Author
buique
View
270
Download
0
Embed Size (px)
Pembicara
Puan Kamariah binti Abu Samah dan Puan Hajah Wahyunah binti Abd. Ghani Dewan Bahasa dan Pustaka
Peranan dan Sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dalam Melestari
Manuskrip Melayu
Tarikh 17 November 2014 (Isnin)
Masa
9.00 pagi
Tempat Dewan Kuliah, Aras 4
Blok Podium, Dewan Bahasa dan Pustaka
Anjuran
Dengan Kerjasama
1
PERANAN DAN SUMBANGAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA DALAM MELESTARI MANUSKRIP MELAYU
OLEH
PUAN KAMARIAH BINTI ABU SAMAH, PUSAT DOKUMENTASI MELAYU PUAN HAJAH WAHYUNAH AB. GANI, BAHAGIAN PENYELIDIKAN SASTERA
Tradisi penyebaran dan pengembangan ilmu dalam masyarakat Melayu menerusi naskhah dan
manuskrip Melayu telah ditemui berabad-abad lamanya. Tradisi penyalinan manuskrip dan
penyebaran ilmu persuratan Melayu berkembang pesat pada zaman kegemilangan Kesultanan
Melayu Melaka dan di pusat-pusat kerajaan Melayu nusantara dalam kemuncak perkembangan
Islam. Penyebaran dan pengembangan terus digiatkan melalui percetakan khususnya
percetakan cap batu jawi (litograf) dalam abad ke-19 dan percetakan moden. Warisan
pengetahuan bangsa dibongkar oleh para pengkaji sarjana barat dan nusantara pada akhir
abad ke-18 melalui himpunan khazanah yang tersimpan di perpustakaan, muzium dan pusat
pengajian dalam dan luar negara. Pesan Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin1
meninggalkan makna tentang kewajipan generasi untuk terus mengembangkan ilmu dan
penghayatan isi kandungan yang tersimpan dalam khazanah naskhah Melayu agar dapat
disampaikan kepada masyarakat.
...barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh semua anak cucu
kita yang kemudian daripada kita, .... Dan adalah beroleh faedah daripadanya....
Beralih kepada suasana masa kini, tugas menyebar dan menyampaikan ilmu warisan manuskrip
Melayu berkembang menerusi kegiatan pengumpulan, penyelidikan, penerbitan, promosi,
pembacaan, transliterasi, penyiaran media massa sesuai dengan kemudahan dan teknologi
yang ada, dan diterajui oleh pelbagai organisasi dari pusat penyelidikan, institusi pengajian
tinggi, persatuan-persatuan, badan bukan kerajaan, perpustakaan, muzium, dan galeri agar
dapat mendidik, menyubur wacana dan minda masyarakat.
1 Petikan pesanan Tun Seri Lanang dalam buku A. Samad Ahmad. Sulalatus Salatin. Dewan Bahasa dan Pustaka,
2013
2
Selaras dengan pemupukan dasar kerajaan yang meliputi Dasar Pelajaran Kebangsaan (1956),
Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971), peranan dan sumbangan pelbagai pihak terlaksana
dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti bangsa dan negara. Ini termasuklah
usaha kementerian dan agensi, badan-badan berkanun, sektor swasta malah pertubuhan-
pertubuhan yang berkaitan untuk melaksanakan usahasama penyelidikan, pembangunan,
pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya menjadi penting dalam usaha
pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan pembinaan jati diri bangsa
Malaysia di pelbagai peringkat.
Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)2 telah diperuntukkan bagi menggariskan prinsip
untuk melindungi, memulihara dan melestari warisan dan budaya yang sesuai dengan situasi
masa kini, di mana manuskrip tergolong di bawah warisan kebudayaan ketara ditakrif sebagai
objek sejarah yang padanya terdapat kepentingan keagamaan, tradisonal, artistik atau
bersejarah.
Dasar dan akta yang diperuntukkan menunjangi peranan dan usaha perpustakaan, pusat
dokumentasi, muzium dan galeri di Malaysia dalam mengangkat khazanah warisan intelektual
Melayu kepada pengetahuan masyarakat dan dunia.
2. Penyelidikan, penelitian merentas ranah ilmu.
Selain fakulti dan jabatan berkaitan bidang sastera dan sains sosial, penubuhan pusat pengajian
tamadun dan peradaban Melayu di institusi pengajian tinggi di Malaysia kini merancakkan dan
memperluaskan dunia kajian dan penyelidikan manuskrip Melayu merentas pelbagai ranah ilmu
selain sejarah dan filologi, meliputi adab ketatanegaraan, ilmu watan (indigenous knowledge),
perubatan tradisional, pengurusan, budaya, sains dan teknologi serta pelbagai lagi membawa
suatu pandangan dunia (world view) terhadap korpus pengetahuan dan kearifan bangsa.
Secara umumnya, kajian dan penyelidikan manuskrip Melayu di pusat akademik dikuasai oleh
kumpulan tertentu seperti ahli filologi, pengkaji, sarjana dan para mahasiswa dengan kemahiran
khusus seperti filologi, kodikologi, transliterasi, tahqiq dan sebagainya.
2 Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) diterbitkan oleh Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang Malaysia di
bawah kuasa Akta Penyemakan Undang-undang 1968 secara usahasama dengan Percetakan Nasional Malaysia
Berhad, 2006
3
Antara institusi dan pusat pengajian yang menjadi pemain penting mengangkat wahana warisan
persuratan Melayu adalah;
UM - Akademi Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Islam, Pusat Dialog Peradaban
UKM - Pusat Kajian Manuskrip Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
USM - Pusat Kearifan Tempatan
UITM - Pusat Kajian Manuskrip Alam Melayu, UITM (PUSKAM)
Tidak kurang juga pentingnya peranan oleh institusi perpustakaan, muzium, galeri yang
memberi perhatian terhadap sumbangan manuskrip Melayu untuk menzahirkan keistimewaan
pemikiran, akal budi dan citra kecendikiawanan bangsa. Kepelbagaian program untuk
mengetengahkan kekayaan khazanah warisan persuratan Melayu menjurus kepada usaha untuk
saling melengkapi kekuatan institusi pengajian Melayu dalam mengangkat khazanah bangsa.
Sumbangan badan bukan kerajaan seperti Badan Warisan, Yayasan Warisan Negara, Yayasan
Karyawan, Yayasan Warisan Johor, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme, Melaka (IKSEP) dan
Dunia Melayu Dunia Islam melihat betapa pentingnya manuskrip Melayu dalam tamadun dan
identiti bangsa dan sejarah negara. Begitu juga peranan organisasi seperti Perpustakaan
Negara Malaysia (PNM), Muzium Negara Malaysia, Muzium Kesenian Islam Malaysia, muzium-
muzium negeri seperti Muzium Negeri Terengganu, Muzium Diraja Sultan Abu Bakar, Pahang,
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Muzium Warisan Melayu, Muzium Negeri Kelantan,
Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
menyemarakkan lagi usaha memartabatkan manuskrip Melayu sesuai dengan matlamat
organisasi.
3. Dewan Bahasa dan Pustaka: peranan dalam pembinaan dan pengembangan sastera
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun
1956 di Johor Bharu, Johor kini adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian
Pendidikan Malaysia yang bertanggungjawab melaksanakan fungsi membina dan
mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
4
Pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan bertunjangkan objektif
penubuhannya, iaitu:
..untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk
sains dan teknologi;
untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;
untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan
buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam
bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;3
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah antara institusi terawal di Malaysia
yang menghimpun, membongkar dan menyelidik hasil kesusasteraan lama untuk dimanfaatkan
oleh pelbagai peringkat khalayak khususnya dalam bidang pendidikan. Selaras dengan
matlamat dan fungsi penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956 untuk
mengembangkan bakat sastera dan penerbitan, tugas ini bermula dengan membongkar dan
menyelidik hasil-hasil kesusasteraan Melayu lama sebagai sebahagian dari usaha untuk
menjaga hal ehwal bahasa dan sastera. Ketika itu, DBP memainkan peranan dan
melaksanakan tanggungjawab untuk memperkenalkan kesusasteraan Melayu ke sekolah-
sekolah serta menggalak pengajian dan pengajaran bahasa dan kesusasteraan Melayu.
Tumpuan penyelidikan ketika itu adalah untuk mengumpul, menyelenggara dan membuat
penyesuaian hikayat-hikayat lama sejak 1960-an4. Naskhah-naskhah lama dalam bahasa
Melayu diperoleh dari individu sama ada dibeli atau dihadiahkan oleh individu di seluruh
Persekutuan Tanah Melayu. Usaha ini selaras dengan tujuan mendirikan sebuah perpustakaan
yang khas dan lengkap untuk buku-buku bahasa, hikayat, kebudayaan, kemasyarakatan dan
kesusasteraan Melayu.
Dalam usia 58 tahun penubuhannya, pelbagai usaha yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka melalui penyelidikan, penerbitan dan pengembangan untuk sentiasa mempersegar
kesinambungan manuskrip Melayu mengisi ruang menjangkau khalayak. Namun, usaha
3 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995).
4 Meniti Jejak Membaharui Babak. Terbitan sempena ulang tahun ke-56 Dewan Bahasa dan Pustaka.
5
mempersegar semula apresiasi dan kecintaan khalayak terhadap manuskrip Melayu
memerlukan kepada pelbagai pendekatan menjangkau khalayak agar khazanah ilmu ini dapat
digarap, disebar dalam ruang dunia nyata dan siber.
3.1 Penyelidikan dan Penelitian Naskhah/Manuskrip Melayu.
Dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan persuratan Melayu, maka DBP telah
merangka pelbagai program penyelidikan sastera. Antaranya ialah melaksanakan program
penyelidikan melalui fungsi penyelidikan kesusasteraan tradisional dengan fokus penyelidikan
dan penelitian tertumpu kepada manuskrip Melayu. Manuskrip Melayu yang merupakan warisan
peradaban dan cendikiawan Melayu, sebagai warisan dokumen negara perlu dipugar,
dipelihara dan dipulihara untuk kajian, rujukan generasi kini dan akan datang. Penelitian ini
adalah untuk menyerlahkan aspek genius kepengarangan Melayu yang di dalamnya terdapat
ilmu ketatanegaraan, ilmu undang-undang, ilmu bahasa, perubatan, adat istiadat, silsilah raja-
raja, ilmu bintang/ilmu ramalan, ilmu penujuman dan sebagainya.
Sebagai usaha untuk mengangkat dan memartabatkan naskhah Melayu ini maka
beberapa projek telah dirancang antaranya Projek Transliterasi dan Analisis Naskhah Melayu,
Projek Mempermudah Naskhah yang telah ditransliterasi, Projek Sinopsis Naskhah, Projek
Kajian Naskhah Kesultanan Melayu/Karya Agung Melayu, dan Projek Intisari Naskhah Melayu.
Mentransliterasi naskhah /manuskrip Melayu bererti penggantian huruf atau pengalihan
huruf demi huruf dari satu abjad ke abjad yang lain. Misalnya huruf Arab-Melayu ke huruf latin.
Tugas seorang pentransliterasi tidak setakat itu saja malah perlu bijak membubuh tanda baca
seperti titik, koma, huruf besar, huruf kecil , pembahagian dan sebagainya untuk memudahkan
pemusatan perhatian. Kita juga harus mempertahankan ciri-ciri teks yang asal.
Walaubagaimana pun perlu diingat bahawa ada beberapa halangan yang sering
mengganggu emosi seseorang pentransliterasi, iaitu dari segi penggunaan ejaan jawi lama,
tulisan yang tidak cantik, tidak jelas (kabur), tidak selaras, istilah yang sukar difahami, kertas
6
yang tidak berkualiti dan sebagainya. Disebabkan faktor-faktor di atas, maka tempoh kerja-
kerja mentransliterasi sesebuah manuskrip ada kalanya memakan masa yang panjang, setelah
minat dan kesabaran sesorang itu diambil kira.
Ketika menelaah dan mentransliterasi manuskrip Melayu yang telah dikenalpasti, kita
akan menemui sistem penulisan jawi yang akan terbuka kepada segala macam tafsiran.
Contohnya , dalam sistem ejaan jawi , perkataan bumi dieja b-w-m, yang boleh dimaksudkan
sebagai bom atau bumi, sebut dieja s-b-t , yang boleh jadi sebat atau sabit, banding dieja b-
n-d-ng, boleh dibaca sebagai bendang, makin dieja m-a-k-n , boleh dibaca sebagai makan, tuan
dieja t-w-n, mungkin ditafsir sebagai tun, k-m-b-ng boleh ditafsir sebagai kambing, kumbang,
kembang dan kembung.(Ini adalah sekadar beberapa contoh).
Di samping masalah di atas, diturunkan beberapa contoh yang lain yang menyumbang
kepada kekeliruan dan akhirnya menyalah tafsir sesuatu perkataan. Contohnya:
1. huruf j ( jim) menjadi c (cha) dan sebaliknya
- jong dieja c-w-ng ( SAM, hlm.26)
- jawa dieja c-a-w-a( SSK, hlm 75c)
- jongor dieja c-ng-w-r ( SM, hlm. 68)
- cawis dieja j-a-w-y-s ( HMTJK, hlm. 70)
- cendera dieja j-n-d-r-a ( HHT,hlm.225)
- cucuran dieja j-n-j-w-r-n (HHT,hlm. 35)
2. huruf g (ga) menjadi k (ka)
- geger dieja k-y-k-y-r (HMTJK, hlm. 140)
- gering dieja k-r-y-ng ( SAM, hlm. 2)
- gewang dieja k-y-w-a-ng (SSZPC, hlm.59)
- gementar dieja k-m-t-r ( SSK, hlm. 370a)
7
3. huruf /vokal a (alif) yang sepatutnya berada di akhir ditiadakan
- derma dieja d-r-m ( HAH, hlm. 11)
- cinta dieja c-y-n-t (SSK, hlm. 48c)
- bejana dieja b-a-j-n ( HB,hlm. 282)
- berida dieja b-r-y-d ( SKT, hlm. 123)
- sarwa dieja s-r-w ( HB, hlm. 11)
4. huruf/vokal a (alif) dihilangkan antara konsonan
- satu dieja s-t-w (SKT, hlm. 136)
- bahana dieja b-h-n-a ( HAH, hlm. 495)
- capak dieja c-p-k (SSZPC, hlm.102)
- dara dieja d-r-a (KA, hlm.490)
5. Guna huruf a (alif) pada tempat yang sepatutnya gunakan e pepet
- dekat dieja d-a-k-t (HTAD, hlm. 46)
- beri dieja b-a-r-y (HRK, hlm. 29)
- demi dieja d-a-m-y (HIP, hlm. 189)
- pedang dieja p-a-d-ng (HTAD, hlm. 82)
6. Huruf h (ha) digugurkan dan diganti dengan a (alif) dan sebaliknya
- hadiah dieja a-d-y-h ( HHT, hlm. 73)
8
- hartawan dieja a-r-t-a-w-a-n ( HMAH, hlm. 2)
- hasil dieja a-s-y-l (HTAD, hlm. 17)
- hantu dieja a-n-t-w (HTAD, hlm 26)
- abu dieja h-a-b-w ( HTAD, hlm. 23)
- arang dieja h-a-r-ng (HTAD, hlm. 30)
- atur dieja h-t-w-r ( HTAD, hlm. 45)
Justeru untuk mengatasi masalah mentransliterasi manuskrip Melayu, maka Bahagian
Penyelidikan Sastera telah merangka satu panduan sebagai rujukan untuk
mentransliterasi Naskhah/manuskrip Melayu. ( Lihat lampiran).
3.2 Penerbitan Berasaskan Manuskrip Melayu.
Penerbitan sesebuah karya harus sesuai dengan khalayaknya, khususnya dalam
memperkenal bentuk dan corak hasil-hasil sastera lama dan karya sastera klasik
kepada umum dibuat dalam bentuk dan bahasa yang mudah difahami. Naskhah-
naskhah teks klasik penerbitan awal DBP di tahun 60-an terus menjadi ikon dalam
pembacaan sastera klasik, antaranya; Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong
Mahawangsa, Hikayat Pandawa Lima, Hikayat Chekel Waneng Pati, Tajus Salatin,
Bustan al-Katibin, Hikayat Patani dan Sulalatus Salatin. Nama-nama karyawan
seperti Abdul Samad Ahmad, Baha Zain, Khalid Hussain, Kassim Ahmad, dan
Hassan Ahmad adalah antara tokoh dan pelopor dalam kajian manuskrip Melayu
DBP. Penerbitan selepas tahun 2000 menampilkan sumbangan tokoh-tokoh
ilmuwan dan generasi muda yang memperkaya khazanah bercetak persuratan
Melayu.
9
Antara judul yang terbit selepas tahun 2000:
2000 Kesusasteraan Melayu Tradisonal. Edisi kedua
Dr Harun Mat Piah dan rakan-rakan
Hikayat Khoja Maimun Dr. Abd. Rahman Kaeh Hikayat Syah Mardan Zabedah Abdullah Hikayat Inderaputra Ali Hj. Ahmad 2001 Kaba Si Untuang Sudah Jamilah Hj Ahmad 2002 Surat Keterangan Syeikh Jalaludin E.U Kratz dan Adriati Amir Hikayat Para Nabi dan Tokoh-tokoh Islam
dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional Dr. Ismail Hamid dan Wahyunah Abd. Gani
2003 Mutiara Sastera Melayu Tradisonal 2004 Syair Seratus Siti Junaini Kasdan Bustan al-Salatin (Bab 1 dan 2) Dr. Jelani Harun Hikayat Putera Jayapati Wahyunah Abd. Gani Syair Misa Gumitar Wahyunah Abd. Gani Hikayat Caya Langkara Wahyunah Abd. Gani Hikayat Marakarma. Edisi mempermudah Wahyunah Abd. Gani Hikayat Nakhoda Muda Wahyunah Abd. Gani Hikayat Indera nata Wahyunah Abd. Gani Hikayat Cendawan Putih Wahyunah Abd. Gani Syair Seribu Satu Hari Sharniza Sahir Hikayat Seri Kelantan Mohd. Taib Osman Hikayat Patani Ali Majod Hikayat Inderaputera.
Edisi Mempermudah Mariyam Salim
Hikayat Raja-raja Pasai. Edisi Mempermudah
Ismail Ahmad
Hikayat Panji Semirang. Edisi Mempermudah
Hamsiah Abd. Hamid
Hikayat Marakarma Edisi Mempermudah
Wahyunah Abd. Gani
Epik Melayu satu kajian naskhah Rogayah Abd. Hamid & Mariyam Salim
2005 Undang-undang Kedah Mariyam Salim Sastera Panji Noriah Mohamed dan
Mariyam Salim 2006 Kesultanan Melayu Rogayah Abd. Hamid &
Mariyam Salim Kesultanan Melayu Kelantan Rogayah Abd. Hamid &
Mariyam Salim Kesultanan Melayu Kedah Rogayah Abd. Hamid &
Mariyam Salim Kesultanan MelayuTerengganu Rogayah Abd. Hamid &
Mariyam Salim Nasihat al Muluk Dr. Jelani Harun Intisari Karya Klasik Rogayah Abd. Hamid & Etty
10
Zalita Zakaria Hikayat Ali Badsyah Dr. Saiful Bahri Md. Razi Kepustakaan Ilmu Tradisional Rogayah Abd. Hamid &
Mariyam Salim Dunia Sahibul Hikayat Noriah Taslim Analisis Bahasa dalam Kitab Tib Pontianak Ab. Razak Ab. Karim Undang-Undang Laut Mariyam Salim 2007 Puisi-puisi Syeikh Ahmad Fatani Hj. Wan Mohd. Saghir
Abdullah Syair Si Burung Nuri Wahyunah Abd. Gani Faridah al-Faraid Dr. Ibrahim Abu Bakar Intisari Karya Klasik II Rogayah Abd. Hamid & Etty
Zalita Zakaria 2008 Bustan al Salatin (Bab 3) Dr. Jelani Harun The Legend of Hang Tuah Ruzaini Fikri Mohd. Azman 2012 Hikayat Kelana Panji Anakan Seri Panji 2014 Syeikh Abd. Samad al-Falimbani
Penulis Hidayah Al-Salikin Khader Ahmad, Ishak Hj. Suliaman
Kolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk IPTA, dan swasta dipertingkatkan dalam
memperkaya dan memperhebat khazanah penyelidikan bahasa dan sastera Melayu serta
memperpertingkatn ilmuwan bahasa dan sastera, di samping pelbagai ranah ilmu dapat
diterokai dan disebar dengan cepat.
4. Pusat Dokumentasi Melayu (PDM): pusat pengumpulan manuskrip persuratan
Melayu.
Menyedari hakikat salah satu daripada misi DBP untuk menjadi pusat rujukan terunggul tentang
bahasa, sastera dan ilmu dalam pelbagai ranah dan bidang yang berkaitan, maka pusat rujukan
DBP yang dahulu Perpustakaan DBP dinaikkan taraf dan diperluaskan fungsi pada tahun 1993
dan dikenali dengan nama Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) yang diwujudkan bagi memenuhi
keperluan maklumat organisasi dan masyarakat keseluruhannya. PDM merupakan perpustakaan
khusus/penyelidikan yang menumpukan pembinaan koleksi persuratan Melayu dalam pelbagai
bentuk ke arah menjadi pusat rujukan kepustakaan Melayu terunggul di rantau ini, selain
memeliharanya sebagi khazanah warisan bangsa Melayu yang amat berharga. Pusat ini
dilengkapi dengan infrastruktur rangkaian, sistem multimedia, sistem perpustakaan bersepadu
pada ketika itu serta peluasan fungsi.
Matlamat utama Pusat Dokumentasi Melayu adalah:
11
1. Memperoleh dan memulihara kepustakaan Melayu selengkap dengan pengkhususan kepada bidang persuratan iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan. Ini termasuklah koleksi manuskrip Melayu dan nadir serta Koleksi Tokoh.
2. Menjadi pusat rujukan kepustakaan Melayu yang cemerlang yang mudah diakses melalui teknologi terkini.
3. Menyumbang kepada pembentukan masyarkat Malaysia yang berilmu dan kaya maklumat.
4.1 Memperkaya khazanah persuratan Melayu. Dalam konteks menyediakan wadah dan keperluan penyelidikan kebahasaan dan
kesusasteraan Melayu DBP, pembinaan koleksi manuskrip Melayu terarah untuk membina
kekayaan kandungan sejarah, perkembangan bahasa Melayu yang meliputi khazanah dari
rantau dunia Melayu, sungguhpun jumlahnya belum menyaingi jumlah koleksi Pusat
Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Namun keberadaan judul-judul ini
saling melengkapi keperluan penyelidik dan pengguna antara kedua-dua institusi ini.
Sehingga kini PDM memiliki lebih 308 judul manuskrip Melayu serta artifak berkaitan seperti
alatan penulisan dan cop mohor.
TAHUN 2005 2006 2007 2008 2009 2010 2011 2012 2013 2014
JUDUL
(kumulatif)
209 238 247 257 260 265 - 292 305 308
Bagi pecahan mengikut bidang bentuk kitab, syair dan hikayat merupakan jumlah yang
terbesar sesuai dengan teras matlamat dan PDM dan DBP.
Menurut Abu Hassan Sham dalam Tradisi Penulisan Manuskrip Melayu, kebanyakan judul
manuskrip yang dibeli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka adalah kepunyaan kerabat raja
Kelantan, Kedah dan lain-lain. Dari senarai taburan pemilik, beberapa naskhah diamanahkan
atau asal hak milik kerabat raja Kedah, Perak dan Kelantan.
12
Pembekal dan purbawan adalah antara penyumbang terbesar koleksi sejak tahun 2005.
Agar tidak bergantung kepada pembekal yang membataskan jumlah dan kualiti sumber
khazanah koleksi manuskrip Melayu, program pengesanan di lapangan dan lawatan kerja
antara faktor peningkatan jumlah naskhah yang diperolehi PDM. Program Kajian Cop Mohor
Kesultanan Melayu yang melibatkan muzium, galeri dan perpustakaan di negeri Pahang,
Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor (Jun Okt. 2012) bukan
sahaja berjaya mengumpulkan perbahanan dan maklumat berkaitan cap mohor dan warkah
serta penemuan sejumlah manuskrip Melayu dari pemilik individu di pantai timur Malaysia.
4.2 Muzium Pusat Persuratan Melayu (MPPM)
Selain perpustakaan, muzium dilihat sebagai institusi pembinaan minda dan pengembangan
ilmu yang unggul dalam menanam kesedaran terhadap budaya bangsa. Gagasan
penubuhan Muzium Bahasa dan Persuratan Melayu, DBP dicetuskan pada tahun 1995 hasil
pemikiran wawasan jangka panjang Allahyarham Dato Dr. Hassan Ahmad, mantan Ketua
Pengarah ketika itu. Selaras dengan visi menjadikan DBP sebagai pusat persuratan Melayu
di rantau ini, pada tahun 2012, muzium ini dikenali sebagai Muzium Pusat Persuratan
Melayu (MPPM).
MPPM menjadi pentas memartabatkan persuratan Melayu dengan fungsi mengumpul,
mendokumen, memelihara, memulihara, mempamer serta menyebarkan maklumat dan
artifak mengenai sejarah perkembangan dan kemajuan bahasa dan persuratan Melayu.
Dengan peranan sebagai pusat sumber pendidikan (learning institution centre) dan pusat
rujukan warisan persuratan Melayu, pelbagai bentuk peragaan pameran termasuk
multimedia, tapak pelancaran (launching pad) menarik pengunjung menghayati dan
memperoleh pengalaman baru mengenali dan pelbagai ilmu manuskrip Melayu dengan
konsep dan reka bentuk yang menepati citarasa segenap generasi.
Sumbangan karya agung dan tokoh persuratan awal seperti Tun Seri Lanang, Bukhari Al-
Jauhari, Tok Kenali, Nuruddin ar-Raniri, Sheikh Daud Fatani dan Abdul Samad Al-
Palembangi, Hamzah Fansuri, Munshi Abdullah, Syed Sheikh al-Hadi dan ramai lagi tokoh
menjadi pengisian kepada MPPM. Perjuangan tokoh persuratan mengembangkan bahasa
Melayu menerusi pelbagai media paparan termasuk multimedia interaktif, meningkatkan
semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa dan sastera Melayu.
13
4.3 Mengupaya Teknologi Maklumat.
Dalam kehidupan dunia yang semakin canggih dan gaya hidup yang pantas, teknologi
maklumat dan komunikasi alat adalah alat penyebaran yang amat berkesan dalam
menjangkau khalayak merentas sempadan geografi dan masa. Menerusi strategi lautan biru
DBP menjalin kerjasama mengoptimumkan sumber tenaga, kepakaran dan perbahanan
bagi memperkaya khazanah persuratan dan kepustakaan Melayu antara organisasi dalam
dan luar negara. Mymanuskrip, terhasil dari kerjasama Fakulti Sains Komputer dan
Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Perpustakaan UM, Perpustakaan UKM dan DBP
dalam mempromosi khazanah manuskrip Melayu dan menjana penyelidikan.
Laman sesawang Mymanuskrip, repositori digital manuskrip Melayu.
5. Memperkasa manuskrip Melayu kepada khalayak.
Tradisi penyebaran ilmu dan persuratan Melayu pada abad ke-13 menjadikan istana
sebagai pusat intelektual dan pengembangan ilmu selepas Islam berkembang di alam
Melayu. Kewujudan pusat pengajaran Islam diteruskan oleh institusi pondok yang
berkembang pada awal abad ke-19.
14
Dalam dekad ini, perpustakaan, muzium dan galeri amat kreatif menggunakan pelbagai
pendekatan untuk memasyarakatkan dan mempopularkan manuskrip Melayu agar sentiasa
segar dan diminati masyarakat. Kunjungan penulis ke beberapa muzium dan universiti di
sekitar Bandung, Jakarta dan Jogjakarta pada akhir tahun 2012, memperoleh maklumat
berkaitan program mengangkat naskhah klasik sebagai pengembang serta pendukung
kebudayaan daerah bagi menarik perhatian dan penglibatan golongan muda.
Di Malaysia, amat kurang sekali program yang dapat diikuti oleh masyarakat umum,
golongan muda dan kanak-kanak khususnya di luar kurikulum mata pelajaran bahasa
Melayu dan komponen sastera dalam sistem pendidikan sekolah. Hiburan, permainan
komputer, internet, ipad, telefon pintar lebih mendapat perhatian khususnya golongan
remaja dan kanak-kanak. Keadaan ini akan membawa kepada kepupusan minat
masyarakat terhadap manuskrip Melayu khususnya, dan persuratan Melayu amnya
sekiranya tidak diberikan perhatian. Selain tumpuan kepada penyelidikan, kajian dan
penerbitan, pelbagai pendekatan memasyarakatkan manuskrip Melayu sesuai dengan
khalayak golongan dewasa, generasi muda dan kanak-kanak perlu diusahakan.
Keupayaan mengaplikasikan teknologi maklumat, sungguhpun memberi manfaat dalam
meningkatkan akses kepada koleksi manuskrip Melayu digital mahupun naskhah asli,
namun ia lebih banyak dirujuk dan dihayati oleh pengkaji dan pembaca yang terlibat
dengan secara langsung dalam pembelajaran, pengajaran, penelitian, penerbitan,
pengumpulan dan pemeliharaan manuskrip Melayu. Sejumlah besar dari masyarakat
umum tidak mempunyai pengetahuan mahupun terdedah kepada manuskrip Melayu atas
sebab-sebab;
i. tidak berkaitan dengan tugas dan pembelajaran,
15
ii. peluang mengakses dan membaca jarang diperolehi kerana lokasi pusat penyimpanan
manuskrip di luar jangkauan serta tertakluk kepada peraturan tertentu organisasi
penyimpanan,
iii. kurangnya program dan promosi yang mendedahkan manuskrip Melayu kepada
khalayak.
5.1 Baca Naskhah Teks Klasik.
Pembacaan naskhah klasik DBP mula diperkenalkan dalam program Galakan Membaca
yang sering diadakan sempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia sesuai dengan
peranan DBP memperkenal dan mempopularkan karya dan tokoh persuratan kepada
masyarakat. Lanjutan itu, baca naskhah telah mengisi program Bulan Bahasa Kebangsaan,
sambutan Ulang tahun DBP dan Bulan Membaca di luar premis DBP khususnya institusi
pendidikan guru, universiti dan perpustakaan. Sehingga kini, lima (5) judul berasaskan
manuskrip Melayu telah diperkenalkan kepada khalayak peringkat remaja dan dewasa di
dalam dan luar negara menerusi program baca naskhah yang berkonsepkan pembacaan
tanpa henti (uniterrupted readings) dan secara spontan.
i. Pembacaan Sulalatus Salatin, naskhah diselenggara oleh Abd. Samad Ahmad
terbitan DBP bertepatan dengan pemasyhuran karya agung warisan dunia dalam
Memory of the World Register, Unesco. Pembacaan naskhah bukan sahaja
bertujuan memperkenalkan karya agung kepada masyarakat umum, malah
menarik penyertaan wakil-wakil kedutaan, dan masyarakat pelbagai kaum.
Pembaca bukan sahaja menghayati sejarah zaman kegemilangan Kesultanan
Melayu Melaka, malah dapat membayangkan kemajmukan masyarakat pada
zaman lampau. Di samping itu, pembacaan turut menanam semangat kecintaan
terhadap citra dan jati diri bangsa, khususnya kepada warga Malaysia di luar
16
negara. Secara tidak langsung, program ini juga menarik perhatian warganegara
di luar negara kepada naskhah yang tersimpan di John Ryland Library,
University of Manchester.
ii. Hikayat Seri Kelantan sebuah naskhah klasik tentang sejarah pemerintahan
negeri Kelantan yang tergolong dalam kategori manuskrip sejarah dan keta-
tanegaraan. Hikayat ini bermula dengan kisah Cik Siti Wan Kembang sebagai
raja yang asal memerintah negeri Kelantan Purba dan diikuti pula dengan kisah
lagenda Tuan Puteri Sadong. Pemerintahan Kelantan Purba bergolak selepas
Puteri Sadong turun takhta dan menyerahkan pemerintahannya kepada suami
baginda, Sultan Abdullah. Turut mengisahkan susur galur pemerintahan beraja
kerajaan Islam Kelantan, meliputi sistem undang-undang, ekonomi, bahasa,
budaya dan agama. Variasi dan kreativiti pembaca menggunakan dialek
Kelantan dan Siam menghidupkan suasana pendengar menghayati penceritaan
naskhah berunsur sejarah.
iii. Syair Nabi Allah Ayob alaihissalam memperkenalkan puisi tradisional yang sarat
membawa mesej dan nilai-nilai murni dan penghayatan Islam. Kreativiti pembaca
menyampaikan di luar kebiasaan irama syair menimbulkan persaingan antara
peserta untuk menonjolkan kelainan dan keunikan dalam persembahan masing-
masing. Membaca secara spontan petikan halaman bertulisan jawi memberi
cabaran antara penyampaian lagu syair dan kelancaran sebutan.
iv. Hikayat Anak Miskin adalah cetakan litograf yang menguji kemahiran jawi di
samping memperkenalkan kosa kata klasik yang menggunaan dialek utara.
Peserta sering tidak dapat mengelakkan kesalahbacaan kerana kurang
penguasaan kosakata klasik dan dialek , antaranya taktibu (sepatutnya tabtibau),
Kulab (sepatutnya Kulub), ejaan sering bertukar ganti antara kata menantu dan
mentua, itu dibaca sebagai ayat.
17
Peserta akan membaca 1 hingga 2 halaman yang ditetapkan, bergantung kepada
ketebalan naskhah dan dinilai dari aspek sebutan, persembahan, kelancaran dan
bacaan. Penghayatan isi kandungan manuskrip Melayu amat bergantung kepada
keupayaan dan kemahiran membaca tulisan jawi lama. Ciri-ciri seperti ketiadaan tanda
bacaan, ketidakselarasan ejaan, gaya tulisan khas dan pelbagai adalah cabaran yang
besar kepada pencinta naskhah atau individu yang berminat untuk membaca
manuskrip Melayu. Oleh itu, galakan dan pendedahan melalui program yang sesuai
dengan khalayak akan memberi impak yang besar untuk mengenali isi kandungan dan
mencerna pelbagai pengetahuan.
Program Baca Naskhah mengikut tahun.
TAHUN JUDUL ACARA PESERTA
2006 Sulalatus Salatin Hari Buku dan Hakcipta Sedunia, DBP
Terbuka
Pebagai kaum
2007 Hikayat Seri Kelantan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia, DBP
Terbuka
Pebagai kaum
2008 Hikayat Nakhoda Muda Hari Buku dan Hakcipta Sedunia, DBP
Terbuka
Pebagai kaum
2011 Syair Nabi Allah Ayob alaihissalam
Bulan Membaca, IPG Kampus Pendidikan Islam
Pelatih
2011 Hikayat Anak Miskin Bulan Membaca, IPG Kampus Bahasa Melayu
Pelatih
2011 Hikayat Anak Miskin Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI
Pelajar IPT
18
2013 Sulalatus Salatin Kursus Bahasa Melayu dan Patriotisme, Sekolah Malaysia, Manchester.
Tenaga Pengajar
2013 Hikayat Anak Miskin Bulan Bahasa Kebangsaan, Perlis
Pelajar Sekolah Menengah
2013 Hikayat Anak Miskin Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak
Pelajar IPT
2014 Sulalatus Salatin Wacana Sulalatus Salatin, Universiti Malaysia Kelantan
Pelajar IPT dan Terbuka
Pebagai kaum
Program baca naskah klasik yang melibatkan institut perguruan, pelajar-pelajar sekolah,
perpustakaan, pelajar IPT dan penyertaan pelbagai kaum meninggalkan pelbagai impak
dan kesan, antaranya ;
i. Memberi peluang kepada para guru untuk mempersembahkan syair dengan
lebih kreatif sebagai alternatif dan variasi dalam meningkatkan penghayatan dan
pengajaran puisi tradisional bersumberkan manuskrip Melayu.
Baca Naskhah Sulalatus Salatin sempena
Hari Buku dan Hakcipta Sedunia Baca Naskhah Hikayat Anak Miskin
sempena Bulan Bahasa Kebangsaan
peringkat Kebangsaan 2013.
19
ii. Menonjolkan variasi dalam penyampaian yang akan menarik minat pelajar dalam
pembelajaran syair, contohnya dendang Arab, Pak Kadok, Trek tek tek dan
Selindang Delima.
iii. Mencari alternatif ke arah pemantapan modul dan kurikulum pembelajaran jawi
kepada pelatih dan pensyarah Institut Pendidikan Guru.
iv. Menimbulkan kesan berganda dan meningkatkan minat pensyarah
memperkenalkan syair kepada pelatih, dan pelatih mengembangkan program
kepada murid-murid di sekolah.
v. Membuktikan tahap keupayaan peserta khususnya golongan muda menguasai
kosakata, cerita, tulisan jawi dan naskhah dalam keadaan spontan.
vi. Mengesan tahap kebolehbacaan dan kefahaman dalam membaca naskhah
bertulisan jawi klasik.
vii. perkataan dan kosakata dalam teks yang diberi.
Oleh itu, pemuliharaan dan pemeliharaan naskhah dan manuskrip Melayu bukan hanya
terbatas kepada memanjangkan hayat fizikal menerusi pengawetan, pembaikan dan penjilidan.
Pemeliharaan khazanah ilmu warisan persuratan Melayu dalam minda dan jiwa masyarakat
harus berterusan dari generasi ke generasi agar kecintaan kepada tradisi ilmu kearifan bangsa
tidak pudar ditelan masa.
6. Cadangan
i. Penambahbaikan terhadap program memasyarakatkan manuskrip Melayu dalam modul
yang berstruktur berserta bentuk penilaian dapat memberi input dan impak yang besar
dalam memartabatkan dan membudayakan manuskrip Melayu dalam pelbagai peringkat
masyarakat dari remaja hingga peringkat dewasa. Kuliah bimbingan, wacana, dan
pertandingan berpotensi meningkatkan penghayatan terhadap karya, sumber sejarah dan
ilmu tradisional merentas khalayak kanak-kanak, remaja dan dewasa.
20
ii. Keberadaan (availability) dan kebolehcapaian (accessibility) pelbagai judul manuskrip
Melayu melalui portal dan pendigitalan di peringkat tempatan, negara dan rantau
nusantara perlu dipergiat dan dipertingkatkan untuk membuka minda pembaca kepada
kepelbagaian khazanah persuratan yang melatari sejarah, budaya, pemikiran diaspora
Melayu. Kerjasama perkongsian sumber dan koleksi saling melengkapi keperluan
pembacaan, penelitian dan penerbitan berasaskan manuskrip Melayu agar tersebar luas
menjangkau khalayaknya.
iii. Sokongan dan kolaborasi dengan dengan pelbagai pihak sama ada di peringkat kerajaan,
swasta, badan bukan kerajaan, mampu memperluaskan khalayak pencinta persuratan
Melayu serta menanam semangat cintakan sejarah dan tamadun bangsa.
RUMUSAN
Selain menghimpun dan membina khazanah warisan persuratan, tradisi penyebaran ilmu yang
diwarisi bermula dari kegiatan penyalinan khazanah oleh jurutulis dan penyalin zaman silam
tidak mungkin dapat bertahan menempa arus pemodenan dan globalisasi masa kini dan akan
datang tanpa usaha berterusan pelbagai pihak untuk mencari kepelbagaian pendekatan dan
kaedah memasyarakatkan dan mempopularkan karya-karya manuskrip Melayu menjangkau
khalayak, sama ada di pentas maya mahupun di alam nyata. Perpustakaan, muzium dan galeri
perlu menggembeling usaha bagi mempergiat secara terarah supaya paduan organisasi-
organisasi ini dapat merealisasikan sebuah pusat sehenti sumber rujukan menghimpun koleksi
manuskrip Melayu bertulis atau digital dan memastikan keberadaan (availability) dan
kebolehcapaian (accessibility) melalui portal dan pendigitalan. Program mempromosi
pembacaan manuskrip Melayu dalam konteks pembelajaran bukan formal berupaya
meningkatkan penghayatan karyak lasik dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa. Di
pihak organisasi, promosi pembacaan naskhah menjadi ruang dan peluang untuk menilai
keberkesanan membina kepakaran dan kecintaan terhadap ilmu-ilmu peribumi yang menjadi
teras jati diri bangsa dalam jangka masa panjang.
21
BIBLIOGRAFI.
1. Samad Ahmad,2013. Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) diterbitkan oleh Pesuruhjaya Penyemak
Undang-undang Malaysia di bawah kuasa Akta Penyemakan Undang-undang 1968
secara usahasama dengan Percetakan Nasional Malaysia Berhad, 2006
3. Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan
1995).
4. Meniti Jejak Membaharui Babak. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.
(Terbitan sempena ulang tahun ke 56 Dewan Bahasa dan Pustaka)
5. Sasaran Kerja Utama 2006-2010 Dewan Bahasa dan Pustaka. Edaran terhad.
SINGKATAN:
SM - Sejarah Melayu SSK - Syair Sinyor Kosta HHT - Hikayat Hang Tuah SAM - Syair Abdul Muluk HMTJK - Hikayat Misa Taman Jaeng Kusuma SSZPC - Syair Siti Zubaidah Perang Cina HAH - Hikayat Amir Hamzah HB - Hikayat Bakhtiar SKT - Syair Ken Tambohan KA - Kisasul Anbia HRK - Hikayat Raja Khandak HIP - Hikayat Inderaputera HTAD - Hikayat Tamin ad-Dari