Upload
murshid
View
269
Download
0
Embed Size (px)
DESCRIPTION
free
Citation preview
PENDAHULUAN
“Benih yang baik dicampak kelaut menjadi pulau” itulah peribahasa yang tepat untuk
menggambarkan betapa mulianya seseorang itu dek kerana ilmu dan akhlaknya. Hidupnya
mulia didunia dan berbahagia diakhirat. Di dunia dia menjadi tempat rujukan dan di akhirat
tempat menerima habuan. Ketinggian ilmu dan keluhuran akhlak membolehkan beliau
menerobos ke serata tempat tanpa sempadan.
Begitulah ungkapan yang dirasakan sesuai dan tepat untuk memulakan penceritaan tokoh
pilihan yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan agama. Biarpun tanah asal
kelahirannya adalah di negara jiran, Indonesia. Ilmu dan hikmah telah menghantarnya ke
negeri Kedah Darulaman untuk menabur jasa, menyemai bakti demi menegakkan agama
tercinta.
SEJARAH HIDUP
Nama sebenar beliau adalah Amanah Bin Abdul
Hannan, dilahirkan pada tahun 1953 di
Sukarteja,Slong Nusa Tenggara Barat Indonesia.
Sejarah kehidupan yang getir telah dilalui oleh sang
murabbi ini menjadikan susuk tubuh yang agak kurus
ini memiliki segunung pengalaman yang bercampur
baur antara masam-manis kehidupan. Berlatar
belakangkan kehidupan yang miskin didesa tumpah
darahnya, dibawah asuhan ibu dan ayahnya yang
merupakan petani sara diri memberi erti kehidupan
sebenar terhadap beliau. Segala jerih kehidupan yang
dilaluinya membuatkan beliau sedar sejak zaman
kanak-kanak hingga melangkaui usia remaja tentang
kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan seharian dan untuk hari-hari mendatang.
1
Disebalik kepayahan dan kesusahan hidup, Ustaz Ahmad Abdullah nama yang digunakan
sejak menjejak kaki ke tanah bertuah ini sangat beruntung kerana memiliki ibu dan ayah yang
begitu perihatin tentang pendidikan ilmu agama terhadap anak-anak mereka. Apatah lagi
bapanya juga adalah salah seorang ustaz yang giat menyebarkan ilmu dan dakwah dikampung
halamannya. Hidup dalam suasana beragama dalam keluarganya, memiliki sahabat yang
juga mempunyai minat dan kecenderungan yang sama iaitu meminati ilmu agama, disamping
sikap masyarakat di tanah tumpah darahnya itu yang gemar berlumba-lumba untuk
mendapatkan ilmu menjadi faktor terpenting dalam menyemai semangat juang yang tinggi
dalam dirinya selain membantu membentuk persekitaran kampung halamannya yang
berbukit bukau itu hidup subur dengan roh agama islam serta menambah terangnya nur Ilahi
dibumi bertuah itu.
PENDIDIKAN
Mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar ketika berusia enam tahun hingga 11
tahun, selepas itu beliau meneruskan pengajian di Madrasah Al-Muallimin pada tahun 1966
hingga tahun 1972. Kurikulum sekolah pondok yang berteraskan kitab Thurath atau kitab
kuning memberi peluang yang luas kepada beliau yang sedang dahagakan ilmu pengetahuan
ketika itu menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Jadual pengajian kitab yang padat
di Madrasah tersebut menenggelamkan beliau dalam lautan ilmu yang tak bertepi sehingga
melupakan minat bermain ketika kanak-kanak sebaya dengannya leka bermain. Menuntut
ilmu kerana Allah untuk menghilangkan kejahilan dalam diri menjadi azimat berkesan bagi
dirinya untuk menghirup sebanyak mungkin ilmu pengetahuan apatah lagi suasana
masyarakat di daerahnya yang sering berlumba dan bersaing untuk mendapatakan ilmu
pengetahuan.
Ketika tiba musim cuti, peluang yang ada tidak disia-siakan, kesempatan ini digunakan beliau
untuk mencedok ilmu pengetahuan dari guru-guru terpilih yang menjalankan pengajaran
dimusolla atau dirumah guru itu sendiri meskipun terpaksa berjalan kaki berbelas kilometer
mengharungi denai dan lorong yang tidak menjanjikan kenikmatan untuk mereka yang
melaluinya.
2
Desa Sukarteja yang berdekatan dengan ibu kota Mataram, masih jauh ketinggalan dari aspek
pembangunan materialnnya jika hendak dibandingkan dengan ibu kota besar di Indonesia
ketika itu seperti Kota Jakarta, Jogjakarta dan lain-lain kota besar Indonesia. Namun dalam
aspek pembangunan ilmu dan pembinaan tamadun manusia, Sukarteja antara desa pilihan
pencinta ilmu.Buktinya ramai penuntut dan para muallim yang berhijrah ketempat tersebut
dengan tujuan yang sama,iaitu pencinta ilmu akan mendapatkan ilmu disana,manakala
golongan muallimin akan berlumba mencurahkan segala ilmu pengetahuan demi mengaharap
redho Ilahi.
Ibarat kata pepatah melayu “tak kenal,maka tak cinta” begitulah gelora dijiwa sang Murobbi
ini, lantunan jiwa remajanya yang sudah hanyut dialam cinta ilmu dan hikmah telah
menghantar seluruh jiwa raganya ke Madrasah Al-Muallimun Darul Quran Wal-Hadist pada
tahun 1973 hingga 1976. Dalam tempoh tersebut beliau telah berjaya mendapat syahadah
Thanawiyyah dan syahadah A’liyah dengan keputusan yang cemerlang. Selepas tamat
belajar di Madrasah Al-Muallimun, Darul Quran Walhadist beliau diminta mengajar oleh
mudir madrasah Al-Muallimat iaitu pusat pengajian yang dikhaskan untuk pelajar wanita
sahaja,antara tahun 1976 hingga 1979. Selain itu ilmunya juga turut ditagih oleh masyarakat
setempat yang memintanya mengajar di beberapa buah masjid disekitar kampungnya khasnya
pada waktu malam.
Pada suatu ketika sekitar tahun 1979, bermula lebaran baru dalam kehidupan sang daei ini
apabila beliau disuruh oleh gurunya agar berhijrah ke Kota suci Mekah Al-Mukarramah bagi
mendalami ilmu-ilmu islam. Suruhan gurunya begitu meruntun nuraninya yang masih belum
puas mengecap manisnya ilmu pengetahuan. Beliau sendiri merasakan permintaan gurunya
itu bukanlah sesuatu yang boleh dibiarkan diangin lalu, kerana boleh dikatakan setiap kali
berjumpa dengan beliau itulah kalimah yang terpacul keluar dari mulut gurunya lalu menerpa
dikalbunya. Ibarat “ingin memeluk gunung,tapi apakan daya tangan tak sampai”. Begitulah
kiasannya bagi sang daei ini, kerana beliau sedar sejauh mana kemampuan keluarganya yang
hanya bertani untuk mendapatkan sesuap nasi.
3
Kesungguhan guru meminta beliau agar berhijrah ke Kota Mekah mungkin disebabkan pada
firasat gurunya sendiri yang mendapati beliau mempunyai potensi yang besar untuk bergelar
ulama dan daei ummah suatu ketika nanti. Berkat doa dan harapan disamping munajat pada
yang Maha Esa yang tidak kenal erti putus asa, akhirnya takdir yang Maha Esa telah
menemukannya dengan suatu rombongan yang akan mengerjakan umrah pada tahun itu telah
singgah dirumah gurunya. Peluang keemasan itu segera diambil oleh gurunya dengan
meminta beliau segera bersiap untuk berangkat ke kota suci itu.
Tawaran dan peluang yang diperolehinya ketika itu bagaikan “mengintai pelangi dilangit
biru”. Besarnya peluang, indahnya cita-cita tetapi seakan terhalang oleh keadaan. Faktor
kewangan yang menjadi batu penghalang ketika itu hampir sahaja memusnahkan impian
beliau. Ilmu dan takwa menjadi yang menyimpul kemas dilubuk hatinya mula
menumbuhkan konsep tawakkal pada yang Esa. Setelah meluahkan hasrat kepada kedua
orang tuanya, akhirnya jalan keluar muncul jua. Perjuangan memerlukan pengorbanan, kata
sepakat telah dibuat antara ahli keluarganya, sebahagian tanah milik bapanya telah dijual
kepada seseorang demi untuk mendapatkan wang belanja. Walau berat hati ibu bapanya
kerana pada sebahagian tanah itulah tempat mereka memerah keringat menyara keluarga,
tetapi demi putera tercinta yang dilihat semakin membara semangat didada mereka terpaksa
berkorban.
Keputusan yang dibuat hasil musyawarah antara ahli keluarganya itu disambut oleh beliau
dengan perasaan yang bercampur-baur antara suka dan hiba. Masakan tidak, sebagai seorang
remaja yang memiliki semangat juang yang sentiasa membara, bersulam dengan emosi hiba
dan sayu apabila semua ahli keluarganya menyatakan sanggup berkorban demi dirinya
semata-mata mengharap keredhaan Yang Maha Pencipta, beliau begitu teruja dan terusik
emosinya dengan keputusan tersebut.
Setelah menjejak kaki di Kota suci Mekah dengan visa umrah, disana beliau sempat berguru
dengan Syeikh Abdul Fattah Rawa. Selama 8 bulan sahaja beliau berkesempatan tinggal
disana. sang murabbi ini terus diuji, pihak berkuasa Tanah Suci Mekah yang menjalankan
tugas dengan amanah tidak membenarkan mana pemukim untuk terus tinggal lebih dari
tempoh yang dibenarkan oleh kerajaan. Akibat tekanan undang-undang yang memburu
kelibat dirinya, maka sekali lagi ustaz Ahmad membuat keputusan untuk berhijrah ke negara
Mesir pada tahun 1979. Ketika itu usianya sudah mencapai 30 tahun. Walaupun demikian,
4
faktor umur bukanlah sesuatu yang boleh melemahkan semangat beliau dalam mencari dan
mendalami ilmu pengetahuan.
Cabaran dan rintangan berterusan merentangi perjalanan hidup beliau, oleh kerana umurnya
yang dianggap sudah lanjut oleh sesetengah pihak hasrat beliau untuk memasuki Maahad Al-
Ta’limiah disana tidak tercapai. Kobaran semangat juang yang terus membara dijiwa
membuatkan sang murabbi ini panjang akal, beliau terus berusaha mencari alternatif lain
agar masa tidak terbuang begitu sahaja. Akhirnya takdir Maha Kuasa menyebelahinya,
beliau diterima masuk ke Maahad Lil Bu’uths sebagai pelajar.
Maahad Lil Bu’uths mempunyai sistem pengajian yang unik dimana pihak pengurusan
institusi terbabit menerima dan mengiktiraf sijil Thanawi yang dimiliki oleh beliau semasa
menuntut di Madrasah Al-Mualimin Indonesia dahulu. Apa yang lebih menguntungkan
beliau ialah sijil Thanawinya telah melayakkan beliau memulakan pengajian di tingkatan 2.
Selain itu Maahad tersebut juga mempraktikan peraturan bagi sesiapa berjaya lulus
peperiksaan di tingkatan 2 secara automatik layak terus ke tingkatan 4. Selama dua tahun
beliau menimba ilmu disini, setelah tamat pengajiannya di Maahad ini, beliau melangkah
lebih jauh dengan memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1981 hingga tahun 1986
dalam bidang syariah.
Selama lima tahun beliau menjadi mahasiswa di Universiti Al-Azhar Mesir, sepanjang
tempoh ini peluang yang terhidang didepan mata tidak sesekali disia-siakan. Disiplin ilmu
yang pelajarinya semasa awal pengajiannya di tanah tumpah darah beliau memberi manfaat
yang besar kepadanya. Bagi menambah bekalan ilmu didada, apabila tibanya musim cuti
semester universiti digunakan oleh beliau untuk menuntut ilmu secara talaqqi dengan guru-
guru mursyid dalam pelbagai bidang ilmu agama diluar kampus. Beliau sanggup bersusah
payah menekuni setiap isi pelajaran yang disampaikan oleh gurunya, baginya matlamat
kedatangannya ke negara timur tengah itu adalah semata-mata kerana hendak mendapatkan
ilmu agama,oleh itu segala jerih payah yang dilalui dianggap perkara biasa keran beliau sedar
itulah lumrah dunia, “kalau tak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.
Berdiri diatas prinsip itulah yang membolehkan beliau bukan hanya mampu bertahan atas
segala bentuk cubaan, tetapi secara tidak langsung membantu menyuntik semangat serta
membina keyakinan diri padanya dan apa yang lebih manis baginya adalah gugusan ilmu
5
yang diperolehi dari guru-gurunya seolah-olah mata air jernih yang mengalir terus ke lubuk
sanubarinya. Benarlah kata ulama tasauf “sesiapa yang tidak pernah merasa, nescaya dia
tidak akan tahu”. Kenikmatan ilmu yang diteguk saban waktu dan ketika telah mematangkan
beliau dan membuatkan beliau benar-benar memahami erti kehidupan yang sebenar. Apatah
lagi denai kehidupan beliau yang penuh ranjau yang berselerakkan tentu ianya telah menjadi
guru terbaik buat pedoman diri beliau.
Segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang rentetan kehidupan yang bermula
dengan didikan awal oleh ibu bapanya, belajar mengenal A,B,C dan Alif, Ba,Ta dan
kemudianya disambung didik oleh para muaddib dan mudarrisnya termasuklah gugusan
pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan hidup bukanlah bertujuan untuk
membanggakan diri, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk atau mempamerkan kehebatan diri.
Sebaliknya segala ilmu dan pengalaman yang diperolehinya adalah semata-mata demi
mencapai “mardhotillah” iaitu untuk mencari keredhaan Allah S.A.W sambil bertekad
ingin menjadi penyambung lidah anbiyak dan mursalin sebagaimana yang dituntut oleh
agama.
KERJAYA DAN KELUARGA
Lakaran sejarah hidup yang berliku seawal usia kanak-kanak, disulami pahit getir kehidupan
yang mencengkam jiwa semasa zaman remaja hinggalah menginjak usia dewasa ternyata
mematangkan beliau disamping membawa tuah kepadanya. Kesabarannya menempuh aneka
ragam kehidupan yang bersimpang siur dengan pelbagai dugaan dan cabaran akhirnya
membuahkan hasil yang cukup lumayan buat dirinya. Ilmu yang diburu semakin jenuh
terhimpun didada, akar iman dan takwa subur menunjang dilubuk jiwa sang murabbi ini.
Setelah kejap ilmu didada,biarpun namanya tidak sebaris dengan ulama-ulama muktabar,
rakan rapatnya ustaz Daud dari Malaysia yang lebih mengenali dirinya merasakan beliau
perlu mengambil peluang membawa ustaz Ahmad ke Malaysia agar ilmu agama yang ada
pada beliau boleh dimanfaatkan oleh warga bumi bertuah ini. Maka bermula lah penghijrahan
yang kedua dalam kamus kehidupan sang murabbi kesayangan ummah ini. Setelah tamat
pengajian secara rasmi di Universiti Al-Azhar,Mesir, pada tahun 1986, beliau tidak terus
pulang ke tanahair sebaliknya masa dan kesempatan dibumi anbiyak itu digunakan sebaik-
6
baiknya menimba pelbagai jenis ilmu dari guru-guru muktabar. Antara guru guru beliau yang
terkenal di Mesir ialah Dr Syeikh Abdulfattah, Dr Zaidan, Dr Abd Aziz dan Dr Ibrahim
Sekitar tahun 1987, beliau telah dibawa oleh kenalannya yang juga warga Malaysia ke bumi
bertuah ini. Penghijrahan beliau ke Malaysia telah membuka lebaran baru bagi dirinya
kerana sejak dari tarikh itu sang murabbi ini terus bermukim dan akhirnya bermastautin
secara tetap disini, walaupun sekali sekala beliau balik ke kampung halaman di tanah tumpah
darahnya,desa Sukarteja Indonesia. Destinasi pertama beliau adalah ke Bangi, Selangor Darul
Ehsan. Belum sempat menabur bakti pada penduduk setempat, beliau dijemput oleh pihak
pengurusan Madrasah Nurul Islam,Ayer Hitam, Kedah atas saranan kenalannya sendiri.
Takdir Ilahi penentu segala, beliau hanya sempat berkhidmat sebagai guru di sekolah
berkenaan hanya 3 bulan sahaja atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Beliau
kemudian berhijrah lagi ke Madrasah Al-Hilmiyyah Al-Islamiah atau lebih dikenali dengan
nama Pondok Ya.
Suratan takdir telah diatur oleh Maha Pencipta, perjalanan kehidupannya dilengkapkan oleh
Ilahi di pondok ini. Jodoh pertemuannya dengan isteri tercinta Pn Faridah Binti Yahya
ditetapkan pada tahun 1991. Apa yang membanggakan ialah calon isterinya adalah anak
kepada tuan guru Haji Yahya dimana tuan guru Haji Yahya sendiri yang memilihnya sebagai
menantu. Hasil perkongsian hidup bersama isteri tercinta, mereka dikurniakan 7 orang cahaya
mata, empat lelaki dan tiga perempuan.
Selama 10 tahun beliau mencurahkan bakti pada anak bangsa di pondok tersebut, pada tahun
1997 beliau terpaksa berpindah kerana menemani isterinya yang bertugas sebagai pensyarah
di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu,azam Shah (POLIMAS) jitra kedah. Bagaikan sebutir
mutiara yang berharga, penghijrahannya ke Jitra telah di rebut oleh Kolej Islam Darul
Ulum,Pokok Sena, Kedah yang menagih ilmu dan kepakaran dari beliau khasnya dalam
bidang ilmu Hadis dan Syariah. Sejak tahun 1997 hinggalah sekarang beliau cekal dengan
amanah yang diberi oleh pihak pengurusan kolej menabur mutiara ilmu tanpa jemu. Pernah
juga suatu ketika beliau meluahkan hasrat untuk bersara dari kolej berkenaan,
memandangkan usianya yang semakin lanjut ditambahi lagi dengan aktiviti dakwahnya yang
sangat banyak terhadap masyarakat sekitar, tetapi pihak kolej enggan melepaskannya
sebaliknya beliau diberi kelonggaran dengan hanya datang bertugas hanya tiga hari dalam
seminggu.
7
Kelonggaran yang diperolehinya bukanlah bermaksud beliau menggunakan ruang untuk
berehat atau bersantai dirumah, sebaliknya ruang-ruang kosong tersebut di isi dengan kuliah-
kuliah agama dimasjid dan surau sekitar negeri Kedah yang tidak menang tangan beliau
meyambutnya. Karekternya sebagai mudarris dan muaddib telah menarik ramai hadirin
mengikuti setiap kuliahnya terutama ketika hari-hari cuti umum. Istiqomah dalam amalan
disamping keikhlasan menyampai ilmu
antara daya penarik pada setiap kuliah
yang disampaikan. Sambutan orang
ramai di setiap kuliahnya menambah
semangat kepadanya untuk terus
berdakwah walau ada ketika beliau
terpaksa menangguh kuliahnya akibat
faktor kesihatan atau sibuk dengan
aktiviti-aktiviti dan program keagamaan
yang diadakan.
Selain istiqomah dalam perjuangan, guru berjasa ini juga telah menunjuk contoh teladan yang
baik untuk diikuti oleh murid-muridnya. Bukan sekadar memberitahu atau menggalakkan
pengamalan sesuatu amalan, bahkan beliau sendiri yang ikut serta disamping memandu
hadirin dalam sesetengah acara keagamaan, umpamanya program menghidupkan malam
ramadhan, malam nisfu sya’ban, malam raya dengan solat-solat sunat serta amalan amalan
lain.
Beliau juga terkenal dengan sikap tidak lokek tenaga dan masa apabila diundang ke sesuatu
majlis dalam masyarakat. Sifatnya yang peramah dan mudah tersenyum ketika berinteraksi
dengan segenap lapisan masyarakat menambah kasih serta hormat orang ramai terhadapnya.
Kuliah agama disampaikan dengan pelbagai gaya mengikut kesesuaian topik membuatkan
hadirin tidak jemu dengan kuliahnya. Contohnya ketika beliau menyampaikan ilmu tasauf,
beliau menyampaikannya dengan nada lembut dan tenang, sebaliknya jika beliau mengajar
tafsir Al-Quran yang menerangkan tentang ayat-ayat azab atau tentang neraka, beliau
menaikkan nada suara agar pengajarannya dapat dihayati oleh hadirin.
8
Karekter beliau sebagai Muaddib juga terserlah dengan sifat tawadhuknya ketika bergaul
dengan masyarakat. Beliau dilihat selalu menundukan pandangannya disamping tidak suka
berbual-bual kosong. Selain itu praktikal amalannya juga bertepatan apa yang disarankan
kepada para muridnya,justeru tidak hairanlah jika beliau sangat dihormati dan disayangi oleh
murid-muridnya.
Berpegang pada prinsip “ilmu adalah amanah Allah” sang murabbi ini dilihat sangat
bersemangat ketika menyampaikan kuliahnya biarpun beberapa ketika diraut wajahnya
menampakkan keletihan akibat jadual kualiah yang banyak. Mungkin seperti apa yang
diceritakan sendiri oleh beliau, suri teladan yang ditunjuki oleh gurunya yang menyampaikan
ilmu dengan penuh kesungguhan terutama syeikh
Tengku Muhammad Zainuddin bin Abdul Majid
Al-Wathoni yang banyak mempengaruhi karekter
dirinya sebagai daei ummah. Beliau juga
menjelaskan betapa gurunya itu sangat menitik
beratkan soal keberkatan ilmu yang dimiliki,
konsep “praktikkan dahulu sesuatu amalan baru
ajar orang lain” telah ditunjukan oleh beliau
dengan pelbagai teladan mulia yang dipamerkan
melalui amalan-amalan samaada yang berkait soal
keagamaan mahu pun soal kemasyarakatan.
Sesuatu yang dianggap unik telah ditunjuki oleh sang murabbi ini ialah beliau
mempraktikkan bacaan surah Al-Fatihah sebanyak tiga kali serta ketika selesai
menyampaikan kuliah untuk dihadiahkan kepada arwah ahli keluarga dan roh mukmininin
sekaliannya disamping sebagai doa untuk kesejahteraan diri dan keluarga serta memohon
keberkatan dalam pengajarannya.
Antara kuliah yang disampaikannya ialah bidang fekah, tasauf, tauhid. tafsir dan hadis yang
menggunakan kitab Matla’il Badrain, Hidayatus Sibyan, Sairussalikin, Hadis empat puluh,
Tafsir Nurul Ehsan, Hidayatul bidayah,Al-Azkar Imam Nawawi serta beberapa buah kitab
lagi. Sesi kuliahnya yang boleh dikatakan berjalan setiap malam kecuali malam jumaat,
kuliah subuh setiap hari jumaat dan sabtu serta hari-hari tertentu di dua belas buah masjid dan
9
beberapa buah surau disekitar Jitra, Alor Setar, Changlun, Guar Cempedak dan Sungai Petani
Kedah.
Jika diukur dengan mata kasar komitmen yang ditunjukan oleh mudarris ini adalah sesuatu
yang dianggap sukar dan tidak mampu diikuti oleh oleh kebanyakan orang, apatah lagi
dengan usia yang semakin memanjat. Namun berkat keikhlasan beliau dalam menyampaikan
ilmu agama membolehkan beliau meneruskan aktiviti dakwah dengan penuh bersemangat
dan ceria. Sekiranya beliau terlalu sibuk atau kepenatan yang bersangatan, biasanya jadual
kuliah beliau tidak dibiarkan kosong begitu sahaja, beliau akan menyuruh guru-guru lain
yang juga merupakan anak muridnya untuk mengisi jadual kuliahnya sebagai pengganti.
Situasi jelas menggambarkan betapa beliau adalah seorang muaddib dan mudarris yang tidak
suka membuang waktu begitu sahaja sebaliknya dimanfaatkan untuk untuk kepentingan
ummah seluruhnya.
Ketokohan beliau dalam arena ilmu sering mendapat pengiktirafan dalam masyarakat, ketika
sesuatu forum, atau ceramah undangan yang melibatkan pendakwah dari luar negara, khasnya
dari negara-negara Arab, seperti Syiria, Iraq dan Pelestin yang biasanya datang untuk
menjelaskan situasi masyarakat islam disana , kepakaran beliau sebagai moderator dan
penterjemah sering ditagih untuk memudahkan penyaluran ilmu kepada masyarakat.
Kebolehan dan kefasihan beliau berbahasa Arab telah meletakkan nama beliau antara ulama
yang berkaliber diutara tanah air.
Selain menyibukkan diri dengan aktiviti dakwah dan pengajaran, beliau juga aktif melibatkan
diri dalam masyarakat setempat dan luar negara. Kesempatan dan peluang yang terhidang
didepan mata biasanya tidak sisia-siakan oleh beliau. Kolej Islam Darul Ulum ,Kedah yang
menjadi tempat beliau mencurahkan bakti pada anak bangsa terdapat sekitar dua ratus orang
pelajar yang dikategorikan sebagai miskin, kebanyakkannya penuntut yang datang dari
negara jiran Malaysia seperti Thailand, Kemboja dan Myanmar. Mereka datang dengan wang
saku yang amat terhad, sehinggakan pakaian pun tidak mampu bertukar baru. Menceritakan
kedhaifan para penuntut miskin yang kebanyakannya bergantung harap pada belas ihsan dari
orang ramai yang menyumbang melalui zakat dan derma. Ustaz Ahmad yang pernah melalui
dan menyelami sendiri keperitan semasa belajar dizaman remajanya mengambil peluang ini
dengan menubuhkan tabung infak untuk disalurkan bantuan kepada para pelajar yang
10
memerlukan, dimana tabung infak berkenaan akan diletakkan tempat beliau menyampaikan
kuliah yang dibantu oleh pembantu setianya.
Pada kebiasaannya setiap tahun beliau akan pulang ke tanah kelahirannya pada bulan
zulhijjah bagi meraikan Aidil Adha disana. Ketika inilah beliau akan menguruskan urusan
korban untuk dilaksanakan bagi masyarakat disana yang kebanyakannya masih bertaraf fakir
dan miskin. Pada kebiasaannya peserta korban yang dikutip disekitar kawasan tempat beliau
mengajar mencecah puluhan orang peserta yang terdiri daripada anak murid beliau sendiri.
Menceritakan bagaimana kesusahan masyarakat tempat tumpah darahnya dahulu yang
kebanyakkannya bekerja sebagai petani dan pekebun kecil-kecilan telah membuka rasa insaf
dikalangan murid-muridnya disini yang terdiri daripada pegawai kerajaan, pesara dan
peniaga. Saban tahun diadakan program infak atau sedekah khas untuk para pelajar pesantren
dikawasan Sukarteja yang sedang mempelajari ilmu-ilmu agama islam. Pernah beliau
membawa beberapa orang muridnya dari negeri Kedah ini untuk melihat sendiri
perkembangan dakwah dan aktiviti pendidikan disana.
Apabila beliau menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman tempat beliau menimba
ilmu dan menjana pengalaman dahulu, masyarakat disana akan menyambut dan mengatur
pelbagai program yang padat semata-mata untuk mendapatkan mutiara-mutiara ilmu dari
guru ulung ini. Kepulangannya yang bertujuan menziarahi sanak saudara sering bercampur
menjadi kunjungan dakwah dan tarbiah. Kesemua program semasa beliau pulang dikampung
akan diatur oleh sahabat baiknya ketika mereka sama-sama belajar di Madrasah Al
Muallimin, suatu ketika dahulu atas permintaan penduduk desa Sukarteja sendiri. Perjalanan
hidup sang daei ummat ini dilihat sering bergelumang dengan ilmu dan dakwah, pemergian
beliau ke mana-mana destinasi yang sering ditemani oleh pembantunya yang juga muridnya
membantu dan berkhidmat kepadanya secara sukarela, tanpa diajak atau disuruh.
KAREKTER DAN SIFAT PERIBADI
Sebagai muaddib dan murobbi ummah, karekter beliau sering menjadi tontonan dan teladan.
Bersikap tegas terhadap hukum hakam, memberi gambaran jelas kepada masyarakat betapa
beliau adalah salah seorang daei yang telus dan ikhlas dalam ilmunya. Ketegasan beliau
membuktikan prinsip beliau begitu jelas terhadap agama yang dijunjung olehnya selama ini.
Meskipun begitu tegas pendirian beliau terhadap agama, kuntuman senyuman manis sering
11
menghiasi wajahnya ketika disapa meskipun ketika itu beliau sedang menghadapi musibah
tertentu seperti sakit, penat bekerja dan sebagainya memberi gambaran sebaliknya yang
mentafsir sifat peribadi yang luhur padanya.
Beliau juga terkenal sebagai guru yang mudah menerima pelawaan orang ramai sebagai
memenuhi tuntutan atau hajat, seperti majlis tahlil, walimatul urus dan sebagainya selagi
majlis tersebut didapati tidak mencemarkan nilai-nilai islam sejati. Sebaliknya jika beliau
mendapati majlis yang akan dihadirinya itu bercampur sesuatu yang haram, beliau dengan
tegas akan menolaknya, hatta berpatah balik jika kedapatan majlis di depan matanya itu
bercampur dengan perkara-perkara haram umpamanya bercampur tempat duduk antara lelaki
dengan wanita dalam satu majlis, terdapat nyanyian atau karaoke pada majlis waliamatul urus
dan sebagainya.
Istiqamah dalam amalan, disamping dilihat sangat cermat dan bersungguh-sungguh dalam
setiap amalan yang dilakukan membuatkan orang ramai terutama para muridnya segan dan
malu dengannya. Amalan berpuasa sunat Isnin-Khamis contohnya, sering dipraktikan oleh
beliau. Buktinya beliau sering kelihatan berbuka puasa dalam kenderaannya yang di letakkan
di perkarangan masjid ketika masuknya waktu berbuka. Selain itu kesungguhan praktik
amalan sunat juga jelas terlihat pada waktu hari-hari kebesaran islam, dimana beliau selalu
diminta oleh imam-imam masjid dan surau mengepalai zikir, tahlil dan solat sunat tertentu.
Kesanggupan dan kesediaan untuk berada dalam sesuatu majlis ilmu atau zikir dalam tempoh
yang agak lama telah mempengaruhi dan memotivasikan murid-muridnya untuk turut berada
dalam majlis tersebut sehinggalah berakhirnya sesuatu majlis.
Menepati janji adalah antara sifat mulia yang boleh dicontohi oleh kebanyakan orang, sifat
berpegang teguh pada janji yang dibuat membuatkan orang ramai menjadi segan dan malu
dengan beliau, lebih-lebih lagi jika sesuatu janji yang dibuat tidak mampu ditepati. Tidak
mudah marah atau melenting jika janji dimungkiri membuatkan karekter murabbi ini sering
dibayangi oleh seseorang jika mereka sudah mematri janji.
Selain itu sifat zuhud yang menjadi pakaian hariannya jelas terpamer pada perwatakan dan
penampilan beliau setiap kali muncul dikhalayak ramai. Beliau dilihat tidak kekok untuk
berada di celah-celah pelbagai lapisan masyarakat, bergaul mesra dengan mereka disamping
bertukar-tukar pengalaman yang penuh dengan ibrah dan pengajaran untuk ummah.
12
Kepetahan berbicara terserlah terutama ketika menyampaikan ceramah atau kuliah, susunan
ayat yang menarik disamping mengemukakan contoh-contoh yang memudahkan orang ramai
memahami isi kandungan pengajarannya terbukti berjaya memikat audien dihadapan beliau.
Ilham yang mencurah-curah setiap kali berkhutbah atau berceramah disaluti ilmu dan hikmah
membuatkan hadirin merasa seolah-olah tidak puas menimba ilmu setiap kali menghadiri
kuliahnya. Dengan pelbagai teknik pengajaran dipraktikan semasa menyampaikan kuliah
seperti penggunaan intonasi suara mengikut kesesuaian topik, tunjuk cara perlaksanaan
sesuatu ibadat yang betul, disamping sekali-sekali diselangi gurauan yang padat berisi
pengajaran untuk para muridnya.
IBRAH DARI RENTETAN PERJALANAN HIDUP TOKOH
Setelah menelusuri kisah hidup tokoh yang dikaji ini, bermula dari awal kehidupan beliau di
desa Sukarteja yang digambarkan oleh beliau sendiri sebagai suatu daerah yang melimpah
rahmat Ilahi dengan perkembangan ilmu yang begitu pesat telah mencorakkan persekitaran
kawasan tersebut dengan warna-warna ilmu dan hikmah yang penuh kegemilangan serta
keunggulan.
Kepayahan hidup semasa kecilnya telah mendidik beliau menjadi seorang pejuang agama
yang kental semangatnya, betapa jerih payah kehidupan telah berjaya mendidik beliau
menjadi individu yang tabah dan sabar dalam melakukan sesuatu ibadat, sanggup
menggagahi dirinya yang penat untuk menyampaikan kuliah. Sikap sebagai mujahid sejati
ini perlu diteladani oleh para daie apatah lagi dalam mengharungi aneka cabaran yang
bersimpang siur dalam dunia dakwah kini
Kepimpinan melalui teladan. Saranan baik beliau kepada murid-muridnya tidak hanya
laungan atau saranan semata-mata, sebaliknya qudwah atau ikutan yang baik itu lazimnya
ditunjukan oleh beliau terlebih dahulu, kemudian dicontohi oleh orang lain. Pengajaran ini
perlu direnungi oleh semua para muaddib dan muadarris yang berkecimpung dalam arena
dakwah.
13
Bersikap tegas dalam hal-hal yang melibatkan urusan keagamaan atau hukum hakam. Sikap
seumpama ini perlu kepada para pendakwah khasnya walaupun terpaksa berdepan dengan
pelbagai ancaman dan melibatkan kepentingan diri atau keluarga. Dunia dakwah kini dilihat
lebih mencabar dan sangat menuntut pendokongnya agar bertegas dalam perkara yang
melibatkan hukum-hakam khasnnya yang bersangkut-paut urusan akidah.
Istiqomah dalam melakukan amal kebaikan walau dalam perkara-perkara kecil pada
pandangan manusia seperti puasa sunat, zikir harian dan sebagainya,kerana sebagai daei
perkara utama adalah mendahului dan berkekalan dalam melakukan sesuatu
amalan.istiqomah dalam perkara kebaikan juga penting dalam mempengaruhi karekter
seseorang pendakwah.
Berketrampilan mulia dengan menampakkan raut muka yang manis, mudah bergaul dengan
semua lapisan masyarakat menjadi syarat utama untuk memudahkan penerimaan orang ramai
terhadap dakwah yang disampaikan oleh seseorang daie, sebaliknya penampilan yang kurang
mesra, bengis, mudah melenting akan menjarakkan masyarakat dari ilmu dan agama.
Unsur-unsur keberkatan terutama hal-hal yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan
merupakan sesuatu yang perlu dititik-beratkan oleh pendidik dan pendakwah. Titisan-titisan
ilmu yang dicurahkan oleh pendidik dan pendakwah yang dipenuhi keberkatan akan
meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri sendiri dan kepada murid-muridnya.
Sebaliknya jika tiada unsur keberkatan dalam ilmu, maka natijahnya akan mengecewakan
pendakwah sendiri selain tidak mampu mengubah orang lain.
Tawakkal dan doa yang tidak putus kepada Allah S.W.T dalam setiap perkara baik adalah
tunjang kejayaan sesuatu urusan. Urusan yang tidak disertai dengan doa dan tawakkal
biasanya akan membawa kepada kekecewaan dan menjadikan seseorang daei itu mudah
putus asa, lemah semangat dan sebagainya. Doa dan tawakkal merupakan tali yang mengikat
usaha hamba dengan Tuhannya, ketiadaan tali perhubungan ini dikhuatiri akan
menggelincirkan pendakwah dari landasan yang sebenarnya dan akan mendedahkan
pendakwah dengan bahaya sifat mazmumah seperti u’jub, takabbur, riyak sum.ah dan
seumpamanya.
14
PENUTUP
Sesungguhnya dunia dakwah yang sedang diharungi oleh setiap daei dan pendidik sentiasa
bergelora dengan pelbagai mehnah dan tribulasi yang menuntut kecekalan dan kesabaran
yang tinggi dari para pendokongnya. Tiada janjian hamparan karpet merah untuk mereka
didunia ini sebaliknya halangan dan rintangan yang datang silih berganti. Setiap pendakwah
dan pendidik perlu akur hakikat perjuangan menegakkan agama tercinta ini memerlukan
pengorbanan yang maha dahsyat, kesusahan, kesakitan, selain cemuhan dan kritikan yang
sentiasa berlegar disekitar kehidupan adalah asam garam kehidupan seseorang mujahid.
Denai dan lorong dakwah yang sentiasa berliku inilah yang pernah ditempuh oleh para
Anbiyak dan Mursalin terdahulu, justeru penjejak mereka juga sudah pasti akan menemui
rencah kehidupan yang sama. Justeru, hanya kesabaran dan keikhlasan sahajalah yang
mampu menjadi peneman dalam perjalanan ini sebelum dapat mengecap nikmat abadi di
Syurga Ilahi.
15