View
208
Download
10
Embed Size (px)
Citation preview
1
NAMA DAN NO. MATRIK:
SHAH MOHD AKMAL
A149306
KOD DAN NAMA KERTAS:
SKSJ 1023 PENGANTAR TEORI POLITIK
TAJUK KAJIAN:
FALSAFAH POLITIK PLATO DALAM KONTEKS NEGARA IDEAL
NAMA PENSYARAH:
DR. MUHAMMAD FEBRIANSYAH
2
FALSAFAH PLATO
1.0 PENGENALAN
Secara umumnya, perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani purba iaitu
philosophia yang membawa maksud cinta akan kebijaksanaan (Woodhouse 1994, 13). Plato
(427–348 SM) menyatakan, falsafah bermaksud pengetahuan yang mempunyai sifat untuk
mencapai kebenaran yang sebenar. Al- Farabi (872-950M) menyatakan bahawa falsafah
adalah Ilmu yang menyelidik hakikat yang sebenar dari segala aspek. Falsafah juga
merangkumi satu kaedah penyelidikan berdasarkan renungan dan pentakulaan untuk
merumuskan sifat, hakikat dan kandungan alam. Falsafah mampu berfungsi dalam kehidupan
manusia dan memberi makna dalam kehidupan apabila dibentuk secara sistematik. Falsafah
membantu manusia untuk berfikir berteraskan logik agar memberi kebaikan kepada sesuatu
perkara yang ingin dilaksanakan. Dengan adanya falsafah dalam kehidupan manusia seharian
maka akan wujudnya kehidupan yang baik, berstruktur, berfokus dan bermatlamat.
Dunia falsafah mempunyai pelbagai tokoh-tokoh yang terkemuka. Antara tokoh
tersebut ialah Plato, Socrates, Al-Farabi dan lain-lain. Di dalam konteks ini, saya telah
memilih Plato sebagai medium kajian saya dan antara falsafah terkenal Plato adalah
mengenai negara Ideal. Socrates merupakan perwatakan penting dalam membentuk Plato
menjadi seorang ahli falsafah. Minat Plato telah dipupuk oleh Socrates untuk mendalami
bidang falsafah. Lantas, selepas Socrates meninggal dunia anak didiknya Plato telah menjadi
seorang ahli falsafah yang berjaya pada ketika itu. Di dalam kajian ini, saya telah memberi
penekanan ataupun berfokuskan kepada falasafah politik Plato dalam konteks Negara Ideal.
2.0 LATAR BELAKANG PLATO
Nama sebenar Plato ialah Aristokles. Beliau diberi gelaran Plato oleh gurunya kerana
mempunyai dahi dan bahu yang lebar. Perkataan Plato berasal dari perkataan ‘Platos’ yang
bermakna kelebaran (Huda & Ezzati 2008, 114). Oleh itu, kesesuaian dahi dan bahu Plato
telah dimanfaatkan oleh gurunya Socrates untuk memberinya gelaran Plato. Menurut sumber
beliau dikatakan lahir pada 427 SM dan ada juga sumber mengatakan bahawa beliau lahir
pada 428 SM pada tahun keempat perang Paleponesos dan meninggal pada 347 SM di Athens
pada usia 80 tahun atau pun 81 tahun . Begitu juga dengan tempat lahirnya, sesetengah pihak
mengatakan bahawa beliau lahir di Pulau Aegina dan terdapat sumber mengatakan bahawa
beliau lahir di Athens (Satrio 2008, 3; Huda & Ezzati 2008, 114; Nila 2012, 145; Hart 1978,
213). Plato dilahirkan di dalam keluarga bangsawan di mana beliau merupakan anak kepada
3
Ariston dan Periktione yang mana Ariston merupakan seorang bangsawan berketurunan raja
Kodrus. Ariston sangat dikagumi masyarakat kerana kecekapan dan kebijaksanaan beliau
dalam pemerintahan Athens. Ibu Plato iaitu Periktione pula merupakan seorang negarawan
agung Athens yang sangat terkenal (Satrio 2008, 3). Melihat kepada kedua ibu bapa Plato
maka tidak hairanlah mengapa Plato dikurniakan kehebatan luar biasa serta mempunyai idea-
idea bernas dalam hal keduniaan. Plato telah berguru bersama Socrates sejak berusia 20 tahun
dan berakhir ketika gurunya dijatuhkan hukuman mati oleh demokrasi Athens (Hummel
1999, 2)
Plato lahir dan membesar di era peperangan Peloponesos dan Plato berpeluang untuk
menyaksikan kekalahan Athens kepada Sparta pada ketika itu (Nila 2012, 145). Plato yang
lahir selepas kematian Pericles telah melalui zaman-zaman ketika kepimpinan Athens mula
retak di bawah tekanan kerana telah kehilangan seorang yang berpengaruh iaitu Pericles.
Pada ketika itu kehidupan sangat sukar dan taraf hidup jatuh. Pemimpin demokrasi menjadi
sangat imperialis. Pada 430 SM Athens bekerja keras untuk mempertahankan empayarnya
manakala situasi bertukar ketika tahun 416 SM di mana Athens bukan sahaja perlu
menangkis serangan tetapi perlu mendapatkan balik keuntungan demi menampung kerugian
perang sebelum ini (Allen 1959, 62).
Bagi Plato, kekalahan Athens kepada Sparta adalah disebabkan corak pemerintahan
demokrasi Athens yang dikatakan tidak menerapkan keperluan rakyat dari aspek moral dan
spiritual dalam pemerintahan (Nila 2012, 145). Selain itu, Plato pernah disuruh oleh bapa
saudaranya untuk menyertai kumpulan ‘Tiga Puluh Tyrannoi’ memandangkan bapa
saudaranya juga adalah ahli kumpulan tersebut. Disebabkan kumpulan ini mengamalkan
dasar kekerasan dan Plato melihat pelbagai kekejaman dilakukan kumpulan ini maka beliau
melupakan hasrat untuk menyertai kumpulan ini. kumpulan tersebut tersingkir dari pucuk
pimpinan Athens. Lantas, kepimpinan Athens diambil alih oleh kumpulan demokrat yang
disangkakan akan membawa pembaharuan dalam pemerintahan Athens (Huda & Ezzati
2008, 117).
Namun, segala harapan yang diharap Plato sekadar mimpi kerana sekali lagi harapan
beliau untuk menceburi bidang politik terbantut kerana perbicaraan Socrates berakhir dengan
kepimpinan demokrat menjatuhkan hukuman bunuh ke atas gurunya dengan memakan racun
kerana mengajar agama palsu dan ajaran sesat yang menentang agama rasmi Athens pada
ketika itu. (Kamlin 1986, 33). Hal ini dapat dirumuskan bahawa kematian gurunya itu
memberi titik tolak kesedaranya mengenai kekejaman demokrasi pada ketika itu.
4
3.0 ACADEMY/INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
Pada tahun 387 SM beliau menubuhkan intitusi pendidikan yang dikenali sebagai
Academy (Bagby 2002, 2). Beliau membeli sebuah tanah lalu membina institusi pengajian
tinggi tersebut. Academy ini merupakan institusi pembelajaran untuk peringkat tinggi yang
boleh diibaratkan seperti universiti pada ketika itu. Academy Plato ini merupakan pertubuhan
pertama Eropah yang bersifat intelektual (Pappas 2002, 67). Sekolah ini merupakan
permulaan dunia falsafah di Eropah yang memperlihatkan banyak pengajaran tentang ilmu
politik dan kemasyarakatan berlangsung. Menerusi institusi ini, Plato dan Aristotle banyak
menghasilkan karya-karya penulisan dan merupakan hasil yang pertama dari intelek Eropah
yang tinggi mutunya (Sabine 1969, 37).
Antara tokoh yang lahir dari Academy Plato adalah anak muridnya sendiri iaitu
Aristotle yang kemudiannya telah menubuhkan academy sendiri iaitu Lyceum di Athens.
Aristotle menghabiskan selama 20 tahun di Athens yakni di Acedemy Plato (Hart 1978, 71).
Walau bagaimanapun bangunan asal Academy telah musnah dalam tahun 88 akibat kejatuhan
Athens (Saliha 1999, 3). Acedemy Plato ini dikatakan telah beroperasi lebih 900 tahun (Hart
1978, 214). Perkataan Academy pada dasarnya diambil sempena nama Academus yang
merupakan salah seorang daripada dewa dalam kepercayaan masyarakat Yunani (Saliha
1999, 3). Namun, ada sumber yang menyatakan bahawa perkataan Academy ini diambil
sempena nama tempat iaitu Academe yang mempunyai pohon-pohon zaitun yang rendang
dan merupakan tempat Plato menghabiskan sisa hidupnya (Chairuddin 2004, 1). Bagi tapak
Academy Plato itu pula, ianya dikatakan kawasan suci bagi Academus.
Academy Plato ini boleh dianggap sebagai universiti terawal pada ketika itu
memandangkan pendidikan yang diberikan adalah satu peringkat yang lebih tinggi daripada
pendidikan biasa pada ketika itu (Saliha 1999, 3). Selain itu, penubuhan academy ini juga
bertujuan untuk menyebarkan falsafah amali yakni dikenali sebagai falsafah benar yang telah
dirangka olehnya (Kamlin 1986, 33). Jadi, menerusi pembentukan Academy ini, jelas
menunjukkan bahawa Plato amat mementingkan pendidikan dan boleh disimpulkan bahawa
beliau mempunyai keinginan untuk menyebarkan ajarannya. Boleh juga dinilai bahawa
peranan Academy sebagai medium penyebaran falsafah benar beliau bagi mendidik
masyarakat agar negara ideal yang dikehendakinya itu tercapai.
4.0 KARYA
5
Terdapat sumber yang menyatakan bahawa Plato mengadaptasi idea daripada
Socrates di mana Plato hanya menggunakan Socrates sebagai jurucakap ideanya sendiri.
Kebanyakan pengkaji beranggapan bahawa Plato sebenarnya menulis idea Socrates (Saliha
1999, 3). Disebabkan gurunya Socrates tidak mempunyai sebarang karya, maka segala idea
Socrates dimuatkan di dalam karya Plato (Suhelmi 2001, 36). Antara hasil karya Plato adalah
seperti Republic, The Laws, Politicus dan Dialogues. Karya-karya ini terkandung pelbagai
idea yang melibatkan pelbagai aspek seperti permerintahan, undang-undang, pendidikan dan
sebagainya.
4.1 REPUBLIC
Tujuan nominal Republic adalah menghuraikan aspek-aspek negara ideal yang
berjaya dibentuk melalui keadilan dan di dalam Republic juga terkandung mengenai ahli
falsafah sebagai raja (Satrio 2008, 4). Selain itu, Republic juga mengadungi beberapa idea
mengenai undang-undang. Turut disentuh di dalam Republic adalah mengenai kekejaman
Tyrannoi (Huda & Ezzati 2008, 126).
4.2 THE LAWS
The Laws terdiri daripada dua belas buah buku lain yang merupakan lanjutan daripada
pemikiran Plato dalam buku Politicus. Maka di dalam The Laws, Plato menyerlahkan lagi
masalah tentang undang-undang yang terbaik dan mampu memberi kebaikan dalam sesebuah
negara. Di dalam The Laws turut menjelaskan bahawa undang-undang bukan sahaja untuk
memelihara ketertiban dan kestabilan negara tetapi turut membantu dalam penghasilan negara
Ideal (Huda & Ezzati 2008, 129). Melalui karya The Laws, masyarakat mengetahui tujuan
sebenar penghasilan undang-undang dan jika kita menilai aspek yang diterapkan di dalam
The Laws ianya jelas memberi kebaikan kepada negara dan masyarakat. Jadi, tidak dinafikan
bahawa karya The Laws ini telah menunjukan bahawa Plato turut mementingkan undang-
undang di dalam sesebuah negara. Undang-undang juga mampu mendidik dan memberi
kesedaran kepada masyarakat agar mampu hidup dengan tertib dan patuh kepada pemerintah.
5.0 NEGARA IDEAL
Kemunculan falsafah Plato ini adalah berpaksikan beberapa kelemahan kerajaan yang
memerintah Athens pada ketika itu memandangkan beliau tidak setuju dengan pendekatan
yang dilaksanakan kerana mempunyai unsur-unsur kezaliman dan juga terdapat unsur
penindasan. Selain itu, Plato juga beranggapan bahawa kerajaan pada ketika itu hanya
6
menerapkan kehendak jasmani rakyat saja lantas menyebabkan berlaku kelemahan dalam
pembangunan nilai-nilai murni rakyat Athens (Saliha 1999, 4). Pada pandangan Plato,
kerajaan haruslah menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat dalam membentuk
satu kehidupan yang sejahtera di dalam sesebuah negara (Huda & Ezzati 2008, 119).
Seterusnya, peristiwa yang menyebabkan Plato semakin bersemangat untuk merangka sistem
politik baru adalah ketika gurunya Socrates yang dijatuhkan hukuman bunuh dengan
memakan racun kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat yang bertentangan dengan
kepercayaan masyarakat Athens pada ketika itu (Kamlin 1986, 33). Plato sangat kecewa
dengan peristiwa itu dan memberi kesan yang mendalam dalam kehidupanya. Oleh itu,
dengan berteraskan penilaian dan juga pengalaman Plato dengan isu-isu sebelum ini beliau
telah merangka satu falsafah yang dikenali sebagai falsafah benar yang mampu mewujudkan
negara Ideal (Kamlin 1986, 33). Negara ideal Plato ini memegang prinsip mementingkan
kebaikan. Kebaikan menurut Plato adalah pengetahuan. Segala yang dilakukan dimuka bumi
haruslah berserta niat untuk mendapatkan kebaikan. Jadi, secara tidak langsungnya Plato
telah melihat bahawa pendidikan penting dalam sesebuah negara bagi mendapatkan
pengetahuan seterusnya mewujudkan negara ideal (Suhelmi 2001, 37). Maka, boleh
disimpulkan bahawa negara ideal ini mempunyai beberapa garis panduan yang perlu dicapai
bagi mendapatkan status negara ideal iaitu dari segi keadilan, pendidikan dan pengetahuan,
undang-undang dan kerajaan bercorak abstrak.
5.1 KEADILAN
Definisi bagi keadilan itu sendiri diertikan Plato sebagai memberi kepada setiap orang
apa yang menjadi haknya (Sabine 1963, 57). Plato menjelaskan bahawa negara sistem untuk
menjaminkan keadilan bagi semua rakyat seperti yang dikemukakan oleh beliau dalam
karyanya Republic adalah bersifat perlu (Ramanathan 1988, 53). Bagi Plato, keadilan akan
terhasil apabila setiap individu melakukan kerjanya sendiri tanpa mencampuri urusan orang
lain (Satrio 2008, 9). Menurut Plato, apa yang baik bagi masyarakat adalah keadilan yang
meperlihatkan konsep “reka bentuk kebaikan” dan seterusnya dijadikan pula sumber kepada
beberapa etika lain yang penting untuk menentukan kebaikan sesebuah negara lantas dapat
mewujudkan negara ideal yang dimahukan oleh Plato itu sendiri (Kamlin 1986, 35).
Seterusnya, beliau turut menjelaskan bahawa kehidupan yang baik adalah kehidupan yang
berteraskan keadilan dan sesebuah negara akan menjadi kuat dengan adanya sebuah keadilan
yang mantap.
7
Dari aspek pekerjaan pula, Plato tidak meletakkan sebarang sekatan terhadap bidang
pekerjaan oleh masyarakatnya di mana Plato memberi kebebasan dalam pemilihan bidang
pekerjaan berdasarkan bakat dan kemahiran seseorang individu (Huda & Ezzati 2008, 126).
Plato turut mengkritik mengenai prisip ‘the doing of many things’ dan ini jelas menunjukkan
bahawa Plato tidak bersetuju dengan amalan demokrasi Athens pada ketika itu yang
memperlihatkan mana-mana individu mungkin akan menjadi askar, petani dan ahli politik
tanpa ada penilaian terhadap kecekapan, kelayakan atau minat terhadap individu berkenaaan
yang memungkinkan seseroang itu tidak sesuai untuk berada di posisi berkenaan (Sabine
1963, 58). Secara jelas, hal ini telah bertentangan dengan pemikiran Plato terhadap konsep
keadilan dalam prinsip negara ideal. Oleh itu, Plato menerapkan satu konsep pengkhususan
tugas dan kepakaran di mana semua warga negara ideal dapat menikmati khidmat yang
terbaik dalam semua bidang kehidupan bermasyarakat. Inilah yang dinamakan keadilan sosial
bagi Plato (Kamlin 1986, 37). Maka, hal ini jelas menunjukkan Plato lebih menekankan
prinsip keadilan dalam konsep negara idealnya. Oleh hal yang demikian boleh dirumuskan
bahawa negara ideal tidak akan wujud jika tiadanya keadilan kerana negara Ideal Plato
berdiri di atas keadilan itu sendiri.
5.2 PENDIDIKAN DAN PENGETAHUAN
Plato beranggapan bahawa pengetahuan dan pendidikan itu merupakan satu medium
untuk pemerintah dapat membentuk jiwa masyarakat dalam mewujudkan negara yang
harmoni (Sabine 1963, 67). Dalam konteks ini, Plato sememangnya menginginkan keadilan
di dalam negara idealnya. Jadi, pendekatan yang boleh diambil untuk mencapai keadilan
adalah melalui pendidikan. Beliau telah mengemukakan satu falsafah amali yang bertujuan
untuk merialisasikan negara ideal. Falsafah beliau memberi panduan serta mengajar rakyat
Athens mengenai cara-cara untuk menerapkan kebaikan serta keadilan di dalam diri mereka
dalam kehidupan seharian. Plato percaya bahawa keadilan hanya dapat dicapai melalui
pendidikan dan pengetahuan yang sewajarnya (Kamlin 1986, 33). Falsafah amali Plato ini
berdasarkan satu teori utama yang dikenali sebagai teori idea atau teori pengetahuan. Plato
diajar oleh gurunya mengenai ilmu dialektik yang merupakan cara untuk mendapatkan
pengetahuan sebenar dengan membangkitkan soalan-soalan yang wajar (Huda, Ezzati 2008,
126). Maka teorinya ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh ilmu dialektik yang diturunkan
oleh gurunya Socrates.
Pendidikan merupakan hal terpenting dalam negara ideal Plato. Hal ini boleh dinilai
apabila ibu yang mengadung digalakkan untuk melakukan pendidikan jasmani sebelum
8
kelahiran bayi tersebut. Pendidikan jasmani yang dimasudkan adalah dengan berjalan-jalan
dan bergerak sebanyak mungkin (Hummel 1999, 9). Dari segi format pendidikan pula, Plato
mengariskan dua aspek di dalam pendidikanya iaitu dari sudut bersukan dan muzik (Hatta
2011, 6). Muzik pada zaman itu membawa makna lebih besar berbanding zaman sekarang di
mana muzik tidak hanya terhad kepada nyanyian atau tarian sebaliknya lebih kepada aktiviti
kebudayaan jika dalam istilah kini (Satrio 2008, 5).
Dalam konteks ini, Plato juga mendukung soal kesetaraan gender yang
memperlihatkan wanita dikhaskan ke arah hal-hal rumah tangga dan lelaki pula dididik untuk
bersukan agar lebih bersedia untuk berperang. Selain itu, tujuan lain pendidikan bagi Plato
juga adalah untuk mengekalkan status Quo. (Hummel 1999, 8). Hal ini jelas menunjukan
bahawa Plato sangat menitik beratkan aspek pendidikan dan pengetahuan. Jika tiada
pendidikan yang sewajarnya maka tiada wujudnya keadilan dan jika tiada keadilan maka
tiada juga negara ideal. Jadi, boleh dirumuskan bahawa konsep Plato saling berkait rapat
antara satu sama lain dan juga mempunyai satu ikatan yang menjadi pelengkap antara satu
sama lain.
5.3 UNDANG-UNDANG
Plato mempunyai pandanganya sendiri mengenai undang-undang dan ada menyatakan
bahawa masyarakat harus mengetahui tujuan mentaati undang-undang dan jangan patuh pada
undang-undang hanya kerana takut dengan hukuman sebaliknya masyarakat haruslah
mempraktikan dalam kehidupan seharian. Hal ini bertepatan dengan pandangan gurunya
Socrates yang menyatakan bahawa orang yang sedar akan kehidpuan yang baik tetap akan
melaksanakanya juga (Huijbers 1982, 24). Dengan erti kata lain, manusia yang sedar akan
kebaikan akan mempraktikan undang-undang itu sendiri tanpa adanya paksaan.
Di dalam karyanya The Laws, setiap peraturan yang terkandung disertakan alasan
yang masuk akal dan mampu mempengaruh masyarakat. Beliau juga turut merumus undang-
undang beliau secara singkat dan tepat (Bertens 1999, 152). Hal ini sememangnya mampu
membuatkan masyarakat memahami dengan lebih terperinci mengenai undang-undang yang
sebenarnya. Sekali gus mampu mempraktikanya dan secara tidak langsung impian negara
idealnya tercapai. Menurut Plato lagi, undang-undang haruslah dijadikan pembimbing yang
akan membawa manusia ke arah negara ideal bersama-sama pemerintah iaitu ahli falsafah
(Huda & Ezzati 2008, 128) .
9
Bagi hukuman pula, Plato menegaskan bahawa setiap pesalah tidak wajar dihukum
secara balasan tetapi haruslah dibalas melalui hukuman yang bersifat mendidik. Bagi Plato
setiap pelanggaran undang-undang adalah disebabkan kurangnya pengetahuan dan boleh
dikategorikan sebagai penyakit dalam intelektual manusia. Oleh itu, hukuman haruslah
diberikan atas alasan mendidik dan bukan membalas. Maka, dengan hukuman yang bersifat
mendidik kemungkinan besar penyakit itu akan hilang tetapi jika tidak sembuh pesalah
haruslah dibunuh (Huijbers 1982, 25). Jadi, Plato beranggapan bahawa undang-undang juga
sangat penting dalam mewujudkan negara ideal selain daripada keadilan dan juga ilmu
pengetahuan.
5.4 KERAJAAN BERCORAK ABSTRAK
Di dalam karya Plato iaitu Republic ada menyentuh mengenai kerajaan bercorak
abstrak. Secara dasarnya, di dalam kerajaan bercorak abstrak adalah semua orang dan ahli
falsafah yang baik dapat hidup dibawah satu bumbung secara aman dan damai (Huda &
Ezzati 2008, 120). Plato juga menekankan usaha untuk mewujudkan kerajaan yang menjadi
jambatan kepada rakyat untuk kehidupan yang lebih baik dari segi akhlak dan susila (Kamlin
1986, 35).
Dari aspek kepala kerajaan, Plato beranggapan bahawa kerajaan abstrak haruslah
diketuai oleh orang-orang bijak yakni terdiri daripada ahli falsafah yang memperlihatkan
penekanan konsep “raja sebagai ahli falsafah”. Jadi segala penggubalan undang-undang juga
dapat dibuat oleh orang yang benar-benar layak (Saliha 1999, 6). Dengan berkonsepkan
philosopher – king, Plato melakukan percubaan untuk mewujudkan rakan, pembimbing dan
dalam masa yang sama mampu menjalani kehidupan yang sederhana dan memberikan
inspirasi serta keyakinan kepada rakyatnya. Konsep philosopher of king ini mirip dengan
Rajarishi purba India yang mewakili semua pengetahuan, kebaikan, keindahan dan ketuhanan
(Jayapalan 1999, 21).
Seterusnya, Plato percaya kerajaan ideal adalah kerajaan yang dipimpin oleh oleh ahli
falsafah dan berasakan kepada rasa perpaduan oleh semua lapisan masyarakat dan dikenali
sebagai organisma. Konsep organisma adalah suatu bentuk yang bulat, dimana setiap
anggotanya mempunyai fungsi masing-masing bagi mengerakkan organisma itu (Huda &
Ezzati 2008, 121).
Dari aspek pekerjaan, Plato menyatakan bahawa manusia mempunyai pelbagai
kemahiran masing-masing. Oleh itu, masyarakat bebas untuk memilih pekerjaan yang
diinginkan berdasarkan kemahiran masing-masing (Kamlin 1986, 36).
10
6.0 PERBEZAAN NEGARA IDEAL PLATO DAN AL- FARABI
Pemilihan Al- Farabi sebagai medium analisis adalah disebabkan teori negara ideal
Al- Farabi yang mungkin boleh dikatakan diadaptasi oleh idea Plato dalam konteks negara
ideal dan ditambah baik serta dimasukkan unsur-unsur keislaman di dalam negara ideal Al-
Farabi berdasarkan Al-Quran (Osman 1992, 56 ; Haidar 2005, 217). Farabi juga lebih
menekankan aspek metafizik di dalam falsafah politiknya terutama di dalam konsep negara
ideal manakala Plato pula lebih kepada hal-hal duniawi. Namun, dalam konteks negara ideal
Farabi beliau menafikan negara ideal Plato dan menyatakan bahawa Madinah adalah negara
ideal yang sebenarnya.
…Al-Farabi incorporoted the Platonic view, drawing a parrallel from within the Islamic
context, in that he regarded the ideal state to be ruled by the prophet-imam, instead of the
philosopher-king envisaged by Plato. Al-Farabi argued that the ideal state was the city of
Medina when it was governed by the prophet Muhammad as its head of state, as he was
indirect communion with Allah whose law was revealed to him…
(Wikipedia).
Jika dinilai dari aspek asas di dalam negara ideal Farabi, beliau lebih mementingkan
soal kebahagiaan yang mana berbeza dengan Plato yang mendirikan negara idealnya
berasaskan konsep keadilan. Bagi Farabi setiap manusia tidak ingin mengetahui bahawa
kebahagiaan yang diinginkan diri sendiri mahupun setiap masyarakat malah ada yang tidak
mengetahui cara untuk mencari kebahagiaan (Haidar 2005, 212). Farabi mengariskan bahawa
kebahagiaan tertinggi, sa’adah akan tercapai apabila manusia mengamalkan 4 ciri kebaikan
yang murni. Antaranya ialah kebaikan dalam bidang spekulatif, dalam bidang teori, kebaikan
moral dan kemahiran kerja tangan (Saliha 1999, 6). Sebagaimana konsep keadilan Plato
untuk mendapatkan keadilan, begitu juga dalam konteks Farabi iaitu melalui pendidikan
untuk mencapai kebahagiaan.
Dalam konteks ini, Farabi juga sehaluan dengan Plato yang menyatakan bahawa
pendidikan penting dalam mewujudkan negara ideal. Pendidikan Farabi lebih berfokuskan
mengenai kebahagiaan tertinggi dalam erti kata lain pendidikan beliau menjurus kearah
mendapatkan sa’adah iaitu kebahagiaan tertinggi. Bagi Farabi, pendidikan terbahagi kepada
dua iaitu mengajar dan mendidik. Mengajar berfungsi sebagai mendapatkan kecemerlangan
11
di dalam bidang speculative excellence dan mendidik pula bertujuan membina ketertinggian
moral serta kemahiran pelbagai bidang saintifik dalam sesebuah negara (Saliha 1999, 8). Hal
ini jelas memberi indikator persamaan kerana Plato juga turut menegaskan bahawa perlunya
pendidikan untuk mempelajari falsafah benar beliau dan situasi ini sama dengan Farabi yang
mana Farabi juga menyatakan kebahagiaan akan tercapai dengan adanya pendidikan.
Bagi undang-undang Farabi, beliau telah menyatakan bahawa hukum haruslah
dirangka oleh imam atau nabi dan jika tiada nabi maka haruslah menggunakan hukum-hukum
terdahulu yang telah digunakan. Penggubal undang-undang bagi Farabi haruslah mempunyai
6 sifat dan 4 daripadanya adalah orang yang benar-benar mampu menggubal undang-undang
dan selebihnya haruslah mengingat dan mengetahui hukum dan adat yang digunakan oleh
penguasa pertama yakni imam, harus mahir melakukan deduksi hukum melalui analogi
sekiranya tidak menemukan rujukan dari hukum pendahulunya, harus meletakan prinsip-
prinsip yang ditetapkan oleh imam pertama dan harus mempunyai deduksi dalam merangka
undang-undang baru ketika menghadapi suatu keadaan (Black 2001, 139 – 140). Hal ini jelas
menunjukan bahawa konsep undang-undang yang diterapkan oleh Farabi adalah berdasarkan
Al-Quran dan jelas berbeza dengan Plato yang mana beliau merangka undang-undang
berdasarkan ilmu, pengalamanya serta pengamatanya berdasarkan apa yang dilihatnya.
Pendekatan yang diambil oleh Farabi dalam merangka undang-undangnya juga dilihat
berfokuskan kearah aspek metafizik dan Plato pula tidak menggunakan aspek metafizik di
dalam undang-undang yang dirangka olehnya.
Dari aspek kerajaan pula, Farabi boleh dikatakan mengadaptasi konsep Philosopher –
King tetapi mengislamkan konsep ini dengan menetapkan imam sebagai ketua negara. Beliau
juga telah menetapkan ciri-ciri yang perlu ada pada pemerintah iaitu sempurna tubuh badan,
baik kefahaman dan tajam pemikiran, kuat ingatan, kebolehan menganalisis, tinggi
kemampuan menghuraikan sesuatu, cintakan ilmu, mempunyai sifat-sifat peribadi yang
terpuji, menyanjung kebenaran, berjiwa besar, tidak cenderung kepada kebendaan, tegas
terhadap keadilan dan bersifat cekal serta mempunyai azam yang teguh (Saliha 1999, 8).
Oleh itu, konteks yang boleh dinilai adalah persamaan antara ketua negara ideal Farabi dan
Plato adalah dari segi pemimpin yang harus terdiri daripada golongan berpengetahuan.
Walaupun terdapat beberapa ciri pemimpin Farabi yang tidak ada di dalam ciri-ciri pemimpin
Plato, ianya masih lagi boleh dikatakan sama kerana ciri pengetahuan itu tadi.
Dari segi pembahagian kerja, Farabi mengklasifikasikan masyarakat kepada beberapa
kelompok mengikut profesi masing-masing yang menurut Farabi telah ditentukan oleh alam.
Pembahagian haruslah dibuat oleh legislator. Menurut Farabi, setiap orang di negara ideal
12
haruslah diberikan tugasan yang mampu membuatkan mereka sibuk (Black 2001, 150). Jadi,
boleh dinilai bahawa terdapat jurang perbezaan dengan pembahagian kerja Plato di mana
pekerjaan di negara ideal Farabi ditentukan oleh imam dan terdapat sedikit kebebasan di
negara ideal Plato yang memperlihatkan masyarakat bebas memilih pekerjaan atas bakat
sendiri.
7.0 Kesimpulan
Secara rumusanya, terdapat beberapa persamaan dan perbezaan antara kedua-dua
buah negara ideal iaitu Plato dan Farabi. Boleh disimpulkan bahawa Farabi lebih
menekankan aspek metafizik di dalam negara Ideanya manakala Plato hanya memikirkan
soal duniawi dalam konteks negara idealnya.
Namun, terdapat juga beberapa persamaan yang mungkin diadaptasi oleh Farabi
melalui negara ideal Plato tetapi yang telah diislamkan, ditambah baik dan diubah mengikut
peredaran zaman. Jelas menunjukan bahawa Al-Quran merupakan sumber utama di dalam
negara ideal Farabi kerana setiap aspek iaitu kebahagiaan, undang-undang, pendidikan dan
kerajaan diselitkan unsur-unsur yang dipetik dari Al-Quran manakala Plato pula lebih
menekankan soal keduniaan sahaja dan merangka negara idealnya berdasarkan pengalaman
dan pengamatannya terhadap Greek dan negara-negara yang berjaya seperti Sparta pada
ketika itu.
13
RUJUKAN
Ahmad Suhelmi 2001, Pemikiran Politik Barat. Jakarta: Pt Gramedia Pustaka Utama.
Anthony Black 2001, The History of Political Thought: from the prophet to the present. Terj.
Abdullah Ali & Mariana Ariestyawati. Jakarta: Pt Serambi Ilmu Semesta.
Ajat Sudraja 2011, Pemikiran Filosof Yunani Klasik (Pokok Pikiran Sokrates, Plato, dan
Aristoteles). Dlm. Muhammad Hatta (pnyt.). Alam Pikiran Yunani, hlm. 1-11.
Jakarta: UI Press.
Chairuddin P. Lubis 2004, Pendidikan Tinggi dan Sejarah Perkembangan Universitas
Sumatera Utara. Latihan Ilmiah, Universitas Sumatera Utara.
Charles Hummel 1994, Plato (428–348 B.C.). Paris UNESCO: International Bureau of
Education.
Bagby L. M. 2002, Political Thought. Singapore: Thomson Learning.
Bertens K. 1999, Sejarah Filsafat Yunani. Yogyakarta: Kanisius.
Fhasra Akhmad Akbar. t.th. Perkembangan Filsafat Ilmu. Latihan Ilmiah, Universitas Negeri
Makassar.
George Allen & Unwin 1959, Plato Today. London: R. H. S. Crossman's.
Haidar Bagir 2005, Buku Saku Filsafat Islam. Bandung: PT Mizan Pustaka.
Hart. Michael H. 1993, The 100 A Ranking Of Influential Persons In History. New York:
Carol Publishing Group Edition.
Liza (pnys.). 2006. Pengantar Filsafat Dan Ilmu. Latihan Ilmiah Program Pascasarjana,
Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri Cirebon.
Muhammad Kamlin 1986, Pengantar Pemikiran Politik Barat. Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia.
N. Jayapalan 1999, Plato. New Delhi: Atlantic Publishers and Distributors.
Nickolas Pappas 2002, Plato and The Republic 2nd Edition. New York: Routledge, Taylor &
Francis Group.
Nila Sastrawati. 2012. Demokrasi Yang Stabil Versus Demokrasi Dalam Perspektif Plato.
Jurnal Al-Risalah 12(1): 143-150.
Nurul Huda Azizi & Nurul Ezzati Azizi 2008, Falsafah Politik Plato. Dlm. Azizi Yahya,
Sharin Hashim dan Yusof Boon (pnyt.). Falsafah Pendidikan Kontemporari, hlm.
114-146. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
14
Osman Bakar 1992, Al-Farabi Kehidupan, Hasil Karyanya dan Peri Penting Tokoh. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sabine George H. 1937, 1950, A History Of Political Theory. Terj. Soewarno Hadiatmodjo.
Jakarta: Binatjipta.
Saliha Hassan 1999, Pengantar Falsafah Politik. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Satrio Arismunandar 2008, Pemikiran Politik Plato Ditinjau dari Filsafat Politik Demokratis.
Latihan Ilmiah, Universitas Indonesia.
Theo Huijbers 1982, Filsafat Hukum dalam Lintasan Sejarah. Yogyakarta: Kanisius.
Woodhouse Mark B. 1994, A Preface To Philosophy. Terj. Ahmad Norma Permata & P.
Hardono Hadi. Yogyakarta: Kanisius.
Wikipedia. 2013. http://en.wikipedia.org/wiki/Al-Farabi (Melayari pada 15 Oktober, 2014).