52
1 DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN INKUES NO: BA-65A-2-12/2018 INKUES KEMATIAN ARWAH MUHAMMAD ADIB BIN MOHD KASSIM VERDICT/ ALASAN PENGHAKIMAN Latar Belakang [1] Atas arahan Peguam Negara selaras dengan seksyen 339 (1) Kanun Tata Cara Jenayah, inkues ini telah saya adakan bagi menyiasat punca kematian seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berpengkalan di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya iaitu, arwah Muhammad Adib Bin Mohd Kassim No. KP: 940528-02-5039 (selepas ini arwah akan dirujuk sebagai arwah Adib). [2] Arwah Adib meninggal dunia pada 17.12.2018, jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan di sana. [3] Arwah Adib dirawat di IJN kerana mengalami kecederaan paru-paru dan memerlukan alat bagi membantu beliau bernafas iaitu Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang terdapat di IJN. [4] Arwah mengalami kecederaan ini sewaktu bertugas dalam operasi memadamkan kebakaran sebuah kereta di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafied, Subang Jaya pada 28.11.2019. Ketika itu satu rusuhan dan kekacauan sedang berlaku di sana. [5] Punca kematian arwah Adib secara klinikal dan patologikal adalah jelas dan tidak dipertikaikan. Beliau meninggal akibat kegagalan paru- paru berikutan kecederaan trauma tumpul di dada kanannya (blunt chest trauma). Bahagian atas dada kanan Arwah Adib telah menerima impak dan daya hentaman yang sangat kuat hingga mematahkan 4 tulang rusuk

DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

  • Upload
    others

  • View
    11

  • Download
    0

Embed Size (px)

Citation preview

Page 1: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

1

DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM

DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN

INKUES NO: BA-65A-2-12/2018

INKUES KEMATIAN ARWAH MUHAMMAD ADIB BIN MOHD KASSIM

VERDICT/ ALASAN PENGHAKIMAN

Latar Belakang

[1] Atas arahan Peguam Negara selaras dengan seksyen 339 (1)

Kanun Tata Cara Jenayah, inkues ini telah saya adakan bagi menyiasat

punca kematian seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan

Kecemasan (EMRS) yang berpengkalan di Balai Bomba dan Penyelamat

Subang Jaya iaitu, arwah Muhammad Adib Bin Mohd Kassim No. KP:

940528-02-5039 (selepas ini arwah akan dirujuk sebagai arwah Adib).

[2] Arwah Adib meninggal dunia pada 17.12.2018, jam 9.41 malam di

Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan di sana.

[3] Arwah Adib dirawat di IJN kerana mengalami kecederaan paru-paru

dan memerlukan alat bagi membantu beliau bernafas iaitu Extracorporeal

Membrane Oxygenation (ECMO) yang terdapat di IJN.

[4] Arwah mengalami kecederaan ini sewaktu bertugas dalam operasi

memadamkan kebakaran sebuah kereta di kawasan Kuil Sri Maha

Mariamman di USJ 25, Seafied, Subang Jaya pada 28.11.2019. Ketika itu

satu rusuhan dan kekacauan sedang berlaku di sana.

[5] Punca kematian arwah Adib secara klinikal dan patologikal adalah

jelas dan tidak dipertikaikan. Beliau meninggal akibat kegagalan paru-

paru berikutan kecederaan trauma tumpul di dada kanannya (blunt chest

trauma). Bahagian atas dada kanan Arwah Adib telah menerima impak

dan daya hentaman yang sangat kuat hingga mematahkan 4 tulang rusuk

Page 2: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

2

dan dua darinya telah tertusuk ke paru-paru kanannya menyebabkan

kebocoran dan akhirnya membawa kepada kematian beliau.

[6] Secara spesifik sebab klinikal kematian arwah Adib adalah

sebagaimana yang disahkan oleh pihak IJN iaitu Acute Respiratory

Distress Syndrome Secondary To Blunt Chest Trauma With Multiorgan

Failure And Sepsis (exhibit I 23 dirujuk).

Kedudukan Undang-Undang Inkues

[7] Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah, menyatakan yang dipetik

dalam bahasa asal seperti berikut:-

“337. A Magistrate holding an inquiry shall inquire when, where, how

and after what manner the deceased came by his death and

also whether any person is criminally concerned in the cause

of the death.”

[8] Seksyen 337 ini memperuntukkan terma rujukan (terms of

reference) bagi sesuatu inkues yang diadakan bagi menentukan punca

kematian seseorang si mati. Dalam kes In Re Anthony Chang Kim Fook,

Deceased [2007] 1 MLRH 549; [2007] 2 CLJ 362, Hakim Sulong

Mattjeraie telah menyatakan seperti berikut:-

“Section 337 of the CPC serves as the terms of reference within

which the Coroner conducts the inquest into the death of the

deceased. As such the Coroner cannot act outside the perimeter of

the said terms of reference.”

[9] Sebagai satu inkuiri, selain dari tidak terikat dengan tatacara dan

prosedur perjalanan perbicaraan kes jenayah, prosiding inkues ini juga

tidak terikat dengan Akta Keterangan 1950 berkenaan pengemukaan dan

kebolehterimaan sesuatu keterangan. Perkara ini telah dijelaskan di

Page 3: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

3

dalam kes Re Loh Kah Kheng, Deceased [1989] 2 MLRH 478; [1990] 2

MLJ 126; [1990] 2 CLJ 156 yang dipetik seperti berikut:-

“......It is the primary duty of the learned Magistrate conducting the

inquiry to satisfy himself that there is sufficient evidence in whatever

form or manner elicited and whether admissible or not, which could

assist him in establishing the cause of death of the deceased, he is

perfectly entitled to know and take cognizance of it.”

[10] Punca kematian si mati yang perlu ditentukan melalui inkues pula

telah ditakrifkan di dalam seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah seperti

berikut:-

“In this Chapter the words ‘cause of death’ include not only the

apparent cause of death as ascertainable by inspection or post

mortem examination of the body of the deceased, but also all matters

necessary to enable an opinion to be formed as to the manner in

which the deceased came by his death and as to whether his death

resulted in any way from, or was accelerated by, any unlawful act or

omission on the part of any other person.”

[11] Oleh itu, selaras dengan peruntukan seksyen 328 dan 337 Kanun

Tatacara Jenayah ini, tugas saya selaku koroner di dalam inkues ini bukan

sekadar mengenal pasti sebab kematian yang jelas (apparent) arwah

Adib sahaja. Sebaliknya, saya perlu menentukan bagaimana dan dalam

hal keadaan apakah arwah Adib telah mendapat kecederaan blunt chest

trauma (BCT) yang mana komplikasi darinya telah membawa

kematiannya. Persoalan mengenai samada BCT itu dialami arwah

secara tidak sengaja iaitu kerana nahas atau kemalangan (misadventure)

atau akibat dari pelakuan atau peninggalan (commission or ommission)

Page 4: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

4

oleh orang lain, perlu diputuskan. Dan sekiranya didapati ada penglibatan

orang lain, isu samana penglibatan itu secara jenayah, kecuaian atau

abaian juga perlu ditentukan melalui inkues ini.

[12] Kesemua persoalan dan isu-isu tersebut perlu saya tentukan dan

putuskan berdasarkan kesemua keterangan-keterangan yang saya

perolehi sepanjang inkues ini dijalankan.

Piawaian (Standard) Pembuktian

[13] Piawaian pembuktian di dalam inkues adalah di atas imbangan

kebarangkalian (balance of probabilitiy) (rujuk kes Teoh Meng Kee v PP

[2014] 5 MLRA 404; [2014] 5 M:J 741; [2014] 7 CLJ 1034).

[14] Micheal Barnes, State Coroner di Brisbane, Australia di dalam kes

Inquest Into The Death Of Liam Richard Vidler-Cumming menyatakan:

“A coroner should apply the civil standard of proof, namely the

balance of probabilities, but the approach referred to as the

Briginshaw sliding scale is applicable. This means that the more

significant the issue to be determined, the more serious an allegation

or the more inherently unlikely an occurrence, the clearer and more

persuasive the evidence needed for the trier of fact to be sufficiently

satisfied that it has been proven to the civil standard.”

[14] Manakala dalam kes PP v. Shanmugam & 5 Ors [2002] 4 MLRH

742; [2002] 6 MLJ 562, YA Hakim Suriyadi memutuskan seperti berikut:

“To reinterate, when conducting an inquiry a magistrate must confine

himself to the evidence and arrived at a specific verdict based only

on the established facts pursuant to s 337 of the CPC. Probabilities

and guesswork can never be the basis for that specific verdict.”

Page 5: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

5

Keterangan-Keterangan Di Dalam Inkues Ini

[15] Keunikan dalam kes kematian arwah Adib ini adalah wujudnya

beberapa video yang merakamkan sebahagian dari kejadian yang berlaku

pada malam kejadian. Video-video yang dikemukakan di dalam inkues ini

adalah yang telah ditularkan melalui media sosial.

[16] Video yang paling penting adalah exhibit I 38. Video berdurasi 46

saat ini merakamkan kejadian mulai dari ketibaan jentera Fire Rescue

Tender (FRT) dan van Emengency Medical Rescue Services (EMRS) ke

lokasi kejadian, serangan perusuh ke atas Jentera FRT dan sebahagian

proses pengunduran FRT dan van EMRS berkenaan dari kawasan

tersebut.

[17] Penelitian kepada video ini menunjukkan urutan kejadian-kejadian

penting seperti berikut:

- Saat-saat awal ketibaan jentera FRT yang diikuti rapat oleh van

EMRS yang mana arwah Adib adalah penumpang di bahagian

hadapan van ini. Kelihatan juga sebuah kenderaan yang sedang

marak terbakar di hadapan kiri FRT.

- Saat ke 14 menunjukkan jentera FRT dan van EMRS telah

berhenti dan berada dalam keadaan statik. Van EMRS berada

dalam jarak lebih kurang 2 meter di belakang FRT. Seorang

anggota bomba yang lengkap berpakaian api (uniform lengkap

anggota pemadaman) yang kemudian disahkan adalah PB

Hazim iaitu saksi ke 6 inkues ini, berada di bahagian belakang kiri

FRT. Tiba-tiba FRT tersebut telah diserbu dan diserang di

bahagian hadapannya oleh sekumpulan perusuh yang menurut

saksi-saksi inkues bersenjatakan pelbagai objek keras. Salah

Page 6: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

6

seorang dari penyerang iaitu seorang lelaki berpakaian cerah

berbadan sasa telah meluru ke arah PB Hazim. PB Hazim

melarikan diri ke arah van EMRS. Ketika itu juga jentera FRT

yang telah pecah/retak cermin depannya dan mengalami

pelbagai kerosakan lain akibat serangan itu telah mula

mengundur.

- Saat ke 19 menunjukkan PB Hazim berjaya melompat masuk ke

bahagian tengah van EMRS melalui pintu gelongsor (sliding

door) dan menutup pintu tersebut.

- Saat ke 20 menunjukkan berlakunya hentakan/sentuhan di

antara bahagian belakang FRT dengan bahagian depan van

EMRS. Seterusnya FRT yang mengundur itu telah menolak

bersamanya van EMRS ke belakang.

- Seterusnya video ini tidak merakamkan kejadian kerana

pandangan perakam (SI 22) ke arah FRT dan EMRS telah

terhalang.

- Rakaman diteruskan pada saat 39 di mana, di dalam inkues

dikenal pasti bahawa pada saat ini keadaan van EMRS yang

ditolak itu telah terpusing ke arah yang bertentangan (opposite

direction). Ketika ini juga, pemandu van EMRS iaitu Ahmad

Shahrill bin Othman (SI 3) baru menyedari bahawa arwah Adib

telah tiada di sebelahnya di dalam van tersebut.

[18] Exhibit I 38 ini adalah bukti visual yang sangat jelas akan wujudnya

serangan fizikal yang ganas oleh sekumpulan perusuh bersenjatakan

objek-objek keras ke atas jentera FRT. Tahap dan kepelbagaian

kerosakan yang dialami oleh jentera berat (heavy duty) dengan binaan

yang kukuh ini telah dilihat sendiri oleh pasukan inkues sewaktu lawatan

ke Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya. Antaranya ialah cermin

Page 7: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

7

besar hadapannya terutamanya di sebelah kiri telah pecah/retak,

beberapa bahagian badan telah kemek dan tangga di bahagian kiri

belakangnya telah tercabut. Dari kerosakan ini dapat dibayangkan sifat

sadis dan ganas para penyerang dan bahayanya senjata/objek yang

digunakan. Fakta PB Hazim telah dikejar oleh salah seorang dari mereka

pula, menunjukkan selain dari jentera, penyerang/perusuh juga

menjadikan anggota bomba sebagai sasaran serangan mereka.

[19] Exhibit I 81 adalah imej pegum saat ke 26 video I38 ini. Pada saat

ini, kelihatan cermin tingkap kiri depan van EMRS telah diturunkan. Dari

cermin tingkap yang terbuka itu, kelihatan satu imej seseorang yang

memakai jaket celoreng sedang duduk di bahagian penumpang hadapan

van .

[20] Pada malam kejadian hanya anggota EMRS iaitu arwah Adib dan

pemandu van EMRS (SI 3) sahaja yang beruniform celoreng. Manakala

kesemua anggota di dalam FRT, selaku anggota pemadaman memakai

uniform api yang lengkap dengan helmet dan jaket kalis api. Oleh itu,

Berdasarkan logik dan kemunasabahan, saya menyimpulkan dan

membuat dapatan fakta bahawa imej orang yang kelihatan di dalam I 81

ini adalah arwah Adib.

[21] Dari imej ini, arwah kelihatan berada dalam posisi kepalanya

terkeluar sedikit dari tingkap. Beliau sedang menjenguk sambil menoleh

ke belakangnya. Manakala tangan kanan arwah memegang bingkai

tingkap pintu di sebelahnya yang dibuka sedikit. Pada saat ini, jentera

FRT sedang mengundur ke belakang sambil menolak bersamanya van

EMRS yang dinaiki oleh arwah dan SI 3.

[22] Gambar van EMRS ini (exhibit I 8 – 1-4) menunjukkan cermin

tingkap kiri depan EMRS adalah digelapkan (tinted). Oleh itu, dari posisi

Page 8: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

8

badannya itu, boleh dirumuskan tujuan arwah menurunkan cermin tingkap

tersebut dan membuka sedikit pintunya itu adalah bagi membolehkan

beliau melihat ke belakang bagi memastikan van EMRS yang sedang

ditolak ke belakang oleh FRT dalam situasi cemas itu, tidak terlanggar

apa-apa atau sesiapa yang berada di belakangnya.

[23] Berdasarkan video I 38 ini, imej pegum arwah (eksibit I 81) dan

keterangan pemandu van EMRS (SI 3), saya menyimpulkan bahawa

ketiadaan arwah dari dalam van EMRS ini berlaku di antara saat ke 26

iaitu saat beliau dilihat kali terakhir berada di dalam van tersebut dan saat

ke 39, di mana ketika ini van EMRS itu telah terpusing dan kehilangan

arwah disedari oleh SI 3.

[24] Persoalannya, apakah yang telah berlaku kepada arwah dalam

jangka masa 13 saat tersebut dan juga pada masa selepas itu

sehinggalah arwah kelihatan diusung oleh sekumpulan orang dalam

keadaan hanya berseluar celoreng, tidak baju dan tidak berkasut.

[25] Kejadian arwah sedang diusung dan di bawa masuk ke bahagian

kabin belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi

Storm telah dirakamkan di dalam video yang ditandakan sebagai exhibit I

69.

[26] Untuk menjawap persoalan ini, keterangan saksi-saksi yang berada

di tempat kejadian pada malam tersebut adalah amat material.

Saksi-saksi Di tempat Kejadian

[27] Selain dari anggota bomba yang terlibat di dalam operasi bersama

arwah Adib pada malam itu, saksi-saksi di tempat kejadian yang telah

memberikan keterangan yang material adalah, Amirrul Adli Bin M Yussli

Page 9: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

9

(SI 4), Suresh a/l Surunariani (SI 8), Narresh a/l Rajandran (SI 9), Mohd

Hafizan bin Nordin (SI 10), Nasaruddin bin Abdullah (SI 17), Chan Wei Jie

(SI 19) dan Hardeep Singh a/l Jaswant Singh (SI 22).

[28] Saksi-saksi ini terdiri dari pelbagai latar belakang, bangsa dan

agama. Kebanyakan mereka berada di tempat kejadian secara kebetulan

kerana terperangkap apabila berlaku kesesakan lalulintas

disebabkan penutupan jalan oleh pihak polis. Sebahagian mereka pula,

berada di situ kerana terdorong oleh perasaan ingin tahu mengenai apa

sebenarnya yang sedang berlaku di kawasan kuil berkenaan setelah

membaca pelbagai berita mengenai rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman

yang tular di media sosial.

[29] Saya telah mempertimbangkan dan menilai keterangan saksi-saksi

ini dengan teliti termasuklah mengamati tingkah laku atau demeanor

mereka di kandang saksi. Aspek kredibili dan reliabiliti keterangan mereka

ini telah saya pertimbangkan dengan sewajarnya dan penuh berhati-hati.

[30] Setelah berbuat demikian, saya percaya saksi-saksi ini tidak

berbohong di mahkamah ini. Ini kerana keterangan mereka adalah

konsisten dan saling menyokong antara satu sama lain. Saya juga

mendapati mereka tiada sebarang sebab, kepentingan atau agenda

tersembunyi untuk menipu di dalam inkues ini.

[31] Saya percaya saksi-saksi ini hanya menceritakan apa yang mereka

telah lihat, dengar dan alami sendiri pada malam berkenaan. Namun,

samada mereka telah menceritakan sepenuhnya apa yang mereka telah

lihat, dengar dan alami itu, adalah agak sukar untuk saya pastikan di

dalam satu prosiding inkues.

Page 10: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

10

[32] Berbeza dengan perbicaraan jenayah, saksi-saksi di dalam inkues

ini tidak melalui proses pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula.

Mereka juga tidak boleh diajukan dengan soalan-soalan yang boleh

memudaratkan mereka secara jenayah (self incriminating).

[33] Walaubagaimana pun, bagi tujuan inkues ini, saya telah

berpuashati bahawa atas imbangan kebarangkalian, keterangan dari

saksi-saksi ini apabila dilihat secara keseluruhannya telah lebih dari

mencukupi (overwhelming) untuk membuktikan kewujudan fakta hal

keadaan yang menunjukkan arwah Adib telah dikasari dan dicederakan

pada malam kejadian tersebut.

Keterangan Saksi-Saksi Ini

[34] Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, perundangan inkues

tidak menghalang penerimaan masuk keterangan dengar cakap atau

hearsay evidence. Oleh itu, saya turut menerima keterangan sebegini bagi

membantu saya mendapatkan pencerahan mengenai apakah yang telah

terjadi kepada arwah pada malam kejadian.

[35] En.Mohd Hafizan Bin Nordin (SI 10) adalah pemandu Mitsubishi

Storm yang telah membantu membawa arwah Adib ke Unit Kecemasan

Hospital SJMC pada malam kejadian. Di dalam keterangannya, beliau

memaklumkan telah berada di kawasan itu secara tidak sengaja. Selepas

mengisi minyak di Stesen Minyak Caltex yang berhampiran, beliau telah

terperangkap dan tersekat di Jalan Usaha, iaitu tempat kejadian. Beliau

mendapati orang ramai sedang berkumpul di kawasan kuil di hadapannya.

Oleh itu, beliau berhasrat untuk membuat pusingan U dan keluar dari situ.

Sebelum sempat berbuat demikian, beliau ternampak di hadapannya 6-7

orang sedang mengusung seseorang yang tidak berbaju sambil menjerit

“tolong-tolong ada angota bomba cedera”. Pada masa yang sama,

Page 11: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

11

beliau telah disapa oleh seorang perempuan India yang juga datang dari

arah kuil berkenaan. Perempuan India itu berkata kepadanya,

“Adik...adik...jangan masuk... jangan masuk....nanti kena pukul”.

[36] Pada adat dan kelazimannya, apabila seseorang dengan niat baik

melarang seseorang lain dari melakukan sesuatu perkara kerana ditakuti

akan ditimpa sesuatu musibah, ia selalunya terbit dari pengalaman atau

pengetahuan peribadi orang yang melarang itu mengenai perkara

tersebut. Justeru, boleh dirumuskan bahawa larangan dan amaran

perempuan India ini kepada SI 10 adalah kerana perempuan India

tersebut telah melihat atau ada pengetahuan peribadi bahawa seseorang

telah menjadi mangsa pukul di dalam kawasan tersebut.

[37] Keterangan SI 4 pula, menunjukkan semasa beliau melihat arwah

Adib sedang diusung itu, beliau terdengar suara orang bertanya “kenapa

ni” dan dijawap pula oleh seseorang lain “kena apa lagi kena bantai

lah”.

[38] Manakala Suresh (SI 8) pula telah menceritakan, melihat aksi-aksi

dan gerakan-gerakan seperti memukul, menendang dan memijak oleh

sekumpulan 20-30 orang lelaki yang sedang mengerumuni sesuatu yang

menjadi objek kepada pelakuan-pelakuan tersebut. Apabila Suresh

mendekati dan masuk ke dalam kumpulan tersebut, beliau telah melihat

objek yang sedang dikerumuni itu adalah arwah Adib. Ketika dilihat

Suresh, arwah Adib berada dalam keadaan duduk bersandar ke bonet

sebuah kereta dengan kedua-dua kakinya berlunjur ke depan. Arwah

kelihatan seperti dalam keadaan tidak sedarkan diri. Sejurus itu juga,

Suresh telah ditolak dan terjatuh ke arah arwah Adib dalam posisi

bahagian depan badannya melindungi bahagian dada arwah Adib. Pada

saat itu juga, satu sepakkan telah singgah ke belakang bahu kanan beliau.

Dari situasi ini, dapat dibuat inferen bahawa, sepakkan itu sebenarnya

Page 12: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

12

ditujukan pelaku ke arah dada arwah Adib tetapi tersasar mengenai bahu

saksi yang kebetulan terjatuh dalam posisi badannya melindungi badan

arwah. Oleh itu, walaupun Suresh tidak melihat arwah dipukul, ditendang

atau dipijak, namun senario ini memberikan cadangan yang kuat bahawa

arwah telah menjadi mangsa pelakuan-pelakuan sedemikian oleh orang

yang berada di dalam kumpulan 20-30 orang tersebut.

[39] Semasa berada di dalam lingkungan 20-30 orang ini, Suresh juga

telah mendengar perkataan ‘jangan pukul’ dan “bomba pun nak kena

pukul ke’ yang dituturkan di dalam bahasa Tamil. Ini pula memberikan

inferen bahawa di kalangan 20-30 orang itu, ada orang yang ingin

dan/atau telah pun memukul arwah. Fakta bahawa perkataan tersebut

diucapkan dalam Bahasa Tamil pula, memberikan inferen bahawa orang

yang dilarang dari memukul dan yang ditanya ‘bomba pun nak kena pukul

ke’ itu adalah juga orang yang bahasa pertuturannya adalah Bahasa

Tamil.

[40] Keterangan SI 8 ini adalah konsisten dan disokong oleh keterangan

SI 17. SI 17, iaitu Nasaruddin bin Abdullah adalah lelaki India yang

beragama Islam. Di dalam keterangannya, beliau telah menyatakan yang

dipetik semula seperti berikut:

“Selepas berpusing saya nampak 30 orang Tamil mengelilingi sesuatu saya tidak pasti ada orang atau tidak (di tengah-tengah). Mereka mencarut dan berkata “berani kau orang masuk dalam kuil India , babi kau orang” dan kemudian dia maki dalam Bahasa India mereka mencarut dalam Bahasa Tamil.....

.....saya perhatikan gerak laku yang 30 orang tersebut seolah-olah macam memukul seseorang. Selepas itu saya terdengar orang Tamil jerit “polis-polis” dan 30 orang tersebut telah berlari dari situ

.......saya tidak nampak apa yang ada di situ selepas mereka berlari. (sebab masa itu) Saya sedar kawan saya Kartik hilang. Lepas saya lihat keliling untuk mencari Kartik, saya memandang semula ke arah

Page 13: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

13

yang 30 orang tadi berada, saya nampak ada orang mengusung

seseorang yang memakai seluar bomba”.

[41] Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, saya merumuskan

dan membuat dapatan fakta bahawa, sewaktu berada di luar van EMRS

tersebut, arwah Adib telah dipukul oleh orang yang berbangsa India yang

tidak dikenali yang berada di dalam kumpulan 20-30 orang yang dilihat

oleh Suresh dan Nasaruddin. Rumusan ini dibuat dengan mengambil kira

bahawa Bahasa Tamil adalah bahasa pertuturan bagi majoriti Bangsa

India di Negara ini.

[42] Selain itu, dapatan ini juga dibuat dengan mengambil kira bahawa

rusuhan ini tercetus dari kemarahan masyarakat India terhadap

pencerobohan rumah ibadat mereka iaitu Kuil Sri Maha Mariamman USJ

25 Seafield yang dilakukan oleh sekumpulan orang lelaki Melayu dua hari

sebelum itu.

[43] Saya sedar dan akur bahawa dapatan arwah Adib telah dipukul

(assaulted) ini adalah bercanggah dengan Laporan Pemeriksaan Klinikal

(exhibit I 66) oleh Dato’ Dr.Mohd Shah bin Mahmood (SI 27) iaitu Pakar

Perunding Kanan dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik

Hospital Kuala Lumpur ke atas arwah Adib.

[44] Hasil pemeriksaan klinikal ke atas arwah yang dijalankan SI 27 di

IJN pada 30.11.2018 mendapati, tiada corak atau tanda-tanda

kecederaan seperti lebam, calar dan luka di bahagian kepala, muka,

tangan dan kaki yang konsisten dengan pukulan (assault). SI 27 juga

tidak menemui tanda-tanda kecederaan bercorak tangkisan (defensive

injuries) pada kedua-dua belah lengan/tangan dan kaki arwah Adib.

Page 14: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

14

[45] Walaupun begitu, saya berpendapat ketiadaan kesan lebam atau

corak kecederaan yang konsisten dengan dipukul di badan arwah Adib

semasa pemeriksaan klinikal ini, tidak boleh dijadikan penentu yang

konklusif untuk mengatakan insiden arwah dipukul ini tidak berlaku. Ini

kerana, selain dari ianya bercanggah dengan keterangan-keterangan

yang ‘overwhelming’ dari saksi-saksi di tempat kejadian, persoalan

mengenai kewujudan kesan lebam dan samada ianya dapat dikesan atau

tidak bergantung kepada banyak faktor dan pembolehubah (variables).

[46] Faktor seperti kekuatan impak yang dikenakan, bahagian badan

yang terimpak (impacted), jarak masa antara pemeriksaan dilakukan

dengan waktu kejadian, warna kulit mangsa, akses pemeriksa kepada

bahagian-bahagian badan mangsa sewaktu pemeriksaan dan aspek

tumpuan atau fokus sewaktu pemeriksaan adalah memainkan peranan di

dalam perkara ini.

[47] Sebagai contoh, SI 13, iaitu pakar bedah kardiotorasik dari SJMC

yang merupakan antara doktor yang paling awal melihat dan memeriksa

arwah Adib selepas kejadian, di dalam keterangannya, telah mengakui

bahawa beliau telah terlepas dari memerhati, memeriksa dan

merekodkan beberapa kecederaan kecil di badan arwah Adib semasa di

SJMC.

[48] Perkara ini berlaku, kerana pada masa itu prioriti rawatan SI 13

adalah bagi menyelamatkan nyawa pesakit (Adib). Oleh itu, tumpuan dan

fokus pemeriksaan beliau adalah kepada kecederaan-kecederaan yang

merupakan life threatening. Kecederaaan-kecederaan kecil dan lebam-

lebam pula (jika ada) adalah tidak termasuk dalam kategori kecederaan

yang boleh mengancam nyawa.

Page 15: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

15

[49] Exhibit I 16 adalah gambar-gambar arwah semasa pemeriksaan

klinikal ini dijalankan oleh SI 27 di IJN. Gambar-gambar ini, dengan

sendirinya jelas menunjukkan bahawa, sewaktu pemeriksaan itu

dijalankan, arwah berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kepalanya

dipakaikan penutup, bahagian atas badannya pula dihubungkan dengan

pelbagai jenis tiub dan wayar. Sesetengah bahagian badan pula ditutupi

oleh balutan (bandages). Pemeriksaan SI 27 yang dijalankan pada hari

ke 4 selepas kejadian ini pula, dibuat di bawah pemantauan dan

pengawasan rapi pihak IJN. Setiap pergerakan badan arwah dilakukan

oleh petugas-petugas IJN dengan penuh berhati-hati bagi memastikan

rawatan dan keadaan arwah yang amat kritikal itu tidak terkompromi.

[50] Tambahan pula, setelah meneliti keterangan SI 27 di mahkamah ini,

saya mendapati beliau sebenarnya tidak menolak secara total

kemungkinan wujudnya kecederaan yang konsisten dengan serangan

(assault). Apabila dicadangkan bahawa corak lebam 3 titik di lengan

kanan Adib adalah lebam genggaman, SI 27 tidak menolak, sebaliknya

telah bersetuju bahawa ianya berkemungkinan lebam akibat kesan

genggaman.

[51] Oleh itu, saya mendapati bahawa sebenarnya tiada percanggahan

yang signifikan antara keterangan saksi mata dan saksi pakar berkaitan

dengan wujudnya elemen serangan/pukulan ke atas arwah Adib.

Walaubagaimana pun, saya berpendapat serangan/pukulan-pukulan

sewaktu di luar EMRS ini, bukanlah yang mendatangkan kecederaan

maut kepada arwah iaitu blunt chest trauma (BCT) tersebut.

[52] Fakta ketiadaan sebarang kesan kecederaan tangkisan pada

kedua-dua belah lengan/tangan dan kaki arwah Adib menunjukkan arwah

langsung tidak mempertahankan dirinya sewaktu diserang/dipukul.

Perkara ini adalah mustahil kerana arwah adalah seorang lelaki muda

Page 16: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

16

berusia 24 tahun, berbadan tegap dan terlatih mental dan fizikalnya

sebagai seorang anggota bomba dan penyelamat. Dengan itu, arwah

sudah tentu mampu melawan balik atau pun sekurang-kurangnya

mempertahankan dirinya sekiranya diserang.

[53] Situasi ini hanya munasabah, sekiranya sewaktu diserang itu, arwah

berada di dalam keadaan yang tidak berupaya melawan atau

mempertahankan dirinya. Ini juga konsisten dengan keterangan Suresh

(SI 8) yang mengatakan beliau melihat arwah dalam keadaan tidak

sedarkan diri.

[54] Dari segi medikal, kepatahan serentak pada 4 batang tulang rangka

kanan dan 2 darinya mengalami kepatahan berganda serta tertusuk ke

paru-paru, adalah munasabah untuk menjadikan seseorang itu tidak

sedarkan diri kerana menanggung kesakitan yang melampau. Oleh itu,

saya berpendapat arwah telah pun mengalami kecederaan blunt chest

trauma tersebut dan berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri sewaktu

diserang/pukul oleh orang yang berada di dalam kumpulan 20-30 orang

lelaki yang dilihat oleh Suresh dan Nasaruddin itu.

[55] Jadi bilakah arwah Adib mendapat kecederaan BCT yang membawa

kematiannya itu?. Tiada rakaman video dan tiada juga keterangan dari

mana-mana saksi di tempat kejadian yang boleh merungkaikan persoalan

ini secara konklusif dan definitif. Justeru saya perlu mendapatkan

jawapannya dengan melihat dan bergantung kepada keterangan saksi-

saksi pakar patologi forensik mengenai perkara tersebut.

[56] Dua pakar dalam bidang ini iaitu, Dr Ahmad Hafizam Bin Hasmi (SI

24) dan Prof. Dr. Shahrom Bin Abd Wahid (SI 29), telah memberikan

pandangan pakar yang berbeza mengenai mekanisma bagaimana arwah

Adib mendapat kecederaan BCT yang fatal tersebut.

Page 17: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

17

[57] SI 24 mengatakan kebarangkalian yang paling boleh berlaku

berdasarkan corak kecederaan arwah Adib adalah, BCT ini berlaku

apabila arwah Adib turun sendiri dari van EMRS yang sedang mengundur

dan bahagian kiri belakangnya telah dihentam oleh hujung daun pintu

depan kiri van itu yang terbuka. Daya dari hentaman ini menghasilkan

impak yang sangat kuat. Impak ini telah mematahkan 7 tulang rusuk

belakang kiri arwah dalam bentuk lurus menegak dan menyebabkan

arwah terhumban ke arah bahu kiri jalan dan bahagian atas dada

kanannya jatuh terhentak pada objek yang permukaannya lebar, luas,

kasar dan tertonjol. Hentakan ini telah mematahkan 4 tulang rusuk kanan

arwah. Tulang no. 3 dan 4 yang menerima impak hentakan yang paling

kuat pula, telah bergerak menyebabkan bahagian belakang tulang ini turut

mengalami kepatahan berpilih (spiral) iaitu kepatahan yang terhasil akibat

pergerakan tulang itu sendiri. Penjelasan bergambar SI 24 mengenai

mekanisma ini dieksibitkan sebagai I 51.

[58] Di dalam pengiraan jumlah daya yang menghasilkan hentaman ke

belakang kiri arwah tersebut, SI 24 telah menggunakan formula yang

mengambil kira keseluruhan berat van EMRS sebanyak 1800 kg dan

kemudian menambahkan jumlah berat jisim badan arwah Adib sebanyak

80 kg untuk mengira daya hentakan yang terhasil apabila arwah jatuh

terhumban ke objek berkenaan.

[59] SI 29 pula, tidak bersetuju dengan pengiraan jumlah daya oleh SI24

dan mengemukakan pengiraan beliau sendiri. Berdasarkan teori graviti

Newton, SI 29 membuat pengiraan yang menunjukkan bagi mematahkan

tulangnya, arwah Adib perlu melambung setinggi 4 meter (13 kaki) dan

jatuh terhentak di bahagian dada kanannya dari ketinggian tersebut.

Hentaman hujung daun pintu van berkenaan sahaja, menurut SI 29,

adalah tidak cukup untuk mematahkan 7 tulang rangka belakang kiri

Page 18: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

18

arwah, apatah lagi untuk membuatkan arwah Adib yang mempunyai

berat badan 80 kg itu melambung sehingga 4 meter.

[60] Bagi mencari mekanisma bagaimana arwah Adib mendapat

kecederaan BCT itu, SI 29 telah menganalisa kes ini dengan mengambil

langkah-langkah dan pendekatan dalam penyiasatan satu kes

kemalangan jalan raya.

[61] Justeru, untuk mencari apakah objek yang paling mungkin telah

bersentuhan (come into contact) dengan arwah, SI29 telah memeriksa

kenderaan van EMRS tersebut dengan teliti selaku objek yang paling

berkemungkinan berdasarkan fakta bahawa arwah Adib berada di dalam

kenderaan berkenaan sewaktu kejadian.

[62] Setelah mengambil kira ketinggian van EMRS itu dan ketinggian

arwah dan membandingkan bentuk dan saiz komponan yang terdapat

dalam van (pintu) dan corak kecederaan (pattern injuries) dan saiznya

pada dada atas kanan dan lengan atas kanan arwah Adib, SI 29

mendapati corak kecederaan arwah adalah berpadanan dan konsisten

dengan bentuk dan saiz-saiz komponan yang terdapat pada pintu depan

kiri van EMRS berkenaan.

[63] Antaranya, SI 29 mendapati bahawa luka sagat bercorak di dada

kanan arwah berpadanan dengan bentuk ruang tombol getah di bahagian

hujung pintu depan kiri van EMRS. Lebam bercorak segitiga di lengan

atas kanan arwah juga berpadanan dengan bentuk ruang tombol getah

berkenaan. Tombol getah di pintu van bersaiz 1 cm juga konsisten dengan

kesan di dada kanan arwah yang juga bersaiz 1 cm. Dapatan dan

penemuan lengkap SI 29 mengenai mekanisma kecederaan arwah Adib

ini, telah didokumentasikan dan dikemukakannya sebagai eksibit inkues

ke 83 (I 83).

Page 19: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

19

[64] Dalam menentukan kekuatan daya dan impak sentuhan pula, SI 29

telah menggunakan formula pengiraan daya yang mengambil kira

kelajuan van EMRS yang dianggarkannya berdasarkan kelajuan orang-

orang yang mengejar FRT dan van tersebut seperti yang dirakamkan di

dalam video I 38. Dalam video ini, kelihatan orang-orang yang mengejar

itu sekadar berlari-lari anak sahaja. Oleh itu, SI 29 menganggarkan

kelajuan van EMRS tersebut tidak lebih dari 17kmj.

[65] Hasil pengiraannya, SI 29 mendapati daya ini adalah tidak cukup

kuat untuk menghasilkan impak yang boleh mematahkan 7 tulang rusuk

kiri belakang arwah jika arwah turun sendiri dan bergerak dalam arah yang

sama dengan van EMRS itu, apatah lagi untuk menyebabkan arwah

terpelanting dan terhumban sehingga mematahkan 4 tulang rusuk kanan

beliau itu seperti yang telah dijelaskan.

[66] SI 29 telah membuat experimen dengan melakonkan semula

kejadian ini. Seorang anggota bomba yang berdiri membelakangi van

EMRS dan dipakaikan kusyen di sekeliling badannya sebagai langkah

keselamatan, hanya terjatuh di sekitar kawasan beliau terkena impak

apabila dilanggar oleh hujung daun pintu hadapan kiri van EMRS yang

sedang mengundur dalam kelajuan 17kmj dalam keadaan pintu tersebut

terbuka. Video lakonan semula ini telah ditandakan sebagai eksibit I 98

dan I 99.

[67] Berdasarkan kecederaan luka sagat melintang dengan ukuran

panjang 15 cm di bahagian kiri bawah belakang badan (pinggang) arwah

yang berpadanan dengan kesan sagatan/tergesel pada penghentam

(striker plate) di pintu kiri van EMRS, SI 29 telah merumuskan

kecederaan ini terhasil apabila arwah ditarik keluar dari van tersebut dan

bahagian bawah belakang pinggang kirinya tergesel/tersagat pada striker

tersebut.

Page 20: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

20

[68] Video yang ditandakan sebagai eksibit I 107 adalah rakaman

experimen yang dilakukan SI 29 bagi menunjukkan seseorang yang turun

sendiri dari van EMRS yang sedang mengundur tidak akan tergesel

dengan striker plate dan mengalami luka sagat melintang seperti yang

dialami arwah Adib. Hasil pertanyaan SI 29 mengenai

sejarah/pengalaman dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

juga menunjukkan, tidak pernah direkodkan ada mana-mana anggota

Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengalami kecederaan sebegini

bila turun sendiri dari van EMRS. SI 29 juga menyandarkan dapatannya

ini, kepada 3 butang (1,2 dan 4) baju jaket celoreng arwah Adib( eksibit

I 43) yang terputus.

[69] Setelah menjalankan pelbagai experimen dan stimulasi secara

saintifik, akhirnya SI 29 merumuskan satu teori dan mengemukakan

pandangannya mengenai mekanisma bagaimana kecederaan BCT ini

terjadi kepada arwah Adib.

[70] Mengikut teori SI 29, Arwah Adib telah secara tiba-tiba ditarik

dengan disentap pada jaket celorengnya dari tempat duduknya di dalam

van EMRS berkenaan. Arwah telah ditarik dalam arah 45 darjah ke

bawah. Tarikan ini menyebabkan sebahagian badan termasuk kepala

arwah terkeluar dari EMRS dalam posisi 45 darjah ke bawah. Tarikan ini

menyebabkan pinggang arwah tersagat pada striker plate menghasilkan

luka sagat sepanjang 15 cm tersebut dan 3 butang jekat celorengnya

terputus. Pada saat ini juga, pintu depan kiri van EMRS itu telah diterajang

oleh seseorang dengan kuat lalu menghentam bahagian atas dada

kanan arwah menyebabkan luka sagat dan patah tulang-tulang rusuk

kanan atas serta lebam (contusion) pada paru-paru kanannya (BCT).

Tendangan ini juga, menyebabkan arwah tersepit antara pintu dan jenang

Page 21: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

21

(frame) pintu berkenaan menyebabkan kepatahan oblique pada 2 tulang

rusuk kanan belakangnya iaitu tulang no. 3 dan 4.

[71] Kekuatan impak/hentaman yang mengenai dada arwah ini dikira

dari daya yang terhasil dari tendangan (fying kick) yang mengambil kira

berat keseluruhan jisim badan penendang, kelajuan lariannya, kepaduan

tendangannya dan berat pintu van EMRS itu sendiri.

[72] Kecederaan pada lengan atas kanan arwah pula terhasil, apabila

ketika arwah masih ditarik keluar dari van itu dan setelah bahagian

dada/badan arwah telah terkeluar dari van dan lengan kanannya yang

dalam posisi terangkat (mungkin secara reflek arwah ingin mengapai

sesuatu apabila dia ditarik) masih di dalam van EMRS, pintu depan kiri

van itu telah diterajang sekali lagi samada oleh orang yang sama atau

orang yang berbeza. Kali ini, pintu itu telah menghentam bahagian lengan

kanan atas arwah dan meninggalkan patern injury iaitu 2 lebam bercorak

segitiga yang berpadanan dengan ruang tombol getah di bahagian hujung

daun pintu depan kiri van EMRS.

[73] Kesan luka/lebam sagat berbentuk garisan meleret yang konsisten

dengan arwah ditarik keluar dari van EMRS ketika mana arwah berada

dalam keadaan tersepit di antara pintu depan kiri van yang diteranjang

dan jenang (frame) pintu itu, telah dihasilkan semula oleh SI 29 melalui

experimen menggunakan manilakad dan kertas karbon (eksibit I 87

dirujuk). Experimen ini melibatkan seorang anggota bomba berdiri di

antara pintu depan EMRS dan jenang pintu itu dengan lengannya sedikit

terangkat dan dipakaikan dengan manilakad dan kertas karbon. Pintu itu

dirapat dan ditekankan ke badan anggota itu sambil beliau ditarik keluar

menjauhi pintu itu. Pergerakan ditarik dalam keadaan tersepit itu telah

menghasilkan satu corak pada manikad ( eksibit I 87) tersebut yang

Page 22: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

22

adalah hampir sama dengan patern injuries yang terdapat di bahu dan

lengan atas kanan arwah Adib.

[74] Mengenai kepatahan 7 tulang rusuk kiri belakang arwah yang

menegak pula, SI 29 berpendapat, ia terhasil apabila arwah Adib setelah

ditarik keluar sepenuhnya dari van berkenaan dan berada dalam keadaan

tidak bermaya (in twillight zone) kerana telah mengalami kecederaan BCT,

penyerangnya telah mengangkat dan mendirikan badan arwah lalu

menghentakkan bahagian belakang kirinya ke hujung daun pintu van

EMRS. Pertembungan dua daya yang bertentangan arah iaitu gerakan

daun pintu van yang mengundur dan daya hentakkan ke arah hujung

daun pintu itu, telah menghasilkan impak yang mencukupi untuk

menyebabkan kepatahan korteks pada 7 tulang rusuk kiri belakang arwah

dalam bentuk lurus menegak.

[75] Seterusnya, bahagian kolar belakang jaket celoreng arwah telah

dicengkam oleh penyerangnya bagi menyeret arwah ke tepi jalan. Ini

adalah bagi mengelakkan arwah dan penyerangnya berada di dalam zon

bahaya iaitu laluan van dan FRT yang sedang mengundur. SI 29

membuktikan dapatan ini melalui pemeriksaan pada seluar celoreng

yang dipakai arwah Adib pada malam kejadian iaitu eksibit I 7. SI 29

mendapati dan menunjukkan kepada inkues ini, benang-benang kain di

bahagian punggung seluar tersebut yang telah terputus dalam cara yang

konsisten dengan bahagian itu diseret pada permukaan jalan yang kasar.

[76] Menurut SI 29, sejurus mengalami kecederaan BCT akibat

hentaman pertama pintu van yang diteranjang mengenai dadanya,

arwah telah mula merasai kesakitan yang amat sangat. Tahap kesakitan

ini menyebabkan arwah berada di dalam keadaan tidak sedar atau

separuh sedar. Dalam keadaan ini, arwah telah tidak mampu untuk

Page 23: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

23

melawan penyerangnya atau mempertahankan dirinya atau pun menjerit

minta tolong sekali pun.

[77] Rakaman video lakonan semula menurut urutan

kejadian/mekanisma kecederaan arwah Adib sebagaimana teori SI 29 ini

dikemukakan sebagai eksibit I 85.

[78] Setelah menganalisa keterangan SI 29 dan membandingkannya

dengan keterangan lain yang ada, saya dapati, teori dan dapatan pakar

SI 29 ini adalah lebih konsisten dengan keterangan saksi-saksi di tempat

kejadian berbanding dengan keterangan SI 24. Kesan kemek ke dalam

atau lekukan pada pintu depan kiri van EMRS, pada hemat saya, adalah

konsisten dengan diterajang dengan kuat. Saya juga percaya, pada ketika

dan keadaan arwah yang tidak bemaya dan/atau tidak sedarkan diri

seperti yang dinyatakan oleh SI 29 inilah, arwah Adib telah dilihat oleh

Suresh dan Nasaruddin berada di tepi jalan di tengah-tengah

sekumpulan 20-30 orang dan menjadi sabjek kepada pelakuan-pelakuan

seperti memukul, memijak dan menendang oleh kumpulan tersebut

tanpa sedikit pun melawan atau mempertahankan dirinya.

[79] Namun begitu, saya dapati I 85 ini tidak mencerminkan setiap urutan

kejadian/pergerakan yang lengkap sebagaimana yang dinyatakan oleh SI

29. Menurut SI 29, beliau menghadapi kekangan untuk menghasilkan

video lakon semula yang lengkap tanpa membahayakan nyawa atau

keselamatan mereka yang terlibat di dalam lakonan semula tersebut.

Protokol ujikaji dalam bidang perubatan tidak membenarkan beliau

mengambil risiko membahayakan nyawa sesiapa di dalam menjalankan

ujikajinya.

[80] Namun, SI 29 tetap mengatakan kejadian mangsa ditarik, pintu

diterajang sebanyak dua kali, mangsa dihentak ke hujung daun pintu dan

Page 24: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

24

diseret ke tepi jalan itu hanya mengambil masa lebih kurang 8 saat.

Menurut beliau, kerana semuanya berlaku dengan pantas, maka

mangsa dan penyerangnya tidak dilanggar oleh van dan/ atau FRT

berkenaan.

[81] Bagi mendapatkan kepastian dan memuas hati saya mengenai isu

ini, saya telah meminta satu demostrasi secara langsung van EMRS

mengundur dalam kelajuan 17kmj diadakan di perkarangan mahkamah

ini. Demostrasi ini telah diadakan pada 15.5.2019. Walaubagaimana pun,

secara jujur, dari demostrasi ini, saya hanya dapat melihat kelajuan 17kmj

tersebut, tetapi masih tidak dapat mengambarkan kesemua gerakan-

gerakan yang dinyatakan oleh SI 29 tersebut berlaku tanpa sesiapa

mengalami kecederaan akibat dilanggar oleh sekurang-kurangnya daun

pintu van yang sedang mengundur dalam keadaan pintu depan kirinya

terbuka itu.

[82] Berikutan itu, saya telah sekali lagi meneliti keterangan-keterangan

yang ada di hadapan saya dan menganalisanya dengan teliti. Akhirnya,

saya telah mendapat kepastian dan keyakinan dengan teori SI 29 ini

apabila saya meneliti kembali keterangan SI 6 (PB Hazim) yang sedang

bersembunyi dalam keadaan berbaring di bahagian tengah van EMRS

tersebut sewaktu kejadian.

{83] Menurut SI 6, semasa berada di dalam van tersebut beliau dapat

melihat ke luar dan menyedari bahawa pada satu ketika pergerakan van

itu bukan mengundur lurus ke belakang tetapi menyenget sebelum ia

berpusing dan seterusnya sisi kirinya merapat dan bergesel dengan sisi

kiri jentera FRT. Keterangan SI 6 yang relevan adalah seperti berikut:

S) Bila masa awak rasa EMRS diketuk

Page 25: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

25

J) Bunyi ketukan kuat pada EMRS (bila) kena serang itu saya

dengar sejak EMRS mula mengundur lagi.

S) Bila rasa digoncang?

J) Sepanjang mengundur itu memang ada ketukan dan bergoncang. Van bergoyang paling kuat semasa van mula-mula senget.

......

J) Saya nampak EMRS itu menyenget dan berpusing kerana (ketika itu) saya dah boleh nampak melalui cermin yang pecah akibat helmet masuk. Saya nampak kawasan perumahan dan

saya tahu pergerakan senget dan memusing.

Jarak masa saya naik EMRS dan ia mula berpusing sangat cepat 9-10 saat sahaja, memang cepat.

S) Ketika helmet masuk ke van itu masa itu EMRS dah berpusing penuh ke belum

J) Masa itu dia (EMRS) dah senget tetapi belum rapat ke FRT dan pada masa itu ketukan (ke badan van) dah makin kuat.

[84] Dari keterangan SI 6 ini, yang juga konsisten dengan keterangan

pemandu van EMRS (SI 3), adalah jelas bahawa van yang sedang

ditolak oleh FRT itu, pergerakkannya bukan sepanjang masa mengundur,

tetapi ada satu ketika pergerakannya adalah mula menyenget, senget

dan seterusnya terpusing. Van ini yang pada awalnya menghadap ke

arah kuil ( arah atas dalam rajah kasar eksibit I 6) telah terpusing

menghadap ke arah Stesen Minyak Caltex (arah bawah dalam rajah

kasar eksibit I 6). Kedudukan van EMRS yang telah terpusing sepenuhnya

ini telah dirakamkan dalam saat ke 39 video I 38 sebagaimana yang

telah dibincangkan.

[85] Dalam proses van EMRS menyenget itu, SI 6 dapati cermin sisi kiri

dan belakang van pecah dan dua helmet telah masuk ke bahagian tengah

Page 26: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

26

van di mana SI 6 sedang berada itu melalui pecahan cermin-cermin ini.

Pada ketika ini juga, SI 6 mendengar ketukan pada badan van dan

merasakan goncangan van itu semakin kuat berbanding dengan

sebelumnya.

[86] Berdasarkan keterangan SI 6 ini, saya percaya apa yang dinyatakan

oleh SI 29 di dalam teorinya mengenai apa yang telah menimpa arwah

Adib itu, telah berlaku ketika mana van berkenaan mulai dan dalam

proses menyenget tetapi sebelum ianya terpusing. Penelitian saya sekali

lagi kepada rakaman video I 38, telah mendapati bahawa saat-saat inilah

yang telah tidak terakamkan oleh perakam video berkenaan. Saya

berpuas hati bahawa inilah detik-detik 13 saat yang didapati hilang dari

video I 38 yang telah saya nyatakan sebelum ini.

[87] Secara logiknya, pergerakan van yang menyenget akibat ditolak

oleh FRT itu tidak akan selaju pergerakan sewaktu ia ditolak terus dan

lurus ke belakang. Keadaan pergerakan yang lebih perlahan ini, sudah

tentu memberikan peluang yang lebih kepada penyerang-penyerangnya

untuk bertindak lebih ganas terhadap van EMRS tersebut. Oleh itu, tidak

mustahil ketika inilah arwah Adib telah ditarik dan dicederakan

sebagaimana teori SI 29 tersebut. Ini kerana pada ketika inilah juga, SI 6

telah mendengar ketukan pada badan van menjadi semakin kuat. Begitu

juga dengan goncangan badan van, ia dirasai memuncak oleh SI 6 pada

ketika itu. Dalam waktu ini juga, dua biji topi keledar telah termasuk ke

dalam van dan memecahkan cermin sisi kiri dan belakang van

berkenaan .

[88] Sehubungan itu, setelah saya menilai dan meneliti laporan dan

keterangan dari kedua-dua pakar patologi forensik ini serta

membandingkannya dengan keseluruhan keterangan yang ada di dalam

inkues ini, saya telah memutuskan untuk menolak teori SI 24 dan

Page 27: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

27

sebaliknya menerima teori SI 29 mengenai mekanisma bagaimana

terhasilnya kecederaan BCT yang membawa ajal kepada arwah Adib .

[89] Keputusan ini dibuat kerana selain dari apa yang telah dinyatakan,

saya juga mendapati dapatan dan teori SI 24 bukan hanya tidak konsisten

dengan keterangan hal keadaan yang dibentangkan oleh saksi-saksi di

tempat kejadian, malahan, keterangan SI 24 ini adakalanya tidak

konsisten dengan dapatannya sendiri.

[90] Laporan bedah siasat yang disediakan oleh SI 24 ( eksibit I 25) di

paragraph 28 dengan jelas menyatakan, bahawa SI 24 tidak dapat

menentukan samada arwah keluar sendiri atau ditarik oleh orang lain dari

dalam van EMRS tersebut. SI 24 juga membuat kesimpulan di paragraph

29 bahawa beliau juga tidak dapat secara selamat mengenepikan

dakwaan bahawa arwah mengalami kecederaan BCT tersebut akibat

terhimpit di antara dua permukaan yang keras sehingga bukti-bukti

sokongan lain yang kredibel diperolehi.

[91] Laporan I 25 ini ditarikhkan oleh SI 24 pada 18.1.2019.

[92] Namun, apabila beliau hadir memberikan keterangan lisannya di

mahkamah ini pada 22.3.2019 dan tarikh-tarikh seterusnya, SI24 telah

dengan yakin dan secara konklusif menyatakan bahawa arwah Adib telah

turun sendiri dari van berkenaan. Kecederaan BCT yang dialaminya pula,

adalah secara definitif akibat bahagian atas dada kanannya terhentak

apabila beliau jatuh terhumban ke permukaan yang keras dan tertonjol.

[93] Pada masa yang sama, SI 24 tidak pula menyatakan, apatah lagi

membentangkan apa-apa ujikaji saintifik yang baru dijalankannya selepas

penyediaan I 25 tersebut yang telah membuktikan kedua-dua perkara

tersebut secara definitif. Tiada juga makluman mengenai perkembangan

Page 28: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

28

siasatan yang telah menemui bukti baru yang kredibel mengenai

perkara tersebut dinyatakan oleh SI 24.

[94] Apabila saya meneliti paragraph 26 eksibit I 25 ini, ternyata SI 24

telah dibekalkan dengan maklumat yang tidak tepat mengenai waktu

kehilangan arwah Adib disedari oleh pemandu van EMRS (SI 3 ). SI 24

dimaklumkan bahawa arwah telah didapati tiada di dalam van EMRS itu

selepas jentera FRT itu tiba-tiba mengundur secara mengejut dan

menghentam bahagian hadapan EMRS. Sebagaimana yang telah

dijelaskan, fakta adalah, arwah masih berada di dalam EMRS tersebut

selepas hentakan pertama antara kedua-dua kenderaan tersebut berlaku.

[95] Pada hemat saya, jika berdasarkan maklumat yang diperolehinya,

adalah munasabah dan boleh difahami untuk SI 24 merumuskan arwah

Adib yang panik dan ketakutan apabila melihat van yang dinaikinya akan

dihentam oleh FRT, telah bertindak turun sendiri dari van tersebut.

[96] Apabila dengan maklumat yang tidak tepat ini pun, SI 24 tidak dapat

mengenepikan (rule out) kemungkinan arwah telah ditarik oleh orang lain,

maka saya tertanya-tanya, apakah asas keterangan lisan beliau yang

secara konklusif dan penuh keyakinan itu untuk mengatakan arwah Adib

telah turun sendiri dari van EMRS tersebut?.

[97] Apabila disoal mengenai perkara ini, SI 24 hanya menyatakan

beliau telah mengikuti keterangan setiap saksi di dalam inkues ini kerana

setiap perkembangan prosiding ini diberikan liputan media yang meluas.

[98] Penjelasan ini telah makin mengelirukan saya. Ini kerana selaku

koroner yang mendengar setiap saksi di dalam inkues ini, saya mendapati

tiada seorang pun saksi yang tampil memberikan keterangan telah melihat

atau mendakwa ada pengetahuan bahawa arwah Adib telah turun sendiri

dari van EMRS tersebut.

Page 29: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

29

[99] SI 24 telah sekali lagi mengelirukan saya apabila

membentangkan dokumen berjudul ‘Kebarangkalian Yang Paling Boleh

Berlaku Berdasarkan Corak Kecederaan Pada Mangsa’ iaitu eksibit I 51.

[100] Apa yang saya faham dari pembentangan I 51 ini adalah, dada

atas kanan dan lengan atas kanan arwah Adib telah terhentak pada bahu

jalan (curb) apabila arwah turun sendiri dan belakang kirinya dihentam

oleh hujung daun pintu van EMRS yang sedang mengundur. Dalam I 51

ini dan juga rakaman video rekonstruksi kejadian ( eksibit I 58) yang

dilakukan oleh PDRM atas nasihat SI 24 sendiri, telah menunjukkan

personaliti yang melakonkan watak arwah Adib telah jatuh terhentak pada

satu curb bahu jalan.

[101] Walaubagaimana pun, di satu bahagian keterangannya

(setelah ditunjukkan dan terbukti bahawa di kiri kanan bahu jalan tempat

kejadian pada malam tersebut dipenuhi dengan kereta dan kenderaan-

kenderaan lain yang diparkir), SI 24 telah menafikan bahawa beliau telah

memilih curb bahu jalan itu sebagai satu objek yang spesifik. Apabila

disoal oleh Puan Syazlin Mansor selaku peguam keluarga arwah, SI 24

telah mengatakan, gambar bahu jalan dengan petunjuk anak panah

berwarna kuning sedang menunjuk (pointing) ke arah curb bahu jalan di

muka surat akhir eksibit I 51 itu, sebenarnya tidak mempunyai apa-apa

signifikan pun untuk dilampirkan bersama-sama di dalam eksibit I 51 yang

beliau sendiri sediakan tersebut.

[102] Saya mendapati, adalah pelik dan agak bercanggah, apabila

I 51 dikemukakan dengan urutan dan muka surat akhirnya sedemikian

rupa dan video rekonstruksi PDRM juga dilakonkan untuk memberikan

gambaran yang serupa, tetapi, SI 24 pula, telah menyatakan apa yang

beliau maksudkan adalah arwah Adib telah terhumban dan terhentak

pada apa-apa sahaja objek yang berada di bahu jalan itu yang secara

Page 30: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

30

umumnya mempunyai ciri-ciri keras, sedikit kasar, lebar, luas dan

tertonjol.

[103] Saya sedar, akur dan telah pun memberikan pertimbangan

kepada fakta bahawa SI 24 adalah pakar yang telah melakukan bedah

siasat (post mortem) terhadap jasad arwah Adib. Dengan itu juga, SI 24

telah berpeluang memeriksa dan melihat kecederaan-kecederaan dan

petunjuk-petunjuk patologi yang terdapat pada jasad arwah dengan mata

kepalanya sendiri. Namun, dengan penuh hormat kepada SI 24, saya

berpendapat, peluang ini tidak memberikan semua kelebihan kepada

beliau berbanding dengan SI 29.

[104] Sebagai contoh, di dalam menentukan jenis kepatahan pada

dua tulang rusuk kanan belakang arwah (no. 3 dan 4), saya dapati kedua-

dua pakar ini hanya bergantung kepada satu imej CT scan tulang

berkenaan sahaja. Dari imej ini, SI 24 mengatakan tulang tersebut telah

patah berpilin (spiral) dengan itu menunjukkan arwah telah terhumban

dan terhentak pada bahagian dadanya. SI 29 pula, menegaskan bahawa

tulang yang sama itu mengalami kepatahan jenis oblique yang

terhasil apabila bahagian dada dan belakang kanan arwah telah

terhimpit antara pintu depan kiri van EMRS dan jenangnya apabila pintu

tersebut diteranjang lalu menghentam dada kanan arwah.

[105] Di dalam perkara ini, saya dapati SI 24 gagal menggunakan

kelebihannya selaku pakar yang menjalankan bedah siasat. Ini kerana

beliau tidak memotong, mengeluarkan, membuang salutan daging,

membersihkan dan memeriksa tulang berkenaan serta

mendokumentasikan setiap tindakan itu bagi membuktikan penemuan

beliau bahawa tulang itu telah patah secara berpilin. Justeru pada hemat

saya, SI 24 dan SI 29 adalah dalam keadaan duduk sama rendah dan

berdiri sama tinggi di dalam perkara ini.

Page 31: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

31

[106] Selain dari itu, asas saya dalam menerima teori SI 29 dan

menolak teori SI 24 di dalam menentukan mekanisma kecederaan fatal

yang dialami arwah Adib, adalah keterangan pakar fizik iaitu SI 30.

[107] Dr Amir Radzi Bin Ab Ghani (SI 30) adalah pensyarah kanan

di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Cawangan Shah Alam dan Ketua

Automotive Research and Testing Centre (ArTeC) di Universiti

berkenaan. Setelah saya meneliti biodata beliau yang memberikan

maklumat mengenai kelayakan akademik, bidang kepakaran,

pengalaman mengajar, terbitan-terbitan dan program/projek kajian yang

beliau sedang dan telah terlibat, saya berpuas hati bahawa SI 30

mempunyai kepakaran dan pengalaman yang tepat dan bersesuaian di

dalam bidang fizik bagi membantu saya di dalam inkues ini. (Biodata SI

30 telah ditandakan sebagai eksibit I 124).

[108] Oleh itu, SI 30 telah saya jemput khusus ke dalam inkues ini

bagi membantu mahkamah memutuskan apakah formula pengiraan daya

yang tepat bagi mengira impak/hentaman yang dikenakan pada belakang

kiri arwah Adib oleh hujung daun pintu depan kiri van EMRS yang sedang

mengundur dalam keadaan pintu tersebut terbuka.

[109] Sebelum memberikan keterangannya, SI 30 telah

dimaklumkan bahawa adalah fakta yang tidak dipertikaikan di dalam

inkues ini, bahawa belakang kiri arwah Adib telah dihentam oleh hujung

daun pintu depan kiri van EMRS yang sedang mengundur. Berdasarkan

video I 38 yang dipertontonkan kepadanya pula, SI 30 turut bersetuju

bahawa kelajuan van itu mengundur tidak melebihi 17kmj sebagaimana

yang dianggarkan oleh SI 29.

[110] Berdasarkan fakta-fakta tersebut, SI 30 telah membentangkan

pendapat pakarnya yang secara muktamad menolak formula pengiraan

Page 32: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

32

daya yang dibuat oleh SI 24. Menurut SI 30, pengiraan daya oleh SI 24

adalah tersasar. Ini kerana SI 24 telah mengambil kira keseluruhan berat

van EMRS sebanyak 1800 kg bagi mendapatkan jumlah impak/hentaman

berkenaan. Sedangkan, dalam ilmu fizik, pintu yang bersambung dengan

badan van EMRS secara pinjoinned (dengan ensel) dan bebas berayun

pada paksinya sendiri adalah satu objek yang berasingan dari badan van

berkenaan.

[111] Penyambungan secara pinjoined ini menjadikan pintu dan

badan van EMRS ini dua objek yang berasingan dengan masing-masing

mempunyai pusat gravitinya yang tersendiri. Oleh kerana belakang kiri

arwah Adib dilanggar oleh hujung daun pintu van EMRS dan bukannya

van EMRS itu sendiri, maka daya yang dikenakan pada belakangnya

adalah daya yang melalui pusat graviti daun pintu itu sahaja. Dalam

keadaan ini, menurut SI 30, pengiraan daya yang tepat bagi mencari

kekuatan impak yang mengenai belakang arwah Adib adalah dengan

hanya mengambil kira berat jisim pintu depan kiri van EMRS tersebut

dan kelajuan van itu sahaja.

[112] Hasil pemeriksaannya pada pintu depan kiri van EMRS yang

dinaiki oleh arwah Adib di dalam kejadian ini, SI 30 telah menganggarkan

berat maksima pintu tersebut adalah 30 kg. Berdasarkan maklumat itu, SI

30 telah membuat dan menunjukkan kepada inkues ini pengiraannya

yang mendapati daya yang terhasil dan mengenai badan arwah Adib

adalah sebanyak 382 Newton yang bersamaan dengan 40 kg. Menurut

SI 30, jumlah ini tidak cukup untuk menyebabkan badan arwah Adib yang

mempunyai jisim badan seberat 80 kg untuk terpelanting atau terhumban.

[113] Sebaliknya, SI 30 bersetuju dengan experimen oleh SI 29 yang

menunjukkan ‘stuntman’ yang dilanggar oleh hujung daun pintu EMRS

yang mengundur dalam kelajuan 17kmj hanya terjatuh dalam keadaan

Page 33: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

33

biasa (naturally fell) berhampiran dengan EMRS itu sahaja. Menurut SI

30, dapatan dan hasil experimen oleh SI 29 ini adalah in good agreement

dengan experimen hayunan pendulun yang beliau sendiri jalankan.

Experimen SI 30 menunjukkan pemakaian kusyen di badan stutman itu

tidak akan menyerap atau mengubah daya yang dihasilkan secara

signifikan. Oleh itu, hasil experimen oleh SI 29 tidak terjejas dan boleh

digunapakai bagi menunjukkan situasi sebenar yang akan berlaku jika

arwah Adib turun sendiri dari van EMRS tersebut.

[114] SI 30 juga menerangkan, dalam hukum fizik arah pergerakan

objek yang terkena hentaman adalah mengikut arah daya yang

menghentamnya. Oleh itu, teori SI 24 yang dimanifestasikan melalui

eksibit I 51 dan rakaman video lakonan semula kejadian (exhibit I 58)

yang menunjukkan arwah Adib terhumban ke arah bahu jalan di sebelah

kiri jalan apabila terkena hentaman dari hujung daun pintu depan kiri van

EMRS yang terbuka semasa van itu sedang bergerak mengundur ke

belakang, adalah menyalahi hukum fizik ini.

[115] Mengaplikasikan hukum fizik mengenai arah pergerakan objek

yang terkena hentaman seperti yang dijelaskan oleh SI 30 ini, saya

membuat dapatan, bahawa jika arwah turun sendiri dari van EMRS itu

dan belakangnya dihentam oleh hujung daun pintu EMRS yang sedang

mengundur dan impak hentaman adalah tidak mencukupi untuk

menyebabkan beliau terpelanting atau terhumban jauh sebagaimana

yang telah dijelaskan, maka kemungkinan yang paling mungkin terjadi

adalah, arwah akan mendapat kecederaan ‘crush injury’ dan bukannya

BCT. Ini kerana, mengikut hukum fizik tersebut, arwah juga akan

bergerak ke belakang mengikut arah daya yang menghentamnya. Jika ini

yang berlaku, sudah tentu arwah akan terjatuh di dalam laluan van EMRS

dan FRT yang sedang mengundur di dalam situasi cemas dan tergesa-

Page 34: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

34

gesa itu. Dalam keadaan ini, sudah tentu arwah Adib akan digilis oleh

tayar van EMRS dan/atau tayar jentera FRT dan mati serta merta di

tempat kejadian.

[116] Di samping itu, SI 30 selaku pakar reka bentuk automotif yang

perlu mengambil kira ciri-ciri keselamatan di dalam rekaannya, telah

memberikan pendapat beliau bahawa adalah tidak mungkin sesuatu

kenderaan dihasilkan dan dikeluarkan ke dalam pasaran sekiranya orang-

orang yang menaikinya atau menuruninya akan mengalami kecederaan

kerana tersagat di mana-mana bahagian kenderaan berkenaan.

[117] Dengan yang demikian, teori arwah telah turun sendiri dari

van EMRS berkenaan pada malam kejadian tersebut, tanpa pilihan

terpaksa saya tolak.

[118] Selain itu, saya mendapati teori mengenai mekanisma

kecederaan BCT arwah Adib oleh SI 29 ini, adalah juga konsisten dengan

fakta terjumpanya dua buah topi keledar yang bukan kepunyaan pasukan

bomba di dalam bahagian tengah van EMRS dan fakta bahawa cermin

tengah kiri dan belakang van ini yang telah didapati pecah selepas

kejadian.

[119] SI 29 telah melakukan experimen dengan menggunakan van

EMRS dari jenis dan model buatan yang sama dengan van EMRS yang

dinaiki arwah Adib semasa kejadian. Experimen ini menunjukkan topi

keledar hanya boleh masuk ke dalam van EMRS yang tertutup melalui

cermin yang dipecahkan. Cermin van itu pula tidak akan pecah sekiranya

topi keledar tersebut dibaling dan mengenai cerminnya dari jarak jauh.

Sebaliknya, topi keledar tersebut akan melantum balik jika dibaling.

Seterusnya, ujikaji ini menunjukkan bahawa cermin sisi kiri dan belakang

van EMRS itu telah pecah dan topi keledar yang digunakan telah jerlus

Page 35: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

35

masuk ke dalam van berkenaan apabila ianya diketuk dengan kuat dan

berkali-kali dalam jarak dekat (at arm length) ke cermin tersebut. Rumusan

dari experimen ini adalah, sememangnya ada orang yang berdekatan

dengan van EMRS pada malam kejadian yang telah menghentak-

hentakkan topi keledar yang dijumpai itu ke cermin sisi kiri EMRS (di mana

arwah Adib berada) dan cermin belakang EMRS sehingga pecah dan

topi keledar itu telah termasuk dan tertinggal di dalam bahagian tengah

van EMRS di mana ianya ditemui ( video ujikaji SI 29 eksibit I 102 – I 105

dirujuk).

[120] Rumusan experimen SI 29 ini adalah konsisten dengan

keterangan pemandu EMRS itu sendiri (SI 3) dan PB Hazim (SI 6) yang

sedang bersembunyi di bahagian tengah van tersebut. Mereka berdua

telah menyatakan mereka mendengar ketukan yang kuat dan bertalu-talu

di sekeliling badan EMRS. Pada masa yang sama, mereka dapat

merasakan EMRS ini digoncangkan ke kiri dan kanan. Malahan, SI 3 telah

menyatakan ada tiga lelaki bertopi keledar yang tidak dikenali telah cuba

membuka pintu di sebelahnya (pintu pemandu).

[121] Menurut SI 3 dan SI 6, situasi ketika ini amat runcing dan

menakutkan. Suasana gamat dengan bunyi teriakan dan ketukan bertalu-

talu pada keseluruhan badan van EMRS. Van pula telah digoncangkan

dengan kuat. Pada masa ini, mereka berada dalam ketakutan dan

merasakan keselamatan nyawa mereka sedang terancam. Perlu diingat

perkara ini berlaku sebelum EMRS terpusing, dan sebagaimana yang

telah dijelaskan sebelum ini, ketika ini arwah Adib masih berada di dalam

van berkenaan.

[122] Berdasarkan keterangan SI 3 dan SI 6 ini, adalah amat

munasabah untuk dibuat inferen bahawa, pada ketika itu arwah Adib

juga sedang menghadapi situasi yang sama dan mempunyai perasaan

Page 36: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

36

yang serupa dengan dua rakan sejawatannya ini. Jika SI 3

mempertahankan pintunya dari dibuka oleh 3 lelaki bertopi keledar yang

tidak dikenalinya itu seolah-olah keselamatan nyawanya bergantung

kepada pintu itu dan SI 6 yang sedang berada di luar EMRS pula telah

berlari dan melompat masuk ke dalam van EMRS kerana merasakan itu

adalah pilihan yang paling tepat dan van EMRS adalah tempat yang

paling selamat baginya bila mana FRT telah diserang perusuh. Maka,

dari segi logik adalah amat mustahil untuk arwah Adib yang sedang

berada di dalam van EMRS itu, telah tiba-tiba membuka pintunya dan

bertindak keluar sendiri dari van tersebut. Tindakan ini adalah mustahil

dibuat oleh arwah di dalam situasi tersebut kecualilah beliau memang

sengaja ingin menempah maut. Oleh itu, satu-satunya kesimpulan yang

munasabah bagi menjelaskan bagaimana arwah boleh berada di luar van

EMRS pada malam tersebut adalah, beliau telah ditarik keluar oleh

orang-orang yang berada di sebelah kiri van EMRS yang sedang

menganas dan bertindak di luar kawalan mengetuk dan mengoncang van

itu bertalu-talu.

[123] Perbuatan beramai-ramai mengetuk bertalu-talu badan van

EMRS, menggoncang-goncangkannya dan cuba membuka pintu SI 3,

jelas menunjukkan para pelakunya mempunyai niat jahat terhadap

anggota bomba yang sedang berada di dalam van berkenaan. Mereka ini

sedang dirasuk dan sudah dikuasai oleh perasaan marah yang

memuncak. Dalam keadaan ini, tidak mustahil mereka telah bertindak di

luar kawalan dan melampaui batas-batas peradaban dengan

melampiaskan kemarahan yang menggila itu kepada arwah Adib dengan

menariknya keluar dari van itu dan mencederakannya.

Page 37: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

37

[124] Sebagaimana yang telah dijelaskan, saya percaya situasi ini

berlaku ketika mana pandangan perakam video I 38 ke arah jentera FRT

dan van EMRS tersebut sedang terhadang.

[125] Dengan ini, saya membuat dapatan fakta bahawa arwah Adib

telah ditarik keluar dari van EMRS dan dicederakan oleh orang-orang

yang tidak dikenali yang berada di sebelah kiri van dan sedang bertindak

ganas terhadap van tersebut. Arwah dicederakan dengan menerajang

pintu depan kiri van tersebut sehingga menghentam dada atas kanan

arwah dan menyebabkan kecederaan BCT yang seterusnya membawa

maut kepada arwah Adib.

[126] Selain dari apa yang telah dijelaskan sebelum ini, saya juga

menyandarkan dapatan ini kepada fakta bahawa teori ditarik keluar dari

van EMRS oleh orang lain yang diutarakan oleh SI 29 ini juga telah

disokong oleh arwah Adib sendiri. Arwah Adib telah memaklumkan inkues

ini bahawa pada malam kejadian beliau telah ditarik di bahagian bahu

kirinya dari tempat duduknya di dalam van EMRS tersebut. Maklumat ini

disampaikan arwah melalui saksi SI 16 dan dokumen ‘dying declaration’

(exhibit I 31) yang beliau buat kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat

Subang Jaya iaitu SI 18 pada 12.12.2018.

[127] Keraguan mungkin ditimbulkan mengenai kenapa arwah

hanya menceritakan perkara ini kepada SI 16 dan SI 18, tetapi tidak

kepada pegawai penyiasat (SI 28) apabila ditanya mengenai perkara yang

sama. Sementelah pula, pertanyaan IO kepada arwah itu dibuat pada pagi

hari yang sama di mana arwah telah membuat ‘dying declaration’ nya

kepada SI 18 yang melawatnya di IJN pada sebelah petang.

[128] Bagi merungkai persoalan ini, saya telah menimbangkan dan

menilai keterangan SI 16 dan SI 18 ini dengan teliti dan berhati-hati. Saya

Page 38: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

38

juga telah mengamati tingkah laku (demeanor) dan emosi mereka yang

terzahir di kandang saksi. Hasil pengamatan saya, saya mendapati ada

satu perbezaan yang amat ketara antara kedua-dua saksi ini dan IO kes

ini iaitu ASP Lew Keng Joe (SI 28).

[129] Perbezaan ini ialah, wujudnya perhubungan jiwa atau bonding

serta kepercayaan (trust) di antara kedua-dua saksi ini dengan arwah

Adib. Saya dapati elemen ini pula, langsung tidak wujud di dalam

perhubungan antara arwah Adib dan SI 28.

[130] Dari keterangan saksi Muhammad Ashraff Bin Baruji (SI16)

jelas tergambar bahawa di samping menjalankan tugasnya sebagai salah

seorang team ECMO yang bertanggungjawab menjaga arwah Adib di wad

ICU IJN, beliau telah turut membina persahabatan yang akrab dengan

arwah Adib di sepanjang proses tersebut.

[131] Semenjak hari pertama kemasukan arwah Adib ke IJN , SI 16

telah secara sukarela memberikan khidmatnya untuk menjaga Arwah Adib

di ICU selepas tugasan hakikinya di dewan bedah selesai. Setelah arwah

sedar dan keadaannya mengizinkan, SI 16 telah membantu arwah

melakukan fisioterapi, memandikan dan membersihkan badan arwah

termasuklah bila arwah membuang air besar. Di samping itu, SI 16

sentiasa memberikan kata-kata semangat dan galakan kepada arwah

untuk kembali sembuh. Beliau juga pernah menemankan arwah

menonton TV dan mengusiknya apabila arwah nampak bersemangat

sewaktu menyaksikan perlawanan bola yang melibatkan pasukan bola

sepak negara. Arwah Adib pula, akan meminta jururawat memanggilkan

SI 16 jika beliau inginkan sesuatu. Jika arwah inginkan ibu dan bapanya

datang ke katilnya, arwah akan hanya meminta SI 16 untuk mencari dan

menyampaikan hasratnya kepada ibu bapanya. Mengikut rutin arwah di

IJN, SI 16 adalah orang terakhir yang akan bersama dengan arwah pada

Page 39: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

39

setiap hari. SI 16 bertanggungjawab untuk memastikan arwah telah

disiapkan untuk tidur dan melakukan fisioterapi ringan sebelum arwah

tidur pada setiap malam. SI 16 juga akan menerangkan kepada arwah

Adib mengenai perancangan doktor dan aktiviti dalam perawatan arwah

untuk keesokan hari.

[132] Ikatan jiwa yang terjalin antara saksi ini dan arwah Adib amat

terserlah dari emosi SI 16 yang sering kali kelihatan sebak bahkan pada

satu ketika telah menangis apabila menceritakan detik-detik beliau

bersama dengan arwah Adib di IJN. Maka tidak hairanlah, jika wujud

kepercayaan antara mereka sehingga Arwah Adib telah meluahkan

kepada SI 16 mengenai tragedi yang menimpanya pada malam kejadian.

Petikan keterangan saksi ini yang relevan adalah seperti berikut:

“S71: Sepanjang kamu jaga Adib, ada kamu bertanya kepada Adib berhubung kecederaan dia alami?

J71: Ada.

S72: Boleh beritahu mahkamah J72: Pada malam tu, baru lepas fisioterapi, bila saya mula kemaskan Adib

untuk tidur, saya bertanyakan soalan, “Adib, Adib ingat tak apa yang jadi”. Pada mulanya Adib menggelengkan kepala, kemudian saya cakap dengan dia, “tak pe lah bila Adib dah ready nak cerita, bagitahu je“. Kemudian bila saya memusingkan badan untuk beredar, Adib menarik lengan baju saya, Adib angguk, dan tunjuk isyarat nak menulis. Saya bagi papan putih kepada Adib, saya tanya pada dia, “Adib kena tarik ke?”, dengan menggunakan tangan kiri, dia tunjukkan isyarat tangan menarik-narik di bahu kirinya. Saya tanya lagi kepada dia “Adib, jatuh ke?”. Adib gelengkan kepala dan buat isyarat dengan pusing-pusingkan pergelangan tangannya. Saya tanya lagi, “Adib ingat Adib kena pukul ke?”. Adib angguk.

Mahkamah :(saksi kelihatan sebak dan emotional) Kemudian saya tanya lagi, “Adib sedar time Adib kat mana?”. dia guna jari telunjuk kiri dan buat tanda isyarat tunjuk ke bawah. Saya faham maksud dia, dia sedar semasa di IJN. Lepas itu dia dah mula gerakkan kaki, tangan, saya cakap dengan Adib, kita sambung nanti, sekarang Adib rehat. Kemudian saya pun beredar dari katil. “

Page 40: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

40

[133] Persahabatan dan ikatan jiwa yang sama juga sudah tentu

telah lama dan sedia terjalin antara arwah dan ketuanya, Tuan Syed

Shahril Anuar Bin Syed Sulaiman (SI 18). SI 18 telah memaklumkan

bahawa di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, hubungan

sesama mereka adalah sepertii adik beradik. Kerana usianya yang paling

muda, arwah Adib dianggap sebagai adik mereka yang paling bongsu di

balai berkenaan. Keterangan ini disokong oleh keterangan ayah arwah

Adib sendiri (SI 23) yang mengatakan sewaktu di IJN, arwah Adib jika

beliau berada dalam keadaan sedar, sentiasa kelihatan gembira dan

teruja apabila menerima kunjungan dari kawan-kawan sejawatan dan

ketuanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya iaitu SI 18.

[134] Keadaan adalah amat berbeza dengan ASP Lew Keng Joe

(SI 28). Beliau adalah orang asing bagi arwah Adib. Beliau tidak pernah

bertemu dan tidak pernah mengenali arwah Adib sebelum kejadian.

Tujuan beliau datang melawat arwah di IJN pada tarikh 12.12.2018 itu

adalah semata-mata atas tuntutan tugasnya selaku IO kes ini bagi

mendapatkan percakapan arwah dan melengkapkan kertas siasatan.

Maka, tidak hairanlah jika arwah Adib mempunyai reservation dan tidak

terus berkongsi peristiwa tragis yang dialaminya dengan SI 28. Apabila

SI 28 setelah memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis

bertanyakan soalan “adakah kamu dilanggar atau dipukul?”, arwah

Adib tidak menjawap, sebaliknya, beliau menjadi gelisah dan kelihatan

beremosi. Beliau telah cuba menarik hose di mulutnya, tetapi sempat

dihalang dan ditenangkan oleh para jururawat. Pada hemat saya, tindak

balas sebegini menunjukkan bahawa arwah sebenarnya sedar dan tahu

apakah yang telah menimpanya pada malam kejadian itu. Ia juga

menunjukkan bahawa arwah masih trauma dengan kejadian tersebut dan

Page 41: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

41

tidak bersedia untuk menceritakan kepada orang yang beliau tidak kenali

dengan sewenang-wenangnya.

[135] Saya juga percaya, ‘dying declaration’ arwah ( exhibit I 31)

dibuat oleh arwah dalam keadaan beliau sedar, rational dan waras akal

fikirannya. Laporan perubatan oleh IJN (exhibit I 23) menunjukkan

bahawa arwah tidak mengalami apa-apa kecederaan yang menjejaskan

fungsi otak atau mental kapasitinya (no neurological deficit). Apabila ubat

sedatif dikurangkan, arwah akan berada di dalam keadaan sedar dan

mampu memahami dan mengikut arahan-arahan yang diberikan para

doktor kepadanya.

[136] Tambahan pula, arwah Adib membuat ‘dying declaration’ ini

pada tarikh 12.12.2018 iaitu hari ke 14 arwah dirawat di IJN.

Sebagaimana laporan perubatan IJN (exhibit I 23) dan keterangan saksi-

saksi dari IJN, tarikh ini adalah hari di mana arwah berada di dalam

keadaan terbaiknya sepanjang tempoh 21 hari beliau dirawat di sana.

Pada tarikh ini, mesim ECMO dan right chest drain telah pun ditanggalkan

dari badan arwah. Aktiviti rehabilitasi beliau juga telah ditambah dan

arwah telah mengambil bahagian dengan sangat baik dalam aktiviti-aktiviti

tersebut. Hanya pada 14.12.2018, keadaan arwah kembali merosot dan

ubat sedatif yang boleh akibatkan halusinasi ditambahkan dosnya.

Selepas itu, keadaan arwah terus merosot sehinggalah beliau

menghembuskan nafas terakhirnya pada 17.12.2018 jam 9.41 malam.

Oleh itu, saya berpuas hati dan menerima ‘dying declaration’ arwah yang

dibuat pada hari terbaik beliau itu sebagai keterangan yang kuat dan

berkredibel di dalam inkues ini.

[137] Atas alasan-alasan yang telah dinyatakan, saya merumuskan

dan membuat dapatan fakta, bahawa sebagaimana teori SI 29 dan

keterangan-keterangan kredibel lain yang saling menyokong antara satu

Page 42: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

42

sama lain, kecederaan BCT yang membawa kematian arwah Adib itu

bukan akibat perbuatan arwah sendiri atau satu kemalangan. Sebaliknya,

ia adalah akibat perbuatan jenayah oleh sekurang-kurangnya 2 atau lebih

orang lain yang tidak dikenali yang telah menarik arwah dari tempat

duduknya di dalam van EMRS, meneranjang pintu depan kiri EMRS

sehingga ianya menghentam dada kanan arwah menyebabkan

kecederaan BCT tersebut, menghentak belakang kiri arwah ke hujung

daun pintu van EMRS dan seterusnya mengheret arwah ke tepi jalan

pada malam kejadian.

Kegagalan PDRM dan FRU Mengawal Rusuhan

[138] Selain itu, saya juga membuat dapatan bahawa kematian

arwah ini turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan PDRM dan FRU

mengawal rusuhan dan memberikan perlindungan yang sewajarnya

kepada pasukan bomba yang dianggotai arwah Adib yang hadir ke lokasi

bagi memadamkan kebakaran.

[139] Keterangan dari SI 6, jelas menunjukkan bahawa pada hari

yang sama telah berlaku beberapa siri kebakaran dalam rusuhan di

kawasan kuil tersebut. Walaubagaimana pun, setiap pasukan yang hadir

memadamkan tiga kebakaran sebelum itu, tidak menerima sebarang

serangan fizikal seperti yang dialami oleh pasukan yang disertai oleh

arwah Adib ini.

[140] Dalam post mortem kejadian yang dijalankan oleh BBP

Subang Jaya, mereka mendapat rumusan bahawa, kesemua pasukan

yang hadir memadamkan kebakaran yang dicetuskan dalam rusuhan

berkenaan telah turut menerima ancaman. Mereka telah diancam

dengan kata-kata ugutan dan amaran oleh perusuh yang tidak mahu

Page 43: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

43

kebakaran yang sengaja dicetuskan dipadamkan oleh bomba. Kata-kata

seperti ‘bomba balik’ dan ‘jangan padam’ telah dilaungkan perusuh

kepada kesemua pasukan sebelum itu. Namun, pada 3 kali kebakaran

yang pertama itu, pasukan polis ada berkawal di kawasan kebakaran dan

memberikan perlindungan kepada pasukan bomba yang bertugas.

Kawalan polis ini telah membolehkan pasukan yang awal tersebut

menjalankan tugas mereka dengan selamat dan kembali ke pengkalan

setelah kebakaran berjaya dipadamkan. Kumpulan perusuh yang berada

di perkitaran hanya mampu menghamburkan kata-kata ugutan tetapi tidak

boleh mendekati apatah lagi melakukan serangan fizikal terhadap jentera

atau anggota bomba dengan adanya anggota polis di persekitaran yang

berdekatan. Petikan keterangan SI 6 yang relevan adalah seperti berikut:

“S) Tadi kamu kata kamu terlibat dengan pemadaman

kebakaran kenderaan di Tol USJ pada jam 10.53 malam.

J) Ya

S) Masa kamu ke sana pukul 10.53 itu bagaimana keadaan di situ

J): Keadaan masa itu, memang ada kebakaran kereta tetapi masa itu polis ada untuk bantuan, kami dapat padamkan kebakaran. Ada juga orang yang bersorak dan ada yang naik motor ‘rem-rem’ pada kami. Ketika itu polis ada jadi kerja kami tidak terhalang. Lepas selesai, ambil maklumat dan kami balik ke balai, tidak ada apa-apa (masalah).

S) Selepas kejadian pukul 01.02 pagi pada 28/11/2018 itu ada

tak BBP Subang Jaya buat post mortem terhadap apa yang

berlaku

J) Ya ada, dibuat di Balai Bomba Subang Jaya yang melibatkan kesemua yang terlibat operasi kebakaran, jadi yang terlibat

adalah pasukan A, B dan C.

S) Jadi maknanya semua anggota di BBP Subang Jaya terlibat

J) Ya semua sekali terlibat.

Page 44: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

44

S) Apa maklumat yang didapatkan semasa port- mortem

tersebut.

J) Kita dapat tahu pasukan yang mula-mula pergi pada mula - mula kejadian pada 26/11/2018 iaitu pasukan A di mana pasukan ini terima laporan kejadian kebakaran 18 biji kereta pada waktu awal pagi. Mereka cakap masa mula-mula sampai itu orang awam kat situ marah-marahkan bomba dan tidak benarkan bomba padamkan kebakaran. Pada masa itu ada FRU dan polis, bila keadaan dah reda sedikit baru boleh padamkan kebakaran itu. Pemandu pasukan A pada malam itu ada beritahu kena ‘warning’ jangan padamkan api tapi dengan bantuan pihak polis api dapat dipadamkan. Pasukan B juga ada terima panggilan kebakaran rumah kongsi pada 26/11/2018 pada waktu petang. Pasukan B ini juga hanya boleh padamkan api dengan bantuan dan kawalan pihak polis. Bila polis kawal baru boleh padamkan. Seperti pasukan A mereka juga kena warning jangan padamkan api. Mereka (perusuh) macam marah-marah. Bila pihak polis dan FRU jaga

di kawasan itu baru boleh buat kerja.

[141] Oleh itu, adalah amat malang apabila kejadian yang menimpa

arwah Adib ini berlaku di dalam kehadiran dua trup FRU dengan kekuatan

ratusan keanggotaan. Trup 1A terdiri dari 2 pengawai dan 60

anggota.Manakala trup 4 B terdiri dari 3 pengawai dan 53 anggota.

Kedua-dua trup ini pula lengkap dengan 7 kenderaaan pelbagai jenis bagi

setiap pasukan. Mereka juga dibekalkan dengan perisai, pistol dengan

peluru, rifel, gas gum dan water canon. Malangnya, mereka hanya

melihat sahaja perusuh-perusuh yang telah mula bertindak liar dan di

luar kawalan termasuklah melakukan serangan ke atas jentera bomba.

[142] Pasukan FRU ini tidak mengambil apa-apa tindakan bagi

mengawal keadaan kerana arahan yang mereka terima sepanjang

berada di lokasi adalah ‘stand by’ (bersiap siaga) sahaja. Berikutan

arahan ini, mereka telah berkampung di situ selama dua hari dan hanya

bersiap siaga (stand by) sahaja di dalam kenderaan masing-masing.

Page 45: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

45

[143] Keterangan SI 21, iaitu G 16434 Suhaimi Bin Yaakub, selaku

pegawai penjaga Trup 1 A (FRU Cheras) di petik seperti berikut:

“saya telah berhubung dengan bilik gerakan IPD Subang Jaya untuk mendapatkan nombor telefon pegawai medan pada masa tersebut iaitu DSP Nasir dan selepas itu saya telah berhubung dengan DSP Nasir (SI 1) tetapi DSP Nasir tidak memberikan apa-apa arahan. Kemudiannya selepas lebih kurang 10 minit ketibaan pegawai pemerintah Unit 1 iaitu Superintendant Jupri, beliau telah datang ke trup 4 B iaitu ke Command Vehicle Trup 4 B. Saya telah berjumpa dengan Supt Jupri serta ASP Firdaus sebagai pegawai penjaga trup 4 B dan kami telah berbincang mengenai situasi semasa dan Supt Jupri telah cuba untuk berhubung dengan Ketua Polis Daerah Subang Jaya tetapi tidak dapat. Kemudian beliau telah berhubung pula dengan Timbalan Ketua Polis Subang Jaya dan memaklumkan keadaan semasa ketika tersebut dan arahan yang kami terima

adalah stand by.

S)Dari penilaian kamu sebagai OC Trup 1 A bagaimanakah keadaan orang ramai yang mana ada yang menyerang kenderaan bomba dan mengelilingi Trup 4 B, membaling objek dan sebagainya?

J) Keadaan orang ramai pada masa itu dari penilaian saya adalah di

luar kawalan.

Semasa kejadian ini selepas saya sendiri tidak dapat berhubung dengan OCPD (Subang Jaya), saya telah berhubung dengan

pegawai medan yang dilantik oleh IPD Subang Jaya iaitu DSP Nasir.

Saya dimaklumkan oleh bilik Gerakan Daerah bahawa DSP Nasir adalah pegawai medan dan kami akan melapor kepada beliau untuk mengesahkan kehadiran kami di situ. Saya telah bertanya kepada DSP Nasir untuk arahan dan arahan kepada saya adalah untuk

saya ‘stand by’.

[144] Keterangan juga menunjukkan ketika FRT dan van EMRS

yang dinaiki arwah Adib tiba ke lokasi kejadian, anggota polis tidak

kelihatan di kawasan kebakaran. Para perusuh pula telah berada di luar

kawalan. Mereka telah melakukan khianat dengan api. Mengumpulkan

kun-kun plastik pembahagi jalan dan menggunakannya untuk membakar

Page 46: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

46

sekali lagi sebuah kereta yang telah terbakar sehingga mengeluarkan

bunyi letupan yang kuat. Mereka mengelilingi kereta yang terbakar itu

sambil bersorak-sorak dan membaling objek-objek. Kemuncaknya ialah,

mereka telah menyerang jentera FRT sejurus ketibaan pasukan bomba

ke lokasi.

[145] Kebakaran kereta ini telah dilihat sendiri oleh pegawai medan

(SI 1) dan dua trup FRU berkenaan. Namun, di setiap peringkat keadaan,

arahan kepada FRU adalah sama, iaitu ‘stand by’. Petikan keterangan SI

1, iaitu pegawai medan bagi kejadian ini diperturunkan semula seperti

berikut:

“Seterusnya, selepas itu kami membuat kawalan sehingga 27/11/ jam 1.00 pagi saya dapati ada kenderaan di bahu jalan di Persimpangan USJ 16 telah terbakar dan saya mengarahkan Insp. Azmi menalifon bilik Gerakan IPD Subang Jaya untuk minta bantuan pihak bomba. Lebih kurang 15 minit kemudian bomba telah sampai melalui Jalan USJ 16. Apabila jentera bomba sampai di Persimpangan USJ 16, saya dapati yang disyaki berbangsa India berkumpul telah melontar objek keras ke arah cermin hadapan jentera bomba menyebabkan jentera bomba ini mengundur ke belakang dan telah terlanggar kenderaan di belakangnya dan seterusnya jentera bomba ke hadapan balik dan selepas itu mengundur balik dan hilang dari penglihatan kami.

S) Pada masa itu di mana kedudukan kamu

J) Saya berada di lampu isyarat Hicom anggaran jarak penglihatan 80-100 meter ke lokasi kejadian.

........

J) Saya berada di trafik light, saya mengawal lalu lintas. Di

hadapan kuil ada anggota lagi seramai 40 orang iaitu dari unit

lain berkawal.

Page 47: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

47

[146] Pada pendapat saya, kalaulah, di samping mengarahkan bilik

kawalan dihubungi bagi meminta bantuan pihak bomba memadamkan

kebakaran, pada masa yang sama, SI 1 juga menggunakan kuasanya

selaku pegawai medan untuk mengerakkan sekurang-kurangnya 40

anggota polis yang sedang berkawal di hadapan kuil itu ke kawasan

kebakaran berkenaan, peristiwa hitam dalam sejarah ini tidak akan

berlaku.

[147] Ini kerana telah terbukti sebelum itu, bahawa bila pihak polis

berkawal di lokasi, kebakaran 18 buah kereta dan rumah kongsi telah

dapat dipadamkan oleh pasukan bomba dari balai yang sama dengan

jayanya tanpa berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini.

[148] Saya juga percaya, dengan kekuatan dua (2) trup FRU yang

lengkap dengan senjata, kenderaan dan peralatan, orang ramai/perusuh

yang menurut SI 1 sendiri tidak melebihi 5 ribu orang itu, akan dapat

dikawal dan disuraikan. Malahan, mungkin dengan hanya sedikit gertakan

dari pihak FRU, sudah memadai untuk mengawal dan menyuraikan para

perusuh berkenaan. Ini kerana, menurut SI 17, satu teriakan ‘polis!, polis!’

dalam bahasa Tamil yang mungkin dari seseorang yang merasa simpati

kepada arwah Adib, telah berjaya menakutkan penyerang-penyerang

arwah sehingga mereka lari bertempiaran.

[149] Oleh itu, adalah amat dikesalkan apabila yang berlaku adalah

sebaliknya. OCPD Subang Jaya yang mana dalam kawasannya rusuhan

telah berlangsung selama dua hari telah tidak dapat dihubungi untuk

arahan. Timbalan OCPD yang tidak berada di lapangan pula, hanya

memberikan arahan stand by di dalam kenderaan walaupun taklimat dan

laporan tentang situasi semasa telah di sampaikan.

Page 48: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

48

[150] Dua Trup FRU yang terdiri dari seorang pegawai berpangkat

supritendan pula, terlalu rigid dalam mematuhi arahan dalaman mereka

iaitu satu dokumen sulit yang dipanggil POMAN (Public Order Manual).

Di dalam berbuat demikian, mereka telah terlupa atau mengabaikan

peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Polis 1967, Akta

Perhimpunan Aman 2012 dan Kanun Prosedur Jenayah sendiri yang

jelas memberikan mereka kuasa untuk bertindak bagi mengawal

ketenteraman, menyuraikan perhimpunan dan mencegah jenayah yang

sedang berlaku di depan mata.

[151] Mahkamah Rayuan di dalam kes Pendakwa Raya lwn

Rosman bin Saprey dan satu lagi rayuan [2018] 4 MLJ 139 telah

memutuskan seperti berikut:

[58] Jelasnya Ketua Polis Negara di bawah s 97 Akta, hanya berkuasa mengeluarkan ‘administrative orders’ yang dipanggil sebagai Perintah Tetap (Standing Orders). Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) dengan itu hanya merupakan perintah-perintah pentadbiran untuk tujuan ‘kawalan dan arahan dan maklumat am Pasukan dan semua badan yang ditubuhkan atau didirikan untuk menjalankan tugas-tugas polis’ di bawah Akta Polis 1967. PTKPN F103 jika pun diperbuat di bawah kuasa yang diberikan oleh s 97 tersebut, hanya bersifat ‘administrative order’ yang tidak dihasratkan untuk mempunyai kuat kuasa undang-undang ...... PTKPN F103 dikeluarkan hanya untuk kegunaan PDRM dan diklasifikasikan sebagai dokumen sulit atau rahsia. Maka itu, adalah suatu salah arahan untuk mengatakan PTKPN F103 mempunyai kuat kuasa undang-undang (force of law). Sesuatu instrumen undang-undang tidak boleh wujud dan berkuatkuasa secara sulit atau diklasifikasikan sebagai rahsia....”

[152] Dengan analogi yang sama, saya berpendapat pematuhan

kepada POMAN ini tidak boleh mengatasi keperluan atau dijadikan

justikasi atas kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab

Page 49: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

49

PDRM/FRU yang telah diperuntukkan di bawah undang-undang yang

termaktub.

[153] Lebih menyedihkan dan tidak masuk akal adalah, apabila

pegawai medan, iaitu SI 1 yang sejak awal berada di lokasi kejadian dan

menyaksikan sendiri tindakan-tindakan melampau para perusuh, telah

memaklumkan inkues ini, bahawa tugas beliau hanyalah mengawal trafik

dan lalulintas. Beliau langsung tidak mendedahkan kepada Mahkamah

bahawa beliau adalah pegawai medan ketika kejadian.

[154] SI 1 tidak mengambil apa-apa tindakan apabila melihat FRT

diserang dengan alasan beliau tidak cukup kekuatan anggota dan akan

hanya mendatangkan bahaya pada diri dan pasukannya jika beliau cuba

masuk ke kawasan kejadian.

[155] Alasan ini adalah amat dangkal dan sangat mengejutkan

inkues ini apabila kemudiannya mengetahui bahawa pada hakikatnya, SI

1 adalah pegawai medan yang berkuasa penuh di tempat kejadian. Beliau

gagal mengerakkan anggota untuk berkawal di lokasi kebakaran

sebagaimana beliau juga telah gagal untuk memberikan arahan

(command) kepada dua trup FRU yang siap sedia di lokasi menunggu

arahan bertindak daripadanya.

[156] Mustahil SI 1 tidak sedar akan peranannya sebagai pegawai

medan ketika itu. Ini kerana, sedari awal ke lokasi, 2 trup FRU ini telah

melaporkan ketibaan kepada beliau selaku pegawai medan yang

ditugaskan sebagaimana dimaklumkan oleh IPD Subang Jaya kepada

pegawai pemerintah trup-trup FRU berkenaan.

[157] Kegagalan pihak PDRM dan FRU menjalankan tugas dan

menggunakan kuasa sedia ada mereka di bawah undang-undang, terbukti

telah mengakibatnya arwah Muhammad Adib bin Mohd Kassim, seorang

Page 50: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

50

anggota EMRS dalam pasukan bomba yang dipanggil oleh bilik gerakan

IPD Subang Jaya sendiri ke lokasi kebakaran pada jam 1.02 pagi

28/11.2019, terkorban di tangan perusuh-perusuh sewaktu

melaksanakan tugasnya.

[158] Saya percaya, jika tindakan-tindakan wajar untuk mencegah

dan mengawal keadaan/rusuhan diambil sedari awal, nescaya kebakaran

itu sendiri tidak akan berani dicetuskan perusuh, dengan itu, pasukan

bomba tidak perlu dipanggil untuk memadamkannya dan seterusnya,

arwah Adib yang malang itu, tidak akan menemui ajalnya.

[159] Jika pun, serangan ke atas jentera FRT dan peristiwa yang

menyusul selepas itu berlaku dengan terlalu pantas dan tidak sempat

dihalang, namun, pada hemat saya, jika pihak PDRM dan/atau FRU

mengambil tindakan segera untuk memasuki kawasan kejadian, arwah

Adib mungkin tidak akan sempat dicederakan lebih lanjut oleh perusuh

selepas beliau ditarik dari van EMRS dan diseret ke tepi jalan itu. Walau

pun kecederaan BCT telah berlaku, sekurang-kurangnya arwah Adib

akan ditemui oleh pihak polis dan akan diselamatkan dengan segera

dalam cara yang professional dan terhormat.

[160] Tetapi apa yang berlaku adalah, selepas mengalami

kecederaan BCT yang parah dan berada dalam keadaan tidak sedar atau

separuh sedar, arwah sekali lagi telah dibantai beramai-ramai oleh

perusuh. Setelah para penyerangnya lari ke arah kuil, arwah telah

‘diselamatkan’ oleh orang awam yang tidak dikenali. Walau pun mungkin

mereka ini berniat baik, namun dari rakaman video yang menunjukkan

arwah Adib sedang diusung (eksibit I 69 dirujuk) dengan agak kasar dalam

keadaan tidak berbaju, jelas menunjukkan mereka ini tiada latihan asas

pertolongan cemas.

Page 51: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

51

[161] Inkues ini telah ditunjukkan dengan satu baju t-shirt (inner)

ketat iaitu salah satu uniform yang dipakai oleh arwah Adib sewaktu

kejadian. Keadaannya yang masih sempurna, jelas menunjukkan bahawa

ia telah ditanggalkan oleh orang awam dengan cara menariknya ke atas

melepasi kepala arwah. Kebarangkalian tidak boleh ditolak (rule out)

bahawa tindakan ini telah memburukkan lagi kecederaan kepatahan 4

tulang rusuk kanan arwah dengan mengambil kira laporan post mortem

(exhibit I 25) yang mendapati hujung tulang rusuk ke 4 dan ke 5 yang

patah telah tertusuk ke dalam paru-paru kanan arwah yang akhirnya

membawa kepada kematiannya.

[162] Saya percaya, jika arwah Adib ditemui dan diselamatkan oleh

pihak polis, sudah tentu beliau akan mendapat pertolongan awal dari

pasukan paramedik terlatih dan bertauliah. Jika pun didapati ada

keperluan untuk menanggalkan baju inner tersebut, saya yakin, ia akan

dilakukan secara professional dengan menggunting baju itu dan

bukannya ditarik ke atas melepas kepalanya. Arwah juga sudah tentu

akan diusung dengan papan pengusung (strecher) dan dikejarkan ke

hospital terdekat dengan ambulan yang dilengkapkan dengan lampu dan

siren kecemasan serta peralatan perubatan yang asas.

[163] Malangnya, apa yang terjadi adalah, seorang orang awam

iaitu Narresh (SI 9) telah terpaksa berlari-lari turun naik dalam jarak 200

meter sambil merayu dan ‘mengemis’ dari beberapa kereta orang awam

untuk membantu menghantarkan arwah Adib ke hospital. Kesemua

permintaannya telah tidak dilayan sehinggalah Narresh bertemu dengan

SI 10. Latihan ketenteraan (komando) selama 12 tahun telah menjadikan

SI 10 seorang yang berjiwa murni dan tidak mementingkan diri sendiri.

[164] Tanpa menghiraukan amaran mengenai bahaya yang

mungkin menimpanya, SI 10 telah bertindak menyelamatkan arwah Adib

Page 52: DALAM PERKARA MAHKAMAH KORONER SHAH ALAM …

52

dengan segera. Dengan bantuan orang awam, arwah telah diletakkan ke

dalam kabin belakang kenderaan pacuan 4 roda Mitshubishi Storm

miliknya. Bersama dengan Narresh yang menemani arwah di dalam kabin

4 x 4 tersebut, SI 10 telah memecut laju ke unit kecemasan Hospital

SJMC yang berhampiran.

[165] Sehubungan itu, atas alasan-alasan yang telah dinyatakan,

saya membuat dapatan fakta bahawa ketinggalan atau kegagalan

pasukan PDRM dan FRU menggunakan kuasa mereka di bawah

peruntukan undang-undang yang telah dinyatakan, telah turut

menyumbang kepada kematian arwah Adib ini.

[166] Dengan dapatan dan verdit ini, saya mengarahkan Ketua

Polis Negara dan Peguam Negara untuk melakukan apa-apa yang perlu

bagi memulakan apa-apa siasatan di bawah kuasa mereka seperti yang

termaktub di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Perlembagaan

Persekutuan Malaysia dan seterusnya menjalankan pendakwaan

sekiranya difikirkan wajar.

Rofiah binti Mohamad

Koroner, Mahkamah Koroner Shah Alam,

Selangor, Darul Ehsan.

27.9.2019.