Upload
catur
View
20
Download
0
Embed Size (px)
DESCRIPTION
Tugas postgrad UKM
Citation preview
BAB 1
PENGENALAN
1.1 GEOLOGI AM
1.1.1 Lembangan Taranaki
Lembangan Taranaki terbentuk hasil daripada unjuran bahagian darat benua Gondwana
pada akhir Mesozoik. Pada bahagian dasar lembangan ini terisi batuan marin yang berusia
Jura hingga awal Kapur. Rekahan sesar mula berkurangan diikuti pemuaian dasar laut
berlaku pada Akhir Kapur di Laut Tasman. Graben yang terbentuk kemudiannya diisi
dengan sedimen terestrial, sementara graben-separa (half-graben) pula dipenuhi dengan
batuan marin tebal. Sebuah delta bersaiz besar terbentuk di kawasan barat laut lembangan,
yang mana delta ini mempunyai sistem fluvius berusia akhir Kapur. Apabila benua
Gondwana mula terpisah, berlaku pemuaian utara-selatan pada bahagian timur lembangan
di akhir Kapur sehingga Paleosen. Pada usia Paleosen, berlaku mendapan terestrial dan
juga mendapan laut cetek termasuk lintapan batu arang, namun ketika usia Oligosen,
kawasan ini didominasi oleh mendapan karbonat.
Pada awal Miosen, boleh dilihat kesan-kesan yang berlaku pada sempadan
kepingan moden di mana berlakunya pertambahan sedimen klastik yang banyak.
Kemudian, aktiviti gunung berapi jenis andesit bermula sekitar Miosen Tengah dan
berlanjutan sehingga ke hari ini. Pada akhir Eocene pula, sistem turbidit terbentuk di
lembangan ini yang mana ia mempunyai fasies turbidit batu pasir dari Formasi Tangaroa.
Pembentukan pelantar proagredan pada usia Neogene pada mulanya didominasi oleh batu
lumpur, namun kemudiannya diselang-seli dengan pemendapan turbidit batuan pasir Tariki
pada akhir Oligosen, diikuti dengan pemendapan turbidit batu pasir dari Formasi Moki
pada Miosen Tengah, kemudian pemendapan batu pasir dari Formasi Messenger pada
Akhir Miosen, dan pada akhir Pliosen berlaku pemendapan batu pasir dari Formasi
Mangaa. Terdapat saluran dan sistem turbidit utama pada bahagian laut dalam di
lembangan ini. Berlaku pengangkatan dan hakisan pada laut dalam sekitar Pliosen yang
membawa kepada proagredan pada pelantar klinoform dalam Formasi Giant Foresets. Pada
usia ini juga berlaku pemuaian pada Graben Utara Taranaki yang membentuk subduksi
kompleks di usia Neogen.
Graben Utara yang terbentuk hasil daripada sesar di kedua-dua hujung margin dan
mempunyai lebar sepanjang 50km merupakan pusat pemendapan (usia Neogen), di mana
ia disempadani oleh Cape Egmont dan juga zon sesar Turi (Rajah 2.1). Batuan punca yang
terdapat pada graben ini terdiri daripada campuran minyak yang rata-ratanya telah matang.
Penemuan minyak oleh Kora menunjukkan adanya bukti-bukti penimbusan gunung berapi
dan juga pemendapan batuan volkaniklas dalam graben ini. Sistem aliran batu pasir
submarin yang terdapat dalam graben ini tersusun dan prospektif. Graben Tengah pula
terletak di bahagian selatan Semenanjung Taranaki, di mana ia berada di antara sesar di
bahagian barat Cape Egmont dan antiklin Manaia di bahagian timur. Graben ini diisi
dengan batuan punca yang terdiri daripada batuan marin yang matang dan tebal. Pada usia
Kapur hingga Paleogen, berlaku penutupan struktur graben ini dan membentuk perangkap
stratigrafi pada usia Neogen.
Di bahagian timur lembangan ini pula terdapat sesar songsang utama, iaitu Sesar
Taranaki di mana pergerakan yang terjadi ketika Neogen telah menyebabkan berlakunya
canggaan batuan sedimen membentuk dinding tergantung di Zon Sungkupan kompleks
Tarata. Canggaan yang berlaku telah membentuk satu perangkap yang luas. Di bahagian
selatan lembangan ini, canggaan yang berlaku telah membentuk satu perangkap yang luas.
Di bahagian selatan lembangan ini, canggaan yang berlaku berlanjutan sehingga
membentuk sesar Waimea dan sesar Flaxmore. Delta Taranaki berusia Kapur pula terdiri
daripada unit margin tebal hingga fasies marin, di mana ia mempunyai fasies batuan punca
dan reservoir. Di bahagian barat daya delta ini, ia dikatakan mempunyai usia yang sama
iaitu Kapur Tengah, iaitu terdiri daripada batuan marin syal sebagai batuan punca dan
turbidit berusia Kapur.
Rajah 2.1 Peta menunjukkan kedudukan Graben Utara, Graben Selatan, dan sesar-sesar
yang terdapat di dalam kawasan Lembangan Taranaki.
Sumber: Thrasher 1992.
1.1.2 Lapangan Kupe
Lapangan Kupe terletak pada Jalur Eastern Mobile di dalam kawasan Lembangan
Taranaki di bahagian selatan (King & Trasher, 1996) dan merangkumi sebahagian
daripada kawasan Antiklin Manaia. Di bahagian timur lapangan ini terdapat Sesar
Taranaki yang merupakan antara sesar major berorientasikan utara-selatan yang aktif
semenjak pertengahan Oligosen di mana sesar ini ditafsirkan sebagai mewakili sempadan
terrane batuan dasar (Rajah 3 & Rajah 4). Namun sesar yang paling utama di kawasan
lapangan ini ialah Sesar Manaia yang terbentuk di bahagian tengah Lapangan Kupe
dengan orientasi utara-selatan di mana sesar ini menunjukkan satu ciri khas
penyongsangan yang ketara (Fohrman et. al. 2012). Pada usia Kapur hingga Akhir
Paleosen, berlaku pergerakan normal pada Sesar Manaia yang menyebabkan berlakunya
pemendapan sedimen tebal pada bahagian timur sesar. Menurut King dan Thrasher (1996),
pada bahagian bawah di sebelah barat lapangan, sediment terendap dengan semakin tebal
ke bahagian utara dan menipis di bahagian selatan. Namun sekitar usia Akhir Eosen
hingga Oligosen dan juga pada kemuncak Akhir Miosen, berlaku pergerakan songsang
pada sesar ini (Stagpole dan Nicol, 2008).
Terdapat tiga major turutan ketakselarasan rantau yang berkait rapat dengan
penyusunan semula plat dan perubahan pada lapangan Kupe dalam menentukan sempadan
kumpulan dalam kawasan lapangan ini. Ketakselarasan paling tua berlaku pada usia Akhir
Kapur sehingga Awal Paleosen di bahagian atas Kumpulan Pakawau, manakala
ketakselarasan kedua pula berlaku di bahagian dasar Kumpulan Rotokare sekitar Akhir
Miosen sehingga Pliosen. Dan ketakselarasan yang paling muda ditafsirkan sebagai
orientasi semula rantau dengan berlakunya pengangkatan kawasan lapangan bersebelahan.
Secara umum, hakisan maksimum berlaku di bahagian selatan lapangan pada sekitar
Paleogen dan Neogen. Sedimen paling tebal terendap di bahagian timur laut Lapangan
Kupe, atau selatan Lembangan Taranaki di mana batuan dasarnya ditafsirkan berketebalan
mencapai sehingga 11 km.
1.2 SEJARAH PENEROKAAN
Penerokaan dan pengeluaran minyak di Lembangan Taranaki bermula pada penghujung
1800-an. Penggerudian perigi yang pertama, Alpha-1 dengan kedalaman 55 meter telah
mengeluarkan dua tong minyak per hari (Barrel of oil per day, BOPD). Pada pertengahan
pertama kurun ke-20, proses penggerudian difokuskan di lapangan Moturoa kerana hasil
daripada penggerudian ini ialah pada kadar enam hingga ke 24 BOPD, di mana minyak
dan gas ini berusia Miosen Akhir hingga Awal Pliosen dalam Formasi Matemateonga.
Penemuan lapangan Kapuni di bahagian daratan pada tahun 1959 oleh Shell, BP dan Todd
(SBPT) merupakan permulaan dalam industri minyak dan gas di New Zealand. Kapuni-1
ialah perigi pertama yang dimasukkan dalam kajian keratan seismos. Kapuni terletak
berhampiran dengan antiklin Manaia. Pada tahun 1960-an, kempen untuk melakukan
penjelajahan minyak dan gas di luar pesisir dimulakan dan penggerudian di kawasan luar
pesisir dimulakan pada tahun 1968 sehingga tahun 1977. Lapangan Maui ditemui pada
1969 dan merupakan lapangan pertama semenjak penerokaan luar pesisir dimulakan.
Pengeluaran hasil hidrokarbon di lapangan Kapuni bermula pada tahun 1970 manakala
lapangan Maui pula mula mengeluarkan hasil gas kondensat pada tahun 1979.
Syarikat Petroleum Corporation of New Zealand (Exploration) Limited (Petrocorp)
memulakan eskplorasi penjelajahan minyak dan gas di Zon Sungkupan Tarata. Pada tahun
1980, perigi McKee-2 digali dan merupakan penemuan besar dalam siri penjelajahan
minyak di New Zealand di mana minyak yang terhasil kira-kira 1000 BOPD. Selain itu,
Petrocorp turut menemui lapangan Tariki dan Ahuroa yang mengeluarkan gas-kondensat,
juga penemuan minyak di lapangan Waihapa dan lapangan Ngaere. Dan pada tahun 1982,
sekali lagi Petrocorp menemui lapangan yang mengeluarkan gas-kondensat iaitu lapangan
Kaimiro. Kesemua lapangan yang ditemui adalah di kawasan daratan.
Sekitar tahun 1961, struktur daratan Mangahewa pada awalnya dijadikan sasaran
dalam penjelajahan minyak dan gas melalui Mangahewa-1, namun berikutan kegawatan
ekonomi ketika itu, tiada penemuan ditemui. Namun penggerudian perigi Mangahewa-2
oleh Fletcher Challenge Energy pada 1996 sedalam 20 meter telah menemui kewujudan
hidrokarbon pada sungkupan di kawasan McKee. Pada tahun 1983, lapangan Maari-
Manaia menjadi pengeluar terbesar minyak di New Zealand melalui perigi Moki-1 yang
terletak 80 km daripada pesisir Zon Songsangan Selatan. Kemudian pada tahun 2003,
lapangan Tui pula ditemui sebagai lapangan minyak.
Kupe, iaitu lapangan yang menjadi fokus dalam kajian kali ini merupakan antara
pengeluar gas-kondensat terbesar di New Zealand. Ia terletak kira-kira 30 kilometer di luar
pesisir bahagian utara Taranaki pada kedalaman kira-kira 35 meter. Lapangan ini mula
mengeluarkan hasil pada Disember 2009 dengan usaha sama beberapa syarikat besar
seperti New Zealand Oil & Gas Limited (15%), Origin Energy sebagai operator (50%),
Genesis Energy (31%) dan juga Mitsui E&P Australia Pty Limited (4%).
Eksplorasi menggerudi minyak di lapangan ini bermula dengan tiga kepala telaga
(wellheads), platform luar pesisir, saluran paip sepanjang 30 kilometer menuju ke pantai,
stesen pengeluaran di bahagian darat berhampiran kawasan Hawera dan juga kemudahan
penyimpanan minyak di New Plymouth. Stesen pengeluaran di kawasan daratan yang
terletak kira-kira 12 kilometer barat Hawera memproses gas mentah sehingga mencapai
tahap spesifikasi yang diperlukan untuk sistem penghantaran utama di Pulau Utara (North
Island) dan mengasingkan minyak/kondenset dan gas petroleum cecair. Kondenset ini
akan diangkut ke Pelabuhan Taranaki di New Plymouth untuk dieskport manakala gas
petroleum cecair akan dijual ke pasaran domestik di New Zealand. Telaga Kupe South-1
digerudi pada tahun 1986 dan mengeluarkan sebanyak 2000 bopd dan 5.4 mmscfgd.
Penemuan telaga kedua, Kupe South-2 pada 1987 dan telaga ketiga iaitu Kupe South-3
pada 1988 terhasil daripada reservoir hidrokarbon berstrata dengan lajur minyak yang
mendasari lajur gas asli tebal.
Penjelajahan mencari hidrokarbon masih lagi bergiat aktif sehingga sekarang
termasuk lapangan Karewa (gas, 2003), lapangan Turangi (gas dan gas-kondensat, 2005),
lapangan Cheal (minyak dan gas, 2007), lapangan Awakino South (gas dan gas kondensat,
2008), lapangan Kowhai (gas dan gas kondensat, 2008), lapangan Beluga (gas, 2010),
lapangan Copper Moki (minyak dan gas, 2011), lapangan Sidewinder (minyak dan gas,
2011), lapangan Onaero (gas dan gas kondensat, 2011) dan yang terbaru, lapangan
Waitapu (minyak, 2013).
1.3 STRATIGRAFI
Dewasa ini, semakin ramai para pengkaji yang berminat untuk melakukan survei di
Lembangan Taranaki, antaranya ialah Pilar dan Wakefield (1978), Knox ( 1982), Palmer
( 1985), King dan Robinson (1988), King dan Trasher (media) dan King (1988).
Lembangan ini yang berkeluasan kira-kira 100, 00 km2 mempunyai sejarah struktur dan
sistem pemendapan sedimen yang kompleks. Zon sesar Taranaki wujud di bahagian kerak
batuan dasar yang bersentuhan dengan kerak atas pada usia Paleozoik hingga Jura di mana
asalan metasedimen di bahagian timur dan bawah kerak berusia Paleozoik (Mills, 1991).
Tiada informasi yang benar-benar tepat mengenai dasar enapan sedimen kerana ketebalan
di bahagian ini ialah kira-kira 9 km. Namun setelah penggerudian lubang gerudi dijalankan
serta disokong dengan data daripada seismos pantulan, magnetik dan graviti, maklumat
tentang dasar lembangan dapat diketahui. Dijangka batuan dasar di dalam Lembangan
Taranaki terdiri daripada batuan granit dan batuan metamorfik bergred tinggi.
Pengendapan di dalam Lembangan Taranaki boleh dibahagikan kepada 4 fasa. Fasa
yang pertama ialah pemuaian kepingan yang berlaku pada Akhir Kapur ke Paleosen yang
berasosiasi dengan trangresi Kumpulan Pakawau mewakili Akhir Kapur di mana ia
melibatkan terestial dan trangresif batuan sedimen marin. Fasa kedua pula berlaku apabila
terjadinya urutan transgresif pada enapan sedimen di Lembangan Taranaki pada usia
Paleosen hingga Eosen kesan daripada pos-hanyutan subduksi. Fasa ini diwakili oleh
Kumpulan Kapuni dan juga enapan marin daripada Kumpulan Moa. Kemudian pada akhir
Eosen, sedimen berbutir halus telah menutupi hampir keseluruhan dasar lembangan dan
pemuaian tidak lagi dikawal oleh enapan sedimen yang terenap secara bersudut. Pada usia
Oligosen, kemuncak limpahan enapan sedimen yang berlaku disebabkan proses subduksi
yang baru menunjukkan lembangan ini sudah memasuki fasa ketiga di mana sedimen yang
terenap mewakili endapan karbonat Kumpulan Ngatoro menyebabkan pertambahan
ketebalan di bahagian timur lembangan. Fasa keempat berlaku pada usia Neogen di mana
proses proagredan regresif melepasi lembangan. Fasa ini diwakili oleh enapan marin,
enapan terigen oleh Kumpulan Wai-ti yang menindih Kumpulan Rotokare. Kesan daripada
penindihan ini telah membentuk turutan strata yang tebal terdiri daripada butir pasir batu
yang halus dan menutupi hampir keseluruhan kawasan Lembangan. Perubahan pada
kitaran tektonik yang mewujudkan ketakselarasan menjadi sempadan antara Kumpulan
Wai-ti dan Kumpulan Rotokare. Kadar enapan sedimen di dalam Kumpulan Rotokare
adalah tinggi iaitu mencecah ketebalan kira-kira dua kilometer.
1.4 EPISOD TEKTONIK
Lembangan Taraanki mempunyai proses enapan sedimen dan sejarah tektonik yang
kompleks, namun ia boleh dibahagikan kepada tiga fasa pembentukan. Setiap fasa dikawal
oleh garisan sempadan plat kinematik yang berbeza, berasosiasi dengan perubahan relatif
di antara Plat Pacifik dan Plat Australia. Berikut ialah tiga fasa pembentukan Lembangan
Taranaki :
1.4.1 Fasa Pra-Hanyutan / Fasa Pemisahan (Usia Kapur Tengah)
Perubahan pemuaian antara kepingan berasosiasi dengan pembukaan Laut Tasman dan
pemecahan Gondwana. Formasi Tanihwa yang berusia Akhir Kapur merupakan lapisan
tertua di dalam lembangan Taranaki. Di bahagian barat lembangan ini terdapat sesar
Taranaki yang bersempadan dengan Supergroup Murihuku di bahagian dasar teren.
Manakala di bahagian timur pula, Formasi Tanihawa semakin menebal kesan daripada
sesar Taranaki yang aktif yang bertindak sebagai sempadan pada Akhir Kapur. Di dalam
lipatan sinklin Kawhia, Murihuku Supergroup telah mngalami pengangkatan dan hakisan
pada skala 100-100 Ma. Ia merupakan satu kemungkinan bahawa ia merupakan punca
kepada terbentuknya Formasi Taniwha.
Batuan sedimen daripada Formasi Rakopi dan Formasi North Cape telah terenap di
dalam siri sub-lembangan dan graben yag dikawal oleh sesar normal. Di bahagian selatan
sedimen, sesar normal masih aktif berlaku dan proses subduksi berterusan pada usia
Paleosen di dalam sub-lembangan Manaia dan Pakawau. Setiap sub-lembangan berukuran
kecil dan memanjang bersama membentuk lineamen selebar 150 km dan panjang melebihi
daripada 400 km kesan daripada pemuaian Taranaki, subduksi sub-lembangan, dan
enapan sedimen ke dalam lembangan. Pembentukkan pemuaian sub-lembangan telah
dihuraikan sebagai sistem perubahan pemuaian berhubungkait dengan pembukaan Laut
Tasman dan pemuaian lembangan New Caledonia.
1.4.2 Fasa Pos-Hanyutan (Usia Paleosen hingga Akhir Oligosen)
Lembangan Taranaki telah berkembang sebagai margin pasif sepanjang usia Paleogen.
Berikutan daripada subduksi dan limpahan enapan marin kesan daripada proses pemuaian,
kawasan tersebut telah menjadi kawasan yang luas daripada pinggir pantai sehingga ke
bahagian utara. Formasi Farewell, Kaimiro dan Mangahewa telah terenap di atas dataran
pantai yang sempit. Enapan Eosen telah dicirikan berdasarkan lapik mara atas dan
transgresi secara bersela di bahagian Selatan dan membentuk Formasi Turi.
Pembentukan margin pasif pada usia Paleogen di dalam Lembangan Taranaki
berakhir pada Akhie Eosen sehingga awal Oligosen. Sehingga kini, secara amnya, laut
berubah secara transgresi kearah selatan. Pada akhir Eosen, pergerakkan tektonik
mengalami peningkatan pengembangan secara beransur-ansur pada sempadan plat
Australia-Pasifik. Perubahan di bahagian selatan dan Tenggara ditandakan sebagai
pengumpulan sedimen di dalam sub-lembangan yang tersesar dan terpencil. Pembentukkan
margin pasif berterusan di dalam lembangan dan akhirnya berhenti pada usia Awal
Oligosen.
Di laut dalam, secara amnya, pada usia Paleogen, enapan sedimen berbutir halus
didominasi oleh Kumpulan Moa. Walau bagaimnapun, pada usia Paleosen telah
melibatkan beberapa arus di sisi pelantar dan ada kemungkinan arus-arus tersebut
mengandungi batu pasir dan mempengaruhi turbidit laut dalam.
1.4.3 Fasa Penumpuan (Usia Miosen)
Aktiviti tektonik moden yang berlaku di Lembangan Taranaki di bahagian Timur margin
bermula pada awal Meosen (21-22 Ma) apabila bahagian dasar lembangan menyungkup ke
bahagian barat sepanjang Sesar Taranaki. Ini saling berhubungkait dengan penambahan
dasar laut New Zealand di sepanjang pelanggaran margin di antara plat Pacifik dan plat
Australia, sekali gus telah memulakan kitaran-mega regresif sedimen yang masih
berterusan hingga kini. Penyumbangan kepada jumlah sedimen klastik yang besar dan
semakin meningkat memberi kesan kepada penenggalaman yang melampau pada pusat
pemendapan. Pasir lumpur turbidit terenap di atas pelantar di bahagian selatan lembangan,
dan ditandakan sebagai permulaan proagredan pelantar baji sedimen di bahagian barat laut
lembangan. Fokus migrasi enapan adalah bukti kepada data seismos pantulan dan keratan
rentas struktur.
Anjakan sesar Taranaki telah bergerak sejauh 6 km secara melintang di bahagian
dasar. Salah satu punca-punca utama bahagian dasar mengalami lampau tujahan pada usia
Awal Miosen adalah untuk mengisi litosfera yang terdekat dan meningkatkan daratan
subduksi di barat sesar Taranaki. Ini membantu untuk menghasilkan satu profil lembangan
daratan asimetri yang mana baji klastik semakin menipis menuju ke arah barat. Pusat
penumpuan telah menghasilkan Zon Sungkup Tarata di bahagian barat Sesar Taranaki
sebagai siri Forethrusts menerusi urutan enapan sedimen.
Pada keseluruhan usia Miosen, fokus pemendekkan telah bergerak ke arah selatan
merentasi lembangan secara meluas menerusi penyongsangan struktur graben separa yang
telah terbentuk pada Akhir Kapur dan Paleogen. Tempoh utama penyongsangan adalah
pada Pertengahan Miosin hingga Pliosen. Di dalam Lapangan Kapuni, sebagai contohnya,
dasar laut telah dinaikkan daripada cerun ke kedalaman pelantar pada usia Pertengahan ke
Akhir Miosen. Semasa antiklin Manaian yang sedang terangkat secara progresif, jalur
lipatan sungkup juga merambat ke arah barat dengan penyongsangan di Sesar Cape
Egmont dan Sesar Whitiki di bahagian barat dari Lapangan Maui.
Ketika Pertengahan Miosen hingga ke Akhir Miosen, submarin stratovolkano Pusat
Gunung Berapi Mahokatino meletus di kawasan luar pesisir. Ini merupakan untuk pertama
kalinya letusan pada usia Neogen lalu membentuk lembangan di bahagian timur dan timur
laut. Usia, litologi, dan ruang penyebaran aktiviti volkano di usia Neogen di bahagian utara
adalah kompleks. Secara amnya, gunung berapi Mohakatino berhubungkait dengan
Gunung berapi Northland sebagai sebahagian daripada sistem arka gunung berapi.
Sempadan antara rantau bahagian selatan yang mengalami mampatan dan rantau
bahagian utara yang mengalami pemanjangan jelas kelihatan pada usia Plio-Pleistosen.
Pada usia Plio-Pleistosen, juga dicirikan dengan pengendapan sedimen yang tinggi ke
dalam lembangan terutamanya hakisan daripada Southern Alps. Secara tektoniknya,
pengisian sedimen ke dalam lembangan telah mengawal pembentukan pusat pemendapan
di bahagian timur dan proagredan pelantar baji sedimen yang pantas di bahagian barat laut
merentasi Platform Western Stable tercetus. Proses enapan sedimen di rantau berlaku
berulang-ulang di bahagian timur pusat pemendapan disebabkan oleh amblesan. Pelantar
yang luas telah terbentuk sebagai baji sedimen yang bergerak kea rah barat laut dengan
cepat. Dengan itu, enapan sedimen telah menyebabkan regresi yang bermula pada usia
Miosen.
Pada Akhir Miosen, pembentukan Graben Utara mula terbentuk apabila Zon Sesar
Cape Egmont menjadi aktif. Pada usia Plio-Plistosen, hanya graben ini yang terbentuk
kesan dari zon subduksi yang dikawal oleh zon sesar Cape Egmont dan zon sesar Turi.
Graben Tengah terbentuk pada usia Pliosen kesan daripada pengaktifan semula Sesar Cape
Egmont.
1.5 BATUAN PUNCA
Berdasarkan daripada kandungan organik, kekayaan hidrogen dan juga kematangan, arang
batu Kumpulan Pakawau yang berusia Akhir Kapur dan juga arang batu Kumpulan Kapuni
berusia Paleogen secara amnya merupakan batuan punca petroleum yang paling baik.
Litologi berkarbon di dalam Kumpulan Pakawau dan Kapuni turut ditemui di dalam
Formasi Rakopi, Formasi Farewell, Formasi Kaimiro dan Formasi Mangahewa. Analisa
yang dijalankan pada 90 peratus sampel Formasi Rakopi, Kaimiro dan Mangahewa, dan
juga 70 peratus sampel daripada Formasi Farewell menunjukkan jumlah keseluruhan
karbon organik (Total Organic Carbon, TOC) yang terkandung di dalam sampel ini
melebihi satu peratus. Arang batu dan juga batu lumpur berkarbonat lembangan Taranaki
mempunyai purata jumlah keseluruhan karbon organik (TOC) kira-kira 10 peratus.
Kematangan dan keupayaan penjanaan arang batu berdasarkan Rock-Eval dan
analisis elemen arang batu menunjukkan permulaan pembentukan minyak oleh arang batu
Taranaki ditentukan dengan peningkatan indeks hidrogen (Hidrogen Index, HI) dalam
kedudukan 9.5 – 10 di mana pengusiran minyak tidak akan berlaku sehinggalah arang batu
berada dalam kedudukan 12.5, yang mana ia menandakan berlaku pengurangan pada
indeks hidrogen.
Formasi Rakopi yang berusia Akhir Kapur memenuhi lembangan dengan limpahan
arang batu. Untuk Formasi Farewell yang berusia Paleosen, ia mempunyai kandungan
arang batu yang sedikit, memperlihatkan pengaruh daripada marin yang pelbagai. Di
kawasan perigi Maui-4, ia didominasi endapan sedimen dan kaya arang batu selain
daripada mempunyai keupayaan penjanaan hidrokarbon yang sangat baik, di mana di
lapangan Kupe South, hanya sedikit kawasan yang mempunyai bahan berkarbonat yang
berkualiti. Formasi Mangahewa yang berusia Eosen mengandungi endapan yang kaya
arang batu dan tebal di bahagian timur rantau Taranaki. Formasi Kaimiro juga turut
mempunyai kandungan arang batu yang banyak di bahagian timur rantau Taranaki dan di
lapangan Kapuni, namun di bahagian tengah dan barat daya Taranaki terdapat beberapa
penampakan yang terhasil daripada pengaruh marin dengan sedikit kehadiran arang batu
dan penjanaan arang batu yang tidak banyak.
Arang batu di lembangan Taranaki yang masih belum matang (kedudukan kurang
daripada 9.5) yang terbentuk daripada pelbagai formasi selalunya mempunyai indeks
hidrogen antara 50 sehingga 150 mg HC/g TOC dan dikelaskan sebagai gas-terdedah (gas-
prone). Nilai indeks hidrogen untuk Formasi Rakopi, Farewell, Kaimiro dan juga
Mangahewa adalah berdasarkan lapisan arang batu yang menghampiri kawasan minyak.
1.6 BATUAN PENAKUNG DAN PERANGKAP
Penghasilan hidrokarbon ditemui di setiap tahap kronostratigrafi di dalam lembangan
Taranaki kecuali ketika di usia Kapur. Batuan penakung yang berusia Paleogen
mengandungi gas-kondensat dan minyak, manakala batuan penakung yang masih muda,
yang berusia Neogen lazimnya mengandungi akumulasi minyak. Terdapat banyak
litofasies yang wujud dalam batuan penakung di lembangan ini, antaranya batu pasir
dataran fluvius bersirat dan dataran pantai (Formasi Farewell), batu pasir garis pesisir dan
dataran pantai berpasir yang rendah (Formasi Kaimiro, Mangahewa dan McKee), batu
pasir turbidit laut dalam (Formasi Mount Messenger dan Moki), batu pasir pelantar
(Formasi Matemateaonga) dan juga batu kapur bercerun (Formasi Tikorangi).
Sebahagian besar daripada petroleum yang ada di dalam lembangan Taranaki ini
tersimpan pada satu atau susunan-susunan batu pasir berusia Eosen (Formasi McKee,
Mangahewa, dan Kaimiro). Batu pasir ini terendap pada pinggir benua yang matang dan
kemudian diperangkap oleh transgresif batu lumpur marin. Batu pasir berusia Eosen ini
terendap di pusat endapan dan kemudian memanjang ke kawasan timur laut – barat daya
merentasi bahagian tengah lembangan, dan selari dengan garis pesisir-paleo. Batu pasir
turbidit berusia Miosen yang terenap di hujung cerun benua turut mempunyai cara
pengenapan yang sama seperti batu pasir berusia Eosen.
Batuan penakung tertua yang terdapat di lembangan Taranaki ialah yang berada
dalam Formasi Farewell yang berusia Paleosen. Di lapangan Kupe South, batu pasir
fluvius ini mempunyai keporosan melebihi 20 peratus (Schmidt dan Robinson, 1990),
manakala lapangan Maui pula batu pasirnya mempunyai keporosan dalam 20 peratus.
Formasi Mangahewa yang mempunyai dataran pantai yang mencapah, muara dan juga
endapan garis pesisir merupakan unit batuan penakung yang penting. Hidrokarbon yang
terdapat dalam Formasi Mangahewa ini boleh didapati di lapangan Maui, Kapuni dan juga
Stratford. Keporosan yang ada di dalam batu pasir Mangahewa di lapangan Kapuni
berjulat 12 peratus hingga 17 peratus. Lapangan Maui yang merupakan sebahagian
daripada fasies jalur pantai Mangahewa mempunyai keporosan sekitar 19 peratus.
Batuan penakung yang paling muda pula berusia Eosen yang terdapat dalam
Formasi McKee yang mana batuan dalam formasi ini terdiri daripada batu pasir laut cetek
dan batu pasir laut dalam. Lapangan McKee dan lapangan Kaimiro yang berada di
bahagian utara Taranaki merupakan lapangan yang mengeluarkan minyak dalam formasi
ini. Ketebalannya di dalam lapangan McKee mencapai sehingga 46 m tebal dan
mempunyai keporosan kurang daripada 15 peratus.
Batuan penakung yang berusia Neogen Tengah hingga Akhir Neogen terhasil
daripada sistem regresif batuan sedimen dan batu pasir turbidit laut dalam yang termendap
di lantai lembangan. Pada akhir Miosen hingga awal Pliosen, batu pasir dari Formasi
Matemateaonga merupakan batu penakung termuda yang menghasilkan hidrokarbon di
lembangan Taranaki. Kebolehtelapan batuan ini berjulat 1500 – 2000 mD yang mana
bacaan ini diperoleh daripada perigi Manutahi-1, manakala perigi Burgess-1 pula
menunjukkan bacaan kebolehtelapan berjulat 700 – 1000 mD dengan keporosan mencapai
dari 22 peratus sehingga 28 peratus.
Batu lumpur yang terendap secara meluas di lembangan Taranaki membentuk
batuan penudung atau pun perangkap pada semua hidrokarbon yang terdapat pada batuan
penakung klastik. Batuan karbonat Formasi Tikorangi mempunyai keporosan dan
kebolehtelapan yang rendah dan secara amnya, ia membentuk batuan penakung yang retak
di kawasan yang canggaan yang pesat, namun di kawasan lain, ia menjadi batuan
perangkap. Batuan penakung yang mengandungi hidrokarbon di bawah batuan penudung
secara amnya tidak akan melimpah ke kawasan lain selain daripada mampu menghasilkan
hidrokarbon yang bertekanan tinggi.