Upload
mohamad-zaim-faishal
View
129
Download
2
Embed Size (px)
DESCRIPTION
Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Citation preview
Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
PENGENALAN
Pada amnya, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang
benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli
falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta
membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang
penting dalam kehidupan.
Berdasarkan huraian di atas, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau
pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis
berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan
dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukun Negara. FPK ini akan menjadi suluh yang memberi
pedoman dan hala kepada segala usaha pendidikan – sama ada di dalam institusi pendidikan atau
di luar institusi pendidikan. Sehubungan ini, FPK adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-
pakar pendidikan yang mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-
keperluan individu, masyarakat dan negara.
Berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan atas Laporan dan Akta Pendidikan, Rukun
Negara dan ciri-ciri kebudayaan masyarakat Malaysia, maka FPK yang dinyatakan berikut
digubal dan diumumkan secara rasmi pada tahun 1988.
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat
dan negara.”
Berlandaskan kepada FPK yang telah dihuraikan diatas, maka Matlamat Pendidikan Negara ialah
bertujuan melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang
berguna. Dengan perkataan lain, Matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat
Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:
Percaya dan patuh kepada Tuhan.
Berilmu pengetahuan.
Berakhlak mulia.
Bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.
Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.
PERANAN SEKOLAH DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN
KEBANGSAAN.
Peranan sekolah begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan
kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat setiap murid untuk terus mencari
ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada.
Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-
kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara
menyeluruh.
Aspek Kepemimpinan
Aspek pertama yang perlu diambil perhatian ialah kepemimpinan. Pemimpin sekolah iaitu guru
besar merupakan orang penting dalam memajukan institusi pelajaran di Malaysia. Mereka perlu
berfikiran kreatif dalam pengurusan dan berhubungan dengan guru dan juga murid. Mereka
bertanggungjawab menetapkan falsafah sekolah, membentuk wawasan sekolah, membentuk visi
dan misi sekolah yang berlandaskan FPK.
Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan aspek-aspek seperti budaya sekolah, aktiviti ko-
kurikulum, peranan guru dan juga disiplin murid diberi penekanan dan perhatian yang
sewajarnya supaya hasrat FPK dapat direalisasikan.
Perkembangan semasa memperlihatkan peningkatan peranan guru besar sebagai peneraju utama
di sekolah-sekolah. Penyelidikan oleh Morrisson (2005) mendapati bahawa perubahan peranan
pentadbir sekolah perlu berlaku dalam aspek-aspek tertentu seperti kepemimpinan, tuntutan
kerja, orientasi perniagaan, tanggungjawab, pengurusan sumber manusia, membuat keputusan,
komunikasi, kuasa, dan perancangan. Peranan guru besar merupakan antara faktor utama yang
akan menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru besar yang berkesan
mampu mengubah keadaan sesebuah sekolah menjadi cemerlang.
Dalam melaksanakan amanah menyediakan sumber manusia menjelang tahun 2020, fungsi
kepemimpinan, pengurusan, dan pentadbiran sekolah menjadi semakin mencabar. Peranan
kepemimpinan di peringkat sekolah mestilah dalam bentuk instructional leader yang memainkan
peranan tertentu pada tahap serta kedudukan masing-masing untuk melaksanakan sesuatu
progam pendidikan. Kepemimpinan pendidikan juga haruslah berperanan sebagai
transformational leader iaitu sebagai agen transformasi perubahan.
Pemimpin sekolah yang proaktif akan sentiasa membuat jangkaan-jangkaan tentang perubahan
yang sedang dan bakal berlaku agar sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Pemimpin sekolah
mestilah juga mampu dan berupaya membimbing guru-guru di bawah pengawasannya untuk
menjadi lebih berkesan.
Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepemimpinan yang bukan sekadar
mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan tetapi juga
harus mampu membawa perubahan. Justeru itu, di mana-mana sekolah, guru besar merupakan
individu yang paling berpengaruh dan bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan.
Menurut kata Wilson dan Corcoran (1988), segala kejayaan dan kegagalan murid terletak kepada
pihak sekolah, iaitu guru besar dan guru. Kepemimpinan guru besar pula dikenal pasti sebagai
pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti hasil sekolah
walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial (iklim), atau budaya sekolah juga merupakan
pemboleh ubah yang mempengaruhi dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik
murid (Rutter et al,1979).
Aspek Budaya Sekolah
Aspek kedua yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah, kadang kala
dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang penting dalam merealisasikan
FPK. Iklim sekolah yang terbuka menggalakkan murid bebas berinteraksi di antara murid dengan
murid, murid dengan guru serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah. Guru pula
boleh bekerja dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta melaksanakan tugas dengan adil,
dedikasi, gembira dan sempurna.
Iklim sekolah yang terbuka seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik dan iklim ini
akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya seperti membentuk murid lebih berdedikasi,
lebih berinisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih ramah dan mesra, lebih spontan dan berkreativiti
serta lebih tinggi motivasinya.
Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek fizikal, aspek
sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.
Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah, keselamatan
anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap, keselesaan yang
kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan sekolah.
Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan keharmonian di
antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati dan mengucap salam,
kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan keadilan.
Seterusnya aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti semangat
mahu belajar sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah. Sebagai contoh, sekolah
memainkan peranannya melalui penganjuran program-program akademik seperti Program
NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti membaca dalam diri murid-muridnya. Program
ini secara tidak langsung dapat mengembangkan daya pemikiran murid sama ada kritis atau
kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang
mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu ialah melalui amalan tabiat
membaca yang berterusan.
Aspek yang terakhir ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunaan bahasa secara
betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Untuk meningkatkan
prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti pertandingan, perbahasan, syarahan dan pidato
boleh dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai galakan penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa
kedua – Bahasa Inggeris juga perlu diberi perhatian sejajar dengan matlamat FPK yang ingin
melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing di peringkat global.
Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan meransang pembelajaran diwujudkan bertujuan
menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari aspek
jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Aspek Ko-kurikulum
Aspek ketiga pula ialah ko-kurikulum. Untuk merealisasikan FPK, sekolah juga perlu
memainkan peranan yang berkesan dalam melaksanakan gerak kerja ko-kurikulum. Gerak kerja
ko-kurikulum merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar
waktu sekolah. Gerak kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan secara informal. Gerak kerja
ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah kesinambungan kurikulum yang
dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-aktiviti ko-kurikulum lebih bercorak informal, tetapi
gerak kerja yang dijalankan adalah terancang.
Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifat-sifat
kepemimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan murid. Aktiviti
ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai perseimbangan antara
perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Pelaksanaan ko-
kurikulum cuba melihat minat dan bakat murid-murid. Melalui kegiatan kumpulan, semua murid
boleh dididik dan mendidik diri sendiri.
Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan dalam mendidik
murid-murid untuk mengembangkan minat dan bakat. Begitu juga masyarakat yang
bertanggungjawab boleh memainkan peranan mereka dalam mendidik murid-murid. Ini
disebabkan alam masyarakat di luar sekolah sebenarnya amat kaya dengan ilmu pengetahuan
yang boleh dimanfaatkan oleh murid-murid. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam
gerak kerja ko-kurikulum ialah pasukan unit beruniform, persatuan/kelab dan juga sukan. Pihak
sekoalh perlu memastikan semua murid melibatkan diri dalam ko-kurikulum ini kerana gerak
kerja ini dianggap sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu bidang
pendidikan.
Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat penting yang
merangkumi aspek pendidikan, aspek pembelajaran, dan aspek sosialisasi.
Dari aspek pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap akan dapat
membina dan menyuburkan sahsiah yang seimbang di kalangan murid; memupuk nilai-nilai
ahklak dan pendidikan yang diingini; memajukan kemahiran, minat dan bakat murid;
meningkatkan disiplin dan kepemimpinan diri; mengukuhkan dan memperkayakan lagi
pengetahuan dan kemahiran; menjadi asas kerjaya pada masa akan datang dan mengisi masa
lapang dengan aktiviti berfaedah dan menyeronokkan.
Dari aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan dan
mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan murid-murid.
Selain itu, perhubungan antara guru dengan murid juga dapat diwujudkan.
Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahir dan membentuk
murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan kewarganegaraan serta mempunyai rasa
dan tanggungjawab berkhidmat untuk masyarakat.
Secara keseluruhannya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan ko-kurikulum
dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu, membentuk sahsiah,
membantu pertumbuhan jiwa bermasyarakat, meningkatkan mutu disiplin para murid bagi
memperkukuhkan integrasi di kalangan mereka. Selain itu, pihak sekolah juga harus memberi
peluang secukupnya kepada murid-murid untuk menyertai pelbagai aktiviti terancang bagi
memperkembangkan minat, bakat serta kemahiran masing-masing.
Aspek Guru
Aspek yang seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting dalam merealisasikan FPK. Guru
bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu yakni
insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga bertambah
lebih kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator,
pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang yang mendatangkan
pembaharuan.
Seseorang guru menjalankan seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi murid-murid.
Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya ditimbulkan terlebih dahulu
terhadap topik yang akan disampaikan. Proses pembelajaran berlaku dengan lebih cepat
sekiranya murid-murid mempunyai minat terhadap pelajaran itu.
Oleh itu, adalah penting bagi guru menggerakkan muridnya dengan berbagai-bagai cara seperti
menggunakan pelbagai jenis alat bantu mengajar, mengadakan main peranan (role playing),
mengadakan simulasi dan sebagainya.
Selain itu, guru juga mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam sesebuah bilik
darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua, langkah ketiga
dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya murid-murid mendapat
faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran. Gurulah yang menjalankan tugas mengatur setiap
langkah pembelajaran. Dalam mengatur langkah-langkah pembelajaran, guru akan merancang
terlebih dahulu. Apabila membuat sesuatu rancangan, keperluan-keperluan murid, objektif-
objektif pelajaran, bahan-bahan dan alat-alat mengajar seharusnya dipertimbangkan. Pengajaran
yang dirancangkan dengan baik akan membawa faedah yang besar kepada murid-murid.
Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar. Guru
seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid untuk
membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi. Perkataan-perkataan
yang digunakan oleh guru sepatutnya mudah difahami dan penerangannya padat serta jelas.
Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, perbandingan dan graf dapat menjelaskan
lagi sesuatu konsep yang disampaikan. Guru juga menolong murid-murid mengatur fakta-fakta
supaya menjadi konsep yang konkrit dan bermakna. Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit
dengan menggunakan carta dan alat bantu mengajar lain.
Guru perlu juga menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti sehingga
pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya dengan menjalankan
berbagai-bagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesani sejauh manakah objektif pengajaran
dan pembelajaran telah tercapai.
Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu dan
bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat kenegaraan yang akan
menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.
Aspek disiplin.
Aspek yang terakhir ialah disiplin. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama bertanggungjawab
untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi. Iklim dan persekitaran
sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan murid dari aspek
jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan FPK.
Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah cuba mentakrifkan
disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk menghormati dan mematuhi undang-
undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri; juga
kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan
menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku hormat-menghormati di antara satu
dengan lain dan mempunyai semangat tolong-menolong dan membaiki keadaan yang sedia ada
menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat untuk masyarakat. Disiplin juga ada
kaitannya dengan tatatertib, tatasusila, kesopanan dan ahklak.
Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam membentuk disiplin
murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran.
Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru besar, guru
disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting
bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah jawatan
kuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik beberapa ahli terdiri
daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah bagi memantau disiplin
murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.
Apa yang lebih penting, murid lemah dan berdisiplin memerlukan perhatian khas daripada pihak
sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak berlaku pengasingan dan
perbezaan di antara mereka dengan murid lain di sekolah.
Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina semula sahsiah
dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru bimbingan dan kaunseling ialah
menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid yang mempunyai masalah disiplin
dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang diingini. Selain itu, guru bimbingan dan
kaunseling juga berfungsi untuk membina perhubungan dengan ibu bapa/ penjaga murid-murid
yang mempunyai masalah disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis.
Disiplin yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedah-faedah tersebut
adalah seperti berikut:
Pengajaran dapat dijalankan dengan licin dan teratur.
Pembelajaran dapat dilaksanakan dalam suasana yang tenang serta teratur.
Keberkesanan pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi.
Murid-murid menjadi lebih produktif jika mereka berdisiplin.
Keselamatan murid-murid dapat dijamin kerana setiap murid dapat mematuhi peraturan-
peraturan sekolah.
Kemalangan yang berlaku di makmal atau bilik darjah dapat dikurangkan.
Segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat.
Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran sekolah
yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan diri murid ke
arah kecemerlangan dan kegemilangan, selaras dengan hasrat negara yang menekankan usaha
pembentukan modal insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian diatas, maka ternyatalah bahawa kejayaan
sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek-aspek
kepemimpinan, budaya sekolah, ko-kurikulum, guru dan juga disiplin. Semua aspek ini akan
menentukan modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi hasrat FPK atau tidak.
Kejayaan sekolah dalam merealisasikan FPK juga secara tidak langsung mampu menjana dan
membina modal insan yang berkualiti. Merujuk kepada PIPP (2006), negara kita berhasrat untuk
menghasilkan “modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi
mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi… perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan
kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru,
mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global
yang sering berubah-ubah”. Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan sekolah amat penting dalam
menyahut cabaran yang terkandung di dalam FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara.