan gol.
Walaupun kemahiran menjaringkan gol dijangkakan dapat dilakukan oleh
semua pemain kecuali penjaga gol, namun kelebihan dari segi keupayaan perlu ada
pada pemain barisan belakang yang sememangnya ditugaskan menjaringkan gol.
Manakala pemain-pemain lain lebih bertanggungjawab dalam mengatur dan
melaksanakan taktik dan strategi permainan agar bola dapat disampaikan kepada
barisan belakang yang akan menjaringkan bola.
Kekuatan, kelajuan ketepatan sasaran dan masa adalah antara kualiti utama
yang perlu ada pada pemain bola baling, terutamanya mereka yang ditugaskan
mendapatkan gol. Pemain-pemain juga diharapkan mempunyai ketangkasan
pemikiran dan tindakan, bijak merebut peluang, bijak memintas, tahan lasak dan
tidak mudah berputus asa.
PRINSIP – PRINSIP UTAMA
Umumnya, terdapat beberapa prinsip utama dalam kemahiran
menjaringkan gol dalam permainan bola baling. Antaranya ialah:
1. Pemain mempunyai keyakinan diri pada setiap pemain.
2. Pemain dapat mengawal imbangan dan pergerakan dalam tempoh
permainan.
3. Pemain memberikan penumpuan sepenuhnya pada gerakan yang hendak
dilaksanakan.
4. Pemain mengikut lajak.
5. Pemain bijak mengarah dan menepati sasaran tertentu.
6. Pemain cekap menilai ruang kosong dan kedudukan penjaga gol.
JENIS JARINGAN
Jaringan dari Atas Kepala
Jaringan dari atas kepala ialah jaringan yang biasa dan mudah dilakukan,
serta mudah pula untuk mendapatkan gol. Jaringan ini juga paling disukai oleh
pemain-pemain baru. Jaringan ini boleh dilakukan oleh pemain dalam kedudukan
statik dan kedudukan bergerak atau berlari.
Teknik melakukan jaringan dari atas kepala ialah:
1. Pemain bergerak satu langkah ke depan.
2. Pemain meletakkan berat badan pada kaki kiri sambil kaki kanan membengkok.
3. Tangan pemain yang memegang bola dibengkokkan sedikit dan dibawa ke
belakang kepala pada aras bahu.
4. Satu lonjakan dilakukan oleh pemain sambil tangan yang memegang bola
diluruskan ke atas kepala dan membalingnya kuat ke arah sasaran.
5. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak selepas membuat hantaran.
Jaringan dari Bawah Lengan
Umumnya, jaringan ini kurang berkesan untuk menghasilkan gol. Namun,
ia boleh dilakukan apabila pemain lawan terdiri daripada pemain yang berbadan
tinggi. Kadang-kadang, pertahanan tinggi kurang memberikan perhatian pada
kawalan atau pertahanan rendah. Bola selalunya diarahkan ke sudut bawah gol
pihak lawan.
Teknik melakukan jaringan dari bawah lengan ini adalah seperti berikut:
1. Pemain mengambil satu langkah ke depan dengan kaki kiri. Kaki kanan
dibengkokkan sambil bola dibawa ke belakang bawah aras bahu.
2. Tangan pemain yang memegang bola diluruskan sambil kaki kanannya
melangkah ke depan dan seterusnya bola dilontar dengan kuat ke sasaran.
3. Kaki kiri pemain dilajakkan ke belakang dan tangan kanan dilepaskan.
Jaringan Lompat
Teknik jaringan lompat adalah hampir sama dengan jaringan dari atas
kepala, tetapi perkara yang terpenting ialah dalam jaringan lompat ialah pemain
perlu bergerak tiga langkah ke depan sebelum membuat jaringan. Walaupun ia
agak sukar dilakukan, terutamanya bagi pemain-pemain baru, namun jika sudah
mahir, ia merupakan jaringan yang berbahaya.
Hal ini terjadi kerana dalam kebanyakan perlawanan, banyak gol diperoleh
daripada jaringan ini. Jaringan ini sering dilakukan selepas serangan pantas.
Biasanya, jaringan daripada lompatan dibuat apabila posisi bola berada di puncak
lompatan.
Teknik dalam jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Pemain bergerak sebaik-baiknya tiga langkah ke garisan gol. Ketika ini pemain
memegang bola dengan kedua-dua belah tangan.
2. Di luar garisan gol, pemain akan melonjak tinggi ke kawasan gol sambal
membuat jaringan dengan menggunakan sebelah tangan seperti cara jaringan
dari atas kepala. Arah yang dituju ialah satu daripada empat penjuru gol pihak
lawan.
3. Pemain akan mendarat dalam kawasan gol selepas bola dilontarkan.
4. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak.
Kelebihan-kelebihan yang ada pada jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Dari mula bergerak hingga membuat lompatan, penjaring yang membuat
lompatan sendiri boleh mengelirukan penjaga gol.
2. Penjaring atau penyerang gol boleh menukar arah jaringan dengan pantas secara
memusingkan bahu dan lengannya.
3. Pemain boleh melontar bola ke tanah untuk dilantunkan dan bergolek ke dalam
gol di celah-celah kaki penjaga gol.
4. Oleh sebab penjaring terpaksa melompat untuk membuat jaringan gol, maka
mereka sudah tentu mempunyai kelebihan psikologi dan peluang.
Jaringan pada Aras Paha
Jaringan ini agak berkesan dalam menghasilkan gol. Namun, ia memerlukan
latihan yang lama. Pemain yang menerima bola, memegangnya pada kedudukan
aras paha, dan dengan serta-merta terus membuat jaringan. Gerakan dalam jaringan
ini amat pantas. Arah tujuan bola daripada jaringan ini amat sukar ditentukan oleh
penjaga gol atau pemain pertahanan.
Cara jaringannya ialah pemain berlari pantas ke kawasan gold an membengkokkan
lututnya sehingga bola berada di bawah lengan lawan. Dengan pantas, pemain ini
membuat jaringan yang ditujukan ke sebarang bahagian di bawah palang pintu gol
pihak lawan.
Jaringan Sisi
Selain daripada membuat jaringan tinggi atau rendah untuk menewaskan
pertahanan lawan, penjaring juga boleh membuat jaringan daripada sisi pemain
yang mengawal. Pemain tangan kanan berpura-pura membuat jaringan pada arah
kiri pemain lawan. Secara tiba-tiba , dia akan mengangkat kaki kanannya,
menggerakkan badannya ke kiri dan berdiri pada kaki kiri. Apabila mendarat di
sisi, pemain berkenaan memusingkan sedikit badan dan bahunya, membawa bola
lebih rendah lalu membuat jaringan di bawah lengan pemain lawan. Jaringan ini
lebih berkesan jika dilakukan secara mengejut.
Jaringan Junam dan Jaringan Jatuh
Walaupun dianggap berbahaya dan sukar dilakukan terutama oleh pemain-pemain
baru, jaringan junam jika dilakukan dengan baik, hasilnya amat menarik, khasnya
pada aksi dan gerakannya. Ia selalunya dilakukan dalam kawasan balingan
percuma. Jaringan dari arah kedua-dua tepi kawasan memerlukan pemain
membengkokkan badan supaya dapat membesarkan lagi sudut jaringan.
Teknik melakukan jaringan junam adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di luar garisan kawasan gol.
2. Dengan menggunakan kaki kiri, pemain melonjakkan badannya ke udara
menuju ke kawasan gol.
3. Semasa melonjak, pemain membuat jaringan ke sasaran, iaitu jaringan dibuat
semasa berada di udara sebelum mendarat.
4. Pemain mendarat dengan mempertahankan badan menggunakan tangan atau
menggulingkan tangan.
Jaringan Penalti
Jaringan penalti dibuat dari garisan 7 meter. Jaringan ini terhad mengikut undang-
undang penting, iaitu kaki penjaring tidak boleh terkena atau melepasi garisan
balingan. Jaringan hendaklah dilakukan dalam masa 3 saat selepas pengadil
meniupkan wisel.
Teknik dalam melakukan jaringan penalti adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di tempat penalti bersama-sama dengan bola. Pandangan
hendaklah fokus pada penjaga gol untuk memerhatikan kemungkinan
pergerakan yang bakal dilakukan.
2. Pemain melakukan jaringan pada sebarang sudut gol pihak lawan.
3. Jika penjaga gol ke depan, pemain menggunakan teknik membuat jaringan
melambung untuk menjaring.
4. Pemain melakukannya mengikut lajak.
Jaringan Lambung
Jaringan lambung (lob) digunakan untuk menewaskan penjaga gol yang telah
bergerak ke depan golnya. Umumnya, terdapat 3 situasi berlakunya keadaan
begini, iaitu:
1. Apabila penjaga gol berada jauh di depan golnya dengan tujuan mengecilkan
sudut pemain lawan daripada lontaran penalti.
2. Apabila penjaga gol meluru ke depan untuk menandingi pemain lawan yang
memperoleh bola untuk membuat jaringan.
3. Apabila penjaga gol keluar untuk mengecilkan sudut terhadap pemain lawan
ketika terjadi serangan pantas.
Jaringan Voli
Jaringan Voli adalah sama dengan jaringan lompat.
Teknik melakukan jaringan Voli adalah seperti berikut:
1. Jaringan ini dimulakan dengan pemain melompat ke arah bola hantaran.
2. Semasa melompat, pemain menangkap bola dengan kedua-dua belah tangan.
3. Pemain membuat jaringan sebelum mendarat.
LATIHAN ANSUR MAJU
Jaringan Lompat
a) Berlari dan melonjak atas sebelah kaki.
b) Berlari, melonjak dan mengangkat sebelah tangan ke atas (jika kaki kiri
melonjak, angkat tangan kanan)
c) Seperti latihan (b) sambil melonjak bahu kiri menghala ke sasaran (gol). Tangan
kanan (bengkok sedikit) dihayun ke hadapan dari belakang bahu.
d) Ulang latihan (a), (b) dan (c) dengan memegang bola tanpa melemparkannya.
e) Latihan berpasangan – berlari, melonjak dan melempar bola kepada kawan di
hadapan.
f) Latihan dengan tentangan pasif oleh seorang pengawal (latihan ini memerlukan
3 orang).
g) Latihan menjaring dengan tentangan aktif (seorang menjaga gol).
Jaringan – jaringan Lain
a) Latihan membaling pundi kacang, bola sofbol, bola baling antara 2 orang.
b) Latihan membaling bola ke sasaran (tanda di dinding) melalui gelung.
c) Latihan melempar bola ke pintu gol (cara berdiri)
d) Latihan melempar bola ke pintu gol (cara bergerak 3 langkah)
e) Ulang latihan (c) dan (d) dengan tentangan penjaga gol.
10 PERATURAN ASAS PERMAINAN BOLA BALING
1. Satu pasukan mengandungi 12 orang pemain. Semasa permainan 7 orang
bermain dan 5 orang sebagai pemain simpanan. Penggantian pemain boleh
dilakukan bila – bila masa dalam permainan.
2. Permainan diadili oleh 2 pengadil.
3. Permainan dimulakan dengan satu balingan permulaan oleh pasukan yang
memilih untuk membuat permulaan. Balingan dibuat di garisan tengah.
4. Seorang pemain dibenarkan:
· Menahan, menangkap, membaling, melontar atau memukul bola dengan apa cara
pun dengan tangan, lengan, kepala, paha atau lututnya.
· Memegang bola untuk selama 3 saat sebelum membuat balingan atau hantaran.
· Melantunkan bola berterusan dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan
permainan yang ditetapkan.
5. Pemain-pemain kecuali penjaga gol, tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan
gol.
6. Apabila penjaga gol keluar kawasan golnya dia akan dianggap sebagai seorang
pemain padang.
7. Jika bola keluar garisan tepi permainandisambung semula dengan satu balingan
ke dalam oleh pasukan yang tidak mengeluarkan bola itu.
8. Semasa balingan percuma, balingan mula atau balingan ke dalam dilakukan,
pihak lawan hendaklah sekurang – kurangnya 3 meter dari pembaling.
9. Satu balingan penalti akan diberi kepada pihak lawan jika seorang pemain itu
menghantar bola kepada penjaga golnya yang berada dalam kawasan gol.
10. Gol boleh dijaringkan dari mana-mana balingan.
source : http://notakuliahpismp.blogspot.com/2011/11/kkbi-bola-baling-
kemahiran-asas-bola.htm