Upload
independent
View
1
Download
0
Embed Size (px)
Citation preview
Cabaran dan Masalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di
kalangan Wanita Melayu : Kajian kes di Malaysia
Amirah Hamizah bte Abdul Hamid
Institut Pembangunan dan Alam Sekitar
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mail: [email protected]
Norazida Ibrahim
Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu
Universiti Malaya
E-mail: [email protected]
Fuziah bte Mustakim
Jabatan Pengajian Am
Politeknik Sultan Salahuddin Shah, Shah Alam
E-mail: [email protected]
ABSTRAK
Kajian yang sedia ada oleh pengkaji yang lepas telah mengenalpasti bahawa masalah utama
usahawan wanita Melayu PKS adalah persaingan kemudian diikuti oleh kekurangan sumber
modal dan masalah penggunaan teknologi maklumat dalam pengurusan perniagaan. Manakala
cabaran dalaman usahawan wanita Melayu PKS yang utama adalah keyakinan diri manakala
cabaran luaran yang utama adalah cabaran daripada keluarga terdekat. Faktor-faktor yang
mempengaruhi kejayaan usahawan wanita Melayu PKS yang tertinggi pula adalah minat yang
tinggi. Melihat senario semasa, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan salah satu
penjana kepada pertumbuhan ekonomi negara di Malaysia. Ia merupakan salah satu sektor
perindustrian yang terdapat di negara Malaysia dan kini dilihat sebagai antara industri yang
memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan telah memberi
tumpuan kepada penglibatan kaum bumiputera untuk berkecimpung dalam bidang
keusahawanan sebagai pemangkin kepada pembangunan Perusahaan Indsutri Kecil dan
Sederhana (PKS). Penglibatan usahawan wanita bumiputera dalam PKS di alaf ini memang
tidak dinafikan meningkat dari setahun ke setahun. Namun demikian adakah peratus usahawan
wanita bumiputera yang berjaya dan menonjol dalam perusahaan dan pemiagaan ini berada
ditahap yang membanggakan? Kajian yang terdahulu mendapati hanya segelintir wanita
menceburi dunia keusahawanan PKS dibandingkan dengan lelaki dan kajian mengenai
penglibatan usahawan wanita dalam industri ini juga didapati masih kurang meluas. Data
dalam kajian ini adalah merujuk kepada banci ekonomi perusahaan kecil dan sederhana tahun
2011 bertujuan untuk mendedahkan sejauh mana pencapaian golongan wanita ini setakat ini.
Kata kunci: Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Wanita Melayu
PENGENALAN
Golongan wanita memainkan peranan besar dalam membantu pembangunan dan daya saing di
kebanyakan negara. Di Malaysia juga, peranan golongan wanita adalah di antara faktor
terpenting ke arah merealisasikan hasrat negara untuk mengecapi status negara berpendapatan
tinggi. Menurut Norbaiti (2010), penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan semakin
meningkat berikutan dengan kesedaran untuk meningkatkan ekonomi. Ini juga merupakan
pilihan sampingan bagi graduan yang menganggur. Oleh itu, penglibatan wanita dalam bidang
keusahawanan dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara serta mewujudkan peluang
pekerjaan yang seterusnya akan mengurangkan kadar pengangguran.
Thuaibah @ Suaibah Abu Bakar et. al (2007) mengatakan wanita merupakan sebahagian besar
daripada populasi masyarakat Malaysia. Sumbangan besar kaum wanita Malaysia kepada
pembangunan negara sememangnya telah lama diiktiraf. Sebagai isteri, ibu dan anak, mereka
merupakan tunggak utama dalam membentuk generasi Malaysia yang penyayang dan progresif
di masa hadapan. Peningkatan dalam penyertaan wanita sebagai tenaga buruh menunjukkan
bahawa penglibatan kaum wanita dalam bidang keusahawanan semakin menyerlah dan
semakin positif. Ini dibantu oleh pembangunan negara yang banyak membuka peluang dan
ruang bagi wanita mempertingkatkan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang dan aktiviti di
samping membuka dan menyahut cabaran yang lebih besar untuk terus berperanan dan berjaya
selaras dengan proses perindustrian dan pemodenan negara selaras dengan Wawasan 2020.
Kerjaya sebagai usahawan wanita adalah kerjaya yang cukup mencabar dan perlukan ketahanan
dan jati diri yang tinggi untuk berjaya dengan cemerlang. Jatuh bangun dalam perniagaan
adalah adat untuk menuju kecemerlangan. Jika dahulu bidang keusahawanan ini lebih banyak
dipelopori oleh kaum lelaki berbanding kaum wanita, namun kini konsepnya telah berubah
selaras dengan perubahan arus zaman apabila ramai kaum wanita menyahut cabaran dengan
melibatkan diri dalam dunia perniagaan seperti di Rajah 1 di bawah yang menunjukkan
bilangan dan peratusan usahawan mengikut jantina di Malaysia pada tahun 1982 sehingga 2008.
Walaupun rajah menunjukkan bilangan usahawan lelaki lebih ramai berbanding usahawan
wanita, tetapi trend menunjukkan usahawan wanita menunjukkan aliran peningkatan dari
tahun ke tahun. Kesimpulan dari rajah tersebut adalah persaingan yang sihat di antara kedua
jantina. Walaupun bilangan usahawan lelaki lebih banyak dari wanita, ia tidak pernah
mematahkan semangat kaum wanita untuk maju ke hadapan dalam bidang keusahawanan.
Rajah 1: Bilangan dan Peratusan Usahawan mengikut Jantina, Malaysia 1982 – 2008
(Sumber: Siaran Khas Penyiasatan Tenaga Buruh Usahawan di Malaysia, Jabatan Perangkaan
Malaysia, 2009)
LITERATUR
Usahawan dalam bahasa Inggeris adalah “Entrepreneur” yang diterjemahkan dari perkataan
Perancis “entrepremdre” membawa maksud memikul tugas atau mencuba. Dalam Bahasa
Melayu, usahawan membawa maksud orang yang mengusahakan sesuatu
perniagaan. Usahawan ditakrifkan sebagai orang yang mengendalikan sesebuah perniagaan dan
mengambil risiko perniagaan yang diceburinya. (Laman Usahawan Muda, 2012). Scaborough
dan Zimmerer (1988) dalam kajian Azlayan (2013), mendefinasikan usahawan sebagai seorang
yang mencipta suatu perniagaan baru dan menghadapi suatu keadaan yang tidak pasti demi
untuk memperolehi keuntungan dan pertumbuhan (perkembangan) dengan mengenal pasti
peluang dan menyediakan sumber untuk mencapainya. Usahawan selalunya bermula hanya
dengan idea yang ada dan selalunya idea yang mudah dan menyediakan sumber yang perlu
untuk memindahkan idea tersebut kepada perniagaan yang bersesuaian.
Menurut Khairuddin (1996) pula dalam kajian Azlah Md Ali (2005), mendefinisikan usahawan
sebagai seorang individu yang merancang, menerajui dan mengurus sebuah perniagaan atau
perusahaan. Pengkaji juga mengatakan usahawan merupakan seorang individu yang
berorientasikan tindakan, bersifat kreatif, inovatif, bercita-cita tinggi dan mempunyai wawasan.
Menurut Histrich dan Peter (1988) dalam kajian Azlayan (2013), keusahawanan pula adalah
suatu proses dinamik untuk mencipta kekayaan. Kekayaan dicipta oleh individu yang
menanggung risiko besar di dalam ‘equity’, masa dan komitmen kerjaya atau menyediakan nilai
untuk sesuatu produk atau perkhidmatan. Ia adalah proses mencipta sesuatu yang baru dengan
mengambil kira masa dan usaha dengan mengambil kira risiko kewangan, psikologi dan sosial.
Sebagai ganjaran mereka menerima manfaat dari segi kewangan, kepuasaan peribadi dan
kebebasan.
WANITA DAN KEUSAHAWANAN
Thuaibah @ Suaibah bt Abu Bakar et. al (2007) penglibatan wanita dalam aktiviti keusahawanan
di Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan terutama dalam
dunia yang moden dan serba mencabar. Ini termasuk juga golongan ibu tunggal yang
merupakan golongan wanita yang aktif menjalankan aktiviti keusahawanan. Ramai kaum
wanita mula menyahut cabaran dengan melibatkan diri dalam dunia perniagaan pada masa
kini. Antara golongan wanita tersebut, golongan ibu tunggal juga turut mengejar peluang yang
ada dalam bidang keusahawanan ini. Keadaan hidup yang bersendirian tanpa suami dan
ditambah lagi dengan tanggungjawab untuk menyara keluarga menyebabkan mereka terpaksa
mencari pekerjaan dan sesetengah menjalankan pemiagaan secara kecil-kecilan bagi
memperoleh pendapatan.
Menurut Zaharuddin (1995) dalam kajian Norbaiti Tukiman & Ghazali Semil@Ismail (2010),
adalah tidak mustahil dunia keusahawanan akan diambil alih oleh wanita memandangkan sikap
komited, kompeten dan proaktif yang sudah mula terbina di kalangan usahawan wanita.
Ungkapan ''tempat wanita hanya diceruk dapur' harus disedari tidak boleh wujud lagi di era
globalisasi ini. Wanita Malaysia terutamanya wanita Melayu hari ini perlulah bersaing bukan
sahaja dengan kaum lelaki tetapi juga dengan bangsa lain dan juga negara lain.
PERBINCANGAN IMPLIKASI KAJIAN
Perusahaan Kecil dan Sederhana Milikan Wanita
Perusahaan Kecil dan Sederhana atau dikenali sebagai PKS merupakan salah satu sektor
perindustrian yang terdapat di negara Malaysia dan ia dilihat sebagai industri yang memainkan
peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara (Khairul Bariyah dan Hasnieza, 2012).
Justeru itu, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini berada di landasan betul untuk
menyumbang 41 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020
berbanding 32 peratus pada 2012. (Bernama, 2014)
Hasil bancian 2010 menunjukkan bahawa kira-kira 19.7 peratus PKS adalah pertubuhan yang
dimiliki oleh wanita. Majoriti PKS milikan wanita tertumpu dalam sektor perkhidmatan iaitu
91.7 peratus. Ini diikuti oleh sektor pembuatan, 6.9 peratus. Hanya sebahagian kecil sahaja
pertubuhan PKS yang dimiliki oleh wanita dalam lain-lain sektor seperti pembinaan, pertanian
dan perlombongan dan pengkuarian di mana peratusan kurang daripada 1.0 peratus. Mengikut
saiz pertubuhan, majoriti PKS milikan wanita adalah bersaiz mikro, 88.0 peratus. Ini diikuti oleh
pertubuhan bersaiz kecil, 11.3 peratus dan pertubuhan bersaiz sederhana, 0.8 peratus.
Berdasarkan hasil banci ini, pertubuhan PKS milikan wanita dalam sektor pertanian,
pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan secara umumnya adalah bersaiz mikro. Walau
bagaimanapun dalam sektor perlombongan dan pengkuarian, pertubuhan PKS milikan wanita
adalah bersaiz kecil (Rajah 2).
Rajah 2: PKS milikan wanita mengikut sektor dan saiz, 2010.
(Sumber: Profil Perusahaan Kecil dan Sederhana, Jabatan Perangkaan Malaysia, 2011)
Sejumlah 519 PKS atau 7.7 peratus daripada jumlah pertubuhan dalam sektor pertanian dimiliki
oleh usahawan wanita. Daripada jumlah ini, 70.3 peratus (365 pertubuhan) adalah mikro secara
amnya, 21.0 peratus adalah kecil dan 8.7 peratus adalah pertubuhan sederhana (Rajah 3).
Rajah 3: PKS milikan wanita dalam sektor pertanian, 2010.
(Sumber: Profil Perusahaan Kecil dan Sederhana, Jabatan Perangkaan Malaysia, 2011)
Subsektor tanaman mencatatkan bilangan pertubuhan milikan wanita tertinggi, 76.9 peratus,
diikuti oleh ternakan, 10.8 peratus, perikanan 10.2 peratus dan perhutanan & pembalakan, 2.1
peratus.
Rajah 4: Pertubuhan milikan wanita PKS dalam sektor perlombongan dan pengkuarian
mengikut saiz, 2010.
(Sumber: Profil Perusahaan Kecil dan Sederhana, Jabatan Perangkaan Malaysia, 2011)
Rajah 4 menunjukkan bilangan PKS milikan wanita dalam sektor perlombongan dan
pengkuarian. Hanya 9.0 peratus atau 27 pertubuhan dimiliki oleh wanita daripada 299
pertubuhan berstatus PKS. Pertubuhan kecil mendominasi PKS milikan wanita iaitu 40.7
peratus, pertubuhan sederhana 33.3 peratus dan pertubuhan mikro, 25.9 peratus.
Rajah 5: PKS milikan wanita dalam sektor pembuatan, 2010.
(Sumber: Profil Perusahaan Kecil dan Sederhana, Jabatan Perangkaan Malaysia, 2011)
Rajah 5 menunjukkan pertubuhan PKS milikan wanita sebanyak 8,779 atau 23.2 peratus
daripada jumlah pertubuhan dalam sektor pembuatan. Pertubuhan mikro mendominasi PKS
milikan wanita iaitu 89.6 peratus atau 7,867 pertubuhan. Sebaliknya, pertubuhan bersaiz
sederhana adalah kurang dari 1.0 peratus.
Rajah 6: Pertubuhan milikan wanita mengikut PKS, 2010.
(Sumber: Profil Perusahaan Kecil dan Sederhana, Jabatan Perangkaan Malaysia, 2011)
Rajah 6 menunjukkan bilangan dan sumbangan pertubuhan milikan wanita dalam sektor
pembinaan. Daripada keseluruhan 19,283 pertubuhan berstatus PKS dalam sektor pembinaan,
hanya 1,190 (6.2 peratus) pertubuhan dikategorikan sebagai pertubuhan milikan wanita. Ini
merangkumi pertubuhan bersaiz mikro 479 (40.3 peratus), diikuti oleh pertubuhan kecil 437
(36.7 peratus) dan pertubuhan sederhana 274 (23.0 peratus).
Rajah 7: PKS milikan wanita dalam sektor Perkhidmatan mengikut saiz, 2010.
(Sumber: Profil Perusahaan Kecil dan Sederhana, Jabatan Perangkaan Malaysia, 2011)
Pada tahun 2010, PKS yang dimiliki oleh wanita dalam sektor perkhidmatan adalah sebanyak
116,340 pertubuhan atau 20.0 peratus. Daripada jumlah ini, 102,822 pertubuhan atau 88.4 peratus
adalah bersaiz mikro, diikuti oleh kecil sebanyak 12,852 pertubuhan atau 11.0 peratus dan
sederhana sebanyak 666 pertubuhan atau 0.6 peratus (Rajah 7).
Berdasarkan sorotan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, (2011) di atas, didapati terdapat
beberapa faktor yang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyumbang kepada golongan
masyarakat Melayu iaitu sumbangan pendapatan negara, peluang pekerjaan yang banyak dan
menyediakan latihan dan kemahiran pekerja. Bagi pandangan penyelidik, sumbangan ini
banyak membantu negara dan sewajarnya dititik berat oleh kerajaan di Malaysia sekiranya
negara ingin lebih maju dalam sektor keusahawanan. Kerajaan perlu memainkan peranan yang
lebih proaktif dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi menggalakkan
lebih ramai usahawan masyarakat Melayu untuk lebih berjaya dan secara tidak langsung
pelbagai sumbangan diberikan kepada negara tercinta. (Profil Perusahaan Kecil dan Sederhana,
Jabatan Perangkaan Malaysia, 2011). Atas faktor itu, tidak menghairankan apabila pengenalan
Indeks Prestasi Utama (KPI) menerusi enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
yang diperkenal dalam memenuhi keperluan rakyat yang menekankan kepada proses
pembangunan wanita sebagai peneraju penting pertumbuhan ekonomi negara.
Di samping itu juga usahawan wanita Melayu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga perlu
meningkatkan produk dari segi inovasi dan lebih kreatif agar produk menjadi laris di pasaran
dan mendapat sambutan hangat dari negara luar. Selain itu, dicadangkan juga perbanyakan
Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kerana kewujudan usahawan dari perusahaan ini dapat
mengurangkan pengangguran kerja dan usahawan-usahawan Melayu juga perlu mewujudkan
kerjasama yang kukuh di kalangan rakan perniagaan agar ia dapat memberi sokongan dalam
kejayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia. Namun demikian adakah
peratusan usahawan wanita bumiputera yang berjaya dan menonjol dalam perusahaan dan
perniagaan ini berada ditahap yang membanggakan? Kajian yang terdahulu mendapati hanya
segelintir wanita menceburi dunia keusahawanan PKS dan kajian mengenai penglibatan
usahawan wanita dalam industri ini juga didapati masih kurang meluas. Data dalam kajian ini
adalah merujuk kepada banci ekonomi perusahaan kecil dan sederhana tahun 2011 bertujuan
untuk mendedahkan sejauh mana pencapaian golongan wanita ini setakat ini.
Berdasarkan kelemahan yang wujud dalam sektor ini dan sumbangannya yang semakin
dominan, maka kerajaan telah menggariskan beberapa strategi dasar untuk membantu
pembangunan PKS seluruhnya. Sebagai langkah untuk meningkatkan akses pembiayaan kepada
PKS kerajaan telah menubuhkan pelbagai skim kemudahan kewangan kerajaan. Skim ini lebih
memberi tumpuan kepada golongan usahawan peringkat bawah dan menengah iaitu usahawan
industri kecil dan sederhana (PKS) (Rahmah Ismail et al, 2006:35). Kerajaan menunjukkan
komitmen yang tinggi dengan sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam prospek
pembangunan ekonomi negara. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak member
perhatian serius ke atas kebangkitan wanita apabila dengan jelas menyuarakan suara hatinya
menyeru masyarakat supaya mengiktiraf peranan besar wanita.
Bagi merealisasikan perkara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
yang dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang berpendapatan
rendah, iaitu satu daripada teras NKRA, menggalas peranan berat mengeluarkan wanita
daripada kepompong minda konservatif dengan meningkatkan penyertaan dan peranan aktif
golongan itu. Maka, perniagaan dilihat sebagai satu cabang meningkatkan peranan wanita sama
ada menerusi peruncitan, penternakan, kesihatan serta penghasilan makanan. Komitmen ini
jelas apabila kementerian dipertanggungjawabkan untuk melahirkan seramai 4,000 usahawan
wanita menjelang tahun 2012 dan memandangkan sekarang sudah menjangkau tahun2014
adakah KPI tersebut tercapat? Adakah program-program yang diatur bagi membangunkan
kapasiti golongan itu seperti memberi latihan teknikal, penyediaan Kursus Asas Keusahawanan
serta tidak ketinggalan, 1Azam--Akhiri Zaman Miskin benar-benar dapat membantu golongan
usahawan wanita Melayu ini untuk berjaya di dalam perniagaan mereka. Malah terdapat
program seperti 1NITA yang pernah dianjurkan dahulu hanyalah dianjurkan sekadar separuh
jalan dan peserta-peserta masih terkapai-kapai kerana peruntukan yang tidak begitu
memberangsangkan menyebabkan tiada kesinambungan terhadap program tersebut. Di sini
pengkaji ingin mencadangkan agar dibuat kajian berhubung dengan perkara ini agar jalan
penyelesaian dapat dicari agar tiada lagi program yang baik begitu terbubur sebegitu sahaja.
KESIMPULAN
Golongan wanita yang terlibat dalam perniagaan perlu menganggotai secara aktif dalam mana-
mana persatuan yang berkaitan perniagaan. Langkah ini penting bagi memastikan mereka
sentiasa menerima maklumat-maklumat terkini berkaitan dunia perniagaan serta membolehkan
mereka menambah bilangan networking. Secara amnya, usahawan wanita Melayu bumiputera
memainkan peranan penting dalam melahirkan usahawan yang berkemampuan dan bertaraf
antarabangsa serta pekerja mahir adalah tinggi. Usahawan wanita Melayu perlu melalui proses
kreativiti dan innovasi mencipta produk baru dan memberikan perkhidmatan untuk memenuhi
kehendak manusia. Dengan ini, dapat melariskan produk tempatan dan secara langsung dapat
memenuhi hasrat pembangunan negara serta merealisasikan wawasan 2020.SME Bank
mendokong penuh mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dan akan terus
menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan sumbangan sektor Perusahaan Kecil dan
Sederhana (PKS). Oleh itu, kebanyakan pengkaji mengatakan sumbangan Perusahaan Kecil dan
Sederhana (PKS) ini datangnya dari masyarakat terutama masyarakat Melayu.
Melalui dapatan kajian ini juga didapati sokongan usahawan wanita masih signifikan dalam
menyumbang kemajuan dan kejayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.
Justeru ituselaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan ekonomi bumiputera di
negara ini. Disamping itu usahawan wanita perlu berusaha lebih gigih walaupun usahawan
lelaki lebih ramai dalam bidang perniagaan. Bagi mencapai kejayaan ke menara gading,
usahawan wanita harus terus meningkatkan perniagaan dari segi produk dan kualiti yang amat
bermakna kepada negara dari semasa ke semasa tanpa mengira agama dan bangsa.
RUJUKAN
Azlayan (2013), Maksud Usahawan dan Keusahawanan. Access Online.
http://empireazlayan.blogspot.com/2013/01/apakah-maksud-usahawan-dan
keusahawanan.html
Bernama (2014), Dana bantu tingkat sumbangan PKS kepada KDNK. Access
Online.http://www.sinarharian.com.my/nasional/dana-bantu-tingkat-sumbangan-pks-kepada-
kdnk-1.323600
Jabatan Perangkaan Malaysia (2009), Siaran Khas Penyiasatan Tenaga Buruh Usahawan di
Malaysia. Siri 4. Bil 1.
Jabatan Perangkaan Malaysia (2011), Banci Ekonomi. Profil Perusahaan Kecil dan Sederhana.
Laman web rasmi SME Corp Malaysia. Lampiran 1. Access Online. http://www.
smecorp.gov.my/vn2/sites/ default/files/lampiran%201_0.pdf
Laman web rasmi SME Corp Malaysia. Lampiran 4. Access Online. http://www.
smecorp.gov.my/vn2/sites/default/files/lampiran%204_0.pdf
Laman web rasmi Usahawan Muda (2012). Definisi Usahawan. Access Online.
http://forumusahawanmuda.wordpress.com/artikel-2/media-2/
Moha Asri Abdullah (1995), Pertumbuhan Sektor Perkilangan dan Peranan Industri Kecil dan
Sederhana (IKS) di Malaysia. Access Online. http://znr.tripod.com/rencana3.htm
Norbaiti Tukiman & Ghazali Semil@Ismail (2010), Cabaran Dan Faktor Kejayaan Usahawan
Wanita Bumiputera Perusahaan Kecil Dan Sederhana (Pks) Di Negeri Melaka.
Thuaibah @ Suaibah Abu Bakar, Azlah Md Ali, Hishamuddin Md Som & Siti Mariam Bujang
(2005), Aktiviti Kensahawanan di Kalangan Ibu Tunggal di Negeri Johor :Kajian
Terhadap Faktor Penglibatan dan Masalah Yang dihadapi oleh Ibu Tunggal dalam
Bidang Perniagaan. Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti
Teknologi Malaysia
Thuaibah @ Suaibah Abu Bakar, Azlah Md Ali, Rozeyta Omar, Hishamuddin Md Som &
Syaharizatul Noorizwan Muktar (2007), Penglibatan Kaum Wanita Dalam Aktiviti
Keusahawanan Di Negeri Johor: Kajian Terhadap Faktor-Faktor Kritikal Kejayaan Dan
Kegagalan Pengendalian Perniagaan. Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti
Pengurusan Dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia